Selasa, 27 November 2012

KITA ADA KUASA PALING KUAT IAITU ALLAH...JIKA ALLAH NAK BUKA JAHAT KITA...BURUK KITA...IA YANG AKAN TERBUKA...TIADA KUASA LAIN BOLEH MENGATASI KUASA ALLAH SWT

Menteri tidak hadir sidang dewan mengecewakan

Muhammad Faizal, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah amat mendukacitakan apabila tempoh yang diberikan untuk sesi perbahasan terlalu singkat.

"Persidangan kali ini agak mendukacitakan apabila masa yang diperuntukkan amat terhad pada sesi perbahasan sehinggakan ahli parlimen tidak mempunyai masa untuk mendedahkan segala kepincangan yang berlaku pada sesi perbahasan bagi setiap kementerian," jelasnya kepada Harakahdaily.

Malah menurutnya lagi, kebanyakan menteri juga gagal hadir untuk menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh ahli parlimen.

"Selain dari masa yang tidak mencukupi, kita juga melihat kebanyakan menteri gagal hadir untuk menjawab setiap permasalah yang ditimbulkan.

"Malah hanya timbalan menteri sahaja yang hadir untuk menjawab, dalam pada itu juga timbalan menteri tidak membuat penyelidikan kementerian sehinggalah jawapan yang diberikan itu hanya mengikut teks yang disediakan oleh pegawai," sambung beliau lagi.

Firdaus memberitahu jawapan timbalan menteri tidak pernah menjawab setiap apa yang ditimbulkan, imej yang ditunjukan itu telah menjejaskan sikap kerajaan yang memerintah.

Tambahnya lagi, apa yang dilakukan oleh timbalan menteri hanya memberi jawapan berbentuk politik dan menyerang peribadi ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya pasti apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintah di Putrajaya, menteri perlu hadir untuk mengikuti perbahasan bagi kementerian yang diwakili olehnya," kata beliau lagi.

Menurutnya lagi, Pakatan juga akan memastikan menteri akan bertanggungjawab untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan serta memberi masa yang cukup kepada ahli parlimen setiap kali berbahas.

Pemaju saman syarikat kerajaan Melaka RM53 juta

Khairil Abdul Rahim, 27 Nov 2012
RAUB: Sebuah syarikat pemaju hartanah yang dipercayai pro Umno, memfailkan tuntutan saman terhadap Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka sebanyak RM53.5 juta kerana perlanggaran kontrak.


Peguam syarikat berkenaan, AP Land, Mohd Harris Abdullah (gambar) berkata tuntutan saman difailkan syarikat berkenaan kepada anak syarikat kerajaan negeri Melaka itu berkaitan keingkaran perjanjian dan penamatan tawaran.

Menurutnya, AP Land selaku plaintif telah mencapai persetujuan dengan defendan untuk membangunkan Fasa 5, Bandar Baru Jasin Bistari di Lot PT 8535 Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka seluas 90.2 ekar (36.5 hektar) secara usahasama.

“Setelah semua perjanjian dipersetujui bersama, satu surat dari defendan bertarikh 21 Februari tahun ini, didapati berbeza dengan persetujuan bersama iaitu di H.S(D) 10230 (FASA 5), PT 8795 Bandar Jasin Bestari, Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin, Melaka dengan keluasan 33.94 hektar.

“Ternyata hak milik yang dikeluarkan untuk maksud usahasama tidak menepati keluasan asal. Terdapat pengurangan keluasan sebanyak 2.56 hektar daripada keluasan asal yang dicadangkan oleh defendan melalui surat tersebut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Tambahnya, akibat daripada itu terbit isu-isu berbangkit yang sepatutnya diselesaikan seperti keperluan untuk menetapkan nilai sebenar projek memandangkan terdapat pengurangan keluasan tanah, balasan yang perlu dibayar kepada defendan kerana pengurangan keluasan tanah dan mengatasi kecacatan dalam rekabentuk kolam takungan.

Akhirnya, melalui surat bertarikh 26 April tahun ini, defendan telah dengan secara salah, tidak sah dan melanggar perjanjian yang termeterai, membatalkan tawaran dalam surat tersebut dan menafikan hak-hak plaintif untuk memajukan tanah tersebut sebagaimana yang telah dipersetujui.

Harris berkata, sebaik sahaja bayaran komitmen dibuat oleh plaintif, kerja-kerja awalan telah dilaksanakan seperti menyediakan pelan-pelan cadangan, merekabentuk unit-unit rumah yang akan dibangunkan, membuat kajian tapak dan kerja-kerja berkaitan melalui perunding yang dilantik.

Tambahnya, plaintif juga telah melantik kontraktor utama bagi membina dan membangun rumah-rumah yang dicadangkan di atas tanah tersebut serta melalui Koperasi Perumahan Angkatan Tentera (KPAT) lebih kurang 500 unit.

“Akibat daripada perlanggaran kontrak oleh defendan, plaintif telah mengalami kerugian-kerugian, kos, penat lelah dan kehilangan peluang mendapatkan keuntungan daripada pembangunan tanah tersebut sebagaimana yang telah dirancang.

“Defendan, semasa membuat penamatan tawaran tersebut tahu atau mempunyai pengetahuan atau sepatutnya tahu bahawa akibat semulajadi kepada penamatan tawaran tersebut, plaintif akan mengalami kerugian-kerugian, kos, penat lelah dan kehilangan  peluang mendapatkan keuntungan,” katanya daripada The Law Office of Mohd Harris di sini.

Pada 1 Julai, AP Land melalui Tetuan Nurliny & Associates telah menuntut perbelanjaan kerja-kerja perundingan RM130,000, rampasan Wang Komitmen RM100,000.00, perbelanjaan dan Kos Perunding RM3,500,000, kos kakitangan dan pengurusan RM830,000 dan kerugian peluang untung pembangunan projek RM49,000,000

Jumlah keseluruhan ialah RM53,560,000. Namun keengganan defendan membuat bayaran kepada plaintif sebagaimana yang dituntut adalah satu penganiayaan yang teruk terhadap plaintif.

Oleh yang demikian, plaintif yang dipercayai ada hubungan dengan Umno menuntut daripada defendan ganti rugi jumlah berkenaan melalui tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Melaka.

Lynas: Melayu bantah melalui peti undi

Anis Nazri, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PAS Pahang akan terus menyokong sebarang program Himpunan Hijau dalam usaha memastikan keadilan ke atas alam sekitar terpelihara.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Md Saad (gambar), berkata pihaknya akan membantu usaha kumpulan tersebut memandangkan ia merupakan suara hati rakyat serta membabitkan generasi akan datang.

Dalam masa sama, tambah beliau PAS akan memulakan kempen yang menjurus kepada peti undi bagi memastikan rakyat membuat keputusan penting melalui undi mereka.

"Kempen peti undi ini akan digerakkan di setiap ruang yang ada, di ceramah-ceramah, sesi dialog dan apa sahaja bentuk kempen yang dijalankan.

"Kita akan kempen kepada rakyat untuk tidak mengundi mana-mana pihak yang tidak mendengar suara hati rakyat, sebaliknya mengundi parti yang prihatin dengan luahan rakyat," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas kejayaan kumpulan pejalan kaki Stop Lynas, 25 Nov lalu yang dilihat lebih disertai kaum Cina, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota itu berkata, sebenarnya boleh dikatakan sebahagian besar orang-orang Melayu di Kuantan turut menentang operasi kilang Lynas tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau kebanyakan daripada mereka menentang secara senyap, memandangkan bimbang dengan tekanan yang mungkin dihadapi.

Ekoran kebimbangan tersebut, tambah Suhaimi, mereka tidak berani tampil ke hadapan bagi membantah secara terbuka.

"Ramai di kalangan orang Melayu ini bekerja makan gaji, kakitangan awam dan sebagainya. Berbanding kaum Cina, kebanyakan mereka bekerja sendiri. Mereka bimbang jika dianggap pembangkang.  Ramai yang tidak tampil, walaupun masih ada yang berani," tegas beliau.

Beliau berpandangan, keadaan yang berlaku itu memberikan gambaran bahawa demokrasi di negara ini sudah rosak.

Katanya, apabila seseorang itu menentang sesuatu perkara yang tidak berpihak kepada kerajaan, mereka akan dilabelkan sebagai pembangkang dan dikenakan tindakan.

"Demokrasi kita rosak, akhbar kita juga tidak bebas menyebabkan mereka bimbang dengan kemungkinan-kemungkinan tersebut. Namun, kita berusaha untuk terus menggerakkan komitmen mereka hingga ke peti undi," tegas beliau lagi.

Semalam, Himpunan Hijau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata mereka sedang merangka untuk mengadakan program 'benteng manusia' atau 'barricade' bagi menghalang kemasukan bahan-bahan mentah ke kilang Lynas.

Pihaknya juga akan memulakan 'roadshow' perkongsian tentang kesan pembinaan dan penggunaan bahan-bahan berbahaya kepada alam sekitar.

Jelajah perkongsian itu akan dijalankan dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris kepada seluruh rakyat Malaysia.

Medan untuk rakyat bangkit isu besar Pahang

Harakahdaily, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang pada 9 Disember ini adalah medan penting untuk meneruskan gelombang perubahan di negeri itu.

Katanya, Pahang mempunyai banyak isu besar termasuk isu Lynas, pembinaan Empangan Klau, penggunaan sianida di Raub, pengambilan tanah di Cameron Highland, pencerobohan kawasan tadahan air di Jerantut dan Projek Petrokimia di Tanjong Agas.

"Himpunan ini sangat penting bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap pelbagai penyelewengan yang berlaku di peringkat negeri Pahang khususnya dan di seluruh negara amnya.

"Pahang berhadapan dengan pelbagai isu besar negara mampu membuat lonjakan politik dalam PRU akan datang," katanya.

Menurutnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, pelbagai persiapan telah disusun oleh urusetia termasuklah perluasan Dataran Kompleks PAS Kerdau seluas tiga ekar yang kini sedang diratakan akan memudahkan semua peserta dan para peniaga yang dijangka memenuhi seluruh dataran.

"PAS menyeru seluruh ahli dan pendokong parti menghadiri program tersebut bagi menggambarkan sokongan dan era perubahan politik negeri Pahang," jelasnya.

Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang akan menampilkan pimpinan utama semua parti Pakatn Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu, Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Johor pula akan berlangsung pada 1 Disember ini.

S'gor siapkan 14,245 rumah terbengkalai zaman BN

Harakahdaily, 27 Nov 2012
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berjaya menyiapkan 14,245 unit perumahan terbengkalai ditinggalkan Umno-BN sejak mula mengambilalih pentadbiran negeri hingga September lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata jumlah itu merupakan 29 peratus daripada keseluruhan 49,451 unit perumahan terbengkalai di negeri ini.

“Dari 49,451 unit rumah terbengkalai seperti rumah kediaman dan bangunan komersil, kita berjaya menyelesaikan 14,245 unit sehingga September lalu melibatkan 19 kawasan di seluruh Selangor.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga merancang program baikpulih negeri berkebajikan (Ceria) dengan jumlah tabungan pusingan RM9.7 juta di mana 17 kawasan terlibat dalam program ini bagi Fasa 1 siap sepenuhnya manakala 33 daripada 52 kawasan siap untuk Fasa 2 selain Fasa 3 yang bakal bermula dengan 92 kawasan,” katanya dalam sidang media semalam yang dipetik Selangorku.

Menurut beliau lagi, biarpun ianya masalah yang ditinggalkan zaman BN, namun kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengambil tanggungjawab itu supaya masalah dihadapi rakyat dapat di atasi dengan kadar segera.

Turut serta pada sidang media itu Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Selain itu juga, Iskandar berkata, kerajaan negeri juga membina 1,682 unit Rumah Mampu Milik di kawasan seperti Bandar Baru Bangi, Bukit Botak, Kajang dan sebagainya.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,215 unit lagi akan dibina bagi Fasa 1 dari 2010 hingga 2013 manakala 9,481 unit dari 2014 hingga 2018.

“Rumah kos rendah diusaha Umno-BN sebelum ini juga banyak bermasalah dan Kerajaan Negeri memperkenalkan rumah mampu milik yang bagus serta lebih murah berbanding rumah konsep sama, PR1MA oleh Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Taklimat Scorpene sedang berlangsung di Singapura

Harakahdaily, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Taklimat Scorpene oleh peguam dua Perancis kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sedang berlangsung ketika ini di sebuah hotel di Singapura.

Ketika ini, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel sedang memberi penerangan awal.

Antara Ahli Parlimen yang hadir Dr. Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Tian Chua (PKR-Batu).

Kedua-dua peguam Perancis William Bourdan dan Joseph Breham dijangka akan memberikan taklimat sebentar nanti.

Taklimat tersebut terpaksa diadakan di Singapura ekoran kedua-dua peguam itu didakwa dihalang masuk ke negara ini oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Taklimat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu tetapi ditunda ekoran masalah kebenaran memasuki Malaysia.

William dan Breham akan memberi maklumat terperinci mengenai perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis.

Pada Julai 2011, kerajaan bertindak menghantar pulang William ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya.

Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.

Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 pada 2006.

Hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance Perancis.

Tujuh saksi dinamakan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir Singh Chahl serta Ahli Perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.

Mohd Zin dedah kelemahan pentadbiran Umno BN

Harakahdaily, 27 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed seolah-olah cuba mendedahkan pekung Umno BN apabila menuduh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal menangani isu perumahan yang didakwa akan menyebabkan masalah setinggan berulang.

“Kita mempersoalkan kenyataan ini kerana Mohd Zin tidak memberi bukti kukuh walaupun beliau mendakwa BN Selangor ada membuat kajian tentang isu ini.

“Justeru, kita minta rakyat Selangor agar jangan mudah terpedaya dengan tipu muslihat ini yang semata-mata mahu menjejaskan nama baik kerajaan negeri Pakatan Rakyat,” ujar Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar) dalam satu kenyataan.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed seolah-olah cuba mendedahkan pekung Umno BN apabila menuduh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal menangani isu perumahan yang didakwa akan menyebabkan masalah setinggan berulang.

Kita mempersoalkan kenyataan ini kerana Mohd Zin tidak memberi bukti kukuh walaupun beliau mendakwa BN Selangor ada membuat kajian tentang isu ini. Justeru, kita minta rakyat Selangor agar jangan mudah terpedaya dengan tipu muslihat ini yang semata-mata mahu menjejaskan nama baik kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Mohd Zin membuat tuduhan ini kerana beliau gusar dan iri hati dengan kejayaan-kejayaan Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat dalam menyediakan perumahan untuk rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah sehinggakan kerajaan Persekutuan terpaksa meniru seperti projek rumah mampu milik.

Umno BN Selangor terlalu bangga dengan Program Setinggan Sifar di bawah mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo tetapi hakikatnya program berkenaan tidak berjaya malah menimbulkan banyak masalah lain seperti kemudahan awam yang tidak lengkap,  bumbung bocor, paip tersumbat, lif sentiasa rosak, bangunan usang, kemudahan jalan yang dibuat tergesa-gesa selain  masalah sosial kerana suasana kediaman yang tidak selesa.

Dasar Setinggan Sifar itu tidak berniat untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat berpendapatan rendah di Negeri Selangor tetapi ia lebih merupakan satu kempen untuk membantu pemaju kaya yang mahu merampas tanah yang didiami dan diusahakan oleh peneroka bandar sejak beberapa dekad lalu.

Peneroka bandar ini dihalau dan rumah mereka dirobohkan tetapi rumah transit tidak disediakan secukupnya. Lebih malang lagi, rumah baharu yang dijanjikan terbengkalai kerana tiada perhatian oleh pihak kerajaan negeri pada waktu itu.

Contohnya  Projek Perumahan Rakyat Berembang Indah dan Sungai Sering  di Ampang yang terbengkalai dan kita berjaya menyiapkan projek itu. Begitu juga dengan Projek Perumahan Rakyat di PJS1 di Petaling Jaya sehingga hari ini berdepan masalah kerana tiada perancangan rapi oleh kerajaan negeri pada waktu itu.

Kita juga berjaya membina 1,422 unit Projek Rumah Berkembar Bukit Botak di Selayang yang kini hampir siap 100 peratus. Penduduk Bukit Botak menunggu berpuluh tahun untuk rumah ini selepas ditabur janji kosong oleh kerajaan negeri Umno BN sejak 1985.

Kerajaan negeri Umno BN terlalu lemah dan tidak tegas menguatkuasakan undang-undang apabila pemaju yang gagal membayar premium tanah masih dibenar meneruskan projek perumahan dan akhirnya rakyat yang menanggung beban.

Ini berlaku terhadap projek Alam Perdana di Kuala Selangor  dan Lestari Perdana di Seri Kembangan di mana pemaju gagal menukar status tanah dan membayar premium.  Masalah ini akhirnya selesai selepas campur tangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jika Mohd Zin mendakwa kita tidak mengutamakan kepentingan rakyat, beliau sepatutnya malu dengan kenyataan itu kerana masalah-masalah rakyat ini hasil peninggalan  pentadbiran tidak telus dan tidak amanah kerajaan negeri Umno BN.

Di bawah Pakatan Rakyat, kita telah berjaya menyiapkan 14,245 unit kediaman dan perniagaan terbengkalai yang ditinggalkan oleh BN.  Kita juga telah membina 6,470 unit rumah kos rendah dalam tempoh empat tahun, sebanyak 12,481 unit dalam pembinaan dan 9,990 telah mendapat kelulusan pembinaan.

Kita juga membina Rumah Mampu Milik yang berharga kurang RM100,000 yang lebih murah berbanding rumah mampu milik yang dibina kerajaan Persekutuan atau PRIMA yang dijual sehingga RM300,000 seunit.

Projek rumah mampu milik pertama dibina oleh PKNS di Bandar Baru Bangi sebanyak 124 unit dan telah habis dijual manakala di Sg Long, Kajang sebanyak 136 unit masih dalam pembinaan.

Kita juga benarkan pemaju menukar projek kepada rumah mampu milik jika kawasan itu tidak sesuai dibina rumah kos rendah. Hampir 1,500 unit rumah mampu milik telah diluluskan pembinaannya tahun depan di Shah Alam, Klang, Damansara, Gombak dan Kajang.

PKNS juga merancang membina lebih banyak rumah mampu milik  pada tahun hadapan iaitu Fasa 1 sebanyak 1,200 unit di Shah Alam, Gombak, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, manakala Fasa 2 sebanyak 9,000 unit antara tahun 2014-2018 di Shah Alam, Klang , Selayang dan Hulu Selangor.

Kita akan memastikan rumah kos rendah yang dibina PKNS serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dijual dengan harga tidak lebih RM42,000 seunit manakala rumah  mampu milik tidak melebihi RM100,000 seunit.

Segala perancangan dan statistik ini menunjukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat komited untuk memastikan setiap rakyat Selangor memiliki rumah yang selesa.

Umno BN perlu terima hakikat bahawa Pakatan Rakyat lebih baik dalam menangani isu perumahan untuk rakyat kerana kami bekerja untuk rakyat dengan telus dan bertanggungjawab bukan seperti sesetengah pemimpin Umno BN yang membolot kekayaan untuk kaum keluarga dan kroni.

Kelantan akan bincang dengan pengusaha salon

Salmah Mat Husain, 27 Nov 2012
KOTA BHARU: Atas cadangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kerajaan Negeri Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan wakil  masyarakat dan peniaga bukan Islam mengenai isu kedai gunting rambut unisex.

Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Fadzli Hassan berkata, kerajaan Kelantan bersedia untuk  berbincang dengan mereka  bagi mencari penyelesaian terbaik dalam waktu terdekat ini berhubung isu berkenaan.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan negeri mengambil kira hasrat  bagi menjaga hak masyarakat bukan Islam di Kelantan itu dan pertemuan akan diatur secepat mungkin.

Fadzli bagaimanapun berkata, sebelum ini peraturan salon milik wanita hanya untuk pelanggan wanita sahaja  berjalan dengan baik dan tiada bantahan rasmi yang sampai kepada pihak kerajaan negeri.

“Kerajaan Kelantan berusaha sedaya mungkin cuba melaksanakan dasar Islam dalam pentadbiran sekadar mengikut bidang kuasa yang ada.

“Tetapi dalam masa yang sama akan cuba memastikan hak-hak dan kepentingan masyarakat bukan Islam juga terjamin,”ujarnya.

Tujuan peraturan ini dibuat dahulu adalah untuk mengekang penyalahgunaan premis sebegini untuk aktiviti yang tidak bermoral dari merebak ke negeri ini.

AES: Apa yang nak dirahsiakan, soal Kase

Muhammad Faeez Azahar, 27 Nov 2012

IPOH: Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mempersoalkan kenapa perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat konsesi pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tersebut tiada keperluan untuk diklasifikasikan sebagai OSA kerana ianya tidak langsung mengandungi perkara rahsia mengenai keselamatan Negara.

“Perjanjian tersebut tiada apa-apa rahsia yang perlu dilindungi daripada pengetahuan umum apatah lagi musuh-musuh kepada Negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan taklimat kepada mangsa-mangsa saman AES di Pejabat PAS Perak, dekat sini kelmarin.

Naib Presiden PAS itu berkata, kerajaan perlu ada ketelusan dalam mengendalikan urusan Negara kerana ianya berkatian dengan pembayaran yang dibuat kepada syarikat tersebut daripada wang rakyat yang dikatakan melakukan kesalahan.

Menurut beliau, rakyat perlu tahu butiran perjanjian yang dibuat antara kerajaan dengan kedua-dua syarikat tersebut.

“Oleh sebab itu, kami menggesa kerajaan mengeluarkan dokumen tersebut daripada sekatan Akta OSA kerana kerajaan mempunya kuasa dan hak untuk berbuat demikian.

“Kerjaan perlu menukarkan perjanjian tersebut sebagai dokumen umum yang boleh dimiliki dan diteliti oleh semua pihak khususnya kepada kami ahli-ahli parlimen yang mewakili rakyat di Negara ini,” tegas beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menjelaskan, terdapat pelbagai keraguan dalam pemberian kontrak ini antaranya syarikat yang mendaftar pada 2004 sudah tahu bahawa pada 2007, 2008 dan 2009 mendapat kontrak tersebut dan ada syarikat yang mendaftar syarikat selepas mendapat kontrak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 50 orang mangsa saman AES telah menyertai taklimat tersebut yang turut dihadiri oleh barisan peguam PAS Perak yang diketuai oleh Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli untuk menerangkan kepada mangsa saman tentang sistem tersebut dalam proses pengendalian guaman percuma.

Hadir sama dalam taklimat tersebut ialah Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh serta Safarizal Saleh, Pengerusi DHPP Perak, Beh Heng Kin dan Setiausahanya Nali Raja.

Tiada ulasan: