Rabu, 30 November 2011

TERPULANG AHLI POLITIK TU SENDIRI..NAK JADI AHLI POLITIK YANG BERMARUAH ATAU TIDAK...

Integriti hangus, tekan Shahrizat hingga letak jawatan
Tarmizi Mohd Jam

SUDAH tiba masanya, Ketua Wanita Umno Malaysia mesti meletakan jawatan. Isu penyelewengan dana awam yang melibatkan syarikat anak-beranaknya, kian sukar ditepis. Integriti Umno cedera teruk akibat "pecah amanah" dalam syarikat lembu.

Selain Pakatan Rakyat dan Timbalan Pengerusi BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan BN) Dato' Bung Mohtar Radin, tekanan NGO dilihat makin mara untuk menghentak Dato' Seri Shahrizat Jalil ke dinding.

Kongres Melayu Pulau Pinang mencabar Shahrizat melepas jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikutan dakwaan penyelewengan dalam projek ternakan lembu, National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki, suaminya, Dr Mohamad Salleh Ismail.

Kepercayaan rakyat terhadap Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno telah hilang akibat dakwaan tersebut dan beliau kini tiada pilihan lain selain berhenti dan undur, jika merasakan dirinya ada maruah lagi.

PAS pula mahu semua menteri kabinet yang meluluskan projek Pusat Fidlot Kebangsaan sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM250 juta meletakkan jawatan.

Skandal ini membabitkan penyelewengan dana awam, kes yang teruk dan menghaguskan integriti pentadbiran negara.

Semua menteri yang terbabit, mesti letak jawatan. Malangnya, Shahrizat dipertahankan oleh Perdana Menteri, Timbalannya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pertanian, Noh Omar.

Muhyiddin sebagai menteri yang bertanggungjawab sepatutnya bukan mempertahankan Shahrizat sebaliknya mengambil tindakan ke atas kegagalan beberapa pihak yang menyalahgunakan dana awam tersebut.

Adakan ini bermakna mereka setuju dana awam diselewengkan?

Bung ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 menyelar Shahrizat kerana penglibatannya bersama keluarga dalam isu itu menyebabkan seluruh Umno menjadi susah.

Pendirian Ahli Parlimen Kinabatangan itu cukup jelas, "macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab".

Beliau menyindir Shahrizat, jika dia berada pada kedudukan itu, pasti akan melatakkan jawatan kerana terbukti ianya menyusahkan Umno.

"Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti kepada Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil," katanya.

Rakyat sepatutnya berhelah tegas dengan pelbagai cara untuk mengasak Shahrizat agar meletakan semua jawatannya. Isu ini bakal memberi kesan buruk terhadap integriti Umno-BN.

Skandal ini boleh disifatkan sebagai satu lagi episod malang melanda negara, dan Perdana Menteri sepatutnya menyatakan pendirian dan mengambil tindakan tegas terhadap Shahrizat.

Perkara berbangkit di sini yang menjadi 'crux of the case' tentang kewujudan yang nyata ke atas pembelian kondominium bertempat di One Menerung, Bangsar yang dikatakan pembelian hartanah berkenaan adalah bagi mendapatkan pulangan pelaburan memandangkan projek lembu Feedlot oleh NFC mengalami kelewatan operasi.

Perlu diingat modus operandi syarikat NFC untuk mendapatkan pinjaman modal berkenaan adalah bagi tujuan industri penternakan dan bukannya pelaburan hartanah.

Secara tidak langsung telah wujud situasi penyelewengan dan pecah amanah yang melampaui keraguan munasabah.

Walau apapun spekulasi yang timbul Shahrizat tidak boleh menafikan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan NFC. Begitu juga soal pinjaman modal oleh pihak kerajaan dan pembelian kondominium mewah berkenaan.

Langkah Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pelbagai urusniaga melibatkan NFC dan Projek Fidlot Kebangsaan, patut dipuji walaupun diragui.

Isu paling pokok adalah persoalan pertanggungjawaban awal yang bermula dari Kabinet dan menteri-menteri kanan Umno-BN yang terlibat menganugerahkan projek bernilai RM250 juta ini kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman langsung.

Dana awam berjumlah RM250 juta pun disalurkan tanpa ada sebarang jadual pembayaran seperti mana kebiasaannya.

Di mana Najib? Lebih-lebih lagi apabila Noh Omar mengejutkan negara dengan mengesahkan kelulusan projek ini tidak dibawa ke peringkat kabinet.

Sebaliknya, projek berjumlah RM250 juta ini khabarnya diluluskan oleh sebuah jawatankuasa bukan kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri ketika itu.

Isunya, apakah yang merunsingkan Najib untuk mengambil tindakan terhadap Shahrizat? Sedangkan jelas, penyelewengan dana awam berlaku dan Ketua Wanita Umnonya terbabit.


'Politik meracau' Umno bakal jatuhkan Najib | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Kenyataan terbaru Ketua Penerangan Umno bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah memperlihatkan sikap sebenar 'perkauman melampau' parti itu.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata kenyataan Datuk Ahmad Mazlan itu juga menggambarkan Umno kini berada dalam keadaan 'meracau' dan diambang kehilangan kuasa.

"Kenyataan itu menggambarkan psikologi Umno yang berada dalam ketakutan ekoran diambang kehilangan kuasa.

"Mereka (Umno) masih belum jumpa strategi jelas, maka mereka meneruskan strategi lama dengan mencetuskan rasa takut (politic of fear) di kalangan rakyat dengan isu kuasa orang Melayu, agama dan sultan" katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kenyataan pagi tadi, Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahmad berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud “Parlimen tergantung” seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

“Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan.

“Kata selamat tinggal kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian... dalam bercakap mengenai agenda Melayu, kita tidak boleh lari daripada ini,” kata Ahmad pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly juga menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk membawa transformasi politiknya kepada pemimpin Umno lain termasuk Ahmad.

Najib juga ujarnya masih tindak menentu dalam mencari strategi dan pendekatan untuk mempertahankan kuasanya.

"Mungkin juga ketua penerangan Umno ini mewakili suara majoriti ahli Umno dan suara Najib (yang mahu transformasi) hanya minoriti.

"Ini juga bukti 'banyak kepala' dalam Umno yang semakin bersimpang-siur dan bercelaru. Umno tetap Umno yakni parti berteraskan perjuangan perkauman Melayu sempit, Melayu Umno, masih ramai Melayu yang terpinggir, jurang miskin-kaya paling lebar dalam etnik Melayu di negara ini" kata Dr. Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu juga, beliau menjangkakan perhimpunan agung Umno yang akan dirasmikan malam ini menjadi medan anggota parti itu membangkitkan isu perkauman.

Ianya memandangkan parti itu kini berada dalam keadaan terdesak selepas hilang sokongan bukan Melayu sejak tsunami politik 2008 lalu.


Malaysia makin mundur dalam amalan demokrasi | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kesal dengan kegagalan Kerajaan Umno BN menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat majmuk di negara ini mengenai konsep keadilan dalam Islam.

Abdul Hadi sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman sebelum ia diluluskan petang tadi berkata, kerajaan di negara Barat sendiri melakukan pembaharuan dalam demokrasi selepas merujuk kitab feqah dalam Islam.

Sebaliknya beliau berkata, Malaysia yang mendakwa sebuah negara Islam semakin mundur dalam amalan demokrasi.

"Di negara barat perubahan demokrasi purba ke demokrasi moden dilakukan daripada kajian orientalis daripada kitab-kitab feqah Islam.

"Mengapa kita yang menganut Islam yang memimpin kerajaan, dan Umno sebagai tulang belakang (kerajaan) tak boleh tunjukkan contoh yang baik dalam masyarakat majmuk," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurut Abdul Hadi, kerajaan meninggalkan konsep "mendengar sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap rakyat" seperti yang diajar dalam Islam, menyebabkan kerajaan sesuka hari meminda undang-undang yang mencengkam kebebasan rakyat.

"Dalam Islam ada budaya memberontak iaitu mengangkat senjata menentang kerajaan, itupun ditangani dengan baik dalam Islam.

"Mengikut Islam, kerajaan akan dengar aduan mereka. Kalau aduan mereka benar, kerajaan yang salah, kerajaan wajib ikut. Sekiranya aduan mereka salah, mereka degil, barulah kerajaan boleh bertindak. Konsep ini kita tinggalkan khususnya dalam negara aman.

"Saya harap kerajaan jangan salah guna kuasa majoriti yang ada pada mereka tetapi mestilah lebih berhemah dalam meminda sebarang undang-undang," katanya.

Tambahnya, RUU Perhimpunan Aman menujukkan kerajaan bertindak sebelum terjadinya perhimpunan aman sedangkan rakyat berhak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dalam sesuatu isu melibatkan kerajaan.

"Rang undang-undang ini terdapat kemungkinan sebelum apa-apa tunjuk perasaan sudah bertindak. Belum melihat sudah bertindak, tak diberi kebenaran.

"Setelah ada tunjuk perasaan boleh berlaku provokasi. Provokasi bukan daripada penunjuk perasaan tapi dari pihak lain. Maka berlakulah tindakan kerajaa yang zalim," katanya sambil menyifatkan RUU itu jauh terkebelakang dalam sistem demokrasi.

Sementara itu, RUU tersebut berjaya diluluskan dengan undi suara selepas dibahaskan kira-kira empat jam oleh enam wakil BN dan Pakatan.


Kenyataan rasis bukti Ahmad berfikiran sempit | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan rasis dan dangkal Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan terhadap Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan Rakyat diberikan kemenangan kerusi yang lebih oleh rakyat pada Pilihanraya Umum yang akan datang.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, Ahmad mengancam orang Melayu dengan mengatakan Parlimen Malaysia akan ‘tergantung’ seperti Parlimen Australia kerana Barisan Nasional tidak dapat melaksanakan polisi negara kerana hanya mendapat majoriti mudah sahaja.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam kenyataan dan sangkaan buruk Datuk Ahmad Maslan terhadap kerjasama yang terjalin utuh oleh parti-parti di dalam Pakatan Rakyat dan sokongan bukan Islam kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemuda PAS Selangor merasa cukup kesal kerana Umno masih berterusan memainkan sentimen agama dan perkauman hanya untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada mereka.

“Sepatutnya Umno mengambil kesempatan sempena Perhimpunan Agung Umno kali ini untuk melakarkan kaedah baru untuk menarik sokongan pengundi Melayu dengan tidak menjaja lagi politik perkauman dan perpecahan,” ujarnya.

Beliau menambah, sememangnya Umno kini semakin dihimpit kegelisahan dan kegusaran disebabkan kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan terhadap negara dan rakyat sehingga menyebabkan rakyat kini semakin berani untuk bangkit melakukan perubahan.

Menurutnya, rakyat semakin muak dan mual dengan agenda politik perkauman dan perpecahan yang didendangkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Kata beliau, pihaknya merasakan orang Melayu tidak perlu gusar terhadap kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menggantikan Umno dan Barisan Nasional kerana PAS dan Pakatan Rakyat telah bersetuju sebulat suara untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seadanya.

Selain itu, ujarnya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempunyai komitmen yang lebih tinggi untuk memperjuangkan agenda rakyat dan memperbaiki kehidupan rakyat berbanding perjuangan Umno BN.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS Selangor mengharapkan semoga pihak Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan ke atas kenyataan Datuk Ahmad Maslan di dalam http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-dakwa-melayu-akan-hilang-semua-kuasa-jika-parlimen-gantung/ kerana cukup berbahaya dan boleh menanamkan bibit-bibit kebencian serta prejudis terhadap Pakatan Rakyat serta ketegangan hubungan antara kaum dan agama di dalam negara ini.

Tiada ulasan: