Rabu, 29 Disember 2010

NILAILAH SENDIRI...TELUS TAK TELUS...DOUBLE STANDARD ATAU TAK...ORANG SELALU KALAH TAK KISAH KALAH...YANG SELALU MENANG JE..BIMBANG KALAH

Dewan Ulama PAS Kedah Tolak Buku Tulisan Mujahid

ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Kedah menolak buku bertajuk "Menuju PAS Baru" tulisan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang antara lainnya mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan".

Naib Ketua dewan itu Yusuf Mahmud berkata pandangan seperti itu sama sekali tidak perlu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai ahli PAS.

"Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli PAS terutamanya pemimpin parti perlu memahamkan masyarakat mengenai kesyumulan Islam dan kesyumulan itulah yang berpijak di bumi nyata," katanya dalam satu kenyataan.

Yusuf berkata beliau menolak idea yang diketengahkan oleh Mujahid iaitu mengubah konsep kepimpinan ulama yang telah menjadi amalan dalam PAS sejak lebih 20 tahun lalu.

"PAS tidak lemah dengan ulama tetapi ia perlu diperkasakan, bukan diubah kepada sebarang konsep lain," katanya.

Beliau berkata penerbitan buku itu adalah satu percubaan untuk mengelirukan orang ramai mengenai asas perjuangan PAS yang berteraskan Islam.

"Beliau dilihat cuba menanam rasa benci masyarakat kepada kepimpinan ulama dengan mengatakan bahawa PAS tidak membawa aspirasi nasional, apabila PAS menafikan Perlembagaan Persekutuan dan menamakannya sebagai Perlembagaan Thaghut," katanya.

Yusuf berkata masyarakat umum mungkin boleh terpengaruh tetapi ahli-ahli PAS yang telah ditarbiyah sekian lama cukup faham bahawa PAS selama ini hanya membawa aspirasi Islam bukan aspirasi nasional.

"Beliau dilihat memberi tekanan agar PAS berubah menjadi parti yang seiring dengan Perlembagaan Persekutuan agar matlamat ke Putrajaya tercapai.

"Perlu diingatkan di sini bahawa matlamat perjuangan PAS bukan untuk ke Putrajaya tetapi untuk menegakkan hukum Allah. Tidak ada gunanya ke Putrajaya jika PAS terhakis asas perjuangannya," katanya.

Katanya idea "menasionalkan PAS" adalah tidak wajar kerana yang sepatutnya diketengahkan ialah Islam dalam pembentukan kenegaraan.

"Tindakan Mujahid jelas menunjukkan bahawa beliau cuba meneutralkan PAS dalam meraih undi masyarakat Malaysia. Bukan kita terpaksa menceduk apa yang telah menjadi praktikal parti-parti lain di Malaysia tetapi kita perlu ada jati diri," katanya.

Yusuf berkata kecelaruan Mujahid semakin menjadi-jadi apabila beliau menyarankan supaya dimasukkan dalam latihan perkaderan mengenai perlembagaan, membentuk identiti nasional PAS seperti mengibar Jalur Gemilang, menyanyi lagu Negaraku dan berpakaian kebangsaan.

"Sepatutnya perkara-perkara seperti itu tidak perlu dibuat kerana kita mempunyai agenda yang lebih penting kepada generasi yang akan datang iaitu membezakan antara al-haq dan al-batil," katanya.

Mujahid adalah juga Anggota Parlimen Parti Buntar. -BERNAMA



Pilihan Raya Kecil DUN Tenang:Jangan Berkempen Sekarang Atau Dikenakan Tindakan - SPR

JOHOR BARU:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu memberi amaran kepada pihak yang berkenaan agar tidak melaksanakan sebarang bentuk kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kerana tempoh berkempen hanya bermula pada 22 Januari depan.

Pengarah SPR Johor Othman Noh berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Bagaimanapun setakat ini berdasarkan laporan risikan dan ejen, kami tidak menerima sebarang aduan tentang aktiviti kempen di DUN Tenang," katanya pada sidang media di sini.

SPR telah menetapkan 22 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 30 Januari.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 2,491 undi mengatasi calon PAS, Mohd Saim Siran.

Othman berkata SPR juga telah mula menjual borang pencalonan untuk pilihan raya kecil itu namun belum ada yang membelinya.

"Kami ada menerima beberapa pertanyaan mengenainya," kata beliau.

SPR katanya mensasarkan 80 peratus daripada 14,753 pengundi akan menunaikan tangungjawab mereka pada pilihan raya kecil ini berbanding 73.5 peratus pada pilihan raya umum lepas.- BERNAMA



Tiada Had Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menyangkal dakwaan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani bahawa ia lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, berkata tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dibuat dalam tempoh masa tertentu.

Beliau berkata kerajaan negeri mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut pada 27 Nov lepas dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan.

"Panel Pemilihan telah menyenarai pendek calon-calon (bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan) dan Menteri Besar pada 17 Dis lepas mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan Sultan Selangor.

"Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, Kerajaan Selangor mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab. Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan," kata Faekah dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad Munir semalam yang dilaporkan berkata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat menghantar senarai nama tiga calon yang disenarai pendek bagi mengisi kekosongan jawatan itu. Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohd Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Jan ini oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Faekah juga rasa kesal dengan perkembangan melibatkan isu pelantikan ini dan berpendapat ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka. -BERNAMA



Pelantikan SUK tidak semestinya dibuat SPA

SHAH ALAM - Kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berhubung pelantikan Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru sudah ‘confirm’ disifatkan tiada asas perlembagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 52 (1), jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri perlu diwujudkan dan pelantikan ke jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Menurutnya, Perkara (2)(a) pula menyatakan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri hendaklah berbangsa Melayu dan menganut agama Islam dan hendaklah menjadi pegawai utama yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal pentadbiran negeri.

”Oleh itu jelas bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak semestinya dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) malahan ianya boleh dilantik daripada ‘Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan’ termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Selangor.

Perkataan ‘Suruhanjaya Perkhidmatan Awam’ tidak disebut secara khusus dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959,” katanya, dalam satu kenyataan, semalam.

Weng San berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri perlu mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar dan bukan Tuanku Sultan Selangor mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

“Ini sekali gus bermakna bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab terus kepada Menteri Besar. Pelantikan tersebut wajar dirujuk kepada Kerajaan Negeri Selangor dan lebih baik lagi pandangan dan pendapat Kerajaan Negeri Selangor diambil dan diterima pakai.

“Ini kerana Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan yang penting dan sesiapa yang memegang jawatan ini mestilah seorang yang berupaya dan berkebolehan. Sesiapa yang dilantik ke jawatan ini perlulah seorang yang tidak berkontroversi,” katanya.



MB tidak ada kuasa mutlak lantik pegawai: Noh

SHAH ALAM – Timba-lan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengingatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa tidak semua kuasa memilih dan melantik pegawai kerajaan terletak di tangan beliau.

Menurutnya, Abdul Khalid perlu tahu mengenai bidang kuasa pelantikan tersebut dan tidak membuat keputusan bercanggah dengan perlembagaan negeri.

Noh berkata, tindakan menghantar tiga nama bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri pilihan panel yang ditubuhkan Kerajaan Negeri menunjukkan beliau tidak memahami peraturan perlembagaan itu.

“Beliau selalu membuat keputusan tidak mengikut peraturan, sesuka hati. Kalau tindakan tersebut menyebelahinya, tindakan itu betul. Kalau merugikan, beliau akan membantah.

“Contoh terdekat, pemilihan Pengurus Besar Yayasan Selangor, ada temu duga dijalankan tetapi senarai calon berjaya yang dibuat panel penilai tidak dipilih. Sebaliknya beliau memilih Ilham Marzuki yang tiada dalam senarai calon berjaya,” katanya.

Noh berkata, Abdul Khalid mungkin berhak memilih Ilham disebabkan kuasanya sebagai menteri besar, tetapi tidak bagi jawatan pegawai tinggi kerajaan.

“Kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri adalah perkenan Tuanku dan kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN) kerana itu jawatan pegawai tinggi. Jangan pilih jawatan tersebut macam pilih Ilham," katanya




Tuanku bercuti


SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemungkinan terpaksa menangguhkan hasrat mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini selepas istana memaklumkan Tuanku sedang bercuti.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Tuanku mula bercuti sejak minggu lalu (25 Disember).

“Untuk makluman, Tuanku sekarang sedang bercuti dan kembali ke istana pada 3 Januari ini. Jadi soal MB hendak mengadap esok (hari ini) tidak adalah sebab pelantikan itu ‘ok’ dan tiada masalah.

“Dalam Perlembagaan Negeri Selangor, tidak ada peruntukan yang menyatakan (pelantikan) mesti dapat cadangan dari MB.

“Pelantikan memang dari JPA dengan suruhanjaya berkenaan, ini kena dapat perkenan Tuanku sebab kuasa eksekutif negeri adalah hak Tuanku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengenai temu duga jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohamad Munir berkata, tidak ada peruntukan perlembagaan yang membolehkan temu duga kecuali titah perkenan Tuanku serta bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara.

Kelmarin, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar memaklumkan, Abdul Khalid akan menghantar surat kepada Tuanku hari ini untuk memaklumkan bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Dalam kenyataan sama, Kerajaan Negeri juga telah menghantar tiga nama difikirkan sesuai untuk jawatan itu yang dipilih oleh panel kepada Tuanku untuk mendapat perkenan.



Ada motif politik: Khalid

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bermotifkan politik.

Menurutnya, sepatutnya Mohd Khusrin memahami pelantikan beliau dipertikaikan kerana beliau adalah calon yang dibuat oleh Kerajaan Pusat .

“Sebagai seorang yang bermaruah, apabila Kerajaan Negeri tidak mahu (Mohd) Khusrin sebagai setiausaha, beliau perlu faham penolakan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor.

“Jika Khusrin menerima juga jawatan itu, beliau mempunyai agenda tertentu, Kerajaan Negeri perlu berwaspada,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pelantikan Mohd Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri juga usaha bertujuan untuk menggagalkan dan menyukarkan pentadbiran oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Pada pandangan saya, Khusrin banyak melakukan perkara yang mengganggu pentadbiran PR dan sepatutnya beliau perlu bersikap seorang pegawai kerajaan profesional dan tidak pilih kasih.

“Program PR menghadapi masalah sebaliknya program yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) tidak akan mendapat halangan termasuklah pemimpin bukan Islam masuk masjid,” katanya.

Khalid berkata, walau bagaimanapun jawatan itu perlu diisi oleh Kerajaan Pusat namun nama yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara adalah Mohd Khusrin yang tidak diterima.

“Saya tidak ada maklumat mengenai pelantikan itu tetapi saya difahamkan nama Khusrin adalah nama yang tidak dicadangkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Mohd Khusrin, 54 dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru berkuat kuasa 1 Januari 2011.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember nanti.

Tempat Mohd Khusrin di Jais akan diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam, Marzuki Hussin, 56, mulai 1 Januari 2011.

Pelantikan Mohd Khusrin dan Marzuki mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

Tiada ulasan: