Rabu, 20 Jun 2012

JANGAN AMBIL YANG BUKAN HAQ KITA...HARAM...DAH JELAS DALAM PERJANJIAN...MUFTI PUN MUNGKIN KATA BEGITU...SELAMAT KITA SELAGI BERKUASA...BAGAIMANA KITA DALAM KUBUR...BAGAIMANA KITA DIPADANG PASAR...KAN KITA BERIMAN HARI AKHIRAT....BEBAL SANGATLAH KALAU TAK TAHU HUKUM...SEMUA TINDAKAN KITA DUNIA...AKAN ALLAH PERTIKAIKAN...BETUL...SELAMAT...TAK BETUL SEKSAAN YANG KITA DAPAT...JANGAN BONGKAK SANGATLAH DIDUNIA NI

Media putar belit kenyataan saya - Dr. Che Rosli

Anis Nazri, 20 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berkenaan Lynas Advanced Material Plants (LAMP) tidak memperincikan butirannya secara saintifik.

Biarpun pendengaran awam yang dijalankan mengambilkira pandangan daripada pelbagai pakar, persoalan yang membimbangkan rakyat masih tidak terjawab.

Demikian dinyatakan ahli parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata sewajarnya sebuah makmal ditubuhkan bagi mengkaji secara terperinci segala kesan dari pemprosesan nadir bumi terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Mengakui beliau hanya mempunyai kepakaran di bidang nuklear dan tidak arif mengenai bidang-bidang lain, justeru beliau meminta tidak ada pihak yang cuba memutarbelitkan kenyataan beliau sebelum ini.

"Memang saya mengatakan projek Lynas itu hanya mempunyai kadar radiasi yang rendah, namun ia tidak membuktikan ia selamat," tegas beliau lagi.

Ini kerana, katanya kesan dari proses penguraian bahan-bahan nadir bumi itu akan menghasilkan tiga jenis residu yang memberi kesan kepada kesihatan.

Sehubungan itu, beliau mengatakan keperluan untuk mengadakan 'Health Impact Assessment' (HIA) dan 'Health Risk Assessment' (HRA) dan aspek pengurusan residu perlu dititikberatkan.

Dalam pada itu, ahli parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata pengalaman dalam kes Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah tercetus akibat ketiadaan pelan pengurusan sisa membabitkan bahan radioaktif.

"Memang kadar radiasinya rendah sebagaimana dinyatakan Hulu Langat (Che Rosli), tapi residu yang terhasil dari bahan itu yang membimbangkan kita," tegas beliau.

Katanya, tindakbalas kimia ini menghasilkan 'heavy metals' seperti plumbum, merkuri, arsenik, cadmuim dan nikel, yang mana ketiga-tiga 'heavy metals' terakhir itu adalah karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser.

Atas sebab itu, beliau berpendirian PAS tidak dapat menerima projek tersebut kerana ia tidak dikemukakan secara saintifik berhubung kesan-kesan sampingan dari pemprosesan nadir bumi tersebut.

Turut serta dalam sidang media itu ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Murad diugut diugut ejen BN, dakwa Saifuddin

KeadilanDaily, 20 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid (gambar) telah diugut untuk membuat akuan bersumpah mengaitkan Anwar Ibrahim dengan tuduhan RM3 bilion, lapor KeadilanDaily.

“Murad ini kita tahu, dua tiga hari lepas telah didatangi oleh ejen-ejen kerajaan, ugut dia lagi. Kita tahu nama pegawai ini, ugut dia jangan sesekali membuat kenyataan penafian.

“Walaupun dia (Murad) telah mengunjungi Permatang Pauh (Anwar) ketika menerima rawatan di Munich dan minta maaf kerana dia telah dipaksa, keluarganya diugut..kita tahu semuanya. Tapi tak mengapa, teruskan permainan,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat ketika memohon laluan semasa perbahasan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh di Parlimen hari ini.

“Saya minta izin kepada Permatang Pauh, terima kasih. Oleh kerana sebelah sana (Ahli Parlimen BN MP BN) tak berani bangun, maka saya bangun. Kerana ia cabaran terbuka,” katanya selepas MP BN gagal berdiri apabila dicabar Anwar membangkitkan isu tersebut.

“Saya berpendapat, kita harus tunggu cabaran daripada Pekan (Datuk Seri Najib Razak) dan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk kita dedahkan pula. Berani tak mereka membuat cabaran terbuka seperti ini?" soal Saifuddin.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mencabar MP BN berdiri membangkitkan isu tuduhan kononnya beliau menyorokkan RM3 bilion.

Berikutan kegagalan kesemua MP BN menyambut cabaran Anwar itu menyebabkan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung KEADILAN menyambung hujah menangkis tuduhan tersebut dengan membacakan pengakuan bersumpah bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idris.

Duta New Zealand pula kunjungi Kelantan

Rizal Tahir, 20 Jun 2012

(Husam, Tok Guru Nik Aziz dan David Gregory Pine dalam pertemuan mereka pagi tadi)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sejak akhir-akhir ini banyak menerima kunjungan tetamu dari luar negara sama ada dari pejabat kedutaan.

Hari ini Tuan Guru menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Gregory Pine di Kediaman Rasmi JKR 10, di sini pagi tadi.

Beliau yang tidak dapat meneruskan pertemuan dengan duta itu hanya mewakilkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.

Turut hadir dalam pertemuan itu, anggota exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi dan Setiausaha Sulit Khas, Rosdi Abdullah.

Dalam pertemuan sejam itu, pelbagai isu dibincangkan bersama dalam meningkatkan tahap ekonomi di tempat masing-masing.

Antara lain, kedua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pemeliharaan hutan dan memajukan hutan lipur sebagai ekonomi.


New Zealand minat padi organik


Gregory juga turut berminat berhubung kaedah penanaman padi dan sayuran cara organik yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri yang sememangnya lebih baik dari menggunakan baja kimia yang lain.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih di atas kesudian kerajaan negeri menerima kunjungannya.

“Saya ucapkan terima kasih kerana kesudian menerima kunjungan ini dan  banyak perkara dapat dibincangkan bersama,”ujarnya.

Pemandu teksi lebih perlukan permit dari tayar

Harakahdaily, 20 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kerajaan BN gagal memahami keperluan pemandu teksi apabila memberi empat tayar percuma berbanding permit.

Menurutnya, pemberian berupa one-off tidak mampu merubah apa-apa nasib yang sedang membelengu pemandu teksi yang sejak dahulu menagih permit.

"Kerajaan tak tahu keutamaan dan keperluan yang dikehendaki rakyat. Mereka bukan minta tayar, mereka minta permit.

"Bagi tayar tak selesai masalah, permit masih kena bayar kepada syarikat," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M).

Melalui bantuan itu pemandu teksi diberi voucher bernilai RM520 untuk menukar tayar teksi di kedai terpilih.

Jika harga tayar lebih mahal, mereka perlu membayarnya dengan duit poket sendiri.

"Kalau kereta waja, RM500 tak cukup untuk ganti empat tayar," kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Tayar jadi gula-gula politik

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar kanan) mendakwa pemberian tayar itu tidak lebih dari gula-gula pilihan raya.

Beliau juga memberi jaminan, permit teksi akan diberikan kepada pemandu jika Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara.

“Ada ketua Umno cawangan pegang 250 permit teksi. Bekas menteri ada 30 permit teksi. Ketua Pemuda Umno (bahagian) ada 15 permit teksi. Buat apa ini?

“Tapi Umno jawab apa? Dia bagi empat tayar. Saya hendak tanya pemandu teksi, kamu nak permit teksi atau empat tayar?” katanya.

ISA: Unit pengesan bom serbu, pintu rumah dipecah

Hazayani Zakaria, 20 Jun 2012
KUALA LUMPUR: "Masa polis datang tangkap suami saya, mereka ketuk pintu dengan sangat kuat, tak ada seorang pun beri salam, terus pecahkan pintu," cerita isteri kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Isteri (ISA) Mustawan Ahbab.

Khairunizah Mohd Akhir, 36 menceritakan kembali detik-detik penangkapan suaminya pada sidang media bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di lobi Parlimen hari ini. Turut serta ialah Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata, kira-kira 30 polis termasuk unit pengesan bom menyerbu dan menyelongkar barang-barang di rumah mereka pada 11 Ogos 2010 iaitu hari pertama Ramadhan.

"Mereka tangkap dan terus gari Mustawan dan telefon kami dirampas dan dimatikan.

"Tak ada waran tangkap, bila kami tanya kenapa tangkap mereka tak cakap salah apa tapi beritahu  suami saya ditahan dua minggu di Bukit Aman dan minta saya sediakan pakaian Mustawan untuk dua minggu.

"Polis kata saya boleh melawat Mustawan tiap-tiap hari tapi saya pergi tak dapat jumpa pun. Dah seminggu lebih barulah boleh jumpa," katanya.

Mustawan, 34, merupakan warga Indonesia dan sudah  lima tahun menetap di Malaysia.

Eksekutif pemasaran di sebuah syarikat penerbitan buku di Kuala Lumpur itu ditangkap kerana didakwa menganggotai Jamaah Anshorut Tauhid yang berpengkalan di Indonesia yang disifatkan sebagai pengganas antarabangsa.

Mustawan dituduh menjadi agen bagi mengumpulkan dana untuk pergerakan itu di Malaysia.

Sehingga hari ini, Mustawan masih ditahan di Kem Kamunting bersama 44 yang lain.

Sementara itu, bapa kepada seorang lagi tahanan, Fadzullah Abdul Razak kecewa anaknya dituduh melakukan tiga rompakan tetapi tidak dibawa ke mahkmah untuk dibicarakan.

Abdul Razak Mohd, 54 berkata, keluarganya sangat berharap kerajaan menunaikan janji untuk membebaskan anaknya dan kesemua tahanan ISA.

Fadzullah yang ditahan di bawah ISA sejak Julai 2010 merupakan salah seorang yang menyertai mogok lapar bulan lalu menuntut pembebasan dari Kemta.

"Jumpa dengan Fadzullah baru-baru ini, memang dia kata dia nak sangat bebas dari Kemta sebab tak tahu apa salah dia," katanya.

Turut hadir ibu Fadzullah, Hadijah CP Veeravu, 51.

Bonda saudara sultan sokong tuntutan royalti

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal, 20 Jun 2012
KOTA BHARU: Bonda saudara Sultan Kelantan, Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra dan Datuk Tengku Rozan hari ini turut menurun tanda tangan sebagai sokongan tuntutan royalti dan pendaratan gas di Kelantan.

Baginda berdua yang diiringi anggota Jawatankuasa Purnama meluangkan masa lebih satu jam melawat pameran di Ekspo Dunia Islam dan Konvensyen Halal Dinar dan Dirham, di sini tengah hari tadi.

Turut mengiringi kerabat Diraja Kelantan itu, isteri Menteri Besar Kelantan dan timbalannya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid, Datin Rohana Abdul Rahman yang turut menurunkan tanda tangan sebagai sokongan yang sama.

Mereka juga turut menurunkan tanda tangan sokongan menuntut royalti dan pendaratan gas di Bachok, Kelantan.

Sementara itu, Tengku Salwani mengakui begitu seronok melihat barangan yang dipamerkan di ekspo tersebut sambil menyifatkan ianya begitu hebat.

“Memang seronok, hebat ekspo ni,” ujar Tengku Salwani.

Pelbagai program menarik diadakan di pameran ekspo antaranya demonstrasi masakan luar negara.

Tiada ulasan: