Ahad, 20 November 2011

ARAHAN LAIN...BUAT LAIN...BERCELARU...JANGAN YANG SALAH TERLEPAS...DUNIA LEPAS..AKHIRAT SANGKUT...

ISA: Hishammuddin sengaja nak malukan Najib | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein didakwa sengaja bertindak untuk memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan penahanan 13 orang di bawah ISA di Sabah sejak Isnin lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, penahanan tersebut tidak sewajarnya berlaku setelah Perdana Menteri sendiri mengumumkan pemansuhan ISA.

Menurut beliau, pengumuman pemansuhan akta zalim itu dibuat oleh Perdana Menteri dengan memilih hari amat bersejarah bagi negara pada 16 September lalu.

Katanya, pengumuman tersebut jelas menunjukkan usaha Perdana Menteri untuk memansuhkan akta-akta zalim yang dilaksanakan di negara ini sejak sekian lama sejajar dengan perkembangan masa.

"Namun penahanan 13 orang di bawah ISA di Sabah itu pasti menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak. Ia seperti menggambarkan keadaan tertentu yang berlaku di kalangan pemimpin BN," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penahanan 13 orang yang didakwa anggota kumpulan militan itu dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Ismail juga mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan, namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Menurut Salahuddin, pertanyaan umum yang timbul kepada orang ramai ekoran penahanan itu, adakah pihak polis yang berada di bawah Hishamuddin sengaja melakukan tindakan itu untuk memalukan Najib?

Katanya, andaian tersebut mempunyai asas yang kuat sehingga memperlihatkan Perdana Menteri hanyalah berseorangan dalam usaha untuk memansuhkan akta tersebut.

"Tindakan tersebut tidak akan berlaku jika tidak terdapat motif besar dari Datuk Seri Hishamuddin untuk menjatuhkan Perdana Menteri?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Dengan penahanan 13 orang itu, tambah beliau, usaha yang sedang dilakukan oleh Najib untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu jelas tidak turut sama didokongi Hishamuddin.

"Pada hal setelah pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri sendiri, penahanan seseorang di bawah ISA sepatutnya sudah tidak berlaku lagi di negara ini," ujar beliau.

50 penggiat ICT, media baru NS berhimpun

Harakahdaily

SEREMBAN, 19 Nov: Seramai 50 orang menyertai Himpunan Penggiat ICT dan Media Baru Negeri Sembilan yang diadakan selama 4 jam mulai jam 2.00 petang di sebuah dewan dekat Senawang pada petang tadi.

Himpunan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob.

Hadir sama adalah Pengarah IT PAS Negeri Sembilan, Samsul Kamal Idris, Pengarah IT PAS Negeri Pahang Ahmad Samsuri bersama 3 ahli jawatankuasanya.

Turut hadir adalah Setiausaha Perhubungan, Ketua Penerangan dan Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan.

Dr. Rosli menyebut, Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan hanya memerlukan 4 kerusi sahaja lagi setelah mempunyai 15 daripada 36 kerusi untuk menguasai kerajaan Negeri Sembilan selepas menerima resolusi yang diputuskan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 yang diadakan sebelum ini dari Pengarah IT Pusat.

Beliau berharap penggiat ICT dan Media Baru yang hadir hari ini dapat mengenal pasti sasaran yang tepat supaya dapat menyampaikan mesej yang berkesan kepada pengundi-pengundi sasaran.

Pengarah IT PAS Pusat, Suhaimi Embong telah memberikan taklimat khas bertajuk ‘Perlaksanaan ICT dan Media Baru Menghadapi PRU ke-13’ dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman pula menyampaikan ucapan berkaitan dengan tajuk ‘Strategi dan kandungan Media menghadapi PRU ke-13’.

Suhaimi dalam taklimatnya berkata, persaingan dalam menguasai ruang siber pada PRU ke-13 nanti adalah kemuncak kepada ‘perang siber’ setelah dimulakan dalam pilihanraya ke-10 dalam tahun 1999 dulu.

Manakala Ahmad Lutfi Othman menyebut pilihanraya umum ke-13 ini adalah paling sengit kepada BN kerana pertama kalinya dapat disaingi secara seimbang oleh PR dengan adanya media baru ini.

PMIUM sokong Projek Laporan Rakyat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyambut baik Projek Laporan Rakyat yang dilancarkan oleh Pusat Kajian Polisi Awam, baru-baru ini.

“Saya memuji inisiatif CPPS dan NGO anak muda UndiMsia yang memulakan langkah pembaharuan dalam proses demokrasi dengan memperkenalkan suatu sistem penilaian bagi menilai keberkesanan perkhidmatan wakil rakyat di Malaysia,” kata Presiden PMIUM, Muhammad Safwan Anang Talib.

Di Malaysia, ujarnya ketidakadilan berlaku apabila tidak wujud suatu sistem di mana wakil rakyat yang dipilih sendiri oleh rakyat boleh dinilai secara khusus dari sudut pencapaian dan prestasi mereka.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi rakyat yang tidak berpuas hati berkenaan prestasi wakil rakyat kerana hanya mempunyai pilihan tunggal.

Tambahnya, rakyat hanya boleh menunggu pilihan raya akan datang untuk mengundi wakil rakyat lain sebagai ganti.

“Justeru saya melihat Projek Laporan Rakyat ini bakal menjadi simbol transparensi dalam proses demokrasi di Malaysia.

“Selain boleh meningkatkan partisipasi rakyat, saya melihat projek ini bertindak sebagai amaran kepada wakil rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, mana-mana wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan baik, mempunyai pencapai yang merosot, menawarkan perkhidmatan yang tidak efisien bakal disingkir sendiri oleh rakyat tanpa perlu menunggu pilihanraya penggal akan datang.

Jika di universiti, katanya mahasiswa akan dinilai dari sudut prestasi pembelajaran sama ada dalam ujian pertengahan semester atau peperiksaan akhir setiap semester.

Malah, ujarnya prestasi dan perkhidmatan para pensyarah juga dinilai sama ada memenuhi kualiti yang diperlukan universiti atau tidak.

“Apatah lagi wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, apakah mereka tidak boleh dinilai sendiri oleh rakyat?” soalnya.

Di peringkat mahasiswa, katanya PMIUM mencadangkan agar Projek Laporan Rakyat ini diiktiraf di peringkat kerajaan sebagai salah satu sistem penilaian perkhidmatan wakil rakyat yang mesti dijalankan di seluruh negara.

Tambahnya, PMIUM juga mencadangkan agar hasil laporan itu dibentangkan di peringkat kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menjadi perhatian masyarakat umum.

Namun, katanya lagi satu persoalan yang timbul ialah apakah tindakan seterusnya jika seseorang wakil rakyat dibuktikan oleh Projek Laporan Rakyat gagal memberi perkhidmatan yang baik.

Justeru, ujar beliau suatu bentuk pembaharuan dalam demokrasi berkenaan tindakan atau penyingkiran wakil rakyat yang gagal memberi perkhidmatan yang baik juga perlu difikirkan bersama.

Jangan pandang remeh rakyat alami masalah mental | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Lebih 5 juta rakyat Malaysia dijangka mengalami masalah mental atau gila dalam jangka 5 tahun lagi disebabkan pelbagai faktor.

Kajian tersebut dibuat oleh Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan yang turut disiarkan di dalam blog kementerian terbabit dan beberapa blog media tempatan.

Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kajian bahagian itu menunjukkan mereka yang berpotensi menjadi gila dalam jangka masa itu terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak yang dianggarkan 20 peratus termasuk lelaki dan perempuan.

Menurut beliau, manakala selebihnya terdiri daripada golongan dewasa yang dianggarkan sebanyak 11.2 peratus iaitu 3.3 juta orang termasuk lelaki dan wanita.

Katanya, kajian tersebut dikeluarkan pada 14 November lalu dan berdasarkan kajian itu jelas menunjukkan Malaysia sedang menuju keadaan yang tidak rasional menjelang tahun 2020.

"Tetapi kita amat kesal kerana pihak Kerajaan BN sehingga kini masih memandang sebelah mata perkara itu dengan tidak melakukan langkah-langkah yang komprehensif dan konkrit bagi mengatasinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Berdasarkan laporan Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, menurut beliau, bilangan rakyat Malaysia yang telah menjadi gila sehingga akhir tahun 2010 berjumlah 2,220 orang.

Katanya, jumlah tersebut sepatutnya semakin berkurangan, tetapi anggaran kajian itu menjelang tahun 2020 ternyata semakin meningkat dengan angka yang amat membimbangkan.

"Menyedari perkara itulah saya telah membangkitkan persoalan mengenainya pada persidangan Dewan Rakyat pada 15 November lalu, tetapi jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan ternyata jauh menyimpang," katanya.

Pada persidangan Dewan Rakyat 15 November lalu, pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh beliau meminta Menteri Kesihatan menyatakan penyelesaian pihak kementerian bagi menangani gejala pembunuhan secara kejam yang berlaku dalam negara.

"Antara faktor yang boleh dikenalpasti ialah ia mempunyai kaitan dengan kesihatan mental (mental health) anggota masyarakat. Jadi apakah kementerian mempunyai rancangan mental untuk diperkenalkan kepada anggota masyarakat yang telah dikenalpasti berisiko tinggi?" katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, jelasnya, tidak pun menjawab pertanyaan beliau itu, sebaliknya mengatakan mereka yang menjadi gila disebabkan pengambilan alkohol, manakala orang gila terbabit dengan pembunuhan dikatakan amat kecil disebabkan berjaya dikawal dengan rawatan dan perubatan, berbanding penagih alkohol.

Menurutnya, berdasar jawapan itu jelas menunjukkan pihak Kerajaan BN atau Kementerian Kesihatan tidak mempunyai perancangan yang komprehensif atau menyeluruh dan konkrit atau kemas bagi mengatasai masalah itu.

"Sedangkan menurut kajian pelbagai pihak, seseorang yang berisiko menjadi gila itu bukan sahaja kerana faktor keturunan, tetapi juga stress yang berpunca dari pelbagai faktor termasuk kegagalan dalam peperiksaan, rumah tangga dan dalam hidup," katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Untuk mengatasi masalah itu, pihak Kementerian Kesihatan, tambahnya, sepatutnya mengambil langkah-langkah yang komprehensif dan secara bersepadu dengan turut melibatkan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Kementerian Wanita, Masyarakat dan Keluarga.

Katanya, selain itu, pihak Kerajaan BN juga sepatutnya turut menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mencegah dan merawat mereka yang berisiko menjadi gila, termasuk menerusi kaedah-kaedah lebih berkesan terutama melibatkan aspek agama.

"Namun kesemua itu ternyata tidak dilakukan bagi mengatasinya. Malah setelah dikenalpasti berpunca dari alkohol, tidak pula dilakukan langkah yang sepatutnya bagi mengatasinya," tegasnya.

Beliau juga kesal kerana pegawai-pegawai yang bertanggungjawab bagi memberikan khidmat kaunseling kepada mereka yang berisiko menjadi gila sehingga kini tidak ditambah dan hanya berjumlah 0.08 peratus atau 228 orang sahaja.

"Dengan langkah-langkah pencegahannya yang tidak komprehensif dan tidak konkrit, apakah yang mampu diharapkan oleh rakyat negara ini kepada pihak Kerajaan BN bagi mengatasi masalah itu," ujar beliau kesal.

ISA: PAS harap polis hormati PM | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 19 Nov: PAS mengingatkan pihak keselamatan membebaskan segera semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah mengumumkan akta itu dimansuhkan.

AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman ketika dihubungi Harakahdaily berkata, tindakan terbaru pihak polis yang menangkap 13 orang di bawah akta itu di Sabah adalah satu penghinaan kepada Najib dan juga seluruh rakyat yang dijanjikan pemansuhan akta itu.

"Kalau polis ada bukti, heret ke mahkamah, dakwa mereka, bukan guna ISA.

"Kuasa polis 'lebih besar' dari perdana menteri nampaknya. Ini satu penghinaan kepada pengumuman PM," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam bahawa penahanan 13 orang yang didakwa anggota kumpulan militan, dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Ismail semalam juga mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Serah memo ke Suhakam

Dalam pada itu, Mazlan yang kini berada di Sabah memaklumkan satu memorandum akan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Kota Kinabalu pada 21 November ini.

Memorandum dari anggota keluarga tahanan itu menuntut Suhakam mendesak kerajaan membebaskan semua tahanan tersebut.

Selain kepada Suhakam, pihak keluarga juga akan menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri di parlimen.

Pada masa sama, Mazlan turut mengalukan kenyataan Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam yang meluahkan rasa kecewa penangkapan terbaru di bawah akta itu.

Hasmy Agam semalam juga menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam.

Selain itu, PAS Sabah juga ujar Mazlan telah melancarkan derma kilat bagi membantu anggota keluarga mangsa tahanan.

"Rata-rata isteri tahanan ini bergantung kepada pekerjaan suami.

"Tidak lama lagi akan buka sekolah, sudah tentu mereka perlukan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya sambil menyeru orang ramai turut sama membantu.

Buang kakitangan awam jadi agenda sempit Umno BN

Tarmizi Mohd Jam

KETIKA desas-desus Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bertiup kencang, Umno dan Utusan tidak heti-henti cuba menarah pengaruh DAP dalam Pakatan Rakyat. Usaha yang sama terus dilakukan mereka terhadap PAS dan KeADILan.

Peluang dan ruang diguna sepenuhnya bagi meragukan sokongan rakyat terhadap Pakatan. Apa jua isu yang dirasakan boleh "membeli" hati orang-orang Melayu, akan terus diputar semahunya tanpa rasa bersalah sekalipun ianya fitnah.

Minggu lalu, organ Utusan melaporkan kononnya DAP, apabila mendapat kuasa bersama Pakatan Rakyat, mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak cekap atau tidak produktif.

Tidak ada sebarang keganjilan dalam kenyataan yang dikatakan dilontar oleh DAP itu, kecuali jika dibaca majoriti besar kakitangan awam adalah orang Melayu. Maksud Utusan sangat jelas - jika Pakatan Rakyat berkuasa, maka kuasa politik orang Melayu akan terhakis.

Utusan meniup isu perkauman sempit. Mengurangkan kakitangan kerajaan bermakna "menerajang" orang Melayu, itulah yang cuba digambarkan mereka. Isu ini dimain setiap hari, bagi mengkucar-kacirkan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan yang ada DAP di dalamnya.

Hal ini, sama ada munasabah atau tidak sama seperti fitnah Utusan pada masa lalu, kononnya DAP yang majoriti ahlinya kaum Cina berkepercayaan Buddhisme dan Taoisme dituduh mahu menubuhkan Negara Kristian - Utusan tidak peduli itu semua.

Kali ini, kakitangan awam dijadikan perisai manusia dalam meneruskan agenda politik kotor Utusan yang makin terdesak, tidak kira sama ada direstui oleh Umno-BN atau tidak. Itulah sahaja cara untuk mengoyakkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan.

Bagi rakyat termasuk kakitangan awam yang mempercayai bulat-bulat dakwaan Utusan dan Umno ini, sewajarnya mereka bertenang, duduk sebentar dan gunakanlah akal fikiran menekuni propaganda Umno itu.

Apa yang dipetik Utusan tentang "kenyataan" Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua tentang saiz perkhidmatan awam sebenarnya adalah pandangan yang dikemukakan dalam dialog mengenai Bajet 2012 anjuran Pemuda DAP Johor di Johor Baru pada 31 Oktober lalu.

Pua menegaskan dasar kerajaan pada pertengahan 1980-an sewaktu Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri adalah untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam daripada sekitar 800,000 kepada 500,000. Yang dilakukannya ialah memperkenalkan dasar pengswastaan.

Utusan lupa ia antara akhbar yang ghairah menyokong Mahathir sehingga mencanangkan dasar pengswastaan itu baik untuk rakyat, khususnya orang Melayu. Utusan tidak pula menuduh usaha Mahathir sebagai "tak berasas", "tak rasional" dan "mempunyai agenda politik" sebagaimana yang dilontarkan kepada DAP sekarang.

Pua menjelaskan walaupun Mahathir yang membawa usaha mengurangkan saiz perkhidmatan awam, di hujung era pemerintahannya jumlah kakitangan awam terus meningkat sehingga menjadi lebih satu juta orang.

Apa masalahnya bila kakitangan awam terlalu ramai? Seperti yang berlaku di negara-negara komunis dan fasis yang menentang sistem pasaran, kerajaan terpaksa menyediakan semua pekerjaan dalam sektor awam kerana tiada banyak ruang untuk pihak swasta bergerak bebas.

Apabila saiz perkhidmatan awam terlalu besar, perbelanjaan mengurus melambung naik. Tidak ada cara lain kecuali dengan menaikkan cukai, sama ada cukai pendapatan, cukai korporat, cukai perkhidmatan telefon prabayar, perkhidmatan telefon bimbit, perkhidmatan TV satelit dan sebagainya untuk "menyara" perkhidmatan awam. Itulah yang dijelaskan Pua.

Jika Utusan tidak melihat apa-apa cacat-cela usaha Mahathir, mengapa DAP pula menjadi sasaran kerana menyuarakan perkara yang sama? Tidak lain dan tidak bukan kerana kaca mata Utusan hanya nampak warna kulit, kaum, ras dan bangsa.

Meskipun saiz perkhidmatan awam di Malaysia besar, ia tidak boleh dikecilkan oleh kerajaan yang memerintah dengan mudah kerana ada banyak peruntukan Perlembagaan yang menghalang.

Ekoran kekecohan yang timbul itu, PAS melalui Naib Presidennya, Sallahudin Ayub mengadakan sidang media menenangkan rakyat mengenai kontroversi yang dimainkan oleh Utusan itu.

Selain peruntukan-peruntukan yang disebut oleh Sallahudin, pengurangan atau pemberhentian kakitangan awam juga boleh menyentuh kedudukan istimewa Melayu, khususnya yang diperuntukkan Perkara 153(2), (3) dan (4).

Peruntukan-peruntukan tersebut menyediakan kuota jawatan tertentu untuk orang-orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Jumlah kakitangan awam, termasuk ATM dan polis ketika ini berjumlah sekitar 1.3 juta orang. Ia dianggap besar berbanding dengan negara-negara lain dan dilihat membebankan.

Secara perbandingan Jepun hanya mempunyai 3.2 peratus kakitangan awam berbanding dengan jumlah penduduknya. Sementara itu di Korea Selatan ia berada pada tahap 2.1 peratus manakala Singapura dan Taiwan masing-masing pada tahap 2.9 dan 3.7 peratus.

Malaysia sebaliknya mempunyai 4.68 peratus berbanding dengan 28 juta penduduk. Pada 2011 perkhidmatan awam memerlukan dana sebanyak RM45.6 bilion.

Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan beban ialah mengecilkan saiz kabinet. Jumlah 30 orang menteri, tidak termasuk timbalan menteri dan setiausaha parlimen, adalah terlalu besar.

Sebenarnya, Perlembagaan tidak menetapkan saiz kabinet Persekutuan dan dengan jumlah kakitangan yang begitu besar jumlah menteri boleh dikurangkan. Bagi Malaysia, sekitar 20 orang menteri sudah amat mencukupi.

NFC: AMK sambut baik debat Rafizi-Khairy | Print |
Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik usaha Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjemput Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berdebat dalam isu Projek Feedlot Kebangsaan (NFC).

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Halimi memberitahu ia adalah inisiatif terbaik dilakukan oleh Rafizi kerana mengemukakan jemputan debat kepada Khairy.

"Kami berharap debat ini akan dapat dilakukan dalam suasana penuh berhemat dan secara intelektual berdasarkan hujah dan fakta-fakta yang kukuh dan kita tidak mahu ia berlangsung dengan cara emosional individu begitu juga mereka yang hadir.

"Dalam pada itu kita melihat tidak ada alasan untuk Khairy menolak jemputan ini memandangkan beliau sendiri telah menyatakan kesediaan utk berdebat dengan sesiapa saja dan tempoh notis selama satu bulan seperti dinyatakan oleh Rafizi sewajarnya dapat digunakan oleh Khairy dalam mengatur jadual aktiviti beliau," jelasnya.

Tambahnya lagi, penjelasan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail berkaitan isu itu adalah tidak meyakinkan dan sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan akan kemungkinan wujudnya elemen penyelewengan dalam pengurusan kewangan NFC.

"Justeru itu, pada masa sama AMK juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengambil serius akan dakwaan penyelewengan projek NFC serta menjalankan siasatan menyeluruh memandangkan ianya melibatkan dana awam dan laporan berkaitan isu ini juga telah pun dibuat di pejabat SPRM oleh sebuah NGO pada minggu lalu," sambungnya lagi.

Semalam, Rafizi telah mengutus surat jemputan kepada Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau untuk berdebat berhubung isu skandal NFC.

Dalam surat itu, beliau menyatakan tarikh cadangan debat tersebut dibuat pada 12 Disember ini bagi memberi ruang kepada Khairy menyusun semua jadual kerjanya.

Khairy Jamaluddin beberapa hari lalu memaklumkan beliau bersedia untuk bertemu Rafizi dalam debat berhubung dakwaan penyelewengan RM250 juta oleh NFC iaitu syarikat milik anggota keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tiada ulasan: