Khamis, 28 Jun 2012

MERENDAH DIRI DIGALAKKAN DALAM ISLAM...BERLAGAK...BONGKAK SERTA TALAM DUA MUKA DILARANG DALAM ISLAM

DAP: Jangan jadikan hudud alasan untuk berpecah
Nurul Aini Mohamed Ali
28 Jun 2012
Lim Guan Eng
Ketua Menteri Lim Guan Eng
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyeru rakyat pelbagai kaum dan agama negara ini agar tidak menjadikan isu hukum hudud, yang diperjuangkan Pas, sebagai alasan untuk berpecah kerana keamanan negara seharusnya menjadi keutamaan semua pihak.

Menurutnya, walaupun hudud belum lagi dilaksanakan di negara ini, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk rakyat berpecah-belah.

"Apa yang menjadi isu pokok ketika ini bukan mengenai pelaksanaan hudud, tetapi bagaimana setiap pemimpin di negara ini mencapai persefahaman dan mengadakan musyawarah dalam membuat setiap keputusan," kata beliau dalam  Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam? di sini, malam tadi.

Katanya lagi, setiap pemimpin parti mesti bekerjasama bagi menubuhkan negara yang bersih dan adil bagi rakyatnya.

"DAP tidak akan sesekali menghasut rakyat bukan Islam untuk menentang hudud dan bencikan Islam. Jika ini berlaku, kami seolah-olah membenarkan Barisan Nasional (BN) menggunakan isu ini bagi memecahbelahkan ahli dalam Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Tegasnya, rakyat tidak seharusnya masuk ke dalam perangkap BN untuk memecahbelahkan ahli PR kerana apa yang penting ialah kerjasama, persefahaman dan prinsip yang diguna pakai dalam parti.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan, DAP bukan sebuah parti yang anti Islam.

"Kami sentiasa patuh kepada perlembagaan negara dan hormatkan Islam sebagai agama rasmi negara, jadi tidak timbul isu yang DAP anti-Islam," ujar beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa DAP anti-Islam.

Beliau menegaskan yang agama boleh menjadi alat bagi menyatupadukan rakyat negara ini menggunakan nilai-nilai universal yang murni.

"Justeru itu, kita mesti bangkit dan bersatu padu berdasarkan prinsip kesamaan. Masing-masing mempunyai kelemahan. Namun kelemahan yang ada ini mestilah kita sama-sama berusaha bagi memperbaiki diri dalam mencapai demokrasi," tegas beliau.
Lim: Peluang di Pulau Pinang 'masih 50-50'
NOOR AZURA SAHRIL
28 Jun 2012
Guan Eng: Peluang di Pulau Pinang 'masih 50-50'
Lim Guan Eng ketika ditemui pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian dan Sinar Harian Online di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam.
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ternyata cukup berhati-hati ketika bercakap mengenai masa depan parti itu dan juga kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Saya tidak mahu terlalu yakin ... setakat 50-50 cukuplah," katanya kepada Sinar Harian dan Sinar Harian Online di sini, semalam.
Guan Eng berkata, beliau lebih selesa untuk cakap berlapik meskipun sokongan rakyat Pulau Mutiara dilihat masih kekal berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR)

"Walaupun sokongan masih kuat, dan semakin kuat, kita masih perlu kerja kuat juga.

Tidak boleh terlalu selesa atau terlalu yakin kerana jika terlalu yakin, itu boleh jadi perangkap," katanya

Bagi Guan Eng, peluang empat tahun memerintah Pulau Pinang masih tidak boleh dijadikan sandaran. Atas sebab itu katanya, bersikap merendah diri adalah lebih praktikal.

"Saya hanya percaya pada pengiraan undi. Yang lain-lain, saya tidak mahu rasa terlalu selesa. Kita masih 50-50 sebenarnya," katanya Ketua Menteri penggal pertama ini.

Guan Eng berkata, menang atau tidak bukan dalam tangan beliau atau DAP.

"Ia akan ditentukan oleh rakyat. Saya hanya boleh yakin dalam hati, dan akan terus bekerja keras demi rakyat," katanya .

Ditanya mengenai peluang PR untuk terus berkuasa di negeri itu berbanding negeri lain, Guan Eng meletakkan kedudukan Pulau Pinang hanya di tempat ketiga selepas Kelantan dan Selangor.

"Pulau Pinang mungkin boleh berada di kedudukan ketiga," katanya kemudian meramal Kedah pula berada di tangga keempat dalam senarai peluang untuk PR kekal jadi kerajaan.
Mat Sabu: Kedudukan Nasharudin 'gantung pada keputusan parti'
WAN NASRAH ABDUL RAHIM
28 Jun 2012
 Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa
SHAH ALAM – Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa yang juga bekas Timbalan Presiden Pas belum pasti akan dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, sebagai ahli parti itu, ruang untuk Nasharuddin dicalonkan semula masih ada.

"Namun ada juga kemungkinan beliau tidak akan dicalonkan semula. Ini bergantung pada keputusan pimpinan tertinggi parti.

Dalam soal ini, siapa pun ada ruang dan pada masa yang sama, mungkin ruang itu tidak ada," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus Nasharudin tidak akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bachok yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu.

Pada Jun 2011, Nasharudin yang bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas yang disandang sejak 2005 tewas dalam persaingan tiga penjuru kepada Mohamad. Seorang lagi calon ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam pada itu, timbul ura-ura parti Pas akan mencalonkan Ketua Dewan Pemuda Pas Bachok, Ahmad Marzuk Shaary. Turut disebut-sebut Arif Fahmi Abdul Rahman yang juga menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Wan Nik Wan Yusoff yang tewas kepada penyandang kerusi, Datuk Dr Awang Adek Hussain pada pilihan raya umum lalu.
Rafizi Ramli dicabar pulang wang rakyat
Wartawan Sinar Harian
28 Jun 2012
Cabar Rafizi pulang wang rakyat
Laporan Sinar Harian 26 Jun lalu
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dicabar untuk memulangkan kembali wang rakyat yang digunakan untuk membayar gajinya sepanjang bertugas sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Rafizi perlu rasa berdosa kerana menggunakan wang rakyat tetapi gagal berbuat sesuatu untuk meningkatkan ekonomi Selangor kerana lebih gemar berpolitik.

“Rafizi tidak perlu putar belit kenyataan. Beliau letak jawatan kerana mahu tumpu pilihan raya, bukan kerana ikhlas mahu melepaskan jawatan itu. Jika memang duit rakyat, saya cabar Rafizi pulangkan kembali elaun diterima sepanjang menjawat jawatan berkenaan,” katanya.

Sohaimi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rafizi yang melepaskan jawatan ketua eksekutif kerana tidak selesa menerima gaji daripada tabung rakyat apabila tumpuannya cenderung kepada aktiviti politik.

Sohaimi berkata, Rafizi dilihat gagal dalam meningkatkan ekonomi negeri Selangor sejak menyandang jawatan berkenaan pada tahun 2009.

“Beliau juga sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana kegagalannya itu,” katanya. Justeru katanya, Rafizi juga perlu meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebaliknya lebih banyak beretorik.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Badrul Hisham Badrudin berkata, peletakan Rafizi itu juga membuktikan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor semakin bergolak dan hilang hala tuju.

Katanya, rakyat perlu membuka mata melihat sendiri pergolakan dan perebutan kuasa yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga menjejaskan tumpuan dalam usaha memajukan ekonomi Selangor.

“Mereka ini tidak mempunyai keutamaan kepada rakyat, sebaliknya hanya mengejar jawatan untuk kepentingan diri dan agenda peribadi semata-mata,” katanya.
Geran Selangorku: Dakwaan BN tidak masuk akal
NURULFATIHA MUAH
28 Jun 2012
Geran Selangorku: Dakwaan BN tidak masuk akal
Laporan Sinar Harian semalam.
SHAH ALAM - Dakwaan sumber kewangan Geran Selangorku berjumlah RM300 juta adalah dana khas Pakatan Rakyat (PR) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, dakwaan dicipta Barisan Nasional (BN) itu dilihat bertujuan melaga-lagakan kepimpinan PR negeri ini yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, BN tidak akan berjaya kerana kepimpinan mereka mengamalkan sikap saling tegur-menegur antara satu sama lain jika ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Kita boleh suarakan secara terbuka dan perkara ini jugalah yang berlaku dalam Geran Selangorku. Kita pernah tanya secara terbuka mengenai geran ini dan dimaklumkan ia adalah duit kutipan hutang Talam Corporation yang tidak berjaya dikutip BN semasa mereka memerintah.

“Kita bukan seperti BN yang hanya mengiakan saja apa yang diperkatakan pemimpin mereka bulat-bulat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku.

Shuhaimi berkata, kira-kira satu per enam daripada peruntukan geran itu digunakan untuk membaiki infrastruktur, tetapi dituduh kononnya untuk kepentingan politik PR.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, jika PR dituduh menggunakan Geran Selangorku untuk tujuan politik, Bantuan Rakyat 1Malaysia juga dianggap kepentingan BN untuk meraih sokongan.

“Dakwaan itu tidak benar, itu (sumber kewangan geran) memang kutipan hutang.

Berdasarkan pengalaman lalu, Pas dapatkan dana pilihan raya daripada kutipan dan sumbangan ahli parti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, tuduhan itu menunjukkan BN yang cuba merampas Selangor dari PR tidak membuat ‘homework’ perkembangan negeri ini dengan baik.

“Sudah jelas, memang Geran Selangorku itu sumbernya daripada hutang Talam (Corporation). PR tidak pernah ambil satu sen pun wang daripada Kerajaan Negeri walaupun Selangor diperintah PR,” katanya.

Kelmarin, Mohd Zin mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku kerana mendakwa Abdul Khalid masih lagi berdolak-dalik menyatakan sumber sebenar dana itu.
Mahathir: Anwar saman untuk tutup mulut

27 Jun 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang "begitu galak" memfailkan saman sekarang sebenarnya merupakan pendekatan kegemaran Ketua Pembangkang itu untuk menutup mulut orang lain.
  
Kata beliau, ini kerana, apabila sesuatu perkara dirujuk kepada mahkamah, ia tidak lagi boleh dibincang secara umum untuk mengelak berlaku subjudis.
  
"Seperti yang anda tahu, beliau telah menyaman saya dan selama empat tahun saya tak boleh membuka mulut. Itulah cara beliau berkempen, menyekat orang daripada bercakap, sedangkan beliau percaya kepada kebebasan bersuara dan perkara seumpamanya.
  
"Tapi, apabila orang bersuara, beliau hendak tutup mulut mereka dengan menyaman semua orang," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
  
Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar yang menyebut bahawa bekas rakan Anwar, Senator Datuk S. Nallakarupan, menuduh Ketua Pembangkang itu menggunakan saman untuk menyekat perbuatan buruknya didedah kepada umum.

Terdahulu, Dr Mahathir menerima kunjungan hormat Presiden Guinea Alpha Conde, yang melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia.
  
Mengenai pertemuan mereka yang berlangsung selama lebih kurang setengah jam, Dr Mahathir berkata Conde ingin mengetahui lebih mendalam tentang negara ini dan mempelajari cara kerajaan membangunkan Malaysia untuk beliau contohi dalam membangunkan Guinea.
  
Sebelum itu, Conde mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kedua-dua pemimpin bersetuju mengkaji bidang baru hubungan dua hala antara Malaysia dan Guinea.
  
Najib dan Conde juga menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Kerjasama Antarabangsa Guinea Prof Datuk Koutoub Moustapha Sano.
  
Najib juga meraikan presiden itu pada majlis jamuan tengah hari di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini. - Bernama
Abby: 'Belum sampai masa masuk Pas'
NURUL FATIHAH SULAINI
27 Jun 2012
Abby: 'Belum sampai masa masuk Pas'
Mohd Nasir menyampaikan buku Munajat Pejuang kepada Abby Abadi.
ALOR SETAR - Belum sampai masanya lagi! Demikian kata Abby Abadi, pelakon yang terkenal dengan watak Inspektor Aliza dalam rancangan televisyen Gerak Khas ketika diajukan pertanyaan sama ada akan mengikut jejak langkah beberapa rakan artis lain menyertai Pas.

Beliau berkata, belum sampai masanya lagi untuk menyertai Pas seperti yang dilakukan oleh beberapa selebriti sebelum ini.

Menurutnya, untuk sementara waktu beliau rela menjadi kelompok orang di luar parti bagi mencari erti perjuangan sebenar dan memahami konteks agama serta politik tidak dapat dipisahkan sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Bukan saya tak nak (jadi ahli Pas) atau nak mengelakkan (menyertai Pas) tetapi masih ramai di luar sana tidak faham agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

"Nak tarik orang masuk parti bukan senang, kena perlahan-lahan.

“Sebab itu saya masih belum lagi mendaftar sebagai ahli Pas," katanya.

Tambah beliau: "Apabila saya betul-betul faham baru akan sertai. Bukan tak nak masuk… sabar ya."

Beliau berkata demikian sewaktu diasak pelbagai soalan bila akan masuk Pas semasa sesi dialog berkongsi pengalaman penghijrahan bersama Abby Abadi di Kompleks Pas Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.

Hadir sama, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.

Abby berkata, tidak salah berada dalam majlis anjuran Pas dan mendekatkan diri melalui majlis ilmu kerana cara itu berpeluang berkongsi ilmu agama dengan ustaz, ustazah termasuk ilmuan.

“Bukan sahaja bergandingan bersama mereka tetapi juga pernah berkongsi pentas ilmu dengan selebriti seperti Bob Lokman. Saya bangga abang Bob (Bob Lokman) dan Kak Aishah (Wan Aishah Wan Ariffin) menyertai Pas selepas mereka faham apa yang diperjuangkan.

“Sebelum masuk ke majlis seperti ini, orang bercakap macam-macam mengenai mereka, cakap tak sedar diri dulu dalam bidang seni sekarang baru berubah. Namun bila bersama mereka tidak pernah mereka memburukkan sesiapa sebaliknya perkongsian sering berkisarkan agama, fardu ain, tentang kematian,” katanya.

Menurutnya, hasrat  beliau kini ingin lebih dekat dengan agama selain menjadi insan lebih baik setelah melalui pelbagai pengalaman yang banyak mengajarnya erti sabar termasuk diberi jalan untuk berhijrah.

“Bukan sebab saya pilih pentas (majlis Pas) untuk berkongsi pengalaman, saya juga mendapat jemputan daripada majlis agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama persatuan wanita.

“Saya seronok berkongsi cerita supaya apabila ada wanita lain melalui peristiwa seperti saya (berhijrah) mereka akan sama-sama mendapat kekuatan melalui perkongsian pengalaman ini,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan sebenar ialah apabila seseorang itu semakin dekat pada agama dan sayang kepada ALLAH.

"Saya sendiri tidak suka melihat berlaku perpecahan antara orang Melayu serta sesama Islam," katanya.

Dalam majlis itu, Abby turut menerima senaskhah buku Munajat Pejuang yang disampaikan Mohd Nasir sebagai simbolik pelancaran Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat Pas Kawasan Kuala Kedah.

Tiada ulasan: