Selasa, 29 Oktober 2013

MANA RAKYAT DIDULUKAN....JANGAN DILEMBUKAN DAH

Pemuda PAS serah memo desak Muhyiddin minta maaf

Bashir Ishak, 29 Okt 2013


ALOR SETAR: Pemuda PAS Kampung Bukit Choras hari ini menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin YaSsin mendesak beliau memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di atas kenyataan yang telah dibuatnya berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau pada 26 Oktober lalu.

Ketuanya, Zamri Saidin berkata beliau amat begitu terguris hati dengan kenyataan yang telah dibuat Muhyiddin itu yang telah mengaitkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi gula dalam Bajet 2014 dengan penderitaan Allahyarham Ustaz Azizan, berikutan prosedur pemotongan kedua-dua belah kakinya akibat penyakit diabetes.

"Sesungguhnya ucapan Muhyidin itu telah menyentuh sanubari kami pemuda PAS yang masih bersedih  dan masih pilu dengan kehilangan insan yang  kami sayangi. Air mata kami belum kering mengenangkan Ustaz Azizan dan kerinduan kami kepada Allahyarham masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

"Kehilangan Allahyarham terlalu besar buat kami. Atas alasan apa sekalipun, dalam suasana pilu yang sedang kami hadapi, kami tidak dapat menerima ucapan dan sandaran dari Muhyiddin itu," katanya.

Tegasnya lagi, kenaikan harga gula itu sebenarnya adalah untuk mengurangkan beban kerajaan, bukannya untuk mengurangkan jumlah pengidap diabetes.

"Hal ini diketahui oleh seluruh rakyat. Muhydidin tidak wajar sama sekali menyeret penderitaan Allahyarham Ustaz Azizan sebagai modal politik BN dalam PRK Sg. Limau ini. Pihak kami amat terguris dan sedih berikutan ucapan yang kami kira telah terkeluar daripada etika politik harmoni yang dilaungkan oleh pihaknya sendiri.

"Untuk itu, kami memohon YAB TPM yang kami hormati, agar memohon maaf segera secara terbuka kepada seluruh keluarga Allahyarham Ustaz Azizan dan ahli  PAS seluruh negara serta rakyat yang telah tersinggung dengan ucapan itu," jelasnya.

Penyerahan memorandum tersebut dibuat selepas Muhyiddin dan rombongannya selesai menunaikan solat asar di Masjid Bukit Choras petang tadi.

Turut hadir menyerahkan memorandum tersebut, Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Nasir Zakaria

Akhirnya Muhyiddin mohon maaf

http://ini-kalilah.blogspot.com, 29 Okt 2013

GEMPAR!!! Akhirnya Muhyiddin Mohon Maaf [SAKSIKAN...]

GEMPAR!!! Akhirnya Muhyiddin Mohon Maaf [SAKSIKAN...]

YAN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf kepada keluarga Tan Sri Azizan Abdul Razak jika ucapannya tempoh hari mengguris perasaan mereka.

Sebagai umat Islam, beliau memohon maaf walaupun ucapannya pada majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Limau beberapa hari lalu dipetik oleh portal berita di luar konteks sebenar.


Baca di sini

Integriti: 30% CeiO tidak laksana tugas sepatutnya

., 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 peratus pegawai daripada pelbagai sektor yang telah menjalani Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) tidak menjalankan tugas sepatutnya dan berkaitan integriti setelah kembali ke organisasi masing-masing.

Berikutan itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menyeru supaya ketua-ketua jabatan meletakkan pegawai yang telah menyertai kursus CeIO menjalankan tugas-tugas berkaitan integriti.

Katanya berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) terhadap 150 pegawai yang mengikuti program tersebut, hanya 70 peratus sahaja ditempatkan di posisi yang betul.

"Jumlah 70 peratus ini adalah mereka (CeIO) yang telah menjadi pegawai integriti atau menjalankan tugas-tugas berkaitan integriti di jabatan masing-masing.

"Bagaimanapun, 30 peratus daripadanya tersasar, apabila tidak melakukan tugas-tugas berkaitan integriti setelah pulang ke agensi masing-masing," katanya ketika
berucap merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Pegawai Integriti Bertauliah Siri 5 Bil 2/2013.

Beliau berkata ia adalah satu kerugian yang besar apabila kepakaran dan kemahiran berkaitan CeIO yang diperolehi ini tidak dimanfaatkan organisasi.

Katanya, ini kerana pegawai-pegawai yang menyertai program CeIO telah didedahkan dengan peraturan dan undang-undang yang boleh digunakan di kementerian masing-masing.

"Apabila kembali bertugas pegawai-pegawai ini boleh membantu jabatan mereka melaksanakan tugas dengan betul, tegah dan beri nasihat.

"Contohnya dalam kes berkaitan Laporan Audit, sekiranya ada pegawai-pegawai ini (CeiO), sekurang-kurangnya mereka boleh beri nasihat dan bantu jabatan.

"Saya percaya sekiranya mereka diberi peluang beri nasihat, ia boleh mengelakkan salah laku dalam perolehan seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara," katanya.

Program CeiO dirangka khusus untuk melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah bagi menjalankan tugas berkaitan integriti dalam memantapkan penyampaian perkhidmatanawam dan swasta.

Seramai 35 orang peserta telah mengikuti program latihan kali ini yang diadakan dari 15 Julai hingga 29 Oktober tahun ini.

Shukri turut memaklumkan bahawa pihak akademi menerima banyak permohonan kementerian, agensi, badan berkanun,GLC dan swasta untuk menghantar pegawai menyertai program itu.

Katanya, ia merupakan perubahan yang positif di mana ketua-ketua jabatan integriti sebagai suatu perkara yang penting dalam organisasi masing-masing.

"SPRM berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan CeiO ini di tempat yang sewajarnya dan kita ingin beri pengiktirafan kepada mereka.

"Dan usaha kita ini telah diiktiraf oleh kerajaan di mana Pekeliling Perkhidmatan Kerajaan bil. 6/2013 telah dikeluarkan berkuatkuasa 1 Ogos 2013 yang mewajibkan pegawai Integriti perlu mempunyai kelayakkan sebagai CeIO," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Bahrin Mohd Jamil.

Penghulu program latihan kali ini, Azmal Azaddin turut memaklumkan penubuhan Persatuan CeiO yang telah didaftarkan secara rasmi bagi membantu SPRM memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan integriti.

Pemuda PAS dan cabaran baru

Abdul Shukur Harun , 29 Okt 2013
Sangat menarik melihatkan demikian ramai yang bakal dicalonkan dalam pemilihan saf pimpinan Pemuda PAS Pusat di Muktamar Pemuda November ini, menunjukkan ramai yang berminat untuk mengambil peranan penting dalam kepimpinan Pemuda di masa depan.

Pemuda ialah sayap penting PAS, terutama kerana ia bakal mewarisi kepimpinan PAS akan datang, bukan saja kerana umur mereka yang masih muda, tetapi juga tentunya berilmu dan mempunyai daya juang yang tinggi, sanggup menghadapi cabaran dan sebagainya.

Pemuda PAS dalam sejarahnya pernah dipimpin oleh para tokoh yang berwibawa, antaranya Datuk Haji Mustafa Ali, Haji Muhamad Sabu, Ustaz Abu Bakar Cik, Ir. Khalid Samad dan lain-lain, membawalah kepada Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Ustaz Nasrudin Tantawi.

Tetapi suasana di zaman pimpinan Pemuda di masa lalu sangat jauh berbeza dengan suasana masa kini, baik mengenai cita rasa generasi muda, percaturan politiknya, malah keseluruhan cabaran masa kini. Justeru pimpinan Pemuda sewajarnyalah memahami dan menangani perubahan ini sebijaksana mungkin.

Dalam suasana begini, Dewan Pemuda PAS tidak wajar lagi dilihat menjadi bayangan Dewan Ulama, justeru Dewan Ulama mempunyai identiti dan fungsinya sendiri, sementara Dewan Pemuda pula sewajarnya mempunyai identiti dan peranannya sendiri. Ia perlu menjadi prime-mover, atau penggerak utama masyarakat, terutama generasi baru dengan gerak kerjanya yang tersendiri.

Ia tidak boleh lagi berfikir dan bekerja dengan pemikiran dan kerangka konvensional, memenuhi dan mengulangi cara bekerja yang biasa dilakukan di masa lalu tetapi ia perlu meneroka daerah baru, membuka dimensi baru di medan perjuangan. Bukan lagi sekedar menunjukkan protes di sana sini akan apa yang bertentangan dengan agama, tradisi dan sebagainya, tetapi bertindak dengan bijaksana menangani isu-isu yang berbangkit itu Malah Pemuda perlu memberikan pandangan alternatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalam masyarakat.

Di sama pelbagai kelompok anak muda yang perlu disantuni. Ada golongan yang terpisah langsung dengan politik, ada golongan muda yang faham akan tanggungjawab mereka untuk membina sebuah masyarakat adil dan menghayati demokrasi, ada golongan muda yang sangat prihatin dengan agama, ada yang terjebak dengan pelbagai masalah tekanan di tempat kerja, masalah hutang yang memerangkap mereka, masalah keluarga dan pelbagai lagi.

Dalam masa yang sama Pemuda akan menyaksikan sistem nilai berbeza yang amat ketara antara golongan generasi baru dengan generasi lama yang tentunya sangat memerlukan segala kebijaksanaan Pemuda untuk menanganinya.

Di sini bukanlah masalah Pemuda PAS perlu memakai jubah dan ketayap, atau memakai kot dan tali leher, ataupun berbush-jeket untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang pelbagai itu. Tetapi yang penting ialah apa yang ada dalam kepala - pemikiran, idea dan kebijaksanaan Pemuda – untuk mendepani suasana yang ada di sekeliling.

Di sini saya menyebutkan dua contoh anak muda yang sangat warak, berani dan bijaksana - Tariq ibn Ziyad dan Muhammad al-Fatih. Dalam umur, 22 tahun menurut suatu riwayat, Tariq telah memimpin pasukan tenteranya dari Morocco menyeberang selat Gibraltar.yang dilatari bukit bukau lalu mendarat dan menawaan Andalusia/Kordova, Spanyol di zaman Khalifah Ummayah.

Bukan saja beliau membebaskan Andalusia dari pemerintahan Kristian, tetapi setelah menjadi gabenor di sana, beliau telah melakukan pencerahan dengan menegakkan keadilan dan kebebasan. Akhirnya demikian ramai orang Kristian di Andalusia memeluk Islam secara sukarela.

Demikian juga dengan Muhammad al-Fatih yang menjadi Sultan yang memerintah Daulah Uthmaniyyah dalam masa singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Keistimewaan Muhammad al-Fatih ialah menakluk Constantinople (Istanbul) pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Kristian Byzantine.

Sesudah membebaskan Constantinople beliau menerapkan nilai Islam, menegakkan keadilan dan hak asasi rakyat merentasi kepercayaan agama serta menjaga kebajikan rakyat.

Ini dua contoh bagaimana pimpinan pemuda yang warak, berani dan bijaksana melaksanakan perjuangan. Keduanya meneroka wilayah baru, mengadakan pencerahan, memberikan keadilan dan hak asasi rakyat tanpa mengira keturunan dan agama. Di samping itu sangat peduli akan kebajikan rakyat.

Oleh itu, yang perlu dicontohi oleh Pemuda PAS dalam dua peristiwa ini ialah kewarakan, keberanian dan kebijaksanaan. Ini kunci kejayaan Tariq Ibn Ziyad dan Muhammad al-Fatih. Oleh itu dalam semua hal, selain dari warak dan berani, yang juga sangat penting ialah kebijaksanaan. Kerana itu dalam usaha Pemuda PAS mahu mencapai kejayaan dalam perjuangan ia perlu memiliki kebijaksanaan. Semakin besar cabaran, maka semakin diperlukan kebijaksanaan.

Dengan suasana masyarakat majmuk di Malaysia demikian rupa maka tentunya sensitiviti semua pihak sangat perlu dijaga. Tetapi dengan sifat wasatiyah – sederhana, seimbang, pertengahan – yang dimiliki oleh Islam, saya kira, Pemuda PAS tidak sukar berinteraksi dengan pelbagai kaum dan agama di negara ini. Lebih-lebih lagi PAS sendiri bukan sebuah parti perkauman, malah berslogankan ‘PAS For All’.

Tentunya Pemuda PAS memahami maksud ‘PAS For All’ yang bermakna PAS terbuka kepada semua rakyat Malaysia, di mana mereka yang bukan beragama Islam ada ruang menyokong perjuangan PAS melalui ‘Himpunan Penyokong PAS’ di bawah Lajnah Perpaduan Nasional pimpinan Dr. Mujahid Yusof Rawa. Pemuda sewajarnya memanfaatkan lajnah ini untuk berinteraksi dengan golongan bukan Islam.

Memang Dewan Pemuda tetap kekal dengan fungsi utamanya - berada di barisan depan membela Islam, tetapi dalam masa yang sama ia juga mesti dilihat berjuang menegakkan keadilan merentasi kaum dan agama. Di sinilah sekali lagi sangat diperlukan kebijaksanaan Pemuda PAS dan di sinilah juga wajar diperlihatkannya dengan nyata pengertian wasatiyah yang disebut di dalam Al-Quran.

Jika ini berjaya dilakukannya, maka tidak dapat tiada Pemuda PAS memiliki kebijaksanaan, keberanian dan keunggulan.

Muktamar Pemuda dan seterusnya muktamar penuh akan menyaksikan siapakah bakal memimpin Pemuda yang akan dipilih, justeru mereka memikul amanah yang demikian penting. Maka itu di sinilah, hak perwakilan memilih saf pimpinan Pemuda yang paling terbaik dari yang sekian ramai yang terbaik.

GST, siapa yang mahu?

Irfan ES,
Media kawalan rejim yang memerintah akan melakukan bermacam-macam perkara bagi membina persepsi bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah adalah bagus dan diterima oleh rakyat.

Perhatikan muka hadapan akhbar The Star hari ini (28 Oktober 2013) bertajuk ‘Add More Items, Please!’ (Tolong Tambah Lebih Banyak Barangan!) yang memberitakan kononnya para pengguna meminta agar kerajaan menambah lebih banyak jenis produk yang dikecualikan daripada GST (goods and services tax – cukai barangan dan perkhidmatan).

Ia menunjukkan seolah-olah rakyat bersetuju dengan GST, manakala kerajaan pula digambarkan sedia menerima maklum balas dan cadangan daripada orang ramai berkenaan barangan mana yang boleh dipilih untuk tidak dikenakan cukai.

Sejak bila pula rakyat bersetuju dengan GST?

Buat apa hendak dicukai orang ramai – para petani, para nelayan, peniaga-peniaga kecil, masyarakat kelas bawahan dan pertengahan dan sebagainya – bagi menanggung kos segala ketirisan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah?

Rakyat yang bijak bukan mahukan agar lebih banyak barangan dikecualikan daripada GST. Rakyat yang bijak mahukan agar GST dimansuhkan terus!

Tuntutan COMANGO sentuh sensitiviti umat Islam

., 24 Okt 2013

1. Setiap 4 tahun, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) akan mengkaji dan meneliti perkembangan serta prestasi isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia sejak tahun 2009 terhadap 193 buah negara-negara PBB termasuk Malaysia. Ia disebut sebagai Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia.

2. The Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO) yang terdiri daripada 54 pertubuhan telah menyediakan satu laporan mengenai pelbagai isu-isu hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia dan telah menyerahkannya kepada PBB bagi tujuan penelitian. Sesi kajian dan penelitian ini akan berlangsung hari ini (24 Oktober 2013) di Human Rights Council, Geneva, Switzerland.

3. Terdapat beberapa tuntutan dan desakan daripada COMANGO yang menimbulkan kontroversi sepertimana yang dilaporkan dalam laporan tersebut. Berikut ialah tuntutan-tuntutan tersebut;

a. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama). Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti.

b. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.

c. Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT). Implikasi perkara ini akan membawa kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

4. Kritikan kami:

a] COMANGO tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara.

b] COMANGO telah meletakkan Malaysia termasuk institusi agama Islam di bawah pantauan PBB.

c] COMANGO mencampuri urusan agama dan mencabar kemuliaan ummat Islam apabila mereka mendesak supaya membenarkan amalan hidup songsang seperti LGBT.

5. Justeru itu kami DPPM tegaskan supaya Kerajaan jangan tunduk kepada desakan sedemikian. Pada sessi sidang yang lepas, YB Ust. Nik Mohamad Abduh telah memberi penegasan serupa dalam ucapan beliau di Parlimen Malaysia agar Kerajaan Malaysia tidak tunduk kepada desakan pihak COMANGO ini.

Nasrudin bin Hassan
Kenyataan di Bangunan Parlimen Malaysia

Kalimah Allah, mana atas antara mahkamah dan kabinet?

Subky Latif, 26 Okt 2013
Terkejut, takjub dan terkedu semua apabila Perdana Menteri Najib memaklumkan bahawa kabinet mentafsirkan larangan penggunaan kalimah Allah bagi agama lain selain  Islam tidak terpakai  di Sarawak dan Sabah.

Apa kaum dan agama di dua negeri itu boleh menggunakan kalimah itu.

Apakah tafsiran atas keputusan mahkamah itu tepat, mahkamah dan ahli undang-undang layak mentakwilnya.

Persoalannya sekarang pada tanggapan orang awam, siapa  antara mahkamah dan  kabinet menteri lebih atas atau lebih berkuasa dalam mentafsirkan persoalan perundangan.

Kabinet mendapati keputusan mahkamah yanag melarang orang lain selain dari Islam tidak menyentuh amalan  di Sarawak dan Sabah. Sedang fahaman umum atas keputusan  itu adalah untuk semua wilayah Malaysia.

Dari penjelasan Perdana Menteri itu boleh diertikan bahawa dalam penggunaan kalimah Allah, Malaysia menjadi stu negara dua sistem seperti komunis bagi Negeri China. Sistem komunis terpakai di semua  wilayah China kecuali Hong Kong.

Selama-lamanya orang memahamkan bahawa mahkamah punya kuasa teratas dalam mentafsirkan undang-undang. Maka sekarang kabinet boleh mengatasi mahkamah.

Apakah keputusan terakhir mahkamah atas penggunaan kalimah Allah bagi agama lain itu tepat atau tidak, memang tiada reaksi yang sepakat. Ulama sendiri berbeza pendapat tentang penggunaannya.

Ulama konservatif di Malaysia rata-rata mengira ia ekskulusif untuk orang Islam saja, manakala pandangan kedua merujuk kepada pandangan ulama tersohor dunia sekarang Syikh Yusuf al-Qardawi ada hujah bahawa Ia boleh diguna oleh semua dengan syarat-syaratnya.

Kerajaan tiada pendirian atas masalah ini. Ia membenarkan perkara ini dirujuk kepada mahkamah. Sepatutnya kerajaan membuat kajian mendalam sebelum membenarkan mahkamah memutuskannya.

Ulama yang berbeza pandangan tidak diminta oleh kerajaan mengadakan muzakarah bagi menelilti isu ini. Ulama yang berbeza pandangan itu pula masing-masing tidak tampil memberi penjelasan dan keterangan yang secukupnya.

Universiti-universiti yang ada fakulti Islam tidak menganjurkan seminar atau multaqa membincang dari sudut ilmiah dan kemuslihatannya supaya sekalian yang terdidik dalam Islam dapat menelliti  dan memahaminya.

Mufti tiap-tiap negeri sepatutnya membuat kajian mendalam menasihatkan Sultan membuat dikri melarangnya jika ia menimbulkan huru-hara. Raja yang memegang kuasa tertinggi tentang Islam boleh mengeluarkan dikri seperti yang cuba ditunjukkan oleh Sultan Selangor.

Jika ia dibimbangi boleh menimbulkan huruhara, maka Yang Dipertuan Agong berkuasa memerintahkan sesuatu mengenainya supaya orang tidak membuat keputusan pergi ke mahkamah atau mengeluarkan pendapat orang  Islam murtad jika menolak keputusan mahkamah.

Kerajaan tidak sekadar membenarkan hal itu dibawa ke mahkamah, malah membenar umat Islam yang solat Jumaat menjelang sidang mahkamah solat hajat, mohon Allah membenarkan orang Islam saja boleh menggunakan kalimah itu di Malaysia. Ratus ribu umat Islam solat hajat. Saya tidak tahu di mana Najib, Muhyiddin Yasin dan menteri-menteri Islam solat Jumaat hari itu?

Allah pun membuka pintu hati hakim melarang orang bukan Islam menggunakannya. Semua pembesar Islam menasihatkan semua pihak menerima keputusan mahkamah. Noh Gadot, penasihat agama Islam Johor dikatakan berkata, siapa menolak keputusan mahkamah murtad.

Tiba-tiba kabinet kata, keputusan mahkamah itu laku  di Semenanjung saja.

Apapun solat hajat tadi tetap satu ibadat. Semuanya dapat pahala.  Ternyata kerajaan BN tak tahu apa yang dibuatnya. Setalah ia menyaksikan solat hajat dimakbulkan, ia kata buat ijtihad ia bukan untuk Sabah dan Sarawak.

Kita ingat mahkamah tak lut. Rupanya ia lut juga.

Detik paling sesuai saya berundur

Nasrudin Hassan, 28 Okt 2013
بسم الله الرحمن الرحيم
1. Setelah 28 tahun saya berintima' dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bermula sebagai:
[AJK DPP Kawasan Rompin
Ketua DPP Kawasan Rompin
Exco DPP Negeri Pahang
Ketua DPP Negeri Pahang
Exco DPP Malaysia
Ketua DPP Malaysia]

2. Kini tibalah detik paling sesuai saya mengundur diri dari DPPM saat usia menjengah 43 tahun. Semoga segalanya menjadi amal soleh buat diri yang kerdil ini dan diterima oleh Allah swt. Ameen Ya Rabbal A'lamin.

3. Faktor pengunduran:

a] Telah tiba masa yang paling sesuai untuk saya berundur.

b] Memberi laluan kepada adik-adik seperjuangan untuk menyambung baton kepimpinan dan risalah perjuangan ini dengan baik dan jayanya berdepan cabaran yang semakin sengit.

c] Mahu meneroka ruang perjuangan [tarbiyah, dakwah dan siasah] di medan yang lebih luas dan berbeza setelah sekian lama berlumus dengan DPP sejak tahun 1985.

4. Selamat berjuang saya ucapkan buat semua adik-adik dalam DPP disemua peringkat agar berjaya lebih gemilang di masa depan, memacu perjuangan yang tiada sempadannya ini.

5. Maafkan saya atas salah dan silap jua pelbagai kelemahan dan kekurangan diri ini sewaktu sama-sama berjuang dan memimpin DPPM.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia
[sesi 2009-2013]

Bajet 2014: Ulang tayang filem lama

Shirzad Lifeboat, 28 Okt 2013
DIAM tak diam, ini adalah kali ke-5 Datuk Seri Mohd Najib Razak membentangkan bajet negara atas kedudukannya selaku Menteri Kewangan.


Maknanya sudah empat tahun lamanya dia memegang portfolio berkenaan.

Bagi seseorang dalam waktu sama memegang portfolio lain, apatah lagi selaku Perdana Menteri, apakah ada ruang bagi membolehkannya merancang ekonomi negara secara efektif?

Justeru menerusi empat bajet tahunan lalu apakah kita telah menyaksikan terlaksananya pelbagai transformasi dan perubahan positif lain dalam perlaksanaan?

Tanyalah masyarakat luar bandar – nelayan, petani, penoreh, pengusaha sendiri dan sebagainya – apakah kehidupan mereka mengalami ‘langkauan ke depan besar’ (a great leap forward) sebaik sahaja Najib melantik dirinya sendiri selaku Menteri Kewangan empat tahun lalu?

Selepas Abdullah Ahmad Badawi mempersiapkan pentas untuk Najib beraksi di persada kewangan negara, ramai meletakkan harapan  kepada Najib, selaku pemimpin yang sekurang-kurangnya ada kefahaman asas tentang ekonomi dan untuk setidak-tidaknya memperbetulkan huru-hara ekonomi warisan Pak Lah.


‘Habuk pun tarak’

Kini setelah lima bajet,  kita semakin faham, Najib lebih banyak menyembunyikan handicap kemampuannya dalam perancangan dan urus tadbir ekonomi negara  di sebalik kata-kata dan tema berbunyi gah serta perkataan teknikal mengenai ekonomi yang boleh melopongkan mulut orang kampung.  Walhal realitinyanya ‘habuk pun tarak’.

Bagi Bajet 2014 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat lalu, berlatarbelakangkan  keterujaan rakyat yang kian memudar serta keyakinan semakin terhakis,  Najib berdiri di hadapan dewan penuh dan membentangkan bajet tahun depan dengan disangkakannya disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi siaran langsung.

Namun, besar kemungkinan Najib tidak menyedari zaman di mana rakyat begitu khusyuk  mengikuti ayat demi ayat ucapan bajet telah lama berlalu.  Malah kebanyakan mereka meneruskan apa juga tugas rutin masing-masing.  Tidak kurang merasakan tidur lebih mendatangkan manfaat berbanding mengikuti ucapan bajet negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Najib membuka ucapannya dengan memetik sepotong ayat dari Surah A-Qasas.  Tidak diketahui apakah matlamat dia berbuat demikian. Namun, tanpa mengulas atau menghuraikan maksud ayat dalam konteks bajet yang akan dibentangkan Najib memetik kata hikmah kononnya dari para pujangga. Sukar untuk memastikan pujangga mana dimaksudkan Najib atau apakah kata-kata tersebut hanyalah ciptaan beliau atau juga ciptaan penulis ucapannya.

Sebaliknya apa yang pasti, setelah ucapan berakhir, sebagaimana biasa dari peruntukan perbelanjaan sebanyak RM262.2 bilion, hanya pecahan kecil sahaja yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat. Paling ketara adalah BRIM dan pemberian tunai lain serta perubahan kepada siling pendapatan individu yang mewajibkan cukai pendapatan di bayar.


Pelepasan cukai

Bagaimanapun, penurunan sedemikian dilihat sebagai tidaklah memberikan impak ketara kepada golongan berpendapatan antara RM4000 hingga barangkali RM7000 sebulan yang mana mewakili antara sektor pendapatan terbesar buruh Malaysia.  Malah pelepasan cukai pendapatan bagi 300,000 orang yang berpendapatan kurang dari RM4000 sebulan juga dianggap hanya memberi kesan paling marginal kepada ekonomi mereka.

Tidak sukar melihat bagaimana dana individu yang sepatutnya terselamat daripada membayar cukai berkanun ini akhirnya terpaksa juga digunakan dan ditambah lagi bagi menampung kenaikan harga barangan lain serta pengurangan subsidi bagi sesetengah barangan keperluan harian.

Sedia terkandung dalam Bajet 2014 adalah pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.34 kepada RM2.84 satu kilogram berkuatkuasa serta merta.  Ini belum lagi mengambil kira cukai GST yang akan, menurut ucapan Najib, akan ditetapkan pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.

Walaupun menurut Najib dalam ucapan Bajetnya itu  pelaksanaan GST akan menghapuskan Cukai Jualan (6 peratus) dan Cukai Perkhidmatan (10 peratus),  tidak ada janji dan komitmen kerajaan tidak menaikkan cukai berkenaan dan tidak juga ada jaminan harga barangan dan perkhidmatan tidak dinaikkan.

Benar,  kerajaan berjanji tidak menaikkan dan mengenakan cukai GST kepada sesetengah barangan utama seperti minyak masak, rempah, ikan masin, beras, tepung gandum dan sebagainya. Namun, sekali lagi tidak ada jaminan sekiranya barangan tersebut tidak mengalami kenaikan harga.

Ramai melihat sekiranya soal kenaikan harga adalah tidak berkaitan bagi barangan disebutkan itu, manfaat ekonomi yang boleh diterima oleh rakyat di peringkat individu bukan sahaja terlalu sedikit tetapi keperluan membayar cukai GST untuk barangan lain pada harga baru akan turut menjejaskan secara keseluruhannya.  Tidak ada sesiapa di Malaysia menjalankan kehidupan dengan hanya beras, rempah dan ikan masin sahaja.


Untungkan peniaga dan warga korporat

Tanpa menyentuhkan persoalan kesukaran kerajaan memungut Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang dibayar terus oleh rakyat kepada peniaga tatkala pembelian dilakukan,  rata-rata Bajet 2014, sebagaimana juga bajet tahun-tahun sudah, ia dilihat sebagai lebih banyak menguntungkan peniaga dan warga korporat.  Turut disebut dalam ucapan bajet Najib ialah penurunan cukai korporat dari 25 kepada 24 peratus setahun.

Turut sama meraih manfaat dari Bajet ini sudah tentulah gologan individu dan perniagaan dalam sektor pembangunan termasuk pembekal, kontraktor dan sesiapa sahaja yang mungkin terlibat sebagai orang tengah dan sebagainya.

Untuk tahun fiskal 2014, kerajaan Najib memperuntukkan RM46.5 bilion untuk pembangunan,  diterjemahkan sebagai pembinaan pelbagai infrastruktur, tidak kira sama ada bakal memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya, atau sebagai pelaburan golongan tertentu dalam bentuk pungutan tol lebuh raya atau laluan pintas.

Tanpa memberikan alasan jelas dan kukuh, Najib menganggarkan pertumbuhan ekonomi dalam negeri lebih kukuh bagi tahun fiskal berkenaan di antara 5.0 hingga 5.5 peratus.  Namun, angka ini mungkin sedap di dengar oleh rakyat luar bandar yang tidak berapa terdedah kepada realiti ekonomi Malaysia sejak, mungkin sedekad lalu. Namun, bagi mereka yang lebih bermaklum,  dalam keadaan kini, negara boleh dikira bernasib baik sekiranya mampu mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus.

Barangan buatan atau dipasang di Malaysia dikatakan akan menikmati anjakan eksport pada kadar 2.5 peratus.  Begitupun sebagai terbukti dalam bajet tahun sudah-sudah,  unjuran ini lazimnya jauh dari sasaran berpunca sama ada dari kenanikan kos pengeluaran, perubahan iklim ekonomi global atau tercetusnya krisis ekonomi dan kewangan di negara pengimport.  Dulupun kerajaan BN sentiasa menganggar kenaikan eksport dalam bajet tahunan tetapi akhirnya bukan sahaja ia tidak mencatatkan kenaikan malah mengalami pengucupan ketara.

Sektor pembinaan juga dikatakan bakal menikmati kenaikan 9.6 peratus.  Berasaskan harga bahan binaan yang diboleh dikatakan tidak sama sekali terkawal, dan dasar-mesra kerajaan kepada bank komersil dalam melayan mekanisme pinjaman perumahan ia sudah tentu mewujudkan suasana menang-menang kepada semua terlibat kecuali bebenan besar kepada pengguna apabila kadar faedah terpaksa dibayar jauh mengatasi harga pokok rumah dibeli.


pendapatan perkapita naik?

Keyakinan Najib bahawa pendapatan per kapita bagi 2014 bakal menyaksikan pencapaian RM34,146 berbanding  RM24,879 pada 2009 juga disangsikan.  Dalam keadaan pendapatan sebenar merosot akibat kenaikan pelbagai kos dan pengurangan pelbagai subsidi, tidak ramai rakyat Malaysia merasakan pendapatan mereka bertambah dari tahun ke tahun.

Menurut Najib,  bagi tahun fiskal 2014, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM224.1 bilion sementara sejumlah  RM264.2 bilion bakal dibelanjakan.  Jika anggaran hasil bertepatan seperti ramalan dan tiada rang-rang undang perbekalan tambahan dibentangkan sepanjang tahun 2014 (yang mana kemungkinannya amat kecil),  bermakna Bajet 2014 mencatatkan defisit RM38.1 bilion.

Terdapat pelbagai cara bagi menampung defist tersebut.  Opsyen pertama adalah membuat pinjaman luar sama ada dengan cara pinjaman terus atau pengeluaran bon kerajaan.  Opsyen kedua adalah menaikkan pelbagai cukai sedikit demi sedikit sepanjang tahun.  Dan opsyen ketika ialah mengurangkan lagi subsidi minyak dan lain-lain barangan utama.

Dalam ucapan bajetnya itu Najib tidak ketinggalan menyebut kemungkinan negara mencapai status negara maju pada 2020.  Namun, berdasarkan pertumbuhan tahunan ekonomi lebih sedekad lalu yang jarang melepasi angka  6 peratus setahun, pelbagai defisit yang dicatatkan dalam tempoh tersebut, serta pengurusan dan urus-tadbir ekonomi yang menyaksikan nisbah hutang kepada KDNK menghampiri had dibenarkan undang-undang serta hutang isi rumah antara tertinggi di dunia, ramai pemerhati ekonomi menyangsikan sama ada negara atau rakyatnya boleh mencapai status tersebut.

Tidak banyak keterujaan tentang Bajet 2010.  Ia hanyalah sekadar ulangan kepada pemberitahuan awam mengenai bagaimana kerajaan mahu membelanjakan wang tanpa sebarang impak besar sama ada kepada ekonomi negara mahupun rakyat.  Ia adalah filem lama yang ditayangkan semula.

Tiada ulasan: