Selasa, 29 Oktober 2013

ADA YANG TERHIMPIT ADA YANG TERHAPPY

PAS tolak GST kerana bebankan rakyat - Presiden

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS dan Pakatan Rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana ia satu bentuk cukai yang tidak adil dan membebankan rakyat berpendapatan rendah, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berucap membahaskan bajet 2013 di Dewan Rakyat semalam, Tuan Guru Abdul hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun Perdana Menteri mengumumkan barangan seperti  budu, cencalok dan tempoyak tidak dikenakan  GST, namun bahan makanan tradisional itu memerlukan ramuan seperti garam dan  gula serta minyak (petrol dan diesel) untuk pengangkutan.

Tuan Guru Abdul Hadi turut menjelaskan peri pentingnya pemimpin negara bersikap adil dalam proses mengenakan cukai kepada rakyat seperti Khalifah Umar Abdul Aziz yang menolak permintaan seorang gabenor untuk menaikkan cukai bagi menampung kewangan negara.

"Lalu dia (Khalifah Umar Abdul Aziz) menjawab (surat gabenor tersebut),  'kamu berlaku adil atau kamu akan dipecat'," ujarnya.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, cukai boleh dikenakan kepada rakyat tetapi ia mestilah dilaksanakan secara adil seperti zakat yang dikenakan pada golongan kaya dan tidak kepada yang miskin manakala cukai kharaj dikenakan kepada rakyat bukan Islam.

"Zakat tidak boleh dihapuskan tapi cukai (untuk rakyat) bukan Islam (kharaj) boleh dihapuskan apabila kewangan negara mencukupi. Inilah konsep yang adil," jelasnya.

Nasihat bagi yang suka marah-marah

Tuan Ibrahim Tuan Man, 29 Okt 2013
Bagi mereka yang suka marah-marah kat anak sendiri kerana sayang dan untuk mendidik...

1. Kita adalah orang matang, anak kita masih tak matang, mengapa yang matang perlu marah pada yang tak matang?

2. Kita orang besar, mereka orang kecil, mengapakah orang yang besar perlu marah pada orang yang kecil?

3. Kita adalah orang yang berpengalaman, anak-anak tidak pernah lagi melihat dunia... mengapakah harus kita harapkan anak-anak kita faham dan selari dengan pandangan kita...

Pernahkah terfikir mengapa dua orang marah perlu berjerit antara satu sama lain walaupun duduk bersebelah?

Pernahkah terfikir mengapa dua orang yang saling menyayangi lebih suka membisik antara satu sama lain walaupun duduk berjauhan, atau di telefon?

Apabila kita marah, dua hati adalah berjauhan, oleh itu, mereka memerlukan suara/nada yang kuat untuk berhubung. Masalahnya, makin dijerit, makin berjauhan.

Bagi mereka yang kita sayang, dua hati adalah dekat, jadi tidak perlu untuk menjerit-jerit, hanya perlu membisik sudah terasa dekat. Makin dibisik, makin terasa sayang.

Itulah keajaiban ciptaan Allah pada sistem badan manusia.

Maka, persoalannya, jika kita ingin mendidik anak-anak kita... perlukah kita marah-marah padanya walaupun mereka berbuat silap?

Sekiranya menggunakan pendekatan marah-marah, tanya pula diri, adakah kita mahukan anak kita mendengar kata-kata dengan hati mereka berjauhan dengan kita?

Atau kita mendidik dengan berbisik, supaya mereka faham dengar dan hati mereka kekal dekat dengan kita?

Apabila kita sudah mula marah-marah pada anak, tanyalah diri sendiri adakah hati kita dan anak kita sudah berjauhan?

Hubungan ibubapa dengan anak-anak yang terbaik ialah anak-anak menganggap ibubapa sebagai sahabat karib dengan penuh penghormatan tanpa rasa segan silu untuk berbincang segala masalah dengan ibu bapa.

Untuk renungan hari ini. Senyum.

Kintan kekal Ketua Muslimat PAS Melaka

Ahmad Danial, 29 Okt 2013
BUKIT KATIL: Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka sesi lalu, Kintan Man (gambar) mengekalkan jawatannya tanpa bertanding pada Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, kelmarin.
Timbalannya, Sopiah Ahmad juga sekali lagi mendapat kepercayaan dari perwakilan apabila dilantik tanpa sebarang pertandingan.

Manakala Naib Ketua pula disandang oleh muka baru iaitu bendahari sesi lalu Maisarah Abu Bakar yang menggantikan Aziah Saad yang berpindah ke Selangor

Manakala ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Noraini Sidek, Anida Haron, Mahani Othman Basir, Khadijah Shaari, Rozita Mohd Sa'ad, Rohani Hassan, Fadzilah Ismail, Norazizah Salim, Zarina Khalid dan Dr Khatijah Jumangat.

Muktamar tersebut berlangsung di Kompleks PAS Bukit Katil/Bukit Bayan di sini yang mana perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

[Video] Bekas pegawai tentera bom kereta menteri Mesir

http://kachipemas.blogspot.com, 29 Okt 2013
[VIDEO] Bekas Pegawai Tentera, Yang Bom Kereta Menteri Mesir




Kaherah - Kumpulan militan Al-Qaeda mendedahkan, identiti individu pengebom nekad yang cuba membunuh Menteri Dalam Negeri kerajaan sementara adalah seorang bekas pegawai tentera negara itu.

Pendedahan itu dibuat menerusi rakaman video menggunakan nama kumpulan militan Ansar Jerusalem, memaparkan seorang individu merancang untuk mengebom kenderaan Mohammed Ibrahim di Kaherah pada 5 September lalu.

Video turut memaparkan, bekas pegawai tentera dikenali sebagai Waleed Badr dilihat memakai seragam tentera sambil mengutuk keras beberapa pegawai kanan tentera Mesir.

Selain itu, Waleed Badr juga dikatakan mengkritik Ikhwanul Muslimin (IM) dan kumpulan gerakan Islam lain.

“Demokrasi, ideologi Al-Qaeda, dan undang-undang Syariah hanya boleh dicapai melalui jihad,” katanya dalam rakaman video tersebut dipetik oleh Al Arabiyah.

Beliau yang juga bekas anggota militan Afghanistan pernah dipenjara setahun selepas ditahan di Iran dan kini, dipercayai sedang menyembunyikan diri.

Pendedahan video itu juga sekali gus menolak tuduhan kerajaan sementara yang selama ini melabelkan IM sebagai pengganas.


Video

Gaji pegawai JPM melampau, lagi pembaziran kerajaan

Roketkini, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming menegaskan gaji tinggi diperoleh kakitangan kontrak dalam kerajaan adalah satu lagi contoh pembaziran yang tidak dapat ditangani.

Beliau berkata, sebagai contoh jawatan kanan dibayar gaji sebanyak RM69,000 sebulan manakala Pengarah Pengurusan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dibayar RM49,000.

Menurut beliau, gaji terlalu tinggi melebihi bayaran diperoleh Ketua Setiausaha Negara itu menyumbang kepada kenaikan 13 peratus dalam Bajet 2014 untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Dalam jawapan Parlimen pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830,500 iaitu gaji bulanannya kira-kira RM69,000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40,000 sebulan).

“Semua CEO ini dibayar bulanan lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara yang gaji bulanan RM23,577,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, tadi.

Tambahnya, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD turut mendapat elaun tahunan sebanyak RM162,000 dan bonus sebanyak RM60,000.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp pula menerima gaji bulanan sebanyak RM30,000 dan elaun bulanan kereta sebanyak RM5,000.

Di samping itu, kakitangan di JPM, yang kebanyakannya berkontrak turut dibayar lebih tinggi daripada gaji penjawat awam.

“Sebagai contoh, seorang Pengarah PEMANDU yang setaraf dengan JUSA A/B penjawat awam bergaji maksimum sebanyak RM49,000 sebulan, seorang Pengarah Bersekutu mereka juga bersamaan dengan JUSA C penjawat awam dengan gaji maksimum RM31,600 sebulan.

“Jawatan Pengurus Kanan yang bersamaan dengan penjawat awam Gred 54 dengan gaji maksimum RM21,000 sebulan,” ujarnya.

Agensi lain di bawah JPM termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Kumpuan Industri Kerajaan Teknologi Tinggi dan Unit Peneraju Bumiputera.

Pada masa sama, Kian Ming turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan kewujudan agensi baru seperti Yayasan Hijau yang mempunyai fungsi bertindih dengan beberapa agensi lain sedia ada seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC).

“Jika Najib benar-benar serius menyarankan rakyat mengubah gaya hidup dengan peningkatan harga akibat pemotongan subsidi dan pelaksanaan GST, beliau sendiri perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di jabatannya.

“Najib harus sedar bahawa peruntukan untuk jabatan beliau melonjak sebanyak 13 peratus berbanding tahun lalu iaitu 1.5 peratus daripada jumlah bajet iaitu RM250 bilion kepada RM264 bilion.

Walaupun dikritik hebat pimpinan Pakatan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala menyatakan bahawa pihaknya menerima satu daripada peruntukan terbesar sebanyak RM16.45 bilion di bawah Bajet 2014.

Tiada ulasan: