Rabu, 16 Oktober 2013

MEMBERSIHKAN DIRI DARI DOSA@MAKSIAT SERTA SYIRIK PERLU KEPADA SETIAP MUSLIMIN SERTA MUSLIMAT BUKAN AHLI2 POLITIK SAJA

Tun M perlu dedah individu yang perlu dibersihkan

Izwan Halim, 16 Okt 2013
POKOK SENA: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyenaraikan calon-calon korup yang dimaksudkan beliau agar mereka itu tidak diangkat oleh para perwakilan dari membarisi kepimpinan parti Melayu itu pada Perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini.

Ujar Mahfuz, penjelasan itu perlu untuk membolehkan ahli-ahli Umno membuat pembersihan pada Pemilihan Umno 19 Oktober ini untuk mengelakkan kepimpinan dimenangi calon yang tidak sewajarnya.

“Tun (Mahathir) sebut perlu ada pembersihan dalam Umno sebelum pemilihan kerana kata Tun, ramai orang yang masuk Umno ini mahu jadi kaya. Apatah lagi dibimbangi mereka yang menjadi kaya tidak itu mengikut saluran betul dan akan menyebabkan berlakunya salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya.

“Dibimbangi bahawa perasuah inilah yang jadi pimpinan Umno dan pimpinan negara. Jadi, saya nak minta satu penjelasan dari Tun, kerana ini kenyataan cukup serius dibuat Tun. Bolehkah Tun senaraikan mereka yang dimaksudkan orang-orang Umno dan pemimpin Umno yang masuk Umno untuk jadi kaya?

“Daripada mereka ini siapakah yang tersenarai untuk bertanding sebagai calon dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober ini yang dimaksudkan Tun?” gesanya pada sidang media di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini kelmarin.

Jelas Mahfuz, sangat penting untuk Tun Mahathir menyatakan pendiriannya yang jelas kerana Mantan Perdana Menteri itu sebelum ini pernah mengkritik hebat Khairy Jamaludin.

Tetapi ujarnya, seolah-olah pandangan Tun terhadap Khairy sejak dari zaman Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri berkaitan ‘Isu Budak Tingkat Empat’ ketika itu langsung tidak dipedulikan.

“Perwakilan Umno, Pemuda dan Wanitanya terus memilih orang seperti Khairy yang dilihat Tun tidak punya tahap integriti yang tinggi termasuk kepada Ketua Wanitanya. Saya hendak minta penjelasan daripada Tun apakah dia telah lihat Wanita dan Pemuda yang dipilih beberapa hari lalu memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang bersih?

“Saya juga meminta Tun menyenaraikan kepimpinan Umno dan calon-calon Umno yang bertanding dan mereka itu dianggap oleh Tun perlu dibersihkan daripada Umno untuk ditolak pada pemilihan ini sebagai menunjukkan Umno tidak mahu pemimpin yang korup,” tegas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Perkara itu juga katanya, sangat bersesuaian dengan tema dibawa oleh anak Tun iaitu Dato’ Mukhriz Mahathir iaitu “Berani Berubah”.

Jelasnya, Tun sebagai senior Umno yang tiada kepentingan harus berani menunjukkan satu sikap kepada perwakilan untuk menolak kepimpinan seperti dimaksudkannya pada Himpunan Agung Umno.

“Ini sangat jelas dengan tema atau tujuan Dato’ Mukhriz yang menyatakan beliau bertanding kerana hendak menyelamatkan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang, tanpanya Umno tidak akan selamat.

“Tun harus menjelaskan perkara ini untuk membolehkan perwakilan menetapkan hala tuju kerana sesiapa pun yang menang nanti inilah, yang akan diletakkan diperingkat tertinggi dalam negara kita. Saya percaya bahawa rombakan Kabinet akan berlaku, mahu tidak mahu Umno akan kekal menjadi tulang belakang ini terus menerajui Kerajaan BN ini.

“Sebab itu kita mahu kerajaan itu nanti kerajaan yang bersih, jadi sudah tentu Tun perlu membersihkan kepimpinan Umno pada pemilihan kali ini,” serunya.

Terdahulu pada sidang media itu, Mahfuz turut menyinggung tempelakan Tun Mahathir ke atas kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang dilihat gagal mengurus kewangan negara sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Ujarnya, Tun telah menggesa mereka itu meletak jawatan sekaligus memberi signal jelas kepada Perdana Menteri kerana  bertanggung jawab memilih dan melantik Menteri-menteri berkenaan.

“Bermakna bahawa, PM salah pilih menyebabkan memilih orang yang gagal mengurus dan menangani persoalan kewangan bawah kementerian masing-masing, ini kenyataan Tun kebelakangan ini,” ujar Mahfuz.

Makna penting PRK Dun Sungai Limau

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 16 Okt 2013

Pilihan raya Kecil Sungai Limau 23 Oktober ini tentunya menjadi tumpuan pendukung PAS dan Umno/BN kerana ia mempunyai makna penting selepas kerajaan PAS Kedah tewas dalam PRU yang lalu, walaupun dapat mengekalkan kemenangan di Dun tersebut.

Sekiranya PAS beroleh kemenangan dalam PRK kali ini, maka kemenangan itu kiranya menjadi ubat hati yang luka kerana kekalahan dulu itu. Selain itu menunjukkan pulihnya perpaduan di kalangan ahli PAS Kedah selepas perpecahan teruk menjelang PRU yang lalu.

Saya kira, PAS Kedah sudah cukup menderita dengan kekalahan tersebut dan belajar darinya untuk memulihkan kembali perpaduan sesama ahli. Maka itu, PRK Sungai Limau ini menjadi sebaik-baik tempat untuk menunjukkan perpaduan kembali dan seterusnya membina kembali kemenangan.

Boleh jadi ada hikmahnya apa yang terjadi di Kedah di masa lalu itu sebagai suatu pengajaran sangat berguna di masa depan bahawa perpaduan di kalangan ahli dan pemimpin sangat penting kerana kepentingan parti menjadi keutamaan lebih daripada pelbagai kepentingan lain.

Kini PAS seluruh negara, khabarnya, sedang bersiap-siap untuk datang membantu kempen PAS di Sungai Limau. PAS Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan negeri lain sudahpun menghantar sejumlah ahlinya untuk membuat tinjauan awal di samping membuat persiapan, menunggu kedatangan puluhan ribu atau boleh jadi ratusan ribu lagi.

PAS Pulau Pinang telah mengarahkan semua jentera pilihan rayanya turun membantu jentera PAS di Sungai Limau. Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Saleh Man menegaskan, semua jentera Pemuda ataupun Muslimat perlu digerakkan membantu untuk memastikan kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

Sementara itu, PKR Kedah juga sedang mengatur persiapan membantu kempen pilihan raya kecil itu. Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR dibuka 17 Oktober ini, kata Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) PKR bagi Ir Zamri Yusoff.

Menurutnya, BGU akan dibuka di Pekan Sungai Limau. Pelancaran dibuat serentak dengan jentera Pilihan Raya Kecil Pakatan Rakyat,” kata Zamri kepada Keadilan Daily. Menurutnya, PKR akan menyusun program bersama PAS dan Pakatan Rakyat Kedah dengan menumpukan kepada beberapa kawasan Unit Pusat Undi (UPU).

Dari 19 UPU di seluruh DUN Sungai Limau, katanya, Pakatan tewas di tujuh UPU pada Pilihan Raya Umum ke-13 itu. Antaranya UPU Sungai Kering, UPU Dulang Kecil dan UPU Dulang Besar. PKR, kata Zamri dania akan membantu menggempur tujuh UPU yang dikenalpasti sebagai kubu BN.

Beberapa progam sedang diatur dan tumpuan di kawasan itu, kata Zamri yang mengalu-alukan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

PRK Sungai Limau ini dijangka begitu sengit, justru Umno akan berhempas pulas untuk menawan DUN tersebut, selepas mendapat suntikan semangat atas kemenangannya merampas Kedah dalam PRU lalu.

Maka itu, PAS Kedah jangan merasa terlalu yakin akan menang mudah hanya semata-mata berasaskan ia Dun tradisi PAS. Keadaan boleh saja berubah, sebab itu kita yakin jentera PAS Kedah di bawah pengarahnya, Datuk Mahfuz Omar dengan segala kebijaksanaannya akan dapat mempertahankan Dun tersebut.

Datuk Mahfuz adalah tokoh yang sangat memahami situasi politik Kedah kerana beliau tumbuh dan berkembang sebagai tokoh politik sejak zaman awal Almarhum Ustaz Fadzil Noor lagi dan kini beliau mengetuai kepimpinan PAS Kedah sebagai Pesuruhjayanya selepas kematian Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak.

Satu hal yang menjadi tradiri kempen Umno/BN dalam semua pilihan raya – sejak zaman berzaman - ialah taburan wang dan pelbagai bentuk habuan kepada pengundi. Sebahagian besarnya berkesan, terutama di kawasan pedalaman, kampung nelayan, penoreh getah dan sebagainya. Maknanya, semakin miskin kedudukan pengundi itu, maka semakin mudah Umno/BN mempengaruhi mereka dengan pelbagai habuan, janji dan segalanya.

Pengundi Sungai Limau dengan tiba-tiba akan menjadi ‘anak emas’ Umno/BN, yang akan diberiakan apa saja – yang diminta atau tidak diminta. Ini adalah biasa dan PAS Kedah sangat faham akan keadaan ini.

Dalam PRU yang lalu, calon PAS, Tan Sri Azizan Ab Razak mendapat 13,294, sementara calon BN 10,520, dua calon bebas pula mendapat 100 dan 84.Pecahan 27,287 Pecahan Kaum ialah: Melayu 93%, Cina 7%, lain-alin 0%.

Ini menunjukkan Dun Sungai Limau ialah sebuah kawasan luar bandar Melayu yang biasa, walaupun tidak jauh dari Alor Setar. Kerana itu, isu-isu nasional seperti isu Laporan Audit Negara, isu skandel projek lembu, isu saham Felda Global Venture, isu keteresan wang negara, hak asasi rakyat, demokrasi dan keadilan ddijangka tidak releven di Dun luar bandar seperti ini, demikian menurut sebuah kajian awal.

Sementara itu, dalam beberapa hari ini, mungkin ratusan ribu penyokong PAS dan Umno/BN sendiri akan membanjiri Sungai Limau menjelang PRK itu. Tetapi dalam pengalaman masa lalu, Umno/BN tidak banyak mengadakan ceramah umum besar-besaran seperti PAS, tetapi jentera pilihan raya mereka masuk ke kampung jauh lebih awal dan begitu kerap. Mereka bertemu lansung dengan pengundi dan di sanalah pelbagai ‘habuan’ dihulurkan kepada mereka.

PAS/Pakatan biasanya akan mengadakan ceramah perdana begitu kerap, mengundang para tokoh Pakatan, terutama yang ada nilai sebagai ‘crowd-puller’ untuk menarik orang ramai. Mungkin ia bermanfaat dan boleh menarik sebahagian pengundi. Tetapi mestilah difikirkan secara rialistik bahawa kempen pergi terus kepada pengundi adalah langkah paling wajar, walaupun ceramah perdana itu tidak dinafikan sebanyak sedikit ada manfaatnya.

Kita yakin, jentera PAS/Pakatan Rakyat, khususnya PAS Kedah, yang sangat kenal dengan demografi pengundi Dun Sungai Limau ini akan mampu membaca dan mengatur strategi yang tepat untuk mempertahankan Dun tersebut.

Insya Allah, jika PAS menang PRK kali ini, maka ia adalah isyarat awal bahawa PAS Kedah pulih semua dan akan memberi semangat kepada Muktamar PAS dari 22 hingga 24 November ini.

Jambatan Melaka-Dumai tidak rasional - Mapim

Harakahdaily, 16 Okt 2013


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak cadangan kerajaan Melaka untuk membina jambatan Melaka-Dumai sepanjang lebih 48 kilometer bernilai lebih RM44 bilion.

Menyifatkan ianya sebagai cadangan mengejutkan, NGO itu mendawa rakyat tidak dapat menerima bagaimana idea yang sudah mati ini dihidupkan kembali dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu .

"Kami kesal dengan cadangan yang tidak rasional ini memandangkan kos dan risiko alam sekitar yang tinggi  serta keperluan sebenar yang tidak jelas untuk membina jambatan yang dikatakan terpanjang di dunia ini.

"Apakah sebenarnya yang dikatakan jambatan ini berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi ke dua negara, padahal apa yang lebih utama dan  sepatutnya diperkemaskan ialah program pembinaan sumber manusia dan keperluan asas penduduk kedua negara," kata Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menurutnya, IMT GT yang mengeluarkan cadangan ini sama sekali tidak melihat perkembangan ekonomi serantau yang tidak memberangsangkan apatah lagi ekonomi dunia yang diandai akan mengelami pertumbuhan yang  perlahan.

Betapa hebat sekalipun teknologi pembinaan jambatan itu katanya, tidak dapat menjamin risiko yang akan dihadapi di rantau ini yang sangat sensitif kepada gempa bumi.

Ini kerana, jambatan panjang seperti ini sangat tertakluk kepada kajian sismik selat Melaka yang sentiasa terdedah kepada kesan gempa bumi.

Mapim ujarnya, tidak melihat keperluan jambatan ini bukan sahaja kerana kos yang sangat tinggi akan tetapi juga implikasi alam sekitar yang bakal dihadapi di selat Melaka yang merupakan antara laluan selat antarabangsa yang paling sibuk di dunia.

"Kami tidak dapat menerima bahawa oleh kerana dikatakan 85% akan dibiaya oleh Bank Exim Import-Export China maka ia tidak akan membebankan ekonomi negara.

"Akan tetapi ia tidak semudah itu sebab sebarang kos penyelenggaraan akan akhirnya ditanggung oleh rakyat kedua negara," katanya lagi.

Selain itu, kajian Penilaian Risiko serta Life Cycle Cost yang diguna dalam pembinaan jambatan panjang seperti ini terutama dalam kawasan yang berisiko gempa bumi dikhuatiri akan mengguna sumber perbelanjaan yang tinggi.

Katanya, persoalan yang penting perlu diketengahkan ialah apa perlunya jambatan ini padahal fasiliti pengangkutan yang sedia ada hanya perlu diperkemaskan antara kedua negara untuk melancarkan lagi pertumbuhan ekonomi.

"Tidak perlu dibina projek mega seperti yang dicadang tersebut. Kecuali ada pihak yang akan meraut keuntungan besar dari projek ini, kami tidak melihat keperluan yang mendesak mahupun rasional yang kukuh untuk projek ini diteruskan.

"Kami khuatir dengan projek mega seperti ini yang lebih bersifat " prime pumping " untuk merangsang ekonomi yang tidak berasaskan fundamental yang kukuh, negara akan terperangkap dalam ekonomi spekulatif semata-mata," tegasnya.

Mercu tanda baru PAS Pahang

Basiron Abdul Wahab, 16 Okt 2013



TEMERLOH: PAS Pahang maju setapak lagi dengan rancangan pembinaan Kompleks Al Makmur yang bakal menjadi mercu tanda baharu PAS negeri.

Sehubungan itu Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man meminta pendokong parti tidak melepaskan peluang untuk turut memberi sumbangan bagi menjayakan projek berkenaan.

Katanya, majlis pecah tanah pembinaan kompleks itu akan disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 26 Oktober  ini bertempat di tapak cadangan kompleks itu di Kerdau.

“Jika ke Kelantan kita berbangga dengan Putik, jika ke Kedah kita berbangga dengan Kompleks PAS Kedah, sudah sampai masanya bagi PAS Pahang mempunyai kompleknya sendiri,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini PAS Pahang mempunyai dua dewan iaitu Kias di Jerantut dan Darul Amin, di Temerloh.

Kompleks Al Makmur apabila siap nanti akan menjadi dewan terbesar milik PAS Pahang yang mampu menampung lebih dua ribu hadirin dalam satu masa.

PAS Kawasan Kuala Krau dalam mesyuarat agungnya baru-baru ini telah meluluskan usul meminta setiap ahli menyumbang RM100 bagi menampung kos pembinaan Kompleks Al Makmur.

Beliau berkata, kesemua 14 kawasan PAS  di Pahang dan Majlis Tindakan Pilihan Raya Dun (MTD) mempunyai pejabat operasi masing-masing begitu juga dengan perhubungan negeri namun kewujudan Komplek Al Makmur akan menjadi mercu tanda baru PAS Pahang.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama PEMBANGUNAN KOMPLEKS AL MAKMUR.

PAS Pahang: Pemuda dapat ketua baharu, ulamak kekal

Basiron Abdul Wahab, 16 Okt 2013
KUANTAN: Pemuda PAS Pahang mendapat ketua baharu manakala Ketua Dewan Ulamak PAS negeri kekal apabila Ustaz Shahril Azman Abdul Halim (gambar, kiri) melepaskan jawatannya kepada Ustaz Nazri Ahmad (gambar, kanan) manakala Ustaz Mokhtar Senik di pilih semula untuk menerajui Dewan Ulama PAS Pahang bagi sesi 2013/15.


Shahril ialah bekas Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau melepaskan jawatan kerana faktor usia, manakala Nazri ialah Ketua Pemuda Rompin dan menjawat Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri sesi lalu.

Jawatan Timbalan Ketua kini disandang Ustaz Fadhil Ibrahim yang juga Ketua Pemuda PAS Kuantan.

Jawatan Naib Ketua pula disandang Abu Syahid Dibok.

Sementara itu Dewan Ulamak PAS Pahang yang bermuktamar pada 13 Oktober lalu memilih  Ustaz Nafiri Mohd Touzi dari Kuala Krau sebagai Timbalan Ketua.

Jawatan Naib Ketua disandang Ustaz Khairul Azmi Ismail dari Maran menggantikan Ustaz Arifin Abdullah dari Temerloh.

Tiada ulasan: