Jumaat, 18 November 2011

KERAS KEPALA..KERAS JUGA...JANGAN KERAS KEPALA MELAWAN TERUS HUKUM ALLAH...INGATLAH TUA DAN MATI..MATI ALLAH AKAN DAKWA..SABIT NERAKA TEMPATNYA...

Bekas Ketua Polis Daerah pula sertai PAS | Print |
Muhammad Faeez

TAIPING, 18 Nov: PAS Perak menerima keahlian baru daripada tokoh besar apabila Bekas Ketua Polis Daerah Slim River, Tn Hj Abdullah Omar bertindak menyertai pati itu.

Menurut beliau, penyertaan ke dalam PAS baru-baru ini dibuat atas dasar kesedaran dan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah.

Hj Abdullah berkata, beliau mahu berjuang bersama PAS untuk menentang penyelewangan, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya yang sudah menjadi barah dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya tahu wajah BN sebenar, hanya bermuka-muka di depan rakyat sedangkan parti itu sungguh teruk dan busuk,” katanya ketika memberi ucapan di Liqa’ Fikri PAS Perak di Air Kuning, Taiping.

Turut serta pada program itu Pasuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Husin dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

“Saya berazam akan berjuang bersama PAS bagi memperjuangankan Islam hingga ke akhir hayat,” ujarnya lagi.

Kini beliau bersama-sama PAS Perak dalam Program ‘Jom Masuk PAS’ menjelajah seluruh negeri bagi menarik masyarakat khususnya bekas kakitangan kerajaan.

Sebelum ini, PAS Perak menerima ahli baru daripada dua tokoh yang dikenali iaitu bekas Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Adnan Ibrahim dan bekas pegawai tinggi TLDM Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid.


Perluas perkhidmatan kesihatan percuma | Print |
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk memberikan pengecualian terhadap pesakit miskin yang tidak mampu untuk membayar caj perubatan yang diterima di hospital-hospital kerajaan daripada membayarnya.

“DPPWP menganggap usaha ini merupakan sesuatu yang positif bagi membantu golongan miskin untuk terus mendapatkan perkhidmatan rawatan secara percuma,” kata timbalan ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz.

Kenyataannya, kata beliau perkhidmatan kesihatan merupakan suatu yang asas dalam sesebuah negara.

Menurutnya, selain pendidikan, kesihatan merupakan keperluan asas yang tidak boleh dielakkan bagi setiap rakyat.

Tambahnya, tiada sesiapa memilih untuk sakit dan berpenyakit, tetapi ia adalah suatu hakikat yang perlu dihadapi oleh segelintir rakyat.

Namun demikian, ujarnya dalam keadaan kemelut hidup yang semakin menghimpit, golongan miskin sudah pasti tidak akan mampu mendapatkan rawatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan atau swasta jika mereka sakit.

“Selalunya golongan miskin terpaksa memilih pilihan lain untuk mendapatkan rawatan kesihatan lanjut seperti rawatan tradisional yang sudah tentu tidak sebaik rawatan biasa di hospital,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, ujarnya tawaran kesihatan percuma untuk golongan miskin pasti akan membantu mereka ‘menyambung nyawa’ dan mengurangkan risiko penyakit.

Menurutnya, DPPWP berpendapat, kerajaan perlu meluaskan perkhidmatan kesihatan percuma untuk semua rakyat di hospital-hospital kerajaan tanpa mengira latar belakang mereka.

Beliau berkata, ramai lagi rakyat yang menderita penyakit tetapi tidak mampu untuk menjalani rawatan bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana kos rawatan yang terlalu mahal untuk ditanggung.

Katanya, bagi golongan yang berkemampuan pula mereka boleh memilih untuk ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan lebih selesa dan kondusif.

“DPPWP mengharapkan, rawatan kesihatan percuma dipermudahkan urusannya agar perkhidmatan ini mampu dinikmati oleh setiap lapisan rakyat

“DPPWP percaya perkhidmatan kesihatan percuma adalah suatu bentuk kebajikan yang boleh membantu rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

Ini juga, kata beliau menepati hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam keadaan sihat serta menjadi negara yang memberikan khidmat kesihatan antara terbaik di dunia.


Selangor tak bubar Dun jika PRU kurang 6 bulan | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 17 Nov: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini memberitahu Dewan Undangan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan jika Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) dilaksanakan kurang dari enam bulan dari tarikh hari ini.

Beliau yang menjelaskan pendirian kerajaan negeri itu dengan hasrat segala apa yang dijanjikan pada Belanjawan 2012 Negeri Selangor dapat di laksanakan sepenuhnya serta memenuhi apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.

"Saya sebagai Menteri Besar hari ini menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa jika pilihanraya umum dilakukan kurang enam bulan maka kita tidak akan sertai tetapi jika sebaliknya Negeri Selangor akan bersama dalam pilihan raya itu.

"Ini adalah ingin memastikan segala apa yang kita janjikan pada belanjawan kali ini dapat dipenuhi sepenuhnya serta rakyat dapat menikmati apa yang telah kita janjikan.

"Banyak yang kerajaan negeri telah janjikan dan kita mahu pastikan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya," jelasnya sewaktu penutup Sidang Dewan Undang Negeri Selangor hari ini.

Khalid memberitahu, setiap pihak jangan memikirkan sebaliknya kerana niat kerajaan yang tidak mahu menyertai pilihan raya itu.

"Kita kena fikir positif dan apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan, untuk apa kita berbahas tentang bajet dan sebagainya jika kita turut sama dalam pilihan raya sehinggakan apa yang dijanjikan pada belanjawan kali ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya," sambungnya lagi.

Dalam masa yang sama Khalid juga meminta setiap pihak menghormati intitusi di negeri ini terutamanya Institusi Raja, Dewan Negeri, Kerajaan Negeri dan rakyat.

Sebagai menjadikan sebuah negeri yang harmoni setiap pihak perlu bekerjasama tanpa ada sebarang sikap prasangka dan yang perlu dilakukan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat adalah melaksanakan apa yang telah diamanahkan.


Tabung Serambi Mekah terima derma RM5 juta | Print |
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 17 Nov: Tabung Amanah Serambi Mekah mencipta sejarah baru sejak penubuhannya hampir 21 tahun lalu apabila menerima sumbangan derma peribadi sebanyak RM5 juta.

Dengan sumbangan tersebut, tabung berkenaan berjaya mengutip sebanyak RM6 juta bermula Januari tahun ini.

Bagaimanapun seorang penderma luar Kelantan itu tidak ingin dikenali identitinya disebut ‘hamba Allah’ pada majlis kutipan derma akaun Amanah Kebajikan (Tabung Serambi Mekah) ke-21 di sini tengah hari tadi.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz ketika ditemui tidak menafikan ianya sejarah tersendiri bagi Tabung Serambi Mekah dengan sumbangan derma peribadi yang tertinggi sejak ianya ditubuhkan 21 tahun lalu.

“Perkembangan ini berlaku kerana kesedaran ajaran Islam yang murni menerapkan rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap penderma.

“Hasil didikan golongan alim ulama dan sebagainya berhubung tanggungjawab sebagai umat Islam, mereka akan menunaikan tanggungjawab itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada dermawan tersebut serta penderma lain termasuk agensi-agensi kerajaan, swasta dan sebagainya kerana sudi menderma.

Katanya, dengan sumbangan tersebut ianya dapat membantu mangsa-mangsa ribut, kebakaran, banjir dan bencana alam lain.

Beliau berharap ianya menjadi suntikan motivasi kepada masyarakat untuk turut menunaikan tanggungjawab itu.

Antara agensi kerajaan negeri yang menderma, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sejumlah RM405,000, PMBK (RM100,000) dan lain-lain.

Turut menyumbang syarikat-syarikat swasta, pejabat tanah jajahan dan majlis daerah seluruh Kelantan di samping sumbangan individu.

Turut berucap pada majlis itu anggota Exco kerajaan negeri yang mewakili Timbalan Menteri Besar, Dr Muhammad Fadzli Hassan.


Mahathir tak layak bercakap pasal bersatu | Print |
Subky Latif
ISU orang Melayu tidak bersatu bukan suatu yang baru. Ia telah diperkata oleh UMNO sejak Tunku Abdul Rahman Putra masih ada.

Masa itu Parti Semangat 46 sedang bertenaga. Tunku dan Tun Hussein Onn terkeluar dari UMNO (Baru). Para pemimpin UMNO (Baru) menjaja isu apa yang dikatakan perpecahan orang Melayu. Mereka kononnya amat bimbang. Sama seperti yang Dr. Mahathir masih bimbangkan hari ini.

Kalau sebelumnya dikatakan Melayu itu berpecah antara UMNO dan PAS saja, kita itu sudah dijadi tiga dengan adanya S46.

Menjawab Tunku yang naik pentas PAS masa itu, adanya orang Melayu dalam berbagai parti, bukan tanda perpecahan tetapi ia dibenarkan oleh demokrasi.

Dr. Mahathir mengulang lagi, sekarang orang Melayu bukan sekadar berpecah antara PAS dengan UMNO, malah ada pula KITA dan lain-lain.

Dulu PAS tak berkawan dengan DAP. Hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC. Tetapi UMNO kata ia bimbang. Sekang mungkin bimbangnya bertambah kerana PAS berkawan pula dengan DAP. Tetapi asas bimbang itu sama dulu dan sekarang.

Masa Dr. Mahathir berkuasa dulu, perpecahan orang Melayu bukan sekadar antara PAS dan UMNO. Melayu juga berpecah kepada Semangat 46, Berjasa yang ditaja oleh UMNO dan Hamim pimpinan Tan Sri Asri yang direstui oleh Dr. Mahathir.

Sama saja dengan sekarang ada KITA dan PKR. Tetapi adanya KITA itu samalah dengan adanya S46, Berjasa dan Hamim dulu. Adanya sekejap saja dan adanya seperti tak ada saja.

Beza sekarang ada PKR yang kedudukannya lebih kuat dari S46.

Katakanlah keadaan itu tidak baik pada orang Melayu, maka ia banyak disebabkan oleh politik Dr. Mahathir sendiri.

Apa untungnya PAS berada dalam BN? Perpecahan Melayu itu dapat diredakan, malah ia seperti hampir bersatu. Tetapi yang memecahkannya ialah Dr. Mahathir sendiri. Berseteru semula PAS dengan UMNO. Angkara siapa? Jika tidak baik, Dr. Mahathirlah yang menjadikan begiu.

Kemudian berpecah pula orang Melayu kepada Berjasa dan Hamim. Siapakah yang mendorongkan wujudnya parti itu? Jangan kata Dr. Mahathir tidak ada peranan.

Kemudian tinggal PAS dengan UMNO semula kerana Berjasa dan Hamim ada seperti tidak. Tetapi gara-gara politik Dr. Mahathir memecah belahkan UMNO, muncul pula S46. Orang Melayu terbagi tiga pula. Dari dua jadi tiga. Jangan kata ia bukan angkara Dr. Mahathir!

Selepas S46 hilang stamina Melayu kembali berpecah kepada dua semula. Tetapi Dr. Mahathir berkarinah lagi. Ditendangnya pula Anwar Ibrahim dari Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Ia menyumbang kepada keadaan yang ada sekarang. Anwar dan penyokong-penyokongnya dalam UMNO membentuk PKR. Apakah keadaan yang ada ini suatu yang tidak baik bagi orang Melayu?

Kalau ia satu malapetaka kepada bangsa Melayu, maka antara orang yang menjadikannya begitu ialah Dr. Mahathir. Punca besar perpecahan itu dalam setiap kejadian adalah dari Dr. Mahathir. Jika dia tidak tendang PAS dari BN, mungkin BN itu boleh menjelma mejadi sebuah parti dominan orang Melayu.

Tetapi kerana politik gilanya memperbodohkan Tun Hussein Onn, orang tua terpengaruh lalu menendang PAS. Dato Asri, Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz tidak boleh disalahkan. Mahathir mesti belajar menyalahkan dirinya sendiri.

Kalau dia marah orang Melyu jadi begitu, dia kena marah dirinya dulu. Kalau dia menangis, itulah tagis buaya. Tangis yang sudah tidak ada erti.

Katakanlah orang Melayu betul berpecah. Yang melebar dan memperkuat perpecahan itu ialah diskriminasi kerajaan UMNO terhadap orang PAS dan anak-anaknya. Orang Islam dan orang PAS yang tidak bersama UMNO dilihat sebagai orang Melayu kelas tiga.

Orang Melayu kelas satu ialah UMNO yang menyokong Perdana Menteri. Melayu kelas dua yang tidak menyokong Perdana Menteri dan Presiden UMNO. PAS adalah Melayu kelas tiga.

Amalan diskriminasi UMNO itu lebih memecahkan orang Melayu dibandingkan dengan kewujudan beberapa parti Melayu.

22 tahun dia berkuasa dia tidak dapat buat apa-apa untuk menyatukan orang Melayu. Sepanjang masa dia memecahkan orang Melayu. Yang layak baginya bukan menyesali perpecahan itu tetapi menyesali dirinya tidak buat apa-apa untuk menyatukan orang lain.


Tangkapan ISA, Najib Tipu Rakyat

Harakahdaily
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) dan Jabatan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Dewan Pemuda PAS Pusat menempelak sekeras-kerasnya tangkapan yang dikenakan ke atas 10 orang Pendakwah di Tawau, Sabah di bawah Akta kuku besi, ISA pada 14/11/2011 yang lalu.

Kami telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa yang ditahan bahawa tangkapan tersebut dilakukan oleh Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).

Kami amat terkejut dengan situasi malang ini tatkala Perdana Menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta kononnya akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Maka benarlah sangkaan PAS dan kebanyakan rakyat selama ini bahawa janji Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA sebenarnya hanyalah suatu pembohongan terancang bagi memperbodohkan rakyat Malaysia kononnya kerajaan Umno/Barisan Nasional ingin memartabatkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang paling demokrasi di dunia.

Namun pada hakikatnya Umno/Barisan Nasional masih tetap mengekalkan kezaliman, keangkuhan dan tetap sujud kepada talian hayat terakhir mereka iaitu Akta kukubesi ISA bagi menakut-nakutkan rakyat supaya tunduk kepada Umno/Barisan Nasional.

Kami percaya tangkapan ini adalah rentetan daripada laporan oleh pihak PAS Sabah sendiri bahawa ahli-ahli PAS Sabah telah diberikan amaran oleh pihak Polis supaya tidak terlibat dengan program-program politik dan dakwah sekiranya tidak mahu ditangkap.

Justeru, kami percaya bahawa tangkapan ini hakikatnya adalah bermotifkan politik semata-mata dan langsung tidak mempunyai kaitan dengan Seksyen 73 (1) ISA. Apatah lagi, tangkapan ini berlaku tatkala PAS Sabah melaungkan amaran bahawa PAS Sabah akan memberikan tentangan sengit pada Pilihanraya yang akan datang.

Jadi, kerajaan Umno/Barisan Nasional pada hakikatnya takut dan gusar dengan gelombang tsunami PAS di Sabah yang menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan melainkan kembali menjilat ludah mereka sendiri iaitu kembali menggunakan ISA bagi mengekang kebangkitan PAS di Sabah.

Oleh itu, kami bertegas menggesa kesemua 10 orang yang ditangkap di bahawa ISA ini harus dilepaskan dan dibebaskan dengan serta merta tanpa syarat. Selain itu, mereka ini harus diberikan layanan yang selayaknya sepertimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia iaitu diberikan peluang untuk dibicarakan secara adil di Mahkamah, dan bukannya ditangkap tanpa diberikan peluang untuk dibicarakan.

Sekiranya pihak Polis benar-benar yakin bahawa mereka mempunyai bukti yang kukuh dalam mengaitkan para tahanan dengan sebarang aktiviti keganasan, seharusnya pihak Polis tidak teragak-agak untuk menuduh mereka di Mahkamah terbuka dan membenarkan para tahanan ini membela diri secara adil di Mahkamah kerana banyak peruntukan di dalam Kanun Keseksaan yang boleh diguna-pakai sekiranya pihak Polis benar-benar meyakini mereka ini terlibat dengan pengganas.

Akhirnya, Kerajaan Umno/Barisan Nasional dicabar supaya berdepan dengan rakyat secara ”gentleman” pada hari pengundian Pilihanraya Umum yang akan datang, dan bukannya bersikap bacul dan penakut dengan menakut-nakutkan rakyat melalui Akta ISA yang ketinggalan zaman ini.

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi (Pengarah JUHAM)
Abang Ahmad Kardee Abang Masagus (Pengarah Jab Hal Ehwal Sabah & Sarawak)


Syabas, Khalid Ibrahim yang berani | Print |
Ahmad Lutfi Othman
Selangor memang diakui, oleh banyak pihak, sebagai negeri yang cukup penting dan kritikal, daripada segi ekonomi dan juga politik. Ia merupakan negeri termaju dan menjadi penyumbang utama kepada petunjuk ekonomi negara.

Meskipun BN tidak lagi membawa projek mega ke Selangor selepas kalah teruk pada 2008, di bawah Pakatan Rakyat, negeri ini masih mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di negara, berjumlah RM10.6 bilion, dengan 183 projek pelaburan baru, menjadikannya negeri paling diminati pelabur asing dan pelabur tempatan.

Bukan saja menyumbangkan 22 kerusi Parlimen, malah senario politik sekitar Lembah Klang mampu mempengaruhi kecenderungan mengundi di seluruh negara memandangkan ramai penduduk Selangor masih balik ke kampung halaman masing-masing setiap kali pilihan raya umum.

Justeru, ada penganalisis berpendapat, perubahan politik di Semenanjung hanya berlaku jika Selangor memulakan gelombang itu. Tidak hairanlah, Presiden Umno, Najib Razak masih mengekalkan jawatan sebagai ketua perhubungan Umno Selangor, meskipun negeri-negeri kritikal lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu telah dilepaskan kepada pimpinan tempatan.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, dalam Kesilapan-Kesilapan Najib, turut menekankan kepentingan BN merampas kembali Selangor dalam PRU13 (meskipun tidak berjaya meraih majoriti dua pertiga di Parlimen) bagi mengelak daripada Najib diasak meletakkan jawatan, untuk memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin, sepertimana pengalaman pahit Abdullah Ahmad Badawi.

Semasa saya mewawancara Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Selangor, Cikgu Jaafar Samsudin, 2 Nov lalu, beliau juga banyak bercerita tentang pelbagai taktik licik dan konspirasi Umno untuk merebut Selangor terutama melalui senarai daftar pemilih yang terdedah dengan bermacam-macam manipulasi.

Difahamkan, dalam program-program tertutup, di depan penyokong dan jentera parti, pemimpin BN melahirkan keyakinan tinggi mereka untuk mengatasi Pakatan dalam PRU13 nanti. Tentunya ada faktor tertentu menyebabkan mereka begitu yakin ...

Meskipun diakui tidak mudah persaingan kali ini, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah menampilkan prestasi terbaik, dengan melaksanakan pelbagai tawaran menarik buat rakyat dan melunasi janji program pembaharuan yang memikat. Malah, berbanding negeri-negeri Pakatan lain, Selangor dilihat lebih ke depan, baik dari segi reformasi ekonomi mahupun politik.

Sebagai orang media, yang sering tertekan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), saya masih teruja dengan keberanian Selangor sebagai negeri pertama meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010, yang memberikan hak kepada rakyat untuk mengakses maklumat berkaitan pentadbiran negeri. NGO berkaitan media diundang khusus untuk memberikan maklum balas terhadap enakmen itu.

Begitu juga dengan inisiatif kerajaan negeri memperuntukkan RM600,000 untuk membina papan iklan (billboard) bagi menjayakan kempen memansuhkan ISA di semua 56 kawasan Dun. Juga geran peruntukan RM1 juta bagi membiayai usaha memfailkan bantahan terhadap daftar pengundi baru yang dikeluarkan SPR, terbuka untuk seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan kecenderungan politik.

Walaupun Menteri Besar Abd Khalid Ibrahim dilihat tidak begitu menonjol "tindakan siasahnya" tetapi keberanian melakukan pembaharuan politik -- apatah lagi sejak awal mentadbir, terserlah kebijaksanaannya dalam program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) -- amat dipuji.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2012 pada 9 Nov lalu, di bawah tajuk kecil Program Pengukuhan Demokrasi, "peruntukan sebanyak RM5 juta akan disediakan bagi gerhad terhad dalam mengukuhkan proses pilihan raya yang adil dan bebas di Malaysia ... melibatkan aktiviti kesedaran dan latihan sukarelawan serta pemantau pilihan raya."

Kerajaan negeri turut memperkenal "program pembasmian rasuah dan penyelewengan" dengan peruntukan RM15 juta. Pelapor kes rasuah dan penyelewengan dalam agensi kerajaan Selangor yang berjaya dibuktikan akan diberi hadiah oleh kerajaan negeri.

Sebagai orang yang pernah naik turun ibu pejabat BPR (kini SPRM) di Putrajaya dan Shah Alam untuk mengadu kes rasuah dan salahguna kuasa bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo, saya menarik nafas lega membaca komitmen Khalid itu. Ramai MB Selangor sebelum ini (antaranya Muhammad Muhd Taib dan Abu Hassan Omar), sama ada diseret ke mahkamah atau tidak, yang pasti, mereka tidak pernah terlepas daripada palitan kotor dakwaan korupsi!

Wajar juga disebut beberapa kemudahan buat rakyat, antara lain, pemberian air percuma 20 meter padu, iaitu RM11.40 sebulan atau RM136.80 setahun, membabitkan lebih 1.2 juta isi rumah atau sekitar lima juta penduduk Selangor. Juga program pendidikan seperti Pusat Tuisyen Rakyat (RM2 juta), program SPIES (RM3 juta) dan Generasi Idaman Selangor (RM1 juta), dan Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang (RM1 juta).

Sumbangan buat warga emas melalui Jom Shopping sebanyak RM10 juta sebelum ini yang disumbangkan Kumpulan Semesta dijangka akan bertambah selari dengan peningkatan royalti perlombongan pasir. Dalam bajet 2012 itu diumumkan peruntukan untuk program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) sebanyak RM7.5 juta; Hadiah Anak Masuk Universiti, RM7.7 juta; Skim Mesra Usia Emas (SMUE), RM20.7 juta; Elaun Anak ke Nurseri, RM3 juta.

(Saya dimaklumkan bahawa masih ramai rakyat Selangor tidak menyedari pelaksanaan beberapa langkah pembaharuan ekonomi dan politik di bawah Pakatan. Tentulah lebih ramai penduduk di negeri-negeri lain tidak terkesan dengan usaha reformasi itu. Sedangkan ia harus disebarluaskan agar rakyat seluruh negara dapat membuat perbandingan secara adil terhadap pentadbiran BN dan Pakatan. Harakah turut dituntut lebih banyak menyiarkan "kisah kejayaan" pentadbiran negeri Pakatan dan jangan hanya tertumpu kepada "kisah kegagalan" BN).

Apa pun, yang lebih menarik perhatian umum ialah "Geran Selangorku", dengan peruntukan RM300 juta, sumbangan GLC Negeri dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Tentulah program paling menonjol daripada 17 program Geran Selangorku ini ialah tawaran gaji minimum RM1,500 gaji kasar (gross income). Dimulai empat syarikat milik kerajaan negeri yang stabil prestasi kewangannya, seperti PKNS, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan Worldwide.

Dana RM10 juta akan disediakan untuk menampung syarikat kerajaan negeri yang tidak berupaya untuk menampung kos untuk dasar ini. "Kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan produktiviti negeri dan syarikat yang dimiliki supaya ia layak melaksanakan gaji minimum," tegas Menteri Besar.

Pada hemat saya, dua lagi program menarik ialah program jangkaan kehidupan bandar. Khalid menekankan: "Ia penting untuk kita menjangka kehidupan pada masa depan agar adaptasi dapat dilakukan dengan lebih baik dan tidak berlaku kejutan dalam rancangan pembangunan serta budaya; pada masa sama alternatif perkampungan bandar juga boleh diteroka sebagai pilihan."

Selangor juga menekankan program pengukuhan budaya. Sebanyak RM3 juta diberikan dalam bentuk geran terhad kepada para aktivis budaya untuk merancakkan aktiviti budaya. Kegiatan ilmu melalui Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) yang baru dan ceria juga harus disokong, termasuk dengan pembinaan perpustakaan desa dan daerah, yang turut disokong GLC.

Penyediaan rumah mampu milik melalui PKNS, dengan keluasan 850 hingga 1,000 kaki persegi, dikhususkan kepada golongan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, berharga sekitar RM100,000 ke RM150,000, dengan anggaran pembinaan 11,00 unit setiap tahun adalah petanda kerajaan negeri serius menangani kemelut berlarutan yang ditinggalkan BN.

Harga rumah berkenaan jauh lebih murah berbanding dengan apa yang diperkenalkan kerajaan persekutuan, iaitu melebihi RM200,000. Cuma, mekanisme untuk menentukan siapa yang berjaya memilikinya nati harus dibuat secara telus agar elemen pilih kasih dapat dihindari.

Selain itu, saya kira usaha kerajaan negeri untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air perlu diberi penjelasan lanjut. Tindakan ini, seperti ditegaskan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dalam sidang Dun, 11 Nov, semakin mendesak kerana industri air di Negeri Selangor adalah fragmented atau bercelaru, tidak efisien dan tarif yang melampau ekoran persetujuan Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran lama untuk menswastakan industri perkhidmatan air kepada 4 syarikat konsesi.

"Saya mendesak kerajaan negeri untuk tidak berganjak daripada usaha menamatkan perjanjian konsesi sedia ada bagi memastikan kos operasi dan keuntungan operator tidak melampau sehingga membebankan rakyat. Penyangak air di Selangor harus diperangi habis-habisan kerana menghisap darah rakyat dan mendapat kekebalan dari kerajaan pusat," tegasnya.

Jika dibenarkan kenaikan tarif air yang dicadangkan Syabas, setiap isi rumah di Selangor akan berdepan dengan kenaikan bil air sehingga 71 peratus. Selain itu, dakwaan bahwa kemungkinan Selangor menghadapi krisis air menjelang tahun 2014 hanya momokan. Data-data yang dikumpulkan oleh pelbagai pihak berhubung pengeluaran dan permintaan air di Negeri Selangor menunjukkan sebaliknya.

Penyelesaian kepada masalah ini, menurut Azmin, ialah bukan mendesak pembinaan loji rawatan air yang baru tetapi yang lebih mendesak ialah bagaimana keupayaan kita untuk mengurangkan NRW (peratusan Air Tanpa Berhasil - non revenue water). Data ini juga menunjukkan sekiranya kita mengurangkan 5% sahaja NRW, simpanan air di Negeri Selangor mempunyai lebihan sebanyak 230 jlh menjelang tahun 2014.

Berbicara soal industri air yang berkecamuk di Selangor, tentu ramai segera mengingati kos pengurusan tertinggi, terutama yang diperolehi Pengerusi Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu pemegang terbesar Syabas. Pada tahun 2008 beliau dibayar RM5.7 juta elaun dan gaji pengarah. Rozali dikatakan antara 10 pengarah yang mendapat bayaran tertinggi di Malaysia.

Kerajaan pusat nampaknya ghairah membela kroni perniagaan berbanding mengutamakan kepentingan rakyat Selangor. Seperti kata Tony Pua, AHli Parlimen Petaling Jaya Utara, sejak awal konsesi diberikan kepada syarikat swasta yang mempunyai kaitan politik yang baik meskipun tanpa kemahiran dan pengalaman dalam industri air, juga tidak memiliki dana ekuiti yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan ini.

Saya harap dapat mengulas lanjut isu penswastaan air ini dalam tulisan akan datang, insya-Allah.


ISA: Kerajaan BN keras kepala | Print |
Nasruddin Hassan
Sebelum ini, dengan yakinnya YAB Perdana Menteri Datuk Seri Hj. Najib Tun Abd Razak mengisytiharkan bahawa Kerajaan Umno dan BN akan memansukhkan ISA sekaligus memberi sinar harapan kepada rakyat yang menanti sejak sekian lama untuk bebas dari belenggu akta drakonian ISA yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan telah banyak membawa kesengsaraan kepada rakyat sendiri.

Tangkapan terbaru ke atas saudara Nazri Dollah di bawah akta ISA adalah bukti bahawa Kerajaan Umno dan BN terus mempermainkan kesabaran rakyat dan terus mendera perasaan mereka. Ia bukan sahaja satu bukti bahawa kerajaan Umno dan BN tidak serius dan jujur menghapuskan akta zalim itu tetapi juga terus mendera dan membuli rakyat sendiri.

Selayaknya kerajaan tidak lagi menggunakan ISA setelah komitmen untuk memansukhkannya telah dipertegaskan oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Tetapi malang, ia sungguh meragukan. Tidak mustahil komitmen kerajaan Umno dan BN dalam perkara - perkara lain seperti mahu memansukhkan PPSMI dan melakukan reformasi pilihanraya juga hanya satu retorik yang memperdayakan rakyat.

Sebelum ini berlaku flip - flop kerajaan dalam memutuskan kedudukan PPSMI dan kini kelihatan sikap yang sama akan berulang pada ISA. Jika benar Kerajaan Umno dan BN konsisten untuk memansukhkan ISA, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya saudara Nazri Dollah dibebaskan dari ISA dan jika ada pertuduhan ke atas beliau maka hendaklah di dakwa ke mahkamah, bukan dikurung tanpa sebarang perbicaraan.

Jika kerajaan Umno dan BN terus berdegil dan keras kepala, enggan untuk membebaskan saudara Nazri Dollah, saya mengharapkan seluruh rakyat bangkit membantah dan menolak kerajaan flip - flop ini khasnya anak - anak muda demi masa depan rakyat dan negara yang lebih baik, aman dan sejahtera dari kezaliman yang dihasilkan oleh kerajaannya sendiri.

Sekiranya rakyat tidak bangkit membantah sebaliknya membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN ini, tidak mustahil selepas ini PSC pula akan menjadi mangsa manipulasi kerajaan flip - flop ini. Melalui perkembangan ini setelah PPSMI dan ISA, saya jangka langkah untuk reformasi sistem pengurusan pilihanraya juga akan mengalami nasib yang sama. Akan cair dipertengahan jalan. Hanya kejujuran dan dilihat jujur dalam usaha melakukan perubahan ini sahajalah yang akan memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan Umno dan BN kali ini.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia



Tiada ulasan: