Sabtu, 10 November 2012

INSYAALLAH PRU13 TAHUN HADAPAN...KITA NAK TUTUP TAPI KALAU KATA ALLAH BUKAK MAKA CERITA TU...KES TU TERBUKAK JUGA

PAS jangka PRU13 diadakan tahun ini

Khairul Azlam Mohamad, 09 Nov 2012
MARANG: PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kemungkinan akan diadakan pada tahun ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehi beliau.

Bahkan, katanya jangka masa akan dibubarkan parlimen serta diadakan pilihan raya itu terlalu dekat dalam masa beberapa minggu lagi.

“Ada maklumat kata pilihan raya tahun ini juga. Maka, kita (PAS) kena bersedia untuk tahun ini juga. Bahkan, ada yang kata Barisan Nasional nak bubar dalam masa dua minggu lagi…walau pun ada yang kata (spekulasi) tahun hadapan (2013).

“Tapi persediaan SPR sekarang untuk pilihan raya pada bila-bila masa. Maka, kita (PAS) juga kena bersedia pada bila-bila masa untuk pilihan raya (PRU13),” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bertemakan “Tarbiyah Tunjang Kekuatan Pemuda” di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang 8 November lalu.

Antara pimpinan pemuda yang hadir Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Namun begitu, kata Datuk Seri Abdul Hadi, Barisan Nasional kini teragak-agak hendak mengadakan pilihan raya kerana bimbang dengan perubahan orang muda.

“BN kini teragak-agak hendak adakan pilihan raya (PRU13) kerana takut pada undi orang muda. Mereka sangat takut dengan perubahan orang muda ini.Saya dapat maklumat terkini, jika dibiarkan lama (lambat pilihan raya) bahaya lagi.

“Mereka (BN) beri BR1M, tapi ambil balik melalui saman dan orang (rakyat) faham, orang ‘reti’. Mereka (kerajaan) boleh ambil balik melalui macam-macam saman dan kenaikan. Tipu atas darat dan jika dibiarkan akan terus (kerajaan BN) dalam bahaya,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan golongan muda merupakan sayap penting dalam perjuangan sama ada lelaki mahu pun wanita.

Menurutnya, tenaga orang muda sangat penting apa lagi dalam konteks pilihan raya demokrasi berparlimen.

Katanya, hasil lawatan kerja parti ke seluruh negara dilaporkan lebih 30 peratus dari jumlah pengundi pada PRU13 ini adalah golongan muda.

“Orang muda adalah sayap penting dalam perjuangan, orang muda lelaki dan wanita, muslimin dan muslimat sama sahaja. Tenaga (muda) yang penting, apa lagi dalam konteks pilihan raya demokrasi berparlimen.

“Satu undi lelaki, satu undi perempuan dan mereka (Pemuda PAS) perlu menarik orang muda terutamanya.

“Dalam lawatan saya di negeri Terengganu dan negeri-negeri lain di seluruh negara. Saya dapati lebih 30 peratus pengundi-pengundi muda yang boleh jadi undi penentu pada PRU13 akan datang,” ujarnya di hadapan lebih 1000 hadirin.

Selain itu, Presiden PAS turut mengingatkan para pemimpin serta ahli parti disemua peringkat agar tidak terlalu ‘over confident’ dengan perkembangan politik semasa.

Beliau menasihatkan agar tidak berlaku sifat keji yang ditegah oleh Allah SWT iaitu sifat ‘ujub’ atau rasa kagum pada diri sendiri.

Menuurtnya, jumlah sokongan yang ramai kadang-kala melahirkan sifat ujub, bangga diri serta hilang kebergantungan kepada Allah SWT.

“Kagum (bangga) dengan diri sendiri, ‘over confident’, terlalu yakin kita ramai dan boleh menang dengan mudah. Ramai doh (sokongan), boleh pergi ke Putrajaya bila-bila masa.

“Jangan galak sangat sebab ada di kalangan kita ini galak sangat…memang kita (PAS) hendak ke Putrajaya tetapi jangan ‘ujub’ (bangga diri).

“Saya minta kepada pemimpin kita (PAS) disemua peringkat, surat khabar kita..Harakah samalah juga jangan ujub sangat. Tuhan ajar Nabi saw jangan ujub.

“Kita (Pakatan Rakyat) ceramah ramai dah, himpunan ramai dah boleh menang..ini jangan ujub. Berarak sahaja tetapi tidak buat kerja, tidak jadi apa,” tegasnya.

Tambah beliau, proses tarbiyah sangat penting dalam pengisian perjuangan Islam sama ada sebelum menang atau selepas kemenangannya.

Hadir sama meraikan majlis tersebut Pengerusi dan Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran GK dan Encik Jefri Chua.

Muslimat diingat tidak bangkitkan isu remeh

Salmiyah Harun, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf mengingatkan para perwakilan tidak membangkit isu-isu remeh temeh di muktamar sebaliknya memberi fokus kepada peranan muslimat dalam merealisasikan Negara Berkebajikan.

Ianya, jelas Zailah bersesuaian dengan tema Muslimat PAS ke-52 iaitu Muslimat / Wanita Prihatin Kebajikan Terlaksana.

"Kita tidak mahu di dalam perbahasan nanti ada perkara negatif di kalangan kita diperbesar-besarkan. Tidak mahu perkara kecil dan remeh-temeh dibincangkan di sana," katanya ketika dihubungi.

Sebaliknya, beliau berharap perwakilan dapat memberi ide dan cadangan yang bernas untuk memperkukuhkan gerak kerja parti yang sedia ada pada hari ini.

Malah katanya, perwakilan digalakkan mengutarakan saranan ke arah memantapkan jiwa ahli serta kepimpinan untuk memperkuatkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya.

"Kita sudah matang, kali ini adalah kali ke-57 kita bermuktamar dan tetapkan tujuan kita datang ke muktamar untuk bermuhasabah dan bagi pandangan bernas dan lebih baik bagi masa depan kita semua," katanya.

Menurut Zailah, ucapannya nanti akan memfokuskan kepada persiapan Muslimat untuk pilihan raya supaya mereka mempunyai momentum yang kuat menghadapi cabaran untuk memastikan berjaya kekalkan kekuatan di negeri yang dimenangi.

"Kita akan menjurus bagaimana hendak membina jentera yang lebih matang dan prihatin, yang selaras dengan hasrat untuk membina negara berkebajikan. Seterusnya meneruskan 'target' ke Putrajaya," katanya.

Justeru katanya, untuk menjayakan Negara Berkebajikan Muslimat harus prihatin dengan keadaan sekeliling seperti menyantuni rakyat yang memerlukan mereka.

Muktamar Tahunan Muslimat Pusat akan berlangsung pada 14 dan 15 November di Kelantan Trade Centre yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Nurul Izzah sudah jelaskan, pemimpin Umno bagaimana

Harakahdaily, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Tindakan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertepatan dengan pepatah ‘kembali kepada kebenaran lebih baik daripada kekal di dalam kebatilan’, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Begitupun, katanya seronok apabila lihat pemimpin Umno cuba menjadi juara pembela agama atas isu ucapan Nurul Izzah di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Nurul Izzah sudah menjelaskan apa maksud kenyataan beliau selepas timbulnya polemik itu.

“Beliau menjelaskan ‘sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam maka dia tertakluk dengan syariat Islam’, kenapa Umno terus bising,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Baginya, Nurul bukan manusia yang degil seperti pemimpin Umno, walaupun salah dan ditegur mereka tidak menarik balik kenyataan mereka.


“Persoalannya ucapan pimpinan Umno yang jelas merbahaya kepada akidah tidak pernah ditarik balik seperti kenyataan yang memperlekehkan hukum hudud,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Terbaru Tun Dr Mahathir mengatakan Malaikat juga buat salah. Begitu juga  kenyataan Najib yang mengatakan sindrom qiamullail sewaktu beliau sebagai Menteri Pelajaran.


Katanya, apabila Umno cuba hendak menunjuk juara pembela agama, semua makhluk yang waras akan ketawa dan senyum sinis.

Justeru, tanya beliau layakkah Umno hendak bercakap dan berlakon sebagai pembela agama.


Semua rakyat di negara ini maklum Umno hanya memperalatkan agama untuk kepentingan politik, justeru program agama hanya sekadar lepas batuk di tangga.

Oleh itu, katanya ceramah di televisyen hanya boleh bicara bab yang tidak menyentuh Islam yang syumul di mana penceramah yang lantang akan digam.

Begitu juga, ujarnya Umno mendirikan masjid, tetapi bukan untuk memakmurkan masjid menyebabkan masjid ‘mati’ sebelum ahli kariah mati kerana ahli jawatankuasa masjid dilantik bukan ahli masjid.


Baginya, Umno terpaksa menunjuk juara pembela agama untuk meraih sokongan orang Islam.

Ini cerita Obama, bukan Najib

Muhamad Azan bin Safar,
Tahniah kepada Presiden Barack Obama kerana terus mendapat mandat dan kepercayaan rakyat untuk memimpin Amerika untuk tempoh empat tahun lagi. Kejayaan Obama umumnya sudah dijangka meskipun pada dasarnya tempoh empat tahun yang lepas, pelbagai kecacatan dicatatkan oleh pentadbiran beliau.

Kemenangan ini dilihat cukup dramatik selepas setiap calon masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam usaha membawa negara tersebut ke tanda aras yang mereka mahukan. Obama lebih selesa dengan isu untuk mengembalikan ekonomi Amerika sehingga mampu kembali bersaing dengan kuasa ekonomi dunia lain seperti China, India dan Brasil. Maka tidak pelik jika diteliti dari permulaan kempen obama, banyak kali beliau menegaskan untuk melahirkan semula tenaga pakar yang terdiri dari rakyat amaerika sendiri dan mengembangkan ekonomi di negara mereka tanpa perlu terus “outsourced” kilang-kilang mereka ke luar negara.

Manakala Romney yang selesa dengan kempen keselamatan negara dan berhasrat menambahkan lagi bajet Pentagon sebanyak UDS100 billion jika terpilih sebagai Presiden nyata tidak berjaya menambat hati pengundi yang rata-rata sudah keletihan dengan kempen peperangan yang dilancarkan oleh legasi Bush sedekad yang lepas di Afghanistan dan Iraq.

Obama sudah menjalankan proses pemulihan ekonomi amerika yang terjejas teruk pada tahun 2007 dan ketika menjelang pilihan raya tahun ini, ternyata dia mampu membawakan angka yang cukup membanggakan dari sudut mengurangkan kadar inflasi, pertambahan peluang pekerjaan dan peningkatan mata wang Amerika. Sudah tentu tempoh empat tahun pertama tidak cukup untuk beliau memastikan pelan pemulihan itu berjaya dan kemenangan semalam boleh disiftkan sebagai kemenangan hasil daripada harapan rakyat untuk beliau terus memimpin perubahan di negara tersebut. Obama menyebut tentang “Forward”, dan Romney yang lebih terarah untuk mengembalikan dasar yang diamalkan pada era Bush terutama dalam soal pengutipan cukai menjadi salah satu faktor kenapa rakyat membuat pilihan untuk mengekalkan obama pada posisi tersebut.

Mengulas pilihan raya presiden USA ini dalam konteks Malaysia, sewajarnya bagi Perdana Menteri DS Najib Razak yang sentiasa mencanang bahawa Malaysia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi terbaik mengambil contoh beberapa aspek bagaimana demokrasi dipraktikkan secara matang di negara tersebut.

Di Malaysia, kebanyakan ahli politik masih tidak mampu berganjak daripada terus berbicara dalam nada ras, agama dan keturunan. Sentimen ini ternyata begitu kolot dan langsung tidak akan mampu menyumbang ke arah Malaysia yang progresif dan maju tetapi lebih mesra kepada suasana yang tidak seimbang dan sihat. Jika kita menelusuri pilihan raya presiden, sudah tentu wajar diberi pujian kepada kedua-dua calon apabila mereka berjaya mengheret rakyat mereka dalam kancah perbincangan soal idea yang mampu membawa negara mereka ke arah yang lebih baik dari sudut ekonomi, dasar luar negara, keselamatan, sosial dan pendidikan.

Kita tidak pernah taksub dengan pengamalan demokrasi. Yang kita tegaskan ialah, bagaimana demokrasi itu dipraktikkan dalam sesebuah negara. Malaysia wajar mengambil contoh yang baik dari segi proses pilihan raya ini dijalankan. GAMIS akan terus menyokong sebarang usaha memperkasakan amalan demokrasi di negara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berusaha membaiki hal ini seperti menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kita juga menolak mana-mana entiti yang terus menerus mengajak kepada politik perkauman yang sempit terutamanya sebagaimana politik yang diamalkan oleh Barisan Nasional pada hari ini.

Muhamad Azan Bin Safar
Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Pembangkang Syria yakin dapat bersatu

Terjemahan Mohamad Yahya, 09 Nov 2012
Tokoh-tokoh pembangkang Syria yang bermesyuarat di ibu kota Qatar, Doha mengatakan beberapa kemajuan telah dicapai dalam usaha membentuk kumpulan kepimpinan yang dicari oleh masyarakat antarabangsa.


Tokoh pembangkang Riad Seif, yang telah mencadangkan satu inisiatif yang disokong Barat untuk menyatukan pembangkang dan membentuk sebuah kerajaan peralihan, berkata pada Khamis lalu bahawa beliau "yakin" perjanjian boleh dicapai.

Kumpulang pembangkang sedang bergerak ke arah mewujudkan "kepimpinan politik yang akan menepati citarasa rakyat Syria dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa," ujar Seif.

Beliau kemudian menambah bahawa blok utama kumpulan pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria (Syrian National Council), telah menangguhkan keputusan sehingga selepas pusingan akhir pilihan raya dalaman Jumaat ini.

SNC teragak-agak sejak ia dilaporkan hanya diberi 22 daripada 60 kerusi dalam kumpulan baru, untuk memberi peluang kepada aktivis dari dalam Syria.

Wartawan Al Jazeera, Omar Al Saleh, yang melaporkan dari Doha, berkata ia adalah jelas daripada rundingan panjang Khamis lalu bahawa pembangkang Syria masih tidak bersatu, kerana "perbezaan yang besar antara ahli-ahli Majlis Kebangsaan Syria dan tokoh-tokoh pembangkang yang lain".

"Masyarakat antarabangsa dan kumpulan teras 'Friends of Syria' yang mengandungi Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Qatar, Arab Saudi, serta Turki, berusaha untuk inisiatif baru yang akan diguna pakai oleh perwakilan," katanya .

"Inisiatif itu memerlukan struktur wakil yang koheren yang akan turut mewakili mereka yang berjuang di dalam Syria. Diplomat Barat memberitahu Al Jazeera bahawa idea tersebut tidak akan berjaya dilakukan dalam masa terdekat." (aljazeera.com)

Larang sidang media: NGO dakwa ada kaitan Scorpene

Harakahdaily, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berpendapat, larangan kepada bukan ahli parlimen mengadakan sidang akhbar di sudut sidang media parlimen berkemungkinan ada kaitan dengan kes Scorpene.

Penyelaras SAMM Johor, Ahmad Anwar Asyraf berkata, beliau tidak menolak kemungkinan arahan terbaru itu sebgai cubaan menghalang pihak tertentu yang akan hadir ke parlimen bagi mendedahkan isu kapal selam itu.

Difahamkan katanya, peguam dari Perancis akan hadir ke parlimen bagi mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

"Atau adakah ini merupakan cubaan menghalang kehadiran dan sidang media Peguam Perancis yang bakal hadir ke Parlimen bagi mendedahkan sisi gelap pembelian kapal selam Scorpene," soal Ahmad Anwar.

Jika benar katanya, ianya adalah satu lagi cara untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin  daripada terus dibongkar segala jenis kecurangan yang selama ini ingin disorok.

Menurut beliau lagi, parlimen Malaysia adalah satu-satunya institusi tertinggi demokrasi berperlembagaan di mana wakil-wakil yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi pilihanraya berbahas dan meluluskan rang undang-undang demi kemaslahatan rakyat.

"Sekiranya rakyat ataupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat sivil tidak lagi dibenarkan hadir membuat sidang media bersama wakil-wakil rakyat di Parlimen, ia merupakan satu tragedi besar kepada lanskap demokrasi negara," tambahnya.

Beliau juga berpendapat, parlimen adalah milik rakyat dan bukannya eksklusif kepada beberapa kerat Ahli-ahli Parlimen.

Dalam pada itu beliau berkata, SAMM tidak menolak sekiranya arahan diberikan bagi kemudahan rakan-rakan pengamal media malah menyokong sama sekali sekiranya penggiliran dan had masa sidang media dikenakan, sidang media tidak diadakan semasa waktu rehat, sidang media yang ingin diadakan mesti diiringi Ahli Parlimen.

Namun tegasnya, bukan arahan yang tidak membenarkan selain Ahli Parlimen untuk membuat sidang media di Parlimen.

"SAMM turut melihat bahawa sidang media yang diadakan di Parlimen mempunyai nilai berita atau "news value" yang tinggi berbanding sidang media di lokasi lain," katanya.

Samseng halang kontraktor baik pulih pangsapuri

Harakahdaily, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Sehingga hari ini, hampir RM10 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membaikpulih pangsapuri kos rendah yang melibatkan lebih 70 kawasan pangsapuri.

“Bilangan yang tinggi ini mungkin disebabkan kerana program Setinggan Sifar Kerajaan Barisan Nasional senelum ini di mana pangsapuri-pangsapuri kos rendah telah dibina dengan tergesa-gesa.

“Akibatnya adalah kediaman-kediaman yang rendah kualitinya telah dibina,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar) dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian ekoran terdapat pemimpin-pemimpin BN yang mendakwa tidak ada rumah kos rendah yang dibina di Selangor pada zaman Pakatan Rakyat.

Menurutnya, mereka mendakwa hanya di bawah pentadbiran mereka beribu-ribu rumah kos rendah telah dibina tetapi statistik yang didedahkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini menunjukkan dakwaan itu tidak benar.

Iskandar menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah menafikan bahawa terdapat rumah kos rendah yang telah dibina di bawah BN.

Jelasnya, pemimpin Pakatan Rakyat tidak seperti pemimpin BN yang sentiasa menidakkan segala pencapaian kerajaan negeri walaupun ianya jelas di hadapan mata mereka.

Walau bagaimanapun, ujarnya adalah satu kenyataan bahawa rumah kos rendah yang dibina pada zaman BN, hari ini dibelenggu dengan pelbagai masalah.

“Di antara masalah-masalah tersebut adalah lif yg rosak, bumbung yang bocor, tangki air yang bocor, paip yang tersumbat, kemudahan awam yang tidak disediakan dan bangunan yang mulai usang,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri telah pada bulan Disember 2010 mewujudkan satu program untuk membaikpulih kediaman-kediaman itu melalui kaedah perkongsian kos.

“Program ini dinamakan Program Baikpulih Negeri Berkebajikan atau Ceria.

“Di bawah program ini, kerajaan negeri akan menanggung 80 peratus dari kos baikpulih sementara penduduk menanggung 20 peratus. Bahagian penduduk ini pula boleh dibayar secara ansuran,” katanya.

Beliau menambah, oleh kerana permintaan orang ramai, program itu juga telah dibuka kepada pangsapuri kos sederhana di mana perkongsian kos di antara kerajaan dan penduduk adalah 60:40.

Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa berlaku adil di dalam memilih kawasan-kawasan pangsapuri yang hendak dibaikpulih.

Pemilihan, katanya dibuat di atas faktor-faktor keperluan dan jenis kerosakan yang berlaku.

“Kerajaan negeri membaikpulih tanpa mengira sama ada penduduk  pangsapuri itu menyokong kerajaan atau tidak,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujar beliau kerajaan negeri berharap agar penduduk yang terlibat akan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri yang mahu membantu mereka.

Ini, kata beliau ialah kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan samseng-samseng untuk menghalang kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja membaikpulih.

Tambahnya, terdapat juga mereka yang menghasut penduduk agar tidak menerima tawaran di bawah program Ceria itu.

“Program Ceria adalah untuk kepentingan rakyat dan tidak seharusnya dipolitikkan,” katanya.

MP mohon larangan sidang media dilonggar

Muhammad Faizal, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Wakil-wakil ahli parlimen Pakatan Rakyat kurang bersetuju dengan larangan terbaru yang tidak membenarkan sudut sidang media parlimen digunakan oleh bukan ahli parlimen termasuk Badan Bukan Kerajaan NGO.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, larangan yang dilaksanakan itu perlu ada kelonggaran khususnya kepada pembantu atau pegawai ahli parlimen untuk bersama-sama pada sidang media yang diadakan.

"Saya mengharapkan kelonggaran perlu ada kepada pegawai Ahli Parlimen mengadakan sidang media bersama Ahli Parlimen.

"Bagi saya tidak ada kesalahan untuk pegawai-pegawai bersama Ahli Parlimen dalam sidang media tersebut kerana mereka juga turut mempunyai maklumat dalam isu yang dibangkitkan," jelas beliau.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berpendapat larangan yang dikeluarkan ini tidak wajar.

Katanya lagi, NGO khususnya sememangnya tidak dapat memasuki dewan rakyat untuk mengutarakan apa-apa isu tetapi sebolehnya dibenarkan untuk membuat sidang media di sudut sidang media perlimen tersebut.

"Mereka (NGO) tidak dapat memasuk dewan untuk berhujah menyampaikan apa jua isu yang dibangkitkan setempat.

"Jadi dengan cara mereka mengadakan sidang media di Parlimen bersama-sama Ahli Parlimen perkara ini dapat diketengahkan dan sebagai Ahli Parlimen, input-input yang terperinci itu akan digunakan sewantu berbahas," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen juga meminta agar diberikan kelonggaran pada larangan yang dikeluarkan itu.

"Pengadu atau orang yang diiringi Ahli Parlimen bagi saya tidak menimbulkan kesalahan apa-apa apabila turut sama mengadakan sidang media.

"Sekatan tersebut tidak begitu sesuai dan pengadu hadir bersama ahli parlimen untuk menyatakan masalah yang mereka hadapi dan jika tidak diberikan kebenaran bagaimana media ingin mendapatkan maklumat lengkap dan tepat permasalahan yang mereka hadapi," jelasnya.

Beliau memberitahu, media mempunyai pilihan sama ada untuk menyiarkan atau tidak kenyataan yang dinyatakan oleh individu mahupun NGO.

Katanya lagi Parlimen ini merupakan Dewan Rakyat dan ia menjadi milik rakyat untuk memyampai permasalah mereka, sekatan yang dilaksanakan ini perlu diberi kelonggaran

Muktamar paling penting sebelum PRU13

Anis Nazri, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-53 merupakan muktamar terpenting bagi badan itu memandangkan ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata muktamar yang bertemakan 'Mencorak Masa Depan' itu diharap menjadi pembangkit semangat dalam mempersiapkan jentera Pemuda bagi  menghadapi pilihan raya umum.

Khairul Faizi berkata lantaran hasrat tersebut, buku laporan dan teks ucaptama Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan akan dihantar dua minggu lebih awal dari tarikh muktamar dewan itu dijadualkan.

"Lantaran bagi memastikan ia memfokuskan kepada pilihan raya, maka buku laporan dan ucaptama Ketua Pemuda, kita hantar awal kepada perwakilan supaya memastikan mereka benar-benar bersedia dan memahami, sekaligus dapat berbahas dengan lebih dinamik," kata beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Muktamar yang akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu itu akan bermula 14 hingga 15 Nov, di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan.

Tambah Khairul Faizi, pada muktamar itu Pemuda akan melancarkan beberapa aktiviti seperti Alternative Photography Club, Facebook dan Twitter DPPM, Filem Maya Oley2 dan pelancaran DVD Animasi kartun PASTI.

Selain pelancaran itu, majlis penganugerahan kepada tokoh-tokoh Pemuda dan pejuang rakyat, serta anugerah PASTI akan turut disempurnakan.

Tiada ulasan: