Sabtu, 17 November 2012

TAK KIRA SAPE JADI PM ASALKAN IA PALING TAKWA DIKALANGAN KITA...ORANG TAKWA MEMIMPIN KITA SELAMAT DIDUNIA DAN AKHIRAT...MASALAH HIDAYAH ITU HAK ALLAH

Dewan Ulama PAS syor Hadi jadi PM
  • Nigel Aw
  • 5:01PM Nov 17 2012
 
MUKTAMAR PAS Wakil Dewan Ulama PAS Pusat,  Hairun Nizam Mat Hussain hari ini menegaskan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri.

"Siapa orang paling terbaik, (kalau) bukan Tok Guru Presiden (Abdul Hadi)?

"Sepatutnya Datuk Seri Abdul Hadi jadi kepala (ketua) kerana beliau orang paling mengetahui hukum Allah dalam membentuk kerajaan orang Islam," katanya.

Sebelum itu, Asri melahirkan rasa bimbang apabila PAS mahu mendapat kuasa politik tetapi akhirnya menggadaikan peranan dakwah.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Abdul Hadi berkata seorang pemimpin diajar dalam Islam, bahawa tidak boleh minta untuk menjadi pemimpin.

"Kita anggap (jawatan itu) satu amanah berat dan besar. (Ia) satu tanggungjawab. Apa yang penting kita ambil alih Putrajaya dulu.

"Siapa jadi PM, diterima oleh rakyat. Yang menyatukan rakyat. Tegakkan keadilan untuk rakyat, kita terima... Saya sanggup jadi nelayan balik," katanya.
Tiga anggota polis didakwa atas tuduhan rogol
  • Susan Loone
  • 9:24AM Nov 16 2012
 
dikemaskini Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai, Jumaat lepas.
  
Konstabel Remmy Anak Dana, 25, Kpl Nik Sin Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di antara jam 6.40 pagi hingga jam 7.30 pagi 9 November lepas.
  
Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan rogol, mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan
hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Nabishah Ibrahim menetapkan 12 Disember ini untuk mengambil kenyataan daripada saksi-saksi, manakala Timbalan Pendakwa Raya adalah Suhaimi Ibrahim dan Nurashikin Mokhtar.

NONEPeguam Rosli Ismail bertindak sebagai peguam pemerhati. Peguam S Anthonysamy mewakili Remmy manakala peguam Parmjit Singh pula mewakili Nik Sim dan Syahiran.

Suhaimi memohon supaya tertuduh ditahan sementara menunggu perbicaraan kerana menurutnya, jika mereka telah dibebaskan dengan ikatjamin, ketiga-tiganya mungkin mengganggu saksi kerana mereka dikenali tertuduh.

Beliau juga memohon supaya kenyataan mangsa diambil di bawah Seksyen 396 Kanun Tatacara Jenayah pada tarikh yang lebih awal daripada tarikh perbicaraan supaya dia boleh kembali ke negaranya.
Nabishah kemudian menetapkan ikat jamin RM25,000 tiap seorang, dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak mengganggu saksi.
Sejak jam 8 pagi tadi, ramai wartawan telah berkumpul di bangunan mahkamah, menunggu ketibaan suspek.

Mereka akhirnya tiba pada jam 2.15 petang, dan diiringi tiga anggota polis. Ketiga-tiganya memakai pakaian lokap berwarna oren dan menutup muka mereka dengan baju mereka.

Sebaik sahaja ternampak ketiga-tiga mereka, kumpulan jurukamera bergegas untuk merakam gambar.

Pemangku Ketua Pengarah Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah turut hadir di mahkamah. Kira-kira 30 'penyokong' dalam uniform polis dan pakaian biasa turut hadir.
Hisham: Bawa kes ke mahkamah reda ketegangan M'sia-Indonesia
  • Zulaikha Zulkifli
  • 4:20PM Nov 17 2012
 
Tindakan membicarakan tiga anggota polis di mahkamah yang didakwa atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang warga Indonesia di Pulau Pinang diharap dapat mengurangkan ketegangan antara kedua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Katanya, kejadian yang menimpa seorang wanita warga Indonesia berumur 25 tahun itu telah menimbulkan keresahan kedua-dua negara - Malaysia dan Indonesia.

Sehubungan itu, beliau berharap, dengan tindakan yang diambil, ia dapat meredakan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara republik itu.

"Dakwaan negara jiran dalam kes ini (merupakan) cabaran kepada kita. Perkara ini boleh menimbulkan keresahan kedua-dua negara. Saya rasa tindakan yang kita ambil di mahkamah dapat mengurangkan dan meredakan ketegangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Semalam, Tiga anggota polis itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth.

Konstabel Remmy Anak Dana, 25, Koperal Nik Sin Mat Lazin, 33, dan konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di antara jam 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 November lalu.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada  tarikh, waktu dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan rogol mereka dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala pertuduhan persetubuhan diluar tabii mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, isu tiga anggota polis Malaysia yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia itu telah menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan berdemonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara di Jakarta Selasa lalu.

Dalam demonstrasi pada pukul 1 petang itu, kira-kira 20 orang yang mewakili kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mendesak kerajaan Indonesia mengusir Duta Besar Malaysia dari republik itu selain bertindak membakar bendera Malaysia bagi menunjukkan kemarahan terhadap kejadian yang berlaku ke atas wanita itu.

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut mendesak Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bertindak tegas berhubung kejadian itu dengan mengusir Duta Besar Malaysia ke Indonesia dari republik itu.
Maips dijangka bangkit isu Mufti Perlis Isnin ini
MOHD IDROS MOHD ALI
17 November 2012
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya
KANGAR - Isu peletakan jawatan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya sebagai ahli jawatankuasa Baitulmal, yang diperkatakan sejak beberapa hari lalu, dijangka  dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maips) Isnin ini, kata Pengerusinya, Datuk Abu Bakar Ahmad.
"Isu ini sudah panas. Saya pasti ia akan turut ditimbul atau dibincangkan dalam mesyuarat itu kelak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Ditanya sama ada sudah menerima surat peletakan jawatan Juanda seperti yang heboh diperkatakan sekarang ini, Abu Bakar berkata belum melihat atau menerimanya.
“Saya masuk pejabat pagi tadi (semalam) tetapi tidak nampak pun ada surat Dr Juanda. Tak tahulah kalau surat iru dihantar ke pejabat satu lagi,” katanya.

Ditanya sama ada sudah bertemu dengan Mufti Perlis itu untuk mendapat maklumat mengenainya, beliau berkata belum ada kesempatan untuk berbuat demikian semalam.
“Saya belum sempat bertemunya hari ini (semalam). Tadi saya menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Perlis dan tidak nampak Dr Juanda pun. Mungkin dia ada di masjid lain,” katanya.
Diminta mengulas lanjut mengenai peletakan jawatan itu yang ada kaitan dengan rasa tidak puas hati Juanda mengenai perbelanjaan yang dilakukan oleh Baitulmal, Abu Bakar berkata, semuanya sudah ada dalam laporan Sinar Harian.
“Saya tak mahu ulas lagi sebab belum dapat surat Mufti atau bertemu dengannya. Saya harap dapat jumpanya secepat mungkin untuk mendapat gambaran yang lebih jelas,” katanya.
Baitulmal Perlis: Wang zakat tidak dibelanja sesuka hati
Wartawan Sinar Harian
17 November 2012
KANGAR - Wang kutipan zakat dan wakaf tidak digunakan sewenang-wenangnya kerana ia hanya untuk kumpulan sasaran yang ditetapkan oleh syarak.
Pengerusi Baitulmal Perlis, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, wang zakat hanya boleh dibelanjakan untuk lapan kumpulan asnaf yang ditetapkan oleh Islam dan tidak digunakan bagi tujuan lain.

Beliau berkata kebanyakan perbelanjaan yang digunakan untuk urusan biasa termasuk lawatan bagi kepentingan ahli jawatankuasa atau Baitulmal Perlis adalah diambil dari dana sumber am.

“Kita tidak akan belanja sesuka hati duit zakat. Kita memang teliti dalam hal ini sebab tahu hukum yang ditentukan.
“Sebagai contoh, kalau nak beli bangunan pun tak boleh guna duit zakat kecuali untuk manfaat atau diduduki pekerja zakat atau amil. Itu dibenarkan sebab ada kaitan dengan asnaf yang ditetapkan,”  katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, sumber am adalah duit yang diluluskan oleh Majlis Fatwa Perlis untuk dibelanjakan dari pelbagai sumber lain.
“Kita tidak usik duit zakat atau wakaf. Saya juga tidak tahu banyak soal lawatan yang dilakukan oleh ahli majlis Baitulmal kerana jarang mengikutinya disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya.

Bagaimana pun, beliau berkata maklumat lengkap mengenai urusan lawatan boleh diperoleh daripada Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), Abdul Malik Hussin yang juga Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam  Perlis.
Menteri dalam negeri tidak akan letak jawatan berkaitan kes rogol
  • Zulaikha Zulkifli
  • 5:12PM Nov 17 2012
 
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan berhubung kes tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang wanita Indonesia di Pulau Pinang.

"Kita dah pastikan mereka dihadapkan ke mahkamah. Itu sistem negara yang kita ada dan membawa mereka ke mahkamah dengan dakwaan yang setimpal dan kutuk sekerasnya tindakan sebegini sekiranya didapati salah. Itu pendirian yang kita boleh lakukan," katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

hishammuddin hussein BN Youth Job Fair 2012 at PWTCBeliau berkata demikian ketika ditanya pemberita adakah beliau akan
meletakkan jawatan bagi bertanggungjawab terhadap isu tersebut.

Semalam tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas dakwaan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia.

Hishammuddin juga "mengelak" soalan berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) dengan mengatakan bahawa tiada formula yang boleh menyelesaikan semua masalah.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, apa yang penting kini ialah memastikan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

"Tak ada satu formula yang boleh selesaikan semua masalah . Dan saya tengok yang penting sekarang kita telus dan kita pastikan mereka yang salah dibawa ke muka pengadilan dan hukuman setimpal dikenakan pada mereka.

"Sebab kes sebegini tidak monopoli kepada pihak-pihak tertentu (seperti) polis atau agensi-agensi kerajaan sahaja," katanya.

Selain itu, ketika ditanya adakah penubuhan IPCMC tidak diperlukan, beliau berkata: "Setakat ini saya nak tengok apa yang berlaku di mahkamah dan akan ikuti kes ini secara dekat dan secara peribadi.

"Saya dah jumpa IGP (Ketua Polis Negara) dan DIGP (Timbalan Ketua Polis Negara) dan saya tak benarkan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menyembunyikan perkara ini dari orang ramai dan sekiranya ada perkara yang perlu ditimbulkan, bawalah ke mahkamah supaya orang ramai tahu," katanya lagi.

IPCMC merupakan salah satu daripada 125 cadangan pembaikan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005.

Suruhanjaya itu dipengerusikan mantan ketua hakim negara, Tun Mohamed Dzaidin yang mencadangkan IPCMC ditubuhkan sebelum 31 Mei 2007.

Bagaimanapun cadangan penubuhan suruhanjaya itu mendapat bantahan antaranya daripada mantan ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa IPCMC tidak sepenuhnya adil kepada polis.
Majlis Syura: PAS dulu, PAS sekarang adalah sama
  • Abdu Rahim Sabri
  • 1:27PM Nov 17 2012
 
Badan tertinggi PAS Majlis Syura Ulama PAS hari ini membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa perjuangan dan arah tuju parti itu tidak lari daripada perjuangan asal PAS dahulu seperti yang termaktub dalam fasal 5 (1) perlembagaan parti.

Fasal tersebut berbunyi: "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah"

"PAS hari ini adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal. Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama.

"PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asal tanpa sedikitpun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaannya," kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas bermesyuarat membahas semula apakah negara berkebajikan - yang menjadi tema muktamar parti itu - sesuatu yang "baru dan berlawanan" dengan negara Islam yang diperjuangan oleh PAS selama ini atau sama.

Bahkan, majlis itu juga memperbahaskan semula mengenai tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diputuskan atau dilaksanakan PAS masih relevan dan selaras dengan perjuangan parti itu dan mengambilkira komen dari dalam dan luar PAS mengenai arah tuju parti itu.

Dalam kenyataan itu juga Majlis Syura berkata dasar tahaluf siyasi yang diputuskan oleh badan itu al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan memberi perhatian dan mengambil pengajaran daripada tahaluf siyasi Rasullullah SAW.

Katanya, semasa berlaku Perjanjian Hudaibiyah, baginda rela membuang perkataaan "Arrahmanirrahim" dalam "Bismillah" serta perkataan "Rasulullah" selepas perkataan "Muhammad" dalam perjanjian itu, selepas dibantah oleh Umar bin Suhail.

"...Menyebabkan ada di kalangan sahabat yang melahirkan dukacita dan seperti tidak mahu tahaluf. Namun demikian Rasulullah SAW menyetujuinya.

"Itulah liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda Rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siyasi.

"Apabila keputusan telah diambil maka ia wajib dipatuhi oleh semua ahli, demi keutuhan dan kemantapan oraganisasi," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Majlis Ulama PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah yang ditaburkan oleh musuh PAS kononnya parti itu terpesong dari perjuangan.

Badan itu juga berkata musuh PAS tahu bahawa PAS masih atas keasliannya, tetapi sengaja menaburkan fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenarnya.

"Di waktu yang sama, mereka seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalar PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat, dan PAS insya-Allah akan melakar kejayaan," kenyataan itu dipetik
'Pertahan kepimpinan ulama, tolak yang ingin rombaknya'
  • Abdul Rahim Sabri
  • 1:13PM Nov 17 2012
 
MUKTAMAR PAS Perwakilan Pahang Mukhtar Senik hari ini menggesa ahli supaya mempertahankan kepimpinan ulama yang menjadi teras parti itu, dan menolak pemimpin dan ahli yang didakwanya cuba merombak kaedah itu.

Bercakap membahaskan usul ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS, beliau sekiranya kepimpinan ulama mahu dirombak, maka ia akan melemahkan parti itu dan seterusnya meletakkan PAS dalam situasi yang bahaya.

"Usaha ini perlu ditolak kerana ia merosakkan PAS, dan akan menjadi PAS itu sekadar parti politik (semata-mata)... Roh perjuangan Islam dapat diteruskan dengan kepimpinan ulama.

"Kita tolak sesiapa sahaja yang cuba menolak kepimpinan ulama, sama ada ucapan atau penulisan untuk diketengahkan kepada ahli bagi merombak kepimpinan ulama. Ia mesti ditolak sebulat suara," katanya disambut dengan ucapan takbir.

Sambil membaca sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, Mukhtar menghurai ancaman kepada bala Allah disebabkan tiga perkara iaitu keberkatan akan diangkat kerana tidak merujuk ulama, dipimpin oleh pemimpin yang zalim, dan keluar daripada dunia tanpa iman.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya mana-mana pihak "luar" yang ingin menyertai PAS perlu dimurnikan dengan 'fikrah PAS' secara berterusan sekalipun parti itu kini memasuki era perubahan.

Dengan memberi contoh, selepas kejatuhan Rom dan Parsi menyebabkan ramai ahli falsafah turut membawa fikrah di luar daripada Islam ke agama itu.

"Tetapi ramai ulama mengarang kita-kitab untuk memurnikan fikrah itu. Tindakan yang sama (perlu dibuat) dalam PAS. Ia perlu dilakukan secara berterusan dengan memberi syarat oleh PAS," katanya.

Antara syarat yang dicadangkannya antaranya mereka perlu menyatakan objektif pennyertaan dalam PAS bagi mengelak "fikrah songsang, keliru dan celaru" kepada ahli PAS dan memberi wala' kepada kepimpina  PAS dan bukan pimpinan di luar PAS.

"Kita tidak mahu ada jamaah dalam jamaah, parti dalam parti yang bergerak bebas dalam parti dan ada mesyuarat dalam mesyuarat dalam parti," tegasnya.

Sebelum itu, perwakilan Pulau Pinang Fauzi Yusuf turut menggesa perkara yang sama - mempertahankan institusi kepimpinan ulama.

"PAS bertanding di kawasan Melayu. PAS kena fokus kepada memberi agenda kefahaman Islam yang betul. Pihak yang ada autoriti mengenainya adalah kepimpinan ulama. Kita mesti mempertahankan kepimpinan ulama.

"(Ini kerana) untuk memimpin jamaah kita ke arah keberkatan," katanya sambil meminta perwakilan lain berdiri sebagai tanda menyokong kepimpinan ulama dan diiringi laungan takbir.
Imigresen Sabah pula sekat pemimpin BERSIH
  • Hafiz Yatim
  • 2:17PM Nov 17 2012
 
Ahli jawatankuasa pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Maria Chin Abdullah mendakwa beliau telah disekat oleh imigresen Sabah di lapangan terbang Kota Kinabalu petang semalam, dan gambarnya dirakam semasa beredar dari kawasan tersebut.

Maria, memberitahu Malaysiakini pagi ini bahawa beliau telah disekat di lapangan terbang antarabangsa tersebut pada kira-kira jam 7.30 malam, dan dibawa ke sebuah bilik oleh lima pegawai wanita selepas mengambil bagasinya.

NONEMaria berada dibilik itu selama kira-kira 20 minit dan disoal.

"Mereka mendakwa saya disekat kerana saya bukan rakyat Sabah.
Kemudian, mereka memberitahu nama saya ada dalam senarai hitam imigresen mereka tetapi mereka enggan memberitahu saya sebab saya disenaraihitamkan. Mereka hanya menjawab saya sepatutnya tahu.

"Saya mengesyaki ia disebabkan saman yang difailkan oleh pihak polis terhadap kami kerana menganjurkan protes BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

"Malah seorang lagi aahli jawatankuasa pemandu, Ahmad Syukri Che Ab Razab yang juga rakyat Sabah, telah diminta mengambil penerbangan pulang apabila tiba di Kota Kinabalu bulan lepas, kerana dijadualkan berucap di sebuah bengkel di sana," katanya.

Polis dan kerajaan telah memfailkan saman RM122,000 pada bulan Mei, terhadap beberapa ahli jawatankuasa pemandu BERSIH yang didakwa merosakkan kenderaan pihak berkuasa akibat satu perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur.

Maria, juga pengarah eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), berkata ini merupakan lawatan pertamanya ke Sabah selepas perhimpunan BERSIH 3.0 dan tidak menghadapi masalah di sana sebelum ini.

Ini adalah kejadian kedua seumpama yang berlaku kepada Maria. Yang pertama adalah pada September tahun lepas apabila beliau disekat oleh pihak berkuasa imigresen apabila hendak terbang ke Nepal.

Ahli lain jawatankuasa pemandu BERSIH yang berdepan masalah yang sama ialah peguam Andrew Khoo, dan bekas pengerusi Majlis Peguam Yeo Yang Poh.

Maria berkata apabila beliau dibenarkan melalui lapangan terbang untuk ke majlisnya, dua pegawai Cawangan Khas dilihat sibuk merakam fotonya.

Maria menggesa pihak berkuasa supaya menghentikan gangguan terhadap semua ahli jawatankuasa pemandu Bersih.
Wakil bukan Islam puji kesederhanaan PAS
  • Nigel Aw
  • 4:31PM Nov 17 2012
 
MUKTAMAR PAS Seorang wakil bukan Islam di Muktamar PAS ke-58 hari ini memuji kesederhanaan PAS, dan menolak dakwaan BN bahawa parti itu sebagai ekstremis.

K Deepakaran pas non-muslim wing 3Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) K Deepakaran
berkata stigma terhadap PAS itu perlahan-lahan terhakis sejak pilihan raya umum 2008.

"Sebelum 2008 apa yang terjadi, apa pandangan tentang PAS daripada masyarakat lain, terutamanya India dan Tiong hua.

"Kamu nak masuk masuk PAS ke?... Kalau kamu sokong, kamu kena peluk agama Islam, macam-macam lagi...kena potong (bersunat) itu," katanya disambut gelak ketawa perwakilan

"Kalau kamu sokong PAS, tiada tempat ibadat untuk Hindu dan Tiong hua. Apa jadi sekarang? Yang Berhormat kita, sampailah tok guru, sampai pemimpin sekarang tak ada masalah boleh masuk kuil, duduk satu meja bincang. Kenapa? (Kerana) kita sudah ditarbiyahkan," katanya yang sekali lagi mencuit para hadirin.
Umno Perlis belum terima surat peletakan Mohsin
  • Bernama
  • 7:28AM Nov 17 2012
 
Badan Perhubungan Umno Perlis belum menerima surat peletakan jawatan oleh Ketua Pemuda Umno Negeri, Mohsin Yusoff, yang didakwa menyatakan hasrat itu dalam laman sosial Facebooknya (FB) kelmarin.
  
Pengerusinya Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata beliau hanya mendengar hasrat Mohsin untuk melepaskan jawatan itu tetapi tidak mengetahui puncanya.
  
Semalam, Mohsin, yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Padang Besar, meletakkan mesej pada FB "hari ini saya mengambil keputusan untuk  semia jawatan dalam Umno".
  
Md Isa, yang juga Menteri Besar Perlis, berkata, laman sosial bukan saluran rasmi untuk menyatakan apa jua keputusan penting.
  
"Saya harap Mohsin fikir semula keputusannya demi kepentingan parti walaupun beliau ada alasan berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena sambutan Deepavali di Kangar malam tadi.

Md Isa berkata beliau telah meminta Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mat Rawi Kassim bertemu Mohsin untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenainya.
  
Ditanya sama ada tindakan Mohsin itu boleh memberi kesan negatif kepada Umno menjelang pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, sedikit sebanyak ia akan tetap memberi kesan.
  
Ketika diminta mengulas kenyataan Mohsin bahawa beliau penat menanggung bebanan dalam pentadbiran parti sama ada di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, Md Isa berkata setiap pemimpin sememangnya sentiasa penat dalam perjuangan.
  
Md Isa, yang juga Ketua Umno bahagian Kangar, berkata setiap pemimpin tidak boleh patah semangat dalam perjuangan dan meneruskannya walaupun terasa penat.
  
Mohsin, yang memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Perlis sejak 2009, sebelum ini dilaporkan dalam media lain bahawa beliau hanya meletakkan jawatan dalam parti tetapi akan tetap membantu jentera parti menghadapi pilihan raya akan datang.
  
Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Cikgu Mohsin' juga menyatakan hasrat untuk memberi peluang kepada orang lain untuk memimpin dan beliau turut berharap anggota Umno meneruskan perjuangan dan tidak mengejar jawatan dalam perjuangan.

- Bernama

Tiada ulasan: