Rabu, 15 Disember 2010

BILA KITA ABAIKAN HUKUM ALLAH DENGAN PELBAGAI ALASAN...SISWA PUN MELACUR...SEDAP DAN DUIT DAPAT...HUKUM TAK SEKUAT MANA. .SIKIT PUN TAK TAKUT...

Konvenyen ke 2: Cerita kejayaan, PRU 13

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: 2000 perwakilan dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium Kepala Batas Ahad ini untuk menyertai Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat.

Mereka dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Setiap parti akan menghantar 600 perwakilan tidak termasuk para pemimpin utama parti berkenaan, tetamu dan para pemerhati.

Sepanjang konvensyen, empat perwakilan setiap parti akan membahaskan perbentangan yang akan dibuat oleh tiga jurucakap utama parti masing-masing.

"Fokus akan diberikan kepada dua perkara utama dalam konvensyen ini iaitu cerita kejayaan negeri-negeri Pakatan dan mempersiap kami semua untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13," kata Mujahid Yusof (gambar), Pengarah konvensyen ini.

Untuk mencapai tujuan itu, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri Pakatan akan dipersembahkan kepada semua perwakilan semasa konvensyen ini.

Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui booth pameran yang akan mereka sediakan di konvensyen ini.

Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak ketika diperintah Pakatan dan kerajaan Terengganu dari tahun 1999 ke 2004 yang tidak diketahui masyarakat tentang kejayaan mereka.

Menurut Mujahid, konvensyen ini juga akan menghasilkan 'buku oren' iaitu buku yang menggariskan polisi Pakatan dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.

"Ia berupa pra manifesto kita dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mujahid.

Tema konvensyen kali ini adalah "Ubah Sekarang" untuk mengajak rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Video klip cerita kejayaan, booth kerajaan negeri Pakatan dan buku oren ini akan menjadi isi atau asas kenapa kita mengajak rakyat ubah sekarang," kata Mujahid.

Dalam konvensyen lepas, katanya, konvensyen telah selesaikan asas bersama iaitu penerimaan Pakatan kepada Islam agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

Kali ini, kata Mujahid, pengisian akan dibuat sepenuhnya bagi mempastikan semua sektor rakyat bersedia untuk bersama-sama membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami yakin, dengan cerita kejayaan yang telah kerajaan Pakatan buat, rakyat akan yakin kita mampu memberikan jauh lebih baik berbanding BN," katanya lagi.



Altantuya: Najib perlu perjelas laporan Wikileaks
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR,14 Dis: Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.

"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.

"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen siang tadi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri.

Menteri, Datuk Seri Anifah Aman dalam jawapannya memberitahu beliau akan mengambil perhatian terhadap laporan itu.

Sementara itu, ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, laporan ini mengambarkan seolah-olah Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina apabila membuat dakwaan mengenai kemungkinan berlakunya rusuhan di Malaysia.

"Perdana Menteri diberi gambaran yang begitu berat oleh diplomat dan pemimpin Singapura sehinggakan dalam Perdana Menteri cuba untuk promosi konsep 1Malaysia dan sebagainya, kerajaan Singapura memberi gambaran bahawa akan berlaku rusuhan kaum dan orang Cina akan banjiri Singapura.

"Ini memberi implikasi bahawa Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina sebab akan berlaku rusuhan kaum seperti yang dilaporkan dan ini bercanggah dengan usaha Perdana Menteri untuk menunjukkan semangat perpaduan dan sebagainya. Najib mesti ambil berat atas tuduhan itu," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bimbang laporan ini merupakan permainan Singapura untuk menguji kewibawaan Malaysia.

"Kita lihat pemikiran pegawai risikan dari singapura mereka mengatakan mereka ambil sumber ini dari sumber tertentu. Kita sedar hubungan antara Malaysia dan Singapiura ada pasang surutnya.

"Kita bimbang tindakan singapura ini bertujuan menguji kewibawaan Malaysia dan permainan mereka untuk menyekat pelabur asing ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan usaha mendapatkan sepenuhnya semua kabel-kabel berhubung Malaysia daripada sumber-sumber yang sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri.

Mereka juga akan membantu memulakan kempen untuk mendapatkan kesemua kabel-kabel ini untuk dinilai secara adilnya oleh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR petang tadi ke Kedutaan Singapura bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.

Baru-baru ini laman web antarabangsa, Wikileaks mendedahkan mengenai maklumat risikan Singapura yang dihantar kepada Australia yang menyatakan Anwar memang melakukan kesalahan tersebut, akibat diperangkap oleh seteru politiknya, meskipun Anwar menyedari tentang perkara itu.

‘Maklumat’ itu yang disiarkan oleh akhbar Australia, Herald Sun (Sydney Morning Herald), menimbulkan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan pendedahan itu sengaja di ada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh



40 tinggal BN di Telok Pelandok
Harakahdaily

TELOK KEMANG, 14 Dis: Anggota Parlimen Telok Kemang dari PKR, Datuk Kamarul Bahrin adalah pihak yang kalah dalam pemilihan PKR yang lalu namun beliau yakin pemilihan terbuka yang dilakukan PKR itu memberi kesan positif.

Atas sebab itulah, beliau yakin 40 ahli Umno dan MCA dari kampung Telok Pelandok, Port Dickson menyertai PKR baru-baru ini adalah kerana keyakinan mereka kepada PKR.

Kampong Telok Pelandok sebelum ini merupakan kubu kuat Umno-BN, yang mana tidak pernah ada parti lain dapat menembusi kawasan tersebut melainkan BN.

(Gambar: Antara yang daftar sebagai ahli baru PKR)

"Saya melihat perubahan pemikiran serta tindakan rakyat atau penduduk setempat yang telah lama berada di bawah penguasaan BN ini adalah satu langkah yang baik kepada PKR dalam masa kita ingin menghadapi PRU - 13 yang semakin hampir," kata Kamarul dalam satu kenyataan medianya.

Walaupun PKR mempunyai masalah peruntukkan yang tidak disediakan oleh kerajaan persekutuan tetapi aturan kerja dan bakti mereka kepada masyarakat mengatasi segala apa yang dilakukan oleh BN sejak dari mula mereka memerintah, katanya.

Apa yang jelas mereka yang menyertai PKR kali ini adalah mengambarkan kebosanan mereka terhadap BN-Umno yang tidak pernah menepati segala janji yang telah ditaburkan pada PRU yang lepas.

"Saya pasti perubahan yang besar bakal berlaku pada PRU13 nanti terutamanya di Negeri Sembilan ini," katanya



Rumah Sejahtera lindungi kanak-kanak terbiar

Fakhri Ali

PENDANG, 14 Dis: Golongan yang tidak bernasib baik seperti kanak-kanak yang hidup terbiar tanpa tempat tinggal yang sempurna akan diberi pembelaan yang sewajarnya oleh Kerajaan Negeri Kedah apabila rumah perlindungan yang akan dikenali sebagai Rumah Sejahtera diwujudkan tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Kedah, Siti Aishah Ghazali selepas merasmikan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat negeri Kedah di Dewan Majlis Daerah Pendang, semalam.

Menurut beliau lagi, usaha kearah mewujudkan tempat perlindungan ini kini berada dalam proses perbincangan.

"Insya Allah, ia akan dilaksanakan tidak lama lagi pada tahun 2011 yang akan datang. Rumah Sejahtera tersebut telah dikenal pasti di bandar Alor Setar untuk dijadikan sebagai pusat perlindungan sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri memberi pembelaan yang sewajarnya kepada golongan yang memerlukan.

"Selain dari kanak-kanak terbiar, mereka yang terlibat dalam penderaan akan turut diberi perlindungan supaya masa depan mereka terjamin bagi melahirkan seorang insan yang berguna bukan saja kepada individu tersebut, bahkan kepada masyarakat, agama dan juga negara," ujarnya lagi.

Katanya lagi ketika ini perancangan sedang dilakukan bersama-sama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah. Di samping itu kerja-kerja pengubahsuaian perlu dilaksanakan kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum operasi dimulakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah yakin dengan kewujudan rumah perlindungan seumpamanya dapat memberi pembelaan dan perlindungan kepada sebahagian besar dari golongan masyarakat yang sememangnya memerlukan pembelaan terhadap nasib mereka khususnya yang terbiar.



Shahidan dakwa pengurusan banjir di Perlis gagal

Bashir Ishak

KANGAR, 14 Dis: Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis (Dun) hari ini menyaksikan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan pengurusan bencana banjir di Perlis, baru-baru ini gagal.

Beliau yang juga Adun Tambun Tulang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menipu ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakannya.

Pada sesi soalan lisan pagi tadi, Md Isa menjawab serentak enam soalan yang dikemukakan oleh Shahidan dan empat orang lagi ahli dewan berkaitan banjir yang melanda Perlis baru-baru ini.

Soalan panjang yang dikemukakan Shahidan memohon jawapan dari pihak kerajaan nama pengelola di 25 pusat pemindahan banjir.

Shahidan yang bangun membuat soalan tambahan berkata, jawapan Menteri Besar ada yang benar dan ada yang bohong.

"Mengapa ada nama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang tidak disebutkan namanya. Pengurusan banjir pada kali ini totally failed, banjir dah berlaku beberapa hari tapi mengapa pada 3 November baru dapat bantuan, sebelum itu siapa yang keluarkan bantuan?" soalnya.

Md Isa kemudiannya menjelaskan bahawa jawapan yang diberikannya tadi adalah berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya.

Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) kemudiannya turut memberikan pandangan dengan menyatakan jawapan yang sepatutnya diberikan oleh Menteri Besar perlu juga menyebut pihak-pihak tertentu yang turut membantu mangsa banjir seperti Yayasan Pok dan Kassim (milik Shaidan) dan parti-parti politik.

Md Isa menjelaskan bahawa, semua yang memainkan peranan semasa banjir tempohari telah dirangkumi dalam jawapannya di bawah kategori 'sukarelawan'.

Selepas dewan berehat sesi pagi, Md Isa membentangkan bajet kerajaan negeri Perlis bagi tahun 2011.

Keseluruhan bajet yang dicadangkan ialah sebanyak RM262 juta yang merangkumi RM 174 juta perbelanjaan mengurus dan RM88 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Bajet 2011 ini meningkat berbanding tahun lalu di mana perbelanjaan mengurus dan pembangunannya masing-masing sebanyak RM143 juta dan RM55 juta.

Hasil yang dianggarkan bagi negeri Perlis pada tahun 2011 ialah sebanyak RM89 juta, meningkat sebanyak RM21.9 juta berbanding RM67 juta pada tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus mengalami defisit sebanyak RM85 juta, meningkat sebanyak 12 peratus berbanding 76 juta pada tahun 2010



Pluralisme agama dan kebenaran yang relatif

Harakahdaily

Wacana Islam liberal yang mengetengahkan pluralisme dan pelbagai lagi kebenaran yang direlatifkan menghujani umat Muslim setiap hari pada masa kini.

Faham-faham yang tercetus daripada pemikir seperti Fritjof Schoun, John Hick, Wilfred Cantwell Smith ini kemudian diperpanjangkan oleh penggiat-penggiat Islam liberal di seluruh dunia Islam.

Kehadiran faham-faham ini, yang menolak segala ketetapan yang telah disampaikan melalui al-Quran dan Sunnah Rasullullah saw menggugat kehidupan beragama umat Muslim termasuk di negara kita.

Dalam pandangan liberal yang dibawa itu, kebenaran menjadi berbilang dan tidak mutlak, dalil-dalil al-Quran menjadi boleh dibahaskan dan pelbagai perkara dipersetujui dalam pelaksanaan syariat dipersoalkan.

Hal ini menggoncang pemahaman-pemahaman yang sudah sedia diterima melalui ilmu para ulama dan ilmuan agama dalam kalangan umat.

Lebih parah lagi, ide-ide yang dibawa dalam pakej yang menarik bagi sesetengah pihak termasuk daripada kalangan Muslim sendiri, yang memilih untuk menerima tafsiran-tafsiran baharu itu.

Usaha berterusan golongan liberal ini mempersoal dan meruntuhkan ketetapan-ketetapan sedia ada bukanlah dilakukan dengan niat yang baik melainkan untuk menggugat pemahaman umat Muslim, lebih-lebih lagi yang mudah dipengaruhi.

Bentuk wacana yang kelihatan tertumpu pada mencari kebenaran dengan membuat penilaian yang kritikal pada semua perkara sememangnya menarik kepada kalangan akademik dan mereka yang berfikir.

Ini mendedahkan golongan ini kepada wacana liberal ini yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik pelbagai golongan mendekati dan kemudian menerima faham-faham baharu itu.

Kebijakan mengemukakan wacana dalam pelbagai bentuk itu menjadi satu kekuatan golongan liberal, dengan mengemukakan pelbagai tarikan untuk sasaran berbeza.

Di sinilah satu kelemahan umat yang perlu kita sedari, yakni kurang mengambil bahagian dalam medan-medan aktiviti masyarakat seperti seni budaya dan sebagainya dengan membawa mesej-mesej yang bersifat Islami.

Walaupun boleh tewas dalam perbincangan akademik tentang pluralisme agama yang menetapkan kebenaran relatif yang tidak dapat diterima akal, mesej mereka tetap sampai kepada semua termasuk umat Muslim sendiri.

Dalam dunia akademik kita, tidak ada dakwaan-dakwaan atau persoalan-persoalan daripda golongan Islam liberal yang tidak dapat dijawab oleh ulama dan ilmuan Muslim.

Jelas bahawa sikap selektif, memperbesarkan isu-isu palsu dan tidak jujur golongan yang menjunjung ide pluralime agama.

Tetapi, medan akademik bukan satu-satunya medan wacana, malah tidak memberi banyak kesan kepada usaha mereka menyebarkan faham pluralisme.

Dalam semua medan aktiviti masyarakat, faham seperti pluralisme agama dibawa dan dipersembahkan, sama ada secara halus atau telanjang kepada semua.

Satu contoh jelas yang dapat kita lihat ialah sebuah iklan di televisyen tidak lama dulu yang mencampurkan unsur-unsur dari beberapa agama dan dipersembahkan sebagai satu sambutan agama Islam, yakni Hari Raya Aidilfitri.

Dalam televisyen, rancangan kanak-kanak, filem dan sebagainya, mesej-mesej memberi gambaran positif pluralisme agama sentiasa disampaikan.

Pada masa sama, golongan ini juga mampu dan melaksanakan misi mereka dengan pelbagai bentuk tulisan kepada media, terutama yang mesra dengan mereka.

Kecenderungan manusia untuk menerima apa-apa perkara yang baik diambil kesempatan oleh golongan ini untuk mendedahkan faham mereka.

Di medan kehidupan seharian inilah penyebaran dan percambahan ide mereka berlaku tanpa banyak wacana balas daripada kita.

Filem-filem yang membawa nilai yang pincang, ide-ide liberal di akhbar-akhbar inilah sebahagian barisan hadapan mereka dalam menyebarkan faham pluralisme.

Justeru, umat perlu berhadapan cabaran ini di medan masing-masing, walaupun usaha ini kelihatan terlalu sukar.

Ulama, ilmuan agama Islam dan sesiapa sahaja yang berkemampuan wajar terlibat dengan aktif dalam wacana menentang faham-faham yang bertentangan dengan kebenaran yang tunggal agama Islam.

PAS, sebagai pemimpin umat sudah tentu perlu mengambil bahagian secara aktif, sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai sebuah gerakan Islam



Pulau Pinang bayar guru Kafa RM100 sempena Maal Hijrah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu, yang akan dibayar minggu ini sempena perayaan Maal Hijrah.

Bayaran itu diumumkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, lapor The Malaysian Insider.

Dalam kenyataan itu, Lim juga menjelaskan bahawa bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang datangnya daripada sumber kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak satu sen pun datang daripada kerajaan pusat.

“Pembayaran RM800 setiap orang melibatkan RM6.25 juta, yang telah pun dibayar kepada 7,812 juta pada 1 Disember lalu,” kata beliau lagi.

Menurut Lim, penerimaan RM800 oleh kakitangan awam negeri Pulau Pinang adalah melebihi RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan.

“Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

“Inilah yang saya maksudkan dengan memperkayakan warga pentadbiran awam.

“Dan, saya yakin kalau kita meningkatkan prestasi kerja kita, kita akan pastikan bahawa warga perkhidmatan kerajaan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dapat lebih daripada apa yang anggota perkhidmatan awam persekutuan ataupun kerajaan negeri lain dapat perolehi,” kata Lim lagi.

Lim menambah, penghargaan RM1,300 tahun ini kepada semua pekerja kerajaan negeri Pulau Pinang ini adalah satu pengiktirafan kerajaan negeri kepada komitmen penuh mereka dalam menjayakan agenda kerajaan negeri.

Sumbangan yang diberikan itu melibatkan 20 jabatan negeri dan turut dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP); Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang; Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Institut Integriti Negeri Pulau Pinang (IINPPI); dan George Town World Heritage Incorporated.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM800 ini melibatkan sejumlah 3,153 pegawai dan kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.5 juta.

“Sekiranya kita mengambil kira semua termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan agensi negeri, ia melibatkan 7,812 anggota dengan RM6.25 juta.

“Bantuan khas ini diberikan kepada semua pegawai perkhidmatan awam dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku Jawatan Utama atau Gred Khas.

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua.

“Tidak ada seorang pun dipinggirkan daripada mendapat insentif galakan ini,” katanya



PAS mahu Suruhanjaya Diraja siasat Felda
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja memohon satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam Felda.

Salahuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak) berkata, jawatankuasa bebas itu harus ditubuhkan kerana segala dakwaan terhadap Felda itu suatu yang serius dan merupakan isu rakyat terutamanya generasi Felda.

"Saya atas kapasiti ahli parlimen akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja memohon satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat segala penyelewengan yang didakwa berlaku dalam Felda," kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan jumlah sebenar wang tunai hasil keuntungan Felda.

"Najib seharusnya berani menyatakan kepada umum berapa wang tunai Felda.

"Beliau hanya menyatakan, jika semua saham Felda dicairkan, keuntungannya berjumlah RM4.3 bilion, tapi tak berani nyatakan wang tunai," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ucapan Najib di majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010, di Putrajaya Ahad lalu.

Tambahnya, memorandum itu akan dihantar dalam masa terdekat ini agar tindakan segera dapat diambil berhubung isu ini.

Sebelum ini Najib menuduh pihak yang mendakwa Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa



Tangguh FTA dengan AS dan EU

SM Mohamed Idris

Kerajaan Malaysia pada minggu lalu telah merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) - melalui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP - dan dengan Kesatuan Eropah (EU).

Rundingan ini diadakan serentak di Auckland, New Zealand (daripada 6 Disember hingga 10 Disember) dan di Brussels, Belgium (6 Disember hingga 9 Disember).

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai implikasi FTA ini ke atas pelbagai aspek pembangunan Malaysia.

Rundingan dua hala FTA Malaysia-AS yang bermasalah sebelum ini pernah terbantut, tetapi AS cenderung untuk menuntut perkara yang sama dalam TPP dalam pusingan rundingan semasa.

Sejak rundingan dua hala FTA Malaysia-AS bermula, dunia mengalami krisis ekonomi dan kewangan paling teruk sejak Kemelesetan Besar pada 1930-an, krisis makanan yang kelihatan akan berlaku semula akibat kenaikan harga makanan dan dengan perlunya untuk mengambil tindakan ke atas perubahan iklim menjadi semakin penting.

Berdasarkan FTA mereka yang lalu, sebagai tambahan kepada pembukaan ekonomi Malaysia kepada syarikat asing (termasuk perolehan kerajaan – yang bermakna kerajaan kurang mampu untuk membantu Orang Asli dan komuniti lain yang terpinggir memandangkan klausa “Layanan Negara” akan dituntut dari Malaysia), EU dan TPP FTA akan memburukkan lagi semua krisis ini dan membuatkan ia lebih sukar bagi Malaysia untuk melaksanakan langkah yang diperlukan untuk mencegah krisis seperti itu berulang semula.

Mengunci negara dan rakyat dengan mengulangi kesilapan lalu bukanlah apa yang perjanjian abad 21 perlu lakukan.

Contohnya, Suruhanjaya Pakar Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembaharuan Sistem Kewangan dan Mata Wang Antarabangsa, termasuk Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, menyarankan beberapa langkah peraturan yang perlu diambil untuk mencegah krisis kewangan, sama seperti yang berlaku pada masa kini daripada berulang, dan menjadikannya lebih mudah untuk menangani krisis itu apabila ia berlaku.

Banyak daripada langkah ini, seperti Glass-Steagall type firewalls dan kawalan modal untuk tempoh yang cukup panjang bagi kemasukan dan keluar, tidak mungkin dibenarkan, apatah lagi untuk diterima oleh EU dan AS dalam rundingan FTA ini.

Tambahan pula, krisis makanan baru-baru ini telah menunjukkan kepentingan makanan mampu diri. Walau bagaimanapun, pesawah dan petani lain Malaysia tidak akan mampu untuk bersaing dengan makanan yang diimport dari AS dan EU jika mereka memaksa Malaysia supaya menghapuskan tarif pertanian – manakala mereka mengekalkan subsidi yang besar – dalam rundingan FTA ini.

Petani Malaysia juga akan mendapati lebih mahal untuk menghasilkan tanaman makanan kerana perlindungan harta intelektual yang lebih kuat terhadap biji benih dan input pertanian lain yang menjadi tuntutan AS dan EU dalam rundingan ini.

FTA ini juga dijangka akan meningkatkan harga ubatan di Malaysia kerana perlindungan harta intelektual (IP) yang lebih kuat dituntut oleh AS dan EU.

Apabila Guatemala melaksanakan FTA dengan AS, data eksklusif jenis IP yang dituntut dalam FTA menjadikan ubatan 845600 peratus lebih mahal. (Versi generik boleh diperolehi dengan kos AS$0.01 dan versi yang dilindungi oleh data eksklusif dengan kos AS$84.56).

Harga tinggi yang diramalkan untuk hanya lima ubatan di Australia akibat monopoli IP dilanjutkan kepada dua tahun di bawah FTA dengan keuntungan AS 28 kali lebih besar berbanding keuntungan yang dianggarkan oleh Jawatankuasa Senat Parlimen Australia untuk seluruh FTA Australia-AS.

Dalam kes TPP, AS cenderung untuk menuntut monopoli lima tahun dari Malaysia.

Minggu lalu, pendirian kerajaan New Zealand berhubung bahagian IP dalam TPP telah bocor.

Memandangkan New Zealand merupakan pengimport IP bersih seperti Malaysia, ia menyedari bahawa ia tidak benar-benar mendapat manfaat daripada perlindungan IP yang lebih besar, dan ia juga khuatir akan kesan perlindungan IP yang lebih besar ke atas harga ubatan di negara itu, di mana kerajaan memberikan subsidi ubatan. Oleh sebab itu, New Zealand pada dasarnya berkata ia tidak sanggup untuk bersetuju kepada IP yang lebih besar dalam TPP.

Tambahan pula, AS dan EU juga cenderung untuk menuntut hak yang lebih besar untuk pelabur mereka. Hak ini akan menjadikan lebih sukar untuk mengawal syarikat, contohnya untuk mengurangkan pelepasan gas yang menyebabkan perubahan iklim, atau untuk mengambil langkah mengurangkan risiko krisis kewangan. Dalam satu kes sahaja di bawah peruntukan jenis ini, pelabur menuntut ganti rugi kerosakan lebih daripada AS$50 bilion.

Berdasarkan pertikaian pelabur yang membabitkan isu pelaburan yang hampir sama dalam FTA-AS lain, perlindungan pelabur ini mungkin akan menghalang Malaysia daripada melaksanakan peraturan alam sekitar dan kesihatan, seperti pengharaman bahan kimia beracun atau melaksanakan langkah kawalan tembakau.

Contohnya apabila kerajaan Kanada mahu mengubah pembungkusan rokok untuk tidak menggalakkan orang ramai daripada menghisap banyak rokok, Philip Morris mengancam untuk menyaman Kerajaan Kanada di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (melibatkan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat). Selepas menerima ancaman ini, kerajaan Kanada tidak melaksanakan perubahan yang dicadangkan itu.

Kira-kira 10,000 rakyat Malaysia dianggarkan mati akibat penyakit berkaitan dengan merokok menurut Kementerian Kesihatan yang membelanjakan hampir separuh daripada belanjawannya untuk merawat penyakit berkaitan tembakau. Bagaimana kita mampu untuk menghentikan tragedi ini jika kita menandatangani FTA seumpamanya?

Memandangkan bahaya dan risiko yang terlibat apabila menerima FTA, kami menggesa kerajaan untuk tidak memulakan usaha FTA yang akan menjejaskan dan tidak seimbang kepada kepentingan rakyat Malaysia dan orang ramai.

Kami juga menggesa kerajaan supaya menjalankan kajian kuantitatif dan kualitatif terhadap implikasi dan kesan daripada sebarang FTA yang diterimanya.

SM Mohamed Idris ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.



Siasat punca pelacuran pelajar IPT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu kerajaan membuat siasatan terhadap punca berlakunya gejala pelacuran membabitkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti didedahkan media baru-baru ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, siasatan tersebut juga perlu bagi melihat tahap keseriusan perkara tersebut, dan bagaimana untuk mencarai jalan penyelesaiannya.

"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS meminta kepada pihak-pihak yang berkenaan secara lansung ataupun tidak untuk menyiasat apakah punca kegiatan ini dilakukan di samping menilai sejauh mana keterlibatan mereka di dalam kegiatan ini.

"Sekiranya benar sebagaimana yang dilaporkan, kerajaan wajar untuk memikir jalan keluar bagi mengatasi masalah yang membelenggu Malaysia ini," katanya.

Media pada 9 Disember lalu melaporkan segelintir pelajar IPT terlibat dengan kegiatan pelacuran.

Menurut Dr Jaina Sintian selaku Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), kedapatan sebilangan siswa/wi IPT yang terlibat di dalam kegiatan pelacuran demi membiayai kos pengajian mereka.

Mengulas lanjut perkara itu, Nasruddin berkata adalah tidak wajar apabila munculnya isu-isu sebegini, semua pihak saling menunding jari menyalahkan pihak-pihak tertentu sedangkan ianya perlu diselesaikan bersama.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia untuk membantu dalam apa jua aspek pembentukan, pengkaderan serta pembinaan akhlak dan minda mahasiswa\i malah jika perlu , DPP Malaysia juga bersedia memberi khidmat bimbingan dan kaunseling buat mereka yang telah terlanjur asal sahaja ada kerjasama dan kelepasan dari pihak berwajib universiti dan penguatkuasa dari pihak kerajaan.

"Sekali lagi Dewan Pemuda PAS mengingatkan, generasi mahasiswa/wi ini adalah penentu kepada jatuh bangunnya sesebuha Negara. Rosak mereka menatijahkan kemunduran dan kerosakan yang bakal berlaku di dalam sesebuah Negara.

Tiada ulasan: