Rabu, 29 Disember 2010

JIKA KITA NAK SELESA DAN MENANG...ORANG LAIN PUN NAK SELESA DAN MENANG...DUNIA NI IBARAT RODA...SEKALI2 KITA MUNGKIN DIBAWAH.

Khusrin: Umno pentingkan politik, ketepi rakyat
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor membuktikan bahawa Umno lebih pentingkan politik mereka dari menjaga kepentingan rakyat negeri itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) ketika diminta mengulas isu perlantikan itu berkata, semua orang yakin dan percaya bahawa kemasukan Khusrin tidak ada maksud lain melainkan untuk menggagalkan segala usaha yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.

Menurutnya, selain membelakangi semangat faderalisme, perlantikan itu juga merupakan percubaan Umno mensabotaj kerajaan negeri dalam usaha merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan berlaku awal tahun hadapan.

"Perlantikan itu bukan sahaja tidak menghormati rakyat Selangor, malah nak sabotaj usaha kerajaan Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan betapa tidak demokrasinya kerajaan BN yang telah mengancam faderalisme," katanya ketika ditemubual Harakahdaily.

Khusrin yang kini Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Beliau menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Perlantikan itu bagaimanapun dipertikai pihak kerajaan negeri yang mendakwa tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Khalid Samad yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam secara peribadi menasihatkan Khusrin agar menolak perlantikan tersebut jika beliau bermaruah.

Menerima jawatan itu katanya, hanya akan menjadikan diri beliau sebagai musuh rakyat negeri itu yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri.

"Islam ajar kita, macam kenduri lah, kalau orang tak jemput, tak payah la nak datang.

"Jadi kalau orang tak nak kat kita, tak payah la nak kedepan juga seperti, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya sinis.

Khalid sebelum ini antara yang sering mempertikai tindakan Khusrin sebagai pengarah Jais khususnya dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid yang pernah menghangatkan politik tanah air baru-baru ini.

Khusrin dakwanya dilihat berpihak kepada Umno BN dalam banyak tindakannya khususnya berkaitan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama di negeri itu.

Dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid, Khalid mendakwa Khusrin bermati-matian mendakwa tindakan pemimpin Pakatan Rakyat itu salah, namun berdiam diri bila perkara sama berlaku kepada Umno BN.

"Saya rasa itulah sebab kenapa dia dilantik oleh Umno sebagai SUK walaupun dari segi kelayakan, dia tidak penuhi kreteria," katanya



SUK: Selangor nafi lewat serah nama
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Dis: Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Datuk Munir Bani yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin menegaskan tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan SUK perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu.

Tambahan pula jelasnya, jawatan Datuk Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya hanya tamat pada 20 Mac 2011.

"Pakatan Rakyat Selangor kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka.

"Isu Datuk Khusrin Munawi ini timbul sejurus sebelum Umno mengumumkan Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor," katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan yang sejajar dengan Nota Amalan Perkhidmatan Awam.

Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis kerajaan negeri iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia.

Panel Pemilihan katanya telah menyenarai pendek calon-calon dan pada 17 Disember 2010, Menteri Besar telah mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan DYMM Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan.

Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, kerajaan negeri Pakatan Rakyat ujarnya mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.

"Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan," katanya lagi.

Justeru, Pakatan Rakyat Selangor memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik.

Mereka turut menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada DYMM Sultan Selangor dan pemimpin Negeri dalam menangani salah faham ini (miscommunication).

"Begitu juga kepada masyarakat bukan Islam digalakkan menjalankan upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing," katanya




Mengapa BN pertahan undi pos
M Faqih

PERSOALAN sekarang mengapa pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beriya-iya benar mempertahankan sistem pengundian pos.

Mereka seolah-olah bermati-matian bagi memastikan sistem itu terus relevan, biar pun negara sudah lama keluar dari status darurat. Komunis yang pernah menggugat negara sudah lama meletak senjata.

Contoh mudah dapat dilihat berlaku di Galas pada 4 November lalu. Undi pos yang diterima PAS hanya 26 undi (17.68 peratus) berbanding dengan BN (82 peratus).

Begitu juga di mana-mana sahaja pilihan raya undi pos menjadi penyelamat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kecuali pilihan raya umum 1999.

Di Jeli undi pos di kalangan askar wataniah di Kem 301 dan Kem 302 berjaya menyelamatkan karier politik Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi mempertahankan kerusi parlimen Jeli masuk penggal kedua.

Begitu juga Datuk Mohd Alwi Che Ahmad diselamatkan undi pos di Kem Desa Pahlawan untuk meneruskan penguasaan Umno di Dun Kok Lanas.

Ramai menyebut undi pos menjadi penyambung hayat kerajaan BN dan menyelamatkan maruah Umno.

Maka bagi memastikan kubu tersebut tidak dirobek Pakatan Rakyat dalam misi melangkah ke Putrajaya, kerajaan BN merancang mewujudkan satu kompeni askar wataniah di semua 222 kawasan Parlimen.

Malah kerajaan BN tanpa berselindung menyebut hampir mencapai sasaran apabila 172 kawasan parlimen telah diisi dengan pasukan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian itu menjangka askar wataniah akan ditempatkan di 50 kawasan lagi menjelang tahun hadapan.

Malah kementerian itu mensasarkan seramai 66,600 anggota dalam tempoh lima tahun akan datang, di mana kini difokus di Sarawak dan Perak.

Tahun lepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan satu kompeni askar wataniah di 222 kawasan Parlimen bagi memantapkan sistem pertahanan negara.

Difahamkan satu kompeni mengandungi sekurang-kurang tiga plakton atau 105 anggota. Jumlah itu tidak termasuk isteri setiap askar wataniah yang turut didaftar sebagai pengundi pos.

Ini bermakna seramai 210 pengundi pos dari kalangan askar wataniah terdapat di setiap kawasan parlimen. Kalau didarab 222 bermakna terdapat 46,620 pengundi pos baru di seluruh negara.

Sedangkan sasaran kerajaan mempunyai 66,600 askar wataniah di seluruh negara. Dan jumlah itu kalau didarab isteri setiap anggota menjadikan jumlah undi pos seramai 133,200 orang.

Bermotif politik

Seorang bekas pegawai tentera ketika ditemui berkata, penubuhan satu kompeni askar wataniah di setiap kawasan parlimen sebenarnya lebih bermotif politik dan bukan semata-mata bagi memantapkan pertahanan negara.

Katanya, setiap anggota wataniah akan didaftar di bawah undi pos sebagai strategi bagi menyelamatkan Umno dan BN.

”Itu belum lagi dicampur dengan isteri setiap anggota askar wataniah. Kewujudan kem askar wataniah merupakan pakej penyelamat kerajaan BN,” katanya di sini.

Difahamkan bilangan anggota tentera termasuk unit infantri, Askar Melayu Diraja dan renjer sebelum ini berjumlah lebih 130,000 orang.

Bagaimanapun daripada jumlah tersebut anggota tentera yang benar-benar berkhidmat di luar kem termasuk di sempadan hanya dalam jumlah agak kecil.

Selebihnya anggota bahagian sajian dan perkhidmatan yang bertugas di unit gaji dan perbekalan. Mereka tidak dikerah berkhidmat di luar kem untuk melayakkan disenarai sebagai pengundi pos.

Namun kerajaan BN tetap menyenaraikan setiap anggota tentera dan polis sebagai pengundi pos biar pun mereka tidak berkhidmat di tempat yang kritikal.

”Malah pegawai tentera yang berpangkat Jeneral tidak pernah bertugas di perbatasan untuk disenaraikan sebagai pengundi pos.

”Mengapa mereka dibolehkan keluar bermain golf, sedangkan untuk keluar mengundi sebagai pengundi biasa tidak boleh,” kata bekas pegawai tentera terbabit.

Seorang lagi bekas pegawai tentera, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman turut mempersoalkan mengapa kerajaan BN beriya-iya benar mahu mempertahankan undi pos kalau tidak bermesej politik.

Katanya, undi pos sudah tidak sesuai lagi digunakan sekarang memandangkan keadaan negara sudah aman dan bukan kacau bilau seperti zaman darurat.

Menurut beliau anggota tentera yang hanya berkhidmat di kem boleh keluar mengundi seperti pengundi awam.

”Lebih menghairankan lagi mengapa isteri anggota tentera juga disenarai sebagai pengundi pos. Ini sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali.

”Tengok sedikit masa lagi setiap kawasan parlimen akan mempunyai kompeni askar wataniah. Tidakkah itu semua memberi undi percuma kepada Umno dan BN,” katanya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Persempadanan baru

Persempadanan baru kawasan pilihan raya memerlukan undian dua pertiga anggota Dewan sebelum diluluskan.

BN tidak memiliki dua pertiga daripada 141 anggota parlimennya. Biar pun dibantu lima anggota parlimen Keadilan yang belot, BN belum mempunyai kekuatan untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan persempadanan pilihan raya diadakan.

Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Wee Chong Keong (Wansa Maju) yang menggelarkan diri mereka sebagai blok Bebas belum mampu membantu BN memiliki kuasa dua pertiga.

Kalau mengikut ayunan sejarah pilihan raya di negara ini sejak merdeka, BN akan bangkit semula selepas lemah. Misalnya pada PRU-8 (1990) BN kehilangan Kelantan.

Namun pada PRU-9, BN bangkit semula biar pun gagal dalam misi merampas semula Kelantan. Kemudian pada PRU-10 (1999) menyaksikan BN merosot ekoran gelombang reformasi.

Namun pada PRU-11 (2004) BN bingkas semula dengan kedudukan paling selesa dalam sejarah pilihan raya. BN mendapat undi popular sehingga 90 peratus. Ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai jentera BN.

Apakah sebenarnya faktor menyebabkan kedudukan BN paling selesa pada pilihan raya tersebut. Selain momokan ’Mr Clean’ yang disinonimkan dengan Pak Lah, namun faktor persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 turut menjadi penyumbang penting.

Di bawah Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan tanggungjawab bagi menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri diberikan kepada SPR.

Persempadanan hanya boleh dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun selepas selesai kajian semula persempadanan sebelum itu.

Prinsip mengagihkan wajaran di kawasan luar bandar dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, di mana variasi saiz (jumlah pemilih) di antara mana-mana dua kawasan haruslah tidak melebihi 15 peratus.

Sejak 1952 persempadanan semula dilakukan sebanyak lapan kali. Malangnya wajaran 15 peratus yang dipersetujui tidak digunakan selepas beberapa pindaan kepada Perlembagaan sejak 1973.

Persempadanan semula perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun. Kali terakhir dibuat pada Mei 2003. Dan sepatutnya persempadanan dilaksanakan pada tahun 2011.

Dan sekiranya persempadanan menjadi kenyataan, kalau mengikut teori ayunan, BN akan bangkit semula pada PRU-13.

Namun, dengan kekurangan majoriti dua pertiga proses ke arah persempadanan semula kawasan pilihan raya masih tidak kedengaran.

Undi pos selamatkan Najib

Tanpa faktor itu BN tentunya lebih gundah bagi menghadapi PRU-13. Ini kerana faktor persempadananlah yang pernah memenangkan Dato’ Seri Najib Razak di parlimen Pekan Dalam pilihan raya 1999.

Ketika itu beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi. Sedangkan di Pekan ada 2,400 undi pos.

Kemudian pada persempadanan semula 2003, Kem Batu 10, Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan.

Maka tidak salah kalau dikatakan undi pos menjadi penyelamat karier politik Najib di Pekan, Mustapa di Jeli dan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang.

Bagi mendepani isu berkenaan, Pakatan Rakyat seperti tidak banyak pilihan. Kalau dalam isu saman ekor ada NGO yang dikenali sebagai KASE, manakala bagi menentang ISA atau GMI.

Isu undi pos perlu ditangani secara berterusan. Gerakan kesedaran bagi mendedahkan keburukan sistem pengundian tersebut perlu dijaja dari mulut ke mulut. Natijahnya bagi memastikan mereka yang mengundi akhirnya menjadi malu, kerana tanpa sedar mereka merosakkan demokrasi.

Biar pun ada sedikit ruang membolehkan wakil calon yang bertanding memasuki kawasan kem, namun mereka hanya mampu memerhati dari jarak jauh. Alasan pegawai tentera bertugas, kem merupakan kawasan keselamatan.

Calon PAS di Dun Bukit Bunga, Jeli, Sufely Abdul Razak pernah mendakwa peti undi pos disimpan di dalam kem tanpa ada jaminan kawalan keselamatan selepas pengundian dijalankan.

Sekarang apa yang mampu diharapkan dengan sistem demokrasi alaMalaysia. Undi pos boleh menjadi penghalang impian Pakatan Rakyat menghayung langkah ke Putrajaya.

Sejak merdeka sehingga sekarang gelanggang pilihan raya dibina di lantai yang senget. Mangsanya pembangkang yang kini bernama Pakatan Rakyat. Akhirnya impian Pakatan hanya sekadar retorik sekiranya gelombang kesedaran rakyat masih di tahap lama


Khusrin: Pusat cuba 'guling' Selangor

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilihat seperti cubaan untuk mengguling kerajaan negeri Selangor, di samping memperlihatkan sikap sebenar kerajaan persekutuan yang tidak demokratik serta tidak menghormati semangat federalisme.

Biarpun perlantikan itu dilihat belum muktamad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mohon mengadap Sultan Selangor untuk membincangkan perkara itu, pandangan kerajaan negeri wajar diteliti terlebih dahulu demi melahirkan sebuah kerajaan yang stabil.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, biarpun Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh sebuah kerajaan yang tidak seideologi dengan kerajaan pusat, namun Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang sah melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, ekoran ia adalah mandat dari rakyat yang merdeka menerusi sistem pilihanraya.

Menurut beliau, sewajarnya kerajaan negeri Selangor atau mana-mana kerajaan negeri yang lain tidak diganggu apa lagi cuba diguling semata-mata kerana ia dipimpin oleh parti yang berlainan ideologi dengan kerajaan persekutuan.

"Gangguan dan tekanan yang sering dikenakan kepada kerajaan-kerajaan negeri seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sangat bertentangan dengan semangat federalisme dan ia jelas pula bertentangan dengan prinsip demokrasi," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan 27 Disember lalu bahawa Khusrin, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilantik sebagai SUK negeri itu berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Sementara itu, kerajaan Selangor dalam satu kenyataan terbaru mereka memberitahu perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu belum muktamad.

Mereka mendakwa cadangan melantik Khusrin ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Menteri Besar menurut kenyataan itu telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklumkan bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Tan Sri Khalid juga difahamkan turut menghantar tiga nama yang telah diputuskan oleh panel yang ditubuhkan kerajaan negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap Sultan Selangor pada 29 Disember ini.

Menurut Nasrudin, pengumuman Ketua Setiausaha Negara dalam isu perlantikan Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor tanpa terlebih dahulu mengambil kira pandangan dan kehendak kerajaan negeri adalah suatu yang tidak harmonis dan sewajarnya tidak berlaku demikian.

"Justeru apa yang berlaku ini boleh mencetus spekulasi dan ia dinilai oleh umum sebagai satu "hidden agenda" untuk melemah dan menggangu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri Selangor," katanya.

Jawatan SUK, menurutnya, jawatan nombor satu dalam perkhidmatan awam di sesebuah negeri. SUK juga secara automatik menjadi ahli ex officio kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Oleh itu, SUK yang dilantik sayugianya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri terutama ketua kerajaannya iaitu Menteri Besar agar pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri berjalan lancar dan efektif.

"Namun realiti yang berlaku di Selangor, Khusrin adalah individu yang sering mencetus kontroversi dan mengganggu kestabilan kerajaan negeri. Apakah kerana tersimpan agenda tertentu apabila Putrajaya dilihat beria-ia benar menabalkan Khusrin sebagai SUK Selangor?

"Sungguhpun SUK Selangor adalah terdiri dari pegawai PTD yang juga merupakan kakitangan Persekutuan, tetapi tidak bolehkah kerajaan negeri terlebih dahulu dirundingi? ke mana perginya semangat federalisme yang didokong selama ini? Apakah kerana Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat maka demokrasi diketepikan dan semangat federalisme dikesampingkan?

"Saya sangat tidak senang malah tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Tidak profesional, tidak demokratik dan tidak menghormati semangat federalisme. Ia dilihat seperti cubaan untuk membuli kerajaan negeri Selangor. Ini tindakan yang tidak baik," jelasnya.

Beliau berharap rundingan Menteri Besar dengan pihak Sultan Selangor akan membawa keputusan yang positif demi kestabilan kerajaan negeri, malah demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat negeri Selangor amnya.

"Justeru konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara ini membina hubungan yang baik antara Menteri Besar dan Duli Yang Maha Mulia Sultan sementara tindakan Sultan pula berasaskan nasihat dari Menteri Besar," katanya.






Tiada ulasan: