Rabu, 27 Jun 2012

MAAF...NI AGAKAN YANG JANGAN PERCAYA SANGAT...SEMUANYA KUASA DAN TAKDIR DARI ALLAH SWT....PERKARA NI TAK PERNAH BERLAKU SEBELUM NI...SAMBUTAN MENJADI AHLI PELBAGAI LATAR BELAKANG...NON MUSLIM MULA FAHAM ISLAM DAN MENYOKONG....INSYAALLAH AKAN MEMBERI KEMENANGAN...TAATLAH...TAKWA LAH...BERKERJA SUNGGUH2 KERANA ALLAH BUKAN PARTI....BERDOA DENGAN RASA RENDAH HATI DAN MENGHARAP...TINGGALKAN MAKSIAT...WALAUPUN MAKSIAT YANG KECIL...INSYAALLAH ALLAH BERSAMA KITA...TIADA SAPE MEMAMPU MELAWAN KUASA ALLAH...PERCAYALAH DAN YAKINLAH...

‘Demokrat palsu’ kerana Najib rahsia tarikh PRU

Harakahdaily, 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertenang di sebalik tuduhan bahawa pentadbiran beliau sebagai ‘demokrat palsu’ seperti yang dituduh oleh ketua biro Beijing, Mark Mackinnon dalam akhbar The Globe and Mail.


Tulisan Mark Mackinnon bertajuk A 21st-century checklist of the new autocrats disiarkan pada 8 Jun 2012 oleh akhbar tersebut.

Antara alasan penulis ini melabelkan PM sebagai ‘demokrat palsu’ adalah dengan menyatakan “pemimpin ini mengadakan pilihan raya tetapi tiada hasrat memberikan kuasa" dan "penentang politik seriusnya dipenjara dan parti mereka diharamkan atas alasan teknikal".

“DPPM berpandangan, kerajaan Malaysia tidak perlu melenting dengan tuduhan tersebut, sebaliknya kerajaan perlu bermusabah diri melihat kebenaran di sebalik label yang ditakrifkan terhadap PM,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Beliau berkata, secara faktanya penulis ini bukan sebarangan individu kerana beliau pernah menjadi pemenang anugerah kewartawanan serta sudah mewawancara sebahagian pemimpin paling kontroversi dan terkemuka di seluruh dunia.

“Sudah tentu, beliau tidak menulis secara semberono dan menulisnya tanpa fakta atau persepsi yang kukuh.

“Seharusnya PM menyedari hakikat diri dan pentadbiran beliau sehingga dilabelkan sedemikian.

“Beliau harus sedar, selama pemerintahan beliau dan partinya, mungkin segala tindakan yang beliau dan pemimpin sebelumnya lakukan adalah bersamaan dengan apa yang dilabelkan itu,” katanya.

Riduan berkata, kepincangan itu bukan sahaja rakyat sahaja merasainya, malah masyarakat antarabangsa juga sudah mula membuka mata dan mengata beliau secara terbuka di khalayak dunia.

“Antaranya, sikap berat sebelah pemerintahan beliau dan pemimpin Umno sebelum beliau terhadap parti-parti politik pembangkang, liputan media yang amat tidak adil- bahkan fitnah yang melampau terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, pembantaian terhadap rakyat dalam perhimpunan awam yang mereka anjurkan, menangkap pemimpin dan aktivis ke dalam ISA atau akta yang seumpama dengannya,  kekangan terhadap penjawat awam dan mahasiswa serta lain-lain lagi,” ujarnya.

Tambahan pula, kata beliau sikap PM yang merahsiakan tarikh pilihan raya menjadi sebab beliau dilabel sebegitu.

Justeru, ujarnya DPPM meminta PM sekiranya beliau berkeras menolak label yang ditohmah itu, beliau perlu menafikannya dengan tindakan.

Menurutnya, antara tindakan yang perlu dilakukan segera adalah melakukan perubahan daripada menjadi ‘demokrat palsu’ kepada ‘demokrat tulen’.

“Antaranya berlaku adil terhadap semua parti politik, memulihkan agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya benar-benar berwibawa, memberikan liputan yang adil melalui media kepada semua parti politik dan menghentikan politik fitnah dan kotor,” katanya lagi.

Riduan menambah, paling penting beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kekalahan dalam PRU ke 13 dengan hati terbuka tanpa usaha melakukan penipuan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Himpunan R: Gambar 'tukang pukul' diedarkan

Harakahdaily, 27 Jun 2012
KOTA BHARU: Ekoran tragedi berdarah dalam perhimpunan aman 'R' di depan Kota Darul Naim baru-baru ini, para penyokong 'R' mula mengedar foto pihak yang memukul.

(Penyokong R dipukul)

"Sesiapa ada maklumat, boleh salurkan pada pihak kami di Pages https://www.facebook.com/RoyaltyOfficialPages," tulis mesej yang dihantar melalui Facebook itu.



(Dua keping gambar yang disiarkan berhubung dengan tukang pukul dalam Himpunan R di Kota Bharu)

Isnin lalu, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (ROYALTI) atau ringkas 'R" menganjurkan majlis penyerahan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan.

Namun majlis itu diganggu oleh kumpulan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang dipimpin Ibrahim Ali dan NGO Sedar.

Ekoran pertembungan itu, seorang blogger, Aduka Taruna telah dipukul sehingga mukanya berdarah.

Empat lagi aktivis R juga didakwa dipukul dan mereka telah membuat laporan polis mengenainya.

Naib Pengerusi R, Abu Samah Hassan,  salah seorang yang dipukul memberitahu media, beliau dipukul ketika rundingan dengan polis dibuat untuk menentukan kawasan himpunan antara mereka dengan kumpulan lawan mereka.

Dalam keadaan tegang dan bising itulah beliau mendakwa dipukul oleh orang yang tidak dikenali.

Bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Sabah sertai PAS

Mohd Firdaus, 27 Jun 2012
BEAUFORT: PAS Sabah mencatatkan sejarah tersendiri apabila bekas Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Sabah dan Labuan, Ahmad Kambar (baju hijau) menyertai parti itu.

Sebagai simbolik, beliau menerima bendera PAS sebagai simbolik panji-panji bagi membebaskan negeri ini daripada cengkaman Umno Barisan Nasional.


Beliau menerima bendera berkenaan daripada Ketua Pemuda PAS Sabah merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort, Lahirul Latigu di kediamannya, dekat Lumadan, di sini sambil disaksikan Ketua Pemuda PAS Kawasan Azlan dan ahli jawatankuasanya.

Ahmad berkata, beliau menyertai PAS atas pilihan sendiri dan yakin bahawa PAS bukan hanya sebuah parti politik semata malah bertindak sebagai badan dakwah dan tarbiyah yang memberi penekanan berdasarkan agama Allah.

"Kehidupan kita ini merupakan kehidupan yang bermakna dan kita perlu membawa ummah ini kearah Islam.

"Kita juga perlu untuk menjaga nasib rakyat dan mendidik rakyat untuk takut kepada Allah semata-mata,” kata beliau ketika ditemui selepas itu.

Beliau yang juga pernah menjawat Pengarah Dakwah Bersepadu Negeri Sabah dan Penolong Pengarah Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat Jabatan Perpaduan Negara serta berperanan penting dalam Jawatankuasa PsyWar semasa usaha Kerajaan Persekutuan menjatuhkan Kerajaan Sabah di bawah Parti Bersatu Sabah (PBS) pada awal 90an.

“Saya melihat banyak kelompongan dalam Umno dan BN. Mereka bercakap soal pembangunan tetapi apa yang berlaku di Sabah jauh dari apa yang mereka perkatakan.

“Masalah asas seperti elektrik, jalanraya pun masih banyak belum selesai seperti di kawasan pedalaman di Parlimen Sipitang ini. Kampung Weston contohnya walaupun mempunyai jumlah pengundi yang besar majoriti muslim tetapi tidak mendapat bekalan air bersih yang sewajarnya. Ini cukup memalukan,” ujarnya dalam nada kecewa.

Beliau turut bertekad untuk memastikan PAS lebih dikenali ramai terutama di kawasan sekitar Sipitang dan seluruh Sabah.

“Sebab itu saya tekad. Rakyat pun sudah mula membuka mata dan sudah dapat menerima PAS terutamanya di Lumadan, salah satu Dun di bawah Parlimen ini,” jelasnya.

Beliau yang juga merupakan bapa saudara kepada Lahirul turut yakin dengan berdasarkan perkembangan terkini akan lebih ramai lagi bekas pegawai-pegawai tinggi kerajaan Sabah yang akan menyertai perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Murad Khalid pernah minta maaf kepada Anwar

Harakahdaily, 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Sebelum isu tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai master akaun berlarutan, PKR menasihatkan Datuk Murad Khalid meminta maaf seperti mana yang pernah beliau lakukan secara peribadi kepada Anwar sebelum ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya berkata, Murad mempunyai masalah tersendiri dan jika dibongkarkan akan menyusahkan beliau sendiri.

Menurut Rafizi, hasil siasatan beliau mengenai latar belakang  Murad, menimbulkan dakwaan-dakwaan berikut:

1.      Bahawa ketika beliau menjadi pegawai tinggi Bank Negara Malaysia, seawal tahun 1991 beliau menerima habuan dalam bentuk pembayaran keahlian kelab golf dan yuran bulanan dari pihak ketiga yang melanggar etika dan peraturan Bank Negara Malaysia;

2.      Bahawa ketika beliau menjadi pegawai tinggi Bank Negara Malaysia, insuran kediaman beliau bagi perlindungan berjumlah RM3.1 juta dibayar oleh pihak ketiga yang melanggar etika dan peraturan Bank Negara;

3.      Bahawa melalui satu syarikat yang berhubung kait dengan beliau, Datuk Murad Khalid mempunyai kepentingan dan mendapat manfaat dari 15 unit kondominium di Pelangi Indah Condo; dan

4.      Pelbagai salah laku lain yang akan dibongkarkan dari satu masa ke satu masa kelak.

Pendedahan ini, katanya, adalah hasil
inisiatif sendiri meneliti semua fakta dan dakwaan yang dibuat terhadap beliau.

"Atas nama kebenaran dan keinginan untuk membongkar perkara sebenar, saya telah menyelidik perkara ini secara peribadi," kata Rafizi ketika mendedahkan hal ini.

Dakwaan Anwar mempunyai banyak akaun saham dan hartanah sehingga mencecah nilai RM3 bilion ini timbul dari perakuan bersumpah (statutory declaration) yang dibuat oleh Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara di antara tahun 1994 dan 1994.

Perakuan bersumpah beliau tidak memberikan fakta dan senarai semua harta yang didakwanya dimiliki oleh i Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, ia hanyalah dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan Anwar.

"Oleh yang demikian, saya berpendapat untuk mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak, saya tidak ada pilihan lain kecuali menyiasat latar belakang Dato’ Murad Khalid sendiri," kata Rafizi yang meletakkan jawatan sebagai CEO di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor yang diketuai Anwar.

Jika rekod beliau sendiri pun tercalar dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa, ini menimbulkan keraguan bahawa perakuan bersumpah yang dibuat beliau adalah tidak benar, terutamanya apabila beliau tidak menyenaraikan pun harta atau saham yang kononnya dimiliki oleh Anwar Ibrahim, kata Rafizi

Kuasa pendakwaan perlu diberi kepada SPRM

Muhammad Faizal, 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah tetap mencadangkan agar kuasa pendakwaan bagi kes-kes rasuah diberikan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (gambar) berkata tindakan memberi kuasa itu akan dapat memberi kesan yang lebih baik kepada SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini.

Beliau menjelaskan perkara tersebut pada sidang media di lobi Parlimen ketika menerima buku Laporan Tahunan SPRM 2011 daripada Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Sementera itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang baru dilantik bagi mewakili PKR menjelaskan beliau akan memastikan jawatankuasa itu dapat membantu SPRM melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dalam memerangi isu rasuah.

"Saya menyambut baik lantikan saya serta cadangan jawatankuasa ini, laporan yang diberikan ini akan saya telitikan sepenuhnya dan ia merupakan usaha terbaik dilakukan oleh penjawat awam terutamanya SPRM.

"Saya sepatutnya berlaku adil terhadap laporan yang telah dilakukan oleh mereka," katanya.

Menurutnya lagi, beliau berharap apa-apa cadangan sesuai yang akan dikemukakan nanti akan digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen pada sesi perbahasan nanti bagi memastikan SPRM ini beroperasi mengikut apa yang dicadangkan.

Sebelum ini, SPRM yang ditubuhkan sejak 2009 dikatakan mempunyai kuasa terhad apabila Ketua Pesuruhjaya dan pegawai-pegawai suruhanjaya itu hanya diberi kuasa untuk menyiasat di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009.

Berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memulakan pendakwaan kekal di tangan Peguam Negara.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan berkata kerajaan tidak berhasrat menyerahkan kuasa mendakwa kepada SPRM kerana terdapat keperluan untuk memeriksa dan mengimbangi "pemikiran bebas" di antara penyiasatan dengan pendakwaan.

Memo tuntut Royalti kepada MB Kelantan

Haji Nazeri bin Deraman, R, 27 Jun 2012
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

MEMORANDUM GABUNGAN PROFESIONAL TUNTUT ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN (ROYALTI)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Dato’ Bentara Setia.

Dengan hormatnya, ini adalah MEMORANDUM kepada Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan. Bahawa isu Pengeluaran Petroleum sebagai Hasil Bumi Negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui Batasan Kepentingan Politik yang sempit.

Pertama; Kami mewakili NGO-NGO Negeri Kelantan mengucapkan Jutaan Terima Kasih diatas kesungguhan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan dalam memikul Amanah dan Tanggungjawab yang telah diberikan oleh Majoriti Rakyat Negeri Kelantan terutamanya didalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang telah dinafikan oleh PETRONAS.

Kami juga ingin mengucapkan Tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana telah mengambil tindakan bijak, membawa isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan untuk dibicarakan didalam Mahkamah yang Sah mengikut lunas Undang-Undang yang telah ditetapkan mengikut Perlembagaan Negara Malaysia yang kita cintai.

Kami percaya, Majoriti Rakyat Negeri Kelantan sentiasa memberi sokongan Padu yang Tidak Berbelah bagi atas usaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan dan sokongan itu dapat dilihat hari ini dan juga melalui Kempen mengumpul Tandatangan Sokongan kepada Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang telah kami jalankan sebelum ini yang setakat ini telah berjaya mengumpul hampir 70,000 tandatangan Rakyat Negeri Kelantan Pelbagai lapisan Masyarakat dan Umur.

Kedua; Seperti yang dimaklumi oleh Pihak Kerajaan Negeri, Tanah Tumpah Darah kita, Negeri Kelantan Darul Naim yang lebih dikenali sebagai “Serambi Mekah” adalah sebuah Negeri yang kaya Buminya baik di Daratan yang penuh dengan Sumber Alam Semula jadi termasuk Mineral dan Lautannya yang penuh dengan Galian Minyak dan Gas.

Perairan Negeri Kelantan menyimpan sebanyak 17 Trillion Gas Asli yang pada masa ini sudah mula diterokai dan dituai hasilnya oleh Syarikat Carigali Minyak Malaysia PETRONAS semenjak awal 1980-an dan setakat hari ini, 5 blok yang kaya dengan Minyak Mentah, Gas Asli dan Condensate telah ditemui iaitu dari Blok MTJDA (Malaysia – Thailand Joint Development Area), PM301, PM302, PM325 dan PM326.

Pihak kami ingin mengambil contoh Negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu yang juga dianugerahkan oleh Allah dengan Hasil Bumi yang bukan sedikit seperti juga Negeri Kelantan. Masing-masing Negeri tersebut dikenali sebagai Negeri Pengeluar Minyak dan Gas dan masing-masing Negeri tersebut juga diberi kelebihan mempunyai lokasi Pendaratan Minyak dan Gas yang dikeluarkan dari Perairan Negeri masing-masing ke Daratan Negeri masing-masing. Malangnya ini tidak berlaku kepada Tanah Tumpah Darah kita Negeri Kelantan yang kita sayangi.

Merujuk kepada apa yang berlaku semasa Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-12, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V telah bertitah;

“Beta berharap, Gas ini dapat didaratkan di Negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan Zon Industri Petrolium di Bachok seluas 4000 ekar sejak tahun 1990-an lagi”

Kami dengan ini Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V menyokong sepenuhnya Hasrat dan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V supaya Hasil Bumi yang disedut dari Perairan Negeri Kelantan didaratkan di Negeri ini supaya Manfaatnya dapat dinikmati oleh Seluruh Rakyat Negeri Kelantan yang amat-amat kita sayangi dan cintai.

Kami juga berharap supaya pihak Kerajaan Negeri Kelantan lebih bersungguh dalam membuat Tuntutan Pendaratan Gas di Negeri Kelantan supaya Hasil dan Manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh Rakyat Negeri Kelantan dari Pelbagai Golongan, Kaum, Bangsa, Agama dan peringkat umur.

Pihak kami mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Kelantan menubuhkan satu Jawatankuasa Tuntutan Pendaratan Gas yang dianggotai oleh Pelbagai Profesional dalam bidang berkaitan bagi mengkaji kesan-kesan Sosio-Politik keatas Negeri Kelantan sekiranya Hasil Bumi dari Perairan Negeri Kelantan didaratkan di Negeri Kelantan dan hasil kajian tersebut perlu dibentangkan kepada Rakyat Kelantan melalui apa sahaja cara sebagai bahan umum supaya seluruh Rakyat Negeri Kelantan dari Pelbagai peringkat lebih faham akan Nikmat dan Manfaat yang akan sama-sama kita berkongsi di kemudian hari Hasil dari Perut Bumi Negeri Kelantan sendiri.

Ketiga; Kami juga mencadangkan supaya Plak Royalti yang telah ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dibuat salinan, digantung dan dipamerkan di permis-permis Kerajaan sebagai simbolik Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kelantan.

Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!


Memorandum ini bertarikh 26hb. Jun, 2012


Haji Nazeri bin Deraman
Pengerusi Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI)

http://royaltikelantan.com/

Tiada ulasan: