Sabtu, 3 Mac 2012

RUGI MUNGKIN TAK TELUS ATAU ADA PIHAK UNTUNG...BERNIAGA ATAS ANGIN..ALLAH SAJA TAHU PENIPU2 DAN KAKI2 KEBAS NI...

TH kena jelas kenapa pelaburannya selalu rugi

Abdul Aziz Mustapha, 03 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mac: Lembaga Tabung Haji (TH) bertanggungjawab menjelaskan kepada penyimpan-penyimpannya mengapa beratus-ratus juta ringgit pelaburannya mengalami kerugian, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Penyimpan-penyimpan akaun TH rata-ratanya adalah umat Islam terutama yang mahu mengerjakan haji.

"TH perlu menjelaskan mengapa wang mereka dileburkan dalam perniagaan-perniagaan yang merugikan. Amat malang bagi mereka jika TH terus meleburkan wang mereka dan bukan melabur," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan kekesalan apabila  saham Silver Bird Group Berhad (Silver Bird) merudum sehingga bernilai serendah 20.5 sen sahaja.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Akibat kemelut kewangan itu, tiga pegawai kanan Silver Bird digantung tugas termasuk pengarah urusannya, Datuk Jackson Tan Han Kook.

"TH bertanggungjawab menjelaskan adakah wang penyimpan-penyimpan akaun TH terpelihara?

"Perlu juga dijelaskan mengapa tatacara pelaburan dan pengurusan serta pemantauan TH begitu lemah?" Mahfuz (gambar) mempersoalkan sambil membangkitkan apa yang terjadi dalam Silver Bird itu bukan yang pertama kali.

Sebelum ini, katanya, rakyat mendengar TH rugi beratus-ratus juta dalam pelaburan yang dilaporkan melibatkan percaturan dalam tukaran wang asing sehingga dua pegawainya yang tidak bersalah diheret ke mahkamah dan diaibkan walaupun akhirnya didapati tidak bersalah dan misteri siapa yang sebenar bersalah tidak pernah terungkai.

"Kita juga mendengar pelaburan TH dalam Lityan Holdings Bhd mengalami masalah. Amat malang sungguh nasib penyimpan-penyimpan TH apabila wang mereka dileburkan dengan begitu tidak berhemah," katanya.

Silver Bird adalah pengeluar roti High 5 yang menghadapi kempen boikot oleh pengguna apabila tersebar gambar-gambar yang didakwa diambil di kilang roti tersebut yang menunjukkan proses pembuatannya yang sangat kotor.

Perjanjian strategik antara TH dan Silver Bird ditandatangani pada 2008.

Ketika tersiar berita mengenai pelaburan TH dalam Silver Bird itu, ramai pihak membantah tindakan itu.

Ahli majlis PBT dapat surat lantikan baru

Harakahdaily, 03 Mac 2012




(Haji Majid berucap merasmikan sukan Pasti Nur Insaniah, Rawang)

SELAYANG, 3 Feb: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan di Selangor mula mendapat surat perlantikan baru mereka semalam untuk tempoh dua tahun hingga Disember 2013.

"Ini adalah majlis saya yang kedua untuk sessi ini selepas mendapat surat perlantikan rasmi semalam," kata Haji Majid Hasan, ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk zon 24.

Perlantikan itu bermula 1 Mac 2012 untuk tempoh dua tahun iaitu berakhir pada 31 Disember 2013.

Sebelum ini, Haji Majid adalah ahli majlis MPS untuk Zon 3 yang meliputi kawasan Taman Templer.

Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidi Talib yang menjadi ahli MPS untuk zon 24 sebelum ini berpindah ke Zon 3 Taman Temple bertukar secara suka sama suka dnegan Haji Majid.

Zon 24 meliputi kawasan Bandar Tasik Puteri, Batu Arang dan juga Kota Puteri.

Pagi ini, Haji Majid merasmikan sukan Pasti Nur Insaniah, Bandar Tasik Puteri, sebuah kawasan perumahan yang mempunyai hampir 40,000 penduduk dan lebih 90 peratus dari mereka adalah Melayu.

"Sepanjang dua tahun ini, saya akan memberikan tumpuan kepada beberapa projek utama untuk penduduk di sini.

"Stesen minyak untuk Bandar Tasik Puteri yang sampai kini belum ada, padang futsal untuk remaja kita dan juga dewan orang ramai yang telah diluluskan sebelum ini atas usaha Enzik Zaidi," kata Majid dalam ucapannya itu.

Ketika bertemu dengan ibu bapa yang hadir ke majlis itu, Majid juga berjanji akan berusaha untuk mempercepatkan lagi projek untuk menyambung kawasan bandar baru ini ke lebuh raya Latar.

Ia untuk memastikan lebih banyak jalan keluar dan masuk untuk kawasan ini.

Semalam jalan masuk ke Bandar Tasik Puteri dan sekitarnya jam teruk akibat banjir kilat.

Nostalgia sidang Dun bawah pokok

V.Sivakumar, 03 Mac 2012
Tiga tahun yang lalu iaitu pada 3 Mac 2009 satu peristiwa bersejarah telah berlaku di negeri Perak. Peristiwa itu tidak boleh dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Pertama kali dalam sejarah negara ini, persidangan Dewan Negeri Perak telah berlangsung di bawah ‘Pokok Hujan-hujan’. 

Walaupun persidangan itu nampak ganjil tetapi ia telah membawa makna yang besar dalam sejarah politik tanahair kita. Pesidangan Bawah Pokok ini bukanlah bertentangan dengan undang-undang atau perlembagaan negara. Ramai diantara pakar-pakar perlembagaan bersetuju bahawa Pesidangan Bawah Pokok itu adalah sah di sisi undang-undang.

Untuk satu persidangan Dewan Negeri yang sah hanya 2 syarat perlu dipenuhi iaitu kehadiran Speaker dan korum yang mencukupi. Pada 3 Mac 2009, persidangan yang berlaku di bawah pokok itu memenuhi kedua-dua syarat yang diperlukan oleh undang-undang.

Oleh yang demikian, Persidangan Bawah Pokok itu adalah sah. Tidak ada apa-apa syarat mandatori untuk memastikan persidangan harus diadakan di tempat tertutup seperti dalam dewan. Bumbung dan dinding bukanlah syarat yang perlu ada untuk mengadakan satu persidangan Dewan Negeri yang sah.

Saya telah mengeluarkan notis persidangan tergempar kepada semua ahli-ahli Dewan Negeri Perak. Tetapi Ahli-ahli Dewan Negeri Barisan Nasional telah mengambil keputusan supaya tidak menghadiri persidangan tersebut.

Mereka menuduh bahawa saya telah memanggil persidangan haram. Alasan mereka itu adalah untuk mengelakkan diri daripada menghadiri persidangan itu. Mereka risau, Barisan Nasional tidak dapat membuktikan undi majoriti di dalam Dewan Negeri Perak. Jika mereka gagal berbuat demikian, Pakatan Rakyat akan kembali berkuasa di Perak.

Barisan Nasional mendakwa bahawa Speaker tidak ada kuasa untuk memanggil Dewan bersidang.

Ini adalah tidak benar kerana dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Negeri Perak kuasa itu diberikan kepada Speaker. Speaker mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa persidangan. Barisan Nasional cuba meniadakan kuasa itu untuk kepentingan politik mereka.

Tetapi, saya tidak boleh tunduk kepada kehendak golongan yang mengilakan kuasa ini. Saya telah diberi mandat oleh Dewan Negeri Perak untuk menjalankan tanggungjawab saya berasaskan prinsip-prinsip demokrasi. Oleh itu, saya tetap mahu meneruskan persidangan tergempar itu walaupun dihalang dan diugut oleh pelbagai pihak.

Pada pagi 3 Mac 2009, beratus-ratus anggota polis dan FRU sudah berkumpul di Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghalang saya dan wakil-wakil rakyat yang lain bersidang seperti yang dirancang.

Kami dihalang di pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberi arahan kepada pihak polis untuk menghalang persidangan itu. Pihak eksekutif telah menafikan kuasa Speaker dan mencemar amalan demokrasi berparlimen di negeri Perak.

Selepas bertikam lidah dan sedikit pergelutan dengan pihak berkuasa dan polis, wakil-wakil rakyat terpaksa meninggalkan tempat itu. Pihak polis sudah 'bersedia' untuk menggunakan kekerasan terhadap orang ramai yang berkumpul di situ. Ramai juga 'samseng-samseng' telah dibawa dari luar untuk menghalang wakil-wakil rakyat daripada bersidang pada hari itu.

Kemudian, Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat telah berkumpul semula di bawah sebuah pokok kira-kira 150 meter daripada Bangunan Perak Darul Ridzuan. Pada masa itu, saya telah mengambil keputusan untuk meneruskan persidangan Dewan Negeri Perak di bawah pokok itu berasakan ‘doktrin keperluan’. Keputusan itu dibuat dalam keadaan terdesak kerana saya tidak boleh membatalkan persidangan yang telah diberi notis kepada semua wakil-wakil rakyat.

Dalam persidangan yang aneh itu, 3 usul telah diluluskan.  Persidangan yang bersejarah itu berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Pesidangan itu telah disaksikan oleh lebih daripada 2000 orang. Selepas itu semua wakil rakyat dan orang awam telah bersurai dari kawasan tersebut.

Sehingga hari ini persidangan bawah pokok menjadi satu topik perbualan politik yang hangat. Saya juga sedang menulis sebuah buku yang menceritakan krisis politik Perak yang dilihat dari kaca mata seorang Speaker. Tema buku itu juga adalah mengenai Persidangan Bawah Pokok yang membawa seribu satu makna dalam hidup saya.

Saya masih teringat setiap detik Persidangan Bawah Pokok yang berlaku tiga tahun yang lalu. Setiap kali saya imbas kembali peristiwa itu, saya mendapat semangat perjuangan yang lebih kental untuk menuntut keadilan.

*YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh dan Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak

Bawa keluar negara atau Himpunan Hijau 3.0

Harakahdaily, 03 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mac: PAS dan pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini.

Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PASA, Zulkefli Mohd Omar kepada Harakahdaily.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian.

Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini.

Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di  Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan.

Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka.

Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris.

Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun,  kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata S M Mohamad Idris lagi.

TMK@12: Kelantan usaha tarik 6 juta pelancong

Rizal Tahir, 03 Mac 2012
KOTA BHARU, 3 Mac: Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) telah selamat disempurnakan perasmiannya oleh Tengku Mahkota Kelantan yang mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, malam tadi.
Sempena majlis bersejarah itu, tiga artis yang mewakili tiga negara telah membuat persembahan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kumpulan Raihan (Malaysia), papa rock Ramli Sharif (Singapura) dan Opick (Indonesia).

Hampir 5,000 orang hadir pada program yang penuh warna warni itu walaupun keadaan hujan.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota-anggota exco yang lain, Adun serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sempena majlis itu, dua pertunjukkan bunga api telah diadakan di samping persembahan lagu tema TMK@12.

Takiyuddin ketika berucap pada majlis itu memberitahu pihaknya akan berusaha untuk menjayakan hasrat mencapai kehadiran pelancong dalam dan luar negara seramai 6 juta orang.

Katanya, untuk menjayakan hasrat itu pelbagai persembahan dan program telah diatur untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Selain persembahan malam ini, diadakan juga Pesata Sukan Air, pertunjukan kereta berhias dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Ramli Sarip mendendangkan beberapa buah lagu popularnya Doaku Buat Mu Kekasih, Nyanyian Serambi, Kasturi, manakala Opick Cahaya Hati serta lagu popularnya Rapuh dan Raihan lagu-lagu nostalgia kumpulan itu seperti Syukur, Allahu.

Tiada ulasan: