Sabtu, 17 November 2012

ALLAH TIDAK MEMANDANG DUNIA WALAUPUN SEBELAH SAYAP NYAMUK...MAKA KEJARLAH AKHIRAT...CARILAH KERAHMATAN DAN KEREDAAN ALLAH...JANGAN LAWAN SERTA PERLEKEH ISLAM...INGATLAH KITA SEMUA AKAN MATI...KITA TAK BOLEH TONGKAT LANGIT ....MAKA SOKONGLAH ISLAM

Putik pacu kemenangan tuju Putrajaya

Salmiyah Harun, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Hampir 2000 perwakilan dan pemerhati memenuhi dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) bagi mengikuti Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58.

Seawal pagi lagi Putik telah dibanjiri ahli-ahli PAS yang datang dari segenap pelusuk dengan satu tekad dan semangat bersama untuk menawan Putrajaya pada PRU-13 tidak lama lagi.

Mereka mula memenuhi kawasan Putik seawal jam 7 pagi bagi  memanfaatkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang terakhir sebelum PRU yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Sebagai acara pembukaan Muktamar kali ini, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang diiringi Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Siti Zailah Yusoff memeriksa perbarisan Unit Amal dan Bridged Muslimat di perkarangan Putik.

Kehadiran pimpinan utama Pas turut disambut mesra para ahli PAS termasuk para perwakilan dan pemerhati.

Seperti kebiasaan terdapat gerai- gerai jualan seperti cenderamata, gerai makanan dan pakaian turut memeriahkan muktamar kali ini.

Sebaik selesai menyampaikan ucapan dasar, Abdul Hadi berkesempatan merasmikan pameran agensi kerajaan negeri.

Sebanyak 34 'booth' agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

Muktamar kali ini turut menyediakan jamuan rakyat kepada sesiapa sahaja yang datang ke sini.

Saya puas hati dengan Harakah - Presiden

Nazri Abdullah, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Disebalik kritikan yang dilemparkan kepada Harakah khususnya oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulamak dalam muktamar kedua-dua dewan itu semalam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini turut membuat penjelasan.

Beliau yang ditanya wartawan berhubung perkara itu berkata, PAS bersedia menerima segala teguran yang dibuat mana-mana pihak terhadap lidah rasmi parti itu.

"Kita orang Islam diajar tiada yang sempurna, yang sempurna Tuhanyang satu. Saya pun tak sempurna orang boleh kritik.

"Dalam masa yang sama kita menerima nasihat dari semua pihak," katanya.

Bagaimanapun bagi beliau, peranan Harakah membawa suara parti setakat ini boleh dibanggakan walaupun berdepan tekanan dan kekangan dari pelbagai sudut.

"Sehingga ini saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily.

"Kita kena faham bahawa Harakah berada dalam persimpangan, untuk ahli parti dan pada masa yang sama  perlu sebarkan maklumat kepada umum. Jadi inilah yang menjadi dilema," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Wilayah semalam yang mahu PAS membuat rombakan semula sidang editorial lidah rasmi parti itu kerana didakwa perjuangannya telah terpesong dari matlamat penubuhan asal.

Dalam usul itu juga, mereka mahu PAS menubuhkan satu jawatankuasa penapis bagi membuat saringan terhadap berita-berita yang dilaporkan.

Terdahulu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pagi tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kesemua jentera penarangan PAS iaitu Harakah, Harakahdaily dan Lajnah Penerangan, perlu terus diperkasakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Beliau juga berbangga dengan wartawan dan petugas penerangan kerana sanggup dan setia bertugas dengan parti walaupun berpeluang mendapat lebih jika berkerja dengan organisasi lain.

Ditanya adakah PAS akan membuat pengstrukturan semula sidang editorial Harakah seperti desakan dalam usul Dewan Pemuda semalam itu, beliau berkata perkara itu akan dibincang dahulu secara dalaman.

"Itu masalah dalaman parti, jadi kita akan bincang di peringkat dalaman," katanya.

Semua nama calon PAS sudah disahkan

Hazayani Zakaria, 16 Nov 2012

(Sidang media selepas majlis perasmian muktamar)

PENGKALAN CHEPA: Majlis Syura Ulama PAS sudah meluluskan semua nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, senarai nama tersebut sudah diteliti dan Majlis Syura Ulama sudah menapis nama-nama yang layak.

"Semua nama calon mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.

"Semua nama sudah diserah kepada pusat dan Majlis Syura sudah luluskan nama-nama yang layak bertanding, dan yang layak digugurkan," kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS, di Putik hari ini.

Beliau turut menegaskan, PAS menekankan calon boleh menang, termasuk calon muslimat.

"Semua nama diluluskan Majlis Syura Ulama tapi untuk menentukan dia bertanding, kena lihat kepada akar umbi.

"Kita bukan sahaja nak letak calon tapi mahu calon boleh menang," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Sementara itu, Ustaz Hadi menegaskan calon hanya akan diumumkan selepas tarikh pilihan raya diketahui.

"Kebiasaannya PAS umum calon bila tahu tarikh pilihan raya, lepas itu kita tetapkan hari, sehari atau dua hari sebelum penamaan calon.

"Jadi kita minta PM umum awal pilihan raya supaya kita boleh umum calon," katanya.

Muktamar tahunan PAS kali ke-58 ini dihadiri 1116 perwakilan daripada 183 kawasan.

Adun bebas Perak: Habis madu sepah dibuang

Harakahdaily, 16 Nov 2012
IPOH: Habis madu sepah dibuang. Mungkin peribahasa itu yang sesuai untuk menceritakan nasib empat Adun Bebas di Perak yang berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pakatan sebelum ini.

Kalau sebelum ini jasa mereka sangat diperlukan, Adun yang sudah berpangkat datuk pun tidak mendapat kerusi untuk bertanding.

Ekoran itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan akan berlaku pelbagai pergolakan di dalam Komponen Barisan Nasional (BN) Negeri Perak di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini.

Terkini adalah perkembangan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Jelapang yang disandang oleh Datuk Hee Yit Foong setelah 'melompat' parti dari DAP menjadi ADUN Bebas pada tahun 2009.

Datuk Hee yang telah menyuarakan hasratnya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket BN atau MCA telah mendapat bantahan keras dari Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Perak.

Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Hee itu, samada telah mendapat restu Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir atau tidak, dengan segera mendapat maklumbalas Datuk Seri Chua yang menafikan kedudukan kerusi DUN Jelapang yang sebelum ini ditandingi oleh MCA.

Namun sehingga kini Datuk Seri Zambry masih membisu seribu bahasa.

"Persoalannya apakah kedudukan Datuk Hee pada PRU 13 nanti? Apakah pendirian Datuk Seri Zambry sebagai Pengerusi BN Perak? Adakah juga Datuk Hee akan bertanding atas tiket Bebas pada PRU 13 nanti.

"Bagaimana pula tentang kerusi DUN Bebas yang lain di DUN Behrang, Changkat Jering dan Malim Nawar?" soal Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Al-Amin (gambar).

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS Perak mencabar Datuk Seri Zambry menjelaskan kedudukan ADUN-ADUN Bebas tersebut yang menjadi 'faktor utama' dan 'kuasa ketiga' terhadap rampasan kuasa Negeri Perak yang dipilih rakyat.

"Kami ingin melihat samada Datuk Seri Zambry akan menamakan mereka untuk bertanding atas tiket BN pada PRU 13 nanti atau pun bertanding atas tiket Bebas bagi membuktikan mereka masih releven buat rakyat yang telah memilih mereka.

"Kami merasakan 'ujian besar' buat Datuk Seri Zambry sama ada 'menerima' atau 'menolak' ADUN-ADUN Bebas tersebut pada PRU 13 nanti!" katanya.

Ketua Pemuda PAS hanya ada RM9,000 dalam simpanan

Harakahdaily, 16 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Mengotakan janji, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan semalam mengisytiharkan hartanya kepada khalayak ramai semasa ucapan penggulungan di Muktamar Pemuda PAS semalam.

Nasrudin, 42 mengisytiharkan bahawa beliau bersama isteri mempunyai pendapatan sebanyak RM2,800 and RM4,000 sebulan.

Beliau juga memberitahu bahawa beliau mempunyai RM9,000 di dalam simpanan semasa.

Daripada RM2,800 pendapatan beliau, RM2,500 ialah gaji yang diperolehi bertugas sepenuh masa sebagai Ketua Pemuda PAS dan RM300 hasil daripada sewa rumah.

Ayah kepada enam anak turut memperincikan perbelanjaan sebulan beliau – di mana RM530 dan RM1,400 dibayar untuk pinjaman rumah dan kereta.

“Sementara tanggungan isteri terhadap rumah yang dimiliki olehnya terpaksa dibayar RM1,230 sebulan. Itulah harta yang saya isytiharkan, yang saya miliki, sebagai satu gimik pelancaran atau deklarasi pengisytiharan harta yang insya-ALLAH selepas ini akan diikuti oleh seluruh ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Malaysia,” kata beliau.

Sebelum muktamar, Pemuda PAS telah membuat pengumuman bahawa semua exconya, termasuk mereka yang tidak bertanding di PRU13 akan mengisytiharkan harta.

Cadangan tersebut disokong oleh PAS Pahang dan Selangor, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali.

Semasa perasminan Muktamar Pemuda, Timbalan Presiden Mohamad Sabu telah memberi komitmen untuk memastikan cadangan itu bertukar menjadi realiti.

Mat Sabu berkata deklarasi asset adalah wajib bagi semua calon yang bertanding di PRU13.

Terima kasih petugas parti dan jamaah

Harakahdaily, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Presiden PAS merakamkan penghargaan kepada semua petugas PAS yang bertugas dengan komited walaupun tidak mendapat ganjaran dunia yang tinggi berbanding rakan-rakan sejawatan mereka di tempat lain.

Ia dirakamkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melalui ucapan dasar yang diberikannya di Muktamar PAS ke 58 di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik).

"PAS juga ingin mengucapkan terimakasih dan setinggi penghargaan kepada seluruh petugas sepenuh masa parti, antaranya yang terdiri dari petugas Pejabat Agung PAS dan Negeri-negeri serta Kawasan.

"Juga guru-guru Pasti, para wartawan dan petugas Harakah cetak dan Harakahdaily; di atas tugas yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan komited walaupun tidak mendapat ganjaran dunia yang tinggi berbanding rakan-rakan sejawatan mereka di tempat lain.

"Moga-moga segala kerja buat mereka diberi ganjaran pahala yang berpanjangan dari Allah SWT," katanya dalam ucapan dasarnya itu.

Senator Australia buat laporan polis Utusan fitnahnya

Muhammad Faizal, 16 Nov 2012

(Nick Xenophon menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama peguamnya)

KUALA LUMPUR: Senator Australia, Nick Xenophon membuat laporan polis di Balai Polis Travers ekoran laporan palsu yang dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times sebelum ini.

Bagi beliau, kedua-dua media itu membuat laporan palsu apabila mendakwa beliau anti Islam.

Turut serta bersama Nick Xenophon ialah peguamnya, Amer Hamzah Arshad.
Peguamnya yang ketika ditemui memberitahu laporan yang dibuat hari ini adalah satu artikel yang disiarkan oleh kedua-dua akhbar tersebut pada awal bulan Mei yang lalu.
Namun, atas sebab kesihatan Xenophon dan juga urusan kerja beliau, laporan tersebut tidak dapat dilakukan lebih awal, selain itu juga beliau berpendapat biarlah beliau hadir sendiri membuat laporan tersebut (hari ini).
"Xenophon membuat laporan polis ini yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan juga NST yang mengatakan beliau itu anti Islam.
"Artikel tersebut jelas merupakan satu fitnah dan tidak benar sama sekali, malah beliau tidak pernah memberi sebarang komen berkenaan isu tersebut," jelasnya di hadapan Balai Polis Travers.
Menurut Amer Hamzah lagi, Xenophon telah pun memulakan tindakan sivil dengan menghantar surat tuntutan kepada kedua-dua akhbar tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau berpedapat isu ini amat serius maka beliau membuat satu laporan polis dan  mahu pihak polis menyiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang yang berkenaan.
"Kita berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan adil dan telus.
"Xenophon khuathir dengan keselamatan beliau. beliau juga merupakan Ahli Parlimen Bebas di Australia dan mempunyai rakan yang beragama Islam termasuk di
Malaysia, beliau juga tidak mahu imej beliau terjejas dengan artikel tersebut," katanya lagi.
Xenophon merupakan sebahagian daripada pasukan tujuh anggota pemantau antarabangsa dalam misi pencarian fakta mengenai sistem pilihan raya Malaysia.

Ketika perhimpunan Bersih 3.0, Xenophon telah bersama-sama pemerhati antarabangsa berada di Kuala Lumpur bagi memerhati perhimpunan itu.

Beliau turut merasai kepedihan gas pemedih mata yang di tembak oleh pasukan keselamatan di perhimpunan itu.

Ekoran komennya terhadap perhimpunan itu, Utusan dan NST telah menyerang beliau dengan mendakwa senator Australia itu anti Islam.

Ia berdasarkan satu ucapan beliau di Australia. Senator ini juga didakwa seorang penyokong LGBT.

Kehangatan PRU13 bermula di Putik

Aslani M, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Debar dan penantian pemerhati politik untuk melihat sejauh  mana keseriusan PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi piilihan raya umum ke-13, hari ini mulai tertumpu ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Muktamar kali ke-58 bermula dengan suasana ceria biar pun Kelantan memasuki musim tengkujuh. Ketibaan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di celah-celah kehadiran orang ramai kira-kira jam 9 pagi.

Putik yang agak sunyi selepas berlalu muktamar dua tahun lalu, hari ini kembali menjadi meriah semula dengan agenda muktamar yang akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Sejurus ketibaan, Presiden melakukan pemeriksaan pasukan anggota Unit Amal dan Nisa’. Paluan kertuk, rebana dan gendang Cina memeriahkan kelangsungan muktamar.

Muktamar diceriakan lagi dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Turut hadir wakil-wakil gerakan Islam dari luar Negara, antaranya Hamas diwakili Ibrahim Yussof, Ahmad Kassir, Muslim Abu Omar, manakala Ikhwan Muslimin Syria diwakili, Dr Mohd Walid, Dr Riduan Alami, Dr Asalam Alamah.

Selain itu wakil Jemaah Islam Sri Lanka. Tokoh lain termasuk bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin, bekas anggota parlimen Batu Berendam, Datuk Thamrin Ghaffar, veteran-veteran PAS termasuk Ismail Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penantian  untuk mengikuti muktamar lewat sikit diadakan tahun ini kerana mengambil faktor pilihan raya yang diuar-uarkan diadakan Jun lalu.

“Ia khabarnya  diadakan pada Jun lalu. PRU ke-13 diadakan tidak lewat daripada 27 Jun 2013 berikutan tempoh penggal parlimen ke-12 akan berakhir dengan mengambil kira tarikh 28 April 2008 bermula sidang pertama parlimen,” katanya pada ucapan aluan.

Ekoran itu katanya, perwakilan hendaklah menggunakan medan muktamar kali ini untuk bermuhasabah dengan memberi teguran bagi kebaikan jemaah.

“Lagi pun kita tidak ada banyak masa sekarang. Kita yakin PRU 13 pertaruhan paling sengit dalam sejarah pilihan raya kita. PRU 13 jadi penentu kepada hidup atau mati Umno, mereka melakukan apa sahaja bagi mempertahan kuasa yang ada.

“Oleh itu PAS dan Pakatan siap siaga dengan kekuatan spiritual diperlukan. Bagaimanapun kejayaan menawan Putrajaya bukan matlamat akhir bagi PAS,” ujarnya.

Awasi usaha lagakan sesama parti Pakatan - Presiden

Hazayani Zakaria, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan ahli parti di semua peringkat bersiap sedia pada tahap maksimum bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin hampir.

Beliau berkata, ahli biasa mahupun pimpinan di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersedia kerana mereka akan berhadapan dengan provokasi media dan BN yang mahu memporak perandakan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita.

"Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-58 yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Putik, dekat sini, hari ini.

"Saya mengarahkan kepada semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting," katanya.

Ustaz Hadi juga menyeru semua pihak dalam parti melaksanakan tugas pilihan raya dengan penuh hikmah dan tertib agar rakyat mudah memahami dan menerima perjuangan PAS.

"Saya mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah, bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT," katanya lagi.

Selain itu beliau turut membuat seruan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat agar menggunakan menggunakan masa yang ada untuk menyelesaikan urusan rakyat, meneruskan kerja kebajikan tanpa meninggalkan gerak kerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.



"Saya mengarahkan agar semua jentera parti, dewan-dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihan raya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan pusat," katanya.

Turut diingatkan beliau agar semua peringkat dalam parti menjaga hubungan sesama sendiri dan memperbaiki hubungan dengan Allah supaya segala urusan tidak tergendala.

"Saya mengarahkan semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada-Nya.

"Suasana menghadapi pilihan raya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT," katanya.

PAS siap untuk PRU13 atau muktamar tahun depan?

Harakahdaily, 16 Nov 2012



KOTA BHARU: Muktamar PAS ke 58 iaitu yang terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13 bakal bermula pagi ini dengan kira-kira 1,000 perwakilan dan beribu-ribu pemerhati akan memenuhi Dewan Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan memberikan Ucapan Dasar yang bakal menentukan halatuju PAS dan seterusnya merasmikan muktamar kali ini.

Muktamar ini diadakan selepas ketiga-tiga sayap PAS iaitu Dewan Ulamak, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda selesai mengadakan muktamar masing-masing.

Kira-kira 700 perwakilan yang menyertai muktamar bagi setiap dewan telah menyesaikan agenda masing-masing malam tadi dan petang semalam.

Muktamar Dewan Ulamak menjadi tumpuan media selepas menampakkan keghairahan mereka berbanding sebelum ini apabila perbahasan yang sangat hidup berlangsung.

Penegasan demi penegasan yang dibuat pemimpin dan perwakilan Dewan Ulamak menampakkan kesediaan mereka menghadapi pilihan raya umum akan datang bersama rakan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Dewan Muslimat pula mendapat pujian dari Presiden PAS, TG Abdul Hadi apabila beliau sangat bangga dengan pencapaian mereka. Ekoran itu, TG Abdul Hadi memberikan harapan lebih ramai calon muslimat akan dicalonkan kali ini.

Dewan Pemuda juga memberikan sesuatu yang membanggakan. Namun, ia sedikit ralat apabila muktamar ini merekodkan serangan dengan menumpulkan senjata sendiri apabila meluluskan usul mempertikaikan organ PAS iaitu Harakah menjelang pilihan raya ini.

Padahal ia boleh dilakukan melalui mekanisme dalaman PAS bukan melalui muktamar terbuka.

Muktamar penuh PAS ini akan berjalan selama tiga hari mulai pagi ini sehinggalah Ahad, 18 November.

Ia akan menentukan halatuju PAS selepas ini. Jika tumpuan perbincangan diberikan kepada persiapan hadapi pilihan raya, PAS akan bersedia sepenuhnya hadapi PRU -13 nanti.

Namun jika perwakilan saling menyerang sesama sendiri, ini bermakna mereka lebih mempersiapkan diri untuk menghadapi muktamar PAS tahun depan yang bakal mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya.

Malam ini akan berlangsung Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke 1V Kota Bharu yang bakal menghimpunkan semua pimpinan utama dan penyokong PAS, PKR dan DAP.

Ia perhimpunan siri kedua selepas himpunan berlangsung dengan jayanya di Senawang, Seremban Negeri Sembilan sebelum ini.

Manfaatkan muktamar, p'raya sudah dekat

Nazri Abdullah, 16 Nov 2012
KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengaharapkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung bermula hari ini menjadi medan memperkuatkan parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang.

Berucap memberikan aluan pada muktamar di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini beliau berkata, para perwakilan harus menggunakan peluang muktamar ini sebaik mungkin kerana PAS sudah tidak banyak masa untuk menghadapi PRU13.

Ini kerana menurutnya, PRU13 mesti diadakan paling lewat pada tarikh 27 Jun 2013 manakala parlimen akan terbubar secara automatik pada tarikh 29 April jika tiada sebarang pembubaran lebih awal dari itu.

Justeru katanya, muktamar ini adalah masa paling penting yang ada untuk melakukan penambahbaikan dan persediaan untuk parti.

"Muktamar ini mesti digunakan untuk memberi kritikan membina kerana kita sudah tidak banyak masa untuk PRU13," tegasnya.

Menurt beliau lagi, semua pihak meyakini bahawa pilihan raya akan datang ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negara ini.

Ianya boleh dilihat dari kenyataan pemimpin-pemimpin Umno BN yang mendakwa pilihan raya kali ini adalah hidup mati bagi mereka.

"Sabab itu kita meyakini bahawa Umno BN akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa mereka," tegasnya lagi.

Sehubungan itu gesanya, semua pihak dalam parti perlu bersiap sedia pada taham paling tinggi berdepan segala manipulasi yang akan berlaku.

Beliau juga memberi peringatan bahawa menawan Putrajaya 'bukan matlamat akhir' PAS dalam menyertai politik negara ini.

Namun ujarnya, matlamat lebih besar adalah mengisi kemenangan selepas itu dengan perinsip keadilan Islam dalam pemerintahan.

Sementara itu, hampir 3000 perwakilan dan pemerhati hadir pada muktamar PAS kali ini.

Selain pemimpin PAS, pimpinan Pakatan Rakyat lain yang hadir termasuklah Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP Tan Seng Giaw.

Turut hadir wakil-wakil gerakan Islam dari luar Negara, antaranya Hamas diwakili Ibrahim Yussof, Ahmad Kassir, Muslim Abu Omar, manakala Ikhwan Muslimin Syria diwakili, Dr Mohd Walid, Dr Riduan Alami, Dr Asalam Alamah.

Muktamar kali ini juga turut dihadiri ahli baru PAS khususnya dari kalangan bekas pegawai kerajaan, seniman dan artis, ahli kademik dan aktivis masyarakat.

Pada sesi pagi ini akan berlangsung Ucapan Dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dijangka memberi fokus khusus kepada beberapa isu termasuk persiapan PRU13.

Gaza makin meruncing, dua roket melanda Tel Aviv

Terjemahan Mohamad Yahya, 16 Nov 2012

Keadaan semakin tegang di Timur Tengah dengan Israel dan Hamas, terus berbalas tembakan dalam keganasan terburuk sejak serangan Israel ke atas wilayah itu hampir empat tahun lalu.


Tiga rakyat Israel meninggal dunia di bandar utara, Kiryat Maleakhi Khamis lalu selepas roket yang dilancarkan dari Gaza melanda sebuah bangunan apartmen.

Sumber Israel berkata dua roket dilancarkan ke Tel Aviv - dengan sebuah peluru berpandu mendarat di laut manakala peluru berpandu lain melanda kawasan yang tidak didiami , kawasan pusat komersial Israel.

Siren serangan udara menyebabkan penduduk mencari perlindungan di Tel Aviv, sebuah bandar Mediterranean yang tidak pernah diserang roket sejak Perang Teluk 1991.

Jihad Islam, satu lagi kumpulan yang berpangkalan di Gaza berkata mereka telah melancarkan salah satu roket yang menyerang Tel Aviv.

Walaupun kawasan selatan Israel berhampiran Gaza telah lama berhadapa situasi tersebut, namun serangan ke atas kawasan Tel Aviv menggambarkan keupayaan Hamas yang telah meningkat.

Pejuang Palestin pernah menyerang Rishon Lezion sebelum ini tetapi tidak pernah sampai ke Tel Aviv, kira-kira 70 km utara Sttrip Gaza.

Sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, telah terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera Khamis dalam pertempuran yang bermula dengan serangan udara yang membunuh Ahmad Jabari, komander tentera Hamas yang dituduh Israel menjadi dalang serangan terhadap orang awam.

"Ia adalah penting untuk memahami satu perkara yang mudah: tiada moral yang simetri antara pengganas di Gaza dan Israel," ujar Binyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, Khamis lalu.

"Mereka telah melakukan jenayah perang berganda: mereka menyerang orang awam Israel dan bersembunyi di belakang orang awam Palestin." (aljazeera.com)

Pertukaran terburu-buru tragedi hitam Selangor-Pusat

Harakahdaily, 16 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak profesional Kerajaan Pusat yang telah menggunakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melakukan pertukaran penjawat awam khususnya di negeri Selangor secara mengejut dan terburu-buru.


Terbaru adalah kes Datuk Zainal Abidin A’ala, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), yang telah diarahkan bertukar secara serta merta ke Institut Tadbir Negara (Intan) bermula hari ini.

Sebelum ini kes pertukaran Pegawai Kewangan Negeri Selangor dan  Datuk Bandar Petaling Jaya juga mengalami situasi yang sama.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata pihaknya berasa kesal dan mempersoalkan motif sebenar tindakan  pertukaran ini yang mana ianya dilakukan di dalam situasi yang cukup mengejutkan dan terburu-buru serta tidak mendapat pandangan dan maklum balas daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu.

“Isu pertukaran secara mengejut penjawat awam itu telah menjadi tragedi hitam di dalam sejarah hubungan baik di antara kerajaan Negeri Selangor dengan JPA,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, katanya tidak menolak kemungkinan pertukaran itu adalah disebabkan oleh keberanian Datuk Zainal Abidin mempertahankan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Negeri Selangor di dalam isu kondominium di Batu Caves yang diluluskan oleh MPS pada tahun 2007 iaitu semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional  di Selangor.

Turut berada di dalam mesyuarat yang meluluskan projek tersebut adalah Timbalan Menteri Luar sekarang, Kohilan dan tiga orang ahli Majlis daripada MIC.

Tambah Hasbullah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan yang menyatakan bahawa tindakan JPA untuk melakukan pertukaran secara mengejut ini adalah sebagai satu ancaman dan ugutan yang didalangi oleh kerajaan pusat bagi memastikan penjawat-penjawat awam yang bekerja secara jujur, amanah dan berintegriti tidak memberikan sokongan dan dukungan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

“Kerajaan pusat telah secara tidak langsung mengkhianati dan tidak menghormati prinsip ‘Kerajaan Memerintah Masa Kini (Government Today)’,” katanya lagi.

Oleh itu, ujar beliau Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengajak seluruh penjawat awam di seluruh negara supaya menolak budaya politik ugut dan ancam yang dilakukan oleh kerajaan pusat dengan menolak mereka daripada tampuk pemerintahan negara dengan undi protes terhadap Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Tegasnya, Pakatan Rakyat tidak akan mengamalkan sebarang politik balas dendam sekiranya diberikan peluang untuk memerintah negara ini malah akan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada penjawat-penjawat awam yang berdedikasi dan profesional di dalam melakukan tugasan mereka.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga meminta kerajaan Negeri Selangor supaya mengambil cakna terhadap perkara ini dan mengambail langkah yang sewajarnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri supaya ianya tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya lagi.

Bantahan ekoran kenaikan harga bahan api meningkat di Jordan

Terjemahan Mohamad Yahya, 16 Nov 2012


(Polis berkata, sekurang-kurangnya 120 orang telah ditangkap di seluruh negara kerana mengambil bahagian dalam protes)

AMMAN: Keganasan disebabkan kenaikan harga bahan api di Jordan semakin teruk, dengan kemarahan orang ramai yang makin meningkat yang memungkinkan negara berada dalam kekacauan.

Seorang orang awam yang bersenjata telah terbunuh dan beberapa anggota polis cedera, dengan beberapa orang dari mereka dalam keadaan kritikal, apabila lelaki bersenjata menyerbu sebuah balai polis di Irbid, di utara negara, dan menyerang pegawai di sana malam Rabu lalu.

Sebuah lagi balai polis turut diserang di pinggir bandar utara Amman, Shafa Badran, di mana senjata automatik telah digunakan.

Seorang pegawai polis telah dilaporkan cedera parah. Seorang pegawai polis berkata kumpulan penyerang mengambil kesempatan daripada bantahan untuk meneruskan agenda ganas mereka.

Di Salt, barat laut ibu negara Amman, penunjuk perasaan membakar pejabat hal ehwal awam.

Situasi lebih tenang di Amman malam Rabu lalu, walaupun 1,000 orang telah menyertai protes jalanan.

Ratusan lelaki muda berkumpul di persimpangan jalan yang sibuk di ibu kota, berhadapan dengan polis rusuhan yang menembak gas pemedih mata bila keadaan mulai tegang.

Pergolakan tidak terbatas ke utara negara sahaja dengan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan di bandar Karak, kira-kira 140km selatan Amman, menjerit: "Jatuh, jatuh dengan kamu, Abdullah," dan "Berambus dan tinggalkan kami sendirian" ketika berarak melalui bandar Rabu lalu, memecahkan tingkap kedai, menurut saksi dan polis.




Tiada ulasan: