PERBUATAN YANG MAKHRUH DALAM SOLAT
Dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda,
من صلى صلاة لوقتها وأسبغ وضوءها وأتم ركوعها وسجودها وخشوعها عرجت وهى بيضاء مسفرة تقول حفظك الله كما حفظتنى ومن صلى لغير وقتها ولم يسبغ وضوءها ولم يتم ركوعها ولا سجودها ولا خشوعها عرجت وهى سوداء مظلمة تقول ضيعك الله كما ضيعتنى حتى إذا كانت حيث شاء الله لفت كما يلف الثوب الخلق فيضرب بها وجهه
Maksudnya : Barangsiapa menunaikan solat pada waktunya dan melengkapkan wuduknya serta menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya nescaya solat itu akan terangkat ke langit dalam keadaan putih dan cemerlang. Ujar solat itu : Semoga Allah memelihara engkau sebagaimana engkau memelihara aku. Barangsiapa menunaikan solat di luar waktunya dan tiada pula melengkapkan wuduknya serta tiada menyempurnakan rukuknya, sujudnya dan khusyuknya nescaya solat itu akan terangkat dalam keadaan hitam legam. Ujar solat itu : Semoga Allah menyia-nyiakan engkau sebagaimana engkau menyiakan aku. Apabila ia telah sampai ke tempat yang ditetapkan Allah, maka ia pun dilipat-lipat sebagaimana dilipatkan baju yang koyak-koyak lalu dicampakkan solat itu kemuka orang yang melakukannya.
Huraian
Hadis ini mengingatkan kita tentang pentingnya memelihara solat dan mengetahui hal-hal yang mengurangkan pahala solat atau sesuatu yang menyebabkan solat kita ditolak oleh Allah SWT. Antara perkara yang mengurangkan pahala solat ialah apabila melakukan perkara-perkara makruh seperti berikut :
1. Mendongak kepala ke atas.
Hadis Nabi saw,
عن أنس بن مالك رضى الله عنه قال : قال رسول الله (ص) : ما بال أقوام يرفعون أبصارهم إلى السماء فى الصلاة فالشتد قوله فى دلك حتى قال لينتهن عن ذلك أو ليحطفن أبصارهم
Maksudnya : Mengapa ramai orang yang mendongakkan wajahnya ke langit ketika solat ? Baginda megeraskan suaranya ketika mengucapkan hal tersebut sampai baginda bersabda : Hendaklah mereka berhenti dari perbuatan itu atau mata mereka dibutakan.
2. Menoleh-noleh ke kanan atau ke kiri.
Dalilnya sabda Rasulullah saw,
لا يزال الله مقبلا على العبد فى الصلاة ما لم يلتفت , فإ دا صرف وجهه انصرف عنه
Maksudnya : Allah SWT sentasa menerima hamba-Nya ketika ia sedang solat selama mana ia tidak menolah. Jika ia menolah maka Allah SWT pun berpaling daripadanya.
3. Berdiri sambil bercekak pinggang.
Sabda Rasulullah saw,
الإختصار فى الصلاة راحة أهل النار
Maksudnya : Bercekak pinggang ketika solat adalah sikap istirehatnya ahli neraka.
4. Solat dalam keadaan mengantuk.
Sabda Rasulullah saw,
إذا نعس أحدكم فى الصلاة فلينم حتى يعلم ما يقرؤه
Maksudnya : Barangsiapa di antara kamu yang mengantuk ketika solat, maka hendaklah dia tidur terlebih dahulu sehinggalah ia menyedari apa yang dibacanya.
Makruh menguap ketika solat, berludah ke kiri atau ke kanan dan berlebihan membongkok atau menundukkan kepala ketika rukuk.
5. Solat ketika jamuan sudah dihidangkan.
Sabda Rasulullah saw,
إذا وضع العشاء وأقيمت الصلاة فابدؤوا بالعشاء
Maksudnya : Bila makanan malam sudah dihidangkan dan solat telah diqamatkan, maka makanlah dulu. (HR Muslim)
6. Solat dalam keadaan sakit perut hendak buang air besar atau kecil atau menahan kentut
Sabda Rasulullah saw,
لا يصل أحدكم بحضرة الطعام ولا هو يدافعه الأخبثان
Maksudnya : Janganlah seseorang dari kamu melakukan solat dekat dengan hidangan makanan dan janagnlah solat sambil menahan keluarnya sesuatu dari dua jalan iaitu depan dan belakang.
Namun jika waktu solat sudah hampir luput maka hendaklah dia menahannya selama mana tidak memberi mudarat pada dirinya.
7. Solat di tempat yang diragu-ragukan terkena najis.
Dalam sebuah hadis,
أن النبي (ص)نهى أن يصلى فى سبع : المزبلة , والمخزرة , والمقبرة , وقارعه الطريق , والحمام , ومعاطن الإبل , وفوق ظهر بيت الله تعالى
Maksudnya : Nabi melarang melakukan solat ditujuh tempat : Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan binatang, di tanah perkuburan, ditengah jalan, di tempat mandi, tempat unta berpangkal (kandang unta) dan di atas Baitullah.
8. Lain-lain
Makruh meninggalkan surah pada rakaat yang pertama atau kedua selepas membaca surah al-Fatihah. Juga makruh menyaringkan bacaan pada tempat yang semestinya perlahan serta makruh menyaringkan suara di belakang imam.
Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan