Jumaat, 15 Jun 2012

PENIPU NI AMALAN2@KERJA2 SYAITAN...BILA KITA NAK MENANG TAK KIRA HALAL HARAM...SYURGA NERAKA...MACAM NI PAYAHLAH..

Calon Ikhwan berdepan dengan penipuan di Mesir

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 15 Jun 2012

(Penulis [kanan] berbincang dengan Setiausaha Agung FJP)

KAHERAH: “Keputusan mahkamah hari ini adalah malapetaka besar kepada setiap rakyat Mesir. Revolusi rakyat yang dilakukan oleh setiap warga Mesir yang cintakan keadilan kini mahu dirampas kembali oleh saki-baki rejim Mubarak”.

Begitulah ungkapan Setiausaha Agong parti Huriyyah Wal-Adalah (FJP), Ikhwan Muslimin, Dr. Ahmed Solaiman kepada saya apabila mendapat berita bahawa Mahkamah Perlembagaan Mesir membuat keputusan menerima pencalonan Ahmad Syafik sebagai calon yang ‘sah’ bagi bertanding dalam pilihanraya Presiden yang sedang berjalan ini.

Pada hari ini juga, Mahkamah Perlembagaan Mesir juga telah mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan pilihanraya Parlimen di lebih 30 peratus kawasan pilihanraya yang diadakan baru-baru ini.

Pembatalan ini dilakukan keatas kerusi Parlimen yang kebanyakannya di menangi oleh calon-calon dari parti Ikhwan Muslimin FJP dan Parti Nour dari gerakan Salafi.

(Penulis berbincang dengan anak muda penyokong FJP di Kaherah)

Namun setakat ini, walaupun ada ura-ura penarikan diri dari bertanding, calon dari FJP, Dr. Mohamad Morsi masih lagi bersaing sengit dengan Ahmed Shafiq bekas Perdana Menteri dan bekas komander tentera udara bekas komander tentera udara ketika pemerintahan Hosni Mubarak, di pusingan kedua pilihanraya Presiden yang akan diadakan pada 16 hingga 17 Jun ini.

Dalam pusingan pertama, adalah dianggarkan hampir 45 peratus penduduk Mesir telah keluar mengundi di kalangan 50 juta pengundi yang layak berbuat dimana Dr. Mohamad Morsi telah memperolehi  24.8% undi dan Ahmad Syafik memperolehi 23.6% undi.

Semasa penulis menziarahi Markaz parti  Huriyyah Wal-Adalah (FJP), Ikhwan Muslimin yang terletak di tengah-tengah kota Kairo, suasana agak tenang wlaupun mereka baru sahaja mendapat berita keputusan Mahkamah Perlembagaan itu.

Kesempatan ini juga di ambil untuk bertemu dan berbincang dengan Dr. Ahmed Soleiman yang merupakan Setiausaha Agong FJP. Beliau menyatakan bahawa pelbagai usaha sedang dilakukan oleh saki-baki rejim Mubarak termasuk memperalatkan kalangan hakim-hakim yang setia kepada Mubarak  bagi memastikan calon FJP kalah dalam pilihanraya pusingan kedua ini.

Menurut Dr. Ahmed Solaiman lagi; “mereka sedang merancang penipuan besar-besaran bagi memastikan kemenangan Ahmed Syafik. Rakyat Mesir mesti menolak calon 'feloul' Ahmed Syafik ini yang terlibat secara langsung dalam jenayah kekejaman sepanjang pemerintahan rejim Mubarak dan turut menjadi sebahagian dari pimpinan rejim Mubarak,” tegas beliau.

Keadaan ini lebih genting lagi apabila Ahmed Syafik turut disokong penuh oleh pihak tentera serta kuasa besar Barat dan sekutunya Israel yang begitu bimbang dengan kemungkinan kemenangan calon dari Ikhwan Muslimin.

Mereka yang turut dibantu oleh hampir seluruh media antarabangsa seperti BBC, CNN dan Al Arabia sedang merancang dan akan menggunakan apa cara sekalipun bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka akan menang dalam pilihanraya ini.

Ini amat penting kepada mereka terutamanya bagi menjamin ‘keselamatan’ Israel serta perjanjian ‘Camp David’ yang termeterai antara Israel dengan Mesir semasa pemerintahan rejim Anwar Sadat dan Mubarak.

Keputusan pilihanraya Presiden Mesir ini juga adalah amat penting kepada seluruh dunia Islam. 

Namun saya yakin Ikhwan bersiap untuk berhadapan dengan apa jua kemungkinan termasuk juga penipuan pilihanraya secara besar-besaran yang sedang dirancang ini.

Mereka tetap yakin dengan ‘Kuasa Rakyat’ untuk menumbangkan calon ‘feloul’ ini walaupun berhadapan dengan penipuan ini. Kemenangan calon Ikhwan ini akan juga menjadi inspirasi dan semangat kepada PAS bagi menghadapi PRU -13 akan datang di negara kita Malaysia.
-----------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang kini berada di Mesir sebagai pemerhati pilihan raya. Beliau boleh dihubungi melalui Twitter: @syedazman   e-mail: syedazmans@yahoo.co.uk


Ribuan iringi perjalanan akhir Ustaz Yahya

Aslani M | Foto Yusri Amin, 15 Jun 2012
MACHANG: Ribuan rakyat Kelantan mengiringi perjalanan akhir bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, almarhum Datuk Ustaz Yahya Othman, 73 di Kampung Labok pagi tadi.

Sejak pagi lagi orang ramai datang bagi merakamkan ucapan takziah sambil menunggu menunaikan solat jenazah. Di kiri kanan jalan sesak dengan kenderaan.

Turut hadir Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan, Datuk Abu Bakar Chik dan wakil-wakil rakyat serta pegawai kerajaan.

Solat ke atas jenazahnya kali pertama diadakan kira-kira jam 8.30 pagi di rumahnya diimamkan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud.

Rumahnya terletak tidak jauh daripada Masjid Labok, kemudian solat kali kedua diadakan di masjid diimamkan Menteri Besar.

Ramai terpaksa menunaikan solat di luar bangunan masjid kerana sesak. Jenazahnya kemudian diusung ke tanah perkuburan Islam yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berjalan kaki mengiringi jenazah bersama orang ramai.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Habshah Hussin Rahimin dan empat anak iaitu Dr Salwa, Najwa (guru), Suraya dan Nidana (pensyarah).

Anak saudaranya, Kamaruddin Omar, 56 berkata, petang semalam Allahyarham memanggil seorang pembantunya, Ustaz Rosli Ismail bagi menulis kata-kata akhir bagi menyiapkan bukunya yang sedang dikarang.

“Ustaz memanggil Rosli untuk menulis kata-kata akhir, pesan dan wasiatnya. Tidak lama selepas selesai memberi pesanan beliau tiba-tiba menghempus nafas terakhir.

"Turut berada di sisinya ketika itu, isteri dan anaknya Suraya yang tinggal bersama di rumah,” katanya yang menyifatkan perjalanan akhir bapa saudaranya begitu mudah.

Empat buku terakhir yang sudah dicetak juga kelihatan diletak di kawasan masjid antaranya Sebahagian Taujid Tarbiah Gerakan Islam dan Himpunan kertas kerja tarbiah.

Menteri Besar ketika takzirah ringkas berkata, Allahyarham Ustaz Yahya seorang yang banyak berjasa kepada Islam sama ada di Kelantan dan Malaysia.

“Di atas dunia sekarang kita boleh buat apa sahaja, tetapi kena ingat ada pembalasan di akhirat kelak. Ahli ekonomi, ahli demonkrasi tidak pernah memberitahu apa yang akan berlaku selepas mati,” katanya.

Turut merakam ucapan takziah Ikhwanul Muslimin Mesir melalui laman webnya.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman menyifatkan Allahyarham seorang idola bagi anak muda dan kehilangannya sukar dicari ganti.

Timbalan Pengerusi PKR Negeri, Amran Ab Ghani berkata, Ustaz Yahya begitu dikenali dalam gerakan Islam di peringkat dunia.

“Biar pun saya tidak kenal rapat namun banyak mendengar cerita keilmuan yang ada pada Ustaz Yahya. Lagi pula mertua saya mempunyai hubungan keluarga,” ujarnya.

Bekas Presiden Abim, Dr Yusri Muhamad berkata, pemimpin muda Abim begitu menghormati ketokohannya kerana disiplin ilmu tarbiah yang begitu mantap.

Menurutnya, Allahyarham sangat rapat dengan pemimin Ikhwan Muslimin di Mesir sejak menuntut di negara terbabit.

'Occupy Balok-Gebeng 24 Jam' pada 23-24 Jun

Anis Nazri, 15 Jun 2012

KUALA LUMPUR:
Seluruh ahli PAS, khususnya di Pahang dan Terengganu diminta hadir ke program Himpunan Hijau 'Occupy Balok-Gebeng 24 Jam' yang akan diadakan pada 23 dan 24 Jun ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata himpunan itu perlu disertai sebagai bantahan umum terhadap sikap kerajaan yang tidak mengendahkan kebimbangan rakyat berhubung isu Lynas, di Gebeng.

"PAS menyokong penuh himpunan ini.  Justeru, saya minta seluruh ahli PAS, khususnya di Pahang dan Terengganu untuk turun menyatakan solidariti pada himpunan ini, yang bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan untuk menghentikan operasi kilang nadir bumi ini," kata beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, pagi tadi.

Tegas beliau, pihaknya sedar mana-mana himpunan yang menyatakan penentangan terhadap kerajaan akan mengundang risiko yang tersendiri, oleh itu meminta peserta bersatu dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Namun, kita harapkan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi jika pihak polis bekerjasama," tegas beliau yang turut menekankan kepentingan pendedahan terhadap awam berhubung alam sekitar.

Himpunan anjuran Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau itu akan berjalan selama 24 jam, di Pantai Balok, bermula jam 12 tengahari pada 23 Jun dan akan berakhir pada 24 Jun, 12 tengah hari.

Selain pameran berkaitan isu Lynas dan isu alam sekitar, beberapa program seperti parlimen rakyat dan gotong-royong diadakan sepanjang 'occupy' tersebut.

Manakala, di sebelah malam pula terdapat tiga program berasingan, iaitu konsert remaja yang akan diadakan bersebelahan Restoran Alif, Balok; ceramah Bersih 2.0 di Markaz PAS Sungai Lembing, dan Ceramah Himpunan Hijau di Pantai Balok.

Ceramah Bersih 2.0 akan dibarisi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, dan Pengerusi Lanjah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar serta barisan pimpinan Pakatan Rakyat Pahang.

Acara kemuncak bagi program 'occupy' itu ialah peserta himpunan akan bergerak dari Balok ke Gebeng, dan kemudiannya ke kilang Lynas menyatakan bantahan, yang turut disertai Mohamad.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ketua Publisiti Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau, Lee Chean Chung, wakil Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim dan Ahli Jawatankuasa Kerja Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

RM1.5j: Kalau duit k’jaan MP Pakatan patut dapat

Harakahdaily, 15 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap paruntukan yang diterima oleh ahli Parlimen BN sebanyak RM 1.5 juta menandakan bahawa BN sudah berada dalam keadaan terdesak untuk terus berkuasa.


“DPPM mempersoalkan, apakah jentera BN sudah terlalu lemah sekarang sehingga terpaksa disuntik dengan RM1.5 juta lagi bagi memulihkan jentera mereka yang semakin lesu di bahagian-bahagian?

“Atau mungkinkah segala program yang mereka laksanakan selama ini belum mampu ‘menjinakkan’ hati pengundi-pengundi untuk bersama mereka sehingga terpaksa ditambah dengan jumlah yang besar bagi membeli hati mereka?” tanya Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, kemungkinan juga peruntukan ini sebagai tanda mengikat kesetiaan ahli Parlimen BN dengan BN ekoran adanya khabar angin mendakwa beberapa orang ahli Parlimen BN terutama dari Sabah yang akan ‘melompat’ parti kebelakangan ini.

Malah, ujar Riduan terdapat juga khabar angin bahawa beberapa orang ahli parlimen BN dari semenanjung turut menyuarakan hasrat yang sama untuk melompat parti menyeberang ke Pakatan Rakyat.

“Kesemua perkhabaran ini meresahkan Perdana Menteri dan bagi meredakan kekusutan ini, beliau sanggup menyerahkan sejumlah RM1.5 juta untuk dibelanjakan di parlimen masing-masing,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, ujarnya lagi DPPM mempersoalkan dari mana Barisan Nasional memperolehi duit sebanyak itu sehingga mampu berbelanja beratus juta ringgit sebagai peruntukan kepada setiap ahli parlimen mereka.

Tambahnya, ini belum dikira dengan jumlah yang mereka telah serahkan sebelum ini dan akan serahkan semasa kempen pilihan raya umum nanti.

Katanya, jika ianya datang dari duit kerajaan, mengapa tidak disalurkan juga kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana pengundi di kawasan mereka juga adalah rakyat di negara ini yang layak mendapat segala kemudahan sebagaimana rakyat di parlimen dimenangi oleh BN.

Menurutnya, peruntukan besar itu menandakan BN hanya mampu bertahan melalui duit yang mereka taburkan untuk memastikan jentera mereka bergerak mengikut arahan.

“Duit inilah yang terus menyambung hayat mereka kepada suatu tempoh tertentu sehingga mereka tidak lagi peduli berapa banyak lagi duit rakyat dan kerajaan terpaksa dihabiskan bagi ‘membela’ ahli dan pemimpin parti mereka.

“DPPM yakin, talian hayat ini akan terhenti dan riwayat hidup BN akan tamat sepenuhnya jika mereka kalah dalam PRU13 kerana tiada lagi peruntukan yang akan mereka nikmati seperti sekarang,” katanya.


Himpunan Hijau peringkat negeri Melaka 24 Jun

Ahmad Danial, 15 Jun 2012
MELAKA: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari memaklumkan bahawa Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka akan diadakan pada 24 Jun 2012.

"PAS Melaka akan mengadakan program Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat negeri Melaka 24 Jun ini bagi meneruskan momentum semangat ahli-ahli di negeri ini untuk memenangkan PAS pada PRU 13 nanti."

"Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu menjadi tetamu utama pada program tersebut dan beliau akan menyampaikan amanat pimpinan PAS pusat kepada ahli-ahli di Melaka" ujar Adly.

Adly berkata disamping itu PAS Melaka turut menjemput pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat Negeri bagi memeriahkan lagi program tersebut.

"Wakil daripada NGO Anti Lynas juga turut dijemput. Disamping itu Zulkifli Mohd Omar selaku pengerusi Lujnah Alam Sekitar PAS Malaysia dijangka akan turut hadir." tambah beliau.

Menurutnya PAS Negeri Melaka telah membuat permohonan secara rasmi bagi menggunakan Stadium Hang Tuah bagi menjayakan program tersebut.

"Kita harap permohonan kita untuk menggunakan stadium itu diluluskan tanpa banyak kerenah birokrasi" katanya.

Beliau memaklumkan bahawa tema Himpunan Hijau peringkat negeri Melaka adalah "Teknologi Hijau, Politik Hijau, Melaka Hijau" sesuai dengan slogan negeri, Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau

Adly menjemput seluruh rakyat Negeri Melaka untuk hadir ke program tersebut yang akan bermula pada jam 9.00 dengan berpakaian hijau.


Autokrasi politik Tun Dr Mahathir

Dr Dzulkefly Ahmad, 15 Jun 2012
1.    Tun M telah mendedahkan segala-gala dari  pemikirannya tentang demokrasi dan mengapa kerajaan Umno-BN dalam 22 tahun pemerintahannya sehingga kini dalam ucapannya semasa Konvokasi di Universiti Santo Tomas, Manila, pada 11 Jun11 lalu.

2.    Kini rakyat Malaysia lebih jelas mengapa Tun M dan kepimpinan Umno-BN sehingga kini telah mentadbir-urus negara ini dengan cara demokrasi kacukan atau demokrasi dengan kuku-besi sekaligus melahirkan sebuah negara yang dinobatkan sebagai sebuah “Snycretic State” dalam Sains Politik. Dalam bahasa seorang professor yang menklasifikasikan demokrasi di Malaysia sebagai salah sebuah Negara yang mengamalkan “Electoral Authoritarianism” (Andreas Schedler).

3.     Tun M tanpa segan-silu menyatakan bahawa beliau sebenar memang tidak pernah mempercayai bahawa demokrasi mesti diamalkan secara menyeluruh dan penuh. Beliau percaya bahawa kerajaan mesti “melaksanakan demokrasi dengan had dan batasnya” (practising democracy with limits).

4.    Tun M menyerlahkan lagi kesangsiannya terhadap sistem demokrasi dengan mempertikaikan natijah demokrasi dengan persoalan sinis beliau “Mengapa demokrasi gagal memberikan kebaikan yang kita harapkan” (“Why has democracy not delivered the good life we had expected of it?”)

5.    Tun membuat kesimpulan bahawa adalah mustahil untuk melaksanakan ‘utopia demokrasi’ yang berteraskan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”  kerana akan berakhir dengan satu kebuntuan. (A government of the people, by the people and for the people will result in a stalemate, in no government at all, in anarchy).

6.    Lantas tegas beliau, mesti ada ‘ubahsuaian’ dan rakyat ‘berkorban’ sedikit untuk kita dapat memenafaatkan system demokrasi ini.

7.    Tun M telah mengisytiharkan apakah kepercayaan demokrasi yang dianutinya! Barulah rakyat Malaysia hari ini faham dan tahu benar-benar mengapa Tun dan pimpin BN yang meneruskan legasi-tradisi beliau yang telah ‘mencekik’ dan ‘menjerut’ demokrasi dengan segala akta-akta draconian dan ‘rimba’ yang meragut hak kebebasan rakyat yang sebenarnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

8.    Baru rakyat faham bahawa Tun M dan Umno-BN memerlukan semua ‘ubahsuai’ (adjustment) dengan ‘undang-undang’ semasa mereka berkuasa dengan 2/3 majoriti untuk ‘mentadbir negara’ dulu.

9.    Sebagai cotoh Kebebasan berpolitik dan berhimpun diragut dengan ISA dan Akta Polis, Kebebasan menerbit-berkarya dicekik dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), hak kepada maklumat dengan OSA, hak mahasiswa-akademik berpolitik dengan AUKU.

10.    Dan kini walaupun ISA telah dimansuhkan, kerajaan Najib pula meneruskan tradisi Tun M ini dan tidak boleh diberikan demokrasi sebenarnya maka diperkenalkan “Akta Kesalahan Keselamatan 2012, yang dikatakan sama drakonian kalau tidak lebih zalim lagi, mengikut pengamatan pakar-pakar undang-undang.

11.    Tun M ini tetap akan buta demokrasi dan tidak akan celik dengan erti pencerahan minda tentang demokrasi sampai keliang lahadnya.

12.    Dengan demokrasi yang konon di’adjust’ dan diubahsuai itulah telah berleluasa dan sarat amalan rasuah dan salah-guna kuasa kerana rakyat tidak mendapat capaian maklumat untuk ‘menyemak-imbang’ kerajaan yang menyalahguna kuasa.

13.    Inilah yang mengakibatkan sekaligus satu ‘gross fiscal mismanagement’ yang menjadikan Negara hilang daya-saing dan amalan kroni kapitalisme dan amalan ‘rent-seeking’ sarat terpasak dalam amalan dan system delivery pentadbiran Umno-BN.

14.    Sebagai contoh Perjanjian konsesi utility mega (IPP, Tol Lebuhraya)dirahsiakn atas nama OSA. Skandal besar seperti PKFZ yang menelan RM 12 b makan tahun untuk dikesan berbanding kalau rakyat bermaklumat dan punya informasi!

15.    Demokrasi yang benar-benar berfungsi akan melahirkan rakyat yang bermaklumat, berani menegur pemimpin bahkan berani menurunkan dan mengguling pemimpin melalaui ‘ballot box’ atau pilihanraya dari bermaharajalela dengan kuasa serta ‘membutakan rakyat’ dengan ‘ketakutan’ dan sedikit ‘gula-gula’ kononnya pemberian sebuah kerajaan yang ‘prihatin dan mendahulukan rakyat.

16.    Sah Tun M adalah seorang dictator yang bersembunyi disebalik pakaian demokrasi yang beliau sangat membencinya! Kebencian terserlah kini dengan ucapannya di Manila ini! Sebab itu Tun dan semua pimpinan Umno-BN sangat takut dengan ‘Arab Spring’ yang merupakan kebangkitan rakyat Arab menjatuhkan pimpinan dictator dan regim kukubesi yang telah berdekad menafikan rakyat kebebasan dan demokrasi sebenar!

17.    Jelas mengapa Tun M secara terang-terengan‘memandul kekebalan raja’, memecat seorang Ketua Hakim Negara dan segala yang perbuatan zalim atas nama ‘adjustment’ kerana ‘demokrasi itu ada batasnya’ dan diktator inilah dan regim umno-BN inilah yang menentukan batas-batas HAK yang boleh diberikan kepada rakyat!

Projek anak bekas menteri bahayakan negara

Aedi Asri, Keadilandaily, 15 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendapati, projek sistem baru kawalan trafik yang mengancam ruang udara negara diberi kepada anak Jamaludin Jarjis, Pengarah Pilihanraya BN sekarang.


(Nurul Izzah menunjukkan bukti pemilikan syarikat ikeh anak Jamaludin Jarjis)

Menurutnya, dalam carian syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tertera nama Ikhwan Hafiz Jamaluddin iaitu ahli keluarga bekas menteri itu sebagai Pengarah Tirai Variasi Sdn Bhd Advanced Air Traffic System (M) Sdn Bhd.

“…Saya tanya, dan ini belum dijawab oleh Kementerian (Pengangkutan),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Naib Presiden PKR itu turut mempersoal adakah menjadi norma Kerajaan Umno BN menganugerahkan satu daripada projek kerajaan kepada keluarga menteri.

“Apakah alasan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memberi kontrak sistem yang cukup penting ini secara rundingan tertutup?” soalnya lagi.

Beliau turut menunjukkan salinan dokumen dari SSM kepada media yang mempamerkan Ikhwan Hafiz Jamaluddin, 25, sebagai Pengarah Tirai Variasi Sdn Bhd.

Tirai Variasi adalah pemegang saham utama Advanced Air Traffic System (M) Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak bernilai RM280 juta itu.

Apabila ditanya wartawan mengenai kesahihan dakwaan tersebut, Izzah menjawab, kementerian patut menafikannya jika dakwaan itu tidak benar.

“Sekali lagi, saya persoalkan nama tersebut dan (saya) belum terima sebarang jawapan,” katanya.

“Saya sudah hantar surat pertanyaan (kepada Kementerian Pertahanan dan DCA) sebelum ini, namun masih belum terima maklum balas dari mereka,” jelas Izzah lagi.

Bagaimanapun, carian media mendapati Ikhwan adalah anak kepada Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.


Sistem yang gagal dan bahaya


Pada 8 Jun lalu, Izzah bersama-sama Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dan Tian Chua menyerahkan memorandum kepada DCA mengenai sistem baru Human Trafic Interface yang membahayakan ruang udara negara.

Sistem itu turut dibangunkan bersama syarikat Selex Sistemati Integrati dari Itali yang dikaitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah di Itali, Cyprus, Panama dan Namibia.

LAPORAN BERKAITAN


KEADILAN dedah sistem baru kawalan trafik ancam ruang udara negara

 

Hukum menipu

Dalam sebuah hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”

Orang yang suka menipu serta tidak amanah tergolong di kalangan orang munafik yang bakal menerima siksaan yang sangat pedih di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah saw,

أوصيك بتقوى الله, وصدق الحديث, وأداء الأمانة, والوفاء بالعهد , وبذل الطعام , وخفض الجناح

Maksudnya : Aku mewasiaatkan kamu dengan taqwa kepada Allah, benar tutur kata, menunaikan amanah, menepati janji menyedekahkan makanan dan merendah diri.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya, tentu mahu ya Rasulullah. Rasulullah menjelaskan: Menyengutukan Allah, durhaka kepada kedua orang tua. Oh ya, (ada lagi) Iaitu perkataan dusta." (Riwayat Muttafaq Alaih)

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis maksudnya:

"Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan (amanah) suka khianat". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kalau orang Alim menipu ?

Jika seseorang alim itu menipu maka padahnya adalah sangat besar. Sebabnya,

“Kalau orang Alim buat perkara yang harus orang awam akan buat perkara yang makruh, kalau orang Alim buat perkara yang makruh, orang awam akan buat perkara yang haram, kalau orang Alim buat perkara haram, orang awam akan terjerumus ke lembah kekufuran !

Justeru hukum belajar dengan orang yang suka menipu ini ialah haram kerana mereka tergolong dalam golongan yang melakukan kezaliman. Sedangkan Allah SWT melarang kita bersekongkol dengan orang yang melakukan kezaliman.

Firman Allah SWT,

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan" - Hud:113

Doa orang yang dizalimi sangat makbul di sisi Allah SWT,

إتق دعوة المظلوم فإنه ليس بينها وبين الله حجاب

Maksudnya : “Hindarilah doa orang yang kena zalim, maka sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dan di antara Allah SWT sebarang benda yang mendinding ” (HR Tirmidzi)

Kisah Bal'am bin Barro' yang diumpan dengan kemewahan dunia

Ambil pengajaran dari kisah Bal’am bin Barro’. Beliau seorang "ulama" besar kaum Bani Isra’il yang hidup di zaman Nabi Musa a.s.

Sebagai ulama besar, beliau memiliki ilmu yang sangat luas di samping mempunyai pengikut dan anak murid yang sangat ramai. Kesolehannya membuatkan seluruh do’anya didengar dan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Disebabkan beliau sangat ‘populer’, beliau telah diminta oleh Nabi Musa a.s untuk mengadap Raja Madyan dan berdakwah kepadanya. Namun apabila bertemu dengan Raja Madyan, Bal’am telah dipujuk supaya bersama pihak raja untuk menentang Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya. Sebagai imbuhan Raja akan mengurniakan harta yang banyak dan kedudukan yang tinggi kepadanya.

Tawaran daripada raja ini membuatkan hati Bal’am terpesona. Lalu dituruti permintaan Raja supaya mendoakan kehancuran kepada Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya. Balasannya Allah SWT merentap lidah Bal’am bin Barro’ dan matilah dia dalam keadaan lidahnya terjelir seperti lidah anjing. Kisah Bal’am ini ada dinyatakan dalam surah al-A’raf ayat 174-176.

Justeru apabila kita melihat seorang penuntut ilmu belajar daripada seseorang yang fasik yang suka menipu maka wajiblah kita menasihatinya dengan cara menjelaskan sifat dan keadaan guru tersebut dengan tujuan untuk kebaikan semata.


Petikan kuliah
Surau Al-Amin
19.6.2010 
 
 

07 May 2012

MAJLIS FATWA : APA HUKUM MENIPU DALAM PILIHANRAYA?


Apa hukum menipu dalam menjalankan pilihanraya. Antaranya penipuannya ialah :-

1) Daftar pemilih yang kotor
2) Mengujudkan undi pos yang tidak munasabah
3) Menzalimi parti-parti yang bertanding dengan tidak memberi peluang untuk muncul di media cetak dan elektronik
4) Merasuah, menyogok dan mengugut pengundi
5) Berat sebelah dalam menguruskan pilihanraya
6) Memindahkan nama pemilih sesuka hati
7) Memadamkan nama pemilih

............dan banyak lagi.

Bagaimana dengan kerajan yang dilantik hasil dari kemenangan kerana menipu, merasuah dan sebagainya. Apa hukum kerajaan tersebut adakah kerajaan HARAM atau HALAL. Bagaimana dengan elaun dan gaji yang diterima oleh Wakil Rakyat yang menang dengan perbuatan di atas?

Majlis Fatwa SILA KELUARKAN FATWA!!!!

Blog ini setuju dengan 8 tuntutan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menuntut Majlis Fatwa memberikan jawapan terhadap beberapa persoalan yang dikemukakan beliau.

Antara lain persoalan tersebut ialah :-



Pertama, perhimpunan BERSIH 3.0 untuk pilihan raya bebas dan adil telah mendapat kebenaran serta kelulusan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman dan memenuhi syarat 'bertujuan baik' kerana tentunya tuntutan pilihanraya bebas dan adil tidak haram?

Kedua, arahan mahkamah melarang perhimpunan ke ruangan Dataran Merdeka adalah menafikan hak asasi rakyat dalam sebuah negara demokratik, oleh itu ia 'bertujuan tidak baik' dan menimbulkan 'suasana konfrontasi'. Justeru, adakah tindakan ini haram?

Ketiga, tindakan berlebihan pihak berkuasa mengepung dan menghalang orang ramai bersurai secara teratur dan aman serta tindakan menggunakan kekerasan berlebihan seperti gas pemedih mata, pancutan air kimia, pukulan dengan cota dan kekerasan yang diperlakukan segelintir anggota polis secara am -adakah semuanya haram?

Keempat, Pengerusi Jawatankuasa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin juga menyebut: "Tindakan merusuh, mewujudkan kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama."

Oleh demikian bagaimana fatwa tindakan umat Islam di Tunisia, Mesir, Libya dan kini Syria ke atas kerajaan masing-masing yang sah di sisi undang-undang juga haram?

Kelima, apakah fatwa untuk menipu di pilihanraya dengan berbagai kaedah seperti menghalang rayuan mahkamah dibuat di atas kesahihan Daftar Pemilih (Akta Pilihanraya - Seksyen 9A), menghalang wakil-wakil parti dan bukan parti menyaksikan dan menyemak kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pemilih pada hari mengundi (Akta Kesalahan Pilihanraya - Seksyen 26A (2) dan (3)), persempadanan kawasan pilihanraya tidak adil melalui pindaan Artikel 116 Perlembagaan Persekutuan mengenai nisbah perbezaan jumlah pengundi tidak melebihi 15% setiap kawasan, penyalahgunaan undi pos, akses media terhad untuk semua parti politik, pengunaan politik wang merasuah pengundi dan pengunaan pengundi hantu - adakah ia haram?

Keenam, apakah fatwa mengenai sebuah kerajaan yang dibentuk berdasarkan pilihanraya yang tidak bebas dan tidak adil - adakah ia kerajaan haram?

Sebagai makluman, Nuru Izzah juga telah membuat pertanyaan rasmi di sidang Parlimen yang lepas kepada Perdana Menteri merujuk soalan berikut:

PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : Y.B. PUAN NURUL IZZAH BINTI ANWAR
[LEMBAH PANTAI]
TARIKH : 22 MAC 2012 [KHAMIS]

SOALAN :
Puan Nurul Izzah Binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan Fatwa tentang amalan penipuan pelbagai bentuk dan cara dalam pilihan raya dan penganugerahan status kewarganegaraan kepada warga asing sebagai balasan sokongan kepada Kerajaan Pusat.

JAWAPAN: (Y.B SENATOR MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM (B), MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI)

Tuan Yang di-Pertua,

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan tidak ada keperluan untuk berbincang dan memberikan fatwa berkaitan penipuan dalam pilihanraya. Ini kerana, dalam Islam, hukum bagi sebarang bentuk penipuan adalah jelas iaitu tidak dibenarkan.

Suruhanjaya Pilihanraya juga telah mempunyai undang-undang dan peraturan yang boleh mengawal dan mengendalikan proses serta perjalanan pilihanraya di Negara ini agar berlangsung dengan telus dan adil.

Sekian, terima kasih


Malangnya jawapan yang diberikan oleh wakil PM iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa Majlis Fatwa tidak perlu membuat fatwa di atas perkara yang ditanya walaupun semua bentuk penipuan adalah tidak dibenarkan agama Islam.

Akhir sekali, saya berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan dengan segera memberikan jawapan kepada kesemua persoalan di atas agar kesucian Islam terpelihara.
Nurul Izzah Anwar - dipetik dari Malaysiakini.

Tiada ulasan: