Khamis, 30 Disember 2010

ISLAM ADA SEGALANYA...ADIL SERTA BERDISPLIN...AMANAH SERTA BANYAK LAGI DAN SEMUA NILAI2 MURNI...SESUAI DGN AGAMA ALLAH...

PAS tak akan biarkan Umno BN rampas Kedah
Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 30 Dis: Biarpun adanya perubahan pada pucuk kepimpinan Umno negeri di Kedah, ia tidak akan memberi apa-apa impak terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh PAS selama ini.

Mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kedah yang baru, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berikrar untuk merampas semula pemerintahan negeri dalam pilihan raya umum yang akan datang, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengalu-alukan hasrat murni pemimpin Umno tersebut.

"Hasrat dan cita-cita beliau itu adalah sesuatu yang baik. Namun begitu, sekiranya pimpinan baru yang dilantik menerajui kepimpinan tidak dapat membuat reformasi yang lebih efektif dari kepimpinan terdahulu, maka adalah lebih baik teraju sebelum ini dikekalkan.

"Walau apa pun aspirasi mereka, PAS tidak akan sekali-kali memberi peluang kepada Umno untuk meneruskan hasrat mereka untuk mencapainya dengan jalan yang mudah. Siapa saja yang menjadi pesaing kepada parti lawan, kita akan terus berjuang tanpa menyerah kalah kepada mereka," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Bashah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata menggantikan Datuk Seri Shafie Afdal sebagai Pengerusi Umno Kedah.

Rombakan yang dibuat itu juga sebagai salah satu alternatif Umno bagi menguatkan barisan kepimpinan negeri yang terdiri dari pemimpin tempatan menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan bermula tidak lama lagi




Tiger show: Jabatan agama diminta bertindak
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Pihak berwajib terutama Jabatan Agama Islam didesak menyiasat dan bertindak segera terhadap penganjuran satu pesta maksiat, pertunjukkan "Tiger Show", dalam Majlis Makan Malam di Marriot Hotel, Putrajaya pada 16 Disember lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi ketika membuat desakan itu berkata, pertunjukkan itu bukan sahaja bercanggah dengan budaya negara kita, tetapi juga bertentangan dengan semangat Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Katanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel tersebut.

"Lebih menyedihkan lagi, rata-rata yang hadir dalam majlis itu ialah bangsa Melayu yang beragama Islam," tegasnya kepada Harakahdaily hari ini.

Sambil menyifatkan majlis tersebut telah menghina Islam dan umatnya, beliau berkata, rata-rata pekerja difahamkan amat tersinggung dengan majlis sedemikian.

"Tidak memadai dengan pertunjukkan-pertunjukkan seperti yang sudah sering kita dengar dianjurkan di kelab-kelab malam, tetapi kini penganjur dengan beraninya mempersembahkan pertunjukkan lucah itu dalam majlis makan malam anjuran syarikat kepada pekerja dan tetamu mereka secara terbuka di Hotel Marriot," katanya.

Penganjuran majlis yang mengandungi pertunjukkan lucah itu diketahui oleh beliau setelah dihubungi oleh seseorang yang tidak mahu namanya disiarkan.

Individu tersebut kemudiannya telah menyerahkan 4 keping gambar kepada beliau bagi membuktikan keadaan majlis tersebut yang ternyata amat mengaibkan.

"Saya hitamkan gambar tersebut kerana tidak sanggup untuk menyiarkan gambar asal yang dikirimkan kepada saya kerana ia terlalu lucah dan memalukan.

"Ini satu mungkar yang tidak sepatutnya dianjurkan. Saya berharap agar pihak berwajib terutama jabatan agama Islam bertindak tegas," katanya




Apabila Karpal puji PAS parti paling berdisiplin
Ahmad Lutfi Othman
Konvensyen Pakatan Rakyat minggu lalu pasti meninggalkan kenangan manis - dan lebih penting pendorong semangat, sekali gus menyuntik kelegaan - buat petugas ketiga-tiga parti komponen. Selain merumuskan beberapa tindakan perlu dan pengumuman program 100 hari sebagai permulaan reformasi menyeluruh sekiranya mendapat rakyat, perhimpunan itu dilihat dapat memantapkan lagi persefahaman dan persepakatan ketika suhu politik negara makin menggelegak.

Ramai pemerhati merasakan tempoh persidangan terlalu singkat dan perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari, sepertimana muktamar tahunan PAS dan kongres KeADILan. Pakatan tidak harus terikut-ikut dengan Konvensyen BN yang juga dilangsungkan dalam masa sehari, malah lebih teruk, hanya 15 tahun sekali!

Banyak persoalan yang perlu diperincikan dan dibahaskan oleh lebih ramai perwakilan. Dengan itu, ucapan ketua-ketua parti misalnya, dapat diteliti dan diambil manfaat secara lebih menyeluruh. Suara pimpinan di pelbagai peringkat perlu didengar kerana merekalah yang bakal berdepan masalah dan kesulitan jika rumusan yang diambil tidak menepati kehendak rakyat. Bukankah selepas pilihan raya umum ke-12 suara rakyat menjadi begitu dominan berbanding kenyataan pemimpin atasan.

Lebih penting lagi, konvensyen tersebut bukan saja menjadi medan perbincangan untuk meluluskan ketetapan yang sudahpun diputuskan lebih awal, namun apa yang berlaku di luar jadual rasmi -- bukannya di pentas pidato -- yang membolehkan interaksi lebih intim di antara aktivis parti, dapat memantapkan lagi jentera di peringkat akar umbi.

Bukanlah sesuatu yang mengaibkan untuk kita mengakui bahawa masih ada salahfaham yang mungkin menyelinap di kalangan pendukung parti yang berbeza. Tidak mudah meresapkan elemen kemesraan dan saling fahami-memahami jika mereka masih dipetak-petakkan. ("Saya tidak begitu bimbang dengan hubungan akar umbi. Mereka nampak lebih ikhlas mahu memacu perubahan bagi menyelamatkan Malaysia. Yang saya runsing, kalau masih terbuku rasa tak puas hati dan tidak percaya antara satu sama lain di peringkat pimpinan lebih tinggi," keluhan seorang perwakilan yang mahukan sebarang kecurigaan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan wajib ditangani secara ikhlas dan terbuka).

Dan ia memerlukan ruang lebih selesa, mungkin secara santai dan tidak formal, untuk merongkai segala kecelaruan dan "salahsangka". Ada juga yang mengingatkan bahawa jika disebut "salahfaham", usah mengaitkannya hanya kepada hubungan PAS dan DAP - yang dahulunya dilihat umpama "dua kutub berbeda yang begitu sukar disatukan" - tetapi juga meliputi semua parti dalam Pakatan.

Malah, di ambang kejayaan sebagai "kerajaan menanti" ini, jangan diremehkan sekiranya timbulnya "pertembungan" di antara KeADILan dan DAP, disebabkan kedua-duanya mungkin tertumpu kepada konstituensi yang bertindan. Bukankah politik itu, antara lain bermakna, pengagihan nilai yang terhad sedangkan permintaan dan tuntutannya begitu tinggi?

Pilihan raya umum ke-13, walaupun dijangka begitu getir dan paling sengit untuk BN dan Pakatan beradu kekuatan, ia turut berupaya menyumbang kepada ketegangan dalaman parti, berpunca daya tarikan yang begitu memikat. Pemilihan calon mungkin bukan isu besar dalam PRU12 kerana tiada yang berani menduga BN akan berdepan pukulan yang begitu hebat. Masing-masing parti juga lebih bersedia bertolak-ansur menyerahkan kerusi kepada "rakan-rakan komponen" (yang belum pun terbentuk ketika itu). Suasana itu dijangka berbeda dalam pilihan raya akan datang.

Saya tetap bersikap kritis dengan sebarang kemelut dalaman Pakatan, biarpun nampak kecil dan terpinggir. Pengundi kali ini bukan lagi berhasrat untuk memilih barisan pembangkang yang kuat bagi memecahkan hegemoni BN; justeru apa jua yang menganggu kosentrasi mereka semasa pengundian mesti diambil berat. Paparan media, yang dikawal mutlak BN, bagi menonjolkan jurang dan pertelingkahan di antara ketiga-tiga parti, selain hal-hal yang kelihatan remeh-temeh, jangan dipandang mudah, tetapi tidaklah sampai ke tahap merencatkan agenda utama yang telah disusun.


Selain itu, pengiktirafan terbuka Karpal Singh, Pengerusi DAP, bahawa "PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti" turut mendapat perhatian ramai dalam pertemuan bersejarah di Kepala Batas itu.

"Saya lihat hanya dua isu besar dalam konvensyen," ujar seorang penerbit berita TV, "iaitu sikap berubah Karpal terhadap isu Negara Islam yang diperjuangkan PAS dan tawaran Buku Jingga yang menggariskan Program 100 Hari Pakatan Rakyat jika memerintah." Beliau mencadangkan kepada saya agar Harakah memberikan tumpuan kepada dua isu berkenaan dengan memberikan perincian dan penjelasan lebih lanjut.

Apa pun, saya lebih tersentuh dengan pujian Karpal, yang menyifatkan PAS parti sebagai parti yang paling berdisiplin. Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang terkenal dengan kelantangannya itu turut mengakui kelemahan partinya sendiri.

"DAP pernah ada seorang di Perak, KeADILan pun ada ramai (keluar parti)," tambahnya di hadapan ribuan peserta konvensyen.

"Dalam pilihan raya akan datang letaklah calon-calon yang boleh dipercayai serta beritegriti. Jangan ulangi kesilapan lalu lagi kerana ia akan merugikan kita," tegas Karpal sambil mengaitkannya dengan kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak. Pengerusi DAP itu juga menegur Anwar Ibrahim. Walaupun sebagai pemimpin utama dalam Pakatan, tapi kadangkala Anwar juga silap dalam membuat keputusan.

Teguran dan saling mengingatkan ini wajar dijadikan tradisi dalam Pakatan. Amalan menyapu sampah ke bawah karpet hanya memarakkan lagi "api dalam sekam".

Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut mendapat pujian apabila sedia melakukan koreksi: "Marilah sama-sama kita bermuhasabah akan pencapaian kita, setelah diberi tanggungjawab melaksanakan amanah pemerintahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menilai dengan penuh kejujuran akan kelemahan dasar dan pelaksanaan, kita mencelikkan mata-telinga kita seluas-luasnya dan berlapang dada dengan kritikan rakyat, seterusnya melakukan rombakan pentadbiran dan perubahan menyeluruh apabila difikirkan perlu."

Manakala kesediaan Anwar memohon maaf di atas "kesilapannya" tambah memaniskan lagi majlis penutup konvensyen yang penuh bermakna itu




Galak anak-anak ceburi bidang ICT
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 30 Dis: Anggota masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengarahkan minat anak-anak mereka memilih ICT sebagai kerjaya dan sumber kewangan lumayan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dunia hari ini sudah berubah dan anggota masyarakat juga termasuk ibu bapa harus mengikuti peredaran zaman.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Pertandingan Animax dan Merekabentuk Pusat Siber Sihat sempena Festival Sains Teknologi dan Inovasi Selangor 2010 (FesSTIS 2010).

Pertandingan ini adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Selangor yang dipengerusikan Hajah Rodziah Ismail.

Seramai 66 peserta dari pada 22 kumpulan telah menyertai pertandingan dua kategori di atas pada tahun ini yang telah mencipta karya berkualiti tinggi dan sengit.

“Jika dahulu ibu bapa sering menggalakkan anak-anak untuk berjaya sebagai doktor, peguam, akauntan dan jurutera, kini pemikiran sedemikian harus berkembang.

“Peluang-peluang baru untuk anak-anak kita begitu banyak dan kita harus memberikan kebebasan dan galakan sepenuhnya kepada mereka untuk merebut peluang-peluang tersebut.

“Menyedari hakikat itu jugalah Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat bergerak pantas untuk memacu pembangunan ICT di negeri ini,” tegas Abdul Khalid menerusi teks dibacakan oleh Rodziah, di sini petang semalam.

Dalam pada itu, menteri besar berkata, paling utama memastikan negeri ini terus berada pada landasan kemajuan tepat dan rakyat mendapat peluang seluas-luasnya untuk mengecap kejayaan.

Bagi anak-anak muda dan pelajar-pelajar sekolah, khususnya yang berbakat dalam lukisan animasi dan juga berminat dalam bidang ICT, mereka harus membuka minda dan menimbang peluang-peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri ini, tambahnya.

Sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian juga, pintanya, wajar menyediakan maklumat lengkap untuk membolehkan pelajar mengetahui secara lebih mendalam tentang kerjaya dalam bidang ini.

Begitu juga, Abdul Khalid menyeru ibu bapa membuka minda dan menggalakkan anak-anak yang berbakat dan berkecenderungan dalam seni lukisan dan animasi untuk memburu kecemerlangan.


“Rakyat negeri ini seharusnya berasa beruntung kerana berada di bawah naungan Kerajaan Negeri yang telah menunjukkan sikap proaktif dalam mencari dan meneroka bidang baru.

“Kerajaan negeri juga bersedia untuk merebut peluang-peluang dalam industri kreatif multimedia yang mampu menjanjikan pelbagai ganjaran dan pulangan lumayan,” ujarnya.

Pertandingan Pusat Siber Sihat adalah acara julung kali dianjurkan pada tahun 2010 sebagai satu usaha untuk membantu menyelesaikan masalah perlesenan pusat siber yang dibekukan sejak 2007.

Program ini mendapat kerjasama Persatuan Pemilik Pusat Siber Selangor, Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi mendapatkan maklumbalas akhirnya menjadikan acara ini sebagai salah satu program FesSTIS 2010.



Perlantikan Khusrin Ke Arah Malayan Union?
Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam SeMalaysia PAS berpendapat perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru satu lagi pencabulan terhadap hak negeri yang sepatutnya tidak berlaku dalam semangat federalisme.

Sebelumnya hal ehwal air yang sepatutnya hak negeri sudah dicabul, sekarang perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pula, kerajaan pusat campur tangan dengan mengenepikan hak negeri

PAS hendak mengingatkan kerajaan pusat, Selangor ada tuannya. Ketuanya Tan Sri Khalid Ibrahim, perlantikan SUK bukan seperti perlantikan Jawatankuasa Kampung Persekutuan (JKKP) hanya dengan tunjuk sahaja, Bukankah kita diajar hendak masuk rumah orang ada adabnya.

Kerajaan Selangor dibentuk dengan mandat rakyat yang sah melalui proses pilihanraya, bukannya dengan kudeta.

Tindakan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara yang melantik tanpa berbincang dengan Menteri Besar seolah-olah negara hendak menuju kepada Malayan Union di mana semua kuasa pusat membolot dan tidak menghormati hak-hak negeri.

Kerajaan pusat mengajar kerajaan negeri supaya tidak mengikut semangat federalisme, nanti senjata makan tuan.

PAS merasa bimbang dengan trend pencabulan hak negeri akan menjejaskan negara di pandangan mata dunia terutama pelabur luar kerana mereka akan memikirkan apa jaminan pelaburan mereka tidak dicabul.

PAS hendak mengigatkan kepada BN, kalau pun hendak merampas Selangor berlawanlah secara anak jantan, bukan sebaliknya




Mahfuz sahkan letak jawatan pengerusi GLC
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 30 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan peletakan jawatan beliau sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Kedah Sato Sdn Bhd.

Mahfuz memberitahu, surat peletakan jawatan itu telah dihantar kepada pihak syarikat pada 20 Disember lalu, berkuat kuasa serta merta.

"Saya mengaku saya telah melatak jawatan dan surat peletakan jawatan telah pun saya hantar," kata beliau ketik dihubungi Harakhdaily hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun enggan menjelaskan sebab perletakan jawatannya sebaliknya berkata, pihak pengurusan Keda Sato sudah sedia maklum alasan beliau bertindak demikian.

"Sebab peletakan jawatan saya, semua pihak kena tanya pihak pengurusan Kedah Sato dan juga lembaga pengarah Syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) dan saya tak boleh bagi apa-apa penjelasan kepada media buat masa ini dan saya nyatakan dalam surat, alasannya adalah seperti yang semua sedia maklum," katanya.

Kedah Sato merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad.

Beliau juga berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga sudah mengetahui perkara tersebut.

"Saya percaya Datuk seri Azizan sudah maklum berkenaan perkara ini kerana saya sudah pun menghantar surat," katanya

Tiada ulasan: