Jumaat, 25 Oktober 2013

BAJET 2014 DAH KUAR...KESANNYA SENDIRI TANGGUNG

Bajet 2014 tidak ambil kira keperluan rakyat

Saidah Hairan, 25 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melihat Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil kira keperluan rakyat tetapi lebih menguntungkan pihak kerajaan BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, pembentangan tersebut amat tidak seimbang antara kenaikan cukai dengan pendapatan rakyat serta masalah inflasi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar menegaskan tidak ada sebarang perubahan dan pembaharuan yang besar diumumkan dalam pembentangan Bajet 2014.

Dalam pengumuman Bajet tersebut diumumkan subsidi gula sebanyak 34 sen dan akan dimansuhkan berkuatkuasa esok.

Sehubungan itu tegas beliau tidak ada apa-apa yang boleh menggantikan pertambahan kos yang akan ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga gula mulai esok.

"Kita juga dapat menduga harga minyak akan naik walaupun tidak diumumkan dalam Bajet. Kenaikan harga minyak ini akan memberi kesan dan impak negatif segera kepada rakyat," katanya ditemui di lobi Parlimen.

Menurut beliau kenaikan harga minyak yang dijangka selepas pengumuman Bajet itu tidak boleh ditampung dengan pemberian BR1M yang dinaikkan sebanyak RM600.

Bajet 2014 tambah beban, hiba rakyat - Zailah

Saidah Hairan, 25 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pengumuman Bajet 2014 amat menyedihkan rakyat kerana bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga barangan tetapi ditambah dengan pengisytiharan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, kerajaan BN tidak wajar melaksanakan GST dalam keadaan rakyat masih belum bersedia untuk menanggung bebanan tersebut.

Beliau menyelar pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadikan negara-negara maju telah melaksanakan GST.

"Negara-negara maju yang telah melaksanakan GST pendapatan rakyat mereka tinggi contohnya Singapura. Berbanding kedudukan ekonomi rakyat kita yang rendah dan masih berada di paras kemiskinan," katanya.  

Menurut beliau, apabila kerajaan BN melaksanakan GST kesan cukup besar kepada penduduk kampung dan orang miskin sebab apabila semua jenis cukai dikenakan terhadap barangan maka ia melibatkan semua lapisan rakyat.

Di samping itu katanya, apabila kerajaan mansuhkan subsidi gula 34 sen maka ia akan memberi kesan kepada industri makanan khususnya penjual makanan di gerai-gerai kecil iaitu tempat orang miskin mencari pendapatan.

Tambah beliau, BR1M sebanyak RM600 tidak berbaloi dengan bebanan kehidupan rakyat kerana terpaksa menanggung setiap hari dan setiap tahun sedangkan pemberian BR1M hanya setahun sekali.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, bajet kali ini sangat hiba kerana menambahkan bebanan kehidupan rakyat yang memang sudah sedia terbeban.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menegaskan Pakatan Rakyat tidak menyokong pelaksanaan GST sehingga pendapatan rakyat mencapai tahap yang tinggi.

Menurut beliau, jika kerajaan BN mahu melaksanakan GST sebanyak 6 peratus  ia mesti meningkatkan kadar pendapatan rakyat dahulu dengan pengagihan hasil yang banyak.

"Kita tidak sokong perlaksanaan GST sehingga pendapatan rakyat tinggi," katanya ketika ditemui di luar Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan Bajet 2014 yang dibentangkan  masih menunjukkan cara strategi Bajet kerajaan BN pada tahap yang lama.

"Salah satu perkara yang akan saya cadangkan nanti, kerajaan perlu mengkaji bagaimana kos pentadbiran dan birokrasi dapat dikurangkan," katanya.

Ini kerana tambah beliau, setiap tahun terdapat kenaikan perbelanjaan yang tidak menunjukkan satu hasil yang meningkat.

Justeru tegasnya, kerajaan perlu mengkaji semula bagaimana bukan sahaja hasil mesti ditingkatkan tetapi kos cuba disekat daripada kenaikan yang tinggi.

Pencalonan Presiden PAS ditolak bukan dari Marang

Anis Nazri, 25 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi menjelaskan proses pemilihan PAS kali ini mengikut kaedah-kaedah tertentu, khususnya perkara berkaitan penolakan pencalonan.

Bercakap kepada Harakahdaily, jawatankuasa menolak mana-mana borang pencalonan yang didapati tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya yang diterima selepas tarikh tutup, tandatangan yang tidak lengkap, dan kurang jumlah pencalonan.

"Tarikh tutup penerimaan borang pencalonan berakhir pada 20 Oktober lalu. Mana-mana borang yang diterima selepas tarikh tersebut, secara automatiknya ditolak.

"Begitu juga dengan mana-mana calon yang tidak mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan, serta tanda tangan yang tidak lengkap, ia ditolak," jelas beliau.

Menyentuh penolakan borang pencalonan bagi jawatan Presiden PAS, Asmuni menjelaskan penolakan tersebut dilakukan kerana tidak cukup pencalonan, yang mana jawatankuasa menetapkan sekurang-kurangnya setiap pencalonan perlu memperoleh sekurang-kurangnya dua pencalonan.

Bagaimanapun, tegas Asmuni nama mereka yang ditolak pencalonannya tidak akan didedahkan kerana maklumat tersebut bersifat sulit dan persendirian (PnC).

"Namun, yang ingin saya jelaskan di sini, calon bagi jawatan presiden yang ditolak itu bukan datang dari kawasan penyandang jawatan itu, iaitu Marang, seperti yang dilaporkan beberapa media, sebaliknya dari kawasan lain," tegas beliau.

Beliau sebelum itu dihubungi PAS kawasan berkenaan yang terkejut dengan laporan media lain yang menyebut pencalonan yang ditolak bagi jawatan tersebut datang dari kawasan dan negeri kelahiran presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, mengulas jumlah pencalonan yang diterima setiap calon, Asmuni menegaskan perkara tersebut tidak akan didedahkan, dan jumlah pencalonan itu hanya akan dimaklumkan kepada calon-calon untuk pertimbangan mereka selanjutnya.

"Malah, susunan nama calon untuk setiap jawatan yang disenaraikan jawatankuasa juga dibuat mengikut abjad, bukannya berdasarkan jumlah pencalonan tertinggi," jelas beliau lagi.

Semalam, jawatankuasa tersebut mengumumkan senarai calon-calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini.

Pada sidang media tersebut, Asmuni berkata semua calon tersebut perlu memberikan jawapan kepada Jawatankuasa Pemilihan pada 8 November sebelum jam 5 petang, sama ada bersedia untuk bertanding atau menarik diri.

Berbeza dari peraturan sebelum ini, Asmuni menegaskan,  bagi pemilihan kali ini setiap calon perlu memberikan jawapan pada tarikh yang ditetapkan itu.

"Ia berbeza kerana sebelum ini, mana-mana calon yang tidak memberikan jawapan sama ada menerima atau menarik diri, dianggap sebagai terima.  Tetapi, untuk kali ini, kami menetapkan setiap calon yang gagal berbuat demikian (memberi jawapan pengesahan  untuk bertanding) sebagai tidak layak untuk bertanding," tegas beliau.

Muktamar PAS kali ke-59 akan diadakan bermula 22 November hingga 24 November di Shah Alam, Selangor yang menyaksikan para perwakilan akan memilih pemimpin tertinggi parti bagi sesi 2013-2015.

GST rompak duit rakyat, Pemuda PAS serah memo

Muhammad Faizal, 25 Okt 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Memorandum tersebut diserahkan di hadapan laluan masuk ke Parlimen, dalam masa yang sama lebih seratus orang hadir berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan GST yang dijangkakan akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perbentangan Bajet 2014.

Mahfuz dalam ucapan ringkas beliau menjelaskan pelaksanaan GST adalah satu yang tidak wajar dalam keadaan sekarang apabila rakyat dilihat berada dalam kesempitan ekonomi yang teruk.

Katanya lagi, jika kerajaan masih lagi berkeras untuk melaksanakan GST ia dilihat sebagai merompak duit rakyat tanpa kerelaan mereka.

"Saya melihat dalam keadaan rakyat yang terhimpin dengan keadaan ekonomi yang amat teruk selain kenaikan harga barang pelaksanaan GST ini adalah tidak wajar sama sekali.

"Dalam pada itu pelaksanaan GST ini juga umpama kita merompak duit rakyat tanpa kerelaan mereka, duit rakyat diambil tanpa mereka sedar," ucapnya.

Mahfuz yang menegaskan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat akan terus berbahas bagi menentang pelaksanaan GST jika kerajaan menyatakan hasrat mereka untuk melaksanakannya.

Beliau yang turut berterima kasih kepada Pemuda PAS yang menganjurkan himpunan aman sebagai isyarat membantah pelaksanaannya.

Sebelum itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan yang turut berucap bahawa GST ini tidak perlu dilaksanakan jika kerajaan berbelanja dengan lebih berhemah.

Jelasnya, kerana terlalu banyak ketirisan dan penyelewangan berlaku dalam perbelanjaan sekarang sehinggakan kerajaan terpaksa mengambil duit rakyat untuk menampung ketirisan tersebut.

"Bagi saya cukup jelas jika kerajaan dapat berbelanja dengan lebih berhemah, dapat mengawal ketirisan maka GST ini tidak perlu dilaksanakan.

"Tetapi sekarang ketirisan terus berlaku, wang rakyat dibazirkan begitu sahaja dan sebagai usaha untuk menampung ketirisan tersebut maka kerajaan mahu melaksanakannya bagi mengembalikan wang yang telah dibazirkan," ucap beliau.

Beliau yang turut menggesa agar kerajaan membatalkan hasrat pelaksanaan GST kerana tidak mahu rakyat yang berpendapatan rendah terus dibebani dengan pelbagai cukai.

Himpunan aman tersebut berlangsung dengan aman tanpa ada sebarang kekacauan.

Pemuda PAS buat aduan jalan uzur dan rosak

Hazayani Zakaria, 25 Okt 2013
JERAI: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri berhubung jalan raya di beberapa mukim yang uzur dan tidak selamat.

Ketua DPPNK Nasir Zakaria mewakili calon PAS, Azam Samad menyerahkan surat aduan tersebut di pejabat JKR semalam mewakili calon PAS Sungai Limau, Azam Samad.

Menurut beliau, jalan negeri dan persekutuan Mukim Dulang, Mukim Sala Besar dan Mukim Sungai Daun, Yan Kedah rosak dan tidak rata sehingga menyusahkan pengguna jalan raya.

Keadaan jalan, katanya semakin buruk akibat hujan yang sering melanda Kedah.

"Berdasarkan pemantauan saya dan aduan dari pengguna jalan raya yang melalui mukim-mukim tersebut, didapati banyak infrastruktur perhubungan ini telah rosak, berlopak, pecah dan tidak rata.

"Keadaan yang berlaku ini sangat berbahaya kepada pengguna-pengguna jalan tersebut dan penduduk kampung yang menggunakan jalan-jalan ini setiap hari," kata Azam dalam surat aduan tersebut.

Justeru Azam yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS negeri memohon JKR mengambil tindakan segera demi keselesaan pengguna jalan raya.

"Saya memohon kepada pihak tuan segera bertindak untuk membaiki jalan-jalan ini demi kemudahan, keselamatan dan keselesaan seluruh pengguna," katanya.

Turut bersama Nasir menyerahkan surat aduan tersebut ialah Naib Ketua DPPNK, Idrus Ahmad.

PAS tolak sebahagian tuntutan Comango

Khairil Abdul Rahim, 25 Okt 2013
BANDAR JENGKA: PAS menolak keras beberapa tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) berhubung hak asasi manusia ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland yang jelas bercanggah dengan elemen syarak dan budaya setempat.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuntutan yang ditolak itu adalah berkaitan perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) supaya golongan tersebut diberikan kebebasan dan hak sama rata.

Namun demikian, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyokong beberapa tuntutan lain dibuat Comango kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu antaranya berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar, pembasmian kemiskinan, keadilan, rasuah dan ekonomi.

“PAS beranggapan tuntutan melampau oleh puak yang membawa budaya kerosakan manusia itu hanyalah berselindung di sebalik hak asasi manusia, maka PAS sama sekali menolak tuntutan berkenaan.

“Dalam Islam ada menggariskan hak asasi tertentu yang tidak melampaui batas, malah kami turut menolak tuntutan lain yang menngetengahkan orientasi kehidupan yang bebas daripada nilai agama dan budaya ketimuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Liga Futsal Dun Jengka di sini kelmarin (gambar).

Dalam kejohanan yang mendapat sambutan ramai itu,  Pemuda Jengka 12 mucul sebagai juara dan naib johan, Pemuda Jengka Mahkota manakala tempat ketiga, Pemuda Jengka 20.

Menyentuh lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau berkata, terdapat beberapa tuntutan lain yang tidak melanggar syarak dan perlu diberi perhatian semua pihak kerana mempunyai elemen positif untuk masyarakat negara ini.

Isu tuntutan Comango baru-baru ini mendapat perhatian ramai apabila dibahaskan oleh beberapa ahli parlimen. Namun ahli-ahli parlimen BN memilih untuk mensensasikan tuntutan negatif sahaja supaya dilihat sebagai juara memperjuangkan Islam.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memaklumkan bahawa PAS Pahang menghantar 150 petugas tetap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Kedah yang berkhidmat di dua peti undi iaitu Kampung Sungai Limau dan Kampung Sungai Daun.

Katanya, jumlah tersebut tidak termasuk petugas yang dihantar oleh kawasan-kawasan.

Tiada ulasan: