Isnin, 26 November 2012

GIGIT JARI SATU HAL...MUNGKIN ADA YANG MAKAN TULANG SAJA TAPI SERONOK...ORANG MAKAN DAGING LAGI SERONOK...AGAK2 SAPE JAHIL...SAPE TIPU SAPE...ORANG CERDIK MENIPU SENANG2 SILURUS BENDOL SERTA SIBODOH SOMBONG

Moaz al- Khatib minta sokongan ketenteraan dari Turki

Terjemahan Mohamad Yahya, 26 Nov 2012



(Sheikh Ahmad Moaz al-Khatib, presiden yang dipilih mengetuai pakatan pembangkang baru di Syria, Pakatan Kebangsaan Syria untuk pembangkang dan Angkatan Revolusi  - foto Today's Zaman)



ANKARA:
Sheikh Ahmad Moaz al-Khatib, presiden  pakatan pembangkang baru Syria, meminta Turki untuk menyediakan lebih sokongan ketenteraan kepada penentang yang berjuang menghadapi rejim Syria, dan berkata keperluan yang paling mendesak adalah peluru berpandu anti-pesawat.


"Cabaran utama untuk kumpulan penentang adalah pesawat. Mereka menyerang orang di mana-mana. Jika ada sesuatu yang boleh membantu kami menghalang mereka, ia adalah sangat bagus dan kami akan meminta secara khusus untuk perkara tersebut," kata al-Khatib.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan Today's Zaman selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan dan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu semasa lawatan ke Turki.

Beliau yang menyatakan sokongan ketenteraan yang bermula pada awal serangan selama 20 bulan tidak mencukupi, turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberikan bantuan ketenteraan yang lebih cepat untuk menghalang kemenangan rejim Presiden Bashar al-Assad.

"Sokongan ketenteraan tidak mencukupi. Masyarakat antarabangsa mengabaikan pejuang Syria sendirian selama dua tahun tanpa sokongan yang sebenar.

"Kami masih menunggu, tetapi masa adalah begitu singkat. Jika tiada sokongan yang cepat, mungkin terdapat perubahan di setiap kawasan [menjejaskan kawasan pembangkang bersenjata], " ujar al-Khatib lagi.

Al-Khatib juga menyatakan bahawa pembangkang Syria berterima kasih kepada Turki atas bantuan yang disediakan dalam semua bidang, termasuk bantuan ketenteraan yang menyokong pemberontakan menentang tindakan keras ketenteraan Assad yang telah membunuh lebih 38,000 orang.

"Apa yang saudara Turki kami telah lakukan adalah sangat baik. Mereka telah melakukan yang terbaik, "ujar al-Khatib, sambil menambah, "Kami [pembangkang Syria] inginkan bantuan yang lebih banyak, daripada Turki dan daripada masyarakat antarabangsa."

Rakyat akan menggigit jari sepanjang hayat

Aspan Alias, 26 Nov 2012
Dalam posting saya semalam saya telah menulis tentang beberapa orang pemimpin UMNO mengakui yang UMNO memang nya telah melakukan kesalahan dan akan memulakan perubahan. Semalam semasa berjumpa dengan 1,500 wakil-wakil NGO di seluruh negara Najib mencadangkan supaya jangan mengubah kerajaan kerana perubahan boleh dilakukan oleh BN sendiri.


Kata-kata Najib ini seperti seorang pencuri yang telah mengaku salah tetapi menyeru supaya semua orang jangan mengunci rumah kediaman atau kilang-kilang mereka kerana mereka (pencuri-pencuri) telah berjanji tidak akan mencuri lagi. Kata-kata Najib ini sangat mengaibkan diri beliau dan UMNO itu sendiri. Dalam kepimpinan serta kenegaraan jika seseorang itu telah melakukan kesalahan dia akan berhenti dengan secara sukarela kerana itulah etika kepimpinan dalam sebuah negara yang berdaulat.

Najib sepatutnya belajar apa dia kedaulatan itu. Apa dia negara yang berdaulat itu? Dari mana datangnya kedaulatan itu mesti difahami oleh beliau kerana beliau seorang Perdana Menteri, bukannya kerani kilang padi. Saya begitu hairan etika yang senang difahami itu pun Najib tidak dapat merasakan kepentingannya di dalam sesebuah kepimpinan kerajaan.

Apa perubahan yang Najib hendak lakukan melalui BN itu?

Apa yang dimaksudkan oleh Najib itu tentulah BN sedar yang kerajaan selama ini adalah kerajaan yang rasuah dan selalu menyalahgunakan kuasa. Menyedari itu BN tidak akan melakukan rasuah sebesar itu lagi. Maka adalah wajar bagi rakyat memberikan mandat itu lagi kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Satu lagi perkara yang BN mesti lakukan untuk berubah ialah dengan mengelakkan dari menjadikan isu agama dan memainkan isu bangsa sebagai modal politik mereka. Inilah salah satu lagi yang akan di ubah oleh BN, mungkin. Banyak lagi isu-isu buruk yang kita sama semua tahu dilakukan oleh BN tidak akan dilakukannya lagi. BN mahu berubah dan jangan ubah kerajaan. Tidak payah ubah kerajaan kerana BN yang melakukan kesalahan dan BN akan berubah menjadi parti yang baik untuk rakyat dan negara.

Satu lagi perkara yang BN akan berubah ialah tidak lagi membiarkan isteri-isteri pemimpin mempengaruhi suami dalam pentadbiran kerajaan. BN juga mungkin tidak akan lagi membiarkan pemimpin-pemimpin nya menyeludup wang ratusan billion ringgit keluar negara untuk melarikan dari pengetahuan rakyat  ATAU  satu lagi perkara yang BN akan berubah ialah untuk tidak mengambil komisyen besar dalam pembelian bekalan pertahanan negara. Tidak akan berlaku lagi pembelian Scorpene dan mengambil komisyen yang ratusan juta ringgit.

BN tidak akan lagi mengambil tanah Felda yang sepatutnya dimasukkan 80,000 peneroka dan disenaraikan di pasaran saham untuk pemodal dan kroni yang besar-besar pimpinan dalam dan luar negara kita.

BN juga mungkin tidak lagi memberikan keistimewaan kepada anak-anak Mahathir dengan memberikan anak-anak Mahathir menyandarkan masa depan mereka kepada UMNO. Anak-anak Mahathir tidak payah lagi menggunakan UMNO sebagai modal untuk mereka berniaga dengan besar-besaran. Diharap juga BN tidak akan menggunakan wang Petronas bagi menyelesaikan masalah perniagaan anak-anak pemimpin seperti Mirzan Mahathir dalam jumlah berbillion ringgit.

BN akan berubah dan tidak akan lagi memberikan segala-gala peluang perniagaan kepada Syed Mokhtar dari laut ke darat dan dari darat ke udara seperti yang berlaku sekarang.

Mungkin inilah dia cara BN hendak berubah. Mengaku dengan segala kesalahan ini dan berpura-pura bertaubat dan diberikan lah lagi kuasa kepada mereka. Sekarang mereka benar-benar hendak berubah dan tidak mahu buat jahat lagi. Najib ke hulu dan ke hilir meminta sedekah sokongan rakyat untuk melakukan kebaikan dan tidak hendak buat zalim dan jahat lagi. BN sudah penat membuat jahat, sekarang masanya untuk berbuat baik pula.

Maka berikan lah sokongan kepada BN. Najib sudah berubah dan akan membuat baik pula sekarang ini. Najib ini seperti penagih tegar dadah yang berjanji tidak akan mengambil dadah lagi. Najib meminta rakyat jangan bagi undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kali ini kerana mereka (BN) sudah berubah dan berubah.

Dalam jiwa Najib sedang bergelora dan sentiasa menjerit, “tolonglah jangan undi PR…aku dah berubah…aku tidak akan takut kepada isteri aku lagi…akan tidak akan dengar nasihat Mahathir lagi….aku taubat....aku taubat”.

Tetapi boleh kah kita percaya semua janji-janjinya ini?

Jawapannya..jangan sekali-kali! Penagih rasuah dan kuasa tidak akan mampu berubah. Mereka akan tetap melakukannya apabila mendapat kuasa. Air mata yang meleleh dari bibir mata Najib hari ini adalah air mata buaya. Jika BN mendapat mandat lagi yakinlah harta kita akan menjadi harta UMNO. Najib akan meneruskan pemborosan terhadap wang rakyat dan negara. Saya hendak bertanya jika beliau melakukan pemborosan, apa yang kita boleh buat selama 5 tahun itu? Jawapannya…..tidak boleh buat apa-apa lagi.

Rakyat akan akhirnya menderita dan menggigit jari sepanjang masa. Sudah 55 tahun rakyat dikelirukan. Kita belajarlah untuk menjaga maruah diri dan jangan dikelirukan lagi. Percayalah! - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Berapa kes rogol bawah umur yang dilaporkan

Harakahdaily, 26 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri diminta menyatakan statistik kes rogol dan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur yang dilaporkan di dalam 10 tahun kebelakangan ini.

Dr. Siti Mariah Mahmud [PAS-Kota Raja] dalam pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini juga meminta menteri berkenaan menyatakan berapakah jumlah kes rogol bawah umur (statutory rape) berjaya didakwa dan dihukum oleh mahkamah.

Pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS seperti di bawah.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan apakah usaha untuk menaikkan taraf jalan-jalan kampung yang sempit dan rosak yang menyebabkan kesesakan teruk terutama di musim perayaan.

Datuk Taib Azamudden Md Taib [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana pemantauan dibuat oleh pihak berkuasa agama terutama JAKIM terhadap aktiviti, program dan dakwah yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO Islam di negara ini.

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk menentukan MAS kembali untung setelah rugi sekian lama.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan apakah laluan-laluan baru kereta api di Pantai Timur Semenanjung.

Seksis: Usul tindakan disiplin terhadap Adun BN

Nazli Ibrahim Selangorku, 25 Nov 2012


SHAH ALAM: Adun Pakatan Rakyat Selangor akan mencadangkan usul agar Adun Umno-BN, Datuk Mohd Isa Abu Kassim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan kata-kata yang menghina kaum wanita yang dikeluarkan beliau Khamis lalu.

Usul yang bakal dicadangkan minggu ini akan menyeru agar satu tindakan disiplin di ambil terhadap Adun Batang Kali itu kerana kenyataannya semasa sesi pengulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2013 di dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Cadangan tersebut bakal diusulkan kerana Mohd Isa sebelum ini enggan menarik balik kenyataan tersebut serta meminta maaf dengan alasan beliau tidak menyebut kata-kata itu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata hansad sidang Dewan Negeri Selangor jelas menunjukkan beliau menyebut kata-kata itu.

“Saya lebih meluat apabila ianya dibangkitkan oleh (Adun Subang Jaya) YB Hannah Yeoh, beliau menafikan kononnya beliau tidak menggunakan perkataan itu, tetapi terbukti apabila hansad diedarkan, terang-terang perkataan itu wujud.

“Sebenarnya pihak Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) telah pun berbincang dan dipersetujui supaya dibawa satu usul yang dibentangkan ke dalam dewan dalam masa seminggu ini untuk memanggil Batang Kali dibicarakan di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Kenyataan seperti itu, tak menggambarkan rasa hormat dia pada wanita dan kalau orang menyebut seperti itu kepada isteri, ibu atau anak perempuannya, apa perasaan dia,” ujar Rodziah kepada TV Selangor hari ini.

Pada Khamis lalu, Mohd Isa didakwa mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong membuat pengulungan tentang status hutan simpan di kawasan Taman Templer.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Haniza Talha pula mengingatkan bahawa semua wanita lain juga mempunyai hak untuk dihormati seperti mana ibu Mohd Isa sendiri.

“Boleh tak dia bergurau begitu kepada emak dia? Tentu tidak, kalau tak boleh apa bezanya dengan wanita lain sebab wanita lain juga ada hak untuk dihormati,” kata yang juga Adun Taman Medan.

Haniza juga menyarankan agar pengundi wanita di Dun Batang Kali ‘mengajar’ Adun tersebut dengan menolak beliau dalam pilihan raya akan datang.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata Mohd Isa wajar meminta maaf kepada Elizabeth.

Artis popular, Abby Abadi pula menyifatkan kenyataan Mohd Isa itu sebagai kenyataan biadab yang hanya dikeluarkan oleh individu yang kurang moral.

“Kenyataan seperti itu tak boleh terima, keterlaluan, keluar topik, lebih-lebih lagi bila dikeluarkan oleh seseorang yang sepatutnya dijadikan contoh oleh masyarakat di kawasan yang dijaganya,” kata Abby kepada TV Selangor.

Video

20,000 sertai Anti Lynas di Dataran Merdeka

Hazayani Zakaria, 25 Nov 2012

KUALA LUMPUR:
Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang tadi.

Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka. Mereka duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi  Himpunan Hijau, Wong Tack.

Wong Tack dalam ucapannya berkata, kumpulan yang berjalan kaki dari Kuantan, Pahang akan duduk di Dataran Merdeka sehingga pagi esok bagi menunjukkan bantahan mereka.

"Kita berada di sini kerana sayangkan negara kita.

"Kita akan tidur di sini dan kita minta ahli parlimen datang jenguk kita kerana mereka menaiki kenderaan, cuma tiga minit sahaja sedangkan kita sudah jalan jauh," katanya.

Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu.

Mereka tiba di Tol Gombak, jam 3 petang semalam sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang.

Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjlan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar.

Pagi tadi, kumpulan tersebut bergabung dengan kumpulan dari Kuala Lumpur mula berarak dari KUISM ke Sentul Pasar.

Mereka seterusnya berarak ke Maju Junction sebelum bergabung dan berarak ke Dataran Merdeka.

Cikgu Ishak turut bersama-sama ke Dataran Merdeka bersama kaum Cina, Melayu dan India dari pelbagai peringkat umur.

Mereka duduk di Dataran Merdeka kira-kira sejam sebelum sebahagiannya beransur pulang.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut serta ialah Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang perarakan.

Yadim lebih menonjol aktiviti kepartian

Hazayani Zakaria, 26 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan berhubung Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang dilihat semakin kurang berperanan dalam menyelaras kegiatan badan-badan dakwah di Malaysia.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden Mohd Taib sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mendakwa, Yadim lebih menonjol dalam kegiatan berbentuk kepartian selepas Yang Dipertuanya dilantik melalui lantikan politik.

"Adakah kerajaan sedar mutakhir ini Yadim tidak lagi menjalankan tugas-tugas utamanya bahkan kadang-kadang (peranannya) bercanggah dengan Jakim sendiri.

"Lebih-lebih lagi Yang Dipertua Yadim dilantik oleh lantikan politik maka Yadim lebih menonjol dengan aktiviti kepartian terutama di saat pilihan raya semakin hampir," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan seharusnya meningkatkan penglibatan Yadim dalam usaha dakwah di Malaysia kerana Yadim merupakan badan dakwah yang mendapat manfaat daripada kerajaan khususnya dari segi peruntukan kewangan.

"Oleh itu adakah kerajaan sedar kerjasama pintar perlu diperkasa dan mencakupi Yadim kerana Yadim juga menerima manfaat daripada kerajaan," katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dalam jawapannya bagaimanapun menafikan dakwaan berhubung pelantikan politik Yang Dipertua Yadim.

Yadim ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menyelaras dan menyatukan badan-badan dakwah dan membantu badan-badan ini supaya berperanan secara membina untuk pembangunan umat dan meningkatkan kefahaman Islam supaya masyarakat Islam memainkan peranan aktif dalam proses kemajuan.

Taib dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana pemantauan dibuat oleh pihak berkuasa agama terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap aktiviti, program dan dakwah yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO Islam di negara ini.

Titik berat etika media untuk tujuan politik

Hidayat Yusof,
Ini adalah komen ringkas berkenaan etika media dalam menyampaikan suatu mesej ataupun berita terutama mengenai politik. Bila menyebut tentang etika, ia berkait rapat dengan budaya sesetengah masyarakat. Ianya adalah mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam masyarakat tersebut atas sebab kebiasaan atau ritualnya seperti itu.

Sebagai contoh budaya di negara-negara Barat, kebebasan media adalah dititik beratkan atas faktor demokrasi yang diperjuangkan. Demokrasi yang terdapat padanya amalan kebebasan bersuara atau mengenengahkan pendapat menjadikan negara-negara Barat begitu sensitif terhadap pencabulan hak-hak kebebasan ini. Walaupun secara kasar ianya nampak begitu baik kerana media diberikan tempat yang seluas-luasnya dalam menyampaikan maklumat, tetapi malangnya ia juga menjurus ke arah mencabuli hak individu atau kumpulan yang lain. Kebebasan untuk membuat liputan ini adalah hingga merangkumi aspek peribadi seseorang sampaikan mengkritik keperibadian individu juga dibenarkan. Ia adalah merupakan "kebebasan dalam mencabuli hak privasi orang lain". Sehinggakan seorang ilmuan membawa datang suatu konsep "empowerment" yang mana beliau takrifkan sebagai "kemampuan melakukan sesuatu yang difikirkan baik". Hal ini adalah subjektif kerana belum tentu seuatu yang difikirkan baik oleh seseorang itu adalah juga baik kepada seseorang yang lain.

Kemudian kita lihat pula kepada konsep "ahimsa" yang dibawa oleh Ghandi dalam memperjuangkan hak masyarakat di India. Bersesuaian dengan adat ketimuran, ia begitu menjaga sensitiviti setiap individu dengan melarang penyerangan peribadi seseorang samada berbentuk fizikal mahupun emosi. Dalam konsep "ahimsa" ini juga menerangkan bahawa penderaan terhadap seseorang individu itu bukan sahaja berlaku pada apa yang kelihatan sahaja, malah ia juga diambil kira kepada kesan psikologi yang dihadapi seseorang itu jika pencabulan haknya dilakukan. Konsep ini begitu berbeza dengan budaya Barat yang sentiasa menjuarai amalan budaya mereka yang sentiasa dianggap paling betul.


Itulah dua contoh perbezaan budaya yang dapat kita lihat dalam penggunaan media. Saban hari kita sering terlihat laporan media terutama berkenaan politik semasa yang begitu lantang membuat liputan tanpa menghiraukan moraliti atau etika sepertinya tidak wujud satu garis panduan yang jelas dalam membimbing kepada arus yang satu.

Maka Islamlah yang sepatunya dijadikan tempat rujukan utama dalam menyelesaikan hal ini kerana Islam telah pun menggariskan panduan yang bersesuaian dengan semua masyarakat yang wujud. Islam secara moderate-nya tidak menentang amalan demokrasi iaitu kebebasan yang diperjuangkan, malah ia menyokong hak-hak manusia supaya sentiasa terpelihara dan tidak pula dieksploitasi dan dimanipulasi. Maka oleh itu Islam tidak juga menyokong sepenuhnya amalan tersebut seperti pemikiran Barat yang membenarkan apa sahaja yang difikirkan enak.

Tidak juga seperti konsep "ahimsa" yang langsung tidak membenarkan ruang untuk mengkritik individu kerana ingin menjaga perasaannya, tetapi Islam memperjuangkan keadilan sejagat yang membenarkan melaporkan dan mengkritik amalan-amalan atau tindakan ynag membawa kepada kezaliman dan merugikan umat keseluruhannya. Maka peranan media dalam Islam adalah perlu menghebahkan setiap kecurangan atau perkara sumbang yang dilakukan seseorang individu terutama pemimpin masyarakat.


Ia bukanlah dengan membuka aib tentang sifat buruk individu terbabit seperti suka bersembang, suka bermain video game dan sebagainya. Ia tidak boleh berkaitan dengan tabiat peribadinya, tetapi mestilah berkenaan dengan amalan yang mana jika dibiarkan akan merugikan umat yang lain atau menjahanamkan agama dan bangsa, sebagai contoh laporan mengenai pemimpin yang rasuah, penyelewengan kuasa dan kegagalan dalam mengurus tadbir negara dan kezaliman lain yang dilakukan.

Sebagai kesimpulannya, etika dalam media adalah sangat penting terutama dalam melaporkan tentang aktiviti politik semasa. Tetapi ia mestilah mempunyai suatu garis panduan yang jelas. Bukanlah semata-mata mengikut atau melakukan apa sahaja yang difikirkan baik, atau menutup mata terhadap kecurangan yang berlaku seperti apa yang ditekan dalam konsep "ahimsa" , tetapi Islam secara jelas membawa konsep Keadilan sejagat dengan menjaga hak-hak manusia yang lainnya dan memperjuangkan kebenaran dengan menolak amalan yang menjatuhkan martabat Islam itu sendiri, wallahua'lam..

Tiada ulasan: