Sabtu, 26 November 2011

YANG PENTING ..HALA TUJU RAKYAT YANG JELAS...TAHU YANG BAIK DAN MANA YANG PENIPU...KIRA PAKAI BELASAH JE

Pakatan desak tarik balik Akta Perhimpunan Aman | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Pakatan Rakyat hari ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan BN menarik balik Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Ketetapan itu dibuat memandangkan akta tersebut jelas menekan rakyat, malah lebih zalim berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang akan dimansuhkan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sehubungan itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan bantahan keras terhadap akta tersebut di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) esok pada jam 1.30 tengah hari.

Menurut beliau, selain itu, Pakatan Rakyat akan turut mengadakan beberapa siri perhimpunan besar dengan dimulakan di Shah Alam pada 4 Disember, di Ipoh pada 10 Disember dan di Melaka pada 16 Disember nanti.

Katanya, perhimpunan besar Pakatan Rakyat bagi membantah akta tersebut akan turut diadakan setiap tahun mengikut jadual yang akan dibuat dalam waktu terdekat.

"Akta Perhimpunan Aman 2012 itu ternyata bercanggah dengan janji Perdana Menteri untuk menghormati hak rakyat kerana jelas lebih menekan rakyat," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Penekanan terhadap rakyat menerusi akta itu, menurutnya, jelas terserlah apabila pihak polis diberikan kuasa lebih besar dan mutlak, walaupun Seksyen 27 Akta Polis dimansuhkan.

Katanya, menerusi akta itu, rakyat diminta mengemukakan permohonan kepada polis sehingga 30 hari sebelum perhimpunan diadakan, tanpa keizinan polis tidak boleh diadakan perhimpunan, selain terpaksa membuat rayuan kepada menteri.

"Ini jelas menunjukkan kongkongan pihak pemerintah terhadap rakyat, sama seperti di negara-negara ekstrim Arab dan Myanmar," tegasnya.

Dalam usaha membantah akta itu, tambahnya, beliau dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan turut menyebutnya pada persidangan Dewan Rakyat secara berterusan.

Beliau turut berbangga kerana Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai PAS dengan diwakili Ketua Pengarah Pilihanraya parti itu, Dr Mohd Hatta Ramli, wakil PKR dan DAP, telah menunjukkkan semangat dan kesungguhan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di tanah air.

Namun beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 selagi 8 tuntutan Bersih tidak dilaksanakan.

"Antara 8 tuntutan Bersih itu termasuklah penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya yang mestilah dilaksanakan oleh SPR," katanya yang juga Kerua Umum PKR.

Beliau turut berharap agar SPR atau pihak Kerajaan BN tidak menjadikan penubuhan jawatankuasa itu sebagai hujah untuk mengelaburi mata rakyat bagi mengelakkan 8 tuntutan Bersih itu dilaksanakan dalam pilihanraya di negara ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


Tarik balik bentang kertas kerja dengan e-mel saja | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari hari ini menjelaskan beliau hanya dimaklumkan oleh pihak Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) terhadap penarikan balik jemputan perbentangan kertas kerja hanya melalui e-mel sahaja.

Beliau yang ditemui Harakahdaily memberitahu dalam kandungan e-mel yang dihantar kepadanya itu hanya memberitahu tentang maklumat menarik balik terhadap perbentangan kertas kerja tersebut tanpa memberitahu apa sebab utama.

"Surat jemputan kepada saya telah dihantar kepada saya lebih kurang tiga minggu lepas dengan menjemput saya membentangkan kertas kerja bertajuk undang-undang syariah.

"Tetapi pihak Kuis hanya menghantar email kepada saya untuk memaklumkan bahawa penarikkan balik perbentangan kertas kerja tersebut tanpa memaklumkan sebab dan kenapa," jelasnya.

Beliau memberitahu sehingga sekarang apa sebab sebenarnya penarikan tersebut dan melalui makluman dari pihak Kuis ia merupakan arahan dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Yang saya tahu ia adalah arahan dari Mais dan pihak Kuis tidak memaklumkan kepada saya sebab sebenar Mais membatalkan penyertaan saya.

"Hanya saya sahaja yang dibatalkan perbentangan kertas kerja manakala dua lagi panel meneruskan perbentangan kertas kerja mereka," sambungnya lagi.

Dalam pada itu beliau menyifatkan tiada apa-apa kesalahan yang berlaku kerana beliau hanya ingin membentangkan tentang undang-undang syariah dan ia adalah satu pendedahan kepada pelajar.

"Bagi saya apa yang dibentangkan adalah mengenai undang-undang syariah dan ia tidak bertentangan malah ia untuk kebaikan pelajar bagi mendalami undang-undang syariah serta merungkai apa jua persoalan.

"Kerugian hanya kepada pelajar bukan saya tetapi sehingga sekarang ada kekecewaan di hati saya tentang penarikkan tersebut yang saya sendiri tidak mengetahui sebabnya," sambung beliau lagi.

Sebelum itu Abdul Aziz telah menerima jemputan daripada Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) untuk membentangkan satu kertas kerja dalam seminar semalam.

Tetapi beliau menerima notis daripada Kuis yang memaklumkan Mais mengarahkan pihak penganjur membatalkan pembentangan kertas kerja tersebut.

Dalam masa yang sama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penjelasan segera berhubung tindakan mengarahkan kertas kerja Prof Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik daripada dibentangkan.


Pencen, caruman LTAT: Jangan aniaya bekas tentera | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Kementerian Pertahanan diminta bertindak adil kepada bekas-bekas anggota tentera dan mereka yang masih berada dalam perkhidmatan, terutama melibatkan pencen dan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sehingga kini skim pencen yang diberikan kepada bekas-bekas anggota tentera hanyalah dikhususkan kepada mereka yang berkhidmat sehingga tidak kurang 21 tahun, manakala mereka yang berhenti ketika perkhidmatan kurang tempoh itu tidak diberikan pencen.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (kiri) berkata, langkah tersebut ternyata tidak adil, malah jelas menganiaya bekas anggota tentera terbabit, pada hal mereka juga telah melakukan pengorbanan besar kepada negara walaupun tempoh perkhidmatannya kuurang 21 tahun.

Menurut beliau, untuk memberikan keadilan, mereka yang berkhidmat kurang 21 tahun juga patut diberikan pencen oleh pihak Kementerian Pertahanan.

Katanya, selain itu, kadar pencen di kalangan bekas tentera juga tidak sama antara mereka yang menamatkan perkhidmatan bermula tahun 2001 dan sebelumnya.

"Anggota tentera yang telah berkhidmat sehingga 21 tahun dan bersara mulai tahun 2001 menerima bayaran pencen llebih tinggi berbanding yang bersara sebelum tahun 2001. Ini jelas tidak adil dan menganiaya anggota tentera yang telah bersara sebelum tahun 2001.

"Oleh itu, bayaran pencen kepada mereka perlu diselaraskan bagi membolehkan mereka yang bersara sebelum tahun 2001 turut menerima bayaran pencen sama tinggi dengan mereka yang bersara mulai tahun 2001," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Pertahanan hari ini, beliau berkata, ketidakadilan juga turut berlaku berhubung caruman TLAT, apabila caruman tersebut hanya memberikan peluang kepada para pegawai.

Katanya, tabung tersebut ditubuhkan pada tahun 1991 yang disertakan penyelarasan gaji di kalangan anggota tentera ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pertahanan.

"Namun amat dikesali, caruman yang dibuat menerusi pembelian saham dengan potongan gaji 10 peratus itu tidak pula turut sama memberikan peluang kepada anggota tentera lain-lain pangkat.

"Demi keadilan, saya berharap agar anggota lain-lain pangkat turut diberkan peluang oleh pihak Kementerian Pertahanan bagi membolehkan mereka turut sama membuat caruman dalam tabung tersebut," ujarnya.

Beliau turut menyarankan pihak kementerian agar memberikan anugerah kepada Allahyarham Lefternan Adnan Saidi yang telah terkorban bersama 42 rakan-rakannya dalam mempertahankan negara ketika penjajahan Jepun.

Kehebatan, komitmen dan kesungguhan Allahyarham dalam mempertahankan negara, katanya, tidak dapat dinafikan lagi oleh sebarang pihak malah turut diakui pihak tentera Jepun.

"Pihak tentera Jepun sendiri mengatakan jika ada 10 orang rakyat Malaysia seperti Allahyarham Adnan Saidi belum tentu negara ini dapat dijajah," tegasnya.

Pengorbanan allahyarham, menurutnya, tidak sepatutnya dipandang sebelah mata dengan tidak diberikan anugerah yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik (kanan), Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman dan Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika bangun mencelah sewaktu penggulungan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, turut mendesak pihak kerajaan memberikan keadilan kepada bekas anggota-anggota tentera.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, Nasir Zakaria berharap agar pendedahannya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Sumber Manusia kelmarin diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian terbabit.

Dalam ucapannya, beliau mendedahkan beberapa aduan masalah yang sedang mencengkam pemandu-pemandu bas MARA Liner di seluruh negara.

Cengkaman tersebut berlaku ekoran tindakan pihak pentadbiran bas MARA Liner yang kini telah menghapuskan cuti isteri bersalin selama 7 hari kepada para pemandu bas tersebut.

Selain itu, cuti kematian waris dikurangkan dari 3 hari kepada 2 hari, kesukaran mendapatkan pinjaman bank disebabkan tidak mendapat sokongan majikan, tuntutan kerja lebih masa (OT) tidak dibayar jika melebihi 1/3 daripada gaji pokok.

Di samping itu, tuntutan elaun sewa khas bagi pemandu yang diarahkan keluar atas urusan sewa khas sebanyak RM17.00 terpaksa menunggu kadang-kadang hampir 6 bulan baru dibayar, manakala bil hospital untuk rawatan dan perubatan keluarga pula tidak 'dicover' oleh majikan.

"Tentang jawatan pula, dari pengurus, penyelia sampai ke pemandu, semuanya bertaraf kontrak. Mereka terpaksa 'sign' kontrak dua tahun sekali. Sampai bila tak tahu bila mereka akan diberikan taraf jawatan tetap dan disahkan jawatan oleh majikan," jelasnya.

Belau berharap agar segala permasalahan yang dialami oleh para pemandu dan kakitangan bas tersebut diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian terbabit bagi kepentingan kebajikan mereka.


Transformasi Najib hanya pembohongan | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 27 Nov: "Transformasi yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu pembohongan besar semata-mata, malah apanya dibanggakan olehnya itu hanya sekadar gimik," jelas Pakar Undang-undang Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Pandangan itu dinyatakan oleh Abdul Aziz apabila ditanya dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang telah dibaca kali kedua oleh Perdana Menteri di Parlimen pada Khamis yang lepas.

Beliau juga mempersoalkan di mana sebenarnya transformasi yang diperkatakan oleh Najib malah menyifatkan rang undang-undang tersebut lebih kejam dari Akta Polis 1967 yang sudah dilihat kejam sebelum ini.

"Rang undang-undang tersebut sebenarnya tidak masuk akal langsung dan saya sendiri tidak tahu kenapa ia dibentangkan, kalau sebelum ini Akta Polis 1967 telah dilihat kejam malah cadangan perlaksanaan yang baru ini lagi teruk.

"Dari sudut permohonan permit yang tidak munasabah malah tempat-tempat yang di tetapkan seperti hospital mahupun sekolah tidak dibenarkan sebarang perhimpunan diadakah tidak sesuai.

"Katakan kakitangan hospital dan juga guru-guru yang tidak berpuashati dengan sebarang perkara ingin mengadakan bantahan sudah pasti di tempat mereka bekerja dan kalau tempat tersebut tidak dibenarkan di mana mereka ingin membantah," jelasnya.

Abdul Aziz memberitahu dari sudut perlembagaan beliau meletakkan undang-undang yang tidak menepati apa yang terkandung dalam perlembagaan yang memberikan kebebasan rakyat berhimpun malah ia juga tidak menghormati amalan demokrasi negara.

"Malah tindakan yang akan dikenakan kepada penganjur jika terdapat kanak-kanak mahupun warga asing berada di kawasan ceramah itu juga satu yang di luar kawalan, adakah kita boleh menghalang kanak-kanak hadir ke tempat ceramah jika ia dilakukan di kawasan terbuka itu persoalan yang perlu difikirkan oleh Najib.

"Selain itu juga denda yang dikenakan itu tidak munasabah dengan kesalahan yang dilakukan iaitu RM10 ribu hingga RM20 ribu, dalam pada itu kuasa kepolisan untuk mengunakan kuasa mereka dalam menghalang penganjur agar mengikut perintah mereka dan ini membolehkan berlakunya keganasan jika polis bertindak sedemikian.

"Jelas wujud ugutan dalam undang-undang terbaru ini, Najib mungkir janji dan jelas apa yang dilakukan olehnya ini lebih teruk lagi dengan apa yang dijanjikan," ujarnya.

Tambahnya, memang menjadi satu rekod dalam pentadbiran Najib yang mana undang-undang barunya itu lebih teruk dari akta yang ingin dimansuhkan.

"Najib sentiasa mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah, kenyataannya tidak konsisten dan semua dilihat memperbodohkan rakyat.

"Kerajaan hanya melihat mereka sahaja yang betul dan apa yang dibuat oleh orang lain semuanya salah, inilah akibatnya bila tidak pernah menjadi pembangkang dan apa yang saya lihat apa yang dilakukan oleh kerajaan itu sebenarnya untuk kebaikan mereka sendiri," katanya lagi.

Abdul Aziz bertegas kerajaan perlu memansuhkan semua undang-undang mahupun akta yang dilihat menyekat kebebasan rakyat malah yang bertentangan dengan dasar demokrasi negara bukannya mewujudkan Rang Undang-Undang baru untuk terus menyekat demokrasi rakyat dan perlembagaan negara.


PKR ada hala tuju jelas dalam Pakatan | Print |
Muhammad Faizal

JOHOR BAHRU, 27 Nov: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menyambut baik ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Kongres Nasional Keadilan kali ini.

Beliau berkata, ucapan tersebut menggambarkan hala tuju yang jelas tentang peranan penting Keadilan dalam meletakkan posisi parti tersebut di dalam Pakatan Rakyat.

"Ucapan ini harus menjadi fokus kepada semua perwakilan kerana ia jelas menggambarkan komitmen yang tinggi dalam kita memberi impak baru pada pilihan raya yang akan datang," jelasnya ketika ditemui, semalam.

Tambahnya, pilihan Negeri Johor sebagai tempat kongres kali ini dilihat sebagai satu pilihan yang tepat kerana ia merupakan satu cabaran baru kepada Umno Barisan Nasional.

"Pemilihan tempat ini pasti memberi tamparan yang kuat kepada Umno Barisan Nasional dan bagi Pakatan Rakyat ia merupakan peluang untuk kita memposisikan kedudukan kita di negeri ini malah cukup penting ia dapat mengubah lanskap politik Johor.

"Saya berharap ia dapat memberi nilai tambah terhadap masa depan dalam Pakatan Rakyat dan apa yang boleh dicapai di Johor sendiri pada pilihan raya yang akan datang.

"Berharap kejayaan ini dapat boleh ditembusi di Johor dan memudahkan laluan kita ke Putrajaya," jelasnya.

Salahuddin menyifatkan sambutan ini satu yang luar biasa terutamanya Johor merupakan kubu kuat kepada Umno.

"Hari ini melihat kepada sambutan yang diperolehi kita pasti kubu kuat Umno sudah dapat kita tembusi dan pada hari ini ia merupakan satu impian kehendak rakyat di Johor," sambung beliau.

Ketika ditanya tentang khabar angin mengatakan nama beliau disebut sebagai salah seorang Menteri Besar Johor, Salahuddin memberitahu tentang kedudukan siapa Menteri Besar itu bukan satu perkara yang penting.

"Tentang kedudukan ia bukanya satu yang diutamakan dalam Pakatam Rakyat dan bagi saya siapa yang dipilih itu perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sekarang yang paling utama adalah kita harus memenangi pilihanraya nanti kerana matlamat asal kita adalah ingin menawan Putrajaya. Dalam pada itu kita harus menyakinkan rakyat dengan meletakkan barisan kepimpinan terbaik di Johor bagi memastikan segala usaha murni di Johor dapat dilaksanakan apabila kita memenangi pilihanraya nanti.

"Berkenaan dengan kedudukan saya yang akan bertanding di mana itu diputuskan pada peringkat pusat dan saya hanya mengikuti apa yang diputuskan, yang penting sekali adalah kemenangan," katanya lagi.


Perjanjian PTPTN-CIMB Bank bebankan pelajar | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Perjanjian pinjaman antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan CIMB Bank yang dipunyai adik kepada Perdana Menteri, dikenal pasti mendatangkan satu bebanan amat berat kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi dan ibu bapa di negara ini.

Bebanan tersebut terpaksa ditanggung ekoran penetapan kadar faedah cukup tinggi sehingga 5.17 peratus setahun, sehingga menyebabkan banyak lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) gagal menyelesaikan hutang masing-masing dengan PTPTN.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan BN perlu sedar perkara itu dan tidak sewajarnya menyalahkan pihak pelajar atau mahasiswa yang sukar membayar pinjaman mereka dengan PTPTN.

Menurut beliau, sebaliknya, pihak kementerian dan kerajaan sendiri terlebih dahulu perlu mengkaji kembali perjanjian pinjaman yang telah dimetrai antara PTPTN dan CIMB Bank.

Katanya, kadar faedah yang terlampau tinggi akhirnya pasti membebankan para peminjam itu sendiri, tetapi jika kadar faedah dengan bank rendah, para peminjam tidak lagi perlu membayar caj perkhidmatan yang dikenakan.

"PTPTN dahulunya mengenakan kadar caj sebanyak 4 peratus, kemudian diturunkan kepada 3 peratus dan kini melalui sistem ujrah yang dikatakan berlandaskan syariah masih lagi mengekalkan kadar caj sebanyak 1 peratus yang sepatutnya sudah tidak dikenakan lagi," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Dasar Pendidikan Negara pada masa kini, menurut beliau, sememangnya agak menyukarkan para pelajar sehingga apabila melangkah keluar universiti setelah menamatkan pengajian, mahasiswa sudah berhutang.

Katanya, setelah berhempas pulas untuk memasuki universiti, selepas keluar universiti, para mahasiswa telah dikejar dengan "Lembaga" yang digelar PTPTN.

"Pada hal pihak kerajaan sendiri perlu sedar, terdapat pelajar yang selepas bergraduasi masih tidak mempunyai pekerjaan dan ini amat menyukarkan pelajar berkenaan untuk membayar balik pinjamannya," tegasnya.

Beliau menyarankan pihak kementerian membuat prosedur agar mahasiswa yang masih belum mempunyai pekerjaan tidak disenaraihitamkan sebagai mereka yang enggan atau tidak membayar hutang.

Ketika berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi pada persidangan Dewan Rakyat Selasa lalu, beliau turut menyebut perkara itu dan turut mendedahkan fakta-fakta berhubung hutang para pelajar dengan PTPTN.

Sehingga Oktober lalu, seramai 69,573 pelajar yang meminjam dengan PTPTN telah diperintahkan supaya membayar balik pinjaman mereka oleh mahkamah.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau pula menjelaskan, sehingga kini seramai 104,083 peminjam telah disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka.

Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.2 bilion jumlah yang sepatutnya diperolehi.

Sehingga kini, 132,801 pelajar telah disenaraihitam dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman mereka, manakala 8,143 pelajar yang telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen telah membayar balik pinjaman mereka membabitkan kutipan kira-kira RM146 juta.

Menurutnya, di dalam jawapan kementerian kepada soalan yang dikemukakan oleh beliau pada persidangan Dewan Rakyat 17 November lalu, dijelaskan bahawa pihak kementerian tidak bercadang untuk melaksanakan sistem ujrah itu secara automatik.

"Maknanya, peminjam perlu mengisi perjanjian baru untuk menukar sistem ujrah. Saya ingin menarik perhatian kementerian, sedar atau tidak bahawa perjanjian ujrah ini juga menghendaki peminjam menandatangi akuan untuk membenarkan pembayaran pinjaman dengan pemotongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri?

"Pihak kementerian dalam Dewan yang Mulia ini bersetuju pemotongan gaji ini masih tidak dilaksanakan, tetapi kenapa perlu wujudnya akuan ini di dalam sistem ujrah?" tanyanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak kementerian terbabit mencari kaedah lain untuk mengutip kembali pinjaman selain mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih belum membayar pinjaman mereka.

Tiada ulasan: