Kumpulan Syiah Malaysia menyelar tindakan pelbagai pihak terus menghentam fahaman itu menggunakan hujah yang tersasar dan tidak masuk akal, kata jurucakapnya Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz.

Hujah itu, kata Kamilzuhairi (bawah), antaranya mendakwa Syiah membenarkan semua solat dijamak dan menanggap tuhan bersifat jahil, seperti ditimbulkan Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah, Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) Mohamad Ismail.

NONE"Mohamad Ismail mendakwa Syiah menganggap tuhan itu jahil. Ini benda yang bukan Islam sendiri takkan buat kenyataan sebegitu, satu benda yang tak masuk akal.

"(Jika benar) itu sudah jatuh kufur," katanya sambil mendakwa mendengar perkara itu daripada mulut Mohamad sendiri dalam ceramah di Gombak pada Jumaat lalu.

Beliau mengulas liputan khas lima halaman dalam harian berbahasa Melayu Sinar Harian hari ini berhubung mazhab Syiah yang didakwa berkembang secara senyap-senyap walaupun tidak dibenar disebarkan.

Akhbar itu antaranya turut memetik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya sebagai menyifatkan Syiah sebagai "agama politik" dan mendakwa "demonstrasi pertama dalam Islam berasaskan ideologi Syiah".

Selain itu, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi turut dipetik sebagai berkata "konflik Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih rumit daripada konflik Umno dengan PAS".

Liputan meluas sejak minggu lalu

Ditanya tentang motif laporan intensif itu (bawah), Kamilzuhairi berkata beliau kurang pasti namun menyedari liputan meluas anti mazhab itu bermula sejak hujung minggu lepas lagi.

Sementara itu Kamilzuhairi terus mempertikaikan kewibawaan Mohamad yang digambarkan berlebih-lebih memburukkan ajaran Syiah, antaranya dengan mendakwa mereka menggunakan al-Quran yang berbeza.

NONE"Saya sendiri duduk di Iran selama lapan tahun, satu Quran lain pun saya tidak pernah tengok," katanya merujuk kepada kenyataan Mohamad yang didakwa dibuat sebelum ini.

Menurutnya, kekeliruan berkenaan mungkin timbul kerana Syiah mempunyai banyak kitab-kitab doa yang turut dijadikan rujukan.

Mengulas dakwaan berkaitan 'agama politik', beliau berkata sebagai salah satu mazhab dalam Islam, Syiah pastinya turut mencakupi elemen politik, akidah, fikah, sastera dan juga seni yang menjadikan Islam itu agama yang lengkap.

Katanya lagi, tanggapan itu mungkin juga timbul kerana amalan pengikut mazhab Syiah yang berkabung secara terbuka pada bulan Muharram bagi mengingati kematian cucu Nabi Muhammad SAW, Sayidina Hussin bin Ali.

"Apa yang berlaku adalah melahirkan kesedihan terhadap perkara yang berlaku kepada cucu Nabi," katanya.

Isu konflik di Syiah-Sunni juga tidak timbul kerana pengikut Syiah di negara ini menganggap pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai 'adik-beradik', katanya.
Kes haji Nik Aziz boleh dibuka semula
2:13PM Jun 18 2012
Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah membersihkan nama Datuk Nik Aziz Nik Mat, siasatan berhubung tajaan ibadat hajinya masih boleh dibuka semula, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Panel penilaian operasi suruhanjaya itu mempunyai hak menilai semula kes itu dan jika perlu merujuknya kepada pihak pendakwaan, kata Nazri kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab hari ini.

NONEBagaimanapun, beliau secara peribadi berpendapat, oleh kerana Nik Aziz tidak menerima tawaran tajaan itu, sebarang pendakwaan patut dibuat terhadap pihak yang menawarkannya.

Beliau menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang mahu tahu sama ada SPRM mempunyai kuasa memutuskan kes berkaitan Nik Aziz itu boleh dibuka semula dan didakwa.

Pada 5 Disember lalu, sekumpulan anggota NGO dikenali sebagai Suara Umum Rakyat Kelantan (SUK) membuat laporan polis berhubung artikel dalam blog yang didakwa mendedahkan skandal punca pembatalan Nik Aziz dan keluarganya, mengerjakan haji atas tajaan seorang usahawan terkemuka.

Laporan itu dibuat oleh ketua kumpulan itu, Zulkifli Mohd Zain, 50, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Baharu, di Pengkalan Chepa.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat artikel yang mendakwa Nik Aziz menerima tajaan membabitkan kos RM65,000.
Peneroka cabar pelantikan Isa Samad

  • Hafiz Yatim
  • 6:23PM Jun 18 2012
Satu semakan kehakiman difailkan ke atas keputusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membenarkan pelantikan pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai ahli lembaga dan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Semakan kehakima yang difailkan empat peneroka Felda - Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Nor Atan - menamakan KPF, SKM dan satu jawatankuasa suruhanjaya sebagai responden dalam permohonan berkenaan.

Permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu bagi menyemak semula keputusan SKM yang membenarkan Isa dilantik ke dalam KPF, walaupun mengetahui bahawa pelantikan tersebut tidak sah.

Permohonan yang difailkan melalui firma Mohamad Hanipa & Associates itu juga menuntut supaya pelantikan dan keahlian Isa dalam KPF ditangguhkan sementara sehingga keputusan semakan kehakiman itu diperolehi.

Empat peneroka berkenaan turut menuntut perintah untuk membatalkan keputusan SKM bagi membatalkan pelantikan Isa.

Peneroka itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan atas tindakan tersebut.

Pada 23 Mei lalu, SKM dan jawatankuasa berkenaan mendapati KPF melanggar satu undang-undang kecil dengan membenarkan keanggotaan Isa, namun memutuskan bahawa keahlian itu tidak boleh dibatalkan kerana tiada undang-undang yang memperuntukkan perkara itu.
'Bakal besan PM tiada dalam senarai Interpol'
12:38PM Jun 18 2012
Maira Nazarbayev daripada Kazakhstan, melalui seorang jurucakap, menafikan dakwaan beliau termasuk dalam senarai dikehendali Polis Antarabangsa (Interpol).

NONEDalam satu kenyataan, Ronn Torossian melampirkan gambar Maira di Dubai bagi membuktikan bahawa dia telah memulakan lawatannya ke Eropah tanpa ditahan oleh pihak polis.

"Media telah salah melaporkan khabar angin berkaitan Interpol - adalah jelas dari gambar tersebut, dia bebas melancong di Eropah, keluarga Nazarbayev merancang menghabiskan masa dengan anggota keluarga dan orang tersayang," kata kenyataan itu.

Anak Maira, Daniyar Nazarbayev, bertunang dengan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa.

Keluarga Maira sebelum ini menjadi perhatian apabila Daniyar didakwa menipu bapa tiri Bolat Nazarbayev sebuah kondominium bernilai AS$20 million (RM62 juta), seperti dilaporkan The New York Post.

Maira pada 15 Jun, melalui jurucakap perhubungan awam, menafikan dakwaan terhadap anaknya dan menyifatkan perkara itu manipulasi politik dan tidak masuk akal.

Katanya, beliau dan suami akan memberikan komitmen kepada anak-anak, menyelesaikan masalah itu secara peribadi dan merancang bercuti ke Eropah untuk beberapa minggu.

Sumber yang dekat dengan isteri perdana menteri Rosmah Mansor juga berkata, dakwaan terhadap Daniyar diperbesar-besarkan oleh The New York Post dan dakwaan itu juga tidak melibatkan keluarganya.