Sabtu, 11 Disember 2010

PEMBERI RASUAH DAN PENERIMA RASUAH...KEDUA2NYA MASUK NERAKA.....

Saman: Mustafa sifatkan laporan tidak beretika

Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia hari ini kononnya Kerajaan PAS Terengganu cuai sehingga disaman RM1 bilion dianggap menyalahi etika.

Hal ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika diminta mengulas laporan akhbar tersebut.

Kerajaan Terengganu disaman oleh syarikat pembalakan, Riyapadu Sdn Bhd dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Rahim Muda telah membuat keputusan memihak kepada syarikat berkenaan dalam penghakiman 27 Oktober lalu.

Menurut Mustafa, kes tersebut masih dalam proses perundangan dan pihak kerajaan negeri sedang dalam proses rayuan.

“Adalah tidak beretika untuk meletakkan kesalahan itu kepada parti,” ujarnya yang juga bekas Exco kerajaan negeri kepada Harakahdaily.

Hal ini, katanya kerana mana-mana pihak yang mengambilalih kuasa, tidak kira PAS atau Umno akan bertanggungjawab atas segala perkara termasuk hal saman tersebut.

“Ketika kes ini berlangsung di mahkamah, PAS tidak lagi memerintah. Malah sepanjang kes ini berlangsung tiada seorang pun pimpinan PAS yang pernah menjadi kerajaan dirujuk,” katanya.

Kerajaan PAS sendiri, jelasnya pernah menerima tanggungjawab disaman ketika dalam kes Yee Seng Sdn Bhd lawan kerajaan Terengganu.

Pada ketika itu, katanya PAS memerintah Terengganu dan kes tersebut telah pun bermula pada zaman pemerintahan Umno.

Sebagai kerajaan negeri, jelasnya PAS bertanggungjawab penuh dalam kes tersebut.

“Walaupun kalah PAS tidak pula meletakkan kesalahan itu kepada Umno,” jelasnya lagi.

Dalam hal ini, Mustafa menyifatkan laporan akhbar tersebut telah diperbesar dan lebih bermotifkan politik.



Bawa barang guna minyak, bukan air liur
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS menganggap amaran Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati sebagai usaha untuk mengalih isu kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana menaikkan petrol, diesel, gas dan gula pada 4 Disember 2010.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata Ismail cuba hendak menyalahkan peniaga kerana menaikkan harga barang, dan hendak menjadi hero rakyat dan pembela rakyat, kononnya barang naik bukan salah kerajaan, tetapi peniaga.

“Perlu diingatkan bahawa semua barang niaga dibawa dengan kenderaan memakai minyak bukan dengan air liur,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Nampaknya, kata beliau kerajaan resah pada hari ini akibat tidak bijak urus khazanah negara yang melimpah ruah sehingga rakyat derita dengan kenaikan harga barang yang melambung.

Katanya, alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia ini orang yang bijak dan telus.

Sepatutnya, tambah Idris pemimpin BN perlu belajar daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang bijak urus dan cuba untuk mengagihkan harta negeri kepada rakyat.

Katanya, kebijaksanaan pimpinan PAS di Kelantan yang mampu bertahan sampai 20 tahun walau pun dengan kekangan dan tekanan daripada pusat.

“Kelantan tidaklah banyak hasil, tetapi mampu mengurus dengan baik dan teratur. Ketika negeri yang di bawah pentadbiran BN menghadapi masalah kewangan, Alhamdulillah Kelantan selamat daripada malapetaka buruk ini,” ujarnya lagi.

Pihak kerajaan, ujarnya perlu mengambil ingatan daripada pemimpin Pakatan Rakyat, apabila minyak naik, maka semua perkara akan naik.

“Selepas ini tarif elektrik akan naik pula. Senang sungguh menjadi pemimpin BN yang mentadbir negara,” ujarnya sinis.

Tambahnya, jikalau wang tidak ada jalan keluarnya dengan membebankan rakyat dengan menaikkan tol, elektrik, minyak, saman ekor dan apa sahaja yang boleh menjadi wang untuk kambus gaung yang begitu dalam kerana boros dan tidak bijak mengurus



Minyak naik, perangkap siapa kena
Majdan Dagang

Kenaikan harga minyak RON95 daripada RM1.85 ke RM1.90 seliter baru-baru ini tidak mendatangkan protes besar-besaran daripada pembangkang dan NGO seperti sebelumnya.

Jika sebelum ini rakyat turun ke jalan-jalan membantah kenaikan harga tersebut, namun kenaikan harga minyak yang diserangkaikan dengan kenaikan diesel, gas asli cecair (LPG) dan gula pada kali ini seolah-olah tidak menjejaskan rakyat.

Secara terperinci harga petrol RON95 dinaikkan sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan RM0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak RM0.20 menjadikan RM2.10 sekilo.

Nah! Benarkah rakyat menerima pernyataan daripada sang penguasa bahawa kenaikan tersebut masih rendah berbanding negara jiran dan kenaikan tersebut tidak menjejaskan rakyat?

Tidak semudah itu rakyat yang cerdik menerima alasan yang sama setiap kali berlaku kenaikan harga keperluan asas.

Rakyat juga sepatutnya tidak lupa akan janji yang pernah dinyatakan oleh kerajaan sebelum ini bahawa harga RON95 tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini? Datuk Ismail Sabri, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan perkara tersebut pada awal November lalu.

Namun, kira-kira sebulan selepas jaminan tersebut, harga RON95 dinaikkan lagi 5 sen. Dalam hal ini cakap siapakah lagi yang boleh dipercayai? Adakah janji tersebut hanya bertujuan meredakan kemarahan rakyat? Walhal, kerajaan memang berhajat menaikkannya.

Jika dalam hal yang sedemikian pun kerajaan boleh memberi harapan palsu kepada rakyat, apatah lagi dalam hal lain. Bagaimana dengan janji untuk menghapuskan rasuah, menangani masalah sosial, mengurangkan kadar kemiskinan dan bermacam lagi.

Nilai 5 sen mungkin kecil bagi seorang menteri, tetapi bagi golongan berpendapatan rendah yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, nilai itu amat besar apatah lagi kenaikan minyak dan gula ini akan mengakibatkan rantaian kesan kepada barangan lain juga.

Cuma, dalam kenaikan kali ini. Isu kenaikan minyak dan gula ini tidak memberikan tindak balas besar-besaran daripada rakyat.

Ada dua kemungkinan mengapa isu kenaikan ini sekadar menjadi suam-suam kuku. Yang pertama, terlalu banyak isu besar yang sedang berlaku sekarang ini, seperti isu air yang melanda Selangor dan isu ketuanan Melayu.

Dari satu sudut, kerajaan telah menjadikan isu-isu lain sebagai besar dan diperdebatkan oleh rakyat umum agar mereka teralih perhatian daripada maslahat yang sebenar. Dalam hal ini kerajaan melalui media-media utama yang dikuasainya berjaya mengalih perhatian rakyat.

Tetapi jangan lupa, media-media alternatif terutama media dalam talian telah berjaya menyeimbangkan permainan media-media utama. Isu kenaikan harga minyak ini tidak terlepas daripada perhatian mereka.

Kemungkinan kedua, rakyat sudah menyimpan tekad di dalam hati masing-masing bahawa tiada cara lain untuk menghentikan segala kenaikan yang tidak munasabah ini melainkan melalui undi pilihan raya.

Kemungkinan kedua ini lebih membimbangkan kerajaan kerana tindakan untuk mengatasinya sukar dilakukan. Secara umum kerajaan melihat alasan yang diberikan seolah-olah diterima rakyat dan tiada tanda-tanda bantahan. Maka kerajaan boleh tidur lena! Tetapi ibarat api dalam sekam, kemarahan rakyat bakal diluahkan apabila sampai masanya.

Dalam hal ini masing-masing memasang perangkap – kerajaan dan rakyat. Kerajaan beranggapan isu-isu besar lain telah berjaya menenggelamkan isu kenaikan harga, sementara rakyat memasangkap perangkap bahawa mereka tidak marah harga naik, tetapi menyimpan kemarahan itu dalam PRU-13 nanti!

Siapa yang kena!



Gagal kuasai, Umno mahu surau diroboh?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS Lembah Pantai menentang usaha pihak berkuasa hendak merobohkan Surau Al-Falah di Kampung Pantai Dalam yang diimarahkan oleh penduduk dengan baik.

Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Ustaz Adlin Soleh berkata, usaha merobohkan surau itu dilihat adanya unsur-unsur politik kepartian yang dibawa oleh pihak lawan.

“Kita menyedari usaha Umno khususnya Datuk Raja Nong Chik menubuhkan 'Muafakat Masjid dan Surau Lembah Pantai'.

“Ada beberapa surau dan masjid yang tidak dikuasai mereka menyebabkan mungkin adanya dengki sesetengah pihak tertentu sehingga keluar cadangan untuk merobohkan Surau Al-Falah,” katanya.

Menurutnya, jika isu itu tidak ditangani segera, PAS memberi amaran BN akan menghadapi tindakan rakyat yang lebih tegas dalam pilihan raya akan datang.

Manakala Pemuda PAS Lembah Pantai mempersoalkan suara-suara 'orang politik' parti lawan yang mengatakan Surau Al-Falah sebagai surau PAS kerana ramai orang PAS bersolat di situ.

"Apakah salah orang PAS memenuhi mana-mana masjid atau surau di negara ini sehingga tergamak hendak merobohkannya.

“Pelik dalam sebuah negara yang pemimpinnya beragama Islam, adanya halangan kepada orang Islam yang berlainan parti politik mereka untuk mengimarahkan masjid," ujar ketuanya, Nasaie Ismail.

Pemuda Lembah Pantai juga mengenalpasti adanya pengaruh-pengaruh politik dalam arahan perobohan oleh DBKL.

Ini, katanya kerana apabila pihak surau menghantar memorandum dan ingin mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah, wakilnya meminta pihak surau hadir ke pejabat Umno Lembah Pantai untuk menyelesaikan masalah itu.

“Umno akan memanggil DBKL, Jawi dan pihak pemaju bagi berunding di pejabat Umno. PAS mempersoalkan kenapa perlu campur tangan Umno dalam urusan DBKL dan Jawi ini. Jelas ada unsur politik dalam usaha mereka,” jelasnya.

Katanya, Pemuda PAS Lembah Pantai juga mempersoalkan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik yang kerap mengadakan majlis politik berlogokan Umno di beberapa masjid di Lembah Pantai.

"Lebih baik Umno melihat diri sendiri dahulu sebelum menghukum rakyat. Saya harap Menteri Wilayah tersebut kerap solat berjemaah di masjid dan surau di Lembah Pantai dan duduk mendengar kuliah-kuliah agama daripada sibuk berpolitik menggunakan masjid,” katanya.


Banteras rasuah, Umno tingkat kempen pulih imej
SiasahDaily

Umno kini sedang meningkatkan usaha memulihkan imej buruk yang menyumbang kepada kekalahan di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini memberi gambaran lebih jelas kepada usaha terbaharu Umno pada masa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dilapor berkata kerajaan serius memerangi rasuah tanpa mengira martabat dan jawatan.

Persoalan terhadap manfaat tindakan itu kepada pemerintah, yang diulas pertama kali oleh SiasahDaily dalam komentar bertajuk Kes Khir Toyo: Peluang Umno Bersih Imej Hadapi PRU 13, semakin menjadi persoalan kini.

Dalam tulisan itu, SiasahDaily menulis: "Perkembangan ini membuka peluang kepada Umno untuk membersihkan imej parti itu di Selangor dan meletakkan calon yang lebih muda dan muka baharu di negeri yang dirampas Pakatan Rakyat pada 2008 itu.

"Kes Khir memberi gambaran bahawa pemerintah serius memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan."

Najib dilapor berkata martabat dan jawatan bukan jaminan tidak dikenakan tindakan kerana rasuah, merujuk kepada kes Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Walau bagaimanapun, tindakan terhadap Khir lebih banyak menimbulkan persoalan daripada jawapan yang pasti.

Tindakan terhadap Khir menimbulkan spekulasi tentang persaingan merebut kedudukan dalam Umno di Selangor, yang berharap merampas negeri itu dalam pilihan raya akan datang.

Dalam hal ini, tindakan itu kelihatan seperti satu tindakan pembersihan dalaman dicetuskan oleh Umno sendiri.

Tindakan itu juga berlaku terlalu lama - dan selepas Khir tidak lagi menjadi menteri besar - selepas laporan-laporan awal terhadapnya timbul.

Keseriusan membanteras rasuah tidak cukup dengan hanya mendakwa Khir yang kelihatan sebagai satu token, atau hanya untuk memenuhi syarat minima, tetapi perlu dibuktikan dengan pendakwaan seorang yang berjawatan lebih tinggi dan masih lagi memegang jawatan, dan lebih penting, bukan individu kurang penting yang hendak dikorbankan. - siasahdaily.blogspot.com

Tiada ulasan: