Jumaat, 25 Oktober 2013

ISLAM MENYARANKAN KITA BERAKHLAK KEPADA NON MUSLIM...AGAR MEREKA TERTARIK ATAS KELEMBUTAN ISLAM

Lima sebab utama mengapa calon PAS mesti dimenangkan

http://batuvskayu.blogspot.com, 24 Okt 2013

Zulkifli Yahya

Pertama, Kerajaan BN sudah sah memerintah Kedah. Penambahan kerusi BN tidak mengubah apa-apa dari status pentadbiran mereka. Sebaliknya pertambahan kerusi boleh menyebabkan kerajaan BN bertambah angkuh dan lumrahnya pihak yang angkuh sukar mendengar pandangan rakyat.

Kedua, kerajaan yang baik perlu dipantau dan dimuhasabah. Kemenangan PAS bermakna kerusi pembangkang tidak berkurang, menjadi suara yang memantau kerajaan demi kebaikan rakyat. Jika BN yang menang jangan harap ADUN tersebut berani menegur kerajaan.

Ketiga, jika Sungai Limau berada di tangan pembangkang, maka BN sebagai kerajaan akan berusaha merampasnya untuk PRU14 nanti. Maka rakyat akan mendapat pelbagai nikmat pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan dalam usaha memenangi hati rakyat.

Keempat, PRK Sungai Limau menjadi fokus seluruh negara. Jika PAS menang, ia menghantar mesej kepada kerajaan BN di pusat supaya jangan sewenang-wenangnya membuat keputusan yang merugikan rakyat. Misalnya, jangan sewenangnya menaikkan harga minyak yang menyebabkan harga barangan turut melonjak. Dengan memilih PAS bermakna pengundi Sungai Limau telah berjasa kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kelima, dua buah parti yang kuat dan bersaing di Kedah di kalangan orang Melayu ialah Umno dan PAS. Kedua-duanya parti terdiri dari majoriti orang Melayu beragama Islam. Kepada golongan tidak berparti, eloklah meraikan kedua-duanya. Umno sudah diberi sebuah negeri, maka wajar sangatlah Sungai Limau (cuma sebuah DUN) diberi kepada PAS.

http://naimnikmat.blogspot.com, 24 Okt 2013

ADA PENGANUT HINDU TAK PUAS HATI LEMBU KORBAN DISEMBELIH DI SEKOLAH, LIHAT APA KOMEN DR. MAZA (RINGKAS & PADAT)


Tragedi Lembah Bertam: Adakah amaran mencukupi?

Harakahdaily, 24 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Tragedi yang berlaku akibat pembukaan empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet yang mengakibatkan kematian tiga jiwa menimbulkan pelbagai tanda tanya umum.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa kejadian, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mempersoalkan adakah amaran sewajar dan secukupnya diberikan kepada mereka yang hampir pasti menerima kesan daripada pelepasan air empangan terbabit?

Dalam satu kenyataan media, beliau juga mahukan penjelasan tentang langkah keselamatan lain yang diambil bagi memastikan mudarat daripada situasi demikian berada pada kadar minima.

"Meskipun tidak ada sesiapa mempersoalkan keperluan untuk menghalang empangan tersebut daripada pecah dan mengakibatkan kesan yang amat buruk, kami amat runsing dengan prosedur yang diguna pakai bagi melepaskan air empangan tersebut," ujarnya.

Sambil memuji usaha dan gerak kerja pasukan bomba dan penyelamat bagi membantu dan menyelamatkan mangsa kejadian, Azmin menuntut pihak bertanggungjawab menjelaskan kepada umum siapa sebenarnya mempunyai autoriti untuk mengarahkan pelepasan air empangan tersebut, dan kenapa pihak berkuasa menanti sehingga tengah malam sebelum membunyikan isyarat amaran?

"Mereka yang bertanggungjawab mesti memberikan penjelasan kepada orang ramai," tegasnya.

Bernama melaporkan, kejadian banjir lumpur di Lembah Bertam kira-kira 1 pagi semalam akibat pelepasan air empangan Sultan Abu Bakar itu menyebabkan tiga terbunuh, seorang hilang dan seorang cedera manakala 80 rumah serta kira-kira 100 kenderaan musnah.

Harga ikan mahal kerana minyak naik

Harakahdaily, 24 Okt 2013
KUALA TERENGGANU: Rata-rata peniaga ikan memaklumkan bahawa harga kebanyakan ikan terpaksa dinaikkan disebabkan permintaan tinggi dan dipengaruhi kenaikan harga minyak.

Walaupun kebanyakan nelayan mendapat subsidi diesel daripada kerajaan, tetapi ia masih belum mencukupi berbanding yang mereka gunakan untuk ke laut setiap hari.

“Sebab itulah harga ikan agak tinggi,” ujar Pengerusi Lujnah Pengguna PAS negeri, Dr Azman Ibrahim kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada laporan sebuah ahkbar harian tempatan berkaitan isu kenaikan harga ikan sebanyak 30 peratus berbanding biasa di negeri Terengganu khususnya serta di tempat lain amnya, sejak kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen awal September lalu.

Sekadar mengambil contoh beberapa jenis ikan yang mengalami kenaikan harga antaranya, kata beliau harga bagi sekilogram harga ikan cencaru dan selayang mencecah RM8 berbanding harga biasa RM6, ikan kembung dan ikan kerisi pula RM12, ikan aya RM10, tenggiri RM30, ikan merah RM30 serta banyak lagi kategori ikan yang lain.

Katanya, kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran bermula dari laut, ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna.

Menurutnya, peniaga memang terpaksa untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan walaupun akhirnya membebankan pengguna.

Beliau berkata, sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa, walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan, hakikatnya ianya hanya jaminan kosong.

Menurutnya lagi, minyak adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia, justeru apa sahaja yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia.

Inilah, jelasnya yang disebut ‘magnet tarikan ekonomi berasaskan petroleum’.

Kata beliau lagi, kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian, pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan sampai ke tangan pengguna.

Lantaran itulah, ujar Dr Azman penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi.

PKR usaha lonjak sokongan di kubu kuat Umno

Muhammad Faizal, 24 Okt 2013
JERAI: Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul meletakkan sasaran peningkatan peratusan di lima daerah mengundi di Dun Sungai Limau yang menjadi kubu kuat Umno.

PKR diberi tanggungjawab untuk membantu PAS menembusi lima daerah mengundi iaitu Unit Peti Undi (UPU) Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kechil dan Dulang Besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, PAS mengalami kekalahan di lima UPU tersebut.

Jelas Johari, PKR akan memastikan jumlah undi yang diperolehi pada PRU13 yang lalu dapat dikekalkan, dalam masa yang sama turut berhasrat mendapat lonjakan sokongan yang baru dari kelima-lima UPU tersebut.

"Saya merasakan itu bukan satu masalah dan saya yakin kita (PKR) mampu menembusi kawasan tersebut,” katanya.

Beliau yakin dengan kelemahan yang ada pada kerajaan BN Kedah sekarang dalam beberapa aspek melibatkan rakyat akan memberi kekuatan Pakatan Rakyat memenangi Dun Sungai Limau.

Katanya tindakan kerajaan menghentikan pemberian Skim Bantuan Khifalah kepada waris yang meninggal dunia dan juga Kolej Universiti, Insaniah (Kuin) akan mendapat perhatian daripada pengundi Dun Sungai Limau.

"Ini dianggap legasi Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak tetapi pimpinan sekarang tidak melaksanakan apa yang dijanjikan sebab itu saya kira pengundi faham apa yang berlaku, kita PKR akan bawa isu ini secara konsisten.

"Yang kedua saya melihat setelah PRU13 tidak ada satu polisi yang boleh dikatakan besar diumumkan Menteri Besar Kedah, malah pelajar yang pergi universiti awam sebelum ini kita beri bantuan tetapi sekarang tidak ada lagi dan itu juga akan dipertimbangkan oleh rakyat," sambung beliau.

Kalimah Allah: Suburkan dialog dan debat

Dr Mujahid Yusof, 24 Okt 2013
BUKAN mudah merungkaikan satu kerumitan tetapi amat mudah untuk mengkusutkan sesuatu yang mudah. Hanya ilmu dan kewarasan akan menentukan garis pemisah antara sentimen dan keilmuan.

Masyarakat kita suka merumitkan perkara yang mudah dan memudahkan perkara yang rumit, apatah lagi media dan kepimpinan politik tidak banyak membantu meredakan keadaan manakala ulama tidak banyak mendidik prinsip yang memahamkan orang awam dan pemerintah dalam suasana hubungan Islam dan bukan Islam yang hidup dalam suasana kepelbagaian hari ini.

Isu kalimah Allah termasuk dalam kategori yang perlu penghuraian yang tuntas dan bernas supaya diadunkan dengan berbagai premis hujahan yang akan mematangkan fahaman kita terhadap sesuatu isu.

DALAM PERSPEKTIF

Dengan meneliti hujahan para pengkritik di dalam isu kalimah Allah kita boleh merumuskan bahawa ia bukan antara yang menyokong dan tidak menyokong. Jikalau kita menyatakan demikian bahawa ada yang menyokong dan ada yang tidak, kita terjebak ke dalam perangkap 'mudah' dalam meneliti sesuatu masalah yang cuba menjelaskan sesuatu prinsip besar dalam Islam.

Dalam memahami isu ini ada beberapa perkara yang perlu diambil kira untuk memahami konteks yang diperdebatkan melalui:

Pertama; urutan peristiwa dan isu

Ia bermula dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada hujung tahun 2009 secara tepat pada 31 Disember 2009. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Herald Christian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya setelah dilarang dan disekat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam dan sepanjang tahun 2010 kes ini menguasai media sama ada pro dan kontra. KDN meneruskan saluran perundangan dengan mengemukakan ke Mahkamah Rayuan.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada 16 Februari 2009 apabila Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan gereja iaitu The Herald serta menamakan KDN sebagai responden.

Gereja menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah, dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly.

Pada Julai 2013, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, The Herald.

Mahkamah Rayuan menolak dan menetapkan pendengaran penuh rayuan pada 10 September 2013. Keputusan 10 September untuk rayuan penuh ditangguh kepada 13 Oktober 2013. Keputusan rayuan pada 14 Oktober yang lalu menetapkan bahawa The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Kedua; perkembangan isu dari satu tahap ke satu tahap menggambarkan momentum isu sentiasa mendapat perhatian dan sensasi media


Ia tidak berakhir dengan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi alasan untuk mengemukakan rayuan memberikan impak isu ini seolah merupakan isu keselamatan negara (national security). Teori Kristianisasi semakin menjadi fokus utama dalam membincangkan isu kalimah Allah apabila permusuhan Kristian lwn Islam di Malaysia menjadi semakin menajam.

Media membesarkan isu, kononnya ada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, adanya Gereja Methodis Damansara Utama yang mengadakan majlis memurtadkan orang Islam dan isu Ahli Parlimen Lembah Pantai dikontroversikan sebagai menyokong murtad, ucapan Krismas Ketua Menteri Pulau Pinang yang disensasikan dan terkini demonstrasi ke atas Ahli Parlimen Parit Buntar dan cubaan menghalang usaha dialog antara agama di Gereja Anglican Butterworth.

Perkembangan isu kalimah Allah seolah diperluaskan kepada isu-isu sensitif yang telah memburukkan hubungan antara agama di negara ini sepanjang negara ini mencapai kemerdekaan.

Perkembangan isu seolah-olah dibentuk momentumnya untuk memberi tekanan kepada penganut Katolik dan membentuk mesej supaya mempertahankan Islam dari konspirasi Kristian di Malaysia.

Ketiga; Suasana yang menguasai keadaan serta emosi yang mengiringinya

Suasana sepanjang kes ini dilanggani boleh dikatakan penuh emosi dan sensasi dari keilmuan dan objektiviti. Media berperanan untuk membentuk sentimen itu dan kenyataan pemimpin dibentuk begitu rupa oleh media untuk memberikan gambaran yang lebih bersifat permusuhan dan kebencian.

Keadaan ini menyebabkan ketegangan hubungan dengan penganut Katolik di mana rumah ibadat menjadi sasaran dan prejudis antara umat beragama semakin menjadi lebih jelas. Nilai ekstremisme seolah terbuka luas dengan sikap emosional yang diambil oleh kelompok ekstrem kanan dan kelompok liberal mendapati ianya peluang untuk menegaskan pendiriannya yang selama ini mungkin terpendam dan lebih berhati-hati.

Soalnya apakah sepanjang emosi ini dimainkan kita menggadaikan objektiviti tajuk dan meletakkan negara kita sebagai pertaruhan?

Keempat; Siapa aktornya dalam memimpin isu yang diperdebatkan
Setiap isu pasti ada aktornya yang memimpin isu, dalam hal ini media, parti politik dan kelompok masyarakat sivil dan institusi penganut Katolik dan umat Islam. Para aktor memilih jalur masing-masing untuk memberi makna kepada isu yang diperdebatkan atas apa jua matlamatnya.

Aktor yang mendapat liputan ialah golongan ekstrem kanan seolah-olah mereka mewakili kelompok umat Islam yang menyatakan jalur kerasnya kepada isu kalimah Allah. Aktor yang memilih jalur pertengahan dengan mengambil cara dialog dan wacana dilabel sebagai jalur liberal yang bersikap lunak kepada 'musuh Islam'.

Pada waktu yang sama kerajaan menunjukkan sikap 'toleran' dengan membenarkan kemasukan kitab Injil berbahasa Melayu, Al-Kitab yang tertera kalimah Allah di dalamnya. Sebelumnya pihak kastam menyekat kemasukan hampir 35,000 naskhah di pelabuhan Kelang dan Kucing tahun 2011.

Agak menarik siapa yang mengkaji sikap kerajaan BN kerana pada waktu yang sama mereka diam dengan tindakan golongan ekstrem kanan tetapi pada waktu yang sama 'berlunak' dengan pihak Katolik kerana pada waktu itu berlangsungnya Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang majoritinya adalah penganut Kristian.

Setelah meneliti isu kalimah Allah dalam perspektif peristiwa dan perkembangannya, kita akan memahami bahawa isu ini secara keseluruhannya bermula dengan perspektif perundangan kemudian berkembang kepada mobilasasi masyarakat dan media memberikan nilai-nilai sensasi dan emosi untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu manakala kelakuan toleran kerajaan BN menampakkan isu ini tidaklah terlalu sensitif apabila kerajaan mempunyai keazaman untuk berunding dengan pihak tertentu yang berkepentingan.

PREMIS HUJAHAN

Setelah meneliti premis hujahan mereka yang melanggan perdebatan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menilai dan meletakkan pandangan dan pendapat masing-masing di atas neraca ilmu kerana tidak semua yang diperkatakan boleh diterima sepertimana tidak semuanya boleh ditolak.

Kita hanya perlu meletakkan apakah kerangka yang membentuk hujahan mereka dan dari sini kita boleh mengatakan pandangan yang lebih berobjektif apabila melihat isu ini secara menyeluruh. Saya membahagikan hujahan tentang kalimah Allah oleh kesemua pihak di atas beberapa premis iaitu Premis Teologi, Premis Prinsip dan Premis Perundangan.

PREMIS TEOLOGI

Dari sudut teologi ataupun disiplin kajian tentang Ketuhanan/Aqaid maka kalimah Allah adalah perdebatan antara konsep ketuhanan yang dipakai oleh penganut masing-masing. Secara asasnya perdebatan tentang ketuhanan dalam teologi Kristian ditegakkan atas konsep Triniti.

Walaupun pelbagai mazhab muncul dalam konflik intra mazhab Kristian tentang lambang Nabi Isa atau Jesus sebagai tuhan atau manusia namun mereka mempunyai kepercayaan yang sama tentang Jesus sebagai penebus dosa asal manusia dan bahawa Jesus ada unsur ketuhanan dan Jesus adalah penyelamat.

Konsep ketuhanan bagi mereka adalah dalam peribadi Jesus dan mulai tahun 325 Masihi,  Konstantin seorang Raja Rom telah menganut agama Kristian dalam sidang Nicea telah menyatukan doktrin Kristian di atas triniti maka tersebarlah ajaran Roman Katolik dengan Gereja sebagai institusi yang mengawal doktrin ini sampai ke saat ini.


ISLAM MENOLAK KETUHANAN TRINITI


Sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi, iaitu jarak 600 atau 500 tahun dari kedatangan Nabi Isa a.s. kefahaman Triniti telah menular dan al Quran telah menyebut tentang kesesatan triniti yang dikaitkan dengan Allah. dalam surah al Kahfi:

“Dan memberi peringatan kepada mereka yang berkata: ambillah Allah sebagai anak, mereka tiada ilmu (yang benar) dan begitu juga dengan nenek moyang mereka, besarlah kemusnahan apa yang keluar dari mulut mereka, mereka hanya mengatakan kepalsuan.” (Al Kahfi: 4, 5)

Islam menegaskan Allah dalam nada ketauhidan mutlak sedangkan nabi Isa a.s. hanyalah rasul seperti Muhammad s.a.w..

Nabi Muhammad menegaskan Tauhid berasaskan surah Ikhlas iaitu;

"Katakanlah Allah itu itu Tunggal..." (Al-Ikhlas:1)


Umat Islam diajar untuk senantiasa mensucikan Allah daripada apa yang menodai-Nya daripada unsur syirik dengan menyatakan;

"Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan..." (Al Hasyr: 23)



RUMUSAN PREMIS TEOLOGI

Dari sudut teologi premis perbahasan tentang “Allah” adalah atas asas pertembungan antara ketauhidan mutlak melawan syirik dalam segala bentuknya termasuklah triniti yang menjadi doktrin akidah Kristianiti sehingga kini.

Sebagai umat yang meyakini ketauhidan mutlak ini, tidak mungkin mana-mana muslim boleh menerima “Allah” yang dicemari dengan konsep triniti. Dari sudut ini adalah betul untuk kita menerima bahawa Allah sama sekali tidak ada kena mengena dengan fahaman triniti dan perkara ini mesti dijelaskan dari sudut pandang sisi Islam.


PREMIS PRINSIP


Prinsip yang dimaksudkan adalah asas yang membentuk hubungan Islam dengan bukan Islam di mana prinsip-prinsip ini memantulkan  kerahmatan Islam dan komitmen Islam kepada hak beragama. Prinsip inilah yang telah membawa Islam menjadi peneraju kepada tamadun manusia dan telah mengasaskan fondasi yang kukuh untuk dijadikan rujukan kepada manusia.

TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA

Prinsip ini mencakupi makna yang luas termasuklah tidak ada hak untuk kita umat Islam menentukan apa yang betul dan tidak dalam urusan ibadat mereka. Implikasi prinsip ini juga menetapkan bahawa penganut bukan Islam ada kebebasan untuk beribadat dan beramal dan faham agama mereka dengan cara mereka, serta menjadi tanggungjawab kepimpinan negara menyediakan keperluan mereka.

Rasulullah s.a.w. dilarang oleh Allah SWT untuk menggunakan taktik 'paksa' dalam apa jua bentuknya walaupun dengan niat yang baik supaya mereka menerima Islam. Allah menegaskan:

“Jika Tuhanmu berkehendakkan, maka berimanlah setiap jiwa kesemuanya di muka bumi ini, apakah engkau wahai Muhammad mahu memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang yang beriman?” (Yunus: 99)



KEPELBAGAIAN

Islam memperakui kepelbagaian dan kerencaman kerana itu adalah tanda kebesaran Allah. Allah berkemampuan menjadikan semua manusia berada di atas agama yang sama tetapi Allah mahu menetapkan satu tanda kebesaran-Nya iaitu manusia berterusan berbeza-beza agama:

“Jika Tuhanmu berkehendakan, nescaya dijadikan kamu semua di atas agama yang satu(sama), namun hakikatnya mereka akan berterusan berbeza-beza (agama).” (Hud: 119)

Prinsip kepelbagaian ini menjadi teras kepada kekuatan Islam tersebar dengan cara yang terhormat dan jambatan yang menyambungkan antara kepelbagaian dan risalah Islam adalah jambatan kedamaian yang dihulurkan oleh Islam dengan penuh keikhlasan.

Islam meraikan kepelbagaian ini dalam segala bentuknya bagi mengelak konflik yang berpotensi tercetus atas nama kaum, bangsa dan agama yang mewarnai hubungan antara kuasa pada waktu itu, lantas mesej Kedamaian atau As Salam yang dipelopori oleh Islam telah menjadikan agama ini sangat dihormati oleh kawan dan lawan.


DIALOG DAN PERDEBATAN SIHAT

Prinsip ini menjadi rahsia Islam dapat diterima oleh pelbagai kaum dan manusia kerana asas menerima atau menolak adalah atas kesedaran dan keyakinan melalui dialog dan perdebatan yang sihat.

Dialog membuka ruang untuk masing-masing mempertahankan kekuatannya dan dari sini terserlah siapa yang lebih mantap hujahannya lalu memberi ruang kepada semua pihak untuk membuat penilaian.

Sebagai agama yang benar, Islam tidak sama-sekali melarikan diri dari berhadapan dengan hujahan agama lain, malah al Quran menggalakkan pendekatan dialog dan debat dengan berhemah dengan penentang-penentangnya.

“Serulah kamu ke jalan Tuhan mu dengan penuh hikmah dan memberi nasihat yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik, Sesungguhnya Tuhan mu mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan dia mengetahui siapa di kalangan yang mendapat petunjuk.” (an Nahl: 125-126)

“Janganlah kamu berdebat dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang baik (berhemah), kecualilah mereka yang menzalimi kamu.” (Al Ankabut: 46)


RUMUSAN PREMIS PRINSIP

Dari keterangan yang diberikan melalui prinsip tiada paksaan, prinsip kepelbagaian dan prinsip dialog, jelaslah bahawa di sebalik kesesatan teologi triniti, Islam tidak pernah menghalang apa juga keyakinan agama lain walaupun mereka mengaitkan doktrin mereka dengan kalimah Allah.

Prinsip ini lebih besar untuk dipelihara dari kesesatan mereka kerana ruang yang diberikan oleh Islam untuk membetulkan salah faham tentang Allah ialah melalui perdebatan sihat dan dialog bukan pendekatan ketetapan melarang kerana itu sudah masuk dalam daerah memaksa yang ditegah oleh prinsip "tiada paksaan dalam agama".

Kisah Kristian Najran yang mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah menjadi dalil betapa Rasulullah membela prinsip-prinsip di atas walaupun sudah berdebat dan berdialog dengan Nabi, mereka tetap dengan pendirian mereka dan Nabi membiarkan mereka malah mengirim pulang bersama mereka seorang sahabat untuk meneruskan usaha berdialog dengan Kristian Najran.

Nabi berbuat demikian sebagai ikutan kepada kita bahawa prinsip besar rahmatan lil alamin mesti dipelihara bukan melalui larangan kepada agama lain tetapi melalui dialog dan terserahlah kepada Allah ketentuan hidayahnya.
Inilah kekuatan Islam!

“Bagi Allah itu hujah yang kukuh, jika dikehendaki maka akan diberi hidayah kepada kamu semua” (al An'am: 149)


PREMIS PERUNDANGAN


Undang-undang diperlukan untuk menyelesaikan konflik antara rakyat dan kerajaan. Dari sudut kalimah Allah yang menjadi konflik, ketetapan undang-undang diperlukan bagi mendamaikan pihak yang berkonflik. Dalam hal ini ialah pihak Gereja dan Kerajaan dan isunya adalah; adakah kalimah Allah boleh digunakan oleh majalah Herald Christian dalam penerbitannya.

Ia akan menjadi kes duluan kepada apa sahaja isu yang asasnya adalah, apakah Kristian boleh menggunakan kalimah Allah atau tidak?

Bagaimana jika digunakan dalam Injil?

Bagaimana jika penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam perbualan mereka dengan rakan Muslim mereka?

Bagaimana dalam nyanyian lagu sesetengah negeri yang ada kalimah Allah dinyanyikan oleh penganut Kristian?

Bagaimana perkataan Allah dalam lambang (emblem) yang dipakai oleh penganut  Kristian?

Jikalau alasan Allah adalah milik eksklusif umat Islam, maka bagaimanakah kes-kes yang disebutkan di atas?

Asas penghujahan adalah berpandukan kepada Artikel 3(1) yang mengatakan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan.

Artikel 11 yang secara khusus bercakap tentang kebebasan beragama untuk lain daripada Islam dengan kawalan dalam fasal 4.

Sebenarnya keputusan Mahkamah Tinggi 31 Disember 2009 telah meletakkan asas perundangan yang cuba memahami kerangka peruntukan di atas dan dengan jelas menunjukkan keterbatasan edaran Herald untuk penganut Kristian sahaja malah melarang edarannya kepada umat Islam.

Walaupun Herald boleh diakses melalui portal internet namun persoalannya jika umat Islam membacanya adakah umat Islam akan keliru?

MAHKAMAH RAYUAN


Namun Mahkamah Rayuan 4 tahun kemudian telah menambahkan unsur lain yang lebih meluas dengan membuat andaian teori kekeliruan, keresahan kristianisasi dan asas ketidaksepakatan Katolik pada kalimah Allah.

Mahkamah Rayuan telah membawa isu kalimah Allah kepada satu tahap perbahasan yang mendedahkan dirinya kepada perdebatan teori konspirasi dan kebimbangan yang tidak berasas sekaligus tanpa disedari menceroboh premis prinsip Islam dalam melihat hubungan antara agama yang mesti diasaskan atas prinsip kedamaian.

RUMUSAN PREMIS PERUNDANGAN

Mahkamah Rayuan juga telah memberikan gambaran bahawa Islam berhadapan dengan isu ini melalui ketetapan 'larangan' dan mensia-siakan peluang melaksanakan prinsip dialog dan perdebatan yang sihat.

Secara hujahan premis prinsip, Mahkamah Rayuan telah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip besar Islam. Teori konspirasi dan kebimbangan mesti didatangkan dengan bukti supaya prinsip asal boleh dikecualikan (istithna') dengan kadar keperluannya.

Malangnya bukti yang ada hanyalah sensasi media dan tekanan golongan ekstrem kanan yang benar dalam hujah premis teologi mereka tetapi tersasar dari hujah premis prinsip, manakala dari premis perundangan, Mahkamah Rayuan mungkin terlepas pandang prinsip lebih besar yang dijunjung oleh Islam dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

FORMULASI PENDEKATAN
Isu kalimah Allah perlu dilihat secara objektif kerana kerapuhan isu ini berupaya menimbulkan ketegangan hubungan antara agama dan menggadaikan cita-cita negara yang berasaskan kematangan dan objektiviti dalam menyelesaikan konflik sebegini.

Kejelasan antara premis-premis yang dikategorikan dalam artikel ini bukan menggambarkan ia bercanggah antara satu sama lain tetapi ia melambangkan inisiatif untuk mencari formula pendekatan kepada masalah secara matang.

Oleh kerana itu, semua pihak perlu menjauhi sentimen dan semua kepimpinan politik harus mencari jalan satu dasar baru perpaduan nasional yang sudah tidak boleh lagi beroperasi atas kebencian dan prejudis, tetapi sebagai warganegara yang yakin dengan kerangka yang telah dibina oleh semua pemimpin awal yang berbincang panjang tentang apakah bentuk negara yang kita ingin wariskan kepada generasi akan datang.

Cara berfikir dan mengendalikan situasi seperti kalimah Allah seolah-olah kita berada dalam negara yang baru sahaja merdeka sedangkan ada cara lain yang lebih menggambarkan kematangan berfikir pemimpin dan rakyatnya.

Kita juga tidak boleh membiarkan golongan sempit menentukan masa depan negara ini dalam konteks hubungan antara agama, tetapi ia mesti ditentukan oleh kejelasan prinsip dan ketelusan kita menyelesaikan masalah.


MARA KE HADAPAN

Jalan ke hadapan bukan pilihan tetapi satu kemestian untuk mereka yang mahu melihat negara ini melonjak dari tahapnya hari ini. Isu kalimah Allah benar jika umat Islam berhujah atas premis Teologi yang amat bercanggah dengan tauhid yang diimani oleh umat Islam, tetapi ia salah apabila umat Islam menyatakan Allah hanya khusus untuk umat Islam dalam premis Prinsip kerana tiada perenggan daripada Al Quran atau As Sunnah yang mengizinkan larangan ini diwajarkan supaya prinsip besar dalam hubungan dengan bukan Islam tidak dicerobohi.

Adapun atas premis perundangan,  Mahkamah Rayuan pada hemat saya terlepas pandang kerangka negara ini dibina dan dikukuhkan lagi dengan percanggahan ketara prinsip Islam yang mahu membuka ruang berdialog dan bukan peluang untuk melarang dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

“Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.” (al Anbiya': 107)

Undang-undang memberikan ruang untuk dibawa kes ini ke peringkat lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan. Apakah rakyat akan diheret lagi dengan kontroversi ini di peringkat lebih tinggi?

Saya tiada jawapan tetapi yang saya inginkan dan idamkan ialah semua rakyat Malaysia dengan satu seruan;

Marilah kita mara ke hadapan.
_____________________
Penulis ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Forum Dialog Antara Agama Asia Tenggara. Buku terbaru beliau adalah "Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian" iaitu sebuah catatan pengalaman beliau selaku Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berdialog dengan lebih 30 gereja di seluruh negara sejak isu kalimah Allah meletus.

Tiada ulasan: