Isnin, 28 Oktober 2013

JANGAN KITA BERBELIT MACAM ULAR

BN Kedah macam tak sedar sudah jadi kerajaan

Hazayani Zakaria, 27 Okt 2013
JERAI: Kerajaan BN Kedah dinasihati agar bercakap dan bertindak 'dalam keadaan sedar' memandangkan sudah lima bulan mereka memerintah negeri.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, BN tidak perlu menunggu kemenangan mereka di Sungai Limau untuk membuat pembangunan kerana BN sudah berkuasa sebagai kerajaan.

"Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim pada awal kempen baru-baru ini mengakui Sungai Limau sudah berada dalam keadaan baik di bawah Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak namun BN akan melakukan lebih baik lagi jika BN menang di Dun tersebut.

"Saya ucap terima kasih kepada calon BN yang mengakui tentang kebaikan yang dilakukan Allahyarham Ustaz Azizan sepanjang pemerintahan beliau.

"Apa yang dilakukan oleh Allahyarham banyak dibantu oleh calon kita Ustaz Azam yang menjadi petugas kepada parti di peringkat Parlimen Jerai dan Dun.

"Kalau dia kata bila BN ambil alih mereka akan lakukan pembangunan, saya fikir bahawa mereka dah ambil alih kerajaan jadi sepatutnya tak perlu tunggu pilihan raya kecil baru nak tambah baik," kata beliau ketika ditemui Harakahdaly di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau, Batu 15, hari ini.

Tambah Mahfuz, sekiranya BN ikhlas ingin membangunkan Sungai Limau, seharusnya pembangunan itu dilakukan dalam tempoh lima bulan mereka memerintah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Mei lalu.

"Sepatutnya dalam tempoh lima bulan mereka dah buat sesuatu. Tapi dalam masa 5 bulan sebelum daripada kematian Allahyarham mereka tak pernah datang pun (Sungai Limau) untuk nak buat sesuatu yang lebih baik sedangkan mereka dah dapat kuasa.

"Jadi janganlah dia bercakap seolah-olah kerajaan BN tak berkuasa di Kedah," ujarnya yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Dun Sungai Limau.

Muhyiddin Yassin hilang ingatan, terhangat

Harakahdaily, 27 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Sekeping gambar di artikel bertajuk “Muhyiddin Yassin hilang ingatan “ menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno dan PAS mempunyai banyak persamaan menjadi artikel pilihan pembaca Facebook Harakahdaily bagi minggu ke 42, 2013.

Di tangga kedua pula ialah artikel bertajuk “Zalim, bayi dalam kandungan ditembak dalam pertandingan” yang mengisahkan nasib malang para ibu hamil di Syira yang menjadi sasaran bidikan para penembak tepat untuk memenangi satu pertandingan.

Sembelih lembu korban di sekolah, komen Dr Maza” pula menduduki tangga ketiga.

Berikut ialah 10 artikel pilihan pembaca Harakahdaily pada 20 hingga 26 Oktober 2013:

1

Muhyiddin Yassin hilang ingatan (gambar)
2

Zalim, bayi dalam kandungan ditembak dalam pertandingan
3

Sembelih lembu korban di sekolah, komen Dr Maza
4

6 tahun Angkasawan Negara, mana hasil penyelidikan?
5

Ustaz Azam ziarah ayah Jamil Khir (gambar)
6

Umno tidak mahu lagi dengar cakap Mahathir
7

Kaitkan Azizan dan harga gula, kempen tidak berakhlak
8

Bila blogger Umno fitnah calon PAS, terserlah kebodohan
9

Najib, Muhyiddin usaha bendung kemarahan Mahathir
10

Semenanjung Arab bakal muncul tanah paling subur

Diabetes oh diabetes...

Dr Azman Ibrahim , 27 Okt 2013
Diabetes atau kencing manis mungkin merupakan nama penyakit yang paling glamour di Malaysia sekarang. Dari pemimpin tertinggi negara hingga kedai kopi di kampung-kampung, topik kencing manis menjadi perbualan.

Ulasannya dalam pelbagai rupa dan bentuk tetapi umum mengaitkannya dengan gula lantas kenaikan harga gula yang diumumkan dalam Bajet 2014 dianggap rahmat dan langkah yang sangat tepat untuk gaya hidup yang sihat. Malah ada menteri yang mengatakan, tanpa gula umur kita akan menjadi lebih panjang dan tenaga kelelakian akan meningkat!

Semenjak dua hari lepas, saya memerhatikan ulasan-ulasan yang dibuat dengan pelbagai nada dan irama termasuklah ada yang mengaitkannya dengan hamba Allah yang telah kembali ke Rahmatullah.

Saya sangat berharap agar tampil di kaca TV atau di dada akhbar mereka yang berkelayakan di Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghuraikan kekeliruan yang sedang tersebar tetapi malangnya tiada yang tampil. Kekeliruan fakta di kalangan masyarakat umum ini terbiar begitu sahaja dengan membiarkan mereka yang tak berkeahlian terus membebel.

Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib yang diambil semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sedang heboh sekarang ini.

Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut.

Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type) iaitu  type 1 dan type 2.

Diabetes Type 1
Diabetes Type 1 berlaku apabila badan manusia tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dihasilkan.

Punca kenapa hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin termasuk faktor-faktor genetik dan faktor persekitaran.

Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu. Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk kelangsungan hidup.

Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1, tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap glukosa (gula) darah dalam julat yang normal.

Diabetes Type 2

Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku.

Bagi diabetes type 2, puncanya adalah sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya.

Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang.

Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya masih tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan utama sebagai penyebab.

Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif.

Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia.

Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula) dalam darah dalam julat yang normal

Harapan saya, sebelum sesiapa sahaja dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar serta kita akan kelihatan cerdik.

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Terengganu.

Kukuh kerjasama politik pelbagai kaum

Saidah Hairan , 27 Okt 2013
KAPAR: Gabungan serta kerjasama Muslimat PAS dengan Wanita Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) mampu menarik sokongan rakyat pelbagai bangsa kepada PAS seterusnya mengekalkan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, gabungan Muslimat dan wanita DHPP sangat menarik dan mampu mengisi kemenangan di masa akan datang.


Menurut beliau, PAS berjaya memisahkan tembok pemisah dengan rakyat bukan Islam apabila orang bukan Islam mahu menyertai PAS dalam masa mereka tidak menganut agama Islam.


Katanya, disebabkan sokongan itu PAS telah menubuhkan DHPP di kalangan penyokong masyarakat India dan Cina yang menyokong konsep perjuangan PAS.


"Alhamdulillah, Muslimat PAS dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada setiap kali pilihan raya dengan mengerakkan jentera mereka. Pengundi wanita mempunyai jumlah yang besar dan ada kawasan yang lebih besar daripada lelaki," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri di Meru, dekat sini.


Menurut beliau, tidak ada beza pengundi lelaki dan wanita dalam memastikan kemenangan Islam dan itu membuktikan bahawa peranan wanita dalam menjana kemenangan sama dengan lelaki.


"Alhamdulillah, saya bersyukur Muslimat di seluruh negara dapat digerakkan.  Penglibatan Muslimat hari ini ribuan dan jumlah mereka hampir sama dengan muslimin," katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, PAS memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan yang berjaya menarik sokongan rakyat.



Beliau mengingatkan seluruh perwakilan Muslimat bahawa kekuatan perjuangan perlu diiringi dengan tarbiyah.


Muslimat PAS, ujarnya perlu terus berjuang kerana akan tiba masanya kerajaan Umno-BN menemui ajal kerana Allah jadikan kerajaan tidak kekal selama-lamanya.


Menurut beliau, hari ini gerakan Islam menghadapi cabaran apabila nama Islam dimomokkan dengan keganasan sedangkan keganasan itu ada pada semua bangsa dan agama.


Hadir sama di majlis perasmian muktamar Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood.

Syariah boleh dilaksanakan di negara ini – Aziz Bari

Salmah Mat Husain, 27 Okt 2013
PENGKALAN CHEPA: Undang-undang syariah yang turut terkandung hukum hudud boleh dilaksanakan di negara ini  walaupun dianggap bertentangan dengan undang-undang negara yang disifatkan sekular.

Pakar undang-undang perlembagaan,  Dr Abdul Aziz Bari, berkata undang-undang syariah tidak dilaksanakan di Malaysia kerana pemimpin negara itu sendiri yang tidak mahu melaksanakannya, sedangkan ia boleh diperbaiki melalui undang-undang negara yang sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis forum perdana bertajuk ‘Hudud penyelesaian masalah ummah’ sempena program Konvensyen Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar, dekat sini, hari ini.

Program yang diadakan di Putik selama dua hari itu turut membariskan dua anggota panel iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mumtaz Md Nawi dan Pensyarah Kias, Ustaz Muhammad Azhar.

“Alasan yang mengatakan undang-undang negara ini sebagai sekular adalah dari mereka yang tidak selesa dengan undang-undang syariah,” ujarnya.

Menurutnya, di Malaysia perbankan, zakat dan sebagainya telah dilaksanakan mengikut syariat, oleh itu tidak ada sebab hukuman berkaitan pesalah  contohnya tidak boleh diperbaiki bagi menjaga keharmonian negara.

“Perbankan Islam sudah ada, perlaksanaan zakat juga telah dibuat dan sebagainya, namun undang-undang Islam tidak dilaksanakan atas desakan pihak tertentu,” ujarnya.

Menyentuh tentang perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah ll (1993) yang turut mengandungi hukum hudud yang telah digubal dan bakal dilaksanakan di Kelantan, beliau berkata negeri itu mampu melaksanakannya dengan syarat perlu mengikut laluan yang dibenarkan Persekutuan.

Tambahnya, kehendak rakyat Kelantan yang inginkan hukuman hudud perlu dilaksanakan mengikut kerangka yang ada di negeri itu kerana ianya tidak bertentangan dengan dasar yang telah diterima di peringkat dunia.

Bagaimanapun, menurutnya  kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu agar ianya selaras dengan peruntukan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Sambungnya, kemenangan PAS di peringkat Pusat bersama Pakatan Rakyat adalah antara faktor yang penting bagi melaksanakan perkara itu.

Najib wajar nasihati Muhyiddin untuk beradab

Salmiyah Harun|Foto Wan Zahari, 27 Okt 2013
JERAI: PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihati Timbalannya supaya tahu adab dan sopan masyarakat di Dun Sungai Limau.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam masa Umno BN berazam untuk bercakap politik harmoni di Sungai Limau, malangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula 'menghina' pengundi di sini.

"Beliau (Muhyiddin) kena sedar hubungan kehidupan Allahyarham Tan Sri Azizan dengan rakyat Sungai Limau umpama satu keluarga.

"Minta beliau tahu budaya dan adab susila dan budi bahasa orang Kedah khususnya di Sungai Limau," katanya kepada media di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau.

Mahfuz melahirkan kekesalan dengan kenyataan Muhyiddin yang cuba mengaitkan Allahyarham dengan pertahankan kenaikan harga gula semalam.

Namun, Mahfuz menghargai sikap ikhlas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek yang mengakui kenaikan harga gula itu untuk mengurangkan bebanan kerajaan.

"Alasan menteri itu lagi ikhlas, dan inilah motif utama memansuhkan subsidi gula, bukannya untuk menggurangkan penyakit kencing manis,"katanya.

Malah Mahfuz difahamkan ketika mengeluarkan kenyataan tidak beradab itu Muhyiddin dikatakan 'gelak-gelak dan main-main'.

"Saya cukup sedih, bagaimana kamu atau anak, isteri yang baru kehilangan orang yang tersayang tiba-tiba...," ujar Mahfuz dengan nada sedih.

Justeru katanya, apa yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah tentu Perdana Menteri turut menerima tempiasnya.

Semalam, Muhyiddin dalam majlis pertemuannya bersama guru dan ibubapa pelajar sekolah sekitar Yan dan Kuala Muda pagi tadi mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 semalam dan berkuatkuasa semalam.

Jelas Muhyiddin ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Tiada ulasan: