Isnin, 28 Oktober 2013

BETUL SANGAT2 DAN TIADA BANTAHAN....SOKONG SERATUS PERATUS

Tolak syariah umpama nafi kebijaksanaan Allah

Salmah Mat Husain, 27 Okt 2013
PENGKALAN CHEPA: Menolak undang-undang syariah sama seperti menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku pentadbir alam ini, tegas  Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, sekiranya umat Islam berani mengkritik undang-undang syariah sebagai ‘ketinggalan zaman’, mereka bukan sahaja mencabar kebijaksanaan Allah SWT malah boleh menjejaskan akidah sebagai seorang muslim.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Amal Ma’aruf Nahi Mungkar peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini, pagi tadi.

Hampir 2,000 orang hadir pada program yang dianjurkan Kerajaan Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan Sukarelawan Pendidikan Rakyat (Kawan).

Ustaz Ahmad menambah, sekiranya warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina, maka lebih besar kesalahannya jika orang Islam berani mengkritik undang-undang Allah.

“Dengan peningkatan gejala sosial yang menimpa negara ini yang begitu menakutkan,  peranan hudud wajib diambil kira.

“Persoalannya kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masaalah sosial, tidak lain kerana undang-undang yang ada tidak mampu untuk menyelesaikannya berbanding undang-undang Allah untuk pencegahan dan pendidikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Kerajaan Kelantan tidak pernah berputus asa untuk melaksanakan hukum syariah di negeri itu.

“Dengan ini saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan agar sama-sama bertanggungjawab meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, usaha perlu perlu digandingkan untuk menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan pendekatan masing-masing.

Turut berucap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Ustaz Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama  bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Adun Chempaka, para anggota Exco, Adun, pemimpin PAS pelbagai peringkat dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.

Konvensyen dianjurkan sempena majlis sambutan ‘Hari Hududullah Negeri Kelantan’ dan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Muslimat PAS Johor dapat ketua baru

Saidah Hairan, 27 Okt 2013
KOTA TINGGI: Dewan Muslimat PAS Negeri Johor menerima peneraju baru, Nor Hayati Bachok (gambar) dalam muktamar tahunan kali ke-25 yang diadakan di Dewan Hun Moi, dekat sini.

Nor Hayati ialah Timbalan Ketua Muslimat PAS Johor penggal lalu.

Beliau menang tanpa bertanding apabila penyandang sesi lalu, Atiah Ahmad menarik diri.

Timbalan Ketua Muslimat PAS negeri disandang Norhayati Bidin yang mengalahkan Normala Sudirman manakala Naib Ketua, Anis Afida Azli turut dipilih setelah mengalahkan Normala yang juga dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri dirasmikan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.

Perwakilan Muslimat turut memilih 10 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Fatimah Ismail, Norlia Salleh, Arbakyah Kassman, Siti Fatimah Awang, Habibah Mohd Zam, Nazirah Abd Rahim,
Sabariah Mohd Amin, Habibah Husin, Hatijah Muhd Jani dan Zabidah Hassan.

Kempen politik harmoni dicemari SMS fitnah

Salmiyah Harun|Foto Wan Zahari, 27 Okt 2013
JERAI: Kempen politik harmoni yang disepakati PAS dan BN di Sungai Limau nampaknya mula dicemari pihak tidak bertangggungjawab dengan memfitnah Pengarah PRK PAS N20 Sungai Limau Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz,tengah malam tadi sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur fitnah yang menggunakan nombor telefon bimbitnya telah tersebar meluas termasuk di laman sosial.

SMS yang tertera "Calun BN Sg Limau tu Ahmad Sohemi bukan pelajar pondok pak ya tapi jadi cikgu sementara ja. Dia bukan pendidikan agama. Jadi pensyarah pun bidang sains politik ja. Beliau pernah mendapat rawatan mental satu masa dulu. La ni menetap di Tg Malim. Ramai orang tak kenal beliau di DUN Sg limau. Fikirlah".

Jelas Mahfuz, beliau bukan ahli politik yang bodoh untuk mencalarkan imejnya sendiri.

Beliau berkata demikian setelah ditanya banyak pihak berhubung satu SMS yang  memburuk-burukan calon BN Dr Ahmad Suhaimi Lazim.

Mahfuz berkata, sms itu telah di 'print screen' dan sudah tersebar di laman 'Facebook' membuatkan beliau dihujani panggilan telefon bagi mengesahkan perkara itu.

"Wallahi Wabillahi Watallahi. Saya tidak buat perkara-perkara yang menjatuhkan imej saya sendiri," katanya dalam sidang media di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau.

Mahfuz percaya perbuatan keji terbabit adalah semata-mata mahu menimbulkan provokasi dan kemarahan rakyat khususnya pengundi di Sungai Limau.

Bahkan beliau tidak menolak selepas ini calon PAS Azam Abd Samat bakal menerima fitnah yang sama.

Bagaimanapun buat masa ini beliau akan mendapat khidmat nasihat daripada peguamnya untuk tindakan selanjutnya berhubung sms fitnah itu.

Orang tua berkenan dengan Azam macam cucu mereka

Hazayani Zakaria, 27 Okt 2013
JERAI: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat bukan sahaja disenangi anak muda malah turut disukai orang tua.


Lahir dalam keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kuat dan berdarah pendidik merupakan kelebihan yang dimiliki Azam.

Perkara tersebut terpamer sewaktu Azam hadir meraikan sambutan Hari Warga Emas di Batu 15, dekat sini semalam yang dihadiri 500 warga emas.

Ketika Azam menyantuni hadirin di hadapan pentas, terdengar seorang lelaki 60-an di belakang memberitahu kawan di sebelahnya bahawa dia mengenali Azam sejak Azam kecil dan rapat dengan datuk Azam.

"Saya kenal dia ni (Azam), dulu waktu kecil-kecil selalu ikut tok wan (datuk) mai (datang) rumah. Kalau yang ini jadi calon, elok sangatlah," katanya.

Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata, jika pengundi Sungai Limau memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, beliau akan cuba sedaya upaya berbakti kepada masyarakat, seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak.

"Terpilihnya saya sebagai calon, mungkin Allah mahu buka ruang yang lebih untuk saya berbakti kepada masyarakat dengan lebih luas.

"Saya berharap Allah beri kekuatan untuk saya  berbakti di Dun Sungai Limau ini tanpa membezakan fahaman politik seperti yang dibawa ulama terdahulu.

"Saya mengharapkan dan merayu ibu, bapa, tok wan, tok sekalian supaya dapat mengekalkan kemenangan PAS di Sungai Limau," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Pada program semalam juga, seramai empat orang warga tua diraikan hari jadi mereka dengan acara memotong kek.

Azam sendiri sempat menyuapkan kek kepada beberapa warga tua pada program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah PRK Sungai Limau Datuk Mahfuz Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah pada sidang media hari ini berkata, rata-rata pengundi warga emas yang ditemui menyokong Azam sebagai calon PAS.

Katanya, setakat ini pengundi Sungai Limau memberikan sambutan yang baik terhadap kempen PAS.

"Kempen setakat hari ini cukup baik dan saya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan pengundi di Dun Sungai Limau.

"Ada tempat yang duku kita tak boleh masuk sekarang boleh masuk dan ini perkembangan yang cukup membanggakan.

"Orang tua cukup berkenan dengan Ustaz Azam ini macam anak cucu mereka sebab mereka pernah mengaji dengan tok dia, dengan tok wan dia.

"Anak muda pun gembira dengan calon yang memenuhi cita rasa mereka," katanya.

Datuk Azam, Hamid Ibrahim pernah bertanding di Dun Sungai Limau yang dahulunya dikenali dengan Dun Sala pada Pilihan Raya Umum tahun 1959.

Azam merupakan anak didik politik kepada bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar dan kini menjawat jawatan Pengarah Jabatan PASTI negeri dan juga Exco Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK).

Bajet 2014: Ulang tayang filem lama

Shirzad Lifeboat, 27 Okt 2013
DIAM tak diam, ini adalah kali ke-5 Datuk Seri Mohd Najib Razak membentangkan bajet negara atas kedudukannya selaku Menteri Kewangan.


Maknanya sudah empat tahun lamanya dia memegang portfolio berkenaan.

Bagi seseorang dalam waktu sama memegang portfolio lain, apatah lagi selaku Perdana Menteri, apakah ada ruang bagi membolehkannya merancang ekonomi negara secara efektif?

Justeru menerusi empat bajet tahunan lalu apakah kita telah menyaksikan terlaksananya pelbagai transformasi dan perubahan positif lain dalam perlaksanaan?

Tanyalah masyarakat luar bandar – nelayan, petani, penoreh, pengusaha sendiri dan sebagainya – apakah kehidupan mereka mengalami ‘langkauan ke depan besar’ (a great leap forward) sebaik sahaja Najib melantik dirinya sendiri selaku Menteri Kewangan empat tahun lalu?

Selepas Abdullah Ahmad Badawi mempersiapkan pentas untuk Najib beraksi di persada kewangan negara, ramai meletakkan harapan  kepada Najib, selaku pemimpin yang sekurang-kurangnya ada kefahaman asas tentang ekonomi dan untuk setidak-tidaknya memperbetulkan huru-hara ekonomi warisan Pak Lah.


‘Habuk pun tarak’

Kini setelah lima bajet,  kita semakin faham, Najib lebih banyak menyembunyikan handicap kemampuannya dalam perancangan dan urus tadbir ekonomi negara  di sebalik kata-kata dan tema berbunyi gah serta perkataan teknikal mengenai ekonomi yang boleh melopongkan mulut orang kampung.  Walhal realitinyanya ‘habuk pun tarak’.

Bagi Bajet 2014 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu, berlatarbelakangkan  keterujaan rakyat yang kian memudar serta keyakinan semakin terhakis,  Najib berdiri di hadapan dewan penuh dan membentangkan bajet tahun depan dengan disangkakannya disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi siaran langsung.

Namun, besar kemungkinan Najib tidak menyedari zaman di mana rakyat begitu khusyuk  mengikuti ayat demi ayat ucapan bajet telah lama berlalu.  Malah kebanyakan mereka meneruskan apa juga tugas rutin masing-masing.  Tidak kurang merasakan tidur lebih mendatangkan manfaat berbanding mengikuti ucapan bajet negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Najib membuka ucapannya dengan memetik sepotong ayat dari Surah A-Qasas.  Tidak diketahui apakah matlamat dia berbuat demikian. Namun, tanpa mengulas atau menghuraikan maksud ayat dalam konteks bajet yang akan dibentangkan Najib memetik kata hikmah kononnya dari para pujangga. Sukar untuk memastikan pujangga mana dimaksudkan Najib atau apakah kata-kata tersebut hanyalah ciptaan beliau atau juga ciptaan penulis ucapannya.

Sebaliknya apa yang pasti, setelah ucapan berakhir, sebagaimana biasa dari peruntukan perbelanjaan sebanyak RM262.2 bilion, hanya pecahan kecil sahaja yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat. Paling ketara adalah BRIM dan pemberian tunai lain serta perubahan kepada siling pendapatan individu yang mewajibkan cukai pendapatan di bayar.


Pelepasan cukai

Bagaimanapun, penurunan sedemikian dilihat sebagai tidaklah memberikan impak ketara kepada golongan berpendapatan antara RM4000 hingga barangkali RM7000 sebulan yang mana mewakili antara sektor pendapatan terbesar buruh Malaysia.  Malah pelepasan cukai pendapatan bagi 300,000 orang yang berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan juga dianggap hanya memberi kesan paling marginal kepada ekonomi mereka.

Tidak sukar melihat bagaimana dana individu yang sepatutnya terselamat daripada membayar cukai berkanun ini akhirnya terpaksa juga digunakan dan ditambah lagi bagi menampung kenaikan harga barangan lain serta pengurangan subsidi bagi sesetengah barangan keperluan harian.

Sedia terkandung dalam Bajet 2014 adalah pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.34 kepada RM2.84 satu kilogram berkuatkuasa serta merta.  Ini belum lagi mengambil kira cukai GST yang akan, menurut ucapan Najib, akan ditetapkan pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.

Walaupun menurut Najib dalam ucapan Bajetnya itu  pelaksanaan GST akan menghapuskan Cukai Jualan (6 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (10 peratus),  tidak ada janji dan komitmen kerajaan tidak menaikkan cukai berkenaan dan tidak juga ada jaminan harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan.

Benar,  kerajaan berjanji tidak menaikkan dan mengenakan cukai GST kepada sesetengah barangan utama seperti minyak masak, rempah, ikan masin, beras, tepung gandum dan sebagainya. Namun, sekali lagi tidak ada jaminan sekiranya barangan tersebut tidak mengalami kenaikan harga.

Ramai melihat sekiranya soal kenaikan harga adalah tidak berkaitan bagi barangan disebutkan itu, manfaat ekonomi yang boleh diterima oleh rakyat di peringkat individu bukan sahaja terlalu sedikit tetapi keperluan membayar cukai GST untuk barangan lain pada harga baru akan turut menjejaskan secara keseluruhannya.  Tidak ada sesiapa di Malaysia menjalankan kehidupan dengan hanya beras, rempah dan ikan masin sahaja.


Untungkan peniaga dan warga korporat

Tanpa menyentuhkan persoalan kesukaran kerajaan memungut Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang dibayar terus oleh rakyat kepada peniaga tatkala pembelian dilakukan,  rata-rata Bajet 2014, sebagaimana juga bajet tahun-tahun sudah, ia dilihat sebagai lebih banyak menguntungkan peniaga dan warga korporat.  Turut disebut dalam ucapan bajet Najib ialah penurunan cukai korporat dari 25 kepada 24 peratus setahun.

Turut sama meraih manfaat dari Bajet ini sudah tentulah gologan individu dan perniagaan dalam sektor pembangunan termasuk pembekal, kontraktor dan sesiapa sahaja yang mungkin terlibat sebagai orang tengah dan sebagainya.

Untuk tahun fiskal 2014, kerajaan Najib memperuntukkan RM46.5 bilion untuk pembangunan,  diterjemahkan sebagai pembinaan pelbagai infrastruktur, tidak kira sama ada bakal memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya, atau sebagai pelaburan golongan tertentu dalam bentuk pungutan tol lebuh raya atau laluan pintas.

Tanpa memberikan alasan jelas dan kukuh, Najib menganggarkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri lebih kukuh bagi tahun fiskal berkenaan di antara 5.0 hingga 5.5 peratus.  Namun, angka ini mungkin sedap di dengar oleh rakyat luar bandar yang tidak berapa terdedah kepada realiti ekonomi Malaysia sejak, mungkin sedekad lalu. Namun, bagi mereka yang lebih bermaklum,  dalam keadaan kini, negara boleh dikira bernasib baik sekiranya mampu mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus.

Barangan buatan atau dipasang di Malaysia dikatakan akan menikmati anjakan eksport pada kadar 2.5 peratus.  Begitupun sebagai terbukti dalam bajet tahun sudah-sudah,  unjuran ini lazimnya jauh dari sasaran berpunca sama ada dari kenanikan kos pengeluaran, perubahan iklim ekonomi global atau tercetusnya krisis ekonomi dan kewangan di negara pengimport.  Dulupun kerajaan BN sentiasa menganggar kenaikan eksport dalam bajet tahunan tetapi akhirnya bukan sahaja ia tidak mencatatkan kenaikan malah mengalami pengucupan ketara.

Sektor pembinaan juga dikatakan bakal menikmati kenaikan 9.6 peratus.  Berasaskan harga bahan binaan yang diboleh dikatakan tidak sama sekali terkawal, dan dasar-mesra kerajaan kepada bank komersil dalam melayan mekanisme pinjaman perumahan ia sudah tentu mewujudkan suasana menang-menang kepada semua terlibat kecuali bebenan besar kepada pengguna apabila kadar faedah terpaksa dibayar jauh mengatasi harga pokok rumah dibeli.


pendapatan perkapita naik?

Keyakinan Najib bahawa pendapatan per kapita bagi 2014 bakal menyaksikan pencapaian RM34,146 berbanding  RM24,879 pada 2009 juga disangsikan.  Dalam keadaan pendapatan sebenar merosot akibat kenaikan pelbagai kos dan pengurangan pelbagai subsidi, tidak ramai rakyat Malaysia merasakan pendapatan mereka bertambah dari tahun ke tahun.

Menurut Najib,  bagi tahun fiskal 2014, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM224.1 bilion sementara sejumlah  RM264.2 bilion bakal dibelanjakan.  Jika anggaran hasil bertepatan seperti ramalan dan tiada rang-rang undang perbekalan tambahan dibentangkan sepanjang tahun 2014 (yang mana kemungkinannya amat kecil),  bermakna Bajet 2014 mencatatkan defisit RM38.1 bilion.

Terdapat pelbagai cara bagi menampung defist tersebut.  Opsyen pertama adalah membuat pinjaman luar sama ada dengan cara pinjaman terus atau pengeluaran bon kerajaan.  Opsyen kedua adalah menaikkan pelbagai cukai sedikit demi sedikit sepanjang tahun.  Dan opsyen ketika ialah mengurangkan lagi subsidi minyak dan lain-lain barangan utama.

Dalam ucapan bajetnya itu Najib tidak ketinggalan menyebut kemungkinan negara mencapai status negara maju pada 2020.  Namun, berdasarkan pertumbuhan tahunan ekonomi lebih sedekad lalu yang jarang melepasi angka  6 peratus setahun, pelbagai defisit yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, serta pengurusan dan urus-tadbir ekonomi yang menyaksikan nisbah hutang kepada KDNK menghampiri had dibenarkan undang-undang serta hutang isi rumah antara tertinggi di dunia, ramai pemerhati ekonomi menyangsikan sama ada negara atau rakyatnya boleh mencapai status tersebut.

Tidak banyak keterujaan tentang Bajet 2010.  Ia hanyalah sekadar ulangan kepada pemberitahuan awam mengenai bagaimana kerajaan mahu membelanjakan wang tanpa sebarang impak besar sama ada kepada ekonomi negara mahupun rakyat.  Ia adalah filem lama yang ditayangkan semula.

Perwakilan mahu Gerakan tinggalkan BN

Harakahdaily, 27 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ekoran kekalahan teruk dalam pilihan raya umum ke-13, beberapa perwakilan di persidangan perwakilan nasional Gerakan hari ini mempersoalkan hubungan parti itu dengan rakan komponen Umno dan ada juga yang menggesa parti itu supaya meninggalkan BN, lapor Malaysiakini.

Anggota perwakilan dari Johor, Tan Lai Soon merasakan Gerakan tidak diberi penghormatan sepatutnya sebagai rakan dalam BN.

"Kita tidak boleh lagi memberi alasan - bahawa jika kita diberi jawatan (dalam kerajaan), maka Umno melayan kita dengan baik. Ini tidak boleh diterima.

"Adakah resolusi Gerakan sedang dikaji dan diambil kira oleh kerajaan yang diterajui Umno untuk dilaksanakan sebagai dasar negara? Saya rasa tidak," tegasnya.

Jadi, tegas Tan, apa gunanya setiap tahun di mesyuarat agung tahunan, resolusi yang baik dan munasabah, selepas dicadangkan dan diluluskan, tidak diendahkan oleh kerajaan.

Selain itu katanya, apabila MCA memutuskan untuk tidak menerima  jawatan dalam kerajaan walaupun Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin telah memperuntukkan dua jawatan untuk MCA, maka tanggapannya salah satu daripada jawatan itu akan diberikan kepada Gerakan.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan dan sebaliknya, Adun MCA Pulai Sebatang, Tee Siew Kiong dilantik ke jawatan itu, manakala Adun tunggal Gerakan di negeri ini, Lau Chin Hoon, tidak diberi sebarang jawatan .

Menteri besar Johor, tegas Tan, telah berkata 'tidak' kepada Gerakan dan Tan mendakwa Umno tidak pernah bekerja bersama-sama dengan Gerakan.

Oleh itu tegasnya, apabila mereka mengatakan tidak kepada Gerakan, maka mengapa parti itu masih mahu menyokong mereka secara membuta tuli.

Tan berkata, apabila Gerakan menyertai Perikatan untuk membentuk BN pada tahun 1974, parti itu membantu mengukuhkan kuasa parti pemerintah, namun kini perkara itu telah dilupakan.

Ketika ditemui selepas ucapannya, Tan menegaskan tidak ada sebab untuk Gerakan terus kekal dalam BN jika ia tidak dilayan sebagai rakan kongsi yang saksama.

Menurut Tan, ramai pemimpin akar umbi parti itu berkongsi pandangan beliau.

Tiada ulasan: