Sabtu, 17 November 2012

BILA ALLAH MENGHENDAKINYA TIADA SAPE YANG BOLEH MENGHALANGNYA...CUMA YANG WAJIB DIINGATKAN JANGAN KITA MENENTANG ISLAM...MAKA SEOLAH2 KITA MENGUNDANG MUSIBAH DARI ALLAH....JIKA TIDAK DIDUNIA MAKA AKHIRAT TEMPAT ALLAH MENGHUKUMKANYA

PAS tidak pernah lari dari perjuangan asal - Syura Ulamak

Salmiyah Harun, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: Majlis Syura Ulamak PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah-fitnah yang ditaburkan oleh musuh-musuh PAS yang kononya PAS telah terpesong dari perjuangannya.

Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, musuh tahu bahawa PAS masih di atas keasliannya, akan tetapi sengaja manabur fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenar.

Di waktu yang sama katanya, mereka berkenaan seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalarkan PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat.

"Majlis Syura Ulama sebulat suara membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa PAS adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal.

"Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama. PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaan Fasal 5(1)," katanya kepada Harakah dan Harakahdaily hari ini.

Perakuan itu juga ujarnya aalah hasil Mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang di JKR10 di sini malam tadi dengan mengambil kira dua ucapan dasar Presiden PAS di dua muktamar iaitu di Taman Melewar pada 2011 dan di Putik semalam.

Terdahulu, dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS, perwakilan Ulama Hairun Nizam (kanan) berkata, dasar tahaluf siasi yang diputuskan Ulama ia wajib dipatuhi oleh semua ahli demi keutuhan dan kemantapan organisasi.

"Liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siasi," katanya.

Malah katanya, kepimpinan Ulama mahukan bukan kemenangan untuk menjatuhkan BN semata-mata tetapi mahukan kemenangan untuk agama Islam.

"Kita perlu meletakkan kemenangan menjadi hak Allah. Jangan menyorokan Islam seketika untuk mendapat kemenangan dengan meletakkan hukum syarak di nombor dua tiga dan seterusnya, sebaliknya meletakkan hukum syarak itu yang paling utama," katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada pucuk pimpinan PAS agar menolak calon yang melobi diri sendiri untuk menjadi calon dalam PRU akan datang.

"Mohon kepimpinan untuk lihat sebarang tindakan yang melobi diri sendiri menjadi calon, minta calon ini tidak dijadikan calon PRU nanti," jelasnya.

Saya tak minta jadi PM - Presiden PAS

Hazayani Zakaria , 17 Nov 2012
KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam mengajar beliau agar tidak meminta-minta jawatan.

Justeru, beliau mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya.

Beliau berkata, fokus utama PAS dan Pakatan Rakyat adalah untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13, bukan menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.

"Saya sebagai pemimpin yang diajar dalam Islam tak boleh minta jadi pemimpin dan memimpin ini satu amanah yang berat, yang besar tanggungjawabnya.

"Apa yang penting kita nak ke Putrajaya. Siapa Perdana Menteri ialah mereka yang dipilih rakyat, yang layak, yang dapat menyatukan dan menegakkan keadilan untuk rakyat.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sanggup jadi nelayan balik. Seboleh-bolehnya saya ingin menjadi khadam rakyat," kata beliau pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik hari ini.

Beliau juga berkata, PAS merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi apabila memberi ruang kepada perwakilan menyuarakan pandangan dan kritikan.

"Demokrasi dalam PAS, kita membenarkan orang bercakap dalam muktamar dan kita akan gulung dan jawab. Ada yang wajar, ada yang tak wajarlah. Ada batasnya.

"Apa lagi sekarang ini zaman terbuka, bukan sahaja yang lidah panjang tapi tangan panjang tulis macam-macam pandangan dia dalam blog dansebagainya dan orang ambil pandagannya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali memberitahu, pembahagian kerusi antara PAS dan Pakatan Rakyat sudah selesai 90 peratus.

"Pembahagian kerusi dengan Pakatan Rakyat lebih 90 peratus selesai tapi kita tak boleh sebut lagi kerusi-kerusi tersebut," katanya sambil menambah, terdapat wakil Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) akan bertanding.

Perwakilan berjaya tepis tomahan dan provokasi

Nazri Abdullah, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung sejak semalam menunjukkan betapa kematangan perwakilan PAS yang tidak termakan sebarang provokasi dan fitnah pihak lawan.

Sebagai contoh katanya, walaupun media pihak lawan melakukan provokasi kononnya isu Nurul Izzah akan menjadi topik hangat dalam muktamar kali ini, namun perwakilan yang tampil berbahas langsung tidak membangkitkan isu ini.

Malah katanya, perwakilan dilihat matang membangkitkan isu khsusnya melontarkan kritikan membina kepada pimpinan parti ke arah menjadikan PAS lebih mantap berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Ini juga menunjukkan bahawa PAS bukan macam kepimpinan (Ayatullah) Khomeini yang tidak boleh ditegur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan penggulungan ucapan dasar Presiden PAS petang ini.

Beliau turut mengingatkan ahli agar tidak termakan dengan mainan media musuh yang cuba memecah belahkan PAS.

Sebaliknya ujar beliau, penerangan PAS termasuk Harakah dan Harakahdaily perlu dijadikan sumber rujukan walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan.

"Biarpun berdepan pelbagai kekurangan, namun Harakah dan Harakahdaily dutakuti musuh stakat ini,' katanya.

Beliau juga mahu ahli dan pimpinan tahu membezakan pendirian rasmi parti dan pandangan peribadi apabila seseorang ahli atau pimpinan mengulas sesuatu isu kepada media khususnya media perdana.

"Saya ingatkan bahawa pendirian rasmi parti hanya oleh presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha dan ketua penerangan.

"Sementara isu-isu tertentu hanya dikeluarkan oleh presiden dan ketua penerangan sahaja," katanya.

Justeru katanya, ahli selain pimpinan yang disebutkan itu boleh melontarkan pandangan tetapi harus menjurus kepada apa yang diputuskan kepimpinan parti.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberi teguran dan kritikan khususnya berkait penerangan PAS.

Kesemua teguran itu katanya akan diambil perhatian oleh lajnah penerangan untuk tindakan seterusnya.

Terima kasih lepas Salahudin - Perwakilan Johor

Hazayani Zakaria, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: PAS Johor merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS Pusat dan PAS Kelantan yang sanggup melepaskan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub bagi bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perwakilan Johor, Anis Afida Azli berkata, PAS Johor yakin negeri yang terkenal sebagai kubu kuat Umno itu mampu dilumpuhkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

"PAS Johor mengucapkan terima kasih kepada PAS Pusat khususnya PAS Kelantan kerana melepaskan YB Salahuddin untuk kemenangan Nusajaya.

"Politik Johor, pada 2008 PAS hanya dua kerusi di Johor namun atas pimpinan (Yang Dipertua PAS Johor) Datuk Dr. Mahfodz Mohamed kita yakin akan ada kejutan di Johor," katanya sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar PAS Kali Ke-58 di Putik hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, PAS menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani.

Anis berkata, dengan iltizam PAS untuk 'menjohorkan' PAS, parti itu mampu menarik undi Orang Melayu.

"Kita akan menggunakan seganap ruang budaya orang Johor untuk menarik hati orang Melayu. Budaya Orang Johor akan disesuaikan dengan Islam agar orang Melayu dekat dengan PAS," katanya.

Pengerusi NGO Pengerang Prihatin itu juga berkata, PAS Johor akan memberi perhatian serius kepada isu projek Rapid Pengerang yang akan menyebabkan orang Melayu diusir.

"Dalam ucapan presiden ada menyebut mengenai projek-projek mega, salah satu (Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang) PIPC, 22,500 ekar tanah yang akan diambil kerajaan negeri untuk pembangunan majoriti penduduk Melayu.

"Penduduk kampung yang berusia lebih 100 tahun itu akan diusir. Tapi kezaliman akan membuka mata rakyat. Mereka tahu mana racun mana madu," katanya.

Kami tentera perjuangan Islam - DHPP

Hazayani Zakaria Foto: Rizal Tahir, 17 Nov 2012

KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyifatkan diri mereka sebagai "tentera perjuangan Islam" dan secara sukarela bersama-sama dalam perjuangan PAS.

Perwakilan DHPP, K.Deepakaran berkata, ahli DHPP sudah faham perjuangan PAS dan tiada sesiapa yang memaksa mereka menyertai parti itu.

"Kita ikhlas dan sukarela nak memberi sokongan kepada sebuah parti Islam di Malaysia iaitu PAS.

"Saya selalu katakan DHPP adalah tentera perjuangan Islam. Kenapa saya katakan kami tentera Islam? kerana Islam untuk semua, Islam hadir untuk semua dan terima kasih untuk logo PAS For All," kata beliau sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 di Putik hari ini.

Setiausaha DHPP itu juga berkata, usaha sesetengah pihak menakut-nakutkan DHPP terhadap PAS dan Islam menemui kegagalan apabila semakin ramai orang bukan Islam menganggotai DHPP dan bersama-sama dalam PAS.

"Objektf DHPP adalah merapatkan hubungan antara kaum. Pandangan orang bukan Islam, kalau kita sertai DHPP, kene peluk Islam, kena potong itu, macam-macam lagi.

"Apa yang ditakutkan lagi, kalau sokong PAS lama kelamaan tiada tempat ibadat untuk Hindu dan Buddha tapi pimpinan PAS boleh mengadakan perbincangan dengan pimpinan agama lain.

"Kami sudah faham kerana DHPP sudah ditarbiyah. Dulu kami tak faham, tapi sekarang kami faham setelah ditarbiyah. Tak ada paksaaan dari parti PAS," katanya disambut laungan takbir sidang muktamar.

Beliau juga berharap tiada ahli PAS yang menganggap DDPP sebagai ancaman kepada parti itu sebaliknya bersama-sama berganding bahu menguatkan parti itu.

"Kita adalah aset untuk PAS. kita datang nak membantu, jangan sesekali anggap DHPP sebagai ancaman kepada PAS.

"Kalau dahulu memang PAS untuk orang ISlam sahaja tapi sekarang PAS sudah terbuka kepada semua jadi kami juga ingin sama-sama berjuang dalam PAS," katanya.

Sementara itu, beliau meminta PAS dan Pakatan Rakyat menyelesaikan isu ketiadaan mykad di kalangan India dan Cina yang gagal diselesaikan kerajaan BN.

"Kira-kira 3,000 orang India termasuk Cina yang belum ada kad pengenalan. Jadi kami minta perkara pertama yang perlu diselesaikan selepas Pakatan Rakyat ke Putrajaya adalah soal kad pengenalan," katanya.

Simpati nasib penduduk Gaza

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,
Simpati buat penduduk Gaza setelah seorang demi seorang pemimpin mereka mati syahid dibunuh oleh Zionis Israel. Kehidupan di bandar Gaza itu saperti mimpi yang amat mengerikan iaitu siang dan malam kehidupan sentiasa diburu bedilan peluru dan roket. Mereka bukan sahaja kekurangan makanan dan minuman bahkan terpaksa bergelap pada malam harinya.

Tiada siapa yang berani dan tiada negara Islam yang mampu isytiharkan untuk berjuang bagi membebaskan bumi Palestin. Hal ini kerana umat Islam telah hilang roh dan semangat jihad, lantas tidak bersatu dan takut dengan ugutan konco-konco Zionis Yahudi seperti Amerika dan negara-negara barat yang lain. Kalau ada pun hanya memandang dari jauh sahaja apa yang berlaku tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk menentang Zionis Yahudi yang sombong dan bongkak ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seolah-olah tidak nampak atau mentutup mata daripada melihat dan kekejaman askar Israel terhadap penduduk Palestin.

Pemimpin Islam dari seluruh dunia jangan berpeluk tubuh sahaja tetapi mesti bertindak segera untuk memastikan bumi Palestin dibebaskan daripada cengkaman Zionis Yahudi yang tidak habis-habis menyusahkan rakyat Palestin dan dunia islam.

Jika 1.5 bilion umat Islam daripada jumlah 7 bilion ini bersatu menentang rejim Zionis Yahudi yang hanya 20 juta sahaja, bumi Palestin terbela. Atau jika negara-negara Islam di sekeliling negara haram Israel berpakat menentangnya habis-habisan sudah tentu Islam akan menang dan negara Palestin akan berdaulat kembali.

MB Kelantan terima memo sokong tangguh AES

Mohd Rashidi Hassan, 17 Nov 2012


(MB Kelantan menerima memo sokong tangguh AES)


KOTA BHARU: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima memorandum yang menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kelantan menangguhkan pelaksanaan AES di negeri Serambi Mekah itu.

Memorandum disampaikan oleh Koordinator Gabungan Aktivis Bantah AES Kelantan (BANTAH AES), Ismady Radzuan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini.

Dalam memorandum tersebut, mereka menyokong penuh tindakan kerajaan Kelantan yang menangguhkan pelaksanaan AES 29 Oktober lepas.

Tuan Guru ketika menerima memorandum tersebut berkata, Kelantan mengambil tindakan tersebut selaras dengan keputusan Pakatan Rakyat di peringkat Pusat untuk menolak AES.

"Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan sudah memutuskan langkah yang sama dengan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat," ujar beliau.

Antara isu yang dibangkitkan dalam memorandum BANTAH AES kerana ia amat membebankan rakyat, mempersoalkan pengswastaan AES kepada Beta Tegap, selain latarbelakang syarikat yang menguruskan AES amat mencurigakan.

"Kemalangan tidak disebabkan hanya kerana kelajuan semata-mata," tegas memorandum tersebut.

Ribuan anak muda “bermuktamar” di Dataran Stadium

Mohd Nor Yahya, 17 Nov 2012
KOTA BHARU: Bukan sahaja di sekitar Putik di Pengkalan Chepa hangat dengan suasana muktamar, sebaliknya Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV petang semalam juga dilimpahi kehadiran ramai anak muda.

Lebih 10,000 anak muda yang datang dari seluruh pelusuk negara  menghadiri program berkenaan, bermula solat asar diimamkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Sebelum itu diadakan perarakan motosikal anak muda yang memakai baju berlogo “R”. Selain itu diseri pula pertunjukkan tarian naga dikendalikan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan.

Himpunan tambah meriah dengan kehadiran selebriti hijrah Abby Abadi dan Syam Kamikazie. Turut dimeriahkan lagi kehadiran anak-anak muda Orang Asal dari Gua Musang.

NGO R juga menyediakan banner yang bertulis  “Pijak Tanda Protes Wang Ihsan & Pengkhianat Royalti” dipijak beramai-ramai anak-anak muda.

X-Presi Anak Muda juga menampilkan persembahan menarik oleh Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil yang mendendangkan lagu ciptaan sendiri.

Persembahan deklamasi sajak bertajuk “Mengukir Langkah Ke Putrajaya” ciptaan wartawan Harakah, Salmah Mat Hussin yang dideklamasikan Ketua Amirah Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki.

Anak muda juga berpeluang bersembang bersama Abby Abadi yang dipengerusikan Ustaz Azariza Alawi. Abby ketika menjawab soalan berkata, Kelantan sebelum ini antara negeri yang tidak diminatinya,  namun setelah mendapat hidayah, Kelantan pula menjadi pilihan utama sekarang.

“Saya pernah juga mengikuti program dianjurkan Umno ketika menjadi artis, namun tidak berminat membicarakan hal Islam dan politk, namun kini saya amat berminat untuk mendampingi program dianjurkan PAS,” ujar beliau.

Himpunan itu juga disertai Angkatan Muda Keadilan Kelantan diketuai Azihan Che Seman.

Ketika berucap katanya, kesepakatan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat ternyata disokong anak muda bagi menjayakan aspirasi Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Sementara itu kibaran bendera berwarna merah, kuning, hijau dan oren turut memeriahkan suasana di Dataran Stadium. Himpunan itu diakhiri ucapan Ketua Muslimat PAS Pusat,  Siti Zailah Mohd Yusof dan Abdul Latiff.

Tiada ulasan: