Khamis, 10 November 2011

BILA SATU....SATU KES2 SONGLAP...KES KEBAS...KES BELIT...KES TIPU...SEMUA KES BURUK TERBONGKAR....PE NAK JAWAB DAN MANA NAK LETAK MUKA...AKHIRAT LAGI

Keluarga Shahrizat beli kondo mewah RM9.8 juta? | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Nov: PKR hari ini mendakwa National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil membeli sebuah kondominium mewah di One Menerung, Bangsar bernilai hampir RM9.8 juta.

Selepas beberapa hari membuat pendedahan mengenai penyelewengan dana rakyat di NFC, PKR hari ini terus tampil dengan bukti 4 pindahan wang yang dibuat NFC dari akaun semasanya di Bank CIMB cawangan Taman TUn Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad pada 2 Disember 2009.

Pindahan wang itu sebagai bayaran penuh pembelian kondominium tersebut.

Pindahan wang yang pertama berjumlah RM699,870, keli kedua berjumlah RM694,150, seterusnya RM4, 199,220 dan yang terakhir berjumlah RM4,164,900 menjadikan jumlah keseluruhan pindahan sebanyak RM9,758,140.

Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahan ini sekaligus membuktikan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa wang yang disalurkan oleh kerajaan kepada NFC diletakkan dalam akaun amanah khas adalah tidak benar.

"Dakwaan menteri dan Ketua Pemuda Umno bahawa setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat juga tidak benar.

"Kalau betul pantauan ketat ini berjalan, sudah tentu wang sejumlah RM9.8 juta tidak boleh dipindahkan begitu sahaja untuk membeli kondominium mewah yang tiada kena mengena dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu.

"Siapa yang nak duduk, takkanlah lembu nak duduk di kondo?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu juga memberitahu, RM9.8 juta itu direkodkan sebagai hutang National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC.

Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM83 juta yang dihutangi NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009.

"Ini jelas satu bentuk pecah amanah dan penyelewengan wang rakyat RM250 juta yang diberikan sebagai pinjaman kepada NFC," katanya.

Lapor SPRM

Sehubungan itu, PKR pagi tadi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan segera dibuat terhadap dakwaan itu.

Selain Sharizat, Noh Omar dan Khairy, mereka mahu Perdana Mneteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin disiasat kerana didakwa terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam isu ini.

Selain itu, PKR turut menyeru Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bersidang segera untuk menyiasat perkara ini.


Belanjawan: Pemuda PAS cabar Satim berdebat | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 10 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang telah membentangkan Belanjawan 2012 dengan tema ‘Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat’ yang cukup prihatin dan peka dengan keperluan semasa rakyat.

“Dengan Belanjawan sebanyak RM1.6 billion, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berazam meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) selain merintis perlaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada kakitangan syarikat milik Kerajaan negeri mulai tahun hadapan dan RM3 juta untuk program elaun ke nurseri,” kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan hasil kebijaksanaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memerintah sejak 3 tahun lalu, rakyat telah melihat bagaimana hasil mahsul negeri telah dapat “diurus” dengan baik oleh pimpinan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan berlaku pertambahan kewangan negeri Selangor dan kini dipulangkan semula kepada rakyat Selangor melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menyelar kenyataan merapu Datuk Satim Diman yang menyatakan seolah-olah Belanjawan 2012 Negeri Selangor meniru Belanjawan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

“Sedangkan Belanjawan Kerajaan Pusat secara ‘halusnya’ telah meniru Belanjawan Pakatan Rakyat di peringkat pusat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, mungkin Ketua Pembangkang Selangor sudah semakin ‘kelabu’ dengan sistem urus tadbir yang cukup baik dan efisien Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga tidak dapat mencari sudut mana untuk ‘diserang’ lagi oleh Umno BN.

Selain itu, ujarnya kenyataan Satim terhadap peruntukan RM5 juta untuk program pengukuhan demokrasi sebagai membazir juga amat dikesali.

Tambahnya, rakyat secara umumnya telah mengetahui demokrasi di dalam negara ini sudah semakin tempang dan akan semakin terhakis sekiranya Umno BN terus diberikan kuasa untuk memerintah negara ini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dengan ini mencabar Datuk Satim Deman sebagai Ketua Pembangkang Selangor untuk berdebat dan memberikan hujah beliau terhadap kelemahan Belanjawan 2012 Negeri Selangor dan proses pendemokrasian dalam negara ini,” katanya.


PAS Sabah sedia bawa suara rakyat pelbagai kaum | Print |
Mohd Firdaus

KOTA KINABALU, 10 Nov: Keunikan negeri Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan suku merupakan satu anugerah yang tidak ternilai.

Faktor georafi dan demografi yang timbul tidak sama sekali mematahkan semangat Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) untuk bergiat cergas dan aktif di tengah-tengah lautan manusia.

Ketua penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan (gambar) berkata, PAS sudah mula dikenali oleh semua lapisan masyarakat Sabah tanpa mengira kaum dan keturunan.

“PAS sudah mula diminati oleh golongan remaja dan anak muda. Masuklah ke kampung-kampung sejauh pedalaman di Keningau, PAS sudah mula dibicarakan di bibir rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, pendedahan isu penjualan pulau Sabah yang didedahkan oleh PAS baru-baru ini telah mula membuka mata masyarakat Sabah yang sudah mula sedar peranan PAS yang dibawa hanyalah untuk kemudahan dan kemajuan rakyat.

PAS Sabah terutama katanya, bukan lagi hanya berkisar di pepenjuru masjid dan surau serta disebalik dinding-dinding konkrit malah sudah menjangkaui masa dan setiap sudut pepenjuru di jajahan negeri Sabah.

“Kita tidak sekadar mampu nak kendali program-program keagamaan sahaja. PAS sudah tembusi masjid dan surau, PAS juga telah berjaya menguasai setiap sempadan negeri Sabah,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat Pemuda PAS Sabah.

Ketika ditanya mengenai kemampuan untuk menjadi teras dan keutamaan suara rakyat, beliau menjawab bahawa PAS Sabah sudah bersedia untuk mewakili golongan sasar seperti golongan belia dan anak muda juga termasuk dengan mana-mana kaum sebagai generasi pelapis bagi mengetengahkan isu dan rintihan mereka.

“PAS Sabah akan menjadi dominan dan penyebar rintihan mereka. Sudah lama mereka ini disisihkan oleh pembangunan Barisan Nasional tanpa kerelaan mereka.

“Kita mampu membawa suara rakyat ke persada politik. PAS bukan politik semata, kerana lahirnya PAS adalah mewakili suara dakwah dan tarbiyah,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapatnya unsur fitnah yang dibawa golongan tertentu yang berasa terancam setelah melihat kemajuan perjuangan PAS di bumi Sabah.

“Saya memperingatkan bahawa masyarakat Sabah supaya jangan mudah untuk mempercayai berita-berita negatif terhadap PAS di sini. Itu mereka yang merasakan dirinya sudah terancam kuasanya apabila berhadapan dengan PAS,” katanya.


Veteran PAS Raub maut kemalangan

Khairil Abdul Rahim

RAUB, 10 Nov: Aktivis veteran PAS Raub, Wak Korman Markom, 78, dari Cawangan Pamah Kulat, kembali ke rahmatullah pagi ini setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Raub, Baharuddin Amiruddin, allahyarham meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori balak yang berhenti di Batu 3, dekat sini kira-kira jam 6.45 pagi.

“Saya difahamkan beliau dari kampungnya Pamah Kulat untuk ke bandar bagi mendapatkan tiket bas ekspres pukul 7 pagi ini untuk ke Kuala Lumpur.

“Sampai di Batu 3 iaitu berhampiran kawasan kilang papan, motorsikal allahyarham terlanggar lori balak yang berhenti di tepi jalan,” katanya yang menghubungi Harakahdaily.

Tambah Baharuddin, Allahyarham Wak Korman meninggal serta merta di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Raub.

Katanya lagi, Wak Korman yang mewakafkan tanahnya untuk pembinaan Kompleks PAS Raub di Kampung Tanah Bercangkul di sini, meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Ulu Dong tengah hari ini.


Isunya RM250 juta untuk syarikat keluarga Shahrizat | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin kecewa dengan tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mencampuradukkan isu wang negara dengan peribadi.

Membidas kenyataan Shahrizat semalam bahawa Wanita PKR sengaja mahu memburukkan Wanita Umno dengan mendedahkan penyelewengan berhubung National Feedlot Corporation Sdn. Bhd (NFC). Zuraida mengingatkan Shahrizat agar tidak lari daripada isu sebenar.

Menurut Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, isu yang harus diberi perhatian adalah soal pertanggungjawaban wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada syarikat milik keluarga Shahrizat walaupun prestasinya tidak menepati sasaran.

Ini, katanya membabitkan nasib ribuan petani dan penternak yang lebih memerlukan bantuan dana oleh kerajaan berbanding syarikat keluarga Shahrizat dan skandal NFC menyentuh tata kelola kewangan negara yang lemah sehingga wang rakyat dibelanjakan sesuka hati.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat dan seorang pemimpin wanita untuk membawa isu ini supaya sebarang penyelewengan dapat dihentikan segera.

"Saya langsung tidak mempunyai motif peribadi, saya hanya melaksanakan amanah yang dipikul," kata beliau dalam satu kenyataan.

Justeru Zuraida menasihatkan Sharizat agar memikul amanah beliau dengan sebaik mungkin dan menjawab segala pendedahan mengenai NFC tanpa melibatkan soal peribadi.

"Pendedahan-pendedahan ini masih belum dijawab dengan baik oleh mana-mana pimpinan Barisan Nasional," katanya.

Shahrizat dilaporkan semalam sebagai berkata, keluarga beliau tidak sepatutnya dituduh menyeleweng wang rakyat sebaliknya keluarga beliau mendapat projek tersebut hasil kerja keras mereka.


Selangor dahului Pusat laksana gaji minimum | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong usaha kerajaan Selangor dalam melaksanakan gaji minimum dengan menetapkan RM1,500 sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri mulai tahun depan.

“DPPWP menganggap langkah kerajaan Selangor sebagai langkah kehadapan bagi mendahului kerajaan Persekutuan yang dianggap lembap dalam membuat keputusan berhubung penetapan gaji minimum,” kata Timbalan ketuanya, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Katanya, dalam keadaan pelbagai desakan oleh banyak pihak, kerajaan persekutuan sehingga sekarang masih belum menetapkan gaji minimum.

Sebaliknya, ujar beliau kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat membuktikan mereka walk the talk dengan melaksanakan apa yang mereka perjuangkan selama ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan gaji minimum itu ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2012, semalam.

“Usaha ini selari dengan kehendak rakyat yang mahukan gaji minimum ditetapkan pada suatu kadar yang munasabah,” ujar Suhaimi lagi.

Menurutnya, rakyat dihimpit dengan kesempitan hidup ekoran kenaikan harga barang serta kos hidup yang serba meningkat, lantaran itu penetapan gaji minimum amat wajar dilaksanakan.

Ini, katanya kerana masih ramai kakitangan bawahan mendapat gaji yang sangat rendah dan berada di bawah paras kemiskinan.

Menurutnya lagi, mereka tidak mampu menampung kehidupan serta keluarga mereka sehingga akhirnya terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menampung kehidupan.

“Usaha kerajaan Selangor menjadi bukti bahawa Pakatan Rakyat benar-benar memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa, keturunan ataupun ideologi politik mereka,” katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Pakatan Rakyat mencipta rekod bersih dalam pentadbiran serta sering mendahului kerajaan Persekutuan dalam memikirkan permasalahan rakyat.

Ujarnya, penetapan gaji minimum mampu melegakan kehidupan kakitangan awam atau swasta yang selama ini bergelut dengan masalah kemiskinan.

“DPPWP mengharapkan langkah kerajaan Selangor dapat dicontohi oleh kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat dengan penetapan gaji minimum buat kakitangan kerajaan negeri mahupun syarikat-syarikat milik kerajaan negeri,” ujarnya.

Bahkan, katanya DPPWP mengesyorkan juga kepada kerajaan negeri-negeri lain agar meneladani langkah kerajaan Selangor dalam menetapkan gaji minimum kakitangan di negeri masing-masing.


Lebuh Raya Tekih terbengkalai lebih 4 tahun | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 10 Nov: PAS amat kesal kerana pembinaan Lebuh Raya Durian Burung ke Baling (Tekih) di Kedah terus terbengkalai sehingga melebihi 4 tahun disebabkan kegagalan kontraktor-kontraktor terpilih melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Disebabkan kejadian itu, pihak Kerajaan BN bukan sahaja terpaksa menanggung bebanan kos yang semakin meningkat, tetapi terus gagal membantu rakyat mempertingkatkan perekonomian disebabkan ketiadaan rangkaian jalan raya yang baik.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib berkata, kejadian tersebut tidak akan berlaku jika pihak Kerajaan BN melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, terutama dalam pemilihan kontraktor terbabit.

Menurutnya, pada hal ketika kerja-kerja itu hendak dilaksanakan, pihak kerajaan telah mengatakan kedua-dua kontraktor terpilih itu adalah yang terbaik.

Katanya, sekiranya benar kontraktor-kontraktor terbabit adalah yang terbaik, kejadian tersebut tidak akan berlaku sehingga menyebabkan rakyat yang terpaksa menanggung akibatnya.

"Dari jawapan Timbalan Menteri Kerja Raya semalam dijelaskan bahawa pembinaan lebuh raya itu kini terbengkalai disebabkan 2 kontraktor projek tidak lagi meneruskan projek tersebut," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, semalam.

Selain itu, menurut beliau, daripada jawapan timbalan menteri itu dijelaskan bahawa bahagian yang belum siap bagi lebih raya itu adalah untuk peringkat C dan D iaitu yang menghubungkan Pedu merentasi Baling.

Katanya, menurut timbalan menteri itu juga, disebabkan kegagalan 2 kontraktor berkenaan, pihak JKR terpaksa memulakan tender baru untuk pemilihan kontraktor baru tahun hadapan.

"Dengan itu, pembinaan lebuh raya itu yang telah terbengkalai sehingga melebihi 4 tahun akan mengambil masa 18 bulan lagi untuk disiapkan sepenuhnya," katanya.

Timbalan menteri berkenaan menjelaskan demikian sebagai menjawab pertanyaan beliau bagi sessi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Taib yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata, kejadian tersebut jelas menunjukkan kegagalan pihak Kerajaan BN dalam membuat penilaian terhadap prestasi atau kelayakan kontraktor-kontraktor terpilih.

"Akibatnya, berlakulah pelbagai kerugian dan pembaziran disebabkan kos yang semakin meningkat ekoran kenaikan harga barangan," katanya.

Lebih dikesali, tambahnya, sehingga kini pihak kerajaan masih lagi gagal melunaskan sebahagian bayaran pampasan kepada pemilik-pemilik tanah yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya itu.

Beliau berharap agar kejadian seperti itu tidak berulang lagi setelah pembinaannya diteruskan tahun hadapan bagi membolehkan pelbagai pihak mendapat manfaatnya.

"Jika lebuh raya itu siap nanti, ia bukan sahaja akan mempertingkatkan ekonomi penduduk di kawasan itu, tetapi juga memudahkan perhubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

"Selain itu, ia turut berpotensi bagi perkembangan industri pelancongan kerana terdapat dua empangan yang cukup cantik di kawasan itu iaitu Empangan Pedu dan Empangan Gubir," jelasnya.


Kerakyatan: JPN jangan beri alasan data pendatang | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memperbaharui sistem pilihan raya (PSC) memberi notis kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberikan data lengkap warga asing yang diberikan hak kerakyatan dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, notis awal ini bagi membolehkan SPR membuat persediaan sebelum menghadiri mesyuarat keempat PSC esok.

"Hari ini kita beri notis kepada JPN untuk memberikan data lengkap jumlah warga asing yang didaftarkan sebagai warga negara dari tahun 2008 hingga 2011.

"JPN boleh bersedia dan jangan beri alasan bahawa maklumat tak boleh diberikan esok dan kita harap JPN dapat beri kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Rasah itu juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dipanggil ke mesyuarat jam 11.30 pagi esok bagi membicangkan mengenai prosedur undi pos dan pengundian awal yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, mereka akan mencadangkan kepada PSC agar pengundian pos dan pengundian awal diajalankan di tempat awam, bukan di kem askar atau di balai polis bagi memastikan SPR dapat berkuasa sepenuhnya sewaktu proses membuang undi berlangsung.

"Bagi setiap pilihan raya pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya memberikan kebenaran dan kelulusan sepatutnya SPR. Sebab itu kita dah lama minta SPR diberikan satu kuasa yang lebih supaya dapat melaksanakan pilihan raya dengan telus yang adil.

"Kalau ada pihak lain yang menguruskan pilihan raya, kita bimbang ia tidak telus," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Selain itu, Anthony berkata, mereka akan meminta PSC membuat ketetapan untuk menggesa SPR melaksanakan kaedah dakwat kekal.

Ini katanya bagi mengelakkan SPR memberikan alasan tidak cukup masa untk membeli dakwat kekal apabila ia dipersetujui untuk digunakan.

"Kita mahu SPR beri komitmen yang tegas. SPR kata perlu masa dua bulan untuk beli dakwat kekal. Kalau tak ada keputusan esok kita bimbang kalau kerajaan kata akan guna dakwat kekal SPR beri alasan tak sempat beli dakwat," katanya.

Kedua-dua empangan tersebut, tambahnya lagi, mempunyai tasik-tasik yang dipenuhi pemandangan yang cukup cantik, selain kawasan sekitarnya yang mempunyai hutan simpan hijau dan menyegarkan.

"Kesemua itu merupakan satu lagi bentuk pemandangan yang boleh membantu perkembangan industri pelancongan yang juga boleh dimanfaatkan oleh kepada penduduk di kawasan itu.

"Pendek kata, jika lebuh raya itu tidak terbengkalai, penduduk di kawasan itu sudah pun berpeluang menjana pendapatan masing-masing sejak beberapa tahun lalu lagi kerana berbagai-bagai aktiviti pelancongan boleh dibuat di kawasan itu," tegas beliau.

Tiada ulasan: