Sabtu, 10 November 2012

JIKA ALLAH MENGHENDAKI TIADA SAPE BOLEH MENGHALANG

PAS sambut baik Pemuda PAS mahu isytihar harta

Harakahdaily, 10 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Cadangan Dewan Pemuda PAS untuk membuat pengisytiharan harta pimpinan masing-masing disambut baik oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Bercakap kepada Harakahdaily, Mustafa berkata beliau mengalu-alukan keprihatinan Pemuda PAS untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab dalam mengambil inisiatif untuk membuat pengisytiharan harta sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.

“PAS sudah mengamalkan hal ini secara dalaman yang melibatkan penjawat awam seperti menteri besar dan exco. Bagus untuk perkara ini jika dibuat secara terbuka,” katanya sambil memuji keberanian Pemuda PAS mengambil langkah sedemikian untuk meningkatkan kewibawaan parti.

Bagi cadangan untuk calon mengisytiharkan harta, Mustafa percaya cadangan Pemuda PAS akan diteliti oleh para pimpinan PAS untuk melihat mekanisme terbaik yang perlu diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini  walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

"Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS," katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, semalam.

Langkah tersebut, katanya bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.

Penganalisa politik Harakahdaily Li Fook Gao berkata sekiranya PAS dapat mewajibkan pengisytiharan harta pada semua calon PAS yang bertanding, Umno akan sangat tertekan dan gelombang PAS menggantikan Umno akan menjadi realiti.

“Maklumlah Umno suka hidup dalam keadaan tidak telus. PAS boleh melawannya dengan berkesan dengan ketelusan yang disarankan Islam, dan rakyat boleh menilai siapa yang lebih berwibawa, beramanah dan telus untuk dipilih sebagai wakil rakyat mereka,” kata Li kepada Harakahdaily.

“Ini satu langkah besar untuk PAS,” kata Li, sambil menegaskan langkah itu amat wajar dan selaras dengan keperluan rakyat Malaysia dan negara, yang kini amat memerlukan para pemimpin yang telus untuk memimpin.

Ia berbeza dengan pemimpin Umno yang berdolak-dalih dalam isu derma RM40 juta, mendapat projek kerajaan seperti NFC dan menerima komisyen secara diam-diam.


BERITA BERKAITAN

Pemuda PAS akan isytihar harta

Temui tentera yang hilang: Anggota unit Amal jadi wira

Muhammad Faeez Azahar, 10 Nov 2012
KUALA KANGSAR: Dua anggota Unit Amal menjadi wira apabila berjaya menemui mayat anggota tentera berpangkat koperal yang hilang ketika menjalani latihan penerjunan di Redang Panjang, Kubu Gajah, 7 November lalu.

(2 Anngota Unit Amal diraikan dan dinobatkan sebagai wira apabila berjaya dalam kerja mencari anggota tentera yang hilang)

Mayat Supain Gane, 37, yang hilang ketika menjalani latihan penerjunan bebas Ex Tiger Warrior siri pertama dikawasan itu.

Abdul Rahim Syukor, 61, bersama Mohd Adib, 21,ditugaskan oleh Unit Amal Perak untuk membantu operasi mencari mayat anggota tentera tersebut yang dilaporkan hilang beberapa hari.

Abdul Rahim berkata, beliau bersama seorang lagi anggota Unit Amal itu melapor diri di Bilik Gerakan Bomba di Ladang Holiwood.

Menurutnya, di peringkat awal, mereka tidak dibenarkan menyertai bersama 117 anggota penyelamat yang lain atas alasan keselamatan.

Namun, mereka berdua tekad untuk turun membantu mencari anggota tentera yang hilang tersebut.

“Lebih kurang 10 minit sahaja kami mencari, kami telah menjumpai mayat tersebut di sebuah paya dalam kebun getah.

“Kami jumpa dalam keadaan yang sangat singkat sedangkan 177 anggota penyelamat yang lain sudah mencari berapa sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas diraikan dalam satu majlis ceramah di Kuala Kangsar semalam.

Kata Abdul Rahim, operasi mencari dan menyelamat terdiri daripada Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Unit Amal yang menghantar hanya dua orang petugas.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss memberikan sagu hati meraikan kejayaan Unit Amal walaupun di dalam akhbar arus perdana tidak langsung menyebut bahawa anggota Unit Amal yang menjumpai mayat tersebut.

Raja Ahmad berkata, beliau bangga dengan kejayaan ini dan seharusnya mereka diktiraf oleh semua pihak.

“Walaupun tidak memberi sebarang elaun mahupun gaji, namun mereka istiqamah membuat kerja-kerja kebajikan,” jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak.

Betulkah Teuku Adnan Teuku Mansor hendak letak jawatan?

http://msomelayu.blogspot.com, 10 Nov 2012
ANAK BERITA

Semasa di lapangan terbang Subang kelmarin dulu saya berjumpa dengan seorang ahli Umno peringkat bahagian. Kalau tidak salah inilah pertama kali saya berjumpa dengannya dan bercakap lama dengan beliau. Kelewatan kapal terbang yang hendak kami naiki memberi peluang saya mendengar ceritanya.

Adnan: Terhidu kekalahan.
Dia mengenali saya sebagai seorang penulis dan wartawan. Jadi saya kira apa yang dia ceritakan adalah jujur dan bukan mengada-ngadakan cerita. Banyak yang dicerita dalam masa lebih dua jam itu. Kapal kami lewat. Semua cerita menggambarkan Umno dalam keadaan tenat untuk mengekalkan kuasa hari ini.

Dalam banyak-banyak cerita negatif mengenai Umno itu timbullah soal Setiausaha Agung Umno Teuku Adnan Mansor yang kononnya sakit dan akan melepaskan jawatan. "You tahukan Teuku Adnan sakit," tanya dia kepada saya. Saya menggeleng kepala.

"Dia sakit dan hendak letak jawatan." katanya. Surat perletakan jawatan sudah pun diserahkan kepada Presiden, Najib Razak. Tetapi Najib tahan dulu tunggu sampai selesai perhimpunan agung Umno dua minggu lagi.

Saya mengasak ahli itu apakah sebab musababnya, masakan soal sakit, biasanya orang politik bagaimana sakit sekali pun dia tidak mudah untuk berundur. jawatan dan kuasa adalah ubat bagi orang politik.

Dia mulanya tidak mahu mencerita keadaan Teuku Adnan lebih lanjut, tetapi selepas diasak dia menjawab; "Teuku Adnan juga sudah menghidu yang Umno akan kalah," katanya, menyebabkan saya terperagah.

Sekali lagi berkebetulan semasa balik semalam saya terjumpa pula dengan seorang bakal calon Umno di Kelantan. Sekali lagi kapal terbang yang hendak dinaiki lewat dan memberi kesempatan kami berbual fasal Umno. Di celah-celah perbualan itu saya menyebut fasal Teuku Adnan ingin merisik khabar sejauh mana kebenaran apa yang diceritakan oleh ahli jawatankuasa bahagian itu.

"Betulkah setiausaha agung Umno hendak letak jawatan"? tanya saya.

"Dengarnya begitulah," jawabannya ringkas. Saya tidak mahu memanjangkan persoalan dan mendiamkan diri saja. Bagi saya jawaban yang diberi menerusi bahasa badan itu sudah cukup untuk dijadikan maklumat mengorek perkara ini lebih lanjut.

Sementara itu dari sumber lain pula memberi tahu, katanya Teuku Adnan juga tidak akan mempertahankan kerusi Putrajaya dalam pilihan raya akan datang? Alasan bukan sakit tetapi katanya dia sudah dapat mengesan pegawai kerajaan akan membuat kejutan dalam pilihan raya kali ini. Cerita mengenai Teuku Adnan ini menarik dan perlu diselidiki. [wm.kl.8:30 am 10/11/12] -
http://msomelayu.blogspot.com/

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Panas! Johor bakal tumbang angkara Ghani Othman?

http://jalanpulang1978.blogspot.com, 10 Nov 2012

Cakap-cakap kebanyakan orang Umno Johor, Menteri Besarnya Abdul Ghani Othman diberitakan sangat letih atau dengan kata lain betul-betul letih. Tidak kurang juga yang merasa amat kasihan.

Dia kata dah letih kerana lari ke hulu ke hilir membuat program MB melawat kawasan.

Yang peliknya ada yang berkata hasilnya kosong. Bermakna tak mendapat habuan politik. Memang kasihan sungguh MB ini.

Lihat http://jalanpulang1978.blogspot.com/2012/11/panas-johor-bakal-tumbang-angkara-ghani.html

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Pahang mahu ihsan atau royalti 20 peratus?

Subky Latif, 10 Nov 2012
Sekarang Pahang pula dipilih Allah dianugerah minyak dan gas.  Rakyat Pahang wajar bersyukur dan rakyat Malaysia seluruhnya juga ikut syukur kerana rahmat yang datang ke Pahang itu akan dapat juga limpahannya kepada negara.

Perdana Menteri sudah membayangkan wang ihsan yang bakal Pahang peroleh dalam masa yang tidak lama. Logiknya Pahang boleh jadi Kuwait baru di Malaysia selepas Terengganu.

Pakatan Rakyat menggesa supaya Pahang jangan ditindas kerajaan BN seperti Terengganu dan Kelantan - sekadar memberinya wang ihsan. Ia patut diberi royalti seperti yang diperuntukkan oleh akta Petronas.

Apa pun, nikmat Pahang itu tidak akan diterima sebelum PRU13 yang paling lewat bulan Mac 2013.

Lantaklah apa yang BN akan bagi baik wang ihsan atau royalti lima peratus. Sekalipun ia setuju Pahang diberi loyalti tetapi masih satu penindasan dibandingkan janji  Pakatan Rakyat untuk memberi royalti 20 peratus kepada semua negeri yang berminyak.

Pakatan tidak perlu bising supaya Pahang diberi royalti. Pakatan boleh bagi tahu kepada rakyat Pahang betapa mereka tidak perlu menuntut wang ihsan itu dijadikan royalti. Pakatan akan bagi tanpa dituntut royalti 20 peratus sama dengan Indonesia setuju beri kepada Aceh seperti peruntukan perjanjian damai Aceh dan Indonesia.

Sebaik saja keputusan PRU13 nanti memihak kepada Pakatan, maka Pahang tidak sekadar dapat  duit kesian seperti yang BN buat ke atas Terengganu dan Kelantan.

Secara automatik Pahang akan dapat royalti 20 peratus. Kelantan akan dapat royaltinya dan Terengganu pula akan dipulangkan semula royaltinya. Sementera Sabah dan Sarawak royaltinya akan dinaikkan dari lima peratus kepada 20 peratus.

Saya nasihatkan, tidak perlu lagi bising menuntut royalti. Bagitahu  saja rakyat Kelantan supaya jangan bimbang royalti akan dapat atau tidak semasa pemerintahan BN sekarang? Sebaik saja Putrajaya tumbang, Kelantan akan dapat royalti, bukan sekadar lima peratus tetapi 20 peratus.

Tugas pengundi sekarang terutama di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak ialah pada hari pilihan raya umum nanti mengundi Pakatan Rakyat, tidak kira  calon itu dari PAS, PKR, DAP atau sekutunya yang lain dari Sabah  dan Sarawak.

Mengundi BN bererti menindas Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Tetapi mengundi Pakatan Rakyat adalah untuk memberi hak dan keadilan kepada negeri itu.

Sebelum Perdana Menteri Najib mengumumkan Pahang ada minyak dan akan didapat wang ihsan, semua terasa sukar juga untuk meraih  sokongan dari Pahang kerana ia adalah negeri Perdana  Menteri. Tetapi apabila Najib mengumumkan ia ada minyak, maka Pakatan Pahang berasa lapang, kerana pengumuman itu adalah satu bantuan besar kepada Pakatan menghadapi  PRU itu.

Tanpa Najib memberitahu dia membantu Pakatan, apa yang diumumkannya itu adalah membantu Pakatan dan memudahkan lagi Putrajaya dirampas.

Memberi royalti 20 peratus bukan satu janji melampau yang tidak masuk akal. Ia sudah jadi hak semasa bagi negeri pengeluar minyak.  Kalau Indonesia boleh bersetuju memberi Aceh royalti minyak 20 peratus, maka mengapa Malaysia yang pentadbiran dan ekonominya lebih baik tidak boleh beri.

Kalau Malaysia tidak sedia memberi royalti 20 peratus, nanti dibimbangi rakyat  di lima negeri mengira lebih baik negeri itu menjadi provensi Indonesia daripada  menjadi negeri di  Malaysia. Jangan sampai ada rakyat yang berkata begitu.

Apakah Pakatan berpolitik dengan royalti yang menarik itu? Tidak dinafikan ada politiknya, tetapi  yang jelas ialah negeri patut  dan berhak mendapat apa yang Petronas boleh bagi.

Jadilah pengundi yang cerdik dan merdeka, memillih yang baik. Jangan jadi pengundi hamba, terima saja apa yang tuan beri.

1,000 sertai demo bantah Chua Soi Lek hina hudud

Khairul Azlam Mohamad, 10 Nov 2012
MARANG: Hampir 1,000 umat Islam yang selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, semalam mengadakan bantahan secara aman terhadap kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang disifatkan menghina hudud serta hukum Islam.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali (gambar kiri) berkata Presiden MCA itu tidak mengetahui perundangan Islam tetapi bersikap kurang ajar kerana menghina hukum hudud dan Islam amnya.

Menurutnya, pemimpin MCA tersebut juga biadap kerana mempertikai agama Islam dengan mempersoalkan hudud yang telah digubal di Kelantan dan Terengganu sebagai hudud versi PAS.

“Tunjukkan contoh, di mana lemahnya (hudud), di mana kurang atau pun tempat tidak kena undang-undang hudud yang digubalkan khususnya di Terengganu dan Kelantan yang telah mengubalkan undang-undang di bawah Kanun Jenayah Syariah,” ujarnya.


Antara pimpinan PAS yang hadir dan berucap iaitu Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Syeikh Muhammad Hanafi.

Yahaya selaku Yang Dipertua PAS Marang menegaskan perhimpunan secara aman tersebut bagi menyatakan sikap serta pendirian PAS mempertahankan Islam.

Ini kerana, kata beliau, hati umat Islam di negara ini terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan dibuat oleh mereka yang tidak faham serta membenci Islam.

“Ini (demontrasi) adalah untuk menyatakan sikap dan pendirian kita membela Islam. Hati umat Islam terguris, terkilan dan marah dengan kenyataan-kenyataan dibuat  oleh mereka yang tidak faham dan dilihat seperti membenci agama Islam.

“Kita sendiri juga diajar oleh agama (Islam) agar kita tidak menghina agama-agama lain walau pun kita tidak bersetuju dengan agama-agama lain (namun) kita tidak sampai menghina agama-agama mereka,” jelasnya.

Tiada aktiviti pemberian Mykad di Stadium KLFA

Muhammad Faizal, 10 Nov 2012

(Antara laporan yang mendakwa aktiviti pemberian Mykad berlaku di KLFA)

KUALA LUMPUR: United Nations High Commissioner For Refugess (UNHCR) menjelaskan pihaknya kini sedang melakukan aktiviti pengumpulan maklumat pemohonan suaka yang belum berdaftar di Stadium KLFA di Cheras.

Permohonan suaka yang belum berdaftar itu terdiri daripada etnik Rohongya, Myanmar Muslim, dan Myanmar Tamil dari Myanmar.

Kenyataan ini dikeluarkan melalui laman web UNHCR pada 7 November.

Kenyataan ini menafikan dakwaan sesxetengah pihak berlaku pemberian kad pengenalan kepada warga asing di stadium berkenaan beberapa hari lepas.

Sebelum itu, aktiviti di Stadium KLFA telah menimbulkan kontroversi apabila terdapat satu laporan dari twitter mengatakan terdapat aktiviti pemberian mykad yang dilakukan apabila pengadu melihat begitu ramai pendatang asing berada di stadium tersebut serta dibawa menggunakan bas.

Menurut UNHCR, ini adalah sebahagian daripada proses berterusan pihak UNHCR untuk mengumpul maklumat tentang pemohonan suaka yang tidak lagi berdaftar di Malaysia.

Pengumpulan data akan membantu pihak UNCHR dalam perancangan program masa hadapan, termasuk program pendaftaran di masa hadapan.

Melalui kenyataan media itu juga, bagi tujuan perancangan, UNHCR perlu tahu siapakah pemohon suaka yang belum berdaftar di negara ini, dan aktiviti pengumpulan data sebegini membantu kami (UNHCR) mendapatkan maklumat ini.

Pihak UNHCR telah melakukan aktiviti ini buat komuniti Myanmar yang lain pada tahun lepas, dan kami (UNHCR) telah merancang untuk melakukan aktiviti ini untuk tiga komuniti yang disebut di atas pada tahun ini.

300,000 tiada IC mahu demo depan JPN 5 Dis

KeadilanDaily, 10 Nov 2012
PETALING JAYA: Himpunan Duduk Bantah akan diadakan depan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya 5 Disember ini jika Perdana Menteri gagal selesaikan permasalahan kad pengenalan melibatkan lebih 300,000 kaum India di negara ini. “Najib (Razak) masih ada masa untuk selesaikan masalah ini dan jika tidak, himpunan tetap diteruskan sebagaimana dijadual berlangsung pada jam 10.00 pagi, lapor KeadilanDaily.
“Kami menjangkakan ribuan kaum India terutama mereka yang dinafi dari mendapatkan kad pengenalan sejak sekian lama akan hadir dalam himpunan itu yang kami namakan ‘Duduk Bantah’ ini,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran pada sidang media di ibu pejabat parti.
Menurutnya, persediaan untuk himpunan itu sudah mula digerakkan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis masyarakat, peguam termasuk pemimpin Pakatan Rakyat terutama berketurunan India sudah mengesahkan kehadiran.
“Kami akan terus duduk bantah dan berkhemah depan pejabat JPN hingga masalah ini diselesaikan. Kami berharap pihak berkuasa menolak dari menjadi kuda tunggakan Najib untuk menghalang himpunan ini,” tegasnya.
Sementara itu, R Sarathrajan yang dinafi dari memiliki kad pengenalan walaupun sijil kelahirannya menyatakan beliau adalah warganegara, turut mengesahkan kehadiran pada himpunan itu.

Tiada ulasan: