Rabu, 16 November 2011

IKUT PINTU BELAKANG DAH SALAH...JIKA IKUT ADAT DUNIA...JANGAN IKUT PINTU BELAKANG MASUK NERAKA..NI LAGI TERUK

Dakwat kekal: Pakatan akan sokong pindaan perlembagaan | Print |
Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 15 Nov: Pakatan Rakyat hari ini menyatakan komitmen akan memberi sokongan penuh kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan dakwat kekal digunakan pada pilihan raya umum nanti.

"Bagi memastikan pindaan tersebut dapat dilakukan, kesemua parti di dalam Pakatan Rakyat bersetuju memberi sokongan jika ia memerlukan undi 2/3 di dalam Dewan Rakyat," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, dengan komitmen yang dizahirkan Pakatan Rakyat itu, beliau mahu kerajaan terus berdolak dalih lagi dalam menyegerakan hal tersebut untuk dibawa ke parlimen.

Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara menggemukakan draf berhubung pindaan perlembaagaan itu agar dapat dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini.

"Sebelum ini kenyataan Peguam Negara mengatakan penggunaan dakwat kekal hanya dapat dilakukan jika ada pindaan dalam Perlembagaan walaupun secara umum ramai pengamal media tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

"Walaupun apa jua kenyataan kita tetap mengganggap ia sebagai elak atau dalih Peguam Negara untuk melambatkan proses ini. Saya ingin nyatakan Majlis Pakatan Rakyat bersedia terima kenyataan tersebut dengan syarat ia dilakukan segera," jelasnya merujuk kepada kenyataan Peguam Negara pada tahun 2008.

Turut serta pada sidang media itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan beberapa pimpinan kanan parti masing-masing.

Sebelum ini penggunaan dakwat kekal telah dituntut oleh pembangkang sebelum pilihanraya umum 2008 lagi dan ia juga merupakan salah satu dari lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0 sebelum ini.

Rapat umum PR

Sementara itu Anwar juga memberitahu bagi menjalinkan hubungan baik antara rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat satu Himpunan Rapat Umum Pakatan akan diadakan pada 4 Disember nanti di Stadium Melawati Shah Alam.

"Kita akan lancarkan satu program pada 4 Disember oleh pimpinan Pakatan Rakyat di Stadium Melawati," jelas Anwar.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menjelaskan program yang dijadualkan pada 4 Disember itu adalah untuk mewujudkan suasana mesra rakyat dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Selain himpunan tersebut kita juga telah berbincang dengan Sekteriat Pakatan Rakyat agar menyusun jadual di setiap peringkat negeri untuk kita membawa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat turun ke bawah," jelasnya

Mahfuz juga menjelaskan ia bukan sahaja melibatkan ceramah-ceramah umum tetapi juga mendekati rakyat secara terus untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka di seluruh negara.


‘Asal bukan Umno’ untuk tuntut Umno berubah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Rakyat Melayu Islam digesa jangan terus membuta tuli menyokong kerajaan yang sengaja menakut-nakutkan mereka dengan propaganda ‘tanpa Umno, mereka hilang tempat bernaung’.

Dalam satu kenyataan hari, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, banyak penulisan kebelakangan ini daripada pemikir Melayu Islam yang meluahkan kebimbangan terhadap kekuasaan orang Melayu Islam – seolah-olah melihat dengan jatuhnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), maka kekuasaan orang Melayu juga akan turut hilang.

“Kewujudan Pakatan Rakyat (PR) dilihat akan melemahkan kekuasaan orang Melayu dan juga akan menghakiskan kekuatan Islam di negara ini. Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan Umnolah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah.

"Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno. Namun, apa yang penting ialah ‘Adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?" tanya beliau.

Tuan Ibrahim berkata walaupun hujah di atas sekali imbas, atas permukaan ada terasa seperti benar namun beliau memberikan lapan hujah untuk direnungkan rakyat Melayu Islam sebelum membuat kesimpulan.

Kalau betul Umno pentingkan kekuasaan Melayu Islam, kenapa tiada tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah - sehinggakan ada kawasan parlimen yang jumlah pemgundinya mencecah hampir seratus ribu orang.

Kenapa tambahan kerusi banyak pula dilakukan di Sarawak dan Sabah?

Umno dah tewas lebih 20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana.

Kalaulah benar Umno ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut. Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong Umno di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?

Kenapa Umno sanggup serahkan beberapa kerusi parlimen yang dahulunya ditandingi oleh Umno kepada parti lain seperti yang berlaku di Kuala Selangor, Kuantan, Raub, Port Dikson dan puluhan kerusi yang lain. Bukan ke ini Umno sendiri yang melakukan pengkhianatan kepada Melayu?

Siapakah yang membuang tulisan Jawi dari sistem pendidikan kalau bukan kerajaan Umno dan menteri yang mencadangkannya pun dari Umno?

Siapa yang meluluskan pelbagai jenis loteri dan judi halal untuk berakar umbi di negara ini kalau bukan pemimpin Umno?

Apakah hanya Melayu Umno (yang pandai mengampu sahaja, yang mengkritik tak termasuk) dianggap sebagai Melayu Islam, sedangkan kalau Melayu dari PAS, PKR dan DAP mereka ini bukan Melayu Islam?

Untuk Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, kebimbangan hilangnya kekuasaan orang Melayu dilihat tertunjang dengan kekuasaan Umno – seolah-olah tiada parti lain dalam Malaysia yang akan memelihara kuasa Melayu dsn agama Islam.

“Namun hakikatnya, dalam soal membela Melayu, Umno selama ini tidak mampu menaikkan martabat dan sosio-ekonomi mereka dengan ketara walaupun sudah 54 tahun memerintah negara. Begitu juga, dalam soal membela Islam, berapa kali Umno melacurkan Islam dan menggunakan Islam hanya apabila keadaan perlu untuk memelihara kepentingan politik semata-mata?” tegas beliau.

Tuan Ibrahim turut menyifatkan parti komponen BN masih mengamalkan pemikiran sempit dari era sebelum merdeka.

“Namun, pemikiran sedemikian diyakini akan bakal berakhir dengan kemunculan gabungan politik berbentuk majmuk seperti PAS-PKR-DAP, di mana ketiga-tiga parti ini boleh menerima semua bangsa sebagai ahli mereka tidak seperti gabungan Umno-MCA-MIC,” kata beliau.

Kini, kata Tuan Ibrahim rakyat negara dilihat sudah bersedia berhadapan dengan era baru yang lebih terbuka. Beliau turut mengingatkan hakikat bahawa kaum dan bangsa seseorang bukanlah pilihan seseorang manusia - ianya ketentuan Allah.

“Lantaran itu, Islam melihat kemuliaan bukan kepada bangsa dan warna kulit tetapi pada ketaqwaannya,” terang beliau sambil bertanya, “Apakah yang rakyat Melayu Islam nak bangga kalau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa berleluasa dalam negara diketuai oleh sebuah kerajaan yang majoriti ahlinya mendadik dada sebagai pembela orang Melayu dan Islam?”

Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa rakyat Melayu Islam mesti melakukan perubahan besar untuk melahirkan umat Islam yang kuat akidahnya dalam berpegang kepada ajaran Islam.

“Mereka perlu segera menyelaraskan tindakan mereka dengan ajaran Islam dan menterjemahkan sifat sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, tanpa mengira apakah mereka Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Kerana itu, janganlah mereka terus mempertahankan kerajaan korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan dengan berselindung semata-mata atas nama mempertahankan Melayu dan Islam. Ini bukan sahaja memalukan umat Melayu Islam malah mencemarkan agama Allah kerana penganutnya bersifat sebegitu rupa,” tegas beliau lagi.


Penyenaraian FGVH: 360,000 hektar tanah dikorban | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan membuktikan dakwaannya bahawa penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia tidak akan menjejaskan aset peneroka Felda.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa penyenaraian itu akan menyebabkan 360,000 hektar tanah akan dicagar kepada FGVH bermula Januari tahun hadapan.

Ahad lalu, Ahmad turut mengakui kemungkinan tindakan itu akan dilakukan.

"Saya mencabar beliau (Ahmad Maslan) sebagai menteri yang bertanggungjawab, tolong nafikan sebab kita ada bukti bahawa antara aset yang dikorbankan ialah tanah Felda Plantation seluas 360,000 hektar," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Membidas kenyataan Ahmad bahawa "kerajaan tidak akan menyentuh walau segenggam pun tanah peneroka", Mazlan berkata, jika benar jaminan tersebut, kerajaan tidak perlu mencagarkan tanah Felda Plantation yang dibangunkan menggunakan modal daripada peneroka sendiri.

"Kalau kata tidak terjejas, kenapa tanah Felda Plantation ini yang modal pembangunan untuk membangunkan tanah datang daripada peneroka tiba-tiba ingin dipajakkan kepada FGVH?

"Bayangkan pendapatan daripada tanah ini tidak kurang daripada RM2,000 juta setahun tiba-tiba nilai pajakan hanya RM251 juta, ertinya Felda kehilangan lebih kurang 80 peratus daripada pendapatan sebenar daripada tanah ini," jelas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Selain itu, Mazlan turut mempertikai keputusan untuk mencagarkan tanah itu sedangkan beberapa negeri tidak memberikan hak kepada kerajaan Persekutuan.

"Bagaimana pula dengan isu membabitkan kerajaan negeri kerana difahamkan FGVH tidak mendapat hak milik (tanah) daripada kerajaan negeri termasuk Terengganu dan beberapa negeri lain," katanya.

Keputusan untuk mencagarkan tanah itu juga dibuat dalam mesyuarat tanpa keehadiran Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang mengerjakan umrah ketika itu.

Serah bantahan kepada PM

Sementara itu, Mazlan Aliman memberitahu, pihaknya akan menyerahkan bantahan rasmi terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan Pengerusi Koperasi Felda (KPF) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 Disember depan.

Kempen Bantah Isa Samad yang bermula awal Oktober lalu telah mengumpul tandatangan peneroka di seluruh negara bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap Isa yang didakwa dilantik sebagai Pengerusi Felda melaui pintu belakang.

Isa juga didakwa tidak sah menjadi Pengerusi KPF kerana beliau bukan peneroka atau ahli keluarga peneroka.

Sedangkan menurut Undang-Undang Kecil Felda, untuk menjadi Pengerusi KPF, seseorang itu mestilah seorang peneroka, kakitangan Felda atau anak peneroka.

"Kita akan serahkan bantahan kepada Perdana Menteri meminta beliau segera menghentikankontrak Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan kita juga minta penyenaraian FFGVH dibatalkan," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, masing-masing Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Pokok Sena.


Awang Adek berniat jahat tolak amanat Tun Razak | Print |
Rizal Tahir

PASIR PUTIH, 15 Nov: Tindakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menolak poster amanat bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak oleh skuad Gegar sebagai tindakan ‘jahat’.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata tindakan timbalan menteri dari Kelantan itu berniat jahat untuk menafikan hak kerajaan dan rakyat di negeri ini mengikut perundangan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas reaksi Awang Adek yang menolak menerima poster yang antaranya mengandungi ucapan allahyarham Tun Abdul Razak berhubung hak negeri itu untuk mendapatkan royalti sebanyak lima peratus.

Katanya, tuntutan itu memang wajib dilakukan kerana ianya menjadi hak kerajaan negeri memandangkan hasil minyak terdapat dalam perairan Kelantan.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis solat hajat dan pecah tanah sempena projek naik taraf Loji Rawatan Air Wakaf Bunut, Pasir Putih, dekat sini tengah hari tadi.

“Kalau Terengganu dibayar royaltinya kerana minyak diambil dari negeri itu, begitu juga dengan Kelantan, hasil minyak juga diambil dari bumi Kelantan,” ujarnya.

Pada 10 November lalu, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (Gegar) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti ke Parlimen untuk menyerahkan poster tersebut kepada pihak kerajaan Pusat.

Setiausaha Gegar, Muhammad Hishammuddin Ghazali, berkata malangnya, poster berkenaan ditolak oleh Dr Awang Adek apabila ianya diserahkan kepada timbalan menteri tersebut.

“Sebanyak dua kali kami memberikan poster tersebut, kedua-duanya dia menolak dengan kasar, tak payah,… tak payah… sambil menolak poster yang diberikan.

“Kali kedua kami memberikan padanya dia kata lagi “tak payah… tak payah… ini semua kerja politik,” ujar Hishamuddin lagi.

Hishammudin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan timbalan menteri yang berasal dari Kelantan sendiri berhubung tuntutan hak itu.

Katanya, sepatutnya sebagai orang yang berasal dari Kelantan menyokong apa yang diperjuangkan kerana ianya untuk kemajuan rakyat di negeri itu sendiri.

“Di sini jelas menunjukkan kepada kita, isu royalty minyak yang masih gagal diperolehi kini dikhianati oleh orang Kelantan sendiri.

“Mana bukti yang mengatakan untuk membantu rakyat Kelantan, mana slogan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” ujarnya ketika dihubungi semalam.


Anak ada bukti Isa dilantik 'ikut pintu belakang' | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa mempunyai bukti perlantikan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) lalu dibuat secara tidak sah dan 'ikut pintu belakang'.

Mendedahkan hal itu, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat mendakwa, beliau mempunyai maklumat satu surat melalui setiausaha sulit kanan Perdana Menteri telah dihantar kepada Isa sebagai mengesahkan perlantikan tersebut.

"Kita ada bukti melalui satu surat yang dihantar melalui setiausaha sulit kanan perdana menteri yang mengesahkan perlantikan beliau (Isa) sebagai pengerusi koperasi walhal mesyuarat agung KPF melantik dan memilih Datuk Dzulkifli Wahab sebagai pengerusi," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Mazlan lagi, Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli koperasi kerana beliau bukanlah seorang peneroka dan bukan kakitangan Felda, apatah lagi untuk menjadi pengerusi KPF.

"Kalau sekalipun dia guna seksyen dibawah menteri koperasi bertanggungjawab, sekurang-kurangnya dia perlu menjadi ahli koperasi selama dua tahun baru boleh dilantik sebagai pengerusi KPF," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, dua Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Pada 25 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat memberitahu, Isa yang juga Pengerusi Felda Holdings Bhd, secara rasminya masih belum dilantik sebagai pengerusi KPF.

Ahmad Maslan berkata pelantikan Isa sebagai Pengerusi KPF akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah Felda mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Koperasi 1993 dan undang-undang kecil KPF.


Sultan Kedah kesal hospital belum dibina | Print |
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 15 Nov: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kesal kerana perancangan pembinaan hospital di daerah Pendang dan Bandar Baharu masih belum terlaksana sehingga kini.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, penggal keempat, mesyuarat Bajet 2012 pagi tadi.

Titah baginda lagi, kegagalan kerajaan persekutuan menyediakan infrastruktur awam itu mengakibatkan rakyat menghadapi kesukaran apabila terpaksa bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan di luar daerah.

Justeru baginda berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan susulan agar kemudahan hospital yang dimaksudkan dapat disediakan demi kebaikan rakyat di negeri itu.

Baginda turut berbangga dengan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan projek-projek utama yang dirancang melalui Pelan Strategik Kedah Sejahtera.

Menurut baginda, perlaksanaan projek-projek melibatkan pertanian, pembuatan, pelancongan dan pembangunan insan memberikan impak positif kepada ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri itu.

Tindakan kerajaan negeri membangunkan semula Plaza Tunku Yaakub yang telah sekian lama terbengkalai dan pembangunan semula Kuala Kedah serta pembangunan bandar baru di Pokok Sena juga mendapat penghargaan.

Selain itu, baginda turut menghargai usaha murni kerajaan negeri mewujudkan Maahad Tahfiz Sains yang bakal membentuk generasi intelek berakhlak mulia dan mampu menguasai Al-Quran sebagai panduan di dalam kehidupan mereka.

Sehubungan itu baginda berharap proses tersebut hendaklah dijalankan secara berterusan bagi memastikan projek yang dirancang dapat memberikan faedah kepada semua pihak.

Terdahulu baginda berkenan melakukan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormatan 130 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Kuala Lumpur.


Tiada ulasan: