Sabtu, 4 Disember 2010

BUKAN SAJA BAS TAPI SEMUA..DARI TADIKA HINGGA UNIVERSITI DLL..KITA DEKATKAN API DENGAN MINYAK...TIADA NAS BOLEH DICAMPUR GAUL

BN zalimi rakyat marhaen
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kenaikan harga petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula adalah bukti jelas kerajaan BN zalim kepada rakyat marhaen.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus berkata, rakyat marhaen paling terkesan dengan kenaikan itu kerana mereka adalah majoriti pengguna petrol RON95.

Sambil menyifatkan kenaikan mengejut itu sebagai 'gila', beliau mengharapkan rakyat menolak Umno BN yang secara terang terangan tidak mengutamakan rakyat terbanyak.

"Harap pengguna RON95 mesti tolak BN.

"BN zalimi rakyat marhaen, tak peduli kesusahan rakyat," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau mengulas kenaikan petrol RON95, sebanyak 5 sen menjadikan RM1.90 seliter, diesel naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Kerajaan terus memberi alasan sama terhadap kenaikan itu dengan mendakwa ianya bagi menyelaraskan subsidi.

Semua harga baru itu berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter.

Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, ketidakprihatinan BN kepada nasib rakyat bukan lagi dongeng semata-mata.

Ianya terbukti, apabila rakyat terus dibebankan sedangkan Perdana Menteri semalam mengumumkan akan meneruskan cadangan membina Menara Warisan 100 tingkat yang tiada manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Kalau betul ikhlas, batalkan sahaja niat nak buat menara 100 tingkat, guna duit tu tampung beban rakyat.

"Saya tengok rakyat hanya diguna untuk pilihan raya sahaja," katanya lagi.

Lebih malang, kenaikan itu berlaku diwaktu rakyat sedang terbeban dengan persiapan persekolahan sesi akan datang.

Kesan kenaikkan itu juga jelasnya, memberi alasan kepada peniaga barangan menaikkan harga barang mereka dan menyebabkan pengguna sekali lagi terbeban.

"Saya hairan, kenapa menteri tak umum di parlimen, sedangkan parlimen tempat bincang masalah rakyat," soalnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat turun beramai-ramai pada himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas di Masjid Negara, Ahad ini.

Biarpun himpunan itu bagi membantah tindakan Syabas menaikkan tarif air Selangor, kesempatan itu juga jelasnya wajar diguna untuk menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan tersebut



Fitnah: Nampak sangat kerajaan takut
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Dis: PAS mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang penyelewengan kerajaan BN akan terbongkar sehingga beliau mengingatkan pemimpin pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara supaya tidak terjebak dengan fitnah yang ditabur oleh media yang menyokong pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Muhyiddin bercakap seolah-olah kerajaan pada hari ini tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap media pembangkang jika ada unsur fitnah.

Tambahnya, banyak akta yang ada di Malaysia, seperti Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak, Akta Universiti Kolej, Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh bertindak.

Menurutnya, nampak sangat kerajaan BN pada hari ini takut dengan bayang-bayang.

“Muhyiddin hendak menutup bangkai gajah dengan tudung saji, sedangkan penyelewengan Umno tidak dapat dibendung lagi, kerana seluruh dunia sudah mengetahui.

“Siapa tidak tahu Malaysia negara rasuah. Siapa tidak tahu Malaysia mempunyai khazanah negara yang banyak tetapi dibolot oleh pemimpin sehingga rakyat derita,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Rakyat, katanya akan dapat tahu lebih banyak setelah kerajaan BN tumbang nanti, sebagai mana yang telah diselongkarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini.

Tambahnya, Timbalan Presiden Umno itu buat-buat lupa, pada hal media Umno yang melemparkan fitnah kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti memfitnah Datuk Seri Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak, memutarkan berita bacaan doa kepada Lim Guan Eng dalam khutbah, wang untuk warga emas yang beragama Islam difitnah daripada wang judi.

Baginya, Muhyiddin hanya membuang masa bercakap kepada orang yang cerdik di kalangan pelajar.

“Mereka ini dengar, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Pelajar bukan orang yang bodoh, mereka golongan terpelajar. Segala tuduhan, pelajar tidak telan bulat-bulat, dan mereka tidak rela untuk diperbodohkan oleh pemimpin Umno,” katanya.

Mereka, katanya pergi mendengar kerana dipaksa rela, bukan suka rela manakala Muhyiddin boleh berleter apa sahaja yang beliau mahu.

“Apabila pelajar balik membuka internet untuk menyaring apa yang didengar tadi. Inilah untungnya zaman multimedia, dunia tanpa sempadan,” ujarnya.

Tetapi, ujarnya lagi pada zaman langit terbuka ini menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin Umno, kerana dalam sekelip mata segala fitnah yang mereka lemparkan kepada pembangkang akan mendapat jawapan sebenarnya



Bas khas wanita tempelak ejekan
Mohd Nasir Awang

Pelbagai pihak, termasuk PAS, mengalu-alukan langkah terbaru Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) memperkenalkan bas khas untuk penumpang wanita di beberapa laluan sekitar ibu negara.

Dewan Muslimat PAS Pusat menyifatkan langkah itu tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa di mana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat.

Pengasingan pengangkutan mengikut gender tidak syak lagi menghindari mereka daripada sebarang kemungkinan menjadi sasaran gangguan seksual, terutama tatkala bersesakan dengan penumpang lelaki pada waktu puncak.

Difahamkan perkara itu memang menjadi antara dorongan pihak Bas RapidKL memperkenalkan bas khas itu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, pihaknya kerap menerima aduan daripada pengguna terutama wanita yang terpaksa berhimpit dan terdedah kepada gangguan seksual.

Justeru, katanya, perkhidmatan khas itu bertujuan memberi keselesaan dan memastikan keselamatan penumpang wanita ke destinasi masing-masing.

Untuk itu, katanya, tempoh percubaan perkhidmatan itu dilaksanakan sebulan bermula Rabu. Ia melibatkan tujuh laluan yang mempunyai jumlah penumpang ramai dengan dua sesi perkhidmatan, iaitu di sebelah pagi jam 6.45 dan 7.30 manakala di sebelah petang pada jam 6 dan 6.45.

Laluan yang terbabit pada sesi pagi ialah U1 (Hab Pinggiran Batu Caves), U8 (Hab Damansara Damai), U22 (Hab Sri Nilam), U40 (Hab Terminal Kajang), U60 (Hab Puchong Utama), U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria).

Bagi sesi petang, laluannya ialah U1 (Hab Medan Pasar), U8 (Hab Medan Pasar), U22 (Hab Jalan Hang Lekiu), U40 (Hab Pasar Seni), U60 (Hab Pasar Seni), U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni).

“Tahniah atas perkhidmatan bas Rapid KL khusus untuk wanita. Satu peningkatan yang terpuji dan akan memberi faedah yang banyak kepada kaum wanita. Teruskan usaha-usaha baik ini," demikian pula reaksi Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, sepertimana dipetik Harakahdaily.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan langkah itu sebagai bijak dan mesra wanita sekaligus memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan kaum hawa.

"Saya percaya ia mampu mengurangkan kadar jenayah seperti jenayah seksual, ragut dan sebagainya," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.

Meski pun langkah terbaru di sektor pengangkutan awam negara itu wajar dialu-alukan, bahkan dianggap tepat pada masa, penulis sendiri merasakan ia agak ketinggalan. Pendekatan sebegitu sepatutnya telah dilaksanakan lama dulu.

Kalau lah tidak kerana sikap negatif khalayak penguasa negara terhadap apa juga pendekatan dan langkah pembaharuan diperkenalkan pemerintahan negeri diterajui PAS, nescaya sudah banyak pemurnian sebegitu berlaku dalam pelbagai sektor hidup masyarakat kita.

Malangnya, disebabkan kongkongan sentimen politik kepartian yang terlalu tebal, Barisan Nasional (BN) diterajui Umno yang menguasai kerajaan Pusat sering menilai setiap langkah atau pembaharuan diperkenalkan parti lawan secara serong.

Selaku penguasa ke atas segenap saluran media dan sebaran am, BN juga tidak memberi ruang dan peluang untuk PAS memperjelaskan kemurnian sesuatu langkah diperkenalkannya, terutama di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dulu.

Lalu khalayak umum dibiarkan tanpa maklumat tepat mengenai pembaharuan berkenaan. Bahkan, ada ketikanya mereka tergamak mempersenda sesuatu keputusan dibuat kerajaan pimpinan PAS, walau pun yang dipersendakan itu sebenarnya memang bertepatan dengan suruhan agama Islam.

Memburukkan keadaan, para penjuak BN dan kalangan yang tidak ada pemahaman yang jelas mengenai hukum dan peraturan Islam ikut menambahkan kekeliruan. Tafsiran dan ulasan mereka, yang ada ketikanya tersasar jauh dari hakikat letakduduk perkara, menyebabkan persepsi negatif terhadap Islam semakin membukit.

Pengalaman PAS memperkenalkan beberapa peraturan Islam di kesempatan memerintah dua negeri di Pantai Timur itu banyak berdepan ejekan dan persendaan, terutama para pendukung BN.

Di antara peraturan yang menjadi bahan momokan mereka ialah usaha PAS memperkenalkan pengasingan gender di tempat awam. Ia termasuklah mewujudkan tempat duduk berasingan bagi wanita dan lelaki bukan mahram sama ada di majlis, perhimpunan umum atau pawagam.

Begitu juga kaunter berasingan mengikut gender di pasaraya dan gedung beli-belah. Salon unisex juga ditiadakan dan dipastikan pekerja wanita hanya melayan pelanggan wanita, begitulah sebaliknya.

Usaha menguatkuasakan peraturan itu dipersendakan khalayak yang mengaku Islam sendiri. Sebilangan mereka bersuara membantah atas nama perjuangan kebebasan hak wanita. Kononnya peraturan sebegitu menggambarkan persepsi serong terhadap kaum Hawa, terutama dikaitkan dengan subjek seks.

Ada juga cerdik pandai yang menganggap usaha PAS melaksanakan pengasingan gender di tempat awam sebagai kerja remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan.

Malah ada pengulas di media tergamak mempersenda usaha memperkenalkan peraturan sedemikian. Ada yang sangat nakal menelah kononnya pemimpin PAS merasa perlu diwujudkan peraturan pengasingan itu kerana mereka terlalu memikirkan soal seks sehingga sukar menahan nafsu bila bergaul dengan wanita.

Ada pula secara sinikal mengandaikan, berdasarkan peraturan dibuat kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu itu, maka ditakdirkan parti itu berjaya memerintah Malaysia, nanti semuanya akan dibuat pengasingan mengikut gender.

“Nanti akan ada teksi khas untuk wanita sahaja, bas untuk wanita, keretapi untuk wanita, dan besar kemungkinan kapalterbang pun khas hanya untuk penumpang wanita saja,” ujar mereka penuh senda.

Maha Benar Allah Ta’ala dengan janjinya bahawa kebenaran itu, meski pun kelihatan tidak berdaya atau dipersenda, akan tetap menguasai suasana walau pun ia mungkin memakan masa. Sebaliknya, kebatilan itu biar pun kelihatan elok dan gagah akan runtuh dan lenyap.

Kini terbukti persendaan itu telah menjadi kenyataan. Kita telah diperkenalkan dengan bas khas untuk wanita, sebelum pun sempat PAS menguasai Putrajaya.

Langkah ini malah bukan yang pertama seumpamanya. April lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan komuter khas untuk golongan wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka.

Ada pun teksi khas untuk wanita bukan perkara sukar diwujudkan. Perkhidmatan serupa sebenarnya telah diperkenalkan beberapa negara termasuk Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan India sejak awal 2007.

Indonesia pula mendahului negara lain melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, juga pada 2007. Manakala sebuah syarikat penerbangan Jepun pada tahun sama memperkenalkan pengasingan tempat duduk wanita dan lelaki dalam pesawat-pesawatnya.

Mereka mungkin tidak melaksanakannya di atas dasar memenuhi tuntutan Islam, tetapi atas hasrat mengelakkan gangguan seksual.

Namun, apa salahnya alang-alang kita juga berhasrat berbuat serupa, mengapa tidak diperbetulkan niat atas tujuan menuruti suruhan agama? Kenapa takut mengakui bahawa ajaran Islam itu memang membawa kebaikan untuk manusia?



Bas khas wanita wajar diteruskan
Siti Nadzirah Majeed

Orientasi baru perkhidmatan bas yang diperkenalkan oleh Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) merupakan satu anjakan paradigma dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan wanita yang semakin membimbangkan kini.

Meskipun ianya baru di tahap percubaan, saya begitu optimis bahawa perkhidmatan bas khas untuk wanita yang dilancarkan 1 Disember lalu akan diteruskan lantaran ianya bersifat praktikal bagi mengurangkan dan mencegah gangguan seksual terhadap wanita.

Walaupun pasti akan ada kekurangan yang perlu sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa, saya percaya RapidKL akan berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggannya. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Di peringkat mahasiswi, langkah pencegahan kepada perkara buruk terhadap wanita yang praktikal sebegini yang kita tunggu-tunggu. Tidak kira ia datang atau dijalankan oleh pihak kerajaan sendiri mahupun bukan kerajaan, perubahan perlu dilakukan demi meningkatkan kualiti produktiviti rakyat.

Operasi perkhidmatan bas khas untuk wanita dilihat mampu menjadi pemangkin ke arah peningkatan produktiviti ini, atas dasar gangguan seksual terhadap wanita dapat diminimakan.

Meskipun begitu, saya berpendapat usaha sebegini boleh diluaskan dan dimaksimakan lagi. Misalnya dengan cara membahagikan dan menetapkan zon khas untuk lelaki dan wanita di dalam bas di samping tetap menyediakan bas khas wanita. Dalam waktu-waktu puncak terutamanya, semua penumpang pasti tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan bas apatah lagi masing-masing perlu melaksanakan pekerjaan dan tanggungjawab tersendiri.

Kebarangkalian penumpang lelaki untuk menaiki bas khas wanita pasti tiada. Justeru ia sedikit sebanyak akan membawa kesulitan kepada mereka, lantaran terpaksa menunggu bas lain walaupun tempat yang dituju adalah sama. Dalam keadaan seperti ini, jika terdapat bas yang mengasingkan zon penumpang lelaki dan wanita, ia bukan sahaja boleh memberi ruang kepada penumpang lelaki dan wanita menaikinya, tetapi dalam masa yang sama boleh meneruskan usaha mencegah gangguan seksual pada wanita.

Walaubagaimanapun, pemantauan berterusan terhadap pematuhan ketetapan yang telah dilaksanakan ini perlu sentiasa dilakukan. Bahkan jika RapidKL memberi penerangan dan makluman sewajarnya mengenai perubahan yang dilakukan ini kepada seluruh pengguna, ia pasti akan memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada pengguna, bahkan kepada RapidKL sendiri.

Kita seharusnya mengambil kira soal keadaan pengguna yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mungkin sahaja tidak memahami peraturan yang telah ditetapkan ini. Seluruh rakyat Malaysia sewajarnya memberikan sokongan padu untuk menjayakan usaha ini dan pastinya ia akan membawa negara ke arah suasana sosial yang lebih kondusif.

Penulis adalah Timbalan YDP Persatuan Mahasiswa Islam UM merangkap Timbalan Pengerusi SIGMA (GAMIS) 2010/2011


Tiada ulasan: