Ahad, 17 Jun 2012

HIDAYAH ATAU TIDAK SEMUANYA DARI ALLAH...JIKA TIDAK BERI HIDAYAH...MUHASABAH DIRI KITA....

Bekas Ketua Jemaah Nazir KPM sertai PAS

Muhammad Faeez, 17 Jun 2012

(Gambar: Zabidi (dua dari kiri) dan Nazri (dua dari kanan) diraikan selepas menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Nik Aziz)


BAGAN SERAI: Belum reda isu kemasukan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof menyertai PAS, kini seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan mengikut jejak langkah sama.

Terbaru, bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Ahmad Zabidi Shamsuddin malam tadi menyerahkan borang menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang permohonan keahliannya kepada Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Aziz Nik Mat ketika Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak,semalam.

Beliau berkhidmat di dalam kerajaan selama 33 tahun dan di Kementerian Pelajaran hampir 10 tahun.

Ahmad Zabidi juga pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah.

Dalam ucapannya sulungnya berkata, disepanjang beliau berkhidmat di kementerian pelajaran, pelbagai kezaliman dan penindasan berlaku.
Katanya, kuasa politik pemerintah telah menguasai pentadbiran kerajaan.

“Orang yang  tidak menyokong BN akan dikenakan tindakan dan mereka ditukarkan jauh dari tempat asal,” katanya di hadapan 30ribu hadirin.

Ujar Ahmad Zabidi, tindakan itu semata mata guru-guru tersebut tidak sehaluan dengan kerajaan dan bukannya atas kesalahan yang berat.

“Yang tukar itu bukanlah Pengarah Pelajaran tetapi tindakan tersebut atas desakan oleh pemimpin Umno dan BN ,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, tindakan seperti ini masih berterusan dan lebih giat dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran atas arahan oleh Umno dan BN.

Tambahnya, antara faktor lain mendorongnya menyertai PAS ialah dasar yang diperjuangkan oleh Umno ketika ini berkisarkan sistem sekular ciptaan manusia.

Turut menyerahkan borang keahlian PAS ialah AJK Umno Bahagian Gopeng Tuan Haji Nazri Nordin yang  bergelumang lebih 30 tahun dalam parti itu kini hilang keyakinan  dan melihat perjuangan PAS adalah benar serta mewarisi perjuangan Rasulullah.

JAUHILAH TAGHUT

Firman Allah s.w.t:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ


Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)
 
 

Saman FAM: Mimpi Annuar mungkin terganggu

Mohd Sayuti Omar, 17 Jun 2012
Khabarnya Presiden KAFA Annuar Musa telah menperolehi saman permulaan ke atas FAM dan setiausaha persatuan bolasepak itu Azzuddin Ahmad kelmarin. Annuar bertindak menyaman kedua pihak itu selepas segala pintu rundingan untuk melepaskan beliau dari tali penggantungan selama dua tahun setengah gagal. Keputusan Annuar itu dilihat jalan terakhir bagi membebaskan diri dari 'kezaliman' bola sepak.


Adalah wajar bagi Annuar mengambil tindakan mahkamah untuk membela apa yang berlaku ke atas dirinya yang dianggap satu penganiayaan dan kezaliman. Orang yang berani seperti Annuar tidak akan membiarkan kezaliman meratah dirinya begitu saja.

Penyokong dan pemain pasukan 'gedebe merah' juga tentu bersetuju dengan tindakan itu. Mereka yang merasakan tindakan penggantungan ke atas Annuar selama dua tahun itu oleh lembaga disiplin FAM dianggap sebagai tidak adil dan kejam. Memang kalau ditilik kepada fakta kes dan sebab musabab tindakan diambil ke bekas menteri itu ia zalim. Semacam satu sebotaj kepada Annuar yang berjaya membawa bola sepak Kelantan ke mercu kejayaan seperti hari ini.

Tetapi apakah Annuar sudah menghalusi kesan dan implikasi dari tindakan itu? Apakah beliau telah merujuk kepada kawan-kawan politiknya atau pun rakan-rakannya dalam FAM? Atau tindakan itu merupakan aksi Annuar secara peribadi yang tidak perlu dirujuk kepada sesiapa. Atau Annuar merasakan dia bijak dan berani melakukan apa saja tanpa memikirkan risikonya. Atau apakah dia sudah mengadakan solat istikharah?
Mengenai tindakan Annuar ini walaupun ia tidak perlu sampai ke situ, tetapi perlu difahami akan risikonya. Bahawa orang yang menjadi Presiden FAM itu ialah seorang sultan, Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang. Kedudukan Ahmad Shah sebagai sultan dan sebagai presiden FAM ia berbeza. Status dan kuasa itu tidak sama. Tetapi apakah tidak ada mana-mana pihak yang menghubungkaitkan di antara sultan dengan presiden kerana ia orang sama?

Annuar tentu tahu penghormatan dan rasa gerun dan takut orang kepada sultan sangat kuat. Lebih dari takut kepada rimau atau gajah. Apakah tidaknya kalau zaman dulu jika ada rakyat membuat salah atau dianggap menghina sultan boleh dipancung tanpa perbicaraan.

Saya bimbang kalau ini berlaku menyebabkan tindakan Annuar menyaman FAM yang diterajui Ahmad Shah itu sebagai satu tindakan kurang manis dan kurang tepat dan menjerumus kepada penderhakaan. Betul Annuar ingin mencari keadilan dan mahukan kepastian apakah tindakan ke atasnya betul atau sebaliknya. Annuar mahu membaiki persepsi yang salah.  Tetapi sejauh mana orang-orang dalam FAM dan juga rakyat negara ini faham dan mengerti situasi ini. Kalau hanya tegur mengenai pembelian plat kereta pun sudah dianggap menderhaka sampai ada yang bangkit dan bangun membela sultan dengan lembing, tombok dan obor, apa lagi dengan tindakan Annuar itu.


Tindakan menyaman FAM itu boleh dianggap sebagai menderhaka. Annuar dianggap sebagai tidak mendengar kata dan akur kepada undang-undang atau peraturan FAM yang dikawal oleh FIFA. Annuar juga akan dianggap keras kepala kerana tidak menjadikan kes yang berlaku sebelum ini. Sebelum ini sudah ada pegawai FAM yang digantung kerana melanggar undang-undang FAM tetapi tidak pun sampai ke mahkamah. Tiada yang berani membawa tindakan itu untuk pentafsiran mahkamah.


Tetapi nampaknya Annuar ingin membuat sesutau dan mencatat sejarah. Niat Annuar itu baik untuk mengetahui sejauh mana bidang kuasa dan juga kesahihan tindakan itu. Ia adalah untuk membetul sesuatu yang tidak lurus yang menjadi amalan. Tetapi apakah orang faham? Apakah orang dapat menerima kritikan ke atas sesuatu badan diketuai sultan boleh dilaku demi kebenaran?


Kalau berpandukan kepada apa yang berlaku sebelum ini membabitkan mana-mana sultan tindakan Annuar itu amat bahaya. Beliau boleh dianggap sebagai menderhaka. Natijah dari itu ia boleh menganggu kedudukan beliau sebagai ahli politik. Kalau Annuar mencari kecemerlangan untuk menggilapkan batu politiknya dengan bolasepak, apa yang beliau lakukan itu seakan membunuh diri. Annuar semacam memasukan dirinya ke dalam lubang berlumpur dengan tindakan itu.


Tidak syak kalau Annuar sudah dianggap derhaka kepada sultan ini menyebabkan kedudukannya dalam Umno terjejas. Umno waktu ini gila-gila membela sultan walaupun tidak tahu hujung pangkal dan mereka akan menghentam dan 'memalu' mereka yang dianggap (pada fikiran Umno) menderhaka kepada sultan. Apakah tidak nanti ada suara yang menarik Annuar ke arah itu - membuat tafsiran senyap Annuar melawan sultan?


Ini boleh saja berlaku kalau Ahmad Shah juga merasakan tindakan Annuar itu mencabar kedudukan secara peribadi. Tambahan kalau ada tukang cucuk. Pasti ia menjadi masalah kepada Annuar. Umno akan membuat tafsir Annuar sudah derhaka kepada seorang sultan. Konotasi atau sejarah derhaka bagi Annuar terhadap sultan dan istana ini pula tidak asing lagi apabila sebelum ini beliau pernah 'menabalkan' sultan baru di Kelantan hampir tahun lalu. Kejadian itu yang menimbulkan kemarahan memudahkan orang akan menarik Annuar ke kancah peristiwa dan perbuatan itu.


Jika ini benar berlaku nampaknya harapan Annuar untuk dicalonkan dalam pilihan raya akan datang sukar dan gelap sedikit. Annuar kini sedang berkempen untuk bertanding di kerusi Parlimen Ketereh. Annuar sangat suka dan yakin pencapaian beliau dalam bola sepak akan memberi tuah kepadanya. Annuar cuba menjejaki semula cakerawala politik dengan bola sepak.


Namun sekiranya apa yang dilakukan sekarang ini, saman FAM... memberi impak dan masalah kepada Annuar kemungkinan impian dan angan-angan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Ketereh hanya sebagai satu mimpi yang tidak siap saja.  Bagi saya tindakan Annuar itu adalah satu kebenaran yang tidak membawa keuntungan kepada siasah beliau. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Cadang Majlis Fatwa haramkan PRU musim haji

Harakahdaily, 17 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mazlee Malek meminta Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa bahawa mengadakan pilihan raya di musim haji adalah haram.

"Majlis Fatwa harus berani mengeluarkan fatwa yang PRU adalah haram diadakan di musim Haji," katanya kepada Harakahdaily.

Dr Mazlee mengulas polimik isu ini apabila Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar ahli PAS yang terlibat dengan PRU menangguh pemergian mereka ke tanah suci jika PRU diadakan di masa itu juga.

Bagi Dr Marslee, isunya bukan hukum menangguhkan haji kerana PRU, perspektif menyikapi isu ini perlu diperbetulkan.

"Sepatutnya, kita perlu sedar bahawa setiap hak setiap warga yang sah untuk mengundi adalah dijamin oleh perlembagaan.

"Maka, setiap warga Malaysia yang sah yang menetap di luar negara wajib diberi peluang untuk mengundi.

Mengadakan pilihan raya di musim haji jelasnya akan menjejaskan peluang warga Malaysia yang menunaikan haji untuk menjalankan hak mereka yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan.

Bagi Mazlee, mengundi juga merupakan kewajipan setiap individu muslim untuk menentukan kelangsungan masa depan negara dan menepati Maqasid al-Syari'ah.

"Perlu ada precedence pada SPR bahawa PRU samasekali tidak boleh diadakan di musim haji," katanya.

Najib didesak hentikan keresahan bakal haji

Harakahdaily, 17 Jun 2012
SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu segera mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum PRU-13 akan datang bagi menghilangkan keresaan yang dihadapi bakal haji pada waktu ini.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, selagi perdana menteri itu tidak mengumumkan bila tarikh PRU-13 akan diadakan, selagi itu bakal haji berada dalam keresahan dengan desas-desus yang ditimbulkan.

"Najib perlu mengumumkan tarikh pilihan raya supaya orang Islam dapat mengerjakan haji secara aman dan tenteram.

"Mereka boleh membuat perancangan jika sekiranya tarikh pilihan raya diadakan pada bulan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor, di Auditorium Jubli Perak, Bangunan SUK, di sini, pagi tadi.

Beliau mengulas spekulasi yang mengatakan pilihanraya akan diadakan pada musim haji iaitu pada bulan Zulhijah atau pertengahan Oktober sehingga pertengahan November.

Awal minggu lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya seperti calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya agar menangguhkan rancangan untuk menunaikan ibadah haji ekoran desas desus itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan perdana menteri kini berada dalam kebingungan untuk menentukan tarikh tersebut ekoran pelbagai masalah sedang dihadapinya yang menjejaskan BN secara keseluruhan.

"Beliau menghadapi beban berat menggalas isu isterinya, dalaman parti, Bersih 3.0 yang tersebar ke seluruh dunia dan isu beliau sendiri dikait dengan Scorpene," katanya.

Facebook PAS Selangor

Terdahulu dalam program hari ini, PAS Selangor turut melancarkan laman peminat Facebook mereka.

Ianya sebagai medium rasmi PAS negeri menyalurkan maklumat khususnya dalam mendekati golongan belia di negeri itu.

Face "PAS Selangor" itu boleh akses di pautan https://www.facebook.com/pas.selangor.

Hadir sama program hari ini Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman, Timbalan Pesuruhjaya Iskandar Abdul Samad, Sallehem Muhyi, Khalid Samad, Setiausaha Mohd Khairuddin Othman, Bendahari Izham Hashim, Ketua Penerangan Saari Sungip.
Selain itu turut hadir Ketua Dewan Ulama Ustaz Mohamad Zain Abdul Rahman, Ketua Pemuda Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua Muslimat Wan Hasrina Wan Hassan dan kepimpinan dari kawasan seluruh negeri.

Dianggarkan lebih 2,000 orang hadir dalam program fasa pertama ini sebelum himpunan besaran akan diadakan di Stadium Kuala Selangor pada 15 Julai 2012 nanti.

2,000 jentera hadiri Pra Himpunan Hijau Selangor

Hazayani Zakaria, 17 Jun 2012
SHAH ALAM: Kira-kira 2,000 jentera PAS Selangor hari ini memenuhi Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, dekat sini sempena Himpunan Hijau Fasa 1 peringkat negeri.

Himpunan yang bersifat taklimat dalaman parti  ini disertai jentera dan ahli di peringkat negeri, kawasan dan cawangan sebagai persiapan menghadapi Himpunan Hijau Fasa 2, 15 Julai depan di Stadium Kuala Selangor.

Program di sebelah pagi diisi dengan dua pembentangan kertas kerja selain perasmian oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

Kertas kerja pertama iaitu 'Menuju Putrajaya' dibentangkan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar manakala kertas kerja kedua 'Adab-adab Pilihan Raya dibentangkan oleh Setiausaha Dewan Ulamak, Khairuddin At-Takiri.

Satu lagi kertas kerja mengenai maklumat pilihan raya akan dibentangkan Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli pada petang ini.

Pada pagi tadi juga, Mohamad melancarkan laman sosial facebook PAS Selangor selepas ucapan perasmian.

Beliau dalam ucapannya mengingatkan jentera agar bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka paling kotor dalam sejarah.

Beliau turut mengingatkan jentera agar menguatkan Pakatan Rakyat melalui tahaluf siasi.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika ditemui berkata, himpunan ini menunjukkan sambutan yang paling baik di semua peringkat di Selangor.

"Siapa kata PAS tak kuat? Himpunan hari ini
membuktikan komitmen jentera di semua peringkat.

"Biasa kita libatkan jentera negeri dan kawasan sahaja tapi hari ini jentera cawangan pun turut serta," katanya.

Majlis penutup akan disempurnakan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang jam empat petang ini.

Umno BN dalam dilema untuk hadapi PRU13

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, 17 Jun 2012
Dalam dekat ini mood pilihan raya umum ke-13 semakin dirasai. Setiap di antara kita tidak kira ahli politik, pelajar, mahupun orang kampung sedang mencongak tarikh bilakah parlimen akan dibubarkan untuk memberikan laluan kepada PRU13. Walaupun parti pemerintah khususnya UMNO masih lagi berteka-teki berkenaan tarikh keramat tersebut, namun perang bendera antara parti politik sudah pun bermula, tidak kira daripada parti pemerintah mahupun dari parti pembangkang sekali pun.
Hal ini sudah menjadi tanda yang jelas bahawa PRU13 tidak lama lagi, dan boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja atau paling lewat sekali pun pada hujung tahun ini. Dalam misi menongkah perjalanan menuju tarikh PRU13 yang bakal menjelma, setiap parti politik, kerajaan mahupun pembangkang semakin giat memenangi hati rakyat. Dalam keghairahan menuju PRU13, beberapa perkara yang harus diberi perhatian, terutamanya daripada parti UMNO itu sendiri. Hal ini disebabkan, UMNO boleh dikatakan sedang sakit dan harus diubati sebelum PRU13 berlangsung.

UMNO Ketandusan Pemimpin Muda

UMNO boleh dikatakan ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber, berani, dan berjiwa besar. Itulah yang jelas daripada pandangan perspektif penulis. Persoalannya, dimanakah pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain?  Ketua Puteri, Ketua Putera UMNO Malaysia boleh dikatakan sebagai golongan pelapis di dalam legasi kepimpinan UMNO. Dalam hal ini penulis tidak dapat melihat dengan lebih jelas apakah peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemimpin muda ini, adakah sebagai memenuhi jawatan yang beri atau pun mahu menjadi popular dengan jawatan yang disandang.

Dalam ruangan yang terhad ini penulis ingin memuji peranan yang dimainkan oleh saudara Khairi Jamaluddin selaku Pemuda UMNO Malaysia, yang kiranya ketika ini boleh dikatakan antara pemimpin muda UMNO yang menyerlah daripada kalangan pemimpin-pemimpin muda UMNO lain. Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa sesetengah anak-anak muda, mahupun mahasiswa mulai kagum dengan kredibiliti, karisma, dan keberanian beliau dalam mengurus sesuatu isu. Kekaguman sesetengah anak muda terhadap beliau bermula dengan keberanian Khairi untuk berdebat dengan saudara Rafizi Ramli berkenaan isu PTPTN.

Hal ini disebabkan belum ada lagi dalam kalangan pemimpin UMNO yang sanggup mahupun berani menyahut cabaran untuk berdebat berkenaan isu-isu semasa secara terbuka melainkan debat melibatkan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Shabery Cheek berkenaan isu harga minyak yang diadakan  beberapa tahun lepas di Dewan Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka.   Bukan lambang parti menjadi pokok perbincangan kali ini, tetapi menjadi kayu ukuran utama ialah penampilan pemimpin muda itu menjadi contoh atau ikon kepada pemimpin-pemimpin muda lain yang untuk terus berani tampil ke hadapan berkongsi idealisme, walaupun idealisme itu bertentangan dengan kehendak masyarakat.

Dalam pada masa yang sama Khairi juga turut aktif dalam memberi respond mahupun maklum balas berkenan isu-isu semasa melibatkan golongan muda  mahupun mahasiswa. Isu terbaru yang mendapat perhatian beliau adalah berkenaan pembekuan pinjaman PTPTN terhadap mahasiswa baru unisel. Walaupun pendapat yang diberikan oleh Khair lebih kepada mewakili lidah UMNO/BN namun sekurang-kurangnya beliau berani memainkan peranan sebagai pemimpin muda yang harus peka berkenaan isu-isu semasa terutama melibatkan golongan mahasiswa. Persoalan yang harus dijawab oleh saf kepimpinan UMNO sekarang adalah ke mana menghilangnya  pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Persoalan atau di leman inilah yang harus ditangani oleh UMNO dengan lebih cermat dan serius sekiranya masih lagi bercita-cita untuk kekal di Putrajaya.

Penulis melihat pada ketika ini hanya Perdana Menteri sahaja Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang betul-betul serius untuk memastikan UMNO terus kekal di Putrajaya. Jika kita melihat kepada kedua-dua pemimpin ini mereka bukanlah dalam kalangan pemimpin muda malah boleh dikategorikan sebagai pemimpin yang sudah separuh abad bergelumang dalam kancah politik negara. Siapakah yang ingin memimpin UMNO jika kedua-dua pemimpin ini tidak terdaya lagi? Jika UMNO masih lagi memilih untuk melihat pemimpin muda tidak mampu menerajui kepimpinan parti, terutama saf kepimpinan yang lebih tinggi seperti Majlis Tertinggi UMNO pandangan itu adalah dangkal sama sekali.

Hal ini disebabkan, jika kita melihat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, jelas dan nyata bahawa mereka ramai dibarisi pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber seperti Mohamad Azmin Ali Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasition Ismail Setiausaha PKR, Ustaz Nasaruddin Tantawi Ketua Dewan Pemuda Pas, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda PKR dan ramai lagi. Jika diamati nama-nama di atas, barisan pemimpinan ini amat dikenali dalam kalangan anak muda mahu pun mahasiswa. Sebab kenapa? Kerana mereka ini sentiasa mengambil berat dan juga cakna berkenaan isu-isu golongan muda berbanding pemimpin UMNO.

UMNO harus sedar bahawa zaman sekarang bukanlah zaman orang lama untuk terus berkuasa tetapi zaman yang mana orang lama harus memberi laluan orang muda untuk berkuasa. Dalam erti mudahnya orang lama perlu memberi laluan kepada pimpinan muda untuk berada dalam kedudukan mereka sekarang, ini jelas supaya idea dan pembaharuan-pembaharuan dalam parti dapat dilaksanakan, mengikut acuan politik semasa.

UMNO/BN Kurang Idealisme

Ternyata UMNO/BN ketika ini sangat tandus dengan idealisme. Mengapa penulis berkata demikian? Hal ini disebabkan, rakyat khususnya golongan muda ingin melihat serta menilai apakah idealisme atau dasar yang ingin dibawa UMNO/BN pada PRU yang akan datang dan bukannya meminta rakyat memutarkan kembali memori yang mana UMNO/BN pernah berjasa dalam membangunkan negara. Ya, UMNO pernah berjasa pada negara dan orang Melayu suatu ketika dahulu, Itu memang benar. UMNO/BN juga harus sedar bahawa rakyat ketika kini bukan mahu melihat apa yang telah dilakukan oleh UMNO suatu ketika dahulu, walaupun bermanfaat hanya sedikit untuk khabarkan, tetapi yang paling penting rakyat  mahu  melihat apakah dasar atau pun idea yang ingin dibawa oleh UMNO/BN  untuk perancangan 5 atau 10 tahun akan datang.

Hal ini sangat berlainan dengan PR yang mana gabungan PAS, PKR, dan DAP sangat sarat dengan idealisme-idealisme yang membuatkan rakyat berfikir, menilai setiap dasar yang dikemukakan dan dasar itu akan dilaksanakan sekiranya mereka membentuk kerajaan kelak. Perkara inilah yang tiada di dalam UMNO itu sendiri. Mengapa ia terjadi? Hal ini disebabkan PR dibarisi ramai pemimpin muda yang sarat dengan idealisme dan juga memahami jiwa dan kemahuan anak muda seiringan politik semasa, berbanding dengan UMNO yang dibarisi ramai pemimpin sudah mencapai  umur separuh abad. Malah, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO tidak memahami jiwa-jiwa golongan muda. Sebab itulah golongan muda menjauhi UMNO yang perkiraan mereka UMNO tidak lebih sebuah parti politik untuk orang-orang lama dan veteran sahaja.

UMNO kini boleh digambarkan sebagai baju lama yang telah terlalu usang untuk dipakai. Justeru, baju yang lama yang telah lapuk perlulah diganti dengan baju yang baru dan lebih elok dan mengikut trend semasa. Bukan bermakna baju yang lama harus dibuang begitu sahaja tetapi perlulah diubah suai sedikit supaya bersesuaian dengan peredaran zaman.

Tiada ulasan: