Khamis, 28 Jun 2012

HUDUD MEMANG UNDANG2 CIPTAAN ALLAH...SEBAGAI MAKHLUK TAK BOLEH PERTIKAIKAN...KITA HIDUP PUN KERANA DIHIDUPKN OLEH ALLAH...ORANG NON MUSLIM SUDAH TENTU TAK FAHAM...JIKA DIJELASKAN TENTU MEREKA FAHAM....YANG PELIK YANG MENGAKU ISLAM MERAGUI...MENENTANGNYA DAN ENGGAN MELAKSANAKAN...MAKA ROSAK SUDAH IMANNYA....

Krisis dalaman pemuda Umno Johor makin parah

Harakahdaily, 28 Jun 2012
JOHOR BAHRU: Umno Johor terus dilanda krisis dalaman parti dan terbaru membabitkan sayap pemuda negeri itu.

Menurut Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, beliau mendapat maklumat dalam satu mesyuarat Pemuda Umno Johor di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, 16 daripada 26 ketua pemuda Umno bahagian menolak secara terang-terangan kepimpinan ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fadil Muskon.

Kesemua 16 mereka juga menurut Suhaizan mendesak Mohd Fadil meletak jawatan dengan kadar segera.
"Bermakna 61% Ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian menolak kepimpinan Pemuda Umno Negeri sekarang.

"Antara Ketua-ketua Pemuda Umno yang terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan Mohd Fadil adalah Ketua Pemuda Umno bahagian Pontian, Batu Pahat, Pagoh, Tebrau, Johor Bahru dan lain-lain lagi," katanya.

Menurut Suhaizan lagi, terdapat juga Ketua-ketua Pemuda Umno Bahagian yang tidak hadir dalam mesyuarat tersebut kerana tidak mahu terlibat dalam masalah yang sedang dihadapi.

Difahamkan antara alasan penolakan Mohd Fadil Muskon adalah kerana beliau daripada kem Khairy Jamaluddin sedangkan16 ketua pemuda yang menolaknya adalah dari kem Datuk Razali Ibrahim.

Selain daripada itu, terdapat juga pandangan menyatakan bahawa Mohd Fadil ‘budak baik’ dan kurang senang dengan pemuda-pemuda Umno bahagian yang mengambil kesempatan daripada projek-projek kerajaan.

"Perpecahan ini telah membuktikan bahawa Umno Johor sudah berada dalam keadaan tenat.

"Ini telah menjadi sebab mengapa Datuk Seri Najib tidak berani membubarkan parlimen sehingga hari ini," ujar Suhaizan lagi.

Jika ahli parlimen boleh dibeli, rakyat bawahan...

Harakahdaily, 28 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana pihak tidak bertanggungjawab telah mencemar nama baik ahli-ahli parlimen negara ini.
Justeru, DPPM merasa terkejut dengan dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke parti BN pada tahun 2010.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) menganggap dakwaan beliau amat serius kerana ia melibatkan integriti ahli-ahli Parlimen.

“Meskipun beliau mendedahkan isu ini setelah dua tahun peristiwa ini berlaku, namun implikasinya amat besar terhadap insititusi parlimen sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak berkenaan merasakan ahli parlimen adalah manusia murahan yang boleh dibeli dengan sejumlah wang untuk mengikut telunjuk mereka.

“Jika ahli Parlimen juga boleh dibeli, apa akan jadi dengan masyarakat dan golongan bawahan?

“Sudah pasti masyarakat bawahan akan lebih rosak dan menerima padah dengan gejala rasuah yang berleluasa,” katanya.

Justeru, ujar beliau tidak hairan sekiranya pegawai-pegawai kerajaan turut bergelumang dengan rasuah kerana ‘teladan yang berguna’ yang ditunjukkan daripada pemimpin politik negara ini.

DPPM menegaskan, jawatan sebagai ahli parlimen adalah amanah paling tinggi daripada rakyat yang mesti ditunaikan sebaiknya oleh seseorang ahli parlimen.

Beliau berkata, rakyat membayar harga yang mahal dengan air mata, keringat dan juga pengorbanan yang tinggi bagi memenangkan seorang ahli parlimen di sesebuah kawasan supaya ahli parlimen ini bangkit membela mereka di parlimen kelak.

Tambahnya, tugas sebagai ahli arlimen adalah bersuara dengan membela rakyat, khususnya untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk diperdagangkan menurut kemahuan nafsu segelintir elit semata-mata.

Justeru, ujar beliau DPPM mendesak supaya SPRM menyiasat segera dakwaan Azan berhubung isu itu.

Katanya, SPRM dituntut untuk menyiasat individu di belakang tawaran tersebut dan mengheretnya ke mahkamah.

“Adakah ia arahan pemimpin-pemimpin tertentu yang berkepentingan serta mempunyai kuasa dalam negara ini?” katanya.

Beliau berkata, ia perlu didedahkan supaya petualang-petualang ini mendapat pengajaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

Selain itu, ujarnya DPPM juga mendesak supaya SPRM turut sama memanjangkan siasatannya terhadap beberapa orang ahli parlimen yang telah melompat parti menjadi ahli parlimen bebas.

Tegasnya, siasatan perlu menyeluruh adakah mereka juga termasuk senarai di antara yang menerima tawaran tersebut dan menerimanya atau sebaliknya.

“DPPM melihat rasuah membeli Ahli Parlimen adalah permainan politik paling jijik yang dilakukan oleh golongan yang terdesak untuk mendapat kuasa dengan cara yang tidak bermaruah.

“Tidak ada kemaafan bagi mereka yang cuba menghancurkan integriti negara dan merosakkan masyarakat dengan jenayah rasuah seperti ini,” tegasnya.

'Leftenan Adnan' di Himpunan Hijau Johor esok

Harakahdaily, 28 Jun 2012
JOHOR BAHRU: Pelakon Hairie Othman yang baru sahaja mengisytiharkan mahu menyertai PAS akan menyerahkan borang keahlian secara rasmi kepada Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat esok.


Penyerahan itu sempena Himpunan Hijau peringkat Johor yang akan berlangsung di Kempas, Johor Bahru, Johor malam esok.

Hero filem 'Leftenan Adnan' itu sebelum ini menghangatkan politik tanah air apabila menjadi selebriti terbaru menyatakan hasrat menyertai PAS.

Sebelum ini beberapa selebriti telah menyerahkan borang menyertai PAS termasuk Bob Lokman dan penyanyi Aishah yang popular dengan lagu janji manismu.

Selain mereka, beberapa selebriti lain yang kini sering tampil di pentas PAS termasuk Iwan Syahman, Abby Abadi, Catriona Ross dan Sham Kamikaze.

Sementara itu Himpunan Hijau PAS Johor akan bermula jam 5 petang di Padang Futsal, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Kempas Permai, Tampoi dalam program jamuan bersama Tok Guru.

Selepas itu majlis tahlil dan munajat perdana akan dibuat di Dataran Dahlia, Taman Dahlia bermula dengan solat Maghrib sebelum ceramah perdana ditempat sama.

Turut diadakan jamuan makan bersama masyarakat Cina dan India di Grand Straits Garden Seafood Restaurant, Johor Baharu mulai jam 7 malam.

Pimpinan PAS yang akan turut hadir adalah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi serta Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Mahfoz Bin Muhammad.

"Pihak jawatankuasa Program menjangkakan kehadiran lebih daripada 10 ribu peserta himpunan daripada seluruh negeri Johor bagi menjayakan himpunan ini.

"Kahadiran Hairie Othman bakal menarik lebih ramai anak muda hadir dalam himpunan ini. Ahli-ahli dan penyokong PAS di luar Johor juga dijemput sama untuk menjayakan himpunan ini," kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat.

Judi: MB syukur Mahkamah Rayuan tolak saman MCA

Harakahdaily, 28 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan merakamkan kesyukuran penolakan Mahkamah Rayuan terhadap saman dari MCA yang menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi di negeri itu.


(Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran dengan keputusan Mahkamah Rayuan)

Menurut Setiausaha Akhbar MB, Fadhli Shaari, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang kini berada di Kuala Lumpur beranggapan keputusan ini satu kejayaan yang besar ertinya kepada kerajaan Kelantan.

Mahkamah Rayuan Malaysia semalam yang secara sebulat suara telah menerima rayuan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB – BRI) dalam isu judi sekaligus membatalkan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi pada tahun lepas.

Saman tersebut telah dikemukakan pada Julai 2011 oleh tiga orang tiga penduduk Kelantan iaitu Wong Meng Yit, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa dan Gan Han Chuan serta diiringi oleh anggota Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Ti Lian Ker semasa saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuan Guru Nik Aziz ini kejayaan besar dalam usaha untuk memastikan dasar yang telah dilaksanakan semenjak tahun 1990 ini tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Hakikatnya, dasar ini dilaksanakan dengan tujuan menjaga kemaslahatan semua pihak dan ia secara umumnya diterima dengan baik kecuali anasir-anasir yang bersifat minoriti yang dipercayai berpunca daripada dakyah pihak-pihak tertentu.

"Tuan Guru Menteri Besar juga menyuarakan rasa kesal teramat sangat di atas tindakan saman yang difailkan yang dipercayai direstui oleh parti MCA berdasarkan kehadiran anggota jawatankuasa pusatnya semasa proses saman tersebut difailkan," kata Fadli dalam kenyataannya.

Persoalannya, kata beliau, di manakah suara Umno yang selama ini mendakwa sebagai juara membela agama dan bangsa?

"Kenapakah langsung tidak bersuara dalam isu ini yang sekaligus dilihat sebagai menyokong tindakan menyaman kerajaan Kelantan?" soal beliau.

Justeru, katanya, menjadi harapan Tuan Guru Menteri Besar agar keputusan ini diterima baik oleh semua pihak dan tidak lagi bertindak menggugat dasar-dasar yang telah diputuskan sekian lama.

Dasar ini pula selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Kelantan semenjak tahun 1990.

Kerajaan tidak serius kawal sekuriti makanan

Mohd Azmi Abdul Hamid, 28 Jun 2012
Apabila Timbalan Menteri Pertanian mendedahkan di Parlimen sebanyak  RM221.81 bilion dibelanja untuk mengimport makanan dalam tempuh 10 tahun yang lalu, bermakna Malaysia membayar purata RM22 bilion setahun untuk membeli makanan dari luar dan menunjukkan Malaysia berada di kedudukan kebergantungan kepada bekalan makanan yang paling tidak mapan.
Bukan sahaja Malaysia rugi dari segi wang yang mengalir keluar malah rakyat terdedah kepada makanan luar yang tidak menentu bekalannya. Lebih malang kerajaan yang pernah mengumumkan Dasar Pertanian Negara Baru 1992-2010 yang mencatat sekuriti makanan sebagai satu elemen yang penting, namun dari segi perlaksanaan ia tidak membawa kesan seperti yang diharapkan.

Ini  membuktikan betapa kerajaan tidak serius melihat persoalan sekuriti makanan sebagai isu negara yang besar. Isu tanah pertanian yang ditukar syarat kepada bangunan dan pengambilan tanah untuk kawasan perindustrian berleluasa tanpa penelitian dengan mendalam.

Walhal seluruh dunia kini mengangkat isu ini sebagai isu utama. Pelbagai persidangan dunia telah diadakan untuk membincangkan krisis yang bakal berlaku iaitu krisis makanan akibat dari pelbagai faktor.

Antaranya ialah perubahan cuaca, monopoli sumber makanan oleh syarikat multinasional, pengambilan  tanah pertanian untuk projek perumahan, jalan raya, kawasan industri, pembinaan infrastruktur  seperti lapangan terbang, pembesaran bandar, pembukaan ladang, kenaikan kos input pertanian yang membantutkan pengeluaran.

Kerajaan nampaknya mengenepikan isu yang amat asasi ini. Di pelbagai negara yang lain krisis makanan boleh membawa kepada rusuhan. Malah telah pun berlaku di Filipina dan Indonesia serta negara Latin Amerika.

Teras  mendapati nampaknya isu sekuriti makanan tidak dilihat serius kerana pihak kerajaan beranggapan ini tidak menjelaskan sokongan rakyat.

Kenapa kerajaan Malaysia tidak melihat isu ini sebagai isu yang relevan dan sangat genting. Sekuriti makanan adalah sebenarnya isu yang boleh menentukan keselamatan dan kestabilan negara. Ia meliputi isu bekalan, isu akses dan isu kegunaan makanan.

Jika semua isu ini gagal ditangani dengan baik, Malaysia bakal terdedah kepada risiko yang sangat bahaya jika tiba-tiba ketidakstabilan berlaku di rantau ini.

Kerajaan tidak sepatutnya memandang rengan isu ini hanya dengan anggapan bahawa bekalan makanan akan terus terjamin kerana mampu membeli bekalan makanan dari luar. Ini adalah pandangan strategi yang sangat dangkal dan sama sekali tidak cerdik.

Malaysia yang sebenarnya adalah negara asal pertanian harus kembali memberi perhatian kepada menghasilkan makanan yang mencukupi untuk rakyat sepanjang masa.

Pertimbangan kononnya kos pengeluaran adalah tinggi, tidak dapat diterima kerana sepatutnya usaha mencari jalan mengurangkan kos input pertanian melalui pertanian organik boleh diperluaskan.

Negara jiran jauh lebih kukuh membangunkan sektor pengeluaran makanan secara sangat kreatif dengan mengabungkan pelbagai amalan pertanian tradisional dan pertanian moden. Pengeluaran makanannya mampu menghasilkan bekalan yang berlebihan untuk rakyat sehingga boleh mengeksport keluar negara.

Teras menegaskan kerajaan perlu segera menggubal polisi mencapai tahap sara diri makanan negara. Peruntukan khas untuk melancarkan gerakan "Makanan Rakyat Diutamakan" perlu diwujudkan.

Mohd Azmi ialah Presiden Teras.

Anwar saman tak boleh, Umno saman boleh?

Harakahdaily, 28 Jun 2012
KUALA LUMPUR: “Oh macam itu ke? Satu hala sahaja. Anwar saman Umno tak boleh sebab dikatakan tutup mulut, tapi Umno saman Anwar tak apa?” ulas blog Kelab Greenboc terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mahathir kelmarin dilaporkan berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ‘begitu galak’ memfailkan saman sekarang sebenarnya merupakan pendekatan untuk menutup mulut orang lain.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian di Putrajaya apabila diminta mengulas laporan akhbar yang menyebut bahawa Senator Datuk S. Nallakarupan, bekas rakan Anwar menuduh Ketua Pembangkang itu menggunakan saman untuk menyekat perbuatan buruknya didedah kepada umum.

Ulasan GB

Oh macam itu ker? Satu hala sahaja. Anwar saman UMNO tak boleh sebab dikatakan tutup mulut, tapi UMNO saman Anwar tak apa?

Bloody nonsense, a hipocrite of the highest degree, isn't he?

Apa jaminan menteri tahanan ISA mogok lapar

Hazayani Zakaria, 28 Jun 2012

KUALA LUMPUR, 28 Jun: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini terus mendesak Menteri Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tidak akan mengambil tindakan ke atas sembilan tahanan  yang melakukan mogok lapar di Kem Kamunting (Kemta).

Peguam Latheefa Koya berkata, Menteri Dalam Negeri mesti memberi jaminan bahawa pihak keluarga, peguam dan doktor akan diberi akses kepada tahanan tanpa sebarang halangan oleh pihak Kemta.

"GMI menuntut pendirian Menteri Dalam Negeri mengenai mogok lapar yang sedang berlaku di Kamunting.

"Apakah menteri akan memberi jaminan bahawa tahanan yang mogok lapar tidak akan dikenakan sebarang tindakan seperti yang dikenakan ke atas dua tahanan," kata beliau sebelum menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di hadapan Bangunan Parlimen, hari ini.

Kira-kira 30 terdiri daripada keluarga tahanan, aktivis GMI termasuk peguam dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkumpul di pintu masuk Parlimen dengan kain rentang dan poster menuntut tahanan dibebaskan.

Memorandum tersebut diserahkan oleh sekretariat GMI, Syukri Razab dan bapa Fadzullah, Abdul Razak Mohd kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Tian Chua (PKR-Batu).

Menurut maklumat yang diterima, dua tahanan yang memulakan mogok lapar iaitu Fadzullah Razak dan Razali Kassan diasingkan daripada tahanan lain dan dikenakan kurungan sendiri.

Hari ini merupakan hari ke lapan mogok lapar yang bermula Khamis lalu.

GMI berpendirian menyokong mogok lapar tersebut dan mahu Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ke atas tahanan.

Sehubungan itu, GMI akan mengadakan candle light virgil pada Sabtu ini jam lapan malam di pintu utama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan protes bersama keluarga tahanan di hadapan pintu utama Kemta pada keesokan harinya jam 10 pagi.

DAP anti Islam hanya propaganda - Dr Mazlee

Muhammad Faizal, 28 Jun 2012
SHAH ALAM: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek berpendapat hudud tidak boleh dilihat dari sudut hukuman semata-mata tetapi perlu melihat matlamatnya secara menyeluruh.

Beliau yang juga turut mengajar subjek tersebut di UIAM berkata, objektif yang ingin dicapai melalui hudud adalah ingin menjadikan sebuah masyarakat yang bersih dan baik.

"Saya melihat menariknya hudud itu bukan dilihat kepada hukumannya tetapi dari sudut objektif yang mahukan sebuah masyarakat yang bersih tanpa jenayah, rompak, rogol, tuduhan zina mahupun memaparkan gambar-gambar orang berzina di dada akhbar dengan niat untuk memfitnah," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam anjuran Roketkini.com bersama Lim Guan Eng di sini malam tadi.

Tambahnya lagi, oleh kerana mungkin masyarakat berbilang kaum di negara ini sukar menerima perlaksanaan hudud, namun ianya boleh dilakukan dengan melaksanakan objektif-objektif yang terkandung di dalam hudud itu sendiri.

"Bila kita melaksanakan objektif hudud itu seperti meningkatkan keadilan, pemerintahan yang telus, banteras rasuah mahupun meningkatkan intergriti pihak berkuasa dan undang-undang.

"Dengan secara tidak langsung objektif yang dilaksanakan dalam hudud akan dapat dicapai tanpa perlu melaksanakan hukum tersebut," katanya.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa kesal dengan pihak tertentu khususnya di kalangan Melayu yang sering menuduh DAP sebagai anti Islam.

"Persepsi propaganda ini dimainkan sejak dulu lagi, iaitu semasa DAP belum menyertai Pakatan Rakyat yang berniat untuk menimbulkan kerisauan terhadap Islam dan orang melayu.

"DAP anti Islam hanyalah dari sudut pandangan Umno sahaja bukanya orang lain, malah MCA juga ada mengeluarkan kenyataan yang tegas mengenai Islam tapi ia tidak dilihat sebagai anti Islam kepada Umno," katanya.

Tambahnya lagi, jika dilihat kepada perlaksanaan dan dasar-dasar DAP sehingga kini tidak ada suatu pun yang mengancam Islam apatah lagi bukti yang dilakukan oleh parti tersebut di Pulau Pinang.

Tolak jadi katak: Tahniah kepada Azan Ismail

Harakahdaily, 28 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mengucapkan tahniah kepada anggota Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail di atas kecekalannya menolak tawaran melompat parti bernilai RM5 juta.

"Setinggi-tinggi hormat kepada Saudara Azan Ismail kerana semangat wajanya. Tak boleh dibeli walau dengan RM5 juta," tulis pemimpin veteran PKR, Dr Syed Husin Ali.
(Azan bersama Khalid Samad dalam sidang media di Parlimen)

"Tidak seperti katak-katak puru yang sanggup jual diri," sambung Syed Husin dalam Twitternya.

Syed Husin mengulas kenyataan Azan di Parlimen bahawa beliau adalah antara yang ditawarkan agar melompar parti.

Azan mendakwa, beliau ditawarkan RM5 juta jika sanggup meninggalkan kerabat Pakatan Rakyat, PKR.

Sebelum itu, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat sidang media mendedahkan bukti video usaha pihak tertentu memujuk anggota Parlimen Pakatan agar keluar dari parti masing-masing.

Dalam video itu, Khalid mendakwa, Ketua Parti Kita Kedah, Zamil Ibarhim adalah antara orang perantaraan Umno untuk membeli anggota Parlimen berkenaan.

32 hari tidur di khemah, bimbang dihempap batu

Nazri Abdullah, 28 Jun 2012
CAMERON HIGHLANDS: Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah di kawasan Green Cow di sini diancam tanah runtuh ekoran sikap pemaju mementingkan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan penduduk.

Penduduk mendakwa, syarikat pemaju LTT Development Sdn Bhd dan Ng Yeet Ng giat menjalankan kerja-kerja meratakan tanah bukit untuk projek pembangunan di kawasan itu sehingga terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk di bawah cerun.

Kini seramai 38 penghuni di kediaman-kediaman itu diancam bahaya bukan sahaja tanah runtuh, malah beresiko dihempap batu-batu besar berdiameter lebih 5 meter.


(Gambar: Batu besar yang menggelongsor ke bawah cerun hampir-hampir menghempap kediaman penduduk)
Menurut salah seorang penduduk S.Marapan, beliau kini terpaksa meninggalkan rumah yang didiami lebih 40 tahun itu dan membina khemah di atas bukit tersebut sejak 25 Mei lalu kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

"Hari ini sudah masuk 32 hari kami tidur di khemah ini. Sehingga kini tiada pihak yang peduli nasib kami," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Selain ancaman tanah runtuh, penduduk juga mendakwa kerja-kerja meratakan tanah itu menyebabkan air lumpur mengalir turun ke kediaman mereka sehingga menyebabkan banjir lumpur.


(Gambar: Marapan menunjukkan keadaan kediamannya dan penduduk lain yang diancam tanah runtuh)


Menurut Marapan lagi, pelbagai pihak telah dimaklumkan berhubung permasalahan mereka itu.

Ianya termasuk mengadakan perbincangan dengan jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Alam Sekitar.

Namun sehingga kini katanya tiada sebarang tindakan diambil pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah itu.


(Gambar: Banjir lumpur melanda penduduk ekoran kerja-kerja meratakan tanah)


Seorang surirumah, Vennetta mendakwa sejak kerja-kerja meratakan tanah itu dilakukan, beliau sering tidak dapat tidur malam kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada keluarganya.

"Bila hujan sahaja, saya mula bimbang takut berlaku tanah runtuh.

"Sejak beberapa bulan ini saya susah nak tidur, risau keselamatan kami," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Ekoran tidak mendapat perhatian pihak berkuasa, penduduk kini bertindak menghalang jentolak syarikat pemaju dari meratakan tanah di kawasan cerun berhampiran kediaman mereka.

Bagaimanapun difahamkan mereka berdepan ancaman samseng upahan pemaju yang mengganggu dan mengugut mereka.

Menurut mereka lagi, sehingga kini sudah lebih 10 laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan diambil.

Malah hasil tindakan menghalang pemaju melakukan kerja-kerja meratakan tanah itu, tiga dari mereka didakwa di Mahkahmah Majistret Cameron Highlands.

Keluhan dan kebimbangan mereka selama ini diperjuangkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berusaha menyelesaikan masalah meraka.

Semalam, Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat turut dibawa melawat ke tapak perkhemahan mereka bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi mereka.

Rombongan diketuai Pengerusi Lajnah Zulkefly Mohamad Omar, ahli jawatankuasa yang lain, Setiausaha PSM S. Arutchelvan serta wakil PKR dan DAP Cameron.

Wakil PSM Cameron, Suresh Kumar berkata, penduduk kini bertekad tidak akan berganjak dari tapak perkhemahan selagi tiada sebarang jaminan keselamatan dari pihak pemaju dan kerajaan negeri.

"Selagi tiada sebarang jaminan dari pemaju, kita akan terus berada di sini dan menghalang jentolak dari melakukan kerja-kerja meratakan tanah ini," katanya.

Bukan Islam pun tak setuju PRU musim perayaan

Muhammad Faizal, 28 Jun 2012
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempertikaikan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mencadangkan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) boleh diadakan pada musim haji.

Beliau mempersoalkan tindakan tersebut pada program wacana anjuran Roketkini di sebuah hotel di Shah Alam.

"Tindakan Najib yang ingin mengadakan PRU13 pada musim haji adalah tidak betul dan tidak tepat.

"Najib perlu peka dengan soal ibadat orang Islam, melaksanakan PRU pada musim haji tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penganut bukan Islam juga tidak akan bersetuju jika pilihan raya diadakan pada waktu musim perayaan atau keagamaan mereka.

"Bagaimana Najib nak melaksanakan dalam musim haji yang jelas ia merupakan ibadat kepada umat Islam," sambung beliau lagi pada program wacana bertajuk 'Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam'.

Pensyarah Universiti Islam Antarabanga Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malek turut menjadi ahli panel sementara Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator.

Jangan terikut isu hudud ciptaan Umno

Muhammad Faizal, 28 Jun 2012
SHAH ALAM: DAP meminta semua rakyat terutamanya penyokong parti-parti di dalam Pakatan Rakyat agar tidak terikut dengan persepsi Umno Barisan Nasional (BN) berhubung isu hudud.

"Walaupun isu hudud seringkali ditimbulkan oleh Umno-BN kita sebagai rakyat dan juga parti di dalam Pakatan Rakyat jangan terikut dengan persepsi mereka tentang hudud.

"Umno-BN sering sahaja menggunakan isu ini untuk memecah belah perpaduan yang dibina dalam Pakatan Rakyat," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tambahnya, persefahaman dan perpaduan yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat perlu dipegang bersama agar matlamat untuk menjatuhkan Umno-BN dapat dicapai.

"Persepsi palsu akan terus dimainkan oleh mereka jika kita terikut dengan rentak mereka itu hanyalah akan menguntungkan mereka (BN) sahaja.

"Pihak lawan akan terus berusaha untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat, perpaduan yang telah dibentuk ini perlu diperkemaskan sekuat-kuatnya," sambungnya.

Lim Guan Eng turut menyatakan Umno BN cuba menakut-nakutkan bukan Islam dengan PAS dan hudud dengan berharap bukan Islam akan menolak PAS.

"Seperti mana Umno-BN menakutkan orang bukan Islam tentang PAS dan hudud begitu jugalah orang Melayu bila mereka mengatakan DAP anti Islam.

"Namun sepanjang sejarah negara ini kita tidak pernah mendengar bahawa PAS mahupun DAP telah membunuh orang bukan Melayu ataupun orang Melayu tetapi peristiwa Memali membuktikan siapa yang perlu kita takuti," sambungnya lagi.

Katanya lagi, persepsi yang dibawa oleh Umno-BN itu perlu diketepikan sepenuhnya dalam usaha Pakatan mencari pentadbiran terbaru yang akan membanteras kemungkaran sepenuhnya.

"Kita mahu rakyat hidup dengan bermaruah tanpa ada perasaan takut, kita juga mesti saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"DAP tidak pernah mengancam Islam malah kami menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan Islam itu agama rasmi," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Lim Guan Eng bertindak sebagai panelis bersama pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek pada program wacana 'Benarkan Dasar DAP Mengancam Islam'.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS bertindak sebagai moderator.

Tiada ulasan: