Jumaat, 2 November 2012

BONGKAK PADA MANUSIA PUN DILARANG...NI KAN BONGKAK KEPADA ALLAH SWT

PRU13: Presiden PAS sedia bertanding di Pekan

Khairul Azlam Mohamad, 02 Nov 2012
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat kejutan apabila menyatakan kesediaannya bertanding di Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.

“Saya ikut keputusan parti. Saya serah kepada parti dan partilah yang akan buat keputusan. Parti hendak suruh bertanding Marang ke… atau Pekan, termasuklah, jika parti suruh saya bertanding di Pekan, saya bertanding di Pekan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media sama ada kekal bertanding dua kawasan, Dun dan Parlimen selepas Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum (PRU13) Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru Rusila, hari ini.

(Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi menerima sumbangan untuk dana pilihan raya Muslimat PAS Terengganu.)

Menurutnya, jawapan muktamad terserah kepada parti yang akan menentukan kawasan yang bakal ditandingi kelak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyatakan kesediaan jentera PAS pada bila-bila masa diadakan pilihan raya kerana persiapan telah dibuat sejak setahun lalu.

“Saya sudah melawat keseluruhan kawasan pilihan raya sejak setahun lalu. Saya buat jadual melawat dan keseluruhannya kerja telah dibuat sejak setahun untuk menghadapi pilihan raya bila-bila masa.

“Bahkan, kebanyakan Dewan Undangan Negeri (Dun) telah membuat culaannya yang terperinci. Ini termasuklah, persediaan jentera pilihan raya secara menyeluruh. Cuma kita menunggu tarikh pilihan raya pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.

Hukum memperkatakan keburukan orang lain

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 02 Nov 2012
Soalan; Saya khilaf tentang satu perkara. Dewasa ini banyak fitnah kerana perbezaan fahaman politik. Ada kawan saya mengatakan ketua A itu peminum arak dan kafir. Apabila saya katakan  tidak mahu mendengar kerana takutkan itu fitnah, beliau mengatakan kepada saya, menurut ustaz beliau, politik adalah hak bersama. Semua orang perlu tahu, tidak kisahlah sama ada betul atau tidak. Tapi bukankah menyebarkan berita yang buruk tentang seseorang apatah lagi diragui kesahihannya adalah mendatangkan fitnah? Harap ustaz dapat berikan saya penerangan.

Jawapan;
1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya - tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.

Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis daripada Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan Rasul-Nya lah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya" (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulama (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim dan Riyadhus-Salihin);

a) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, kadi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

b) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

c) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

d) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga daripada suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

e) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

f) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana mempunyai tujuan yang diharuskan syariat untuk maslahah yang lebih besar daripada maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh sebab hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

a) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir daripada keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

b) Hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

c) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

d) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

http://ilmudanulamak.blogspot.com

MCA masih berhutang permohonan maaf

Harakahdaily, 02 Nov 2012

(Tan Koon Swan dan Glenn Knight, pendakwaraya Singapura)

PULAU PINANG: DAP mendakwa, MCA cuba membersihkan nama dan bekas pemimpinnya yang dipenjarakan ekoran skandal koperasi pengambilan deposit yang berlaku 26 tahun lalu.

Anggota Parlimen DAP dari Bukit Bendera,  Liew Chin Tong dalam kenyataannya mendakwa, MCA  masih berhutang 'permohonan maaf' dari rakyat Malaysia ekoran skandal yang berlaku pada tahun 1986 itu.

Bekas Presiden MCA, Tan Koon Swan akan dianugerahkan award 'Kejayaan Sepanjang Hayat' dalam forum Ekonomi China Sedunia yang akan diadakan di Melbourne, Australia 12 dan 13 November ini.

Ia disifatkan sebagai satu pengiktiraf terhadap sumbangannya dalam politik dan perniagaan. Anugerah ini dianjurkan oleh Asia Strategic and Leadership Institute (ASLI).

Dalam sidang media ketika mengumumkan award itu, presiden MCA,  Chua Soi Lek berkata, "Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Koon Swan kerana majlis ini menunjukkan dia tidak bersalah dan sudah tiba masa untuk membalas jasanya."

Glenn Knight, bekas pendakwaraya Singapura mendakwa Tan Koon Swan telah tersalah dakwa tetapi pandangannya tidak dikongsi bersama oleh kerajaan Singapura.

Di samping itu, selepas dibebaskan dari penjara Singapura, Tan Koon Swan telah didakwa dan didapati bersalah dan seterusnya dipenjarakan diatas kesalahan jenayah pecah amanah di Malaysia.

Menurut Chin Tong (gambar kiri), 540,000 telah menjadi mangsa dalam skim cepat kaya skandal koperasi pengambilan deposit ini.

"26 tahun kemudian,  MCA masih belum memohon maaf kepada mangsa yang disebabkan oleh tindakan MCA menggunakan duit koperasi untuk perniagaan ini," katanya.

Bagi beliau, ketika Chua Soi Lek melihat Tan Koon Swan telah membayar harganya, yang pasti, MCA belum membayar gantirugi itu.

"MCA masih berhutang permohonan maaf dari rakyat Malaysia," tegas Chin Tong.

MB Selangor: Noh berdepan 2 tokoh Umno

Analisa Anis Nazri, 02 Nov 2012

(Adun Sekincan berucap dalam perhimpunan membantah Noh)

Biarpun gendang pilihan raya umum belum dipalu, dendangannya tetap kedengaran di mana-mana, sementelah ia memang dijangka akan dipalu bila-bila masa sahaja.

Sama ada parti pemerintah, BN mahupun Pakatan Rakyat, masing-masing cuba menawarkan yang terbaik untuk para pengundi.

Di negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah, sudah tentu bahangnya begitu terasa, lebih-lebih lagi kepada pihak pembangkang di negeri terbabit iaitu BN.

BN kini sedang mengintai-intai peluang di Selangor yang merupakan lubuk emas kepada negara.  Lebih-lebih lagi apabila melihat kejayaan Pakatan Rakyat menerajui Selangor melalui menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lantaran itu, kerusi menteri besar Selangor memang menjadi tumpuan puak-puak di dalam BN, khususnya Umno, lebih-lebih lagi setelah bekas menteri besar yang terpalit dengan tuduhan rasuah, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dikatakan tidak mungkin dicalonkan sebagai menteri besar.

Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti Khir Toyo. Malah, terdapat pemimpin Umno yang cuba menonjolkan diri masing-masing bagi membuktikan keupayaan mereka menerajui Selangor.

Terdapat pimpinan di peringkat pusat dan juga pimpinan peringkat negeri berminat memenuhi kerusi tersebut sekiranya BN berjaya merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Umum mengetahui, nama Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar, yang akan mengintai ruang di Dun-dun tertentu untuk tujuan tersebut.

Selain Noh, Bendahari Umno Selangor, Tan Sri Rozali Ismail yang juga peneraju Syabas, turut dikatakan mengintai peluang sama dengan menjadikan Dun Sungai Panjang sebagai platform beliau.

Ternyata, Noh yang juga ahli parlimen Tanjung Karang bukan bakal berdepan dengan Rozali seorang, malah dikatakan Adun Sungai Burung, Datuk Mohd Shamsuddin Lias juga disebut-sebut akan 'menentang' Noh.

Shamsuddin, wakil rakyat di bawah parlimen Tanjung Karang itu sendiri dikatakan sudah 'terpisah' dengan Umno Tanjung Karang.

Maka, sudah tentu apabila gendang dipalu, suasana menjadi semakin membara dengan beberapa puak dalam Umno Selangor berlumba-lumba untuk mencapai matlamat mereka.

Sudah tentu juga terdapat nama pemimpin-pemimpin lain di seluruh bahagian di Selangor tidak akan ketinggalan untuk mengintai ruang dan peluang tersebut.

Sejauh mana nama-nama tersebut benar-benar bakal dicalonkan sebagai menteri besar, hanya Umno Selangor yang akan menentukan.

Soalnya, mampukan ahli-ahli BN, khususnya Umno Selangor mengambilalih pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum kelak?

Lebih-lebih lagi bagi Noh Omar yang dirundung pelbagai kontroversi yang melingkari beliau sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Tanjung Karang.

Bagaimana penduduk Tanjung Karang yang begitu terkesan dengan skandal kolam udang di Tanjung Karang dapat mengangkat Noh sebagai menteri besar mereka?

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan memiliki tanah seluas 30 ekar yang disewakan kepada syarikat Pristine Agrofood Sdn. Bhd. pada tahun 1995.

Tanah itu, yang pada mulanya dikatakan berstatus tanah komersial, dan kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian pada 2011 bagi tujuan projek penternakan udang.

Bagaimanapun, sudah tentu Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu akan berjuang habis-habisan bagi memastikan BN berjaya menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Noh memenangi kerusi Tanjung Karang dengan memperoleh undi sebanyak 16 073, berbanding calon PAS, Mohamed Hanipa Maidin yang memperoleh undi sebanyak 12 253.

Kedua-dua Dun di bawah parlimen Tanjung Karang, iaitu Permatang dan Sungai Burung turut dimenangi calon BN iaitu Sulaiman Razak dan Datuk Mohd Shamsudin Lias, yang merupakan kawasan pendudukan orang Melayu. 

Johor: Pendapatan turun, projek kucar-kacir

Abdul Aziz Mustafa, 02 Nov 2012

(Salahudin bakal bertanding di Johor)


KUALA LUMPUR: Johor bukan sahaja mengalami penurunan pendapatan, malah projek mega di negeri itu pula gagal dan kucar-kacir, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Laporan Ketua Audit Negara menyatakan pendapatan Johor turun 18 peratus pada 2011.

"Itu penurunan pendapatan, sekarang pula projek Hab Petroleum Asia pula kucar-kacir apabila Asia Petroleum Hub Sdn Bhd (APH), dibubarkan," katanya.

Salahuddin juga mempersoalkan status tanah yang menjadi tapak tanah projek tergendala itu dimajukan.

"Adakah tanah itu masih milik kerajaan Johor atau sudah dipindahmilik kepada pihak berkenaan?

"Jika dipindahmilik, berapakah hasil yang diperolehi kerajaan Johor dari tanah tapak tersebut," katanya.

Jika tidak dipindahmilik dan tanah tapak itu masih menjadi milik kerajaan Johor, kata Salahuddin, adakah kerajaan Johor pernah mengambil daya usaha untuk mendapatkan pegangan ke atas projek itu sebelum ini?

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu jua meminta penjelasan kerajaan apakah daya usaha yang diambil untuk memastikan rakyat tidak dibebankan untuk menyelamatkan projek Hab Petroleum Asia itu.

"Biasalah projek kroni Umno, akhirnya rakyat yang akan terpaksa menanggung kos kegagalan mereka," kata Salahuddin.

Baru-baru ini, APH dibubarkan atas perintah mahkamah berikutan petisyen yang difailkan oleh pemberi kreditnya, QI-PMC Sdn Bhd.

Projek Hab Petroleum Asia disifatkan oleh sebahagian pemerhati sebagai skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) kedua apabila gagal disiapkan walaupun kos asal RM1.4 bilion telah dihabiskan.

Berikutan kegagalan untuk menyiapkan projek itu, RM2 bilion lagi ditagih untuk menyiapkan projek hab petroleum di Tanjung Bin, Johor itu.

Selain dibelenggu lebihan kos dan kelewatan, masalah lebih besar dihadapi apabila CIMB Bank Bhd menarik diri selepas menyuntik RM830 juta.

Projek itu sepatutnya siap pada 2009 itu melebihi nilai asal RM1.4 bilion yang dirancang, termasuk kos faedah dan dianggarkan RM2 bilion lagi diperlukan untuk menyelesaikannya.

Tahun lalu, dilaporkan projek itu hanya siap kira-kira 60 peratus.

Lelaki, wanita sama penting dalam pilihan raya

Khairul Azlam Mohamad, 02 Nov 2012
MARANG: Penglibatan wanita dalam amalan sistem pilihan raya adalah sama penting dengan kaum lelaki bagi setiap satu undi yang diperolehi oleh mana-mana parti.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, penglibatan muslimat sangat penting kerana seorang pengundi wanita sama dengan pengundi lelaki.

Apatah lagi, katanya rakyat berdepan dengan kerajaan yang banyak melakukan kejahatan dan kemungkaran.

“Apa lagi kita berdepan dengan kerajaan yang banyak melakukan kejahatan dan melakukan kemungkaran sama ada yang nampak, yang tidak nampak. Di sana ada kejahatan yang rakyat tidak nampak.

“Digula-gulakan kita dengan bantuan RM500 selepas itu dia (kerajaan) ambil melalui saman di jalan raya beribu-ribu ringgit. Kita telah ditipu dengan kenaikan cukai, cukai gula, cukai minyak dan cukai macam-macam dinaikkan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum (PRU13) Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, di Dewan Tok Guru Rusila, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS telah mengorak langkah melibatkan muslimat lebih jauh hingga bertanding dalam pilihan raya.

“Kawasan ini (Rusila) dahulunya kawasan Dungun. Tahun 1960, pilihan raya Parlimen pertama di sini (Parlimen Dungun) calon muslimat yang pertama menang pilihan raya tahun 1960.

“Almarhumah Khadijah Sidek bertanding di sini, seorang muslimat lawan Parti Perikatan (Umno) pada masa itu. Calon muslimat kita menang,” jelasnya di hadapan 500 hadirin.

Pada majlis tersebut hampir RM40,000 berjaya dikumpulkan daripada Muslimat PAS kawasan-kawasan, penyumbang individu serta jamuan pilihan raya yang diadakan di pekarangan Masjid Rusila.

Yang membela Islam tiga orang Cina

Subky Latif, 02 Nov 2012
HAMPIR menitis air mata menahan sebak melihat yang membela Islam dicerca Dr. Chua Soi Lek dan pemimin MCA ialah orang Cina dipercayai ketiga-tiganya bukan Islam.
Jika yang sensitif apabila Islam dicerca ialah orang Islam, orang PAS dan orang yang beriman, tiada suatu yang luar biasa kerana orang Islam tidak  wajar membisu apabila agamanya dicerca.

Tetapi amat menakjubkan apabila rakan-rakan Cina yang tampil menyifatkan Soi Lek dan  MCA menghina Islam seperti yang disuarakan oleh Anthony Loke, MP DAP Rasah, kolumnis SIANG MALAM di Harakah, Lim Hong Siang dan seorang penulis lagi Sarena Tay.

Pada mereka apa yang cakap oleh Soi Lek dan semua pemimpin MCA dalam perhimpunannya dua hari pada 20 Oktober lalu adalah menghina Islam, hudud dan PAS.

Mereka bukan orang Isalam, bukan beriman dengan hudud dan bukan pejuang PAS. Mereka adalah pembawa berita sebenar dan pembuka mata, sesuai dengan ajaran ilmu kewartawanan iaitu berita adalah maklumat berunsur kejutan seperti anjing digigit orang. Bukanlah berita lagi kalau orang digigit anjing.

Hujah biasa jika yang membela Islam itu orang, kerana adalah tanggungjawab orang beriman membela dan menegakkan  Islam dan hukum-hukumnya. Tetapi ia adalah pembuka mata ada wibawa apabila orang yang tiada kepentingan dengan Islam  dan hudud mengira Islam dan hudud telah dicemuh.

Mereka tidak bercadang untuk mendaulatkan Islam seperti yang PAS perjuangkan dan jaga mahu hudud menjadi perundangan seperti yang dituntut oleh Islam, tetapi mereka tidak melihat bijak dan rasional apabila Islam dan hudud dihina begitu rupa.

Kewajaran mereka berbuat demikian bukan untuk melihat Islam itu daulatkan tetapi tindakan  MCA itu menggamit keserahan di kalangan rakyat dan negara. DAP belajar dari keterlanjuran pemimpinnya Karpal Singh pernah berkata langah mayatnya jika Islam diperundangkan. Ia pernah menimbulkan ketegangan di kalangan orang Islam dan ia menyukarkan DAP untuk menembusi pasaran pengaruh politik.

Kesilapan itu telah dibaiki, Karpal dan DAP tidak lagi dilihat oleh umat Islam di luar UMNO sebagai pencetus ketegangan.

Ketiga Cina itu termasuk ketua pemuda DAP, Anthony Loke mahu mewujudkan suasana negara yang aman, adil dan harmoni, menolak provokasi dan penghinaan terhadap Islam yang lakukan oleh MCA itu.

Lebih menjolok mata Perdana Menteri Najib telah diperalatkan oleh  MCA dalam politiknya untuk menyerang Islam dan hudud itu. Soi Lek menjemput Najib merasmikan perhimpunannya dan lepas itu menggunakan perhimpunan itu untuk menyerang hudud dan PAS. Dengan sendirinya ia menyerang dan menghina Islam.

Syukur orang Islam dapat mengawal sabar dan pendirian tidak bangun menyeru pejabat  MCA dan premis kepunyaan Cina. Tetapi ia telah mengguris perasaan orang Islam. Siapa yang dapat menghalang kalau ada orang Islam yang bangkit bertindak kasar kepada masyarakat Cina.

Walaupun ketiga anak Cina memunyai rasa setiakawan yang tinggi terhadap PAS yang ada pakatan dengan DAP, tetapi tindakan spontan mereka atas kecetekan Soi Lek  dan MCAnya adalah untuk mengelakkan ketegangan berlanjutan antara kaum di negara ini.

Bagi membendung api perkauman yang belum benar-benar padam, Sarena Tay menyeru orang Melayu beramai-ramai menyokong PAS. Jika orang  Melayu tidak lagi dalam UMNO, maka perkauman boleh diredakan. Tidak lagi orang yang hendak menyokong MCA. Jika MCA dapat dilumpuhkan, kuranglah puak yang berani mencerca  Islam.

Malaysia beruntung ada tiga Cina seperti itu dan orng seperti mereka dipercayai ramai.

Tiada ulasan: