Li Fook Gao |
Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini. MARI KITA SEMBANG BERSAMA… Datuk Tuan Ibrahim (TITM) Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO) Selamat membaca! Soalan 1:
Adakah pembersihan daftar pemilih sudah dilakukan di negeri-negeri yang dikuasai PR? Tidak bolehkah kita mewujudkan pangkalan data sendiri di setiap UPU yang sentiasa dikemaskini alamat, jumlah pengundi dalam isi rumah dan sebagainya supaya memudahkan kerja jentera parti untuk kemaskini pengundi yang perlu dibuat bantahan dalam daftar hantu SPR?
TITM: Daftar pemilih merupakan persoalan besar dalam sistem pilihanraya Malaysia, dan beberapa isu utama yang berlegar dalam isu daftar pemilih masih belum selesai. Ini termasuklah isu pengundi pos, ahli keluarga anggota tentera yang juga dikategorikan sebagai pengundi pos, isu pemindahan pengundi, penggundi yang bertindan dan sebagainya. Soal pembersihan daftar pemilih sentiasa dibuat. Ia dilakukan bilamana rang suku tahun dibentangkan untuk semakan dan bantahan. Namun, ada dua isu utama di sini, iaitu tempoh bantahan yang sangat terhad, biasanya dua minggu untuk semakan dan bantahan sedangkan senarai rang daftar pemilih tersebut mengambil masa untuk diperolehi, menyebabkan sebahagian nama yang tersenarai tidak dapat disemak dan dibuat pembersihan. Daftar pemilih yang akan digunapakai dalam sesuatu pilihanraya ialah senarai yang dibekalkan oleh SPR setelah selesai penamaan calon; seandainya terdapat beberapa nama yang dicurigai dalam senarai tersebut, maka parti tidak mempunyai hak atau kuasa untuk mengeluarkan senarai nama yang ada dan bantahan yang dibuat umumnya tidak akan dilayan. Pangkalan data lengkap telahpun diwujudkan bagi semua pengundi di UPU telahpun ada, dan sistem SISPRO yang diguna telahpun memadai untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki; namun tidak semua daftar isi rumah dapat diperolehi, terutama kawasan bandar dan pengundi yang bertukar alamat. SA: Saya mungkin tidak boleh menjawab dengan tepat soalan tersebut kerana PAS mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab kepadanya iaitu Jawatankuasa Pilihanraya PAS Pusat, tetapi secara umumnya, parti telah mengambil satu sikap yang serius di mana setiap kali kita bermesyuarat pusat mahupun politik, dan mesyuarat di perhubungan negeri, saya rasa inilah menjadi keutamaan perbincangan, apatah lagi kita tengah menghadapi isu daftar pemilihan ini. Saya juga berasa yakin kerana di bawah Pakatan Rakyat sendiri pun sudah ada satu sekretariat yang bergerak ke arah itu dan turun padang, dan saya juga difahamkan usaha yang dilakukan oleh JPPP juga telah mengambil inisiatif turun padang di negeri-negeri supaya daftar pengundi-pengundi muda ini dapat dimaksimakan. MO: Gerakan ini sedang dilakukan secara berterusan dan dipantau oleh JPPP (Jawatankuasa Pilihanraya PAS Pusat) dan negeri di kawasan DUN masing-masing. Pengkalan-pengkalan data ini memang wujud di setiap tempat masing-masing, cuma apa yang perlu dililihat secara lebih menyeluruh hari ini ialah JPPP harus mengumpulkan semua maklumat mengenai pendaftaran pemilih yang dibuat oleh semua peringkat parti ini untuk mengkaji apakah strategi masa depan yang diperlukan dalam tempoh empat bulan daripada sekarang. Mengapa empat bulan? Kerana saya percaya, jikalau pilihanraya berlaku selepas bulan April, ada kemungkinan pendaftaran pemilih suku pertama 2011 masih boleh digunakan untuk pilihanraya umum ke 13. Jadi, pengkalan pengumpulan semua data yang telah didaftarkan mengikut setiap tempat dan juga unjuran yang diperlukan untuk kemenangan yang baik untuk PRU-13 perlu dibuat dan dipantau secara lebih menyeluruh di peringkat pusat. Untuk gerakan ini, semua peringkat parti mesti ‘all-out’ dalam melakukan daftar pemilih khususnya bagi suku terakhir 2010, iaitu sekarang, dalam tempoh sebulan ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib telahpun memberikan signal kuat bahawa PRU-13 semakin dekat dengan penangguhan pemilihan parti UMNO selama 18 bulan. Yang keduanya ialah, semua gerakan parti khususnya di peringkat jawatankuasa jentera pilihanraya ini perlu membuat pemantauan tentang gerakan pemindahan pengundi yang dibuat oleh BN ke kawasan-kawasan yang menjadi target dan sasaran tawanan mereka dalam PRU-13. Kita telahpun dapat mengenalpasti setakat ini bagaimana pemindahan pengundi-pengundi Melayu daripada kawasan-kawasan yang tidak ditandingi oleh UMNO di Pulau Pinang, khususnya di kawasan-kawasan yang dimenangi DAP sedang dibuat pemindahan ke negeri Kedah. Jadi, kita kena membuat persiapan untuk menghadapi strategi UMNO pada tahun 2004 yang menyebabkan kejatuhan Terengganu di bawah PAS. Soalan 2:
Walaupun pilihanraya umum sudah hampir, pengenalan calon-calon yang bakal bertanding di setiap kawasan parlimen dan DUN belum berlaku.
Calon mesti diuji untuk kerja-kerja parti jauh sebelum pilihanraya dan mengutip input kehendak rakyat sesuatu kawasan bagi memastikan perkara yang akan terkandung dalam manifesto musim pilihanraya adalah suara rakyat.
Penduduk di kawasan pedalaman sukar faham manifesto peringkat nasional tentang keburukan pemimpin BN dan kaitan dengan mereka tetapi faham jika kita bekerja untuk membina jambatan,jalan tar dan sebagainya.
Bagaimana PAS sedang menyiapkan diri ke arah itu?
TITM: Isu calon untuk diketengahkan lebih awal adalah isu lama yang sentiasa dibincangkan. Ada pelbagai pandangan pro dan kontra nya. Ada pihak menganggap calon adalah strategi dalam pilihanraya, dengan anggapan musuh akan menyusun pelbagai bentuk serangan ke atas peribadi calon, seandainya calon diketahui lebih awal. Saya setuju agar bakal bakal calon dapat diturunkan dalam masyarakat lebih awal, duduk dan bergaul dengan masyarakat, bahkan inilah yang sepatutnya dimainkan. Namun untuk war-warkan ‘bakal’ calon adalah sesuatu yang sangat sensitive, kerana ia akan mengundang pelbagai kemungkinan, seperti bantahan beberapa ahli, digugurkan, ditolak oleh kepimpinan parti dan sebagainya. Akan tetapi, saya lebih suka agar pimpinan parti melaksanakan tanggungjawab peribadi untuk mendekatkan dirinya sebagai pendakwah untuk membantu dan bergelumang dalam masyarakat; bukan calon ‘payung terjun’ yang hanya turun di musim pilihanraya. SA: Secara umumnya, apabila berlangsungnya persiapan menghadapi pilihanraya ini, memang isu pemilihan calon ini akan menjadi satu isu yang menarik, hangat dan kadang-kadang sensitif. Itu biasalah dalam mana-mana parti politik. Bagi tradisi PAS ini, memang PAS sentiasa menampilkan muka-muka baru, maksudnya penampilan calon-calon muda yang juga dikombinasikan dengan bijak dengan calon-calon dari golongan veteran parti. Jadi, PAS sentiasa mengemukan barisan calon yang baru dan berwibawa yang terdiri daripada golongan muda, golongan muka baru dan juga tokoh-tokoh veteran parti. Saya yakin dengan PRU-13 yang bakal menjelang ini, secara langsung dan tidak langsung, bakal-bakal calon telah pun mula memainkan peranan mereka dan ini memang menjadi perkara yang dibincangkan khususnya di peringkat kawasan-kawasan. MO: Bagi saya, yang penting sekarang, kepada semua ahli parlimen dan Adun yang sudahpun pernah memenangi pilihanraya, mereka harus lebih berinovasi dalam memberikan penampilan kepada masyarakat dan rakyat dalam kawasan yang mereka tandingi. Mereka tidak boleh lagi merasa complacent atau rasa selesa dengan kedudukan mereka yang memenangi pilihanraya 2008 yang lalu. Walaupun kita belum mengenal pasti secara spesifiknya mengenai bakal-bakal calon yang akan bertanding, tetapi di dalam kawasan-kawasan yang kita tidak mempunyai wakil rakyat, kepimpinan parti di peringkat kawasan itu melalui proses gerakan parti perlu diperhebatkan dari semasa ke semasa untuk menampilkan individu-individu kepimpinan parti PAS di kawasan itu untuk mendampingi rakyat di kawasan tersebut. Memang kita sudahpun sedang mengenal pasti calon-calon yang sesuai untuk bertanding di PRU-13 walaupun masih di peringkat awal. Bagi saya, adalah lebih penting untuk gerakan parti dirancang dengan lebih meluas, merentasi kelompok sendiri – kita tak boleh hanya adakan program untuk kelompok kita sendiri – ia mesti merentasi semua segmen masyarakat. PAS juga harus membuat penilaian prestasi kepada calon mereka yang telah menang dalam PRU-12 untuk diletakkan semula dalam PRU-13.
Soalan 3:
Isu merokok sering timbul bila pemilihan calon dalam PRK/PRU. Sejauh manakah ini menjadi satu isu kepada parti dan jamaah kerana masih ada pimpinan PAS yang merokok?
TITM: Isu merokok adalah isu akhlak, ia menjadi kayu ukur asas bagi individu Muslim untuk beramal dengan nilai-nilai murni dalam ajaran Islam. Ia bukanlah masalah utama, dan lebih bersifat mendidik dalam isu pemilihan calon yang seringkali ia ditimbulkan. Al-hamdulillah, sudah ada perubahan semakin ketara dalam parti, khususnya pimpinan yang ada, kesemuanya hampir tidak ada yang merokok. Ini adalah kejayaan kita dalam usaha membina generasi pimpinan yang meninggalkan perkara yang tidak baik untuk diri dan persekitaran mereka.
SA: Sejak satu dekad kebelakangan ini, perkara ini sudah tidak menjadi satu isu. Mungkin tidaklah 100 peratus, tapi saya boleh memberikan keyakinan bahawa calon-calon PAS bebas daripada isu merokok ini. Akan tetapi, satu perkara yang perlu diingat ialah sensitiviti isu rokok ini kepada aktivis dan juga pekerja parti, jadi dalam hal ini, PAS dengan pelbagai golongan dalam parti yang mampu ‘handle’ perkara ini dengan cermat. Namun dalam isu calon, ia adalah jelas.
MO: Isu ini bukanlah satu isu yang besar. Isu merokok hanya dari segi kesihatan, dan bagi seorang calon kita haruslah menampilkan contoh yang terbaik bukan sahaja sekadar merokok, tetapi juga sebagai satu tauladan yang baik – jangan tunjuk contoh mengamalkan sesuatu yang memudaratkan kesihatan dan kehidupan masyarakat. Yang pentingnya ialah PAS sangat memberikan prihatin yang tinggi untuk menampilkan calon yang terbaik untuk rakyat |
HATI JADI MATI JIKA 40 HARI TIDAK MENUNTUT ILMU ISLAM DAN 3 HARI HATI JADI SAKIT...KERANA IA MAKANAN HATI...HEBAH2KAN GAN KAWAN2 BLOG NI..TK KERANA SERING MELAYARI BLOG INI. رَبِّيْ اشْرَحْ لِيْ صَدْرِيْ وَيَسِّرْ لِيْ أَمْرِيْ Tuhanku (Allah) lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah urusanku.. amin...سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلٰهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُلاحول ولا قوّة إلاّ باللّه العظيم.... وَالـــــسَّلاَمُ عَلَيْكُـــمْ وَرَحْمَـــة ُاللهِ وَبَرَكَاتُـــهُ
Sabtu, 4 Disember 2010
PILIHANRAYA SEPATUT SEMUA PIHAK BERSEDIA SENTIASA TIADA MUSIM..BARU JAGA RAKYAT DAN TAK AMBIK HAQ RAKYAT
Persiapan hadapi pilihan raya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan