Rabu, 20 Jun 2012

BILA MANUSIA TERMASUK AHLI AGAMA...LUPA HARI HISAB...HARI PEMBALASAN...TIMBANGAN...SYURGA NERAKA...ANGGOTA BADAN YANG BOLEH BERKATA2...MALAIKAT AZAB... BERKUASA HINGGA LUPA DARATAN...LUPA HUKUM...LUPA MORAL@AKHLAK....APA.. KITA FIKIR SEMPAT BERTAUBAT...JANGAN KITA MENCAMPAKKAN DIRI KITA KEDALAM NERAKA...KERANA KESENANGAN DUNIA HANYA SEBESAR ZARAH....KALAU NAK BANDINGAN KESENANGAN DISYURGA...MUNGKIN LEBIH HALUS DARI ZARAH...ALLAH SAJA MENGETAHUINYA....

Kerajaan Syria sudah bunuh 60,000 rakyatnya

Harakahdaily, 19 Jun 2012
SHAH ALAM: Sejak 40 tahun memerintah Syria, regim Basyar telah membunuh seramai 60,000 orang di tidak kurang daripada 100 tempat di seluruh negara itu.

Demikian beritahu seorang ulama Syria yang juga pembantu khas kepada Dr Yusuf Al-Qardhawi, Dr Khaled Hindawi (gambar) dalam satu syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini.

Syarahan itu dibuat beliau dalam rangka lawatannya ke Malaysia. Syarahan itu bertajuk  'Syria: The Inside Story'  anjuran Ikram, Abim dan Haluan.

Ceramah yang diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dengan dihadiri lebih 2,000 jamaah.

Dr Khaled merakamkan penghargaan atas keprihatinan rakyat Malaysia berkenaaan isu Syria.

Menurutnya, pembunuhan terhadap golongan dewasa, wanita dan kanak-kanak dilakukan  oleh golongan yang menentang Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sejak 40 tahun yang lalu.
(Mangsa kekejamanan kerajaan Basyar di Syria)

Terkini, rakyat bangun dengan lebih bersemangat bila ditindas ditambah lagi dengan para tentera Syria yang berpaling tadah meninggalkan rejim ini yang mencecah 200,000 orang.

Beliau menterjemahkan "iman kita ibarat muslim yang satu jasad menentang rejim yang zalim ini."

“Pemerintah yang bertamadun ialah yang adil bukan yang menindas dan memenjarakan saudaranya,” ujarnya.

Katanya, meskipun rejim ini mendakwa kononnya mereka menentang Yahudi, sejak 40 tahun lalu, rejim ini tidak pernah bunuh walau seorang Yahudi pun malah kini telah menghalakan senjata mereka dan membunuh 60,000 rakyat yang tidak berdosa.

Tambah Khaled, PM Israel Benjamin Netanyahu pernah berkata bahawa Basyar Al-Assad merupakan orang yang dikasihinya seperti mana mereka kasihi ayahnya (Hafez Al-Assad) yang kekal membawa kebaikan dan kemaslahatan kepada Israel.

Mengatakan mereka berjuang melawan Israel merupakan satu penipuan, tegas Khaled.

Baru-baru ini, di perkampungan bernama Hawlah, seramai  150 orang disembelih, dicincang termasuk 50 orang kanak-kanak.

Ujarnya, rejim ini telah dibantu oleh Russia serta beberapa pihak lagi yang ingin menghapuskan rakyat ASWJ.

Menurut beliau lagi, ada menara masjid yang ditembak rejim, di tempat bernama Dar’a, negeri kelahiran Imam An-Nawawi dan ada juga rakyat yang ditanam hidup-hidup kerana tidak mahu mengatakan “Tiada Tuhan melainkan Assad”.

Pimpinan IM Syria, Dr Amer Abu Salamah (gambar kiri) pula menambah, rakyat Syria menampakkan keberanian mereka hingga sanggup berkorban dan syahid, ribuan mereka yang cedera dan lebih 2 juta menjadi pelarian.

Sungguhpun Allah SWT berfirman bahawa orang beriman itu bersaudara, namun demikian katanya, hanya dengan ucapan sahaja tidak memberi manfaat kerana ia juga menuntut pengorbanan daripada semua bersama-sama dengan rakyat Syria.

Menurut beliau, amat bahaya bila ada yang mengatakan “Kami tiada apa-apa kaitan dengan apa yang berlaku di Syria, itu masalah mereka“ sedangkan umat Islam  merupakan jasad yang satu, umat yang satu.

Katanya, umat Islam amat simpati dengan apa berlaku di Gaza dan memang wajib mereka membantu umat Islam di Gaza.

Beliau turut mencetuskan persoalan yang mengheningkan suasana:

“Kini berlaku di pelbagai tempat di Syria seperti mana yang berlaku di Gaza. Di manakah saudara-saudara Islamku yang telah membantu saudaranya di Gaza?
"Takutlah Allah, hendaklah kamu bersama dengan anak yatim yang dizalimi, mata dikorek, leher mereka dikapak.”

Tambahnya, Kesatuan Ulama Sedunia yang berjumlah 50,000 yang diketuai oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi turut menyokong rakyat Syria dan mengatakan kewajipan umat Islam membantu rakyat Syria.

Jemaah yang hadir turut dipertontonkan dengan gambar dan video kekejaman rejim Basyar membunuh rakyatnya.

WWW 1: Polis rampas komputer, telefon Nizar

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) memberitahu tiga barang miliknya telah diambil pihak Polis Johor semalam.

Ianya sebuah komputer pejabat, komputer riba dan telefon bimbit yang diambil dalam tiga operasi geledah di tiga tempat berlainan.

Komputer pejabat diambil sewaktu polis menggeledah di Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang semalam.

Komputer riba pula dihantar oleh anaknya semalam selepas polis menggeledah kediamannya di Sungai Rokam, manakala telefon bimbit dirampas malam tadi ketika beliau berada di sebuah hotel di ibu negara sempena menghadiri sidang parlimen.

"Malam tadi kira-kira jam 9 malam, enam orang polis datang dengan waran mahkamah majistret untuk menggeledah di hotel tempat saya menginap.

"Mereka juga mengambil telefon bimbit Nokia yang saya guna," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ketika ditemui Harakahdaily.

Menurut Nizar, operasi menggeledah dihotel tersebut malam tadi tamat kira-kira jam 11 malam dan beliau memberi kerjasama penuh kepada polis tersebut.

Semalam polis Johor menggeledah tiga pejabat operasi Nizar masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang.

Difahamkan Operasi yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi semalam itu dibuat di Pejabat Pas Negeri, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Taiping dan Pusat Khidmat Dun Pasir Panjang, Lumut.

Tindakan sama turut dibuat ke atas kediaman beliau di Sungai Rokam.

Bagaimanapun ketika operasi penggeledahan, Nizar tiada di kesemua tempat itu kerana masih berada di ibu negara bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Beliau hanya mengetahui situasi berkenaan setelah dihubungi salah seorang anaknya yang memaklumkan terdapat beberapa anggota polis membuat rondaan di sekitar kediamannya di Sungai Rokam, di sini.

Tindakan geledah itu dipercayai ada kaitan dengan isu mesej Twitter Mohammad Nizar berhubung keputusan bidaan nombor pendaftaran WWW 1.

"Untuk sekarang ini saya akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada peguam-peguam PAS sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan rasa tenang di Kelantan

Rizal Tahir, 19 Jun 2012
KOTA BHARU, 19 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pesurujaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Masood Khalid.


Perjumpaan penuh mesra itu berlangsung selama 50 minit turut dihadiri oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Ustaz Abdullah Ya'kub.


Tuan Guru yang menggunakan bahasa Urdu (bahasa utama di Pakistan) sewaktu berbual dengan, mencuri perhatian Masood.


Pelbagai perkara yang dibincangkan mereka berdua seperti pencerobohan Amerika Syarikat ke Afghanistan yang menggunakan sempadan Pakistan.


Sementara itu, Masood memuji negeri Kelantan dengan memberitahu bahawa beliau merasa tenang berada di negeri ini kerana pengalaman Islam yang baik seperti penutupan aurat oleh penduduk wanita.


Beliau juga berjanji akan memberi kerjasama bagi memudahkan mendapat visa untuk pelajar-pelajar yang mendapat tawaran belajar di Pakistan.

Jelaskan pindah wang CEO Tabung Haji RM308,700

Anis Nazri, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diminta mengemukakan syarat-syarat dan terma yang terkandung dalam skim perkhidmatan Tabung Haji berkaitan isu perpindahan wang ke akaun Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.

"Lebih-lebih lagi jika pindahan wang tersebut dilakukan menurut undang-undang dan tiada apa yang wajar dirahsiakan, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) di parlimen, hari ini.

Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, Naib Presiden PAS itu berkata perpindahan wang sebanyak RM308,700 dari akaun Tabung Haji kepada Ismee perlu diperjelaskan butirannya.

"Jika wang itu dipindahkan mengikut undang-undang, tiada masalah jika ia didedahkan butirannya. Jadi, tiada apa yang perlu dirahsiakan," gesa beliau lagi.

Gesaan itu dibuat berdasarkan soalannya yang dijawab secara bertulis oleh menteri berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, Mahfuz melahirkan rasa tidak puas hati dengan penjelasan yang diberikan Jamil Khir, yang dianggap masih kabur.

Dalam soalannya, beliau meminta Jamil Khir menjelaskan berhubung perpindahan wang tersebut yang menimbulkan pelbagai tanda-tanya di kalangan rakyat.

Sebelum ini, pada sesi parlimen lepas, beliau turut membangkitkan isu tersebut ketika perbahasan belanjawan 2012.

Tambah Mahfuz lagi, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Tabung Haji yang menuduh Bank Islam mendedahkan maklumat tersebut.

"Kenapa apabila isu ini dibangkitkan, Tabung Haji menuduh ada pihak di Bank Islam yang mendedahkan 'kerahsiaan' tersebut?  Sedangkan maklumat tersebut bukan dari Bank Islam.  Apa yang perlu dirahsiakan Tabung Haji? Seolah-olah ada sesuatu di sebalik isu ini?" tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mendesak Jamil Khir mengemukakan bukti berkaitan pemindahan wang tersebut, termasuk syarat-syarat dan terma-terma yang digunapakai yang terkandung dalam skim perkhidmatan Tabung Haji.

PAS gesa dunia terima keputusan p’raya Mesir

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta kuasa-kuasa Barat dan seluruh masyarakat dunia menerima secara terbuka keputusan Pilihan raya Presiden Mesir yang dibuat melalui satu proses yang lebih demokratik, setelah puluhan tahun suasana pilihanraya di Mesir telah menjadi contoh demokrasi yang pincang.

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata rakyat Mesir telah menyatakan pilihan mereka, dan tidak wajar mana-mana pihak terutamanya pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) untuk menafikan hak rakyat membuat pilihan dalam satu proses demokrasi itu.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Muhammad Morsi dari Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP) yang mencapai lebih dari 50% undi dalam Pilihan raya Presiden Mesir yang baru sahaja berakhir.

Sehubungan dengan itu juga, PAS meminta kuasa-kuasa Barat dan seluruh masyarakat dunia menerima secara terbuka keputusan tersebut yang dibuat melalui satu proses yang lebih demokratik, setelah puluhan tahun suasana pilihanraya di Mesir telah menjadi contoh demokrasi yang pincang.

Rakyat Mesir telah menyatakan pilihan mereka, dan tidak wajar mana-mana pihak terutamanya pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) untuk menafikan hak rakyat membuat pilihan dalam satu proses demokrasi itu.

Sebarang usaha menafikan kemenangan ini sama ada oleh kuasa-kuasa Barat dan Regim Zionis Israel juga melalui tangan-tangan ghaib mereka di Mesir sendiri akan membawa akibat yang buruk kepada keamanan rantau Asia Barat, dan iklim politik dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Dunia mesti memberi ruang kepada pentadbiran pemimpin dan kerajaan baru Mesir untuk berkhidmat dengan penuh keadilan kepada rakyat. Adalah amat tidak wajar rakyat dihukum dengan dinafikan pilihan mereka setelah ianya berjalan secara demokrasi.

Debat Salahudin-Saifuddin di Astro Awani malam ini

Harakahdaily, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jun: Astro Awani petang ini mengesahkan akan menyiarkan secara langsung Debat Sinar Harian yang akan menemukan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, jam 9.00 malam ini.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, pihak Astro Awani memaklumkan demikian tengahari ini.

Salahuddin pagi tadi berkata, beliau dan Saifuddin tidak akan menyertai debat itu jika Awani tidak mahu menyiarkannya secara langsung.

"Kalau tak mahu buat siaran langsung, apa guna kami berdebat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Debat bertajuk Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi akan berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 17, Shah Alam.

Debat itu akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Salahudin yang berbesar hati menerima jemputan debat itu berkata, itulah peluang untuk beliau menyumbangkan idea dan melahirkan pemikiran yang boleh diterima semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

"Inilah sumbangan yang boleh saya berikan kepada mereka yang mahukan politik yang sihat.

"Kita mahukan hujah berdasarkan fakta, bukan berasaskan sentimen, emosi dan politik murahan seperti fitnah dan sebagainya. Rakyat perlu diberi kedewasaan," kata beliau kepada Harakahdaily semalam.

Katanya lagi, beliau yakin Saifuddin juga dapat menterjemahkan pemikiran baru kepada masyarakat.

"Saya telah banyak kali berkongsi pentas dengan Datuk Saifuddin sama ada dalam televisyen atau di pentas universiti. Saya yakin ada pemikiran baru yang akan diterjemahkan," katanya.

9 tonggak manifesto Pakatan Negeri Sembilan

Muhammad Faizal, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Negeri Sembilan menzahirkan sembilan tonggak utama dalam manifesto yang bertemakan Prihatin Rakyat dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Manifesto bersama antara PAS, PKR dan DAP itu turut menekankan tanpa amalan rasuah jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri tersebut.

Sembilan tongak utama yang ditekankan adalah:

1. Rakyat itu tuan (pentadbiran dan kewangan awam)

Perkara yang wajibkan Menteri Besar dan Ahli Exco mengisytiharkan harta, memastikan kewangan negeri diuruskan secara berhemah dan tiada ketirisan dan pembaziran dalam belanjawan kerajaan. Malah tonggak pertama ini juga turut mewujudkan 'enakmen kebebasan maklumat' bagi memberi akses kepada rakyat mendapatkan maklumat awam.

2. Rakyat nan senang dan sejahtera (ekonomi)

Perkara kedua ini telah menekankan pembangunan ekonomi dalam usaha merapatkan jurang pendapatan, selain itu juga ia turut mengutamakan projek dan kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat secara langsung.

3. Rakyat nan bertelapak (tanah dan perumahan)

Tonggak ketiga ini adalah satu usaha terbaik dalam mengembalikan hak pemilikan tanah serta memastikan setiap rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

Antara sasaran bagi tonggak ini adalah memberi milik kepada pemegang tanah TOL yang telah diusahakan atau diduduki selama 25 tahun ke atas kecuali bagi tanah rizab jalan, sungai dan seumpamanya.

Memperkasakan dasar penggantian tanah rizab Melayu yang diambil oleh kerajaan malah turut melindungi kepentingan dan kedudukan Orang Asal.

4. Rakyat nan berilmu (pendidikan)

Mewujudkan skim bantuan pendidikan bagi memastikan setiap anak warga Negeri Sembilan mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat SPM, dalam pada itu bantuan secara sistematik turut diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan juga sekolah-sekolah tinggi persendirian.

Sumbangan sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM1,000 bagi diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf.

5. Rakyat nan berakhlak (Islam dan pendidikan Islam)

Antara yang ditekankan dalam tonggak ini adalah menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun RM250 sebulan kepada guru Al Quran, malah dalam urusan zakat juga turut diperkemaskan agar sistem pungutan dan agihan zakat menjadi satu instrumen pembasmi kemiskinan.

Bagi agama-agama lain portfolio hal ehwal bukan Islam diwujudkan dam peruntukan tahunan kepada badan-badan induk agama bukan Islam turut diberikan.

6. Rakyat nan aman dan mencintai alam (keselamatan, jenayah, gejala sosial dan alam sekitar)

Memperkasakan mekanisma penguatkuasaan undang-undang dan peraturan keselamatan bagi membendung jenayah dan gejala sosial.

Memberi insentif kepada majikan yang menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pekerja wanita yang bekerja syif malam bagi menjaga keselamatan mereka.

7. Rakyat nan selesa (infrastruktur dan kemudahan awam)

Memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkesan untuk penduduk bandar dan luar bandar, peningktan mutu jalan raya juga turut ditekankan.

8. Wanita dimartabatkan, rakyat nan muda disayangi, nan dizalimi dibela dan nan tua disantuni (wanita dan keluarga, anak muda, peneroka dan kebajikan)

Dalam usaha menaikkan martabat wanita bantuan sebanyak RM500 setahun diberikan kepada ibu-ibu tunggal yang layak selain menubuhkan dana usahawan wanita bagi membantu wanita menceburi bidang perindustrian.

Manakala untuk anak muda pusat perniagaan dan kebudayaan untuk anak muda diwujudkan. Bagi peneroka Felda, pengeluaran geran tanah dipercepatkan bagi peneroka yang telah melunaskan hutang kepada Felda.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak ketinggalan apabila sistem bantuan kebajikan diperkasakan selain mengalakkan majikan di sektor awam dan swasta memberi pertimbangan istimewa kepada OKU di dalam pengambilan pekerja.

9. Rakyat nan berbudaya dan beradat (seni budaya dan adat)

Antara lain dalam tonggak terakhir ini adalah menubuhkan Perbadanan pembangunan Tanah Adat bagi membangunkan tanah adat yang terbiar.

Menaikkan elaun Datok Lembaga Adat kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun sebanyak RM250 sebulan kepada Buapak-Buapak serta menubuhkan institusi bagi memperkasakan adat perpatih.

PAS ramal PRU13 tahun hadapan

Hazayani Zakaria, 19 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 19 Jun: PAS menjangkakan pilihan raya umum ke-13 berkemungkinan besar akan diadakan pada tahun hadapan, sehingga habis tempoh penggal.

Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Parlimen tidak akan dibubarkan pada tahun ini kerana Selangor tidak akan membubarkan Dun dan bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Mustafa berkata, Umno BN tidak akan berpuas hati jika Selangor tidak turut serta dalam PRU kerana mereka memang mahu merampas kembali Selangor.

"Saya rasa pilihan raya ini tunggu sampai tamat tempoh. Ini bukan saya bergurau, tapi serius.

"Selangor akan berasingan kerana ada masalah dengan daftar pemilih, penambahan pengundi yang ketara," kata beliau kepada Harakah dan Harakahdaily semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,  Dun Selangor tidak akan dibubarkan meskipun kerajaan Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen lebih awal namun hanya bersedia menyertai pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.

Di bawah sistem Persekutuan, negeri mempunyai hak dan kedaulatan untuk menentukan tarikh Dun akan dibubarkan seperti yang dilakukan Sarawak.

Mustafa berkata, Umno BN yakin dapat merampas Selangor dengan menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Strategi BN memang nak rampas Selangor. Dia tidak akan puas hati melainkan dia boleh tawan Selangor dengan strategi yang dibuat ini. Dengan kerjasama KDN, SPR dia merasakan ada harapan untuk tawan Selangor.

"Bila Selangor kata tak akan bersama, Umno BN akan tunggu.

"Dia akan buat pada tarikh yang Selangor tak boleh tangguh lagi. Jadi memang pilihan raya tak akan berlaku, akan berlaku tahun depan," katanya.

Mustafa bagaimanapun berkata, PAS bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU ke-13.

"Bagaimanapun dari segi kaedah politik, pilihan raya, PAS tetap bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa.

"Tapi pemikiran dalam BN mungkin pilihan raya sampai kepada tahun depan," katanya lagi.

RM26 juta kos lawatan PM ke luar negara

Harakahdaily, 19 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke luar negara dalam tempoh empat tahun sejak 2009 telah menelan belanja sebanyak RM26,080,144.39.

Demikian dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Jumlah itu mewakili keseluruhan 74 kali lawatan Najib yang turut diiringi para pegawainya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang meminta perdana menteri menjelaskan senarai semua lawatannya ke luar negara sejak April 2009, saiz rombongan dan kos terlibat.

Mengikut pecahan tahunan, Nazri memaklumkan bahawa pada 2009 perdana menteri melakukan 22 kali lawatan ke luar negara dengan 306 orang pegawai yang menelan kos RM3,442,343.68.

Pada 2010 pula sebanyak 17 kali dengan 252 pegawai dengan kos RM5,133,875.99.

Tahun 2011 adalah paling kerap iaitu sebanyak 27 kali dengan 425 pegawai mengiringi dengan kos RM12,568,227.49.

Manakala untuk separuh tahun 2012, sebanyak 8 kali lawatan bersama 125 pegawai dengan kos RM4,935,697.23.

Tiada ulasan: