Selasa, 8 November 2011

AHLI UMNO MASUK PAS TU PERKARA BIASA...YANG BIMBANG ORANG ISLAM KELUAR ISLAM KERANA MENAFIKAN HUKUM ALLAH ATAU MENOLAK SATU HURUF DARI ALQURAN.....

Karut: Agenda DAP hakis dominasi Melayu | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Kebimbangan yang cuba dibangkitkan oleh akhbar harian Utusan Malaysia bahawa DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu adalah tidak berasas kerana kedudukan mereka dilindungi undang-undang, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari (gambar), lapor Malaysiakini.

"Dalam mana-mana kes, kedudukan anggota perkhidmatan awam dilindungi oleh perlembagaan. Maka ketakutan yang cuba disemai oleh Utusan adalah karut semata-mata.

"Angota perkhidmatan awam tidak boleh dipecat dengan senang. Begitu juga dengan kenaikan pangkat mereka dan perkara sebagainya," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk laporan muka depan akhbar milik Umno itu, semalam yang memetik ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Zulkifli Nordin sebagai berkata DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara kerana parti berkenaan tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu.

“Mereka (DAP) memang ada agenda tersembunyi menerusi hasrat tersebut dan bukanlah semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti didakwa.

“Mereka ini memang tidak boleh tengok orang Melayu lebih sedikit dalam sesuatu. Kita (Melayu) memang ramai dalam sektor awam, jadi mereka cuba untuk mengurangkan penguasaan kita dalam sektor tersebut,” kata Zulkifli (kiri) dipetik Utusan.

Akhbar itu juga memetik Senator Ezam Mohd Noor berkata, DAP bersikap rasis dan menanam kebencian terhadap orang Melayu dan asas negara.

Suruhanjaya Diraja

Ahad lalu kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat juga menghentam pemimpin DAP, terutama setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan Rakyat akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.

Meskipun Abdul Aziz berkata beliau bersetuju dengan hujah-hujah yang dibangkitkan oleh Pua dan kebimbangannya mengenai perkhidmatan awam di negara ini adalah benar, namun beliau menasihatkannya supaya berhati-hati dengan isu tersebut.

"Beliau telah menimbulkan beberapa hujah yang baik tetapi beliau mesti ingat bahawa majoriti besar perkhidmatan awam yang berjumlah 1.3 juta adalah orang Melayu. Kira-kira 150,000 adalah anggota tentera dan 100,000 lagi bersama pasukan polis."

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya berkuasa, mereka perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menilai kedudukan perkhidmatan awam dan mengesyorkan langkah-langkah perlu bagi memperkukuhkannya.

Ini, katanya, dapat mengatasi beberapa masalah dalam perkhidmatan awam, seperti keberkecualian yang telah terjejas, terutamanya semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini termasuk melaksanakan sumpah setia atau Akujanji dan amalan memberi kontrak kepada pegawai atasan yang melunturkan semangat kakitangan perkhidmatan awam. Etika perkhidmatan awam tercemar kerana politi.”

Menurut Abdul Aziz, kakitangan awam perlu berkecuali kepada kerajaan yang medmerintah. Kesetian mereka hanya kepada negara dengan Yang Di-Pertuan Agong sebagai lambangnya.

"Atas sebab ini, bagi saya Akujanji adalah tidak berperlembagaan," kata Abdul Aziz.


Henti PTPTN: Rakyat didahulukan atau dibebankan? | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pinjaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam di masa akan datang dilihat satu lagi bukti rakyat terus dibebankan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata tindakan itu sekaligus bercanggah dengan gagasan '1Malaysia' Datuk Seri Najib Razak kononnya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Sambil menyifatkan ianya sesuatu yang sangat malang buat generasi anak muda, mantan ketua penerangan PAS itu juga mendakwa, kerajaan menjadikan rakyat sebagai mangsa ketirisan pemborosan yang diamal kerajaan.

"Tindakan ini adalah satu lagi dalil kerajaan yang ada pada hari ini tidak mendahulukan rakyat sebaliknya membebankan rakyat. Ini adalah gara-gara ketirisan,pemborosan, rasuah, pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan pada hai ini,

"Nampaknya kerajaan pada hari ini kering idea untuk menjana mendapatan negara, sebaliknya jalan pintas ialah dengan menyuruh rakyat ikat perut, sedangkan pemimpin terburai perut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN pada 31 Oktober lalu supaya pinjaman perbelanjaan diberhentikan pada tahun 2013 untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu.

Pada tahun depan, dijangka seramai 2.5 juta lagi pelajar akan memohon pinjaman PTPTN dan sehingga 31 Sept lepas, sebanyak RM2.74 bilion pinjaman telah dibayar balik oleh peminjam manakala pembayaran balik yang sepatutnya adalah RM6.2 bilion.

Mengulas lanjut, Idris berkata, sebagai pemerintah negara, tugas utama kerajaan adalah berusaha menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.

Di dalam apa cara sekalipun ujarnya, mana-mana kerajaan tidak boleh mengabaikan tanggungjawab sosial ini apatah lagi pendidikan adalah keperluan wajib dalam sebuah negara.

"Manakah slogan rakyat di dahulukan yang terpampang di media-media propaganda BN.

"Apakah kerajaan sudah tidak mampu untuk mendapatkan kewangan lebih kurang RM 6 bilion setahun bagi menampung perpelanjaan PTPTN?," soalnya lagi.

Menurutnya, wang sebanyak itu boleh didapati jika kerajaan dapat memperbaiki teguran Ketua Audit Negara yang setiap tahun melaporkan kepincangan kerajaan ketika menguruskan kewangan negara.

Sementara itu, tindakan itu juga tambahnya merupakan kayu ukur yang membezakan pentadbiran BN dengan Pakatan Rakyat.

Ketika kerajaan BN memaparkan sikap tidak bertanggungjawab, negeri-negeri Pakatan pula memerah otak bagaimana untuk mengagihkan kekayaan kepada rakyat dengan berbagai- bagai skim untuk kemudahan rakyat seperti skim kifalah, air percuma, menurunkan cukai tanah, Tabung Wawasan Anak Selangor, tuisyen percuma.

"Ini adalah signal awal kepada rakyat, jika BN menang di dalam PRU akan datang banyak lagi tanggungjawab kerajaan akan dilepaskan.

"Barang pasti ialah petrol, gas, tol, gula, dan tepung akan naik. GST akan diperkenalkan semua subsidi akan dikurangkan," katanya.


Terpaksa kongsi tanah perkuburan dengan bukan Islam
Harakahdaily
BELURAN, 8 Nov: “Penghujung hidup yang menyusahkan”. Mungkin itulah ungkapan yang paling sesuai dengan penduduk Islam, Pekan Telupid, Sabah yang tidak mempunyai tanah perkuburan untuk mengebumikan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Seorang penduduk, Mustary Mustamin melahirkan rasa kecewanya dengan sikap pihak yang bertanggungjawab kerana langsung tidak prihatin terhadap keperluan umat Islam di sini.

Menurutnya, masalah itu pernah disuarakan kepada Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee yang juga speaker Dewan Rakyat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.

“Kita rasa sedih berganda bila ada kematian ahli keluarga. Kami tidak tahu kepada siapa hendak mengadu setelah begitu lama umat Islam Telupid tanpa tanah perkuburan,” katanya dengan nada kesal.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada penduduk bukan Islam yang sehingga kini masih memberi laluan untuk jenazah orang Islam dikebumikan di tapak tanah perkuburan mereka yang bukan Islam.

“Apa pun, saya berterima kasih kepada penduduk bukan Islam di Telupid yang kerap membantu kami dengan mengizinkan jenazah umat Islam dikebumikan di tanah mereka, tetapi sampai bila kami terpaksa menagih ihsan mereka?” tambahnya lagi.

Hairan, mat rempit 'ahli PAS' tak kenal pemimpin PAS | Print |
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 8 Nov: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man meyakini tindakan sekumpulan mat rempit berdemontrasi berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun), 31 Oktober lalu didalangi parti politik tertentu.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir berkata, ketika kejadian pada hari itu, beliau sendiri bertemu beberapa orang ahli kumpulan itu yang kononnya mendakwa dirinya ahli PAS seumur hidup dan bertanyakan sama ada mereka kenal atau tidak pemimpin PAS negeri itu.

Namun ujarnya, seorang mat rempit 'ahli seumur hidup PAS' itu yang umurnya mungkin sudah menjangkau 50 tahun, terpinga-pinga untuk menjawab soalan siapakah pesuruhjaya PAS negeri itu.

"Saya tanya jika dia sudah lama jadi ahli PAS, siapa pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dia jawab tak tahu.

"Tiba-tiba kawan-kawan dia tarik baju dia, mungkin kawan-kawannya tak mahu dia menjelaskan sesuatu yang mungkin boleh memecah rahsia sebenar," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui pada majlis sambutan hari raya Aidil Adha di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir semalam.

Pada tengahari 31 Oktober lalu, kira-kira 200 mat rempit mengadakan tunjuk perasaan di bangunan bersejarah jam besar Pulau Pinang yang berhampiran Dewan Undangan Negeri bagi menuntut ‘litar perlumbaan’ dibina bagi kegunaan mereka.

Kumpulan, yang diketuai oleh Ahmad Shahabuddin - wakil Pertubuhan Islam Gabungan Amal - berbaris di sepanjang kawasan itu dengan motosikal mereka kira-kira jam 1 tengahari dan membunyikan hon selama kira-kira 15 minit sebelum disuraikan oleh polis.

Tindakan mereka dipercayai didalangi politik kerana kebanyakan penunggang berkemeja-T berwarna kuning dengan tertera perkataan ‘LGE rasis’ - merujuk kepada ketua menteri Lim Guan Eng - dan projek 'Selamatkan Pulau Pinang'.

Mereka juga membawa sepanduk yang berbunyi “Kami mahu litar lumba”.

Mengulas lanjut, Saleh Man berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Umno negeri itu turut terlibat dalam merancang demonstrasi itu.

"Umno nampak gayanya terus main wayang. Mereka sudah ketandusan ideal dengan menjemput pemuda yang entah datang dari mana buat kacau depan dewan. Lepas tu tunjuk kad keahlian PAS seumur hidup pula," tegasnya.

Menurut beliau, Umno di Pulau Pinang hampir mati perancangan untuk mengembalikan sokongan Melayu di sini ekoran pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat diterima baik masyarakat di sini.



111 ahli Umno sertai PAS sempena Idul Adha | Print |
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 8 Nov: Seramai 111 orang penyokong setia dan ahli Umno di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Penaga menyertai PAS sempena Idul Adha tahun ini.

Kemasukan mereka ke dalam PAS juga sekaligus memberikan tamparan hangat kepada Adun Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang sering mencetuskan kontroversi berhubung kemasukan ahli PAS ke dalam Umno di pejabatnya beberapa bulan lalu.

Sedangkan yang menyertai Umno bukannya ahli PAS tetapi mereka ditipu apabila diajak ke satu majlis dan bergambar dengan pemimpin Umno kononnya kecewa dengan PAS kerana tidak membantu ahli.

Borang kemasukan mereka ke dalam PAS yang diketuai oleh bekas Pengerusi Tetap Umno Kota Aur, Mohd Radzi Wahab diserahkan kepada Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein.

Mohd Radzi ketika berucap pada majlis itu kelmarin memberitahu kemarahannya memuncak apabila kepimpinan Umno sanggup memperlekehkan hukum hudud.

Bukan itu sahaja, katanya malahan pemimpin Umno melakukan penipuan, penyelewengan dan memfitnah saudara seIslam demi memuaskan nafsu politik sempit.

"Sejak 24 tahun saya ditipu dan diperdayakan, maka hari ini setelah timbulnya kesedaran hasil nasihat rakan taulan saya menyertai perjuangan yang sebenar. Janji saya biar saya mengakhiri hayat dalam PAS dan bertekad akan membantu meningkatkan syariat Islam bersama PAS," tambahnya.

Rosidi merangkap Penyelaras Dun Penaga ketika ditemui selepas majlis tersebut memberitahu Umno khususnya di Kepala Batas yang ditunjangi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam keadaan goyah setelah Abdullah kemungkinan besar tidak bertanding lagi untuk kerusi itu dalam PRU 13 nanti.


PAS Sabah sambut baik pemansuhan PPSMI | Print |
Mohd Firdaus

KOTA KINABALU, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyambut baik hasrat Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, langkah pemansuhan tersebut dianggap wajar apabila memperlihatkan keadaan masyarakat luar bandar terutama kawasan pedalaman Sabah yang begitu daif dari struktur bahasa dan kemudahan yang banyak mempengaruhi potensi penggunaan PPSMI tersebut

“Keadaan di Sabah terutamanya, boleh dinilai secara mudah. Bagaimana kita mahu meneruskan PPSMI ini sedangkan pelajar-pelajar luar bandar masih lemah penguasaan bahasa Inggeris dan kepakaran guru-guru menguasai PPSMI pun dilihat kurang.

“Lihat sahaja di kawasan pedalaman Sabah yang mana bukan sahaja keadaan sekolah yang usang, malah kemiskinan juga menghantui proses PPSMI tersebut,” katanya.

Beliau juga tidak menolak masih ramai guru-guru terutama dikawasan pedalaman yang bukan sahaja berhempas pulas mendidik pelajar-pelajar pedalaman, malah terpaksa juga melaksanakan pengajaran dua subjek berkenaan dalam dwi bahasa.

“Kita percaya, masih ramai dikalangan guru-guru yang terpaksa menggunakan dwi bahawa dalam proses pembelajaran dua subjek berkenaan. Ini sekaligus menyebabkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru-guru semakin bertambah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Peneranganya Mohd Zulfikar Abd. Mijan berkata, Menteri Pelajaran harus mengotakan janjinya bagi memansuhkan PPSMI yang berkuatkuasa tahun 2012.

Pemuda PAS Sabah sumbang 11 ekor lembu
Mohd Firdaus

KOTA KINABALU, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyumbang 11 ekor lembu untuk dikorbankan sempena Aidiladha tahun ini.

Sumbangan tersebut telah disalurkan ke seluruh Sabah, antaranya Keningau (4 ekor), Putatan (2), Tawau (2) ,Sepanggar (1), Kota Belud (1) dan Beaufort (1).

Ketuanya Lahirul Latigu berkata, hasil daging korban akan diagihkan ke kawasan sekitarnya untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat setempat.

“Sumbangan itu akan diagih-agihkan kepada masyarakat Islam setempat,” katanya.

Beliau, yang ditemui ketika mengedarkan sumbangan korban di Pulau Gaya bagaimanapun berharap agar seluruh masyarakat saling bekerjasama dan mengeratkan tali persaudaraan sepanjang masa.

“Setiap daripada kita harus memperkukuhkan tali persaudaraan dan bersikap toleransi dalam setiap tindakan. Amanah dan jujur dalam menguruskan hak rakyat mesti tersemat dalam diri,” jelasnya


Tiada ulasan: