Isnin, 5 November 2012

UTUSAN BOLEH SELAMAT KRONI KE...KETENTUAN DARI ALLAH...KITA TUNGGU SAPE YANG SELAMAT...SAPE YANG AKAN MUSNAH...ALLAH MAHA BESAR SERTA MAHA ADIL...LAWAN...KALAH BAGI PEMBANGKANG ADALAH PERKRA BIASA

Tiada jalan lain, Utusan terpaksa selamatkan Chua

Harakahdaily, 05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Selepas menyinggung perasaan umat Islam dan dimalukan teruk apabila penulis blog seks berkata rakan karib mereka adalah idolanya, Umno cuba menyelamatkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dengan membiarkan Mingguan Malaysia meletakkan penjelasan Chua di muka depan semalam.


“Tapi sudah terlambat. Laporan itu back-fire lagi, Chua kini dilihat dari menghina Islam kepada menghina kebijaksaan umat Islam terutamanya pengundi Umno dengan penjelasannya,” kata sumber dalaman Umno kepada Harakahdaily.

“Apakah perlu lepas 2 minggu lamanya baru beri penjelasan? Sudah tentu tidak. Penjelasan Chua sepatutnya datang lebih awal. Tapi kerana penulis blog seks berkata Chua adalah idolanya, maka penjelasan itu terpaksa ditangguhkan. Kalau keluar masa yang sama, keadaan akan menjadi sangat kelakar dan kekok pada Umno,” tambahnya lagi.

Sumber itu memberitahu kerana Umno tidak dapat menceraikan MCA, dan tidak boleh melakukan apa-apa untuk memaksa Chua turun takhta, maka jalan terakhir ialah untuk cuba menyelamatkannya dan cuba selamatkan balik apa yang telah dirosakkan Chua terhadap undi Melayu atas pagar.

Semalam, Chua mengeluarkan satu kenyataan panjang mendakwa bahawa beliau dan MCA hanya menentang hudud PAS dan menuduh Pakatan Rakyat memutar belit kenyataannya.

“Itulah yang orang terasa Chua sedang menghina intelek orang Melayu Umno. Masa Adun Johor buat usul hudud, beliaulah orang pertama yang menghinanya berkata beliau hilang idea dan kemudian kata nak keluar BN,” kata sumber dalaman Umno itu.

Tambahnya lagi, orang dan pemimpin Umno juga terasa kecil hati apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata hudud tidak mempunyai kesan kepada bukan Islam ditempelak Chua seperti beliau seolah-olah seorang menteri agama yang bodoh kerana tidak membuat kajian terperinci sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Jamil cuba damage control akibat keceluparan Chua dan MCA pada perhimpunan agung mereka, tapi Chua tak faham dan ego mempercayai bahawa keberanian menegur Jamil bakal membantu MCA mendapatkan kembali sedikit undi Cina. Tapi Chua tersilap, dan UMCEDEL dah buktikan isu hudud dah tak makan,” terang sumber dalaman Umno itu kepada Harakahdaily.

Sumber dalaman Umno itu turut berkata dalaman Umno kini berpecah pada pendapat mereka terhadap Chua.

“Kem anti-1Malaysia tidak mahu lagi bersekongkol dengan Chua kerana merasakan Chua dan MCA sudah tidak berguna malah kini menjadi lebih tidak berguna dan berbahaya kepada undi Melayu yang mereka perlukan untuk kekal berkuasa.

“Kem pro-1Malaysia pula merasakan PRU13 BN akan tewas jika tiada sokongan bukan Islam dan mengharapkan serangan Chua bertubi-tubi pada PAS akan dapat mendapatkan kembali sedikit undi Cina pada BN,” kata sumber dalaman Umno itu lagi.

Tapi segalanya berubah, kata beliau apabila Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata beliau sedia bertanding di Pekan sekiranya diarahkan oleh parti.

Sumber politik itu berkata kenyataan Hadi telah menjadikan slogan PAS ganti Umno kini betul-betul akan diperdebat dan dibandingkan oleh rakyat jelata berhubung tahap pemimpin PAS dengan pemimpin Umno.

““Isu itu menyebabkan orang bukan Islam terutamanya Cina dan Melayu kini terus membuat perbandingan antara PAS dengan Umno. Lihat barisan ini – Nik Aziz banding dengan Dr Mahathir, Najib dengan Hadi, Muhyiddin dengan Mat Sabu, Mahfuz (Omar), Salahuddin (Ayub), Husam (Musa) dengan Hishamuddin (Hussein), Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Tuan Ibrahim dengan Ahmad Maslan – Umno dah tewas 7-0 dari segi integriti, kebolehpercayaan dan amanah – dalam erti kata lain boleh ganti Umno dengan PAS,” katanya.

Jadi penjelasan Chua, katanya, sudah terlambat bahkan merugikan dan merumitkan lagi keadaan kepada Umno.

“Kesian kat backbenchers Umno-BN yang mengambil isu-isu ekonomi untuk melawan Pakatan Rakyat… tiba-tiba Chua merosakkan semuanya kembali dengan kenyataan terbarunya,” kata sumber itu lagi.

Perhimpunan Agung Umno akan datang, kata sumber dalaman Umno akan menentukan sama ada MCA diperlukan lagi atau tidak bersama Umno untuk menghadapi PRU13.

“Tidak mungkin tendang MCA keluar, tapi Umno akan menyuruh MCA menutup mulut sehingga PRU13 selesai. MCA dah tewas habis, cuma sekarang jangan susahkan Umno lagi,” kata beliau.

Warga emas dibunuh ketika jenayah dikata menurun

Harakahdaily, 05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyampaikan takziah kepada keluarga arwah mangsa dan mengecam sekeras-kerasnya kejadian jenayah di Sungai Besar semalam.

Katanya, rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan berita jenayah zalim apabila seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) telah meninggal dunia akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal oleh dua orang perompak di rumah kedainya di Sungai Besar, Sabak Bernam pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, dan bekerja sebagai tukang jahit dan pembuat kuih.

Yang lebih menyayat hati, kejadian itu disaksikan oleh cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut keterangan cucunya, dua lelaki memakai sarung muka dan bersarung tangan serta bersenjatakan dua bilah parang telah memecah masuk melalui pintu belakang. Cucunya tidak melawan dan mendiamkan diri tetapi mangsa telah menjerit meminta tolong menyebabkan suspek menumbuk dahinya dan bertindak menekup muka mangsa dengan bantal sehingga lemas.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bagi cucu dan keluarga arwah Sabariah, statistik yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membuktikan pengurangan jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Jenayah tidak mampu menenangkan hati.

“Dalam pada itu, kita juga menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar melakukan sesuatu untuk menangani dan mencegah jenayah-jenayah yang makin hari makin menjejaskan semua lapisan masyarakat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, walaupun kadar jenayah dikatakan telah menurun, pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan seorang warga emas di rumahnya sendiri ini adalah bukti bahawa jenayah seperti ini bukan sahaja melibatkan golongan atasan tetapi golongan bawahan juga.

Beliau menambah, jika rakyat miskin pun tidak dikecualikan daripada jenayah rompak dan bunuh, maka seluruh rakyat Malaysia juga boleh menjadi mangsa.

Justeru, ujarnya DAP berharap bahawa pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan dan tidak hanya mengambil tindakan apabila seorang yang kaya dan ternama yang menjadi mangsa.

Gelombang perubahan sangat kuat di Kota Belud

Nazri Abdullah, 05 Nov 2012
(Gambar: Mustaqim (tengah) bersama SU PAS kawasan Martubis Jumdot (kiri) serta SU Dewan Pemuda PAS kawasan Abu Ubaidah)

KOTA BELUD: Gelombang perubahan yang melanda seluruh Sabah sejak akhir-akhir ini sangat kuat dirasai di kawasan Parlimen P.169 Kota Belud di sini.

Biarpun ia dikatakan 'kubu kuat' BN sejak sekian lama, sehingga tidak pernah dalam sejarah politik Sabah, ada parti yang bukan kerajaan pernah menang di sini, namun kali ini ianya dilihat berbeza.

Kesedaran masyarakatnya yang timbul akibat dihimpit pelbagai masalah khususnya infrastruktur dan ekonomi menyebabkan rata-rata mereka kini berani bercakap tentang perubahan politik.

Yang DiPertua PAS Kota Belud, Mustaqim Aling berkata, pihaknya kini dapat melihat satu perubahan luar biasa masyarakat di situ yang cukup berbeza dari tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, slogan 'ini kalilah' bagai meniti dibibir masyarakat dan dapat didengar dalam perbualan harian mereka di sini.

"Ini kalilah itu mulanya di Kota Belud, malah sekarang sudah jadi gelombang yang sangat luar baiasa di sini. Kalau kita di mana-mana sahaja boleh dengar.

"Dulu gelombang Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah melanda sini, tapi sekarang saya rasa gelombang ini kali lah lebih besar dari PBS dahulu," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pusat Khidmat Masyarakat PAS di sini.


(Gambar: Mustaqim menunjukkan kawasan jelapang padi yang didakwa terbengkalai dan tidak mengeluarkan hasil seperti setatutnya)

Daerah Kota Belud terletak di pantai barat utara negeri Sabah, 70 kilometer dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan kereta.

Kota Belud juga adalah kawasan campuran antara Kadazan Dusun Murut (KDM), Bajau dan sedikit kaum Cina dan boleh dikatakan ianya kawasan bermajoriti Islam.

Pada PRU12 2008 yang lalu, calon BN Datuk Abdul Rahman Dahlan mengekalkan kerusi Kota Belud dengan kelebihan 3,020 undi mengalahkan calon PKR Saidi Simoi.

Ianya juga menyaksikan sebanyak 1,046 kertas undi ditolak pada waktu itu.

Desas-desus mengatakan pergaduhan pemimpin tempatan kerana tidak dipilih menjadi calon sangat kuat waktu itu sehinga wujud undi protes yang menyebabkan kemerosotan undi kepada BN.

Pergaduhan antara pemimpin mereka juga dikatakan masih berlaku sehingga memaksa pemimpin pusat termasuk Naib Presiden Umno Datuk Safie Apdal terpaksa turun beberapa kali.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, terdapat tiga Dun di bawahnya iaitu Usukan, Kadamian dan Tempasuk.

PAS pula dijangka meletakkan calonnya di Tempasuk pada pilihan raya akan datang.

Pada PRU 2008, BN menang di Tempasuk dengan majoriti 2,432 mengalahkan calon PKR dan bebas ketika itu.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata, penerimaan orang ramai terhadap PAS dan Pakatan Rakyat juga sangat berbeza berbanding sebelumnya.

PAS tidak lagi dilihat sebuah parti yang perlu ditakuti oleh mereka khususnya yang bukan beragama Islam.

"Pusat khidmat masyarakat PAS ini sendiri menjadi tempat rujukan masyarakat di sini termasuk bukan Islam untuk membuat aduan mereka.

"Malah sejak akhir-akhir ini pejabat ini menjadi makin sibuk dengan kehadiran ramai mereka yang turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang kita jalankan di sini," katanya.


(Gambar: Batang paip sepatutnya digunakan bagi membina saluran air ke kawasan sawah, tetapi terbengkalai di sini sejak 2005)

Antara isu besar di Kota Belud yang menjadi rungutan masyarakat setempat termasuklah keadaan jalan yang uzur yang sekaligus menghadkan pergerakan mereka.

Jalan raya disini difahamkan dibina sejak zaman PBS lagi dan tidak dibaiki secara menyeluruh oleh kerajaan BN.

Bairpun dijanjikan 'dalam perancangan' untuk dinaiktaraf oleh kerajaan BN, namun rakyat dilihat sudah tidak tahan lagi dengan alasan politik pilihan raya itu.

Masalah lain yang tidak kurang juga besarnya adalah masalah bekalan air bersih kepada penduduk.

Difahamkan walaupun batang paip air sudah ditanam sejak lama, namun ianya tidak mengeluarkan air.

Ini menyebabkan sebahagian masyarakat di sini mencari alternatif dengan mengeluarkan modal sendiri membeli enjin mengepam air dari bawah tanah.

Namun ianya juga tidak me mana kerana kualiti air yang dipam itu didakwa sangat teruk dan berbau busuk.

Selain itu, penduduk juga didakwa mengeluh dengan masalah yang melanda Program Jelapang Padi dan Agropolitan yang terbengkalai sehingga menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

Salahudin sedia tanding di Pagoh lawan Muhyiddin

Hazayani Zakaria, 05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Selepas Presiden PAS membuat kejutan menyatakan kesediaan bertanding di Pekan iaitu parlimen Datuk Seri Najib Razak, kini Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyatakan kesediaan bertemu Muhyiddin di Pagoh.

Menurut Salahudin, jika parti memutuskan beliau bertanding di Parlimen Pagoh, iaitu kawasan Timbalan Perdana Menteri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, maka beliau bersedia.

Salahuddin berkata, beliau senada dengan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan bertanding Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Dalam nada yang sama, saya pun bersama dengan Presiden meletakkan keputusan parti di hadapan, dan kita sentiasa patuh dengan arahan parti walaupun mungkin tempat-tempat yang mungkin ditandingi itu akan hadapi risiko yang tinggi," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sebelum ini sudah diputuskan untuk bertanding di Johor, namun belum dipastikan kerusi Parlimen atau Dun.

Kata Salahuddin lagi, beliau juga sudah membuat kenyataan di hadapan PAS Johor bahawa beliau bersedia jika diarahkan bertanding melawan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

"Semalam pun saya buat kenyataan di jJhor, saya juga bersedia menerima arahan parti sekiranya saya diarahkan untuk bertanding melawan Menteri Besar Johor. Sebagai orang Johor, saya akur," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat parti yang terdekat.

"Mungkin dalam mesyuarat akan datang saya tidak menolak kemungkinan perkara ini akan dibincangkan dengan lebih serius mengenai kerusi-kerusi ini," katanya.

Minggu lalu, Ustaz Hadi berkata, beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.

Kase desak JPJ batal semua saman AES

Salmiyah Harun, 05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: NGO Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menarik balik semua saman AES terutama melibatkan saman di lokasi kilometer 6.6 lebuh raya SKVE.

Pengerusi Kase Datuk Mahfuz Omar berkata, kamera AES di lebuh raya tersebut keliru dan bercelaru apabila menangkap kelajuan 80 kilometer sejam sedangkan had laju di situ adalah 90 kilometer sejam.

"Ini adalah 'error'. Tarik balik semua saman yang dikeluarkan atau kita saman JPJ kerana menipu pengguna jalan raya dan pulangkan semula saman yang dibayar," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Pengarah Penguatkuasa JPJ Jaafar Mohamad menjelaskan terdapat 'buffer' atau kelonggaran had laju kepada pengguna jalan raya.

Misalnya di kilometer 6.6 SKVE adalah 90 kilometer tetapi dengan anjakan kelonggaran kelajuan kepada 100 kilometer sejam  maka saman boleh dikeluarkan pada kelajuan 101 kilometer sejam dan ke atas.

Jelas Mahfuz berdasarkan aduan yang diterima oleh pengguna jalan raya dan kekeliruan kamera AES ini ternyata kerajaan patut menangguhkan pelaksanaan ini sebelum membuat kajian terperinci dan mendapat 'feedback' daripada orang ramai.

Apatah lagi Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Leslie Leon yang dilaporkan hari ini mengakui AES tidak memenuhi keperluan sebenar termasuklah pemberitahuan 'signboard' yang tidak mencukupi.

Malah JKJR akan mengadakan jelajah seluruh negara berkenaan kamera AES bagi mendapat maklum balas dari masyarakat.

"Penguatkuasaan AES sudah berjalan, tetapi hari ini baru hendak dapatkan maklum balas. Ini bermakna kerajaan tidak buat konsultasi dahulu," bidas Mahfuz.

Mahfuz tidak menolak semacam ada kepentingan tertentu apabila kabinet sukar untuk menangguhkan pelaksanaan kamera AES walaupun mendapat bantahan ramai pihak.

"Adakah menteri ada kepentingan dalam dua syarikat ini?," soalnya.

Sementara itu, Peguam Kase Zulhazmi Shariff berkata, sehingga kini lebih 20 orang merujuk kepada Kase untuk mendapatkan nasihat dan mengambil perhatian terhadap saman yang dikenakan.

Beliau turut mempersoalkan saman AES yang dikeluarkan tidak memaparkan maklumat kesalahan serta gambar kenderaan yang ditangkap secara terperinci.

"Ini berbeza dengan saman yang dikeluarkan oleh polis, di mana ia tercatat butir-butir kesalahan. Kamera polis hanya RM20,000 sahajam kamera AES RM130,000 tidak boleh," katanya.

Beliau meminta para pengguna yang menerima saman AES di lokasi terbabit jangan membayar kompaun yang ditawarkan sebanyak RM300 sebaliknya hadir ke mahkamah.

"Barisan peguam Kase bersedia bersama mereka yang disaman untuk ke mahkamah, kita cabar JPJ pula," katanya.

Saman PDRM tetap berjalan walaupun ada AES

Hazayani Zakaria, 05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan memansuhkan saman postal (Notis Pol 170A) walaupun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan.

Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, saman postal itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemandu jalan raya agar memandu secara berhemah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Saman postal ialah notis yang dikeluarkan PDRM kpada pemilik kenderaan yang berdaftar.

Bagi pemilik kenderaan yang gagal memberikan maklumat terhadap notis dalam tempoh yang ditetapkan, pemilik dikenakan saman kerana melakukan kesalahan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar pada sesi soal jawab lisan pagi ini.

"Berapa jumlah respon daripada pesalah yang menerima saman postal kemudian menjawab semula notis yang dikeluarkan PDRM.

"Apa jenis kamera yang digunakan PDRM, adakah sama dengan AES dan adakah menteri bercadang memansuhkan sistem ini setelah AES yang lebih kejam dan zalim dilaksanakan?" soal beliau.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, sebanyak 180,062 saman postal dikeluarkan sepanjang tempoh Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 12 hingga 26 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 52,362 saman dapat diselesaikan.

Firdaus dalam soalan asalanya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah "Saman Postal" (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan oleh PDRM semasa Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

Sementara itu, Firdaus ketika ditemui di lobi Parlimen berkata, rakyat kini terbeban dengan dua saman yang dikeluarkan iaitu daripada PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Dua kementerian menjadikan aktiviti menyaman pengguna kenderaan sebagai agenda bersama. Sepatutnya PDRM kena tumpu kes jenayah.

"Daripada jumlah saman yang dikeluarkan, hampir separuh yang bayar saman ternyata tak faham, tapi terus bayar sahaja sebab takut kena naik turun mahkamah. Kerajaan kena jelaskan bagaiman ia beroperasi, bukan terus saman," katanya.

Syabas Abdul Hadi Awang

Mohd Sayuti Omar, 02 Nov 2012
Kesediaan Presiden Pas Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Pekan dalam pilihan raya akan datang bagi menentang Ha Najib Razak rasanya perlu dihormati dan difikirkan sebagai anjakan keberanian baru dari Pas oleh kepimpinan Pas dan seluruh ahli jemaah itu. Saya tidak merasakan Abdul Hadi berseloroh dengan kesanggupan itu sebalik ianya satu komitmen yang baik dan serius.

Sewajarnya ketua sebuah parti berdepan dengan ketua sebuah parti yang bertentangan. Jangan persoalkan apakah Pekan itu kawasan lawan atau tidak, yang pentingnya Abdul Hadi ke situ bagi menumbangkan ketua parti yang dimusuhinya.

Walaupun mungkin kenyataan itu lebih kepada gimik, tetapi ada kebenarannya di situ. Mungkin Abdul Hadi memberi mesej untuk berdepan dengan Umno beliau sanggup pergi ke mana-mana saja kawasan yang sekaligus menyerlahkan beliau sudah hilang sabar dalam berdepan dengan kerenah Umno.

Cara itu juga membuktikan bahawa Pas bukan berjuang di dalam lopak sendiri tetapi perjuangannya universal.

Bagi Abdul Hadi kemenangan kerusi dan memenanginya bukan yang mutlak. Baginya kesediaan melawan seorang ketua parti yang ditolak atau dianggap sebagai jahat, khianat adalah satu tanggungjawab dan kewajiban. Kalau perjuangan Pas benar dan apa digagaskan Abdul Hadi adalah haq kenapa harus takut membiarkan dia ke Pekan.
Tidak timbul kalau ada mengatakan Abdul Hadi sengaja mencari naas. Bagi perjuangan Pas dan beliau sendiri, kemenangan itu bukan bermakna memenangi kerusi tetapi kemenangan itu adalah berlawan dengan musuh secara mendada. Tidak juga perlu soal bukankah kalau kalah Abdul Hadi tidak boleh memegang jawatan? Persoalan itu hanya bagi mereka yang jahil dan naif dalam memahami erti perjuangan.

Saya berharap kenyataan dan kesediaan Abdul Hadi itu menjadi realiti. Kalau hasrat Abdul Hadi itu menjadi kenyataan, sayalah orang pertama akan menjunjung duli kepada presiden Pas itu dan menerimanya sebagai seorang pejuang tulen yang berani, ikhlas dan bertepatan dengan prinsip perjuangan Islam ala Pas. Bahawa Abdul Hadi bukan seorang politician sekluar dan munafik seperti kebanyakan yang lain yang juga pengecut untuk mengejar musuh ke hingga ke laman rumah.

Syabas kepada Abdul Hadi Awang atas keberanian melemparkan hasrat itu. Dan Pas perlu mencuba strategi berkenaan. - http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan: