Khamis, 8 November 2012

GALI2 JUGA...YANG BESAR MUNGKIN DAH BURUK DIMATA RAKYAT...KERANA TELAH TERHIMPUN BANYAK KESALAHAN DAN PENYELEWENGAN

Orang Asli gesa MP perjuang hak mereka

Hazayani Zakaria, 08 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) hadir ke Parlimen hari ini bagi menggesa Ahli Parlimen (MP) membawa suara mereka yang membantah Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah.

Mereka mengadakan pertemuan selama satu jam dengan 17 Ahli Parlimen, majoritinya dari Pakatan bagi memberi kefahaman kepada wakil rakyat berhubung faktor Orang Asli membantah dan menolak dasar yang diluluskan pada akhir 2009 itu.

Koordinator JKOASM, Tijah Yokchopil berkata, Orang Asli menuntut dasar itu dimansuhkan serta tuntutan-tuntutan Orang Asli yang lain ditunaikan, antaranya menghentikan segala aktiviti yang sedang berjalan di atas tanah dan wilayah adat Orang Asli.

"Kami mahu Ahli Parlimen menyuarakan tuntutan kami di parlimen kerana setiap kali pilihan raya kami mengundi ahli parlimen tapi Orang Asli tidak tahu apa tugas ahli parlimen," katanya.

JKOASM turut menuntut kerajaan mengiktiraf seluruh tanah dan wilayah adat Orang Asli menurut peta komuniti Orang Asli.

"Tanah dan Wilayah Adat kami semakin terancam akibat pembangunan sedangkan kami mula mendiami tanah itu sebelum Malaysia wujud lagi.

"Sekarang tanah kami dikatakan sebagai tanah kerajaan, rizab perhutanan, rizab perhilitan, rizab Melayu, sehingga Tanah dan Wilayah Adat kami dipindah milik atau diberi kelulusan atau TOL kepada syarikat agensi kerajaan, individu san syarikat swasta," katanya lagi.

Selain itu, Tijah berkata, peruntukan belanjawan kerajaan setiap tahun tidak sampai kepada Orang Asli seperti yang sepatutnya.

"Kampung-kampung kami masih kekurangan kemudahan asas. Jadi kamu mahu ahli parlimen persoalkan ke mana dan bagaimana peruntukan untuk Orang Asli setiap negeri," katanya.

Sementara itu, Tijah juga memaklumkan Persidangan Orang Asli 2012 berlangsung bermula hari ini sehingga 12 November di Hotel Citrus, dekat sini.

Denda AES hak kerajaan, mengapa berkongsi

Anis Nazri, 08 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kempen Anti Saman Ekor (Kase) bercadang membuat semakan kehakiman terhadap sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang dilaksanakan kerajaan. Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, semakan kehakiman itu akan dibuat dalam tempoh terdekat, dengan peguam Kase dan peguam Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Pusat sedang membuat persiapan berhubung perkara itu.
Tambah beliau, pihaknya sudah berbincang, khususnya dari segi persoalan mengenai perkongsian jumlah kompaun dan denda yang dikenakan.
Sebelum ini, tegas Mahfuz kabinet bersetuju melalui model kewangan tentang  perkongsian kutipan denda antara kerajaan dengan dua syarikat itu iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd.
"Bagi kami semua itu (kutipan kompaun) mesti dimasukkan dalam akaun yang disatukan. Kalau kerajaan nak berikan kepada mereka, perlu atas sebab perkhidmatan yang diberikan, bukan perkongsian denda yang dikenakan," kata beliau pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Tambah Mahfuz, saman tersebut merupakan hak kerajaan dan tidak sepatutnya berlaku perkongsian antara pihak kerajaan dan swasta.
Justeru, beliau mendesak kerajaan harus mendedahkan perjanjian antara kerajaan dan syarikat terbabit kepada umum.
Sementara itu, ahli parlimen Pokok Sena itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang disifatkan sebagai 'flip flop' berhubung isu AES ini.
Tegas beliau, sebelum ini pihaknya mendapati kecelaruan maklumat antara saman yang dikeluarkan dengan maklumat di laman wen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, kecelaruan itu berhubung kilometer 6.6 Jalan Kajang Puchong (SKVE) yang sebelum ini menetapkan had laju 90 km sejam.
"Bagaimanapun satu saman yang dikeluarkan, telah menulis had laju di kawasan terbabit ialah 80km sejam. Orang kena saman (OKS) itu memandu dengan kelajuan 91km sejam.  Hari ini Kementerian Pengangkutan bersama agensinya yang lain telah memperbetulkan maklumat itu di dalam akhbar harian melalui iklan bahawa kawasan itu adalah 80km sejam," tegas beliau.
Sehubungan itu, tegas Mahfuz perkara seperti ini sudah cukup membuktikan kerajaan membuat banyak kesilapan di dalam pelaksanaan AES," katanya.

Penduduk minta kerajaan siapkan jalan terbengkalai

Khairil Abdul Rahim, 08 Nov 2012

(Tuan Ibrahim menerima memorandum daripada Suhaimi dengan disaksikan penduduk.)

BERA: Penduduk 8 buah kampung di pinggir Sungai Pahang di sini mendesak kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan segera agar meneruskan pembinaan jalan baki 15 kilometer yang gagal disiapkan.

Dalam aduannya kepada Konvoi Cakna Rakyat PAS Pahang, wakil penduduk Suhaimi Abdul Manan, 51, berkata jalan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai itu amat perlu kepada lebih 5,000 penduduk berulang-alik daripada kampung berkenaan.

“Inilah satu-satunya jalan yang digunakan penduduk untuk mengeluarkan hasil pertanian, pelajar bersekolah dan perhubungan untuk berurusan ke Temerloh dan Maran.

“Pada ketika ini kami terpaksa menggunakan jalan kampung pesisir Sungai Pahang yang sempit, mudah dinaiki air bila musim tengkujuh dan sudah tidak sesuai lagi kerana banyak kenderaan.

“Dengan itu kami mendesak Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan segera agar meneruskan pembinaan jalan tersebut bagi membuktikan kerajaan benar-benar membela nasib rakyat seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.

Menurut Suhaimi yang juga bekas Ketua Kampung Guai, projek jalan pesisir Sungai Pahang sejauh 25 kilometer itu pada asalnya telah dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dengan peruntukan daripada  sebanyak RM48 juta sekitar di penghujung tahun 1980-an.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM22 juta sudah digunakan untuk pembinaan jalan dan membayar tanah-tanah penduduk yang terlibat dengan pengambilan.

Malangnya apabila DAP memenangi Dun berkenaan (Triang) tahun 1990 melalui Leong Ngah Ngah, projek tersebut dihentikan. Apabila LKWJ dibubarkan pada tahun 2000, wang  baki lebihan RM26 juta telah dikembalikan Kerajaan Pahang kepada Kerajaan Pusat dengan pembinaan jalan tersebut gagal disiapkan.

Akibatnya, jalan pesisir sungai itu hanya dari Kampung Tanjung Batu ke Lebak Seberang sepanjang 10 kilometer sahaja yang siap. Manakala kampung-kampung Seberang Jelam, Tok Biah, Seberang Mengkarak, Tanjung Kuran, Lanjut, Selendang, Durian Duduk dan Batu Bor terus terbengkalai.

Sementara itu Tuan Ibrahim dalam responsnya berkata jalan sepanjang 15 kilometer yang terbengkalai itu merugikan semua pihak dan tindakan memulangkan semula wang kepada Kerajaan Pusat satu kesilapan besar.

“Bayangkan, duit dah lulus dan dah dapat tapi dipulangkan semula, kenapa projek tak diteruskan? Sepatutnya jika (LKWJ) bubar sekalipun, salurkanlah kepada agensi pelaksana mana-mana pun”.

“Bila jalan ini dah terbengkalai, sudah tentu hasrat untuk memajukan ekonomi kampung tradisi sepanjang Sungai Pahang terencat. Sayang... permintaan dah lama sangat dah, tiba-tiba terbantut hanya kerana kesilapan pihak kerajaan negeri,” katanya media.

Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini pernah dikritik kerana melakukan kesilapan besar apabila tidak membantah pembubaran dua agensi pembangunan Persekutuan, Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) pada tahun 2000 kerana pembubaran kedua-duanya mengakibatkan kawasan yang berada di bawahnya selama ini menjadi terabai.

Bukan itu sahaja, pelbagai projek pembangunan sosial dan ekonomi setempat akibatnya kurang diberi perhatian. Lebih menyedihkan, perancangan kemajuan bandar yang dirancang sekitar tahun 1980-an terbantut. Contoh jelas ialah Bandar Jengka yang yang kelihatan tidak terurus dan ceria berbanding semasa kewujudan LKWJ.

“Selain daripada ekonomi, perhubungan dan masalah urusan pentadbiran juga dapat diselesaikan jika jalan ini siap, kerana daerah Bera terpisah oleh sungai. Jadi jika jalan ada, penduduk Bera seberang sini mudah berurusan di pejabat Daerah Bera yang terletak di seberang sana”.

“Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan. Saya difahamkan jambatan Guai telah diluluskan kerajaan tetapi dengan ketiadaan jalan pesisir sungai ini sudah tentu sukar. Mesti ada jalan dulu baru jambatan,” jelasnya.

AES: Juham akan fail semakan kehakiman

Harakahdaily, 08 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) telah menjalinkan kerjasama bersama Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) untuk membela pihak orang kena saman (OKS) bagi kes saman AES.

Ketua Unit Media/Penerangan Juham, Noorazmir Zakaria berkata, satu perjumpaan telah diadakan pada 7 Nov lalu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut oleh pihak jawatankuasa KASE bersama wakil peguam-peguam Juham dari seluruh Malaysia untuk memberikan penerangan kepada wakil-wakil Peguam yang hadir untuk disebarkan kepada negeri masing-masing di mana kedua-dua pihak turut telah berdialog bagi mencapai persetujuan tindakan bersama dalam menangani Saman AES ini.

Menurutnya, melalui mesyuarat bersama Jawatankuasa KASE yang turut dihadiri dan dipengerusikan oleh Datuk Mahfuz Omar pada 8 Nov, 3 resolusi telah dicapai seperti berikut:

1)    KASE bersama barisan Peguam dari Juham akan membuka Kaunter Aduan Rakyat untuk 2 minggu sekali bermula dari 21 November 2012 ini di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Semua penerima Saman AES dijemput hadir pada waktu tersebut untuk mendapatkan nasihat serta khidmat guaman secara percuma sekiranya OKS memilih untuk ke Mahkamah

2)    Peguam dari Juham akan mewakili orang kena saman (OKS) di Mahkamah di mana para Peguam akan memohon mitigasi untuk mengurangkan kadar denda sekiranya OKS memilih untuk mengaku bersalah serta akan mewakili OKS secara percuma sepanjang tempoh perbicaraan sekiranya OKS memilih untuk tidak mengaku bersalah dan pohon dibicarakan.

3)   Juham turut akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kutipan saman yang dikongsi pihak kerajaan dengan syarikat swasta yang mengendalikan serta memasang sistem AES ini.

“Dalam semakan kehakiman ini, Juham akan mencabar sama ada perkara ini dibenarkan di sisi undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kafir Harbi: Utusan, guru pondok wajar tarik balik

Muhammad Faizal, 08 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta akhbar Umno, Utusan Malaysia dan guru pondok Genting, Tumpat, Abdullah Sa'amah menarik balik kenyataan yang mengatakan DAP itu kafir harbi yang pernah didakwa pihak itu sebelum ini.

Bercakap pada sidang media di parlimen, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, di bawah peruntukan 298A, Kanun Keseksaan adalah satu kesalahan bagi mana-mana pihak cuba mewujudkan keadaan tidak harmoni antara agama..

"Di bawah peruntukan ini jelas menyatakan iaitu cuba menyebabkan atau mungkin menyebabkan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan kegusaran, benci atau sakit hati, atau memudaratkan atau cuba memudaratkan atau mungkin memudaratkan keadaan harmoni dan bersatu atau alasan-alasan keagamaan, di antara orang-orang atau kumpukan orang yang menganuti agama yang sama atau berlainan.

"Saya mengesa agar mereka menarik balik kenyataan tersebut ataupun kerajaan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan yang sedia ada," katanya.

Mohd Firdaus merujuk kepada jawapan yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim semalam sewaktu menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani.

Tambah beliau, atas akta yang diperuntukan ini jelas Abdullah dan Utusan telah dengan niat menimbulkan kemudaratan dan menimbullkan ketidak harmonian di negara ini.

"Malaysia boleh melahirkan satu suasana politik yang sihat jika peruntukan yang sedia ada ini diguna pakai sepenuhnya tetapi sebaliknya ustaz yang menimbulkan ketidak harmonian telah diberikan RM2 juta tanpa ada apa-apa tindakan," sambung beliau lagi.

Menurut beliau lagi, isu DAP kafir harbi tidak perlu timbul lagi apabila jawapan kerajaan menyatakan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri atau Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung kafir harbi atau kafir zimmi.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghan

Kaji semula larangan sidang media kepada bukan MP

Salmiyah Harun, 08 Nov 2012
KUALA LUMPUR: NGO Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dan dukacita atas peraturan baru parlimen yang melarang selain ahli parlimen menggunakan sudut sidang media di lobi bangunan itu.

Menurut Presiden Pendidik Normala Sudirman beliau telah dihalang oleh kakitangan parlimen untuk membuat kenyataan sedangkan pihaknya dijemput oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

"Seharusnya tidak boleh berlaku sebegini kerana kami (Pendidik) mewakili hampir 500,000 guru di seluruh Malaysia.

"Kami datang ini membawa perkara penting yang menjadi agenda pendidikan negara," katanya ketika ditemui di lobi parlimen lama.

Katanya, Pendidik dijemput ke sidang media bersama ahli parlimen untuk memberikan maklum balas memandangkan semalam dewan telah membahaskan isu dibawah Kementerian Pelajaran.

"Kita dijemput untuk memberi komen, sedar-sedar hari ini ada peraturan baru. Kita dihalang  tidak boleh buat sidang media kecuali MP," katanya.

Peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase) turut dihalang untuk memberi kenyataan dalam sidang medianya walaupun diminta oleh Pengerusi Kase yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar memberi kenyataan.

Peraturan baru itu, tegas Normala ianya perlu dipertimbangkan semula oleh Parlimen kerana rata-rata yang datang membawa perasaan, hasrat dan tuntutan sebagai rakyat Malaysia mengikut saluran demokrasi yang diamalkan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen kecuali Ahli Parlimen.

Larangan lisan itu berkuat kuasa serta merta kerana tidak mahu sudut bertulisan 'Parlimen Malaysia Sidang Media' disalahguna oleh mereka yang bukan ahli parlimen.

Beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa sidang media yang diadakan di situ antaranya pendedahan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berhubung dakwaan anak lelaki Datuk Seri Nazri Aziz ada hubungkait dengan jutawan balak Michael Chia.

Pandikar turut menunjukkan gambar sidang media tersebut yang sepatutnya tidak diadakan di situ.

Bagaimanapun menurut Pandikar orang luar yang ditemani ahli Parlimen dibenarkan mengadakan sidang media dengan syarat tidak diadakan di sudut itu.

"Kalau nak buat sidang akhbar boleh tapi berdirilah di penjuru yang tidak nampak perkara itu," katanya.

Umno sedang gali kubur sendiri

Majdan Dagang, 08 Nov 2012
Umno-BN sedang menggali kuburnya sendiri. Begitulah perkembangan politik mutakhir ini. Dalam beberapa isu besar yang berlaku akhir-akhirnya, Umno-BN dilihat lebih banyak bertahan daripada menyerang. Ada beberapa isu yang dilihat bakal menyusahkan Umno-BN mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan tamat tempohnya pada 24 April 2013.

1. Isu hudud Datuk Seri Chua Soi Lek. Dalam persidangan agung MCA yang lalu, presidennya Datuk Sri Chua Soi Lek buat kesekian kalinya menyerang hudud dan kenyataan menghina Islam. Beliau sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan menghina Islam dan Umno dilihat seolah-olah merestuinya.

Dari sudut politik, MCA mungkin bertujuan menarik kembali sokongan masyarakat Cina daripada DAP. Pada masa yang sama Umno berharap akan berlaku pertelingkahan antara PAS dan DAP. Namun, isu ini bukan sahaja tidak berupaya memecahkan tali persahabatan PAS dan DAP, malah menjadi senjata makan tuan.

Walaupun isu ini tidak menjejaskan sokongan penyokong setianya dalam pertarungan politik. Namun, memberi peluru kepada musuh bukanlah sesuatu yang dimahukan oleh Umno.

2. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Isu PTPTN boleh menjadi salah satu pemangkin terkuburnya Umno-BN. Tawaran Pakatan Rakyat untuk melupuskan hutang PTPTN adalah sesuatu yang sukar ditolak oleh mahasiswa yang waras dan mengikuti perkembangan politik serta ekonomi semasa.

Berpuluh ribu graduan sama ada yang telah bekerja mahupun yang masih menganggur terikat dengan pinjaman tersebut. Ada yang mampu membayarnya, ada yang tidak mampu dan ada yang sengaja tidak mahu bayar.

Orang yang berhutang wajib melunaskan hutangnya, tetapi orang yang memberikan hutang boleh melupuskan hutang orang yang berhutang. Oleh itu, jika tawaran PR ini menjadi pilihan para peminjam PTPTN, nyawa Umno-BN bakal berakhir.

3. Gelombang Sabah. Sabah sebelum ini pernah diwar-warkan Sabah sebagai simpanan tetap Umno-BN. Namun, perkembangan politik Sabah akhir-akhir ini tidak boleh dipandang ringan. Pengunduran beberapa tokoh pemimpin Sabah daripada Umn-BN dan menyertai PR merupakan sesuatu yang amat menarik. Perkara ini berlaku kerana banyak sebab. Salah satunya, ramai rakyat Sabah yang sudah mula menyedari bahawa negeri mereka terpinggir daripada pembangunan fizikal walaupun hasil buminya yang banyak, namun hasil tersebut tidak sampai kepada mereka. Oleh itu, harapan diletakkan kepada pemerintah yang baru, jika berjaya menguasai kerajaan pusat.

Hakikatnya, Sabah pernah beberapa kali bertukar kerajaan antara Usno, Berjaya, PBS dan Umno. Salah satu kaedah pertukaran kerajaan ialah akibat pemimpin parti keluar parti dan menyertai parti lain atau menubuhkan parti baru. “Ini Kalilah”, Sabah bakal melakar satu lagi sejarah dalam politik tanah air. Pada kali ini, Sabah bukan sahaja mungkin menukar kerajaan negerinya sekali lagi, bahkan tidak mustahil membantu menukar kerajaan pusat sekali gus.

4. Isu Felda. Kewujudan Felda merupakan suatu tapak yang paling baik bagi Umno-BN mengekalkan kuasanya. Hal ini kerana, Felda berada hampir di seluruh negara. Secara umumnya, peneroka Felda ialah penyokong tegar Umno-BN. Namun, dengan pelbagai perkembangan akhir-akhir ini menjadikan Felda bukan lagi simpanan tetap Umno-BN.

Warga Felda sudah mula bangkit, sudah berani menyaman kerajaan dan menuntut hak. Apatah lagi sudah ramai generasi keduanya yang berpendidikan tinggi dan tinggal di luar Felda. Generasi kedua ini menjadi lebih terbuka pemikirannya kerana banyak bercampur gaul dengan masyarakat luar dan terdedah dengan pelbagai maklumat.

Apatah lagi dengan isu Felda Global Ventures (FGV) yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Semakin lama isu ini berlangsung semakin banyak tembelang Umno-BN terlondeh dan semakin kurang penyokong Umno-BN.

5. Warga pendidik. Jumlah warga pendidik hampir 500 ribu. Jumlahnya agak besar dan mempunyai kesan yang bukan sedikit terhadap keseimbangan politik negara. Walalupun isu yang membaitkan guru tidak sehebat isu FGV, namun perlu diingat, mereka merupakan golongan terpelajar. Berbanding warga Felda, mereka tentunya tidak mudah dibeli dengan sehelai kain batik atau RM50 atau sejumlah saham.

Oleh itu, sikap tidak prihatin Umno-BN terhadap beberapa isu pendidikan mungkin membawa padah. Salah satunya ialah perubahan status sekolah vokasional yang turut mengubah waktu bekerja daripada waktu biasa kepada waktu baru yang lebih panjang iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Bahkan pengenalan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) bukanlah sesuatu yang membuatkan warga pendidik menjadi semakin intim dengan Umno-BN. Sudahlah isu PPSMI sebelum ini masih belum kebah sepenuhnya.

Dengan dasar yang sering berubah-ubah dan bebanan tugas yang semakin bertambah, saya tidak fikir Umno-BN semakin popular dalam kalangan guru.

PR menawarkan imbuhan secara bulanan jika berjaya membentuk kerajaan. Hal ini kerana, PR amat sedar bahawa golongan ini melakukan pekerjaan yang paling mulia iaitu menyampaikan ilmu kepada anak bangsanya. Mereka merupakan barisan paling hadapan dalam menentukan masa depan negara.

6. Penyelewangan dana awam. Kemuncak kepada penyelewengan dana awam ialah kes yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC), syarikat milik suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Kes ini bukan semata-mata membabitkan menyalahgunaan dana awam yang banyak, tetapi pendedahan oleh laporan audit negara adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan dengan mudah oleh Umno-BN.

Dalam kes ini, Perdana Menteri langsung tiada hujah untuk mempertahankannya, sehinggakan Datuk Seri Shahrizat terpaksa diturunkan daripada kerusi senatornya sekaligus jawatan menteri  yang dipangkunya.

Namun, rakyat tidak mudah untuk melupakan isu ini begitu sahaja. Penyelewangan dana awam sebanyak RM250 juta bukanlah sesuatu yang kecil anak. Banyak perkara yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat jika wang sebanyak berada ditangan pemimpin yang jujur.

Jika rakyat mahukan duit ini dikembalikan atau isu ini diselesaikan, mereka tiada pilihan melainkan memberikan kuasa kepada PR pada PRU13 nanti.

7. Automated Enforcement System (AES). Pelaksanaan sistem ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat, malah turut tidak dipersetujui oleh ahli parlimen dan penyokong Umno-BN sendiri. Hal ini kerana, sistem ini lebih banyak menyusahkan rakyat berbanding tujuan asalnya yang dikatakan untuk mendidik pengguna jalan raya.

Dalam hal ini, pelaksanaan AES dilihat sebagai satu usaha kerajaan memeras duit rakyat dengan cara yang lebih mudah dan tersusun – atas nama kesalahan lalu lintas. Dalam hal ini rakyat bakal terbeban dengan saman dan tiada cara lain untuk menghentikan kegilaan ini melainkan memenangkan PR dalam PRU13 nanti.

8. Penurunan harga kenderaan. Sekali imbas isu penurunan harga kenderaan tidak akan menggugat Umno-BN. Namun dalam senyap isu ini telah menjalar dalam kalangan rakyat.

Ayat, “Kalau nak beli kereta, tunggu selepas pilihan raya umum ke-13.” Biasa didengar di mana-mana. Hal ini menunjukkan bahawa perkara ini bukanlah sesuatu yang kecil. Hal ini kerana, sudah diketauhi umum bahawa harga kereta di Malaysia amat mahal berbanding dengan nisbah pendapatan dan kos hidup. Umum juga mengetahui bahawa cukai yang dikenakan begitu mahal terhadap kereta import demi menyelamatkan kereta nasional yang mempunyai kepentingan kroni padanya.

Jadi, tawaran PR bahawa akan menurunkan harga kereta apabila memenangi PRU13 nanti sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh rakyat.

9. Cukai barangan dan perkhidmatan (Good and Service Tax – GST). Kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan bukanlah sesuatu yang menjadi sebutan umum. Namun, apabila nilai wang menjadi semakin kecil, dan rakyat pula terdesak untuk memenuhi keperluan asas yang semakin tinggi nilainya berbanding pendapatan.

Keperluan asas seperti tanah/rumah, kenderaan, kos pendidikan, kos makan minum dan kos perubatan semakin meningkat. Pada masa yang sama rakyat dilaungkan oleh pemimpin supaya berjimat cermat. Padahal rakyat dengan mata kepala sendiri melihat pemimipin negara dan konco-konconya hidup dalam suasana yang mewah.

Akhirnya, rakyat mula berfikir bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Pemimpin cakap tidak serupa bikin. Rakyat bersusah payah membayar cukai tetapi pemimpin senang-senang sahaja membelanjakan dana awam tanpa mengambil kira kesusahan rakyat.

Pada masa yang sama mereka mula membandingkan, negeri-negeri yang diperintah oleh PR terutamanya Kelantan lebih telus dalam membelanjakan wang rakyat atau sekurang-kurangnya tidak membebankan dengan pelbagai cukai.

Kesimpulannya. Selain faktor di atas, banyak lagi kemungkinan yang bakal menamatkan riwayat Umno-BN. Senarai itu hanyalah sebahagian daripada senarai panjang kesilapan dan keangkuhan Umno-BN dalam melayan kehendak rakyat. Jika Umno-BN terus tidak berubah nescaya mereka akan rebah!

Namun, walaupun Umno-BN dilihat tertekan dengan pelbagai isu, tetapi perlu diingat, mereka masih menguasai media dan pelbagai agensi kerajaan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku terutama apabila PR tersilap strategi pada saat akhir menjelang pilihan raya.

Suami calon PAS Tanjung Datu meninggal

Harakahdaily, 08 Nov 2012
KUCHING: PAS kehilangan seorang pendokongnya apabila Marzuki Haji Bujang, suami kepada calon PAS DUN Tanjung Datu, Puan Nani Sahari meninggal pagi ini.


(Puan Nani, calon PAS DUN Tanjung Datu, Kuching)

Beliau dikatakan diserang sakit jantung dan meninggal di Hospital Umum Kuching.

Jenazah akan dibawa ke rumahnya di Taman Samariang Aman, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Alfatihah untuk roh beliau dan PAS serta Harakahdaily mengucapkan takziah kepada Puan Nani sekeluarga.

Tiada ulasan: