BUKIT KATIL, 16 Dis: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengisytiharkan Melaka sebagai negeri maju pada 20 Oktober 2010. Ramai beranggapan bahawa apabila Melaka diisytiharkan sebagai negeri maju sudah tentu masalah asas seperti jalan raya, sistem perparitan, masalah banjir, kemiskinan, hutang negeri sudah selesai. Namun semua itu meleset belaka. Perkara asas yang masih membelenggu rakyat Melaka ialah masalah banjir. Apabila hujan lebat turun banyak tempat akan digenangi air. Walaupun kerajaan negeri berkali-kali berjanji untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga kini ianya masih berlaku. Beberapa kawasan rendah di bandar raya Melaka sering dilanda banjir kilat jika hujan lebat hampir turun beberapa jam. Sebagai contoh, Jun lalu beberapa kawasan dilanda banjir kilat antara 0.1 hingga 0.9 meter sehingga berlaku kesesakan lalu lintas. Ianya meliputi 13 kawasan penempatan penduduk di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). Sembilan kawasan yang paling teruk dinaiki air dalam kejadian itu ialah Jalan Paya Ikan, Kampung Pulau Kelapa, Taman Wan Shaw, Rumah Pangsa Bakti Dua di Banda Hilir, Parit Cina di Ujong Pasir, Taman Harta Pertama, Taman Mewah, Jalan Utama Melaka Baru dan Taman Mas Merah. Kawasan lain yang pernah dilanda banjir kilat ialah Rumah Media Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Pusat K-Inkubator di Ayer Keroh, Kampung Bertam Ulu, Paya Rumput, Tanjung Minyak, Kampung Sungai Putat, Taman Pengkalan Indah, Kampung Pengkalan, Kampung Sungai Petai, Rembia dan Taman Seri Bayu, Alor Gajah. Terbaru, beberapa penduduk penduduk di Taman Harta Pertama, Bukit Baru melahirkan kekhuatiran mengenai kemungkinan berulangnya kejadian banjir di kawasan perumahan tersebut. Sebelum ini, taman ini merupakan antara kawasan yang sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat. Pada tahun lalu sahaja kawasan ini telah dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali. Walaupun parit (gambar kiri) di dalam kawasan perumahan telah dibina namun dibimbangi ianya akan berulang akibat ia yang dibina tidak berfungsi dengan baik. Seorang penduduk, Wong Choy Foong, 53, berkata longkang besar yang terletak di belakang taman tersebut tidak dapat mengalirkan air dengan sempurna kerana ianya dipenuhi dengan rumput dan kotoran serta sampah. Wong berkata aduan telah dibuat beberapa kali kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) namun hasilnya adalah mendukacitakan di mana tiada tindakan diambil. “Saya bimbang bila hujan lebat banjir berlaku sebab air tidak dapat mengalir dan ia akan naik atas jalan. “Kita semua banyak takut ini banjir sebab banyak tempat di Melaka selalu banjir datang,” jelas Wong. Menurutnya, longkang tersebut telah dikorek sebelum ini oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tetapi air bertakung tetap bertakung walaupun saiz longkang semakin besar. Wong berkata pernah satu ketika air dari longkang tersebut melimpah ke kebun beliau yang terletak di kawasan tersebut sehingga menyebabkan tanaman yang diusahakan beliau mati. Tinjauan wakil Harakahdaily bersama dengan Ketua Unit Peti Undi Kampung Ku Sayang, Haji Abdul Mohamad, dan Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab (gambar) mendapati dakwaan Wong adalah berasas di mana bahawa pihak berwajib terbukti tidak membuat kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan longkang besar itu berfungsi dengan baik. Mereka juga mendapati saliran air menjadi lambat kerana di bahagian hujung longkang telah ditambak oleh penduduk tempatan dan hanya satu saliran kecil dibuat bagi mengalirkan air dari longkang tersebut. Sementara itu pihak Unit Peti Undi Kampung Ku Sayang telah mengambil inisiatif untuk mengutip tandatangan daripada penduduk Taman Harta Pertama terutamanya yang pernah terlibat dengan bencana banjir sebelum ini untuk diserahkan kepada Pusat Aduan Rakyat MTD Bukit Baru. “Ada penduduk yang mengadu bahawa masalah ini sudah berlarutan sekian lama, malah ada yang telah membuat tembok dan menambak sendiri rumah dengan simen namun kebimbangan masih lagi menyelubungi disebabkan masalah longkang yang tidak sempurna ini. “Pernah padang permainan di dalam taman perumahan ini tenggelam sepenuhnya ketika hujan lebat, malah pernah melimpah sehingga ke jalan raya berhadapan dengan rumah penduduk yang mendiami kawasan perumahan fasa baru yang telah siap dibina 2 tahun lepas,” jelas Haji Abdul
Premis bersih tarik perhatian pelanggan Harakahdaily | KLANG 16, Dis: Pegawai-pegawai pemeriksa yang telah dilantik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini sedang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kebersihan premis makanan dan stesen minyak terpilih seluruh Daerah Klang. Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berharap pengusaha premis makanan dan stesen minyak itu akan menjaga kebersihan premis dan persekitaran untuk kepentingan kesihatan umum. Beliau berkata, pemeriksaan yang dibuat pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan itu melibatkan kantin sekolah, gerai-gerai MPK, restoran francias, restoran berhawa dingin dan stesen minyak. “Sistem penggredan adalah mengikut pemarkahan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan MPK iaitu gred C untuk premis yang menerima markah 50 hingga 70, gred B untuk markah 71 hingga 84, manakala markah dari 85 hingga 100 bagi gred A. “Pihak pemeriksa akan membuat pemeriksaan dan kemudian menampalkan pelekat mengikut gred di setiap premis yang telah diperiksa,” katanya. Pemeriksaan tersebut bagi menentukan pemenang untuk menjuarai ‘Pertandingan Kebersihan Premis Makanan & Stesen Minyak 2010’ yang akan disempurnakan Januari 2011. Norfiza berkata, sekiranya hasil pemeriksaan mendapati kebersihan premis tidak memuaskan, notis untuk membersihkan tandas akan diberikan kepada pemilik premis dan ia perlu dibersihkan secara serta-merta. “Sebenarnya pemeriksaan secara berperingkat telah pun dibuat mulai awal tahun ini di setiap premis oleh Jabatan Kesihatan MPK dan 10 daripadanya telah terpilih dengan markah yang tertinggi. “Pihak Jabatan Kesihatan telah mengadakan pertandingan ini sejak 2001 yang bertujuan meningkatkan tahap kebersihan premis perniagaan di daerah ini,” tambahnya. Beliau berharap pengusaha premis di daerah ini mengambil peluang keemasan ini, ia dapat memberi impak yang besar terhadap premis dengan terpampangnya gred A yang meyakinkan pelanggan untuk mengunjungi premis mereka di samping ‘Sijil Premis Bersih’ yang bakal dimiliki. “Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan mendapat hadiah bernilai RM750 dan RM500. “Saya percaya dengan adanya pertandingan ini, dengan gred yang bakal dipampang di setiap premis yang telah diperiksa menarik perhatian pengusaha-pengusaha untuk mengekalkan kebersihan seterusnya menarik lebih ramai pelanggan yang datang,” katanya.
Nik Aziz ucap terima kasih kepada SPRM Rizal Tahir | KOTA BHARU, 16 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur terhadap Allah berikutan beliau telah digugurkan tuduhan rasuah yang membabitkan tajaan RM65,000 oleh syarikat swasta untuk menunaikan haji awal tahun lalu.
Ketika dihubungi sebentar tadi, Nik Aziz mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah membersihkan namanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan SPRM yang telah membebaskan dakwaan terhadap beliau semalam sebagaimana yang disiarkan oleh media hari ini.
Semalam SPRM menutup dua kes berpotensi tinggi membabitkan Menteri Besar Kelantan iaitu berhubung kes tajaan sejumlah RM65,000 untuk menunaikan haji dan tuduhan salah guna kuasa dalam pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai Ketua Eksekutif (CEO) PMBK.
Keputusan itu diumum oleh Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil pada sidang media selepas mesyuarat PPO bersama SPRM semalam.
Hadenan juga turut mendakwa, pelantikan Arrifahmi lebih kepada pertukaran nama jawatan iaitu daripada Ketua Pegawai Operasi kepada CEO PMBK.
Sebelum ini, media membuat laporan kononnya Nik Aziz telah menerima pakej menunaikan fardhu haji bernilai RM65,000. Ekoran dakwaan tersebut Nik Aziz telah membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardhu haji pada tahun lepas ke tahun ini.
Sementara itu, SPRM juga telah mengumumkan, pegawai kerajaan di negeri Kelantan adalah antara yang terendah terlibat dengan rasuah
Kuala Selangor pusat tarikan pelancong Zulkifli Sulong | KUALA SELANGOR, 16 Dis: Berjalan-jalan di tempat sendiri memang tidak menarik bagi kebanyakan masyarakat kita. Namun, sebenarnya negara kita terlalu banyak khazanah yang belum diterokai atau dikunjungi. Begitulah juga Kuala Selangor. Ia kurang popular. Namun bagi pelancung asing, Kampung Kuantan yang terletak di Kuala Selangor lebih dikenali berbanding Kuala Selangor sendiri.
Baru-baru ini, kami sekeluarga, dengan kerjasama hotel De Palma Kuala Selangor, berpeluang menjelajah Kuala Selangor yang dikatakan amat popular bagi pelancong asing itu. Memang benar sekali, Kuala Selangor memang penuh dengan tempat yang menarik.
Bermula dengan check in di hotel De Palma, Kuala Selangor kami sudah mula terasa kelainannya. Kami disambut oleh monyet-monyet yang bergantungan di pokok-pokok rendang dalam kawasan hotel yang berkonsepkan chalet tersebut. Chaletnya yang tersusun indah menyegarkan mata memandang.
Pada petang itu juga, berdasarkan penerangan tentang Kuala Selangor yang diberikan oleh Pengurus Pemasaran hotel itu, Encik Harun Anuar, kami ke Bukit Melawati yang dikatakan penuh dengan sejarah itu.
Pelbagai tempat menarik ada di bukit itu. Ketika kami sampai, pelbagai jenis manusia sudah berada di atas bukit itu. Tetapi yang paling menarik adalah hubungan harmoni antara pengunjung dengan sejenis monyet yang berambut punk di puncak bukit itu. Tempat-tempat sejarah tidak lagi menarik perhatian tetapi bermain dengan monyet berambut punk yang jinak itu lagi mengujakan para pengunjungnya. (Gambar: Encik Rahmat (kiri) dan Encik Harun)
Yang menariknya juga, kerana ramai yang berminat dengan monyet yang manja itu, perniagaan barang yang menjadi makanan monyet juga menjadi satu perniagaan yang lumayan.
Menurut salah seorang peniaga makanan monyet itu, Anand, pada hujung minggu dan hari cuti umum beliau boleh menjual sehingga RM80 - RM100 makanan monyet itu. Ia hanya bermodalkan kacang panjang yang dipotong, pisang, kerepek dan lain-lain makanan monyet. Ketika kami sampai, sekumpulan pelajar sekolah tadika berebut-rebut membeli kacang dari Anand untuk diberikan kepada monyet berambut punk itu. (gambar bawah kiri)
(Keesokan paginya, ketika kami naik sekali lagi ke bukit Melawati itu, kumpulan lain pula yang memenuhi bukit bersejarah itu. Kali ini sekumpulan pengamal Chikong sedang bersenam (gambar bawah kiri). Di samping itu, ramai juga yang naik ke bukit itu untuk berjoging sambil menghirup udara pagi yang segar yang datangnya dari muara Kuala Selangor itu.)
Dari bukit Melawati, pada malamnya, kami di bawa oleh Encik Rahmat Nawi, Pengurus hotel De Palma Kuala Selangor dan Encik Harun ke kampung Kuantan yang terletak kira-kira 10 km dari pekan Kuala Selangor. Di sana kami dibawa melihat salah satu keajaiban dunia iaitu fire fly atau klip-klip yang penuh di pokok Beremban di tebing sungai Selangor di Kampung Kuantan itu.
Dengan menaiki perahu yang memuatkan empat orang dan didayung oleh penduduk tempatan yang menjadi pendayungnya, kami dibawa melihat fire fly itu....memang ajaib sungguh.
Menurut pendayung kami yang bekerja secara separuh masa sebagai pendayung ini, setiap masa ada 30 buah perahu yang membawa pemerhati fire fly ini. Di kalangan mereka ada seorang wanita dan sebelum ini ada seorang wargatua berumur 72 tahun yang juga menjadi pendayung ini.
Selepas merasai pengalaman ini, baru kami terasa betapa tertinggalnya kita yang tidak melihat sendiri keajaiban dunia yang terletak di kawasan kita sendiri.
Pada keesokan harinya, selepas bersarapan di Rumbia Coffee House, kami dibawa pula melawat keindahan sawah padi di Tanjung Karang dan Sekincan. Di sana, kami dibawa ke rumah Wak Jailani yang sedang merewang untuk persiapan kendurinya pada keesokan hari. Rumah Wak Jailani didatangi orang dari serata dunia.
Di rumah yang terletak di tengah-tengah sawah padi inilah mereka menikmati keenakan makanan desa dan suasana sawah padi. De Palma Kuala Selangor menyediakan pakej makanan di tengah sawah ini untuk para tetamunya. Di sana mereka dijamu dengan nasi bersama lauk ikan keli, haruan, sepat dan juga pelbagai jenis ulaman.
Selepas melihat keindahan sawah di Sekincan yang hasil padinya hampir sama dengan Kedah walaupun kawasan sawahnya lebih kecil itu, kami dibawa melihat sendiri bagaimana industri desa beroperasi di Tanjung Karang. Di sini, industri membuat kerepek, baulu dan lain-lain makanan yang dibuat secara kecil-kecilan pada awalnya menjadi industri yang besar sehingga dieksport ke Brunei dan Singapura.
Selepas penat seharian, pada sebelah malamnya kami ke Jeram menikmati ikan bakar. ia hanya 20 minit berkereta dari hotel penginapan kami. Harganya yang sangat berpatutan berbanding dengan tempat lain di samping ikannya yang segar memberikan kenangan istimewa buat kami sekeluarga.
Pendek kata, Kuala Selangor terlalu banyak tempat yang menarik untuk dilawati. Hotel De Palma pula mampu menjadi pusat aktiviti itu kerana dari hotel yang cantik ini kita boleh pergi ke mana sahaja.
Rombongan KM Melaka naik pesawat macam naik bas http://idhamlim.blogspot.com | Kejadian memalukan oleh peserta rombongan yang menaiki pesawat khas jenis BAE 146-200 yang membawa 80 penumpang termasuk Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditahan di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, Indonesia petang Selasa.
Menurut berita yang disiarkan pesawat itu ditahan kerana ada penumpang turun ke landasan sambil menghisap rokok sewaktu pesawat yang disewa dari Heritage Air berkenaan berhenti untuk mengisi bahan bakar.
Itulah tahap dan displin yang ditunjukkan oleh orang yang ada pendidikan. Atau mungkinkah rombongan yang dibawa oleh Ali Rustam adalah orang Melaka yang tidak ada pendidikan dan tidak tahu peraturan menaiki kapal terbang.
Macamlah kebiasaan yang kita lihat bila ada sahaja bas ekspres yang berhenti ramai yang ambil peluang hisap rokok di samping ada yang ramai bergegas ke tandas dengan hajat masing.
Tidak tahulah pula rombongan Ali Rustam ini, adakah mereka rasa naik kapal terbang macam naik bas?
Untunglah kapal terbang itu tidak meletup kerana dan saya ucapkan tahniah kepada penguasa di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya yang bertindak cepat. kalau tidak dengan lapangan terbang sekali meletup akibat tidak berdisplinnya rombongan yang dibawa oleh Ali Rustam.
Tidakan tegas Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang melihat keadaan itu memeriksa semua penumpang di lapangan terbang itu amatlah saya sokong.
Rombongan kerajaan negeri Melaka itu sedang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.
Pesawat itu dalam penerbangan pulang dari Dili, Timur Leste dan ditahan pada kira-kira 2 petang waktu Indonesia sebelum dibenarkan berlepas ke Melaka pada pukul 11 malam dan tiba di LTAM di Alor Gajah pada pukul 2.15 pagi.
Namun begitu, enam penumpang pesawat itu termasuk Mohd Ali, isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan pengawal peribadi kepada Ketua Menteri dibenarkan pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Inilah tahap moral pemimpin Umno selepas 50 tahun lebih kita merdeka, peraturan naik kapal terbang pun tidak tahu atau kalau tahupun nak tunjuk lagak dan dia yang besar dan ada kuasa. Sepatutnya bagi saya hukuman kepada mereka yang hisap rokok dalam kejadian ini lebih keras kerana ia mengundang risiko keselamatan yang sangat serius
Muslimat PAS gesa kerajaan tambah doktor Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 16 Dis: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan kebimbangan dengan jumlah doktor perubatan yang meletak jawatan. Justeru, ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berharap kerajaan mengambil langkah serius bagi mengatasi masalah kekurangan doktor perubatan di negara ini. Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai seramai 884 orang pegawai perubatan telah meletakkan jawatan dari tempoh 2007 hingga September lalu. Katanya, DMPP melihat jumlah 884 orang adalah jumlah yang agak kritikal bagi kategori golongan profesional seperti doktor perubatan. Menurutnyha, meskipun pelbagai faktor diberikan seperti menjadi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi swasta, mengikut pasangan ke luar negara, menerima tawaran pekerjaan lain dan masalah kesihatan, ianya tidak boleh menjadi sandaran. Kerajaan, ujarnya perlu memikirkan sesuatu bagi mengurangkan jumlah doktor perubatan yang meletakkan jawatan bagi mengelakkan krisis kekurangan doktor perubatan di hospital kerajaan. “Dalam keadaan jumlah doktor perubatan yang semakin berkurangan, para doktor sedia ada sudah pasti terbeban dengan pelbagai tugas. “Bebanan ini sudah pasti akan memberi kesan yang mendalam terhadap golongan ini,” ujarnya. Ini, tambahnya tidak hairan sekiranya para doktor mengalami stress, kemurungan, lemah, lesu, masalah kesihatan, serta hubungan kekeluargaan yang renggang. Justeru, DMPP berpandangan para doktor perlu diberikan masa kerja dan rehat yang secukupnya bagi memberikan masa berkualiti untuk mereka. Beliau berkata, untuk mengikat doktor perubatan dengan kerjaya mereka, seharusnya insentif yang berpatutan diberi kepada mereka. “Elaun tambahan, serta kenaikan gaji selaras dengan kelayakan mereka perlu dipertimbangkan semula,” katanya lagi. Katanya, kebanyakan doktor perubatan di hospital kerajaan meletak jawatan hanya kerana mereka menerima peluang kenaikan gaji dan pangkat yang jauh lebih tinggi di hospital swasta. Bahkan, ujarnya ramai doktor terpaksa melakukan kerja tambahan di klinik lain bagi menambah pendapatan mereka. Selain itu, katanya kerajaan wajar menggalakkan mahasiswa beramai-ramai mengambil kursus kedoktoran bagi menampung jumlah pegawai perubatan di Malaysia. “Dengan biasiswa, tajaan selain memudahkan sistem pembelajaran akan menyuntik motivasi mahasiswa untuk menceburi bidang ini. “Kewujudan kampus serta fakulti yang menawarkan ijazah kedoktoran boleh menambah bilangan doktor di negara ini,” ujarnya. Secara realistik, tambahnya para doktor hanya perlu berkhidmat untuk 10 hingga 15 orang pesakit dalam satu-satu masa agar tumpuan dapat diberikan kepada mereka berbanding dengan berpuluh pesakit dihadapkan dengan seorang doktor sahaja selama ini.
Akta: Aset Melayu Kampung Baru bakal dilupus Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 16 Dis: PAS Wilayah Persekutuan kesal dengan hasrat kerajaan untuk memansuh dan membubarkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu (Lembaga MAS) apabila Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 dikuatkuasakan kelak. Rang Undang-undang Akta tersebut telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada Selasa lalu oleh Datuk Raja Nong Chik, Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Rang undang-undang tersebut akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan Mac akan datang. Seksyen 57(1) dan (2) Rang Undang-undang tersebut secara jelas menyatakan berkenaan pembatalan dan pembubaran enakmen dan Lembaga MAS tersebut dan perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru. Menurut Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, ini kerana kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enakmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki dan dipindahmilik oleh orang-orang Melayu sahaja. “Apa yang dibimbangi ialah dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang,” ujarnya. Tambahan pula, jelasnya tafsiran “kepentingan orang Melayu” yang dimaksudkan dalam akta tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja dan tidak secara jelas menyatakan berkenaan pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Ini, tambahnya diperkuatkan lagi dengan fungsi perbadanan yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 akta tersebut bahawa perbadanan boleh berurusan dengan “mana-mana orang” untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, kata beliau jika rang undang-undang ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terancam dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal. Pembubaran Lembaga MAS juga, katanya merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Menurutnya, tindakan kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah dan masa depan mereka sendiri. Tegasnya, Umno jelas sekali lagi mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini. “Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan warisan orang Melayu pula cuba diintai oleh tauke-tauke elit yang mendambakan keuntungan maksimum di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur ini,” katanya. Beliau menambah, cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah Seksyen 19 Akta tersebut yang diwakili oleh lima belas orang wakil masyarakat Kampung Baru pula sekadar melepaskan batuk di tangga dan jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan. Ini, katanya kerana akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa, nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, jelasnya peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kaca mata kerajaan. PAS Wilayah Persekutuan, tegasnya mengulangi pendirian membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru tersebut dan menyokong penuh saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali untuk menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru tersebut. “Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri,” ujarnya
WikiLeaks: Rakyat jangan lupa harga barang naik Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 16 Dis: Walaupun isu WikiLeaks menjadi panas dalam politik Malaysia, namun PAS mengingatkan rakyat jangan pula lupa bahawa ia juga sebahagian daripada agenda media Barisan Nasional (BN) untuk mengalihkan isu kenaikan harga petrol, diesel, gas dan tepung pada 4 Disember lalu. “Isu harga barang telah menimbulkan kemarahan rakyat, kerana mereka sudah mula terasa dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, kerajaan BN semakin takut dengan kemarahan rakyat terhadap isu kenaikan harga barang. Malahan, ujarnya perkara ini telah menjadi bualan di kalangan rakyat peringkat bawah termasuk di kalangan penyokong tegar Umno. Ini, tambahnya apabila minyak naik, ia memang akan melibatkan keperluan rakyat terus meningkat kerana kebanyakan barang dibawa menggunakan minyak. “Isu WikiLeaks telah memberi peluang kepada media untuk mengalihkan isu kenaikan harga barang pada ketika ini,” ujarnya dalam satu kenyataan. Sebelumnya, kata beliau banyak jawapan pak pandir oleh pemimpin BN yang bertaraf menteri untuk dijadikan halwa telinga, supaya rakyat jangan marah, antaranya harga petrol lebih murah daripada Singapura, bukan kenaikan tetapi penyelarasan, bukan kenaikan tetapi subsidi dikurangkan, kerajaan kena naik harga minyak kerana mengelak daripada diseludup ke negara jiran. Media pula, katanya diarahkan jangan meletakkan tajuk petrol naik, sebaliknya guna istilah penyelarasan. Justeru, tegasnya PAS mengingatkan kepada jentera penerangan di peringat akar umbi mesti menaikkan kain rentang dan gunakan media baru seperti face book, twitter, blog untuk menaikkan amarah rakyat kepada BN yang tidak bijak menguruskan negara. “Mesti garapkan isu ini supaya rakyat bangkit menolak kerajaan BN dalam PRU 13 akan datang,” ujarnya
Penahanan Selvach berniat jahat, hina mahkamah Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 16 Dis: Lawyers for Liberty amat kesal dengan tindakan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri yang mengeluarkan perintah penahanan 2 tahun di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 terhadap K. Selvach Santhiran di mana pada 14 Disember 2010, beliau telah dihantar ke Pusat Permulihan Akhlak Batu Gajah seawal 9.00 pagi. Menurut Lawyers for Liberty, tambah menyedihkan lagi, ahli keluarga Selvach langsung tidak berkesempatan untuk bertemu beliau meskipun pihak polis telah memberitahu isterinya, Puan Saraswathi bahawa ahli keluarga dibenarkan untuk melawatnya di IPK Kuala Lumpur pada pagi sebelum beliau dihantar ke Batu Gajah. Lawyers for Liberty dalam satu kenyataan semalam menyebut, Selvach juga tidak berpeluang untuk berjumpa dengan peguamnya yang turut datang bersama. Kenyataan itu menambah, seperti yang pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri sedia maklum, permohonan habeas corpus Selvach masih belum didengar oleh mahkamah dan sekarang ditetapkan untuk pendengaran pada 20 Disember selepas di tunda beberapa kali sejak 3 Disember untuk membolehkan pihak polis menfailkan afidavit jawapan. Namun, di dalam masa tersebut, pihak berkuasa telah mengambil kesempatan dan tergesa-gesa mengeluarkan perintah penahanan sebelum permohonan habeas corpus Selvach diputuskan oleh mahkamah. “Tindakan ini jelas menunjukkan sikap pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri yang tidak profesional, angkuh, berniat jahat dan menyalahgunakan kuasa kerana perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan permohonan habeas corpus tersebut menjadi akademik kerana Selvach kini ditahan di tempat lain menurut peruntukan undang-undang yang berbeza,” ujar kenyataan itu. Bagi Lawyers for Liberty, tindakan tersebut juga merupakan secara prima facie suatu penghinaan kepada mahkamah kerana pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri telah dengan sewenang-wenang dan berniat jahat menyalahgunakan kuasa mereka dan cuba sabotaj atau menganggu pendengaran habeas corpus tersebut. “Walaupun perangai buruk sebegitu, peguam-peguam Selvach akan tetap meneruskan pendengaran habeas corpus tersebut pada 20 Disember ini,” kenyataan itu menambah. | | | | | | |
| |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan