Rabu, 15 Disember 2010

BIASA ORANG SUKA NAK MENANG SAJA....NI TANDA2 MUNAFIK

Jangan Melampau Jika Bertelingkah, Itu Dibenci Allah

Apabila saya membaca ucapan Rasulullah s.a.w: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim), saya merenung panjang ke dalam kehidupan ini.

Cuba memuhasabah diri sendiri dan melihat kepada perjalanan masyarakat Islam. Dalam hadis ini Nabi s.a.w memberitahu kita bahawa Allah teramat benci manusia yang apabila berbalah, dia melampaui batas. Menolak apa yang benar hanya semata ingin menegakkan hujah yang dia sendiri tahu telah tersasar dari kebenaran. Berkeras kepala dengan hujah sendiri lalu berusaha menegakkan benang yang basah.


Allah amat benci orang yang seperti ini. Inilah juga tabiat munafik yang disifat oleh al-Quran: (maksudnya) “Dan di antara manusia ada mengkagumkan engkau tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu Muhammad).” (Surah al-Baqarah: 204).

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut ciri manusia munafik itu empat, salah satunya: “Apabila dia berbalah, dia jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maksudnya untuk menang dalam perbalahan seorang munafik tidak kira apa pun caranya. Dia sanggup menyelewengkan fakta, menipu hakikat, mengelirukan orang ramai, menghalalkan cara dan apa sahaja watak sekalipun jahat akan digunakan dalam memenangkan diri. Inilah seorang munafik. Inilah orang jahat. Inilah orang yang amat dibenci oleh Allah.

Kehidupan memerlukan keinsafan. Bukan semua perselisihan kemenangan mesti berpihak kepada kita. Kemenangan hakiki itu berpihak kepada yang benar. Kebenaran itu pula tertakluk kepada fakta yang benar. Sebab itulah, insan-insan agung seperti Abu Bakr dan Umar memberikan ucapan yang hampir sama menyebut: “Jika aku benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, betulkanlah aku”.

Membetulkan semestinya dengan alasan yang benar, bukan fitnah dan pembohongan. Namun apabila insan tidak insaf dia menolak kebenaran kerana ingin menjaga statusnya, sekalipun ternyata pendapatnya salah. Lalu kita dengar manusia bongkak berbicara: “awak siapa hendak pertikaikan pendapat saya, saya ini ustaz” atau “..saya ini tok guru” atau “..saya ini menteri”.

Lalu insan-insan bongkak seperti ini memejamkan mata dan memekakkan telinga dari mendengar pendapat atau alasan orang lain, hanya kerana keegoan. Inilah manusia yang berkeras kepada apabila berbalah. Kadang-kala bagi mereka yang berkedudukan ini, ada pula pengampu-pengampu yang mempertahankan pendapat atau tindakan mereka yang salah.

Dalam kehidupan kekeluargaan pun, sikap seperti ini ada. Suami atau isteri apabila berselisih, enggan tunduk kepada kebenaran. Berkeras kepala sehingga ada yang menyebut: “engkau sesen pun tidak berguna untuk aku”. Padahal sudah berapa banyak faedah kehidupan yang sudah dikecapi antara satu sama lain.

Demikian juga suami isteri yang sudah bercerai rumahtangga. Entah berapa tahun mereka sudah ‘tidur’ sekali, tiba-tiba apabila bercerai mereka bagaikan musuh yang berperang untuk mempertahankan agama. Segala-galanya ditafsirkan dengan penuh keburukan. Padahal bukan tidak ada hari-hari manis antara mereka. Kalau iye pun berbalah, janganlah sampai memutuskan nilai-nilai persaudaraan dalam agama.

Orang yang pandai bercakap antaranya peguam. Jika mereka ini tidak beretika, mereka akan menjadi manusia yang paling dibenci Allah. Ini kerana mereka akan melampau dalam perbalahan, sehingga yang mereka tahu salah pun akan dipertahankan kerana itu anak guam mereka. Jika demikian, maka insan lain akan dizalimi dengan sebab kepetahan atau penguasaan mereka dalam memusingkan hakikat undang-undang.

Proses penghakiman tentulah akan berdasarkan penghujahan. Bagi yang gagal mendapatkan peguam yang baik -sekalipun dia benar- maka dia menjadi mangsa. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Janganlah dalam keghairahan menghasilkan wang, seorang peguam muslim menjadikan kemampuannya dalam berhujah –sekalipun batil- untuk mempertahankan kebatilan. Saya kadang-kadang bergurau dengan rakan-rakan peguam: “Jika anda tidak beretika, rezeki anda dan rezeki seorang perompak tidak banyak bezanya di sisi Tuhan”.

Demikian juga dalam politik. Dalam mengejar kerusi, atau mempertahankannya, tidak lagi dipedulikan batasan halal dan haram. Perbalahan politik seakan berada di luar sempadan agama. Apa diharamkan oleh agama daripada perbuatan fitnah, maki-hamun, mencemarkan maruah orang lain dan berbagai lagi dilanggar begitu sahaja. Kata mereka: “ini politik”. Kerana kerusi, bukan sahaja yang berlainan parti, sesama parti pun berperang sakan.

Kegilaan merebut kerusi membuatkan banyak pihak hilang akal dan keras kepala. Lupa nilai-nilai persaudaraan Islam antara mereka. Barangkali kerana hal yang seperti inilah, seorang tokoh Turki, Said Nursi menyebut: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”. Saya pula berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik ala jahiliah”. Sebab, Nabi s.a.w juga berpolitik tetapi politik untuk kemaslahatan umat manusia, bukan kepentingan diri.

Malangnya kadang-kala yang ingin berpolitik atas nama agama pun tetap berperangai jahiliah. Sehingga saya begitu pelik apabila seorang penceramah politik yang berceramah tentang kewajipan melaksanakan hukuman zina yang diwajibkan oleh al-Quran iaitu sebanyak seratus sebatan. Lalu dalam masa yang sama dalam ceramahnya dia menuduh ’si pulan’ dan ’si pulan’ musuh-musuh politiknya melakukan zina. Dia lupa, atau sengaja buat-buat lupa, al-Quran bukan sahaja menyuruh agar dihukum seorang yang berzina, bahkan al-Quran juga menyuruh untuk dihukum penuduh orang lain melakukan zina tanpa empat orang saksi yang adil dengan lapan puluh sebatan seperti yang disebut dalam ayat 4 Surah al-Nur.

Itulah politik ala jahiliyyah, apabila berbalah mereka berlebih-lebihan. Sehingga soal rumah tangga orang, rupa paras dan berbagai lagi yang pada asal tidak diheret ke gelanggang politik, turut dibelasah sama. Fitnah, surat layang, penyalahgunaan harta kerajaan, caci maki dan segala keburukan yang lain seakan perang antara agama. Dalam Islam, jika berperang kerana agama pun tidak dibenar melampaui batas seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya) “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas.

Lebih pelik lagi di kalangan golongan agama juga ada yang melampaui batas dalam perselisihan pendapat mengenai Islam. Sehingga ada yang sanggup mengkafirkan orang lain yang berbeza dengan aliran mereka seperti Khawarij dan Ahbash. Ada yang sanggup mengada-adakan hadis-hadis palsu demi mempertahankan pegangan mazhab seperti Syiah. Ada yang sanggup mengenepikan hadis-hadis hanya semata-mata kerana taksub kepada mazhab yang dipegang.

Tokoh ilmuwan besar Islam, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika menceritakan sikap golongan taksub secara ‘mengkhinzir buta’ sesuatu mazhab, menyebut: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut.

Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah sikap melampau dalam berbeza pendapat atau berbalah.

Di Lebanon lahirnya puak yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi yang bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy’ari, bermazhab syafi’i, serta bertarikat. Beliau telah membentuk satu mazhab yang begitu ekstrim sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang beliau anjurkan.

Beliau mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibn Qayyim, Dr Yusuf al-Qaradawi, Mutawalli Sya’rawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Muhammad bin Abdul Wahhab, Syed Qutb dan berbagai lagi. Juga mengkafirkan mijoriti umat Islam khususnya Arab Saudi. Berlaku huru-hara di Lebanon disebabkan sikap suka berbalah mazhab Ahbash ini sehingga mereka dikaitkan dengan pembunuhan bekas Presiden Rafiq Hariri.

Di Australia, tiga puluh enam persatuan Islam membantah sikap ekstrim mereka yang menimbulkan perbalahan di kalangan umat Islam di sana. Asas golongan Ahbash ini adalah berbalah berhubung dengan ayat-ayat sifat Allah dan berbalah sesiapa yang enggan terikat dengan satu mazhab dan berbagai kekarutan yang lain. Para ulama di peringkat antarabangsa telah menyenaraikan mereka ini dalam ajaran sesat. Itulah yang diputuskan oleh Mufti Mesir, Arab Saudi, Australis, Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr Ahmad Shalabi dan lain-lain.

Malangnya, mereka mula bergerak dan menyebarkan fahaman mereka di negara kita melalui bekas-bekas penuntut kita di sana dan buku-buku yang diedarkan. Apa yang ingin saya sebutkan, dalam keghairahan sesetengah pihak di negara kita menentang kebangkitan pemikiran pembaharuan ke arah Islam yang lebih terbuka, rasional dan dinamik, mereka menggunakan puak Ahbash ini untuk berceramah ke sana sini.

Jika di negara arab mereka mengkafirkan Dr. Yusuf al-Qaradawi dan tokoh-tokoh ulama yang lain, di Malaysia anak-anak buah Ahbash ini mengkafirkan insan biasa seperti saya dan sesiapa yang mereka pilih. Fitnah seperti biasa menjadi teras utama mereka. Atas alasan terlalu terbuka dalam menerima keluasan pandangan, lalu saya pun dikafirkan. Saya katakan kepada ustaz-ustaz ini, negara ini adalah negara yang aman. Pendekatan apabila berbalah mengkafirkan orang adalah melampaui batas yang akhirnya akan membawa kepada kekacauan dan keadaan yang menakutkan.

Tidak lama dahulu, kerana perbalahan politik kafir-mengkafir berlaku dalam negara kita. Pulau memulau antara sesama Islam, solat dua imam, memutuskan silaturahim antara keluarga, mengharamkan sembelihan dan ucapan-ucapan yang seakan menghalal darah sesama kita. Hanya disebabkan perbezaan parti yang ditubuhkan oleh kita sendiri.

Akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang awam. Mereka tidak tahu menilai, lalu mereka bertindak dengan tindakan yang disangkakan arahan Allah dan RasulNya, padahal ia hanya kempen politik. Kafir itupun hanya ‘kafir politik’ bukan ‘kafir hakiki’. Menjatuhkan hukuman kafir kepada sesuatu individu bukan semudah mengupas kacang tanah. Ada kaedah dan prinsipnya.

Perbuatan mengkafir sesama muslim secara ‘borong’ adalah suatu kejahatan atas nama agama. Walaupun keadaan itu sudah hampir reda, namun kesannya masih ada. Bukan sedikit baki penceramah yang meneruskan ucapan yang sama. Cumanya masyarakat kita mulai berpendidikan dan sedar bahawa perbalahan politik tidak sepatutnya sampai ke kancah kafir mengkafir. Bukan saya menafikan seseorang muslim mungkin murtad atau terbatal shahadahnya jika melakukan perkara-perkara tertentu. Namun hukuman hendakhlah berdasarkan peraturan syarak. Menghukum manusia lain secara melampaui batas atas sentimen perbalahan adalah perbuatan terkutuk yang dibenci Allah.

Dalam sejarah, kafir-mengkafir secara rambang ini selalunya berakhir dengan penumpahan darah atau perpecahan yang meruncing. Itulah yang berlaku pada pemerintah Saidina ‘Uthman bin ‘Affan r.a. sehingga beliau dibunuh atas fitnah pemberontak politik yang menggunakan isu agama, yang akhirnya membentuk mazhab Syiah. Diikuti dengan kemunculan puak Khawarij yang mengkafir sesiapa yang melakukan dosa khusus pemimpin politik seperti ‘Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, ‘Amr bin al-’As r.ahum.

Khawarij mengangkat slogan: “Tidak ada hukum melainkan hukum Allah”. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan tujuan yang buruk. Kata Saidina Saidina ‘Ali bin Abi Talib kepada mereka: “Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil”. (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Manusia hidup berkomunikasi antara satu sama lain. Kadang-kala kita berbalah dan bertelingkah. Namun jangan melampau. Sesiapa yang melampau dia layak diambil tindakan, bahkan diperangi. Firman Allah: 9. “Dan jika dua puak dari kalangan yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangiah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: 9-10)

Tiada ulasan: