Ahad, 4 November 2012

BILA KEZALIMAN TERLALU MELAMPAU HINGGA RAKYAT TAK PERCAYA LAGI...BILA KATA RAKYAT DIDULUKAN TAPI HAKIKATNYA TAK BERLAKU PUN...BILA RAKYAT DAH TERLALU BOSAN...BILA RAKYAT SERING DIPEROLOK2KAN

Ubah kepada cara Pakatan Rakyat - Presiden PAS

Zulkifli Sulong, 04 Nov 2012
SEREMBAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Malaysia mengubah cara berpolitik di negara ini kepada cara baru iaitu cara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.

"Cara BN cara lama. Cara parti dibentuk dari bangsa-bangsa. Berbeza dengan cara Pakatan Rakyat. Parti-parti kita semua berbilang kaum dan agama.

"PAS parti islam dari pelbagai kaum. Ada juga bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. PKR parti pelbagai kaum dan agama. Begitu juga DAP.

"Berbeza dengan BN. Semua partinya dari parti kaum," kata beliau di Himpunan Kebangkitan Rakyat dekat Taman Seremban Jaya, Senawang malam ini.

Puluhan ribu rakyat pelbagai kaum dan agama berhimpun di sini bagi menyertai perhimpunan yang penuh sejarah itu. Padang usang itu penuh dengan keghairahan rakyat untuk memperjuangkan hak mereka.

Tepukan dan laungan reformasi bersatu dengan teriakan Allahuakbar dari para penyokong PAS, PKR dan DAP.

Pelbagai barangan kempen dijual oleh penyokong PAS, PKR dan DAP di perhimpunan ini. DAP membawa treler dan lori kempennya manakala PKR membawa bas dua tingkat jelajah rakyatnya.

Selain Ustaz Hadi, turut berucap adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Penyanyi Ito yang berasal dari Negeri Sembilan telah diberikan penghormatan untuk melancarkan lagu Pakatan Rakyat bertajuk 'Ubah Sekarang' di perhimpunan ini.

Ustaz Hadi dalam ucapannya menyatakan sekali lagi komitmen Pakatan untuk mematuhi perlembagaan negara tetapi membawa mesej yang berbeza sama sekali dari BN.

"Kita memegang perlembagaan yang sama tetapi penghayatan yang lain dari BN," kata Ustaz Hadi.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Hadi berkata, memang PAS bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat "tetapi kita mentafsirkan Islam secara yang sebenar."

"Kerajaan tidak boleh berlagak sebagai Tuhan, pemimpin bukan juga bukannya manusia suci," tegas beliau ketika mentafsirkan sistem pemerintahan yang dikehendaki Pakatan.

Beliau juga memberitahu, PAS tidak pernah memaksakan Islam kepada orang lain kerana "tiada paksaan dalam agama."

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit PAS menjadi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak termasuk DAP apabila PAS tidak memaksakan Islam kepadanya kerana ia sememangnya hak yang dberikan oleh Islam.

Beliau juga menegaskan, PAS akan sentiasa komited untuk mempertahankan hak bumiputra kerana mereka sememangnya tertinggal dari segala segi selepas disusun sedemikian rupa oleh penjajah.

"Namun dalam masa yang sama kita juga perlu memberikan hak istimewa kepada kaum Cina dan India yang miskin kerana mereka juga mesti dibela.

"PAS akan memperjuangkan hal ini dan ini adalah tanggungjawab kita," tegasnya dengan disambut teriakan takbir dan tepukan gemuruh dari para hadirin yang pelbagai kaum, agama dan jantina itu.

Gambar terbaik perangkap had laju, terhangat

Harakahdaily, 04 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Ulasan blog mengenai seorang anggota JPJ sedang mengendalikan kamera 'speed trap' berhadapan papan tanda 60 km/j merupakan artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke-44.

Di tangga kedua ialah berita nasihat oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa solat boleh dibuat di mana sahaja. Di dalam belukar, di tepi sungai mahupun di dalam istana.


Berita Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu individu yang bertanggungjawab meluluskan Kondominium Batu Caves sekaligus menepis kontroversi Umno BN mengatakan kononnya pembinaan projek itu diluluskan Kerajaan Selangor sekarang pula menduduki tempat ketiga.

Berita bagaimana Menteri Umno Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Puteri Umno Rosnah Shirlin meludah ke muka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu menuntut penjelasan Menteri Besar Khalid Ibrahim di atas keputusan Lembaga Pengarah PKNS menjual 5 aset komersil  tangga keempat.

Di tangga kelima ialah berita kemungkinan PRU13 ditangguh kerana kontroversi skandal saling melindungi di antara Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dengan taikun pembalakan Sabah, Michael Chia dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 28 Oktober hingga 3 November, 2012.

1
Gambar terbaik perangkap had laju...saksikanlah!!
2
TG Nik Aziz ajar solat di mana sahaja
3
Samy Vellu luluskan projek kondo Batu Caves – Anwar
4
PKNS: Noh dan Rosnah ludah ke muka Najib
5
PRU tangguh ekoran kes Nazri, Chia dan Musa?
6
Abim bantah TV3 tayang ‘My Name Is Khan’
7
Cerita Kesesakan Aidiladha: Beringat Sebelum Kena
8
Bekas timbalan menteri jangka BN tewas PRU13
9
[BONGKAR] Penipuan SPR Terdedah Lagi, Kes Kejanggalan Tarikh Permohonan Pemilih
10
MB Selangor: Noh berdepan 2 tokoh Umno

Kain rentang ugutan, himpunan rakyat di Seremban hambar?

http://omakkau.blogspot.com, 04 Nov 2012

KAIN RENTANG DAN UGUTAN MEJER PENCEN, MENYEBABKAN HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT DISEREMBAN MENJADI HAMBAR, SUNYI SEPI DAN GAGAL MENARIK PARA PENDENGAR??????


Admin agak terkejut bila ada kain rentang yang dipasang dijejantas jalan kaki bagi menunjukkan bantahan "rakyat" Negeri Sembilan kepada Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan semalam di Seremban Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Kain rentang dipasang ekoran ugutan pertumpahan darah bakal berlaku jika penganjur enggan membatalkan himpunan tersebut. Ugutan pertumpahan darah ini dikeluarkan oleh seorang askar pencen yang pernah menyandang pangkat Mejer, Pengerusi Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) Malaysia, Mejar (B) Razali Zakaria

Mungkin rakyat terus gentar, terketar-ketar kepala lutut ketakutan menyebabkan Himpunan Kebangkitan Rakyat terus lengang, sunyi sepi, hambar dan tiada sambutan langsung.

DSAI, TGHA dan LKS terpaksa berceramah didepan khalayak kosong.

Disitulah hebatnya NGO berdarah dan berjiwa pekat UMNO kalau mengeluarkan ugutan dan amaran.

Sebelum ini Jamal Sekinchan Ikan Bakar keluar ugutan dan amaran serupa kepada para peserta himpunan aman ambang merdeka janji bersih diDataran Merdeka.

Memang dasyat impak dan kesan mamat askar pencen ini beb!!!!!

Najib Razak pun tak sehebat beliau dalam memberi gertakkan dan ugutan.

PERGH!!! bertuah betul nasib UMNO memiliki pejuang seperti beliau!!!!..Lain kali kalau nak sekat dan halang rakyat dari datang kesatu-satu perhimpunan anjuran PR, sila gunakan kepakaran mamat askar pencen ini...BERBALOI BEB!!!!

Kata-kata admin ini berpaksikan kepada fakta bergambar beb!!!

Kalau tidak yakin dan percaya... Lihat saja gambar-gambar yang dimuat naikkan..


ALAMAK!!!!!!!.. salah muat naik gambarlah beb!!!!!.. Ingatkan bila kena gertak dan ugut, rakyat tak berani nak turun, tetapi sebaliknya.. LAGI DIGERTAK LAGI RAKYAT TURUN BERDUYUN-DUYUN.

DIA INGAT INI POLITIK ZAMAN BATU KE?

BN tak mahu berubah, rakyat wajib tukar

Hazayani Zakaria, 04 Nov 2012
SEREMBAN: Rakyat wajib menukar kerajaan yang ada pada hari ini memandangkan Umno BN tidak bersedia membuat perubahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat merupakan hakim yang menghukum kerajaan apabila pemimpin tidak menjalankan amanah dengan baik.

"BN tak bersedia buat perubahan jadi kita wajib mengubah kerajaan hari ini.

"Rakyat boleh mengadili pemimpin-pemimpin. Di Britain misalnya, bila pemimpin buat silap rakyatnya  hukum dengan menukar kerajaan.

"Di Malaysia tak jadi begini sebab BN sangka dia jadi kerajaan selama-lamanya," kata beliau sewaktu berucap di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat, di Taman Seremban Jaya, dekat sini, malam ini.

Ustaz Hadi berkata, pemimpin BN tidak boleh menganggap mereka boleh menjadi kerajaan yang terbaik buat selama-lamanya.

"Pemimpin BN  tidak boleh berlagak menjadi Tuhan, tidak boleh mengganggap kesenangan rakyat datang dari mereka.

"Mereka tidak boleh menganggap mereka yang terbaik selamanya kerana rakyat yang menjadi hakim," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Justeru, beliau mengajak rakyat melakukan perubahan bersama-sama Pakatan Rakyat yang sudah membuktikan mereka memberi layanan yang sama rata kepada semua kaum.

"Pakatan boleh menunjukkan perpaduan, bukan parti satu kaum sahaja.

"Mari kita ubah cara baru, cara Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu meminta rakyat mengekalkan momentum kebangkitan malam ini sehingga ke perhimpunan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Melihat kepada kesabaran dan kesungguhan rakyat malam ini walaupun dalam keadaan hujan, saya yakin himpunan akhir nanti, seluruh rakyat akan berada di Kuala Lumpur Januari ini," katanya.

Beliau juga mengajak rakyat turun beramai-ramai ke perhimpunan kebangkitan rakyat kali kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 16 November ini.
"Jangan lupa 16 November ini kita turun ramai-ramai ke Kota Bharu untuk perhimpunan kedua," katanya.

Sesiapa hina Islam, DAP bela agama Islam

Anis Nazri, 03 Nov 2012
SEREMBAN: DAP menyatakan ikrar untuk mempertahankan Islam sekiranya terdapat pihak yang cuba menghina agama itu.

Ketua DAPSY, Anthony Loke berkata isu berkaitan agama akan dipertahankan oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat.
Berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin, Anthony yang juga Ketua DAPSY Negeri Sembilan, menegaskan Pakatan Rakyat menolak sebarang politik perkauman.
"BN sering menggunakan politik perkauman dalam menarik perhatian rakyat. Mereka sering mengeluarkan kenyataan jika Pakatan Rakyat memerintah negara, Melayu akan hilang kuasa.  Sedangkan yang akan hilang kuasa adalah BN.
"Sesiapa sahaja yang menghina Islam, DAP akan membela agama Islam. Sesiapa sahaja yang cuba menghina Islam, DAP akan pertahankan Islam," kata beliau disambut sorakan semangat daripada para hadirin.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung kenyataan Menteri Besar itu yang sengaja dimanipulasikan Wanita MCA sebelum ini.
Dalam pada itu, Anthony yang merupakan ahli parlimen Rasah turut menyifatkan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai seorang yang paling 'celaka'.

Pemuda diajak jatuhkan BN Negeri Sembilan

Hazayani Zakaria, 03 Nov 2012
SEREMBAN: Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Sembilan hari ini membuka tirai Himpunan Raksasa Kebangkitan Rakyat dengan mengajak generasi muda menjatuhkan Kerajaan Umno BN negeri itu.

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Kharil Anuar Wafa berkata, hanya melalui undi pada Pilihan Raya Umum (PRU ) ke-13 nanti.

"62 peratus undi orang muda menjadi penentuan dalam PRU.

"Kebangkitan golongan muda mencorakkan Malaysia baru. Perubahan di tangan golongan muda.

"Dengan hanya sebatang pensel kita mampu membuat perubahan baru," katanya ketika berucap di acara pembukaan perhimpunan.

Walaupun padang basah dan becak akibat hujan lebat, orang ramai tetap memenuhi tempat program.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Nazri Yunus pula berkata, ekonomi rakyat negeri tersebut dapat ditingkatkan jika ditadbir pemimpin yang berintegriti.

"Walau ekonomi Negeri Sembilan tidak sekaya selangor dan Pulau Pinang, tapi kalau ada pemimpin yang berintegriti di Negeri Sembilan,  saya yakin ekonomi rakyat mampu dimartabat.

"Mesej pemuda Pakatan jelas untuk kita pastikan Negeri Sembilan ditadbir  kerajaan rakyat, jatuhkan Kerajaan Umno BN," katanya disambut tepukan gemuruh orang ramai.

Ketua Publisiti Pemuda DAP Negeri Sembilan,  Teo Kok Seong mengulangi gesaan sama, mahu generasi muda menolak Umno BN dalam PRU ke-13.

"Tidak kira kaum, orang muda mesti membantu Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya khususnya di Negeri Sembilan. Marilah kita sama-sama membuat perubahan," katanya.

Sebelum itu, konvoi bermotor Pemuda Pakatan Rakyat tiba di tempat program kira-kira jam empat petang disambut paluan kompang, tarian singa dan gendang India.

Pengerusi Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Fareedah Samad sebagai mewakili wanita yakin golongan itu juga mampu membuat perubahan.

"Signal anak muda jelas bahawa kita akan menjadi sebahagian daripada kepimpinan akan datang.

"Golongan wanita akan memastikan Negeri Sembilan  juga akan masuk dalam senarai negeri Pakatan Rakyat selepas pilihan raya ke-13," katanya.

Adakah ‘dermawan’ Michael Chia VVVIP Umno BN?

Harakahdaily, 03 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Pendedahan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung pendedahannya mengaitkan keluarga Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan jutawan balak, Michael Chia menimbulkan banyak persoalan.


“Kenyataan Nazri mengesahkan bahawa hubungan Michael Chia dengan beliau dan anak beliau tidak semudah 'sekadar meminjam sebuah kereta Hummer bernilai setengah juta.' Sama seperti kes derma RM40 juta kepada Umno Sabah, takkan derma sebanyak itu diberi tanpa mengharapkan pulangan apa-apa?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga bertanya selain menderma RM40 juta kepada Umno Sabah dan meminjam kereta mewah untuk kegunaan anak Nazri, apakah ada lagi ahli politik atau orang institusi awam seperti di Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerima habuan berbentuk derma atau pinjaman daripada Chia?

“Adakah Chia kini dilayan seperti seorang VVVIP di dalam Umno sebagaimana seorang pelanggan bank yang membuka akaun mewah di mana-mana bank?

Adakah Chia mendapat manfaat berbentuk 'kekebalan' dan 'perlindungan khas' daripada kerajaan Umno BN atas segala kegiatannya kerana sikap 'dermawan' beliau?” tanya beliau lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata SPRM perlu bertindak untuk membuka kembali fail Chia dan memberikan satu jawapan yang jelas kepada rakyat Malaysia apakah asas-asas untuk tidak meneruskan siasatan terhadap derma sebesar RM40 juta tersebut.

Chia sebelum ini dilaporkan tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong.


Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah, sekaligus membersihkan Chia daripada tuduhan rasuah.

"Kalau betul Michael Chia tidak bersalah, beliau perlu kemukakan dokumen bukti terutamanya surat pengesahan dari Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

"Kita inginkan bukti dan bukannya hanya sekadar penjelasan di Parlimen, kalau betul dan berani sila kemukakan, saya nak tengok," sambung Rafizi lagi.
Semalam Rafizi mendakwa kenyataan Nazri itu dilihat mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, ini kerana anak sulung Nazri, Nedim ada hubungan dalam bentuk kenderaan dengan Chia.

Kenderaan itu ujarnya berupa SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia dan mungkin telah digunakan oleh Nedim.

Sehubungan itu beliau juga akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin depan terhadap Nazri dan juga menuntut siasatan semula terhadap Chia.

1Saman AES, 1Malaysia tolak BN

Hazayani Zakaria, 03 Nov 2012
SEREMBAN: Satu saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikeluarkan, 1Malaysia tolak BN, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat konsisten mendesak kerajaan menangguhkan AES sehingga kajian terperinci dilakukan.

"Kalau kerajaan tak mahu tangguhkan AES, biar Pakatan Rakyat yang menangguhkannya bila kita ambil alih Putrajaya nanti.

"Ingat semua, satu saman AES, 1Malaysia tolak BN," kata beliau sewaktu berucap di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya, dekat sini, malam ini.

Berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin, Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor itu juga terus menegaskan, AES bukan langkah terbaik mendidik rakyat sebaliknya hanya untuk mengkayakan kroni.

"Sepanjang jalan, berapa banyak kamera yang dipasang? Sekali saman RM300. Berapa banyak kerajaan dan syarikat pengendali dapat untung hasil merompak duit rakyat di jalan raya," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

KASE juga membuka kaunter untuk semakan saman di tapak perhimpunan selain memberikan maklumat mengenai AES kepada orang ramai.

Pelekat kenderaan bertulis "1 Saman AES, 1Malaysia tolak BN' juga turut dijual.

Himpunan PR saksikan kebangkitan rakyat N9

Harakahdaily, 03 Nov 2012

SEREMBAN:
Biarpun hujan lebat turun tidak berhenti-henti sejak jam 5 petang tadi, namun ianya tidak menghalang ribuan rakyat hadir ke pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat di Taman Seremban Jaya di sini malam ini.

Dianggarkan sehingga jam 9.30 malam, 10,000 orang dari pelbagai kaum memenuhi ruang padang dihadapan pentas dan jumlahnya semakin bertambah menjelang ucapan pemimpin utama Pakatan Rakyat di penghujung program malam ini.

Mereka tetap hadir walaupun terpaksa berpayung, berbaju hujan dan berada dalam becak di tengah padang, semata-mata mahu mendengar amanat dari pimpinan mereka.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP Lim Kit Siang dijangka akan menyampaikan amanat khas malam ini.

Tirai program malam ini dimulakan dengan ucapan wakil-wakil NGO rakyat termasuk NGO 'R' yang memperjuangkan tuntutan royalti, NGO Anti-Lynas, NGO Anak yang memperjuangkan nasib peneroka, NGO Bersih yang memperjuangkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil serta wakil NGO Kase yang membantah saman ekor termasuk penggunaan AES.

Sesuai dengan nama Himpunan Kebangkitan Rakyat, warna tema pada himpunan kali ini juga mewakili warna tema NGO-NGO tersebut.

Empat warna tema malam ini adalah warna kuning sebagai menyokong perjuangan Bersih, Oren untuk Anak, merah untuk Royalti dan hijau untuk Anti-Lynas.

Turut berucap diawal program malam ini termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Taufek Ghani, Pengerusi DAP Negeri Sembilan Lok Seiw Fok, serta Pengerusi PKR Negeri Datuk Kamarul Bahrin Abas.

Ketika ini antara pemimpin Pakatan Rakyat yang duduk di pentas utama termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof.

Selain itu, turut kelihatan pemimpin ketiga-tiga parti Negeri Sembilan, pemimpin pakatan rakyat di segenap peringkat serta Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Ucapan oleh pemimpin utama dijangka bermula jam 10 malam ini.

Ketika ini kelihatan Bas Merdeka Rakyat yang membawa ketiga-tiga ketua pemimpin parti, Anwar, Kit Siang dan TG Abdul Hadi tiba di tapak program.

Negeri Sembilan di ambang perubahan politik

Zulkifli Sulong, 03 Nov 2012
SEREMBAN: Ketika para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di sebuah padang usang di Taman Seremban Jaya, Senawang, di tengah-tengah bandar Seremban dianjurkan konsert khas.

Konsert yang dinamakan Majlis Perpaduan Negeri Sembilan Sehati Sejiwa  itu menampilkan penyanyi M Nasir, Hatta, One Nation Emcee dan lain-lain diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

Majlis  yang bermula jam 8.00 malam itu dianggap cuba mengalihkan perhatian masyarakat negeri ini dari tertumpu ke Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan kira-kira 10 km dari situ.

Promosi program ini bukan calang-calang. Bannernya dipasang seluruh bandar Seremban kalau tidak seluruh Negeri Sembilan pun. Ia ada di merata-rata tempat di bandar Seremban ini termasuk di pokok-pokok di dalam hutan taman rekreasi.

Di Senawang, Himpunan Kebangkitan Rakyat bermula sejak jam 3 petang lagi. Ia bermula dengan perarakan masuk rombongan bermotosikal Pemuda Pakatan Rakyat.

Pentas utamanya dibina dari lori kontena yang dimiliki oleh DAP. Pada malamnya, bas dua tingkat Jelajah Rakyat PKR turut serta di Senawang.

Dengan hujan yang turun renyai-renyai dan kadang-kadang lebat di bandar Seremban, kedua-dua program yang dianjurkan oleh kedua-dua pihak yang bertentangan ini cuba menarik perhatian rakyat negeri ini.

Negeri Sembilan mendapat perhatian peminat politik apabila kerajaan BN yang dibentuk selepas pilihan raya umum 2008 tidak mempunyai kuasa 2/3.

Dari 36 kerusi DUN yang dipertandingkan, DAP berjaya memenangi 10 dari 11 kerusi yang ditandinginya, PKR menang empat dari 12 kerusi manakala PAS menang satu dari 13 kerusi yang ditandingi.

Di peringkat Parlimen pula, DAP mendapat dua kerusi Parlimen manakala PKR mendapat satu dari lapan kerusi Parlimen di negeri ini.

Ini bermakna, Pakatan Rakyat hanya memerlukan empat kerusi DUN sahaja untuk menjatuhkan kerajaan BN Negeri Sembilan itu.

Inilah yang merisaukan BN. Apabila Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan bersama mereka di Senawang mulai petang ini, BN dipercayai di belakang konsert nyanyian yang dinamakan Majlis Perpaduan Negeri Sembilan Sehati Sejiwa itu.

Namun terbukti, yang sehati sejiwa adalah majlis anjuran Pakatan Rakyat apabila rakyat berbilang kaum bersatu hati di sebuah padang usang di Senawang itu.

Pelbagai jenis permainan dan persembahan rakyat dipersembahkan di majlis itu bukannya melibatkan artis Melayu sahaja sebagaimana yang berlaku di padang MPS itu tetapi juga penyanyi Cina, India dan artis-artis baru yang menyertai Pakatan menyerikan majlis ini.

Di samping itu, pelbagai jenis kesenian rakyat pelbagai kaum dipersembahkan di majlis ini.

"Jika 45% pengundi Melayu di Negeri Sembilan memihak kepada Pakatan kali ini, Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan di negeri ini selepas pilihan raya umum akan datang," kata Dr Rosli Yaakob, AJK PAS Pusat yang ditemui di Senawang petang tadi.

Dalam PRU 2008, 35% pengundi Melayu memberikan undi kepada Pakatan Rakyat manakala 65% pengundi Cina memberikan undi kepada Pakatan.

Bagi Dr Rosli, angka 45% sokongan pengundi Melayu tidak lagi mustahil dalam pilihan raya umum akan datang. Ini kerana, angin perubahan bertiup kencang di Negeri Sembilan ini.

"Jika pengundi Cina boleh memberikan undi sehingga 80%, ketika itu bebanan untuk mendapatkan undi Melayu semakin kurang," kata Dr Rosli yang pernah menjadi Penolong Gabenor Bank Negara itu.

Apakah PAS mampu memberikan sekurang-kurangnya empat lagi kerusi untuk menjatuhkan BN itu? Dr Rosli dengan penuh yakin, ia boleh dilakukan.

Hendak atau tidak, nampaknya Kerajaan BN akan jatuh dalam pilihan raya umum akan datang. Soalnya di mana orang Melayu Negeri Sembilan ketika itu?

Untuk memastikan kerajaan ini stabil nanti,  pengundi Melayu perlu mengundi PAS. Jika itu yang mereka lakukan, negeri akan stabil dan semua pihak akan mengecapi nikmat perubahan ini.

Tiada ulasan: