Khamis, 10 November 2011

BILA SEMUA BUKAN DIHATI RAKYAT LAGI SEBAB BANYAK SALAH DAN SILAP....KERANA MENGABAIKANM HUKUM2 ISLAM YANG PATUT DIPATUHI....

Harapan rakyat pada Haji Najib dan Hajah Rosmah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Haji mabrur yang dijanjikan oleh Rasulullah ialah "haji mabrur tiada balasan lain di sisi Allah, melainkan syurga.” Inilah cita- cita yang mendorong setiap umat Islam menunaikan haji selain ianya sebagai rukun Islam.

Haji mabrur yang mengubah amalan seseorang dari sebelum mengerjakan haji dan selepasnya, dengan kata lain, mereka yang memperolehi haji mabrur dapat dilihat perubahan amalan sehariannya, daripada yang kurang baik kepada baik dan lebih baik.

“PAS mendoakan agar seluruh jemaah haji termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Haji Najib Razak dan isteri, Datin Seri Hajah Rosmah Mansor mendapat haji mabrur, kerana itulah yang menjadi cita-cita setiap orang yang mengerjakan haji,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim berkata rakyat menaruh harapan tinggi dan menanti perubahan yang bakal dihayati oleh PM dan isteri selepas mendapat haji mabrur dalam melaksanakan amanah memimpin negara ini.

Antara agenda besar yang rakyat ingin lihat hasil daripada mendapat haji mabrur, kata beliau, sudah tentu ialah tindakan susulan PM terhadap banyak penyelewengan samada daripada kroni Umno, serta pelbagai pihak lain yang terlibat yang memperolehi pelbagai projek seperti yang ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya.

“Rakyat benar-benar kecewa setiap tahun bilamana teguran Laporan Audit Negara langsung tidak menjadi bekas bagi kerajaan BN dalam usaha untuk memperbaiki pengurusan kewangan negara.

Kalau tahun lalu, mungkinlah masih tak sedar kerana masa tersebut, PM tak pergi haji lagi.

Namun tahun ini, sudah tentu tidak akan sama, kerana PM yang baru balik haji dengan semangat melontar jumrah sehebat melontar sifat mazmumah dalam diri, sudah pasti akan membawa pelbagai perubahan samada dalaman dan luaran, kerana ia antara tanda-tanda haji mabrur,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Lebih besar dari itu, kata Tuan Ibrahim ialah keyakinan rakyat pada PM yang dapat haji mabrur untuk mengadakan pilihanraya hanya setelah segala penyelewengan sistem pilihanraya dapat diperbaiki.

“Mana mungkin mereka yang dapat haji mabrur sanggup mengadakan pilihanraya dengan penipuan, ketidakadilan dan daftar pemilih yang tidak bersih?

Bahkan, demi membuktikan kesan haji mabrur, PM diyakini akan mencadangkan agar celup jari dilaksanakan dalam PRU akan datang untuk menghalang penyelewengan dalam bentuk undi hantu dan undi berganda. Kesemua ini petanda haji mabrur, selain amalan peribadi yang bertambah baik dengan amalan tahajud, zikrullah dan munajat berterusan,” tambah beliau.

Pada Hajah Rosmah pula, Tuan Ibrahim berkata rakyat berharap dapat menyaksikan perubahan besar dari sudut kesederhanaan dalam kehidupan seharian beliau.

“Diyakini selepas pulang kali ini, diharap beliau tidak terpalit lagi dengan cerita beg tangan berjenama mahal, rantai mutiara, cincin mahal yang menjadi lambang persepsi rakyat terhadap pemborosan beliau, kerana semua ini diyakini akan dapat dikikis dengan haji mabrur,” kata beliau.

Yang lebih penting, menurut Tuan Ibrahim ialah ketidak-sabaran rakyat yang menanti dengan penuh debar melihat keterampilan wajah baru isteri PM dengan bertudung sepanjang masa di luar rumah, selaras dengan kesan haji mabrur dan juga mungkin tiada lagi kedengaran desas desus campurtangan beliau dalam dalam pentadbiran negara.

“Perubahan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksana kerana sepanjang berada di Mekah dan Madinah, beliau sentiasa bertudung lingtup menutup aurat semasa menjalankan ibadah haji.

Kalau semua ini berlaku, jangan terkejut kalau ada rakyat yang cukur kepala, bayar nazar atau ada kambing yang kena sembelih sebagai tanda kesyukuran. Namun, jangan sembelih dahulu, sehingga kita dapat lihat tanda-tanda haji mabrur itu berlaku,” saran beliau.


Sumber haram halang haji mabrur
Nik Nasri Nik Malek

Jemaah haji sedang menyelesaikan ibadat haji mereka. Hampir 3 juta umat Islam setiap tahun menunaikan ibadat haji. Usai kerja haji mereka dan pulang ke tanahair, diucapkan kepada mereka: ‘Moga haji anda mabrur.’ Doa itu baik. Sebagaimana doa yang diucap di waktu yang lain ‘Taqabbalallahu minkum‘ (Moga Allah terima amalan kamu).

Tapi adakah haji dan amalan itu sebenar-benarnya diterima Allah? Terima tak terima hanya diketahui oleh Allah dan Dia membalasnya. Tapi tanda terima itu ada. Solat yang sebenar boleh mencegah perkara keji dan munkar. Puasa yang sebenar boleh menghasilkan taqwa. Haji yang BERSIH boleh menjadi mabrur.

Di antara tanda haji mabrur, ia berubah menjadi lebih baik. Dari tak menutup aurat kepada menutup aurat. Dari menentang perjuangan Islam kepada menyokong perjuangan Islam. Dari menggunakan seni untuk fasiq kepada menggunakan seni sebagai wasilah dakwah. Dari sekat royalti kepada beri royalti. Dari boros kepada jimat. Dari beramal dengan rasuah kepada membanteras rasuah. Pendekata dari segala sifat mazmumah kepada sifat mahmudah. Dari jiwa yang kotor kepada jiwa yang BERSIH.

Apakah perkara yang menghalang mabrurnya haji? Dalam hadis, Nabi menyebutkan tentang perkara fasiq dan berbalah yang menghalang mabrurnya haji. Dalam hadis lain, Nabi menyebutkan tentang seorang yang punca rezekinya dari perkara haram sehingga doanya tidak diterima. Bukankah dalam ibadat haji penuh dengan doa? Mulai doa musafir ke Mekah hingga doa kembali dari musafir. Buku doa Tabung Haji pun tak lekang dari tangan.

Sumber pendapatan yang haram juga boleh menghalang dari mabrurnya haji. Rasuah, tipu angka, tipu orang, tipu rakyat, rompak harta awam (syarikat, agensi, negara), samun harta jemaah haji secara terhormat (contohnya BEDAL haji bukannya BADAL haji), hasil dari judi, Toto, 4D, rezeki dari riba, hasil seni yang haram dan pelbagai sumber yang kemudiannya digunakan untuk ke tanah suci menghalang mabrurnya haji.

Haji mabrur besar pahalanya.Pahala yang besar tidak diberikan melainkan kepada mereka yang layak menerimanya. Mereka yang layak menerimanya tentunya mereka yang bersedia tunduk kepada Allah, bukan sahaja di hadapan Kaabah tetapi dalam setiap aspek kehidupan seperti yang ditunjukkkan oleh Nabi Ibrahim.

Pergi ke tanah suci, belum bererti jiwa suci. Menuju ke tanah suci, belum bererti sumber rezeki menujunya suci. Selesai menunaikan haji dan mendapat title haji, tidak bermakna mabrurnya haji. Kalau nak tengok hajinya mabrur, tengok sikap si HAJI/ HAJJAH itu, makin baik dan berubahkah ia sekembalinya dari Mekah?

Kemaman, Terengganu

Kerakyatan: JPN jangan beri alasan data pendatang | Print |
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 9 Nov: Wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Khas Parlimen bagi memperbaharui sistem pilihan raya (PSC) memberi notis kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberikan data lengkap warga asing yang diberikan hak kerakyatan dalam tempoh tiga tahun ini.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, notis awal ini bagi membolehkan SPR membuat persediaan sebelum menghadiri mesyuarat keempat PSC esok.

"Hari ini kita beri notis kepada JPN untuk memberikan data lengkap jumlah warga asing yang didaftarakan sebagai warga negara dari tahun 2008 hingga 2011.

"JPN boleh bersedia dan jangan beri alasan bahawa maklumat tak boleh diberikan esok dan kita harap JPN dapat beri kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Rasah itu juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dipanggil ke mesyuarat jam 11.30 pagi esok bagi membicangkan mengenai prosedur undi pos dan pengundian awal yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata, mereka akan mencadangkan kepada PSC agar pengundian pos dan pengundian awal diajalankan di tempat awam, bukan di kem askar atau di balai polis bagi memastikan SPR dapat berkuasa sepenuhnya sewaktu proses membuang undi berlangsung.

"Bagi setiap pilihan raya pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya memberikan kebenaran dan kelulusan sepatutnya SPR. Sebab itu kita dah lama minta SPR diberikan satu kuasa yang lebih supaya dapat melaksanakan pilihan raya dengan telus yang adil.

"Kalau ada pihak lain yang menguruskan pilihan raya, kita bimbang ia tidak telus," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Selain itu, Anthony berkata, mereka akan meminta PSC membuat ketetapan untuk menggesa SPR melaksanakan kaedah dakwat kekal.

Ini katanya bagi mengelakkan SPR memberikan alasan tidak cukup masa untk membeli dakwat kekal apabila ia dipersetujui untuk digunakan.

"Kita mahu SPR beri komitmen yang tegas. SPR kata perlu masa dua bulan untuk beli dakwat kekal. Kalau tak ada keputusan esok kita bimbang kalau kerajaan kata akan guna dakwat kekal SPR beri alasan tak sempat beli dakwat," katanya.

Pelancongan: Miti patut bantu Kelantan | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Menteri dan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) didesak supaya mengambil perhatian bagi memajukan industri pelancongan di negeri-negeri yang masih belum mencapai tahap pelaburan pelancongan tinggi di negara ini, termasuk Kelantan.

Kegagalan Kelantan mencapai indeks pelaburan tinggi dalam pelancongan berpunca dari kealpaan Miti melakukan usaha ke arah itu, sehingga menyebabkan para pelabur mengalami kerumitan berbuat demikian di negeri itu.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, antara kegagalan Miti dalam hubungan itu boleh dirujuk dari keengganan kementerian tersebut mendesak Kerajaan BN membina rangkaian jalan raya yang sempurna di Kelantan.

Menurut beliau, kejadian itu antara lain menyebabkan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Kerai masih belum dibina hingga kini bagi memudahkan para pelabur asing membuat pelaburan di negeri itu.

Katanya, selain itu, Miti turut enggan mendesak Kerajaan BN memberikan royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan bagi membolehkan kerajaan negeri menggunakan wang tersebut untuk pembangunan dan bagi kepentingan rakyat.

"Keadaan itu bukan hanya berlaku di Kelantan sekarang ketika berada di bawah PAS, tetapi sejak berada dalam BN tahun 1970-an dulu," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pihak Kerajaan BN terutama Miti, menurut beliau, perlu memikirkan lebih jauh mengenai perkara itu bagi membolehkan Kelantan turut maju setanding dengan negeri-negeri lain di seluruh negara yang telah berjaya mencapai tahap perkembangan memberansangkan dalam sektor pelancongan.

Katanya, sehingga kini antara negeri-negeri yang telah maju dalam bidang tersebut hanyalah Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Selain Kelantan, tambahnya, pihak Miti juga perlu mengambil inisiatif untuk membantu negeri-negeri lain bagi membolehkan industri pelancongan turut berkembang di negeri-negeri terbabit.

"Antara negeri-negeri yang masih belum mencapai tahap pelaburan tinggi atau FBI itu dan perlu diperhatikan oleh Miti termasuklah Kelantan, Terengganu Sabah dan Sarawak," ujar beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.


Nascom hanya buang wang, masa dan tenaga | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Tindakan Kerajaan BN untuk mewujudkan sebuah entiti baru, National Sewerage Company (Nascom) disifatkan hanya membuang duit pembayar cukai, masa dan tenaga, malah untuk menyelamatkan sebuah syarikat GLC yang makin nazak dengan mengorbankan sebuah jabatan kerajaan.

Kewujudan Nascom seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Tenaga, teknologi Hijau dan Air itu adalah untuk menggantikan atau ‘rebranding’ Indah Water Konsortium yang melibatkan penggabungan antara Indah Water Konsortium dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, dengan kewujudan entiti baru itu bermakna Jabatan Perkhidmatan Pembetungan akan dimansuhkan dan semua kerja-kerja perlaksanaan projek pembetungan negara, operasi dan penyelengaraan loji rawatan kumbahan akan diambil alih pihak Nascom yang merupakan sebuah entiti swasta.

Menurut beliau, tindakan untuk rebranding itu adalah perbuatan yang hanya membuang duit pembayar cukai kerana proses tersebut seumpama mengecat kereta yang lama untuk kelihatan baru, sedangkan enjin dan lain-lain komponen dalaman masih lama.

Katanya, tindakan tersebut adalah suatu kerja yang membuang masa dan tenaga, sedangkan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan ditubuhkan dahulu setelah pihak IWK gagal dalam melaksanakan pembinaan loji-loji rawatan kumbahan.

"Disebabkan kegagalan IWK itu kerajaan terpaksa menghadkan fungsi IWK hanya kepada kepada kerja-kerja operasi loji dan penyelenggaraan sahaja dalam tahun 2000, manakala projek-projek kerajaan diletakkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan.

"Dengan tertubuhnya sebuah entiti ini, semua projek-projek penyediaan prasarana pembetungan yang kini dikawal selia oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan yang dianggarkan berjumlah 6.8 billion akan diuruskan oleh sebuah badan swasta yang mempunyai track record bermasalah dalam mentadbir projek dan membuka peluang kepada ketirisan duit rakyat," katanya.

Berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata, maklumat dalaman IWK yang dimaklumkan kepada beliau menjelaskan bahawa cadangan tersebut akan dimajukan oleh kementerian terbabit untuk kelulusan dalam masa terdekat.

Oleh itu, beliau memohon agar kajian lanjut dan terperinci diadakan sebelum pihak jemaah menteri membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Kita melihat usaha untuk menutup jabatan kerajaan ini adalah satu tindakan yang akan menghakis konsep check and balance dalam pengurusan pembetungan negara, di samping akan menguatkan lagi monopoli IWK dalam industri pembetungan," tegasnya.

Dalam cadangan yang dikemukakan oleh pihak kementerian terbabit, tambahnya, selain cadangan untuk menutup jabatan kerajaan bagi menyelamatkan IWK, terdapat juga cadangan untuk menaikkan tariff pembetungan selain permohonan mendapatkan suntikan modal daripada pihak kerajaan untuk memulakan entiti baru itu.

"Kita risau sekiranya ini berlaku, maka peristiwa lama sejarah penubuhan IWK akan berulang dan syarikat akan terus rugi sepertimana sekarang. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Kita ingin cadangkan agar pengurusan sistem pembetungan diserahkan kembali kepada pihak Majlis Tempatan masing-masing sepertimana sebelum tahun 1994 sebelum akta Perkhidmatan Pembetungan 1994 di gubal," ujarnya.

Telah hampir 18 tahun berlalu, tegasnya, didapati konsep penswastaan sistem pembetungan negara yang diserahkan kepada pihak IWK lebih menjurus kepada kegagalan dan pihak kerajaan terpaksa menanggung kerugian setiap tahun dengan pemberian subsidi dan lain-lain bantuan kepada IWK.

"Kita melihat fungsi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan masih relevan dan penting untuk melaksanakan projek-projek pembetungan negara di seluruh negara dan sepatutnya jabatan ini tidak harus ditutup, sebaliknya perlu diperbesarkan lagi fungsinya dan jabatan itu sendiri .

"Kita tidak mahu pihak kerajaan melepas tangan dalam melaksanakan penyediaan prasarana pembetungan negara yang sebenarnya setanding dengan kepentingan menyediakan prasarana air minum," katanya.

Kerajaan, tegas beliau, telah banyak membantu pihak IWK melalui pemberian suntikan modal dan juga perlantikan sebagai Projek Management Consultant secara lantikan terus untuk projek-projek pembetungan.

Menurutnya, sedangkan Kementerian Kewangan telah mengeluarkan pekeliling untuk tidak membenarkan sebarang perlantikan Project Management Consultant untuk projek-projek kerajaan kerana penggunaan PMC didapati tidak efisien dan menambahkan kos projek.

"Sedangkan IWK masih diberi peranan tersebut dalam melaksanakan projek-projek kerajaan dan mendapat bayaran yang lumayan," katanya.

Beliau hairan, kenapa IWK diberi keistimewaan seperti itu, sedangkan pihak Kementerian Kewangan sendiri telah menegaskan ketidakperluan perlantikan PMC dalam projek-projek kerajaan.

"Adakah ini satu proses penyaluran dana kepada pihak IWK secara tidak langsung? Malah IWK juga telah mengutip bil pembetungan di Jelutong secara percuma kerana kos penyelenggaraan Loji Jelutong dan lain-lain kos berkaitan loji itu masih ditanggung oleh pihak kontraktor yang telah menyiapkan loji tersebut beberapa tahun yang lalu.

"Ini bermakna pihak IWK dapat mengutip bil dari pengguna tanpa perlu mengeluarkan belanja kos untuk loji rawatan kumbahan Jelutong. Ini adalah satu perniagaan yang paling menguntungkan di dunia ini iaitu tanpa mengeluarkan modal masih dapat pendapatan," tambahnya.

Sehingga ke tahap ini, katanya, kerajaan cuba membantu pihak IWK tetapi masih tetap mengalami kerugian demi kerugian.

"Kita juga dimaklumkan pihak IWK telah diberi pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan melalui pelbagai sumber, namun masih tetap gagal dan rugi," ujarnya.

Beliau juga hairan bagaimana IWK yang kerugian saban tahun mampu memberikan bonus kepada kakitangan-kakitangannya yang mencecah ribuan orang, di samping cadangan pihak pengurusan IWK untuk menggantikan semua kereta-kereta Perdana untuk pihak pengurusan IWK kepada kereta-kereta import Volk Wagen.

Beliau turut bertanya menteri terbabit mengenai Majlis Perjanjian Kontrak bagi pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 3 November lalu di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, Kuala Lumpur, antara pihak kerajaan Malaysia dan Syarikat Beijing Enterprise Water Group Limited (BEWG) dari China.

"Projek itu bernilai RM1 bilion dan akan dibiayai kementerian terbabit. Berdasarkan tinjauan yang dibuat, didapati bahawa harga pembinaan loji rawatan kumbahan bawah tanah itu adalah terlalu tinggi.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa dengan konsep dan teknologi yang dicadangkan itu, loji tersebut dapat dibina oleh kontraktor tempatan dengan harga yang tidak mencecah RM500 juta dan mungkin lebih rendah sekiranya dibuat tawaran secara terder terbuka.

"Mengikut pakar-pakar system pembetungan juga, system yang akan di buat oleh pihak BEWG itu tiada sebarang keistimewaan dan biasa sahaja. Malah lebih menakutkan apabila didapati system yang diperkenalkan itu juga tidak pernah mendapat sebarang kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan tidak pernah digunakan di Malaysia.

"Kita amat hairan kenapa projek ini di buat dalam keadaan tergesa-gesa seperti cuba menyembunyikan sesuatu kepada rakyat," katanya.

Beliau turut menyentuh tentang rancangan air negeri Kedah bagi mendesak Kerajaan pusat dan negeri menyelesaikan masalah Kulim Hi Tech sebagai Zon Industri Berteknologi Tinggi secara bersama.

Isu bekalan air luar bandar terutama di Padang Terap yang diwakilinya yang telah mendapat tindakan segera kementerian terbabit hasil perbahasannya pada persidangan Dewan Rakyat penggal lalu, turut disentuh oleh beliau.

Begitu juga dengan Loji Kuala Nerang 1 dan 2, Nami serta Lubuk Merbau yang sedang dinaik taraf diyakini pasti menyelesaikan banyak masalah penduduk di kawassan itu.

Pembantu Ku Li dakwa Umno juga pinggir Muhyiddin | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sedar yang dirinya juga sedang dipinggir Umno, kata Muhd Lukhman Ghani, pegawai khas kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga AJK Umno Petaling Jaya Utara berkata, status Muhyiddin mungkin berada di tangga ke lima dalam carta 'orang yang diberi prioriti' oleh Umno.

Perkara itu menurutnya boleh dilihat melalui program-program anjuran Umno serta liputan media arus perdana yang pro BN sendiri.

"Muhyiddin pun tak sedar dia dipinggir dalam Umno, mungkin dia duduk di nombor 5 atau 6," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai membidas jawapan Muhyiddin kononya Umno tidak pernah menyekat mana-mana suara ahlinya menyatakan pandangan seperti didakwa Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai 'Ku Li'.

Lukhman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata, orang pertama yang diberi keutamaan oleh Umno adalah Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kedua pula adalah kepada Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais.

"Tempat ketiga diberikan kepada pengampu-pengampu Najib dan yang 'menyalak' kepada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) seperti Senator Ezam Mohd
Nor dan Zaid Mat Arip serta ahli parlimen bebas yang mengutuk pembangkang.

"Muhyiddin tak ada dalam ranking empat yang utama, apatah lagi naib-naib presiden Umno.

"(Dalam Umno) Kalau mengampu kerajaan baru dapat ruang," katanya yang menyifatkan hanya 'ruang terpilih' yang ada dalam Umno.

Sambil menyifatkan Muhyidin tidak faham maksud Ku Li, Lukhman berkata ruang itu mula tertutup selepas penubuhan Umno baru, semasa era pimpinan bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah sekarang.

Ku Li semalam mendakwa beliau terpaksa menubuhkan Amanah kerana tidak lagi mempunyai ruang untuk bersuara dalam Umno.

Ianya termasuk ruang untuk bercakap sewaktu perhimpunan agung Umno diberikan syarat yang ketat termasuk perlu mendapat kelulusan pimpinan parti.

Tiada ulasan: