Isnin, 5 November 2012

250,240 ANAK LUAR NIKAH 250,240 x 2 SAMA DENGAN 500,480 PASANGAN TELAH BERZINA...ITU ADA ANAK...YANG ZINA TAK DE ANAK BERAPA PULA JUMLAHNYA...ALLAH LAH YANG TAHU...ADAKAH MASIH TAK MAHU LAKSANAKAN HUDUD...JANGAN JADI MAKHLUK YANG MUNAFIKLAH..DAN PENENTANG UNDANG2 ALLAH

PAS buat keputusan 'menjohorkan' PAS di Johor

Zulkifli Sulong, 05 Nov 2012
BATU PAHAT: PAS Johor mengambil pendekatan untuk 'menjohorkan' PAS di negeri ini dengan menjadikan seluruh aktiviti dan tindak tanduk para pemimpin dan ahlinya sesuai dengan sosiobudaya orang Johor.


Pendekatan ini disepakati oleh pimpinan PAS Johor dalam konvensyennya yang diadakan di Markas PAS Parit Sulong dekat sini semalam.

[Gambar: AJK Umno Labis, Datuk Abdul Rahman Yunus (bersongkok) bersembang dengan Mazlan Aliman dan Datuk Dr Mahfodz ketika menyertai konvensyen PAS Johor semalam.]

"Ada dua pendekatan, kita men'johor'kan  PAS atau mem'pas'kan Johor. Rasanya yang tepat adalah men'johor'kan PAS iaitu dengan kita di negeri ini mengamalkan budaya orang Johor kerana sememangnya kita orang Johor.

"Dengan cara inilah, kita akan bersama masyarakat dan seterusnya memimpin mereka menuju perubahan," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika menggulung perbahasan di Konvensyen PAS Johor.

Pandangan yang beliau mula cetuskan dalam ucaptama konvensyen ini turut disokong oleh para peserta konvensyen ini ketika mereka membahaskan ucapan beliau itu.

Melalui pendekatan ini, katanya, pemimpin PAS di semua peringkat perlu meraikan dan memimpin semua aktiviti orang Johor termasuklah majlis membaca Yassin yang dipanggil Yasinan di Johor, marhaban, berzanji dan sebagainya.

"Masa saya nak kahwin dulu, saya dipaksa berzanji. Lalu terpaksalah saya belajar berzanji sampai pandai. Tetapi lepas itu lupa.

"Lepas ini kita mesti berzanji dan memimpin pasukan berzanji, masuk pasukan rewang (gotong royong kenduri) dan memimpinnya, memimpin tahlil.

"Saya rasa kita ada kelebihan ini. Misalnya, bila tahlil, pemimpin Umno takut nak dekat sebab mereka tak pandai. Jadi kita kena mengambil kesempatan ini.

"Inilah yang dinamakan men'johor'kan PAS," kata Dr Mahfodz ketika menggulung perbahasan konvensyen itu.

Semasa memberikan ucapan dasarnya di konvensyen itu, Dr Mahfodz telah membentangkannya sebagai salah satu perkara yang perlu dilakukan oleh PAS di Johor untuk membolehkan PAS diterima dan seterusnya menang.

Untuk itu, katanya, PAS di Johor tidaklah perlu membawa budaya dari luar yang diamalkan oleh pemimpin dan pengikut PAS untuk mem'pas'kan Johor.

Cukup sekadar mengamalkan budaya orang-orang Johor yang sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam bahkan jelas ciri-ciri Islamnya.

PAS Johor juga, katanya, sedang mengkaji tentang kesenian yang diamalkan oleh rakyat Johor untuk turut diamalkan atau diterima oleh PAS sekiranya tidak bertentangan dengan Islam.

"Kuda kepang, ghazal dan tarian zapin...saya telah meminta Dewan Ulamak untuk mengkajinya. Mengikut kata Ketua Dewan Ulamak Johor, tidak salah asalkan tidak bercampur dengan pujaan iblis dan syaitan kepada sesetengah upacaranya," kata Dr Mahfodz.

(Kiri: Para peserta Konvensyen PAS Johor makan dalam talam sebagai salah satu budaya rakyat Johor yang cuba dihidupkan PAS dalam konvensyen ini.)

Semasa memberikan ucaptamanya, Dr Mahfodz berkata, PAS perlu memaplikasikan sepenuhnya strategi 'menjohorkan' PAS dalam membina jambatan untuk masyarakat.

"Menjohorkan PAS adalah dalam ertikata kita mengekalkan sosiobudaya Melayu di samping kita berjuang bersama PAS," katanya.

Beliau menggariskan tujuh ciri-ciri 'menjohorkan' PAS yang perlu dipertimbangkan.

Ia termasuklah meraikan budaya rakyat Johor (seperti yasinan, marhaban, rewang/kedarat dan tahlil), budaya kesenian popular rakyat (seperti ghazal, tarian zapin dan kuda kepang), budaya berpakaian (baju melayu teluk belanga, baju kurung Johor dan songkok tinggi Johor).

Selain itu, budaya makanan tradisional (asam pedas, nasi ambeng, laksa Johor, soto, ketupat dll), institusikan kerja kebajikan, budaya engagement dengan masyarakat Melayu dan meraikan budi bhasa Melayu Johor (misalnya menerang bukannya menyerang, memuji bukannya mengeji) dan lain-lain lagi.

Syria: Rakyat mangsa, pemimpin berlaga, musuh untung

TG Abdul Hadi Awang, 05 Nov 2012


Republik Arab Syria (selepas ini ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat, bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat.

Umum menyangkakan bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath paling kiri di kalangan negara Arab.

Dari segi hubungan dengan negara jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan.

Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China.

Kebangkitan rakyat berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya.

Mantan diplomat Amerika yang menulis makalah mengenai Fundamentalisme di Asia Barat sejak dua puluh tahun lalu, mendedahkan pengetahuan Barat yang mendukung demokrasi dan hak asasi manusia, bahawa mereka tahu dan faham kedudukan di Syria. Pihak Barat menyedari bahawa kerajaan minoriti Alawi Parti Ba’ath menguasai majoriti golongan Sunni yang kuat beragama dan betapa Hafez al-Assad dan anaknya berlakon sembahyang dan berbagai ibadat yang tidak ada dalam ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam yang menjadi ancaman paling bahaya kepada Israel dan kepentingan Barat.

Dalam senario sebegini, Bashar al-Assad pula bermain politik talam banyak muka, apabila dari satu sudut dilihat membenarkan para pejuang Palestin daripada Hamas dan Jihad, membenarkan Syria menjadi laluan bantuan pihak tertentu kepada Palestin dan Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi kemudahan membuka pejabat, pusat latihan dan kemudahan yang lain; manakala di satu sudut yang lain mempunyai hubungan sulit dengan Barat dan Negara haram Israel. Adapun seluruh negara Arab yang lain tidak memberi tempat dan peluang sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad mengharamkan kumpulan Islam yang sama sekiranya terdiri daripada rakyat Syria sendiri.

Kebangkitan rakyat yang berwajah Islam, secara demonstrasi aman pada awalnya mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba mendapat perhatian dunia luar khususnya negara Barat yang ada kepentingan masing-masing dan Israel, sama ada pergantungan sumber tenaga petrol dan gas, atau pergantungan dengan negara Zionis yang berpengkalankan di negara haram Israel. Dua perkara yang dianggap rukun hidup kepada barat : Minyak dan Israel.

Setiap pengamat politik yang insaf wajib melihat kepada aspek yang penting tersebut, sebelum menentukan sikap yang adil dan istiqamah. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama parti-parti Islam di negara lain mengadakan wacana khas bagi menangani isu ini.

Kami berpendapat bahawa Regim Bashar wajib diturunkan oleh rakyat Syria dan digantikan dengan kumpulan Islam tulen dengan proses demokrasi yang sebenarnya dan adil. Campur tangan asing hendaklah ditentang habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga hendaklah menarik sokongannya terhadap regim yang zalim itu, demi menjaga maruah negara itu kepada umat Islam. Negara-negara Arab dan berjiran seperti Turki pula jangan menjadi hamba kepada negara Barat yang menjaga keselamatan Israel, minyak dan gas, dan bukannya ikhlas terhadap rakyat Syria yang dizalimi. Barat bukan sahaja dilihat bahkan terus bertindak dengan menunjukkan usaha mereka yang jelas untuk mencari pemimpin pro Barat yang lebih menjaga kepentingan mereka selain daripada Bashar, dan bukannya melihat kepada kepentingan 74% umat Islam di Syria. Selagi pemimpin yang dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak berhasil, maka Bashar akan terus dikekalkan, kerana mereka berpendapat bahawa kedudukannya lebih baik di kalangan yang zalim itu daripada yang lain.

Negara Arab, Turki dan Iran pula sepatutnya bersatu menghadapi negara haram Israel, bukannya berkhilaf dalam isu Syria sehingga terperangkap dengan agenda musuh timur dan barat. Semua pihak perlu kembali kepada sejarah secara ikhlas, meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik perkauman dan kerusi singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara besar itu turut terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan masih terus mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini. Mereka jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam untuk menerima Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi Persidangan Annapolis pada November 2007; yang membahagiakan dua negara iaitu satu untuk Zionis dan satu untuk Arab Palestin (satu pembahagian yang zalim dan khianat).

Sekiranya negara-negara Arab, Iran dan Turki saling menyatukan sumber tenaga manusia, sumber semula jadi di perut bumi dan teknologi yang sudah mencapai kemampuan menghadapi cabaran, maka sudah tentu ancaman negara haram Israel ini dapat diatasi.

Hingga kini kita masih terus menunggu setakat mana pencapaian Resolusi Makkah daripada sidang kemuncak OIC yang berlangsung pada bulan Ramadan lalu. Penyelesaian sebenar hanya akan dicapai apabila OIC dibebaskan dari berkiblat ke arah kuasa asing dan mula berkiblatkan Kaabah di Makkah. Perhatikan sehingga mana usaha penemuan susulan OIC di kalangan empat negara penting terdekat dengan masalah yang sedang berlaku iaitu : Mesir, Turki, Arab Saudi dan Iran. Atau adakah Syria akan atau sedang turut menjadi medan ujian senjata kuasa barat dan timur, di mana negara-negara jiran menjadi pengkalan bekalannya, dibayar pula dengan duit dan minyak Arab, akhirnya yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Penyelesaiannya ialah memperkasakan OIC, supaya benar- benar mewakili umat Islam. Syria adalah medan paling sesuai supaya dipulangkan hak kepada rakyat dengan pilihanraya adil secara langsung di bawah kendalian OIC. Pemimpin negara menjadi ujian sama-sama beramanah atau bersedia jadi pengkhianat dan menerima hukum Allah Yang Maha Adil.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Antara Obama dan Dr Mursi

Subky Latif, 05 Nov 2012
Dalam masa 100 hari Dr Mohammad Mursi menjadi Presiden Mesir, banyak  cabaran dihadapkan kepadanya baik oleh orang dalam negeri dan oleh pemerhati luar.

Antaranya, tiada perubahan mendadak atas kehidupan rakyat dan tiada janji pilihan raya yang ketara dapat dilakukannya.

Jika masuk tahun ke lima, Tan Sri Khalid Ibrahim menunjukkan berbagai-bagai kecemerlangan dalam pentadbiran dan pembangunan di Selangor, masih banyak yang mendakwa dia tidak dapat berbuat apa-apa, maka tidak banyak yang dipelikkan kiranya anti-Ikhwanul Muslimin dalam dan luar negara mendakwa Dr Mursi tidak dapat melaksanakan janjinya dalam pilihan raya.

Apapun, sebagai seorang yang terdidik dalam tarbiyah  Islam yang tinggi, Dr Mursi tentu dapat meningkatkan kesabaran atas segala apa yang orang rasa bagi pentadbirannya yang tiga bulan itu dan menjadikan segalanya sebagai motivasi mencabarnya untuk bekerja dan bertindak bijak dan berterusan.

Saya tidak bercadang untuk menyentuh beberapa tindakan yang sudah diambilnya tetapi saya suka membandingkan pemerintahannya yang sesuku tahun jagung – belum setahun  jagung – dengan pencapaian sepenggal empat tahun Presiden Barack Obama di Amerika.

Dengan segala perancangan dan persiapannya untuk ke Rumah Putih dulu, dengan ratusan penasihat, Obama telah memberikan sepenuh masa dan  tenaga bagi mengisi janji pilihan rayanya, tetapi dia masih berhempas pulas untuk mengatasi segala keburukan yang ditinggalkan oleh Presiden George W Bush selama dua penggal sebelumnya.

Bush mewarisi pentadbiran yang agak selesa dan pekembangan ekonomi yang baik daripada pentadbiran Bill Clinton. Penggal kedua Clinton berjaya membaiki prestasinya yang kurang menyerlah bagi penggal pertama dan ketika dia keluar dari Rumah Putih, Amerika berada dalam keadaan yang selesa dalam  dan luar negeri.

Tetapi semua itu telah dihancurkan oleh pentadbiran Bush. Dia membawa Amerika berperang di dua negara – Iraq dan Afghanistan. Selain kerosakan imej dalam dunia diplomasi, terlalu banyak bajet yang digunakan untuk menghadapi perang itu hingga menjejaskan tumpuan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Obama datang dengan janji untuk mengeluarkan Amerika daripada gambaran comot itu. Bermacam-macam dia buat tetapi dia belum dapat memulihkan kerosakan yang ditinggalkan Bush. Yang ketara, dia tidak dapat menutup kem tahanan Guatanamo Bay yang menempatkan tahanan al-Qaeda dan pejuang Taliban yang dijanjikannya. Macam-macam percubaan dibuatnya tetapi ia boleh boleh ditutup.

Penggal pertama sudah habis, tenteranya belum dapat dikeluarkan dari Afghanistan.

Krisis ekonomi dan kewangan yang ditinggal oleh Bush bukan saja belum dapat diatasi tetapi tidak dapat disekat untuk jadi lebih buruk dan  tidak menentu.

Pencabarnya dari Republikan, Mitt Romney melihatnya Obama, seorang Presiden yang gagal dan Obama berhempas pulas untuk menangkisnya dan belum berjaya meyakinkan sebahagian pengun atas pagar.

Kalau Obama yang punya segala kemudahan dan dikelilingi oleh penasihat pakar dalam  semua bidang masih belum dapat membaiki Amerika yang lapan tahun saja ditadbir Bush, maka Dr Mursi dengan segala masalah yang ditinggalkan selama 30 tahun lebih pentadbiran rasuah diktator Hosni Mubarak dan peninggalan Presiden sebelumnya, tidaklah mudah untuk diatasi dalam masa suku tahun.

Revolusi Perancis mengambil masa 100 untuk memulihkan kehidupan rakyat, Jerman Barat mengambil masa 30 tahun untuk memulihkan Jerman daripada kemusnahan perang Nazi Hitler, maka Mesir dan dunia mesti memberi waktu yang secukupnya kepada Dr Mursi untuk memenuhi tuntutan revolusi rakyat.

Dia  tidak membawa tongkat mukjizat seperti Nabi Musa a.s. dan tidak juga Lampu Aladin, tetapi dia membawa program mengembalikan kehidupan  Islam. Dipercayai Ikhwanul Muslimin tidak menunggu 100 tahun atau 30 tahun untuk membawa kestabilan di bumi Mesir.

Guru j-QAF dianiaya

j-QAF yang dizalimi,
Keputusan perpindahan guru yang diumumkan pada 3 november 2012 menunjukkan berlakunya sikap tidak adil dan zalim Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap guru j-QAF yang telah lama berkhidmat di sabah dan Sarawak. Keputusan di luar dugaan bagi kami pasangan suami isteri guru j-QAF ambilan sulung tahun 2005, iaitu kami menjangkakan kami akan dipindahkan ke semenanjung setelah lapan tahun berkhidmat di Sarawak. Apatah lagi guru j-QAF yang baru telah tiba bagi menggantikan tempat kami.

Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku malah sebaliknya iaitu guru j-QAF yang bujang dan baru berkhidmat di Sarawak dapat bertukar kembali ke Semenanjung.

Kami tidak pasti apakah yang pegawai di bahagian pertukaran kementerian pelajaran fikirkan sehinggakan sanggup melakukan tindakan tidak masuk akal dengan meluluskan perpindahan tersebut sedangkan kami yang berkeluarga ini disekat. Apakah syarat dan kriteria yang mereka lihat? Apakah pasangan suami isteri guru j-QAF yang berkeluarga serta mempunya anak seperti kami disisihkan dan dinafikan hak berpindah sedangkan dari segi kesusahan dan bebanan golongan kami yang lebih merasainya? Kami yang mempunya anak-anak sangat terbeban berada lama di bumi Sarawak ini.

Masalah dan bebanan ini jauh lebih berat berbanding masalah guru j-QAF yang bujang dan baru pula berkhidmat berbanding kami. Tidak kasihankah mereka melihat kami mengendong anak ke hulu ke hilir menaiki bot, bas dan kapal terbang setiap kali pulang ke kampung? Apatah lagi kesulitan membesarkan anak-anak di tempat orang tanpa bantuan dari keluarga? Kekadang kami terpaksa memendam kesedihan kerana tidak mampu pulang menatap wajah insan tersayang yang meninggal dunia kerana kos penerbangan kami sekeluarga sangat membebankan.

Guru yang bujang bila-bila masa dapat terbang pulang ke kampung dengan selesa. Banyak perbezaan bebanan guru yang berkeluarga berbanding guru yang bujang tetapi apa yang lebih dipersoalkan ialah kenapa tempoh berkhidmat kami tidak diambil kira.

Dulu kementerian memberi alasan kerana tiada pengganti, sebab itu kami tidak dilepaskan. Tetapi sekarang apabila sudah ada pengganti kami masih disekat malah golongan yang lain pula dilepaskan.

Kami memohon belas kasihan kementerian pelajaran menimbang dan meneliti sebaiknya keputusan yang mereka buat kerana sekiranya berlaku ketidakadilan seperti ini boleh menjejaskan semua pihak terutama kepada guru dan murid itu sendiri.  Sedarlah para pegawai yang membuat keputusan ini, amalan anda yang tidak adil ini tetap dicatat oleh malaikat. Berlaku adil dan laksanakan amanah tanpa mengira kepentingan diri.

Jika mereka meluluskan perpindahan saudara mara, sahabat, kenalan mereka dengan menggunakan jawatan mereka, ketahuilah mereka telah menafikan hak orang lain. Kementerian Pelajaran perlu memandang serius perkara ini sebelum melaungkan pelan pendidikan bertaraf dunia itu.

Pakatan di landasan kukuh untuk kuasai Putrajaya

Mohd Rashidi Hassan, 05 Nov 2012
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan 3 November 2012 di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan, merupakan satu lagi kejayaan permuafakatan rakyat yang jelas menyokong sebuah front alternatif bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Puluhan ribu rakyat, terdiri dari kalangan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain, bersatu tenaga membuktikan bahawa, front yang mereka dokongi, iaitu Pakatan Rakyat, mendapat sokongan rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira fahaman agama, bangsa, mahu pun had umur.

Malangnya media pro Umno-BN, cuba untuk menipu rakyat dengan 'lawak bodoh' memaparkan gambar pada waktu petang sebelum majlis sebenar bermula. Itu pun mereka meletakkan kehadiran ke Himpunan Kebangkitan Rakyat sekitar 10,000 orang.

Mereka sebenarnya hanya boleh menipu orang-orang Umno dan segelintir anggota komponen BN yang tidak ada access dengan internet. Menerusi internet dengan jelas kita boleh lihat dengan jelas foto-foto yang menggambarkan betapa 'genuine'nya himpunan puluhan ribu rakyat.

Atau pun barangkali media massa pro Umno ini, cuba untuk memastikan pendokong mereka berada dalam tahap minda yang dogmatik seperti 'katak di bawah tempurung'. Kerana jika ada kalangan ahli mereka yang terbuka minda, yang boleh access kepada internet, mungkin mereka akan beralih arah untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Apa pun, yang jelas di sini adalah gambaran sebenar betapa kuatnya kuasa rakyat yang mahukan arus perubahan berlaku dalam negara.

Pada tahap ini kita tidak harus bicara tentang apa kehendak PAS, apa kehendak PKR atau apa kehendak DAP dalam menentukan arah mana rakyat hendak di bawa.

Hakikatnya gabungan PAS, PKR dan DAP sebenarnya memimpin politik mengikut arus kehendak rakyat.

Selepas 12 kali Pilihan Raya Umum dilaksanakan dalam negara kita, rakyat sudah mulai sedar bahawa, mereka perlu mendokong sebuah pakatan yang kuat untuk menggantikan Barisan Nasional.

Pakatan yang didokong oleh kuasa rakyat, mulai dikesan pada PRU ke-12 yang berlangsung pada tahun 2008, iaitu 51 tahun selepas Malaya merdeka.

Sejak merdeka, parti Perikatan yang dijenamakan sebagai BN, terus berkuasa sehingga sekarang. Tempoh kuasa mereka sudah mencapai 55 tahun.

Dalam sistem demokrasi moden, tiada parti yang benar-benar boleh bertahan sebegini lama. Jika kita melihat sistem demokrasi secara bebas yang diamalkan negara-negara membangun, kerajaan mereka sering bertukar.

Pertukaran ini tidak banyak mengubah dasar pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Semua parti yang berusaha memegang tampuk kuasa, sudah pasti akan mengutamakan kepentingan rakyat.

Parti yang didapati mementing dan mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme akan dijatuhkan oleh rakyat.

Rakyat di mana-mana negara sudah semakin cerdik dan matang. Mereka tidak lagi dibelengu oleh sistem feudalisme dan kapitalisme.

Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang adil dan saksama kepada semua pihak, tanpa dibatasi ideologi politik, pegangan keagamaan, mahu pun warna kulit.

Jika sesebuah kerajaan, dipimpin secara tidak amanah, pemimpin mengkayakan diri, anak-beranak dan kroni, rakyat akan bangkit membuang undi untuk menolak mereka dari tampuk kuasa.

Itulah nasib yang dialami bekas Presiden Filipina dan bekas PM Itali yang kini berhadapan dengan tuduhan rasuah, selepas mereka tidak berkuasa lagi.

Ramai lagi diktator, khususnya di negara-negara Teluk yang tumbang seorang demi seorang oleh kekuatan kuasa rakyat.

Inilah juga fenomena yang ditakuti pemimpin Umno, MCA, MIC, Gerakan, PBB dan seluruh anggota komponen BN.

Wajah pemimpin-pemimpin mereka sudah terpalit dengan gejala salahguna kuasa dan rasuah, daripada sekecil-kecil projek, sehinggalah sebesar NFC, Perwaja, PKFZ dan banyak lagi, semuanya bersifat skandal.

Inilah realiti yang kita hadapi di Malaysia hari ini. Kuasa yang dinikmati BN selama 55 tahun menyebabkan mereka sudah menjadi 'kebal' dan angkuh. Kuasa yang mereka nikmati sudah terlalu lama dan tidak harus lagi diberi ruang untuk berkuasa lagi.

Dengan sebab itu, rakyat Malaysia sudah mempunyai alternatif kepada BN. Rakyat menyukai perjuangan Pakatan Rakyat kerana ia terbukti membawa kesejahteraan ekonomi, keamanan sosial dan menyuburkan demokrasi di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Justeru, selepas rakyat dapat menilai model pemerintahan yang baik, maka pada PRU ke 13 nanti, memilih Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN, Insya Allah akan menjamin masa depan yang lebih baik buat rakyat.

Pemimpin pembangkang Syria bertemu di Qatar

Terjemahan Mohamad Yahya, 05 Nov 2012
Pemimpin-pemimpin kumpulan pembangkang Syria mengadakan satu persidangan di ibu kota Qatar untuk menyusun semula struktur mereka, dalam usaha terbaru untuk membentuk sebuah barisan politik dan ketenteraan anti kerajaan yang bersatu.
Pertemuan itu diadakan dengan keganasan terus melanda Syria. Briged kumpulang penentang mengaku bertanggungjawab atas letupan di ibu negara Syria, manakala kumpulan hak asasi anti-kerajaan berkata pertempuran baru telah tercetus di tempat lain di Damsyik.

Amerika Syarikat sedang berusaha mencadangkan kepimpinan baru, dengan ramai komander tentera dan sedikit buangan Syria untuk dipilih di mesyuarat di Doha, yang diadakan selama lima hari, bermula Ahad lalu.

Namun masih terdapat kebimbangan besar,sama ada kumpulan-kumpulan pembangkang yang  mempunyai pelbagai ideologi boleh membentuk satu struktur  yang bersatu  padu dan dapat bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa.

Pembangkang Syria, Riad Seif menafikan Ahad lalu bahawa dia merancang untuk mengetuai kerajaan dalam buangan. Beliau disebut-sebut sebagai calon pemimpin kerajaan baru yang digelar Inisiatif Kebangsaan Syria (Syrian National Initiative).

Tetapi lawan utama kepada rejim Presiden Bashar al-Assad itu bertegas bahawa dia tidak mahu untuk memimpin kerajaan dalam buangan.

"Saya tidak sepatutnya menjadi calon untuk memimpin kerajaan dalam buangan. Saya berumur 66 tahun dan mempunyai masalah kesihatan," katanya kepada pemberita menjelang perhimpunan Doha.

Ratusan tokoh dari kumpulan pembangkang Syria mengambil bahagian dalam persidangan itu, kesemua mencari jalan menjatuhkan Assad dan menamatkan konflik selama 19 bulan yang telah membunuh puluhan ribu orang.

Bagaimanapun,beberapa kumpulan utama tidak hadir, termasuk Badan Koordinasi Kebangsaan (National Co-ordination Body), saingan kepada Majlis Kebangsaan Syria (Syrian National Council), dan Barisan Demokratik Kebangsaan (National Democratic Front).

Isu utama ialah sama ada Majlis Kebangsaan Syria (SNC), yang sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang dalam buangan dan ahli akademik, akan menyokong inisiatif Amerika Syarikat dalam menubuhkan satu pasukan kepimpinan yang terdiri dari 50 ahli dengan majoriti ahlinya dari dalam Syria.

Di bawah pelan tersebut, yang dipanggil Inisiatif Kebangsaan Syria (SNI), kepimpinan baru akan melibatkan anggota Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army), sebuah kumpulan tentera pemberontak yang telah melawan tentera Syria selama berbulan-bulan. Ia juga akan melibatkan ahli-ahli kumpulan politik dan majlis-majlis tempatan di Syria.

Beberapa kepimpinan semasa SNC  akan dimasukkan ke SNI tetapi pengaruh SNC akan berkurangan di bawah SNI.( aljazeera.com)

Mahkamah Jordan tangguh keputusan kes bekas ketua perisikan

Terjemahan Mohamad Yahya, 05 Nov 2012
AMMAN: Sebuah mahkamah jenayah di Jordan berkata ia telah menangguhkan keputusan bagi kes bekas ketua perisikan, Mohammed al-Dahabi atas dakwaan penyelewengan dana awam, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.
Hakim, Akhras Nashaat memberitahu Mohammed al-Dahabi di mahkamah Ahad lalu bahawa keputusan akan disebut pada 11 November, tanpa memberi sebarang sebab.

Al-Dahabi mengetuai Jabatan Perisikan Am dari tahun 2005 hingga 2008.

Beliau akan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun jika sabit kesalahan.

Beliau telah ditangkap Februari lalu, apabila pemeriksa dari Bank Pusat Jordan  mengesyaki transaksi yang bernilai jutaan dolar telah melalui akaun banknya.

Kes yang jarang berlaku terhadap pegawai berprofil tinggi menunjukkan kesungguhan Jordan dalam menangani rasuah dan salah guna kuasa - permintaan yang dilaungkan dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan baru-baru ini. (asharq-e.com)

Melaka paling kuat Umno BN, bukan Johor

Zulkifli Sulong, 05 Nov 2012
BATU PAHAT: Kajian yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mendapati Johor bukannya negeri yang paling kuat Umno dan BN kerana kubu paling kuat Umno adalah Melaka.

Pengarah Operasi PPP, Dr Zuhdi Masduki (gambar) berkata, sekurang-kurangnya 14 daripada 26 kawasan Parlimen di Johor berada di bawah 50 peratus sokongan tradisi rakyat kepada Umno dan BN.

Ini bermakna, pembangkang mempunyai peluang yang besar untuk mengalahkan BN di negeri ini.

Kawasan-kawasan itu adalah Segamat,  Labis, Ledang, Bakri, Muar,  Batu Pahat,  Kluang, Gelang Patah, Tebrau, Pasir Gudang, Tebrau, Johor Baru, Pulai dan Kulai.

Menurut Zuhdi, lima kriteria diambil kira ketika menentukan Umno dan BN mendapat sokongan rakyat atau tidak di negara ini iaitu keahlian Umno, keahlian Rela, petugas Kemas, ahli Pertubuhan Peladang dan ahli persatuan belia yang terletak di bawah pejabat belia daerah.

"Mereka yang berdaftar dalam organisasi ini dikira pro Umno dan BN yang dijangka berpotensi tinggi akan mengundi Umno dan BN dalam setiap kali pilihan raya," kata Zuhdi dalam Konvensyen PAS Johor semalam.

Kira-kira 750 peserta yang terdiri dari pemimpin PAS kawasan di Jojor menyertai konvensyen yang bertema 'Pecutan terakhir  menuju Nusajaya' ini.

Konvensyen ini dikira persiapan terakhir PAS Johor untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pelbagai kertas kerja dibentangkan dalam konvensyen ini yang semuanya membayangkan Pakatan Rakyat mampu menjatuhkan Umno dalam pilihan raya ini.

Apa status 250,204 anak luar nikah yang berdaftar

Harakahdaily, 05 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Siti Zailah Mohd. Yusoff [PAS-Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan status 250,204 orang anak luar nikah yang berdaftar di Malaysia sejak tahun yang lalu.


Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu turut bertanya apakah usaha kerajaan menangani isu zina yang semakin merebak dan mengurangkan kadar kelahiran anak haram di Malaysia.

Beliau bertanya demikian dalam soalan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PAS yang turut mengemukakan soalan hari ini seperti di bawah.

Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah "Saman Postal" (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan oleh PDRM semasa Ops Selamat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri yang lepas.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan menyatakan apakah asas yang digunapakai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan bayaran sehingga RM2,000 satu hari ke atas Jemaah Haji dan Umrah yang menggunakan Internet Roaming.

Che Uda Che Nik [Sik] minta Menteri Kewangan menyatakan kedudukan Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac 2011, berapa ramaikah dari kalangan golongan ini telah dapat diberi rumah, mohon data dikemukakan mengikut negeri.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha Kerajaan untuk memastikan kelayakan pemohon untuk mendapatkan rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat).

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Syarikat MMC akan mengambil alih pengurusan atau seluruh aset Syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Menteri Kewangan menyatakan terhadap penjelasan nama baik dan imej negara di kaca mata dan radar pelabur asing, bersabit pelbagai dakwaan dan kontroversi dalam pemberian kontrak LRT Ampang dengan nilai RM960 billion kepada Konsortium George Kent yang melibatkan 8 pembida internasional berwibawa bersama rakan-rakan JV local mereka.

‘Tak mahu terlanjur lagi’



Soalan SAYA, wanita berumur pertengahan 20-an, bekerja dan tinggal bersama keluarga serta masih belum berkahwin.
Sebelum ini saya mempunyai teman lelaki ketika belajar di universiti. Saya namakan dia A. Selepas beberapa lama berkawan, kami terlanjur. Saya rasa bersalah kerana itu kali pertama melakukannya.

Saya terus berkawan dengan A hinggalah saya mendapat tahu dia bertunang. Saya amat marah dan sedih kerana dia menipu saya.

Saya memutuskan perhubungan dengan A dan bertemu beberapa lelaki lain. Mulanya, saya amat menyukai dan ingin serius dengan seorang lelaki.

Saya bersikap jujur dengannya dengan memberitahu bahawa saya pernah terlanjur. Saya ingatkan dia dapat menerima dengan hati terbuka malangnya ada maksud lain.

Dia juga ingin meniduri saya. Sejak itu, saya tidak mahu serius dengan sesiapa kerana menganggap lelaki hanya mengambil kesempatan.

Saya berasa diri amat hina sekali, walaupun solat lima waktu tapi tetap melakukan zina.

Kali terakhir saya mempunyai teman lelaki, dia juga mahu meniduri saya lalu saya nekad memutuskan hubungan. Saya amat sedih.

Sejak dari itu saya berazam untuk berubah dengan menjauhkan diri daripada zina. Mujurlah saya mendapat kerja berhampiran rumah ibu bapa jadi pergerakan saya sedikit terbatas.

Namun, sejak akhir-akhir ini, hati saya teringin berkawan dengan lelaki tapi takut kerana teringat cerita lama. Saya sengaja menduga beberapa kenalan lelaki dengan mengatakan bahawa saya pernah terlanjur. Mereka juga seperti lelaki-lelaki sebelum ini, berniat jahat.

Saya tidak tahu sampai bila ia akan berterusan begini. Saya kasihankan ibu bapa yang sentiasa mendoakan saya diberikan suami yang baik.

Saya tidak tahu bagaimana harus saya luahkan. Saya tidak mahu berzina lagi, sebaliknya ingin berkawan dan bersikap jujur.

Tolong lah saya Dr.

GADIS SEDIH,

Selangor.

Jawapan

DR simpati dan dapat memahami jiwa adik. Orang yang kehilangan sesuatu yang amat disayangi (kesucian diri) berkemungkinan berasa rendah diri.

Begitu juga individu yang berasa dihina dan tidak dipunyai sering merasa kehilangan harga diri. Keperluan psikologi ialah seseorang itu akan mengalami rasa cinta dan rasa dihargai.

Individu yang tidak ada rasa dicintai akan mengalami kegagalan identiti, kurang keyakinan diri dan cepat putus asa (Glasser 1984).

Adik tidak mendapat kedua-dua perasaan tersebut (dicintai dan dihargai). Sebaliknya, bekas kekasih dan teman lelaki hanya memanipulasi adik untuk memenuhi elemen id (keseronokan) mereka saja.

Kenyataan seperti ‘saya sangat sedih dengan diri saya’ dan ‘saya berasa diri hina sekali’ dalam konteks psikologi boleh memberi kesan kepada kecenderungan untuk merasai malu yang amat mendalam.

Individu cenderung untuk memperbesarkan masalahnya atau melihatnya dengan perasaan amat sedih. Inilah yang adik sedang rasa dan alami.

Keadaan ini biasanya akan menghasilkan perasaan takut dan bimbang yang bukan-bukan. Pemikiran menjadi tidak rasional dan sifat yang tidak rasional ialah lemah semangat atau tanpa harapan hidup.

Apa yang boleh dilakukan dalam konteks permasalahan adik ialah mencabar pemikiran mengenai kepercayaan bahawa semua lelaki yang adik kenali hanya mahu meniduri adik.

Adik boleh membina kenyataan diri yang realistik dan rasional.
Usahakan menukar pemikiran tidak rasional (tiada lelaki yang ikhlas berkawan dengan adik) dengan yakin dan percaya bahawa satu hari nanti adik akan bertemu lelaki yang mencintai adik.

Lakukan latihan mencabar pemikiran adik ini berulang kali. Ia akan membantu meredakan perasaan.

Dr melihat adik mempunyai keinginan sangat tinggi untuk berubah seperti berdoa kepada Allah agar dikurniakan suami yang dapat membimbing adik ke jalan yang diredai dan berazam tidak berzina.

Berterusanlah memohon doa. Adik juga kasihankan ibu bapamengetahui mengenai diri adik.

Dr doakan apa yang adik inginkan daripada perubahan ini akan berjaya. Allah SWT sentiasa memerintahkan umat-Nya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8)
Firman Allah: “Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai sekalian orang-orang Mukmin, semoga kamu mendapat kebenaran.” (an-Nur, 31)

Perit teringat kisah lama



SAYA suami muda yang baru mendirikan rumah tangga. Hidup saya ceria seisi keluarga, tetapi ada sesuatu yang sering membuatkan saya terganggu dan merasakan kekesalan yang amat mendalam.
Kisahnya bermula dua tahun sebelum berumah tang�ga. Saya mengenali gadis (A) yang berumur lebih tua daripada saya. Walaupun begitu, dia memiliki rupa paras menawan. Saya mengenali A pada zaman persekolahan kerana dia menjadikan saya adik angkat. Selepas tamat persekolahan, kami terpisah kerana menyambung pelajaran masing-masing.

Selepas lama terputus hubungan, kami bertemu kembali dalam laman sesawang. Di situ, bermulalah kembali hubungan adik-kakak dan ketika itu juga A sudah berumah tangga. Pada mulanya hubungan kami normal, tapi lama kelamaan menjadi serius. Timbulnya kemesraan apabila A sering berkongsi cerita mengenai kehidupannya yang bosan dan sunyi. Suami A sering keluar dan lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakannya. Mereka juga masih belum mendapat cahaya mata menyebabkan A bosan.

Mungkin disebabkan kekurangan kasih sayang dan perhatian suami, A berkongsi kasih sayang dengan saya. Pada masa itu, saya bujang dan tiada teman wanita hingga akhirnya terjebak dalam cinta songsang iaitu skandal bersama isteri orang. Mungkin disebabkan pemikiran yang belum matang, saya termakan ayat-ayat manis dan tidak dapat berfikiran secara rasional atas tindakan saya.
Sehinggalah pada suatu hari, hubungan mesra kami terbawa-bawa hingga ke kamar tidur. Kejadian itu berlaku apabila A datang ke rumah saya disebabkan bosan duduk keseorangan di rumah.

Kami terlanjur begitu jauh. Sejak itu, saya mula menjauh�kan diri walaupun A sering kali menghubungi. Akhirnya A memberitahu dia sudah mengandung menyebabkan saya bertambah runsing.

Saya menyuruhnya menggugurkan kandungan itu, tetapi A enggan. Saya cukup kesal dengan keterlanjuran itu. Kami masih berhubung, tetapi tidak berjumpa.

Saya semakin takut apabila A sering mendesak untuk melakukan lagi perbuatan terkutuk itu untuk membolehkan dia memperoleh seorang lagi cahaya mata. Saya mengelak dan memberitahunya betapa saya kesal dengan apa yang berlaku dan bertaubat tidak mahu mengulangi dosa itu lagi. Saya tidak tahu macam mana hendak berhadapan dengan suami A dan apa yang akan terjadi atas diri saya sekiranya memberitahu perkara yang sudah saya lakukan bersama isterinya.

Berilah pandangan dan jalan kepada saya supaya mampu memperbaiki diri.

Suami Gelisah
PERAK




KATA-KATA ‘di mana anda berdiri, di situlah perlumbaan kehidupan anda dan lupakan masa silam’ boleh membantu adik untuk tidak terus terperangkap dengan kisah silam yang bukan saja memeritkan, tapi berkesan� buruk terhadap jalur perkahwinan adik. Ikhlas Dr rasa adik sudah ‘celik akal’ apabila menyesali perbuatan yang lalu. Adik juga bertaubat tidak akan mengulangi dosa itu dan ia satu tindakan yang bijak.

Kata pepatah, ‘dunia ini umpama lautan luas, kita adalah kapal yang belayar
di lautan. Sudah banyak kapal karam di dalamnya. Andai muatan kita adalah iman dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat daripada tersesat di lautan hidup ini.’

Apa yang adik perlu lakukan ialah tidak terlalu menghukum diri dan bersifat asertif untuk tidak berhubung lagi dengan A. Dengan masih menghubungi A, adik memberi harapan yang A akan gunakan sepenuhnya untuk terus bersifat oportunis.
A cuba memperdayakan dengan meminta adik melakukann perbuatan terkutuk itu untuk dia memiliki seorang lagi cahaya mata sebagai teman anak pertamanya.

Adik bukan saja dapat memuaskan nafsu, tapi dilihat sebagai ‘alat’ untuk A mendapatkan apa yang dia tidak peroleh daripada suaminya. Adik ibarat ‘tabung uji’ untuk A mendapat seorang lagi anak.

Dengan berterusan berhubung dengan A, adik juga bersifat tidak adil kepada isteri dan perkahwinan. Tentu sekali hancur hati isteri apabila mengetahui perkara ini. Jika sayangkan perkahwinan yang baru dua tahun dibina, adik tidak boleh terus menerus memberi harapan dan hati kepada A kecualilah sebenarnya adik memang sayang dan tidak mahu melepaskan A kerana kecantikan dan faktor lain.

Adik perlu membuat keputusan terbaik dalam perkara ini. Tanya diri apakah perkara paling penting dalam hidup sekarang? Fokus kepada perkara itu. Jika tidak, adik mungkin hilang keindahan berumah tangga sedikit demi sedikit.

Ingatlah ‘akal itu menteri yang menasihati, hati itu ialah raja yang menentukan’. Semoga akal dan hati adik akan memilih jalan terbaik.


Mudahnya nak gugur!

Oleh SHAMRAN SARAHAN, ANIZA ZAINUDIN dan HIDAYATUL AKMAL AHMAD
metahad@hmetro.com.my

SIASAT... wartawan Metro Ahad menyamar berkunjung ke klinik yang disyaki menyediakan khidmat pengguguran janin.
SIASAT... wartawan Metro Ahad menyamar berkunjung ke klinik yang disyaki menyediakan khidmat pengguguran janin.
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga klinik pakar wanita di ibu kota dikesan menawarkan khidmat menggugurkan janin kepada pelajar sekolah yang terbabit dalam hubungan terlarang.
Penemuan ini hasil penyamaran tiga wartawan Metro Ahad yang berkunjung ke klinik terbabit sejak dua minggu lalu. Seorang berlakon sebagai pelajar perempuan yang berpakaian seragam sekolah, seorang berlagak sebagai kekasih, manakala seorang lagi menyamar sebagai kawan baik.
Berdasarkan siasatan, pelajar yang hamil kurang tiga bulan sangat mudah melakukan pengguguran janin. Prosedurnya ringkas, hanya perlu pergi kaunter, buat temu janji dan bayaran pendaftaran RM50, seterusnya berjumpa doktor untuk proses pengguguran.

Tanpa perlu diiringi ibu bapa atau keluarga terdekat, kos keseluruhan pengguguran janin hanya antara RM1,200 hingga RM2,500 bergantung kepada saiz kandungan.

“Jumpa doktor dulu untuk periksa. Kalau okey, sediakan duit saja, kita akan buat (pengguguran). Tak perlu takut,” kata seorang jururawat ketika wartawan mengunjungi sebuah klinik di Ampang.

Tiada ulasan: