Jumaat, 29 Jun 2012

BAKAL AHLI SYURGA ITU LEBIH AULA DICARI...DARI JAWATAN DUNIA...LEBIH2 LAGI JAWATAN ITU TAK JADI IBADAH SEBAB BUKAN BERTERASKAN AKIDAH...SERTA BUKAN BEKERJA DEMI ALLAH....

Shabery Cheek bakal MB Terengganu?

Anis Nazri, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan sedang merancang untuk melantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) sebagai Menteri Besar Terengganu selepas pilihan raya umum  nanti.

Ini kerana, beliau dianggap faktor pengimbang antara dua kem Umno yang bergaduh di Terengganu sekarang iaitu Kem Datuk Seri Idris Jusoh dan Kem Datuk Ahmad Said.

Shabery, bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan tidak memihak di dalam kedua-dua kem itu.

Selain Shabery, turut disebut adalah nama anggota Parlimen Hulu Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Namun, Harakadaily difahamkan, istana Terengganu masih mahukan Ahmad Said kekal sebagai MB.

Di pihak PAS pula, lain ceritanya. Walaupun Shabery pernah aktif di dalam PAS sebelum menyertai Umno, beliau dianggap tidak akan mengubah apa-apa di Terengganu.

Biarpun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek dikatakan bakal menjadi Menteri Besar Terengganu, bagi PAS ia tidak memberi jaminan Terengganu akan lebih baik.

Selagi dasar pentadbiran Umno dan Barisan Nasional masih dipenuhi dengan rasuah, kronisme, nepotisme, sesiapapun yang menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar, ibarat dua kali dua.



Sikap PAS

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut (gambar), berkata keadaan Umno di Terengganu semakin parah dengan beberapa insiden yang mencemarkan pentadbiran menteri besar-menteri besar negeri itu.

Ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Idris Jusoh, pelbagai penyelewengan wang rakyat dilakukannya, di samping penarikan semula wang royalti kepada negeri tersebut.

Ketika BN mengambil pentadbiran negeri dari PAS pada 2004, segala pemberian kerajaan negeri PAS sebelum itu ditarik balik seperti pemberian geran kepada rakyat.

Justeru itu, bagi Abdul Wahid, mana-mana pemimpin yang terdiri dari kalangan Umno yang dikatakan akan menggantikan Ahmad, tetap tidak boleh membaiki segala kerosakan yang sekian lama dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Muhyiddin Abd Rashid berkata tidak timbul soal siapa pengganti Ahmad Said.

Ini kerana katanya momentum rakyat di Terengganu sudah menunjukkan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat negeri itu.

Apa yang diharapkan PAS, bukanlah pengganti Ahmad Said yang dikatakan boleh membersihkan segala kekotoran di negeri tersebut, sebaliknya rakyat negeri itu memerlukan seorang menteri besar di kalangan Pakatan Rakyat.

BB Plaza: Hilang satu lagi aset bumiputera

Harakahdaily, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa kesal dan kecewa dengan tindakan kerajaan yang ingin merobohkan bangunan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) bagi memberi laluan kepada projek pembinaan stesen MRT.


Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, BB Plaza merupakan aset kepada UDA Holding yang rata-ratanya mempunyai 60 peratus penyewa di kalangan orang Melayu.

Apatah lagi, ujarnya UDA itu sendiri bertujuan untuk membantu golongan usahawan bumiputera.

Menruutnya, BB Plaza yang telah berusia 33 tahun ini juga bukan sahaja sebagai pusat beli belah yang berkedudukan strategik malahan menjadi tumpuan pelancong samada tempatan mahupun antarabangsa.

“DPPWP melihat dengan perobohan bangunan BB Plaza ini, bagaikan menabur pasir ke dalam periuk nasi para peniaga Melayu/Bumiputera di sini.

“Bagaimanakah nasib para peniaga ini nanti?,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tempoh pembinaan Stesen MRT di tapak BB Plaza itu pula memakan masa selama 5 tahun.

Katanya, walaupun terdapat cadangan usaha beberapa pihak untuk membangunkan semula BB Plaza, persoalannya ialah mampukah para peniaga Melayu menampung kos sewa yang mahal.

Sebelum ini, ujar beliau UDA telahpun menjual 2 asetnya paling bernilai iaitu Plaza Warisan dan UO Superstore.

Aset-aset itu, tambah Kamaruzaman telah memberikan keuntungan kepada UDA yang menjaga golongan usahawan Melayu.

Kini, katanya BB Plaza pula ingin dilupuskan.

“Di manakah peranan kerajaan UMNO BN yang kononnya ingin menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu?” tanya beliau.

DPPWP, katanya difahamkan bahawa laluan pembinaan stesen MRT yang asal tidak melibatkan bangunan BB Plaza.

Hanya apabila tidak mampu membayar pampasan, maka aset orang Melayu ini dikambinghitamkan, ujarnya.

Justeru, kata beliau DPPWP mendesak agar kerajaan mengkaji semula dan menarik balik cadangan merobohkan bangunan BB Plaza demi survival pengusaha-pengusaha Melayu di Kuala Lumpur.

“Kita tidak menolak sebarang usaha untuk membangunkan dan memajukan bandar Kuala Lumpur ini tetapi janganlah sehingga menindas sesetengah pihak terutama peniaga-peniaga bumiputera yang masih memerlukan bantuan untuk terus bersaing dengan peniaga-peniaga lain,” katanya.

Sinar Harian diharap kekalkan pemberitaan adil

Muhammad Faeez, 29 Jun 2012
IPOH: Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengaharapkan akhbar Sinar Harian mengekalkan pemberitaan adil dan telus sekalipun menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, setakat kini keterbukaan akhbar itu yang memberi ruang kepada laporan program PAS dan Pakatan Rakyat, boleh dipuji dan sikap itu diharap terus kekal.

“Saya berharap akhbar ini teruskan memberikan berita yang telus dan tulus kepada rakyat dan berharap menjadi akhbar rujukan utama orang Malaysia khususnya Melayu bagi menggantikan Utusan dan Berita Harian yang semakin tidak relevan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan kunjungan tidak rasmi ke Pejabat Sinar Harian Perak, Grenntown, dekat sini hari ini.

Beliau juga berharap akhbar berbahasa Melayu itu tidak menjadi alat mana-mana parti politik khususnya menjelang pilihan raya bagi kepentingan mereka.

Sementara itu, mengulas kunjungan hari ini Nizar berkata ianya bertujuan untuk menjalinkan hubungan baik antara PAS dan pihak akhbar dibawah naungan Karangkraf itu.

Terdahulu kunjungan tersebut disambut ceria oleh staff pejabat yang diketuai oleh Saifullah Ahmad yang juga Ketua Wartawan Sinar Harian Perak.

Kunjungan tersebut turut disertai oleh Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Nuri Al-Amin dan pimpinan Pemuda PAS Perak.

'Masuk PAS kerana prinsip, rezeki Allah tentukan'

Salmiyah Harun Foto: Yus SK, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Menyertai parti PAS bukanlah satu keputusan yang mudah bagi hero filem Leftenan Adnan, Hairie Othman malah beliau mengakui tindakan yang diambilnya itu mengundang risiko dalam dunia lakonannya yang diceburi selama 20 tahun ini.

Bagi Hairie, keputusannya hari ini adalah keputusan yang paling tepat walaupun beliau yakin akan hilang pekerjaan selepas menyertai PAS.

"Nak masuk Umno ramai yang berani, nak masuk PAS satu keputusan kena fikir lama-lama. Kalau nak masuk Umno tidak jadi isu. Kalau masuk PAS habis!!

"Masuk PAS? Nak makan apa? Saya yakin yang bagi rezeki kepada saya bukan BN tetapi Allah Taala. Saya dapat rasa dan saya yakin," ujar beliau ketika berucap dalam forum Artis Berpolitik: Sekadar Glamor atau Kerana Prinsip? anjuran Akademi Pak Sako di Dewan Himpunan Cina KL-Selangor.

Malah Hairie mengakui sejak menyertai PAS beliau tidak lagi menerima tawaran berlakon dan keadaan ini seperti sudah dijangka namun tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bersama-sama parti pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru, pelakon berusia 41 tahun ini memberitahu beliau mungkin tidak akan meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas ini.

"Saya tanya orang ramai dalam Himpunan Hijau, selepas ini saya nak buat apa? Nak mana apa? Mereka ramai-ramai jawab, apa lagi ceramahlah!" ujarnya.

Hairie juga tidak bimbang kehilangan kerjayanya sebaliknya beliau kini sedang giat aktif memenuhi undangan-undangan ceramah di merata tempat.

"Dari hari ini hingga bulan puasa, jadual ceramah saya penuh. Dan lepas raya pun saya ada 'job' (ceramah) lagi," katanya.

Bagaimanapun, Hairie menolak dakwaan bahawa penyertaan artis dalam dunia politik hari ini kerana tidak dapat projek dan kerjaya yang semakin malap.

"Sekarang ini saya rasa lebih popular, kalau dulu rakan 'facebook' saya hanya 4000, hari ini rakan saya mencecah 12 000, naik mencanak dan orang lawat laman saya itu dekat 200,000. Tidak popularkah itu?" tegas beliau.

Turut hadir sebagai panel ialah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong yang juga merupakan penulis lirik lagu Awan Nano, Hasmi Hashim atau popular dengan nama pena, Budi Hikayat. Serta wakil daripada parti UMNO iaitu Presiden Persatuan Seniman, pelakon Zed Zaidi.

Bercakap di hadapan hampir 100 hadirin, Hairie yang mewakili parti PAS berkata keputusannya untuk menyertai parti berkenaan bukan kerana meraih populariti sebaliknya ia adalah prinsip.

Jelasnya, untuk mengejar glamor lebih sesuai berada dalam bidang seni bagaimanapun ia menjadi satu kelebihan memandangkan beliau adalah seorang pelakon.

"Secara dasarnya kalau kita bercakap soal politik mestilah atas dasar prinsip. Saya ni masih baru jer lagi dalam dunia politik. Saya pilih untuk menyertai parti atas dasar prinsip. Perjuangan PAS berlandaskan Islam. Pada mulanya tujuan saya adalah mahu mengubah diri daripada kurang baik kepada menjadi seorang insan yang lebih baik. Jadi saya merasakan parti PAS sesuai dengan jiwa saya", hujah Hairie.

Hairie juga merelakan PAS menggunakan khidmatnya untuk berkempen bagi menarik ramai undi dalam pilihan raya nanti.

"Saya rela membenarkan rakyat menggunakan khidmat saya untuk tawan Putrajaya," tegasnya yang merasakan tidak timbul isu artis dijadikan alat politik.

Mohon maaf kepada Ambiga, bukan BN

Harakahdaily, 29 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan penarikan balik kenyataan ‘gantung Ambiga’ oleh Datuk Mohamad Aziz semalam sebagai 'tidak cukup'.

Katanya, alasan ahli parlimen Sri Gading itu yang menarik balik kenyataannya itu 'jika menyinggung perasaan pemimpin rakan-rakannya dari MIC atau PPP', dilihat tidak tepat kerana yang menjadi mangsa ancaman adalah Pngerusi Bersih, Datuk S. Ambiga sendiri.

“Ringkasnya, saya tidak boleh terima sama sekali penarikan balik kenyataannya begitu sahaja.

“Saya kira sebutan atau kritikannya itu tidak boleh diambil ringan sehinggalah beliau sendiri membuat permohonan maaf secara terbuka dan menerangkan hal sebenar kepada Ambiga,” katanya.

Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat berkata, Mohamad sepatutnya membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan hal sebenar kepada Ambiga mengenai ancaman yang didakwa beliau.

Ini kerana mengancam 'digantung seperti Ma'unah' kata Dzulkefly, satu kenyataan yang sangat serius dan menyinggung keharmonian kaum.

Katanya Dato Ambiga juga dilihat sebagai ikon bukan sahaja bagi kaum India tetapi masyarakat sivil dan rakyat yang pro-perubahan.

"Menyamakan tindakan Bersih 3.0sama dengan Ma’unah yang setaraf dengan pendurhakaan kepada Agung dan wajar dihukum gantung adalah sesuatu yang memburukkan lagi imej Umno-BN yang tersedia tercalar di kacamata kaum India.

"Nyata MP Umno ini, tidak memahami ruang-lingkup tindakan demokrasi (hak bersuara, berpersatuan dan berhimpun) adalah hak yang bukan sahaja dizinkan bahkan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Awang Adek, apa hubungan anda dgn Hong Cheong?

Harakahdaily, 29 Jun 2012
SHAH ALAM: Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussain (gambar) menjelaskan beberapa keraguan berhubung hubungannya dengan ahli perniagaan, Chung Hon Cheong semasa beliau menjadi Penolong Gabenor Bank Negara.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keraguan itu timbul ekoran beberapa fakta dan transaksi kewangan yang membabitkan mereka berdua.

Menurutnya, Hon Cheong yang juga pemilik serta pengarah syarikat SunPrestige Sdn Bhd  didakwa memperoleh kontrak mencetak nota RM2 sebanyak 100 juta keping semasa Awang Adek memegang jawatan tersebut.

Ekoran itu timbul keraguan apa hubungan ahli perniagaan berkenaan dengan Awang Adek dan keluarganya yang didapati mempunyai hubung kait yang kuat dengannya.


“Mengapakah pada tahun 1999, Awang Adek menjual rumahnya di Damansara kepada Vertex United Sdn Bhd yang dimiliki Hon Cheong pada harga RM550,000?

“Kedua, mengapakah Hon Cheong menerusi Ultimate Holidays Sdn Bhd membuat pembayaran penerbangan Awang Adek ke Tokyo untuk trip penerbangan 28 Jun 1999 hingga 1 Julai 1999?.

"Ketiga Hon Cheong turut juga dikatakan membayar ansuran bulanan kereta Honda Civic 1.6 milik isteri Awang Adek sebanyak RM2,122 sebulan.

“Ada banyak lagi maklumat mengenai pelbagai pembayaran insurans hartanah, pembayaran cukai jalan, pembelian kereta, bayaran pengaturan permainan golf, pembayaran bil telefon yang membabitkan Awang Adek dengan Hon Cheong,” katanya.

Saifuddin memberikan tempoh tiga minggu kepada Awang Adek menjelaskan segala dakwaan dan mencabarnya menafikan mempunyai hubungan dengan individu dan syarikat terbabit.

Tiada ulasan: