Khamis, 8 November 2012

DIRI SENDIRI MACAM MANA

Nurul Izzah buat aduan di Jais esok
ARHIZA AHMAD
8 November 2012
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan bertemu dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin esok bagi membuat aduan terhadap sebuah akhbar yang didakwa memfitnahnya.

"Saya akan berjumpa dengan Pengarah Jais esok, jam 11 pagi untuk kemuka aduan terhadap laporan menyerang dan memfitnah saya.

"Ini kerana dakwaan yang disebut berasaskan laporan Utusan Malaysia," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Marzuki  menjelaskan bahawa Jais akan memanggil Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya bahawa rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuk kepada orang Melayu.

Sabtu lalu, pada forum 'Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab', Nurul Izzah dilaporkan menegaskan bahawa setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Kenyataannya itu dilaporkan portal berita berbahasa Inggeris yang menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan ia juga terpakai secara sama rata kepada orang Melayu.
MP BN: Hadi perlu undur, bukan cabar Najib
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
8 November 2012
ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar berundur secara terhormat jika tidak mahu terus berkhidmat sebagai wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata seorang pemimpin muda Umno dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, adalah tidak "manis" mengakhiri kerjaya politik dengan bertanding di kawasan yang menjadi kubu kuat orang lain termasuk di Pekan sendiri, yang kini disandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mengalami kekalahan.

Malah katanya, oleh kerana sudah ada ramalan Hadi memang akan kalah di Pekan, "adalah perkara yang paling tidak manis untuk menamatkan karier politik beliau sebagai Presiden Pas dan negarawan."
"Sejarah negara kita, belum pernah ada perdana menteri yang berkhidmat kalah di kawasan (sendiri)," tambah beliau.

Abdul Hadi baru-baru ini mengejutkan negara apabila menyatakan kesediaan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan jika diarah parti agar berbuat demikian.

Kenyataan Abdul Hadi itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Namun kelmarin, beliau sekali lagi menegaskan akan kekal dengan keputusannya untuk bertanding di Pekan jika diputuskan demikian oleh parti.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, Abdul Hadi harus berundur secara terhormat bersesuaian dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin tertinggi Pas yang sudah lama berkecimpung dalam arena politik.

"Sebab sebelum ini pun beliau sudah meluahkan perasaan untuk tidak mahu lagi bertanding dan sebagainya. Umur pun sudah lanjut.

"Jadi untuk beliau mencadi seorang pemimpin yang dianggap sebagai negarawan, saya kira, dia kena bersara dengan baik," kata Abdul Rahman yang juga Naib Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN.

Beliau bagaimanapun turut melahirkan kebimbangan sekiranya ini satu agenda terancang pihak tertentu untuk menamatkan karier politik Abdul Hadi.

"Saya takut pula ada yang mengatakan ini satu konspirasi terhadap beliau untuk menamatkan karier beliau dan mengaibkan beliau di kalangan pemimpin-pemimpin khasnya kita tahu sekarang ini ada kelompok-kelompok yang tertentu," katanya.


* Versi yang telah dibetulkan
2 NGO anjur forum kebebasan agama serentak malam ini
Wartawan Sinar Harian
8 November 2012
SHAH ALAM - Di sebalik kontroversi kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, dua pertubuhan bukan kerajaan mengadakan forum berasingan di ibu negara malam ini mengupas isu menyentuh soal kebebasan beragama.

Dalam kenyataan media, Akademi Pak Sako berkata, pihaknya menganjurkan program wacana ilmiah susulan perkembangan terkini berkaitan polemik kebebasan beragama dan murtad yang dimuatkan dalam media massa mutakhir ini.

Program pihaknya diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada jam 8.30 malam.

Ahli panelnya terdiri daripada Hasmi Hashim iaitu budayawan dan penulis lirik lagu; juara program Imam Muda pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, pendakwah muda Wan Ji Wan Hussin dan bekas Koordinator Media Datuk Seri Anwar Ibrahim, Eekmal Ahmad.
Koordinator Akademi Pak Sako, Mohd Zulfadli Abdul Halim berkata, pihaknya mengadakan forum malam ini bukan atas soal sentimen tetapi satu perbincangan ilmiah menghalusi isu semasa ini.
"Saya pun tidak tahu Perkasa hendak menganjurkan program ini, mungkin secara kebetulan... sebenarnya kami pun ada berusaha untuk menjemput wakil Perkasa, Ketua Wira Perkasa untuk menghadiri forum kami tetapi gagal dihubungi.
"Sepatutnya diadakan bersama, cantum sekali, lebih cantik. Tak mengapa, kami lihat penganjuran forum seperti ini bukan satu masalah kerana ia hanya perbincangan ilmiah," katanya ketika dihubungi.
Beliau menjangkakan sekitar 150 orang akan menghadiri program pihaknya.

Dalam pada itu, Perkasa pula menganjurkan forum bertajuk Forum Kebebasan Bertukar Agama Dari Sudut Islam dan Perlembagaan Negara di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada jam 8 malam.

Antara ahli panelnya ialah Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin; Presiden Jati, Datuk Dr Hassan Ali, Presiden Muafakat, Ismail Mina dan bekas Angkatan Belia Islam Malaysia, Dr Yusri Mohammad.
Zahid: Anwar cabar Najib, cuba alih isu Izzah

8 November 2012
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
SETIU - Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanding di kawasan Parlimen Marang di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang adalah bersifat mengalih pandangan di atas isu panas yang dibuat oleh anaknya, Nurul Izzah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lontaran cabaran yang dibuat Anwar itu sewajarnya tidak perlu dilayan dan ia dibuat semata-mata sebagai satu perangkap politik

"Tawaran Anwar itu bersifat tawaran politik. Kalau begitu, beliau juga harus jugalah bertanding di Pekan. Kalau beliau berani.

"Saya fikir tidak perlulah gimik politik kerana sistem politik di Malaysia agak berbeza dan adalah lebih baik bertanding di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu 1Malaysia Bermotosikal di Kolej Universiti Bestari di Permaisuri dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang merupakan penaung Superbike Association of Malaysia (SAM) mengetuai konvoi lebih 400 motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara dengan satu perjalanan yang bermula di Johor pada Rabu dan akan berakhir di Putrajaya, Sabtu ini.

Konvoi tersebut yang dianjurkan SAM dan Media Prima bakal dimasukkan dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai bilangan yang paling ramai berkonvoi motosikal berkuasa tinggi dalam ekspedisi di seluruh negara.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata Nurul Izzah seharusnya mengakui kesilapan kenyataannya dan tidak wajar menyalahkan media sedangkan memang ada rakaman-rakaman yang dibuat oleh beliau yang menyuarakan demikian di sebuah gereja di Selangor.

"Kalau mahu mengambil hati dan mahu mencari pengaruh di kalangan agama lain, janganlah sampai menggadaikan prinsip-prinsip yang telah menjadi asas kepada Islam.

"Sebagai orang Islam, kita jangan harus berbeda pendapat, walaupun kita berlainan parti politik, kerana isu melibatkan soal agama tidak patut dipolitikkan," katanya.

Jelasnya pihak berkenaan sepatutnya menggunakan kedudukan dan kekuatan untuk memperkukuhkan Islam dan bukannya hanya bersifat memperkukuhkan politik dan diri sendiri. - Bernama
Penarik kereta tunda cuba bunuh Ketua Pemuda Umno, dipenjara 6 bulan

8 November 2012
Ketua Pemuda Umno - Cubaan bunuh
Mohd Azril Ab Shukur, 28, (depan) dihukum penjara enam tahun setelah mengaku bersalah atas cubaan membunuh Norizan Ali dua bulan lepas - Foto Bernama
Norizan Ali
Datuk Norizan Ali menunjukkan kesan cedera dan menafikan spekulasi serangan ke atasnya sebagai rancangan bunuh dalam sidang media di rumahnya di Ampang - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Seorang penarik kereta tunda dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba membunuh Ketua Pemuda Umno Kepong Datuk Norizan Ali, lebih sebulan lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azril Ab Shukor, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Manira memerintahkan Mohd Azril menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap 1 Nov lalu.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh, Mohd Haswan Hashim, 22, seorang 'bouncer' kelab malam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mohd Azril dan Mohd Haswan didakwa dengan niat bersama menyerang Norizan, 41, menggunakan sebilah parang, menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut, badan dan tangan yang boleh menyebabkan kematian.

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Cahaya 2, Ampang pada 2.30 pagi, 24 Sept lalu, mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd Haswan kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat dan membabitkan senjata merbahaya.

Nur Hafizah memberitahu mahkamah bahawa insiden itu menyebabkan Norizan mengalami trauma.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Dis untuk sebutan kes melibatkan Mohd Haswan. - Bernama
Pas Pusat mahu Hadi kekal tanding di Marang
JAMILAH HAMZAH
8 November 2012
Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas Pusat telah mencadangkan kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal bertanding di kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun beliau menyatakan kesediaan bertanding di mana-mana kerusi termasuk Pekan jika diperlukan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Hadi perlu mengekalkan kemenangannya di Marang dan hasrat presiden untuk bertanding di Pekan hanya menggambarkan yang beliau boleh bertanding di mana sahaja dengan sokongan-sokongan.

Menurutnya, hasrat presiden itu tidak semestinya beliau akan diletakkan di Pekan.

Tambahnya, "kita tak ada masalah, presiden nak bertanding di mana pun, kita yakin dengan sokongan rakyat diberikan kepada Pakatan Rakyat (PR)."

"Kalau Hadi bertanding di Pekan, penyokong Pas di sana akan menyokong dia di sana, lagipun sejarah pilihan raya lalu, Najib (Perdana Menteri) hanya menang tipis sahaja, dengan 200 undi lebih.

"Bagaimanapun kita dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dua hari lalu, kita cadangkan presiden (Hadi) pertahankan kerusi yang dimenanginya di Marang," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, Hadi telah menyatakan hasratnya bertanding di Pekan untuk merebut kerusi yang dipegang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, jika parti mengarahkannya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong hasrat itu.

Bagaimanapun pemimpin Umno telah mengkritik tindakan Hadi yang dikatakan akan memakan diri dan pelik.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menasihatkan Hadi supaya tidak mengambil tindakan yang boleh memakan diri.

Terbaru, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kesediaan Hadi itu dianggap seperti 'menggali lubang sendiri' dan hanya menunggu masa untuk jatuh.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, kenyataan Noh itu menggambarkan Umno sedang berada dalam kebimbangan.

Beliau berkata, PR yakin mempunyai tokoh yang layak dan kuat untuk bertanding di Pekan bagi merebut kerusi tersebut.

"Di Pekan itu memng sepatutnya adalah kerusi dari pimpinan PR, kita yakin ada tokoh untuk turun di situ daripada PR," katanya lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Umno-BN itu adalah provokasi semata-mata.

"Setakat ini memang kita membuat keputusan Hadi bertanding di Marang dan kenyataan pemimpin Umno-BN itu hanya provokasi yang tidak jejaskan parti dan PR," katanya.
Wan Azizah: 'Kasihan Izzah'
MAZLINDA MOHD NOR & MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
8 November 2012
Muka depan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & KL Khamis 8 November 2012
Muka depan akhbar Sinar Harian edisi Selangor & KL Khamis 8 November 2012
PETALING JAYA – “Kasihan Izzah. Sabarlah ye nak...” Dia mengusap-usap gambar Nurul Izzah yang tersiar di muka hadapan Sinar Harian. Walau tersenyum nipis, tetap ada raut sayu hiba hati ibu. Itulah aksi spontan   Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila menatap wajah anaknya, Nurul Izzah Anwar di muka depan akhbar Sinar Harian semalam.

"Saya memang sedih apabila kontroversi ini timbul. Naluri keibuan saya terasa dijerut. "Anak saya dituduh menggalakkan murtad! Satu tuduhan berat!"

Itu yang diluahkan Dr Wan Azizah apabila ditanya tentang kontroversi yang mendakwa anaknya itu menggalakkan kebebasan memilih agama pada forum Islamic State: Which Version Whose Responsibility? baru-baru ini. Katanya, walaupun beliau dan keluarga sudah lali dengan serangan politik dan peribadi sejak suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet 14 tahun lalu, namun serangan yang mengaitkan sentimen agama amat  keterlaluan.

“Dulu suami saya dikaitkan dengan kes sodomi, tetapi tidak berjaya, timbul pula sodomi II juga tidak berjaya. Lepas itu dikaitkan pula dengan Kristian dan pluralisme. Sekarang tiba giliran anak saya pula. “Kepada anak-anak  saya pesan, hadapilah segala ujian yang mendatang dengan tabah untuk dapatkan keredaan ALLAH.

"Jangan putus memohon dan berdoa kepada-NYA moga perjuangan kita diterima.” Katanya lagi, beliau dan suami sering menasihatkan anak-anak agar jangan berputus asa dan sentiasa meminta petunjuk ALLAH jika  berhadapan dengan situasi sukar.

“Saya juga tidak pernah jemu mengingatkan mereka dan diri sendiri agar tidak lari dari jalan yang mendapat keredaan ALLAH, ampunkanlah segala kesalahan dan perkuatkan iman dengan amal dan zikir,” katanya.

Terdahulu,  media mendakwa Nurul Izzah berkata: “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan agama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.”

Bagaimanapun, beliau dilaporkan tidak menyatakan orang Melayu sepatutnya diberikan hak daripada segi undang-undang berkaitan kebebasan beragama.

Nurul Izzah, menerusi blog beliau, www.nurulizzah.com mengucapkan ribuan terima kasih atas pertanyaan lanjut yang diterima beliau ekoran kenyataannya di dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? sebagai seorang panelis.

“Sewaktu sesi soal jawab, salah satu soalan ditanya kepada saya berkait isu paksaan dalam agama melibatkan masyarakat Melayu.

“Jawapan saya menegaskan ungkapan – “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)….” – daripada ayat suci al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 256. Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia.

“Namun ditambah, saya berpegang pada pendirian umum sedia ada, iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut pemimpin PKR itu lagi, beliau kesal terhadap percubaan memutarbelitkan kenyataannya yang kelihatan seolah-olah meremehkan soal akidah “atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad”.

“Saya cenderung mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh akidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam.

“Saya berdoa agar ALLAH SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada semua, demi kesejahteraan bersama,” tulis beliau lagi.

YANG BANYAK DI TAG DI FB


Pas hanya retorik politik tegakkan syiar Islam

8 November 2012
Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada perasmian program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Enggang, hari ini.
PASIR MAS - Kerajaan Kelantan pimpinan Pas yang dikatakan berteraskan kepada perjuangan Islam dilihat lebih kepada retorik politik dalam menegakkan syiar Islam dan membawa pembangunan kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun negeri ini dipanggil Serambi Mekah dan Pas sudah 22 tahun memerintah negeri ini, masih banyak yang boleh dilakukan bagi tujuan tersebut tetapi tidak dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Orang Kelantan boleh saksikan sendiri ia dibuat atau tidak, telah terbukti masih banyak yang boleh dilakukan di Kelantan tetapi tidak dilakukan oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubok Jong di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin dan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Md Zin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata tempoh 22 tahun memerintah negeri ini bukan suatu tempoh yang singkat tetapi tempoh yang panjang itu sepatutnya diisi dengan pelbagai perkara untuk meningkatkan syiar Islam dan kemajuan rakyat.

Beliau berkata usaha meningkatkan syiar Islam ini bukan sekadar lambang tetapi perlu diterjemahkan dengan pelaksanaan program dan inisiatif tertentu yang menunjukkan hakikat sebenar perjuangan dan ia mampu dirasai oleh rakyat.

Katanya manifestasi kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan syiar Islam dan membela nasib rakyat, memberi perubahan besar terhadap perkembangan Islam di negara ini serta taraf hidup rakyat yang lebih baik.

Katanya di samping kemajuan dalam bidang infrasruktur untuk kemudahan rakyat, kerajaan BN berjaya mengurangkan jumlah rakyat miskin melalui pelbagai program yang dilaksanakan.

"Apabila kita membuat perbandingan bukan dari segi politik sahaja tetapi rakyat hari ini hendak menilai sesuatu itu betul-betul diterjemahkan secara konkrit, rakyat nak rasa sendiri perubahan hidup," katanya.

Beliau mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan dengan memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri ini supaya apa yang tertinggal dalam tempoh 22 tahun itu dapat dilakukan oleh kerajaan BN yang berkeupayaan.

"Inilah (pilihan raya umum ke-13) peluang terbaik, 22 tahun bukan tempoh yang pendek. Saya di Johor menjadi Menteri Besar 9 tahun 6 bulan (13  Ogos 1986 hingga 6 Mei 1995), banyak benda boleh buat," katanya.   

Beliau berkata kerajaan BN serius untuk melakukan perubahan sebagaimana yang dikehendaki rakyat Kelantan termasuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang berlarutan sekian lama, dan semua perkara itu akan dimasukkan dalam manifesto BN dalam PRU Ke-13 bagi negeri ini.

Mengenai projek pembangunan yang melibatkan kerajaan Kelantan dengan syarikat swasta yang mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, Muhyiddin berkata kerajaan negeri perlu memastikan perjanjian yang dimeterai dipatuhi supaya kepentingan rakyat tidak terjejas.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin mengingatkan Umno Kelantan supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRU Ke-13, memperkukuhkan perpaduan, mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. - Bernama
Muhyiddin: Nik Aziz perlu berani tegur pemimpin Pakatan

8 November 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
PASIR MAS - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya berani menyatakan kebenaran apabila terdapat kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membuat kenyataan yang bercanggah dengan Islam dan prinsip perjuangan Pas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Besar Kelantan itu tidak sepatutnya mengenepikan soal kebenaran terutama yang melibatkan agama Islam demi kepentingan politik.

"Oleh kerana dia Mursyidul Am dan tokoh ulama yang dikatakan dihormati, dia mesti bersifat berani dan berterus terang walaupun itu sahabat dia, walaupun itu pakatan dia, dia tak boleh untuk kepentingan politik, dia ketepikan soal itu,"
katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubok Jong di sini, hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas sikap berdiam diri Nik Abdul Aziz apabila terdapat pemimpin pakatan pembangkang yang mengeluarkan kenyataan kontroversi terhadap isu yang bercanggah dengan Islam.

Ini termasuk kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, yang dilaporkan oleh sebuah portal berita sebagai berkata kebebasan beragama seharusnya terpakai kepada semua termasuk orang Melayu.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sikap Nik Abdul Aziz itu mungkin hendak menunjukkan kesepakatan dalam PR tetapi bagi perkara yang melibatkan akidah umat Islam, ia tidak harus diketepikan.

"Kalau kesilapan dilakukan oleh (Penasihat PKR) Anwar (Ibrahim), (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng, (Pengerusi DAP) Karpal Singh, dia kena tegur, tak boleh kata itu pandangan dia. Yang tak betul kata tak betul, yang salah kena kata salah," katanya. - Bernama
Nasrudin: SMS dakwa Pemuda Pas mahu protes Izzah fitnah
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
8 November 2012
Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Pemuda Pas Pusat beranggapan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh apabila menggunakan kesempatan isu kontroversi yang melanda Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan mendakwa sayap parti Pas itu akan mengadakan satu perhimpunan membantah anak sulung Ketua Pembangkang itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menerusi satu kenyataan media berkata, mereka telah menerima beberapa panggilan telefon daripada media meminta reaksi berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbunyi “Dewan Pemuda Pas Pusat akan mengadakan satu perhimpunan aman dan penyerahan memorandum membantah kenyatan YB Nurul Izzah berhubung isu menyamakan Islam dengan agama-agama lain dan tindakan beliau menyokong LGBT…."

"Bagi Pemuda Pas, individu yang mencetuskan fitnah ini bahkan yang menyebarkan fitnah ini adalah individu yang tidak bertanggungjawab yang tidak mempunyai akhlak yang mulia.

"Membuat satu-satu kenyataan dengan menggunakan nama orang lain itu adalah satu penipuan manakala menyebarkan kenyataan tanpa bertanya kepada sumber itu pula adalah kesalahan dan kedua-duanya termasuk di dalam perkara mungkar yang dimurkai ALLAH," ujar beliau.

Nasrudin percaya SMS berkenaan satu lagi usaha pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan parti kompenan dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Pemuda Pas meminta agar individu yang terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral ini menginsafi dan memuhasabahkan diri. Tanyalah kepada diri, apakah keuntungan yang diperolehi sekiranya kamu berjaya menimbulkan persengketaan?

"Sekali lagi, Dewan Pemuda Pas menafikan kenyataan tersebut dan mengecam individu yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan fitnah tersebut dengan menggunakan nama Pemuda Pas Pusat," tegasnya.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berhadapan kontroversi terbaru apabila dikatakan menggalakkan kebebasan memilih agama pada forum Islamic State: Which Version, Whose Responsibility? baru-baru ini. Ekoran itu Nurul Izzah dihentam pelbagai pihak.

Pemimpin kanan PKR itu telah mengarahkan dua peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah agar mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia dan Berita Harian serta beberapa blog berkaitan laporan isu kebebasan beragama, yang didakwa berbaur fitnah.

Beliau juga dilaporkan akan bertemu dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin esok bagi membuat aduan terhadap sebuah akhbar yang didakwa memfitnahnya.
Hasan Ali tegur Dr Dzul 'cuba nasihati Sultan'
Nizam Zain
8 November 2012
Hasan Ali
Hasan
SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad didakwa merendahkan martabat Sultan Selangor ekoran pendiriannya mempertahankan kenyataan Nurul Izzah Anwar sambil berhasrat mahu menghadap baginda untuk memperjelaskan kontroversi berkaitan kebebasan beragama.

Presiden Jalur Tiga, Datuk Dr Hasan Ali berkata, tindakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu yang mempersoalkan teguran Sultan Selangor seolah-olah cuba menasihati baginda supaya mendapatkan gambaran jelas sebelum membuat kenyataan media.

“Sekali lagi saya merasakan Dr Zulkefly meletakkan dirinya terlalu tinggi hingga berasakan Institusi Kesultanan dan batang tubuh Tuanku Sultan boleh 'dipermainkan' sesuka hati.

“Dr Dzulkefly juga bagi saya merendahkan martabat baginda Sultan yang terkenal dengan sifat sangat  berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Sultan Selangor akan merujuk kepada mereka yang berautoriti untuk mendapatkan pelbagai pandangan sebelum sesuatu keputusan dan kenyataan dikeluarkan kepada umum.

“Nurul Izzah disifatkan sebagai jahil dalam agama Islam di samping umur yang terlalu muda untuk mengulas hal-hal akidah yang begitu berat konotasi dan implikasi,” katanya.

Sambil menafikan Dzulkefly mempunyai hubungan rapat dengan Sultan Selangor, Hasan menyindirnya ketika beliau menggalas tugas Exco Agama Islam Selangor, beliau tidak pernah melihat Dzulkefly terlibat dalam majlis diraja khususnya acara mengenai Islam dan adat istiadat Melayu.

Tindakan Dzulkefly mempertahankan kenyataan Nurul Izzah juga katanya, adalah tidak wajar kerana Naib Presiden PKR itu disifatkan sebagai jahil dalam agama Islam, di samping umur yang terlalu muda untuk mengulas hal-hal akidah, yang begitu berat konotasi dan implikasi.

“Bila anak Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan 'carbon copy' ayahandanya, antara pimpinan Pas yang melompat mempertahankan pendirian Nurul Izzah ialah Zulkefly hingga beliau sanggup merendahkan martabat istana dan Tuanku untuk dijadikan justifikasi mengiakan pandangan Nurul Izzah itu,” ulasnya.
Majlis dan jabatan agama Islam negeri perlu peka penyelewengan agama

8 November 2012
KUALA LUMPUR - Pelbagai langkah telah diambil termasuk menubuhkan jawatankuasa pemantauan berhubung penyelewengan agama dan kandungan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang disebarkan melalui Internet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir berkata sebuah jawatankuasa pemantauan terhadap ajaran sesat dan dakyah yang mengganggu-gugat Islam di peringkat negeri telah ditubuhkan dengan dianggotai wakil majlis dan jabatan agama, penasihat undang-undang dan pihak polis di peringkat negeri.

"Jawatankuasa ini bertanggungjawab melihat dakyah-dakyah yang tidak betul terhadap agama Islam," kata beliau ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu melibatkan kesucian Islam termasuk usaha menghidupkan semula ajaran sesat Al-Arqam.
   
Jamil Khir berkata bagi memantau kandungan-kandungan yang disebarkan melalui internet seperti blog dan YouTube, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ketua pengarah Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri supaya sentiasa peka mengenai isu-isu berkaitan penyelewengan agama Islam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam Al-Quran Perdana 2012 Murid-Murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Khalid Al-Walid di sini hari ini.

Lebih 1,000 1,033 murid-murid tadika Islam MAIWP dari lima zon iaitu Zon Bandar Tun Razak, Zon Batu, Zon Bangsar, Zon Setapak dan Zon Titiwangsa mengambil bahagian. - Bernama




Apa yang Membatalkan Syahadat

Tiada ulasan: