Sabtu, 10 November 2012

TAK MUSTAHIL GURU PRU13 BUAT UNDI PROTES....KESALAHAN LAIN PUN MELAMBAK2...ADA RAKYAT ADA PEMIMPIN...TAK DE RAKYAT TAK DE PEMIMPIN

Pemuda PAS akan isytihar harta

Anis Nazri, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat pengisytiharan harta membabitkan kesemua exconya walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pengisytiharan harta itu akan dilakukan pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini.

Bagaimanapun perkara tersebut katanya hanya akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

"Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu. Pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS," katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah Khairul Faizi, langkah tersebut bagi menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.

Pada awal tahun ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri itu mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Langkah sama turut dilakukan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membabitkan ahli parlimen dan ahli majlis tempatan, sebelum ini.

Sementara itu, ucaptama Ketua Pemuda dan buku muktamar akan diedarkan lebih awal dari tarikh muktamar, iaitu dua minggu sebelum muktamar bagi memastikan perbahasan yang lebih bermutu dan dapat dihadam oleh perwakilan.

"Jika dahulu, buku laporan dan ucaptama hanya diberikan pada hari muktamar.  Tapi untuk kali ini kita beri mereka baca dulu, faham dulu sebelum berbahas. Setiap negeri, akan ada seorang wakil untuk berbahas," tegas beliau.

Semua MP mesti hadir taklimat peguam Perancis

Aspan Alias, 09 Nov 2012
Rakyat perlu diberikan sepenuh pengetahuan dan fakta tentang isu pembelian kapal selam Scorpene yang tidak habis-habis diperkatakan sekarang ini. Isu ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dan ‘law-makers’ negara kerana ini merupakan satu skandal yang teramat besar yang melibatkan wang rakyat. Ia juga hampir sama besar dengan skandal PKFZ yang melibatkan pimpinan BN dan berkaitan dengan beberapa Menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir dan Abdullah Badawi.
Ia berkaitan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh kerana ia melibatkan pihak yang berkuasa, ia amat susah untuk ditampilkan dengan setelus-telusnya kepada penghakiman rakyat. Saya mengajak seluruh rakyat yang berbilang kaum di negara ini untuk memberikan perhatian serius dan mengamati dengan sesungguh-sungguhnya isu-isu ini kerana rakyat sudah tidak tertanggung lagi kelakuan pihak-pihak yang begitu jahil dan tidak menganggap mengambil rasuah sebagai satu jenayah yang terlalu besar ini.

Mesti ada pihak yang terlibat. Ia tidak boleh dinafikan dengan alasan tiada bukti kukuh dan sebagainya. Kita juga mahukan bukti yang wang itu tidak dibelanjakan seperti yang dituduh jika alasan tiada bukti itu menjadi alasan untuk menutup kes-kes seperti ini. Kita tidak mahu berlaku seperti kes PKFZ yang sedang dalam penghakiman mahkamah dengan alasan tiada kes penipuan seperti yang disebut oleh Dr Mahathir tetapi pihak defendant (kerajaan) wajar juga membuktikan yang wang sejumlah yang disebut dalam isu ini tidak dibelanjakan. Kita tidak mahu mendengar dan menerima yang tiada kes seperti yang dituduh tetapi wang yang begitu besar telah dibelanjakan.

Pada 22hb Nov ini, dua orang peguam Perancis akan tiba di Parlimen Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia di atas jemputan Ketua Pembangkang Malaysia, Saudara Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa,  telah mengesahkan yang William Bourdon dan Joseph Breman akan datang ke Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia.

Rakyat mesti memberikan perhatian tentang isu sebesar ini. Kita berharap tidak akan ada halangan-halangan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa kerajaan dan Parlimen kerana jika tidak ada elemen-elemen rasuah seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak itu, tidak ada sebab ada pihak yang takut dan cuba menghalang kedua-dua peguam ini untuk datang dan memberikan taklimat kepada rakyat Malaysia melalui wakil-wakil mereka di Parlimen.

Kalau pihak yang dikaitkan dengan isu ini benar-benar tidak bersalah, tidak ada sebab taklimat dua peguam ini kepada rakyat Malaysia ditolak dan dihalang untuk memberikan taklimat ini dengan semudah-mudahnya. Malahan pihak berkuasa, seperti Najib sendiri, mesti memberi segala kerjasama kerana beliau boleh memberikan keyakinan kepada pihak-pihak yang menuduh beliau terlibat itu mendapat kebenaran yang beliau adalah sebersih-bersih pemimpin yang tidak langsung terbabit dengan isu rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene ini.

Kita akan lihat, jika ada usaha pihak Parlimen dan kerajaan untuk menghalang kehadiran kedua-dua peguam ini maka sekali gus rakyat akan yakin yang Najib serta mereka yang menuduh itu ada kebenarannya.

Ketua pembangkang telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamudin untuk meminta kepastian yang kemasukan kedua-dua peguam ini ke Malaysia tidak dihalang dan Hisham sepatutnya memberikan jawapan ‘ya’ dengan secepat mungkin.

Kita semua ingin tahu pandangan dan penyiasatan yang dilakukan oleh kedua-dua peguam Perancis ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan moral kepimpinan negara. Jika ada halangan dari pihak Kementerian Dalam Negeri, maka jangan disalahkan rakyat ramai mengekalkan persepsi mereka pucuk pimpinan kita benar-benar terlibat dengan kes Scorpene ini.

Jika perkara ini tidak diselesaikan, bagaimana Najib hendak menunaikan janji untuk mentadbir negara dengan sebaik mungkin sedangkan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap beliau? Lagipun bagaimana Najib hendak meyakinkan rakyat yang jika PR memerintah negara, negara akan bangkrap seperti yang beliau kata di mana-mana dalam siri kempen beliau di seluruh negara?

Jika pimpinan BN lebih cenderung untuk menunjukkan kepada kami rakyat di bawah ini yang mereka tidak jujur dengan menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya, bukankah pihak BN itu yang mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang bankrap? - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

PBS: Guru dilayan seperti robot, masa rehat dirampas

Salmiyah Harun, 09 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) memohon agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mewujudkan tekanan kerja yang melampau di kalangan guru.

Presiden Pendidik Normala Sudirman (gambar) berkata, terlalu banyak aduan yang diterima oleh Jawatankuasa Pendidik berhubung isu PBS malah ada yang menyifatkan guru dilayan seperti 'robot' dan hak serta masa rehat mereka dirampas.

Katanya, urusan dokumentasi, kerja- kerja perkeranian serta pemprosesan markah telah menjejaskan tumpuan dan perancangan rapi guru terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, Sedangkan ia merupakan faktor penting dan penentu kejayaan pelaksanaan PBS.

"Guru terpaksa bersengkang mata dan bangun malam untuk ‘key in’ data hingga pukul 2- 3 pagi di rumah untuk mengurus sistem fail pelajar .Contohnya kalau ada 40 pelajar, maka begitulah jumlah fail yang menyebabkan guru- guru terbeban dengan ‘kerja- kerja perkeranian’.

"Ini menjejaskan tumpuan guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Bagaimana pula dengan guru yang terpaksa mengajar dua atau tiga mata pelajaran sehingga terpaksa ‘key in’ data 120 orang pelajar?"tegasnya.

Katanya, hak dan masa rehat guru serta kebajikan warga pendidik perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam pelaksanaan PBS ini supaya guru tidak dibebankan dengan urusan tugas- tugas perkeranian.

Dalam pelaksanaan PBS, katanya kelajuan internet adalah perkara paling penting dan segala masalah yang timbul berkitan akses capaian internet yang terganggu, menyebabkan urusan untuk proses dokumentasi penilaian untuk ‘key in' data tidak dapat dilakukan.

"Selagi akses capaian internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah masih belum diatasi, maka tangguh dahulu PBS ini dan kaji semula pelaksanaannya," katanya ketika ditemui.

Tambahan pula soalnya, bagaimana dengan nasib 800,000 pelajar dari Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tidak diberi kod untuk melaksanakan PBS ini?

"Apakah mereka dianggap telah terkeluar dari kerangka sisitem
pendidikan negara? Bagaimana dengan nasib mereka pada masa hadapan?Seolah- olah kerajaan meminggirkan peranan mereka yang juga merupakan warganegara Malaysia," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar guru-guru diberi kursus peningkatan secara profesional dan kursus pemantapan secara terancang supaya pelaksanaan PBS dapat berjalan dengan lancar.

Muslimat PAS ucap takziah kepada calon PAS Tj Datu

Salmah Mat Husain, 09 Nov 2012
KOTA BHARU: Marzuki Haji Bujang, merupakan pendukung utama kepada calon PAS Tanjung Datu, dalam pilihan raya negeri Sarawak lalu yang juga isterinya, Nani Sahari (kanan).

Kehilangannya turut dirasai oleh semua penggerak PAS Kuching, Sarawak termasuk Dewan Muslimat PAS Pusat serta lain-lain pimpinan PAS di semenanjung.

Perkara itu dinyatakan Ketuanya, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof (kiri), ketika dihubungi malam tadi.

“Dewan Muslimat PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS negeri Kelantan mengucapkan takziah di atas kematian insan yang tercinta yang juga pendokong utama kepada Nani.

“Muslimat Pusat merasa simpati di atas apa yang berlaku. Kami berharap Nani bersabar menempuh dugaan ini dan insyaallah mudah-mudahan allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” ujarnya.

Zailah seterusnya memberitahu sebulan lalu beliau telah bertemu dengan allahyarham dan Nani dalam satu majlis di Kota Belud.

Jelas Zailah, waktu itu beliau mengucapkan tahniah serta terima kasih kerana memberi keizinan pada isterinya bergiat dalam parti khususnya memperjuangkan parti Islam itu.

“Kak Lah rasa terharu sebab dia berkata, insyaallah saya akan terus sokong dan akan menyokong sampai bila-bila.

“Allahyarham juga berkata setakat ini beliau berpuas hati terhadap perjuangan isterinya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan Nani dan keluarga bersabar menghadapi ujian Allah itu dengan tabah dan penuh keimanan.

Zailah juga berharap jemaah parti khususnya di Tanjung Datu diharap menjaga kebajikan Nani yang kini telah hilang tempat bergantung.

Allahyarham meninggal dunia pagi tadi kerana dikatakan diserang sakit jantung.

Buruh paksa: RM207 bilion wang pampasan lesap?

Harakahdaily, 22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN dituntut supaya menjelaskan di manakah wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946.

Ini kerana, walaupun telah diterima kira-kira 10 tahun lalu namun sehingga kini ia tidak diserahkan kepada mangsa atau waris mereka.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memberitahu Dewan Rakyat, beliau mempunyai dokumen yang mengesahkan kemasukan wang itu.

Yang mengejutkan, kata beliau, pada 13 Disember 2004, Bank Negara mengeluarkan banker's cek bernilai RM107 bilion dan RM100 bilion
lagi diperuntukkan dalam bentuk syer Maybank yang didaftarkan pada 13 Disember 2004.

Ini bermakna, wang RM207 bilion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 mangsa buruh paksa ini telah diterima kerajaan sebelum tarikh 13 Disember 2004 lagi, iaitu kira-kira 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini, wang itu tidak diberikan kepada mangsa atau waris mereka.

Ekoran itu, kata Mohamad Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942 - 1946 telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi menuntut wang itu.

Surat itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2011 menuntut pembayaran wang itu.

“Sejumlah 30,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan itu. Sejumlah 60% daripada mereka itu adalah orang Melayu, 20% orang India, dan 15% orang Cina. Selebihnya 5% itu adalah kaum lain”.

Menurut Nizar, pejabat Perdana Menteri apabila menerima surat itu telah pun menyerahkan satu salinan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia ada 9 Ogos 2011.

Beliau juga difahamkan, semua pihak dalam kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar duit itu diserahkan kepada 30,000 mangsa ini.

"Saya mahu menyatakan di sini kalau sekiranya perkara itu telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet, maka kenapa ianya harus disimpan oleh Treasury ataupun Bendahari Kewangan kita sebegitu lama?" soal Nizar dalam ucapannya itu.

Menurutnya, mereka yang terlibat ada yang telah meninggal dunia, ada yang warisnya masih ada.

"Saya boleh menyatakan bahawa ayah kepada Tan Sri Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Malaya hari ini adalah salah seorang daripada mereka yang dikerahkan oleh Kerajaan Jepun ketika itu untuk membina landasan kereta api dan dia masih hidup lagi.

"Dia masih ada di Ipoh dan boleh menceritakan bagaimana susahnya 30,000 rakyat Malaysia ketika itu," beritahu Nizar kepada Dewan Rakyat.

Nizar bertanya, "kalau sekiranya wang itu telah diberikan sebagaimana yang dinyatakan, maka kenapakah kerajaan masih tidak memberikan pampasan itu kepada rakyat Malaysia yang telah dipaksa untuk melaksanakan kerja-kerja itu?"

Bagi beliau, ini merupakan satu amanah yang sewajarnya rakyat Malaysia sedar kerana ini satu hak kepada rakyat yang dinafikan oleh kementerian-kementerian tertentu  iaitu Kementerian Kewangan barangkali, Bank Negara dan juga Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang telah pun mengarahkan supaya kertas Kabinet diluluskan.

"Jadi saya hendak bertanya sama ada rayuan daripada persatuan itu. Mereka merayu supaya pampasan diberikan kepada mereka, kenapa ianya dinafikan?" soal beliau tegas.

Menurut beliau juga, kerajaan Filipina, Indonesia dan juga Vietnam juga menerima wang yang sama dan telah diserahkan kepada rakyatnya yang terlibat.

Tiada ulasan: