Selasa, 7 Disember 2010

JERUNG2 MUNGKIN LEPAS DI DUNIA...DI AKHIRAT JERUNG AKAN DI DAKWAH..MULUT DITUTUP..ANGOTA YANG BERBICARAG

Hijrah: Tegak negara, daulat syariat
Monday, 30 Dzulhijjah 1431

Perutusan Hijratur Rasul 1432 Hijrah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Hijratur Rasul 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi.

Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam.

Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini.

Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas.

Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan Hijratur Rasul ini tidak disuruh oleh Nabi s.a.w. tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi s.a.w. dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

1 Muharam 1432 bersamaan 7 Disember 2010


Masyarakat peribumi Sabah dakwa tanah dirampas
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Satu rombongan rakyat pedalaman Sabah hari ini mengadu kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berhubung rampasan tanah mereka oleh kerajaan negeri.

Mereka yang terdiri dari 25 orang, hadir ke parlimen dan turut menyerahkan memorandum kepada Presiden PAS itu.

Turut serta bersama mereka, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah dan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka Bandar PAS, Mazlan Aliman.

Pada sidang media sebelum itu, Hamzah yang mengetuai rombongan itu memberitahu, tanah tersebut diteroka oleh masyarakat peribumi Sabah seawal pemerintahan Usno lagi.

Mereka juga memohon tanah itu dan membayar premium, namun sehingga sekarang katanya tiada jawapan.

"Apabila BN di bawah Musa Aman mengambil alih pemerintahan negeri, jabatan hutan bertindak membakar rumah masyarakat peribumi.

"Hujah mereka supaya rumah tidak didirikan lagi di sini," katanya.

Selain dibakar, masyarakat peribumi turut diusir keluar dari tanah mereka manakala tanaman yang diusahakan dimusnahkan.

Lebih malang katanya, tanah yang dirampas itu diberi kepada syarikat kroni dan mereka yang menyamar sebagai anak negeri.

"Sebagaimana berlaku sekarang, tiba-tiba sahaja kita lihat di Keningau dan Nabawan tanah yang diusahakan sejak beratus tahun dahulu menjadi milik syarikat kroni," katanya.

Pertemuan dengan Tuan Guru Abdul Hadi itu dibuat memandangkan bekas Menteri Besar Terengganu itu pernah menyelesaikan isu tanah ketika PAS memerintah negeri itu pada tahun 1999.

"Masalah masyarakat peribumi ini tidak akan selesai jika Umno BN masih memerintah negeri ini.

"Kecuali kerajaan yang membuktikan mereka benar-benar berjiwa rakyat seperti Selangor sekarang dan Terengganu pada 1999," katanya.

Memorandum sama sebelum itu turut diserah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aduan berhubung masalah sama turut akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia petang ini.

"Kami hari ini mewakili ratusan ribu rakyat Sabah.

"BN jangan fikir keputusan di Batu Sapi fix deposit sokongan rakyat Sabah," katanya.

Dalam pada itu, kesemua ahli rombongan tersebut akan diraikan pada himpunan 5,000 rakyat marhaen di Stadium Kajang malam ini.



Dana Pendidikan PAS sasar kumpul RM1 juta
Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Dana Pendidikan PAS mensasarkan untuk mengumpul RM1 juta bagi membantu pembiayaan para pelajar dan prasarana sekolah agama rakyat (SAR).

Timbalan Pengerusi Lembaga Amanahnya, Datuk Abu Bakar Chik berkata, objektif penubuhan dana itu untuk membantu SAR dalam usaha melahirkan para ulama dan petugas parti.

Ini, katanya kerana walaupun negara telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan tetapi urusan pendidikan Islam masih menjadi tanggungjawab rakyat.

Menurutnya, tidak ketinggalan kedaifan prasarana SAR serta tidak ada pembelaan terhadap sekolah pondok.

Justeru, ujarnya dana itu juga bertujuan membantu institusi pendidikan rakyat merangkumi keperluan prasarana dan pengurusan di samping memberi bantuan kebajikan guru dan pelajar serta pelaksanaan program berorientasikan pendidikan.

“Dana Pendidikan PAS ini akan dikawal selia oleh Lembaga Pemegang Amanah (LPA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS sementara pengurusannya diamanahkan kepada Lembaga Pengurusa Dana (LPD) yang dianggotai oleh profesional berkelayakan di dalam parti,” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, memulakan langkah bagi pengumpulan dana, satu program dengan konsep makan malam bersama Mursyidul Am dan Presiden PAS akan diadakan pada 29 Januari depan di Shah Alam.

“Kami mensasarkan untuk mendapat sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat serta para penyumbang untuk mengumpul RM1 juta bersempena dengan program makan malam itu,” ujarnya yang turut disertai pengarah program, Dr Azman Ibrahim.

Tambahnya, dengan dana RM1 juta yang diizinkan Allah dapat dikumpulkan dengan sokongan dan dukungan para penyumbang, LPD akan mula mengorak langkah bagi melaksanakan pelan tindakan ke arah merealisasikan objektif yang digariskan.

"Kepada Allah kami berserah dan memohon semoga diberkati setiap usaha dan sumbangan yang disumbangkan demi untuk kebaikan bersama," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat



Pakatan Rakyat tidak punyai banyak masa
Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan
PILIHAN Raya Umum ke-13 sudah semakin hampir. Ramai yang menjangkakannya berlangsung bulan Mac atau April 2011.

Mac dipilih kerana ia bertepatan dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang sudah cukup tempoh lima tahun.

Barisan Nasional nampaknya tidak berani untuk bargain. BN tidak mempunyai keyakinan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk mengekalkan kemenangan besar BN pada pilihan raya negeri yang lalu.

BN jelas bimbang, jika hasilnya tidak baik, ia akan menjejaskan peluang BN untuk terus berkuasa di Kerajaan Pusat.

Lalu disebut-sebut pilihan raya Sarawak harus diadakan serentak dengan pilihan raya di peringkat federal.

Lagi pun dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, Umno menangguhkan pemilihannya dalam tempoh 18 bulan, menandakan mereka sedang bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke-13.

Penangguhan dibuat kerana Umno bakal menghadapi pemilihan pucuk kepimpinan tertinggi parti secara terus menerusi cawangan dan bahagian. Mekanisme pemilihan seakan-akan sama dengan cara Parti KeADILan Rakyat, baru-baru ini.

Maka sudah tentu pemilihan secara ini, akan mencetuskan ketegangan, bantahan dan krisis di kalangan pemimpin yang bertanding.

Ketegangan dan krisis ini kebiasaannya membawa perpecahan. Oleh itu, Umno mengambil keputusan menangguhkan pemilihan bagi mengelakkan perpecahan dalamannya, diambil kesempatan oleh musuh politik.

Apa pun Pakatan Rakyat tidak harus berpandukan kepada penangguhan perhimpunan Umno. Pakatan Rakyat juga Jangan menunggu, jangan berharap Umno-BN masih memerlukan masa untuk bersedia menghadapi PRU.

Memang sebagai sebuah entiti politik Umno-BN masih belum bersedia kerana mereka mempunyai banyak masalah dalaman.

Walau tidak sedia bagaimanapun mereka, Umno-BN tetap akan dibantu dengan media dan jentera-jentera kerajaan. Masalah dalaman mereka boleh ditutup dan ditampung oleh jentera kerajaan.

Justeru dalam PRU ini, Pakatan Rakyat bukan sahaja berhadapan dengan parti komponen BN, tetapi jentera kerajaan dan media yang akan dipergunakan untuk mempertahankan kerajaan Umno-BN.

Harus diperingatkan kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang menguasai negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, usah dipercayai pegawai kerajaan negeri seratus peratus, kerana sebahagian besar mereka adalah balaci-balaci Umno-BN, yang mungkin melakukan sabotaj semasa PRU nanti.

Walaupun dari segi perbandingan, pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat diberi kepujian kerana lebih cekap dan telus daripada kerajaan negeri pimpinan BN, namun semua itu tidak banyak diketahui rakyat.

Pagi petang siang malam media tali barut Umno-BN dipergunakan sepenuhnya untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Tiada yang baik dari Pakatan Rakyat, semuanya buruk dari sisi media Umno-BN.

Mereka bukan sahaja memfitnah Pakatan Rakyat, malah berusaha keras untuk memecahbelahkan pakatan PAS, KeADILan dan DAP dengan menimbulkan pelbagai isu sensitif.

Isu-isu sensitif ini dilontar, sama ada berpunca daripada kelemahan Pakatan Rakyat dan juga berpunca daripada manipulasi media di atas kenyataan pemimpin tertentu.

Di atas kesempatan yang diambil media talibarut Umno-BN ini, jelas mereka berjaya memalitkan persepsi buruk kalangan tertentu terhadap Pakatan Rakyat.

Dalam soal politik, Umno-BN nampaknya seakan-akan berjaya memalit persepsi buruk bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai kestabilan politik, tidak bersatu padu dan tidak mempunyai polisi yang jelas. Rakyat yang 'beriman' kepada media massa akan mempercayainya, walaupun hakikat sebenarnya tidak begitu.

Begitu juga dalam soal ekonomi, Umno-BN mempunyai kelemahan yang cukup besar. Mereka gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik, penuh dengan rasuah dan ketirisan serta salah laku.

Namun, menerusi manipulasi media talibarut, ada kalangan rakyat yang terpedaya sehingga mempercayai bahawa ekonomi negara sedang pulih dari kemelesetan.

Inilah masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat sebenarnya. Walaupun Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin yang berkredibiliti, telus, transparen dan memerintah dengan adil, tetapi kebanyakan rakyat tidak mengetahuinya.

Kita harus disedari, persepsi sebegini amat berbahaya. Sebabnya orang yang menjadi ahli kepada parti politik yang bergabung dalam Pakatan Rakyat tidak ramai berbanding orang yang di luar sana.

Dalam erti kata lain pengundi atas pagar memainkan peranan amat penting dalam PRU ke-13. Mana-mana parti yang dapat 'catch' minda mereka, menerapkan persepsi baik, parti itulah yang akan diundi menerajui negara.

Persepsi ini adalah fenomena sementara yang boleh memberikan impak yang besar. Walaupun mungkin pengundi atas pagar sudah mengetahui Umno-BN mempunyai puluhan salahlaku, tetapi mungkin hanya dengan satu kebaikan sahaja, boleh menenggelamkan puluhan kesalahan Umno-BN.

Setakat ini berdasarkan kajian yang dibuat Merdeka Centre, trend rakyat yang cenderung terhadap Pakatan Rakyat dan BN masih 50:50. Ianya adalah paras berbahaya bagi kedua-dua pihak.

Tetapi harus diingat bahawa sokongan terhadap BN boleh menokok kerana ada kalangan rakyat yang cenderung kepada stail kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kerana ada tinjauan yang mengatakan populariti Najib menokok sehingga 70 peratus.

Walaupun Najib tidak banyak berbeza berbanding bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun ada persepsi yang cenderung bahawa Najib lebih baik daripada Mahathir dan Abdullah.

Oleh itu, ada penganalisis yang menjangkakan bahawa keyakinan pengundi terhadap populariti Najib, boleh memberi kelebihan kepada Umno-BN, walaupun kebanyakan rakyat cenderung menolak Umno-BN.

Persepsi baik terhadap Najib ini amat membahayakan Pakatan Rakyat. Najib dilihat baik kerana beliau tidak sekeras pendekatan Mahathir dan tidak selembap cara Abdullah.

Pakatan Rakyat juga harus memperhalusi beberapa kesan daripada keputusan pilihan raya kecil seperti di Bagan Pinang, Manek Urai, Hulu Selangor dan Galas.

Sebabnya ada andaian yang mengatakan terdapatnya fakta yang jelas bahawa ada di sekitar 5-7 peratus orang Melayu 'sudah kembali' menyokong BN. Angka-angka ini tidak semestinya accurate. Namun, ia cukup untuk dijadikan garis panduan yang kritikal.

Harus dikaji juga bagaimana trend kaum India dan Cina, supaya jika penurunan undi dari kalangan Melayu misalnya, dapat ditampung.

Ada juga tinjauan yang membimbangkan dari kalangan pengundi-pengundi muda. Dikhabarkan wujud pertambahan sekitar 10-20 peratus pengundi baru.

Trend pengundi-pengundi baru ini sukar dijangka. Mereka barangkali tidak menganggotai parti politik, atau mungkin juga tidak minat politik.

Selalunya sokongan golongan muda ini bersandarkan kepada populariti personaliti tertentu. Kuasa politik bukan sahaja harus disandarkan kepada akidah dan komitmen perjuangan, perlu diketengahkan bakal-bakal pemimpin atau personaliti tertentu yang dikenalpasti boleh menarik sokongan pengundi baru.

Pada hemat penulis, inilah di antara rangka program penting yang harus diperhalusi Pakatan Rakyat pada konvensyen kedua yang akan diadakan pada 19 Disember 2010 di Pulau Pinang.

Persediaan yang rapi harus dibuat bagi menghadapi pilihan raya. Masing-masing pemimpin harus merendahkan ego mereka, mengetepikan kepentingan peribadi dan meletakkan matlamat menumbangkan BN sebagai yang paling utama.

Harus dibincangkan bagaimana Pakatan Rakyat menangani fitnah. Bagaimana Pakatan Rakyat boleh mengelak daripada menimbulkan isu-isu yang kontroversial, yang boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Oleh itu, jangan sesekali dijadikan konvensyen nanti sebagai 'funfair' untuk menghimpunkan ahli dan penyokong mendengar yang positif sahaja mengenai Pakatan Rakyat.

Ambillah kesempatan untuk bermuhasabah diri, ambillah peluang untuk memperkukuhkan kesatuan, agar mendapat kepercayaan majoriti rakyat untuk menerajui negara selepas PRU ke-13 nanti.



Khir Toyo hanya 1% dari kes jerung
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Anggota Jawatankuasa Khas SPRM, Salahudin Ayub mendakwa, pendakwaan ke atas Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hanya satu peratus daripada keseluruhan kes berprofil tinggi yang ada.

Katanya, biarpun beliau mengalu-alukan pendakwaan oleh pihak Peguam Negara itu, namun rakyat tidak mudah untuk berasa teruja dengan tindakan itu.

Ini kerana, negara mempunyai pengalaman sewaktu Tun Abdullah Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri apabila dua kes berprofil tinggi yang didakwa di mahkamah, akhirnya digugurkan apabila menjelang pilihan raya.

"Ini satu peratus dari keseluruhan kes berprofil tinggi yang ada.

"Kita ada pengalaman zaman Mr Clean (Tun) Abdullah Ahmad Badawi menangkap Eric Chia dan Kasitah Gadam, tetapi kes berprofil tinggi itu digugurkan bila berlaku pilihanraya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan ke atas Khir Toyo, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

Selain Khir, seorang lagi yang didakwa adalah Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni.

"Saya harapkan satu perbicaraan adil dan telus, itu sahaja. Apa yang berlaku pada Khir Toyo ini jangan terhenti di sini sahaja.

"Kita bimbang ini juga trend sama berlaku sekarang," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dalam pendakwaan hari ini, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Adun Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang Dun Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan



Serang Pakatan: Najib lancar perang pilihan raya

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak terhadap Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam ucapan di Konvensyen BN semalam sebagai keras dan tindakan terdesak.

Anwar berkata, ucapan Najib yang juga Perdana Menteri itu jelas menggambarkan rasa cemasnya terhadap perkembangan politik semasa dan salah satu cara untuk mengalihkan kepincangan pentadbiran BN.

"Ucapan serangan Najib keras dan melambangkan sikapnya yang terdesak dengan perkembangan politik sekarang, nak alih isu kepincangan dalam pentadbiran dan rasuah dalam BN sendiri. Ini nampak lain dari 'style' Najib yang biasa.

"Maknanya ini pelancaran perang untuk menghadapi pilihan raya," kata Anwar dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Pembangkang itu juga berkata, isu 'keluarga dalam PKR' yang dibangkitkan Najib sangat tidak relevan kerana kedudukan Najib juga berlatar belakangkan hubungan keluarga.

"Beberapa isu beliau bangkitkan begitu aneh seperti isu keluarga dalam parti dan sebagainya, datangnya dari seorang yang naik atas kapasiti ayahnya Perdana Menteri, lantik sepupu sebagai Menteri Dalam Negeri dan masih membangkitkan isu peribadi," katanya merujuk kepada ayah Najib, Tun Abdul Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merupakan sepupunya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut mempersoal dakwaan Najib bahawa Pakatan Rakyat anti nasional.

Saya nak tumpu tentang Pakatan ini, beliau memberikan gambaran seolah-olah Pakatan Rakyat mengalami perpecahan. Isu apa?Anti nasional isu apa? Kita berpegang pada perlembagaan. Adakah menentang rasuah itu anti nasional?Cara melayani tunjuk perasaan aman rakyat menuntut hak mereka itu juga anti nasional?" soalnya.

Tambahnya, jika benar Najib seorang pemimpin yang bertanggungjawab, beliau akan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membalas hujahnya secara bersemuka.

"Kalau benar beliau pemimpin bertanggungjawab, beliau tidak harus mengeluarkan kenyataan tak bertangugjawab dan harus beri ruang kepada pembangkang untuk menjawab. Ini seorang Menteri bercakap di hadapan ahlinya, tak beri ruang untuk kita menjawab. Ini membelakangkan semangat demokrasi dan perbahasan segar," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan nada sinis mengucapkan terima kepada kasih kepada Najib kerana memberikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan merupakan gabungan masa depan.

"Saya ucap tahniahlah kepada Najib kerana tak dapat sembunyikan rasa cemasnya.

"Terima kasih juga kepada beliau kerana serangan beliau itu memberikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan merupakan gabungan masa depan bagi rakyat Malaysia," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula meminta satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan RM 52 bilion saham bumi untuk membuktikan keihklasan BN.

"Kalau Perdana Menteri serius menangani rasuah kita harap beliau boleh adakan suruhanjaya siasatan diraja ke atas skandal saham bumi sebanyak 52 bilion ringgit yang telah dilesapkan kerana sungguhpun RM52 bilion saham yang harus diberikan kepada golongan melayu ataupun bumiputera miskin sudah hilang, tiada sebarang tindakan diambil.

"Kenapa tak ada sebarang tindakan BN terhadap skandal ini?Jelas mereka hanya nak kekalkan kekayaan kroni mereka," katanya yang juga ahli Parlimen Bagan.

Najib dalam ucapan dasar sempena Konvensyen BN di Wisma MCA semalam menggelarkan Pakatan Rakyat sebagai pakatan nepotisme dan anti nasional



Rosmah yang merimaskan Najib
Ahmad Lutfi Othman
Dr Mahathir Mohamad, dalam tempoh 23 tahun pemerintahannya, sering dikritik kerana kerap menghalang penyertaan rakyat dalam proses-proses penting pembinaan negara. Malah, bekas Perdana Menteri yang terkenal dengan sikap autoritariannya itu, dikatakan jarang mempedulikan pandangan pihak lain, meskipun daripada rakan-rakan dalam Kabinetnya.

Penguasaan Mahathir begitu mencengkam, sama ada dalam partinya, Umno mahupun kerajaaan. Personalitinya begitu mempengaruhi proses politik. Fenomena ini tidak jauh berbeda dengan watak Lee Kuan Yew di Singapura atau Suharto di Indonesia ketika mereka menerajui negara masing-masing.

Ada yang melihatnya sebagai "diktator yang dipilih melalui sistem demokrasi". Bekas timbalannya (Mahathir mempunyai tiga Timbalan Perdana Menteri yang tidak sempat mewarisinya), Musa Hitam pernah mendakwa beliau lebih banyak "bermonolog dalam mesyuarat". Tidak kurang yang mengusik, hobi Mahathir pun boleh dijadikan projek negara. Maknanya, apa jua keinginan Mahathir akan dilaksanakan biar menelan berapa banyak kos sekalipun.

Pandangan Mahathir lantang, pedas, terbuka dan terus-terang. Apa yang terbuku di hatinya itulah yang diluahkan. Kita tidak perlu mencari makna tersirat di sebalik kata-katanya. Ramai pemimpin yang cuba bersilat kata-kata, mahu menyedapkan hati banyak pihak walaupun hakikatnya jauh berbeda, tetapi berbeda dengan Mahathir. Misalnya kritikan beliau terhadap ulama dan hukum Islam dilontarkan tanpa berselindung sekali gus menjelaskan kejahilannya.

Beliau memang pernah dikritik kerana mengutamakan beberapa kerat "kitchen kabinetnya", yang dikenali dengan jolokan AIDS, iaitu Anwar Ibrahim, Daim (Zainuddin) dan Sanusi (Junid) terutama menjelang pemilihan Umno, April 1987, yang menyaksikan penentangan paling serius dalaman parti daripada Team B, yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun, ia tidaklah sampai meletakkan Mahathir pada kedudukan yang lemah, sehingga segala keputusan penting kerajaan diputuskan oleh AIDS. Beliau tetap berkuku dan selalu dilihat memerintah secara solo. Tiada watak lain yang dirasakan memainkan peranan tersembunyi di sebalik tabir.

Berbeda sekali dengan penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, yang dikatakan tidak mempunyai "strong personality" walaupun lebih bersikap terbuka dan cuba menunjukkan beberapa pembaharuan dalam kerajaan. Perlantikan Abdullah sebagai PM begitu dialu-alukan terutama oleh sebahagian besar rakyat yang merasa tertekan di bawah regim Mahathir.

Saya sendiri menyifatkan Abdullah bakal memulangkan balik Malaysia kepada rakyatnya. Diharapkan partisipasi rakyat lebih dialu-alukan dan ruang awam yang disempitkan di zaman Mahathir kembali luas. Persaingan politik pula dijangka menjadi lebih adil, amalan rasuah dibanteras, pentadbiran yang lebih telus.

Abdullah memulakannya dengan langkah kanan. Pilihan raya umum 2004 mencatat sejarah. Penguasaan kerusi Parlimen BN melebihi 90 peratus. Rakyat terpesona dengan janjinya dan terpukau dengan potensi beliau sebagai tokoh pembaharu.

Malang sekali, harapan rakyat dikecewakan begitu cepat. Timbul pelbagai label negatif seperti dakwaan Abdullah selalu tidur dalam mesyuarat dan tidak memahami isu-isu besar negara terutama hal-hal ekonomi.

Lebih parah lagi apabila Abdullah dilihat menyerahkan amanah besar rakyat - yang sepatutnya dipikul beliau dengan penuh tangungjawab - kepada pihak lain. Amalan kronisme Mahathir yang dikritik hebat pada era reformasi berjangkit dengan wajah yang lebih parah.

Abdullah dituduh bukan saja mengagihkan projek mega kepada teman karibnya, malah segala keputusan penting negara seolah-olah diputuskan sekumpulan penasihatnya, yang bukanlah hebat sangat kemampuan mereka. Golongan muda di Tingkat 4 JPM yang melingkungi Abdullah ini begitu berambisi tinggi, tetapi menarik Abdullah jatuh merudum terutama selepas dikecam hebat Mahathir.

Tambah memburukkan Abdullah apabila kumpulan yang muda-mentah itu diketuai menantunya sendiri, Khairy Jamaluddin selain anaknya, Kamaluddin. Sehebat mana pun seseorang tokoh itu, ia masih memerlukan pasukan penasihat. Namun bagi Abdullah, beliau seolah-olah menyerahkan segala urusan negara kepada pihak lain.

Wibawa Abdullah sebagai pemimpin tersungkur. Keyakinan rakyat kepadanya menjunam. Beliau dilihat ragu-ragu dan tidak jelas arah tujuannya. Tidak pernah seorang perdana menteri dijadikan bahan senda-gurau yang mengaibkan seperti Abdullah. Dalam pilihan raya Mac 2008, tsunami politik menghukumnya!

Najib Razak sejak awal digemari Mahathir. Mungkin ketegasan dan kecerdasan (juga kelicikan) Mahathir tidak sepenuhnya diwarisi Najib. Namun, penampilannya nampak lebih "genuine", tidak seperti pemaparan imej Abdullah yang dilakukan tukang "spin". Najib kelihatan lebih tangkas dan cekap berbanding Abdullah.

Paling penting, ia tidak lagi terkurung dengan penguasaan penasihat seperti dideritai Abdullah. Apa pun, ramai pemerhati merumuskan, "malang" Najib terletak pada isterinya, Rosmah Mansor.

Rosmah seolah-olah menteri tak berpotfolio yang tidak bergaji tetapi didakwa berbelanja boros! Pembabitan beliau dalam Sidang Kemuncak Wanita Pertama sudah cukup untuk melambangkan keghairahannya. Hampir setiap malam, melalui berita TV, wajahnya menonjol mengalahkan tokoh politik lain. Ramai bercerita peranan Rosmah menentukan penganugerahan projek besar kerajaan.

Wataknya bertentangan sama sekali dengan isteri Mahathir, Siti Hasmah Mohd Ali. Saya tertarik dengan ulasan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin tentang Hasmah. Untuk mengetahui karenah Rosmah, saya cuba membayangkan personaliti yang bertentangan dengan Hasmah, seperti diungkapkan Dr Asri:

"Begitu lama Mahathir di tampuk kuasa. Tun Siti tetap bersederhana. Tiada cerita kemewahannya semasa di luar negara, atau bising campur tangannya dalam projek itu dan ini, tiada cerita 'kegarangannya' kepada pihak sana dan sini. Beliau hanya tersenyum dan merendah diri.

"Bahasanya tidak bongkak, gayanya tidak berlagak. Tidak banyak cerita di media tentang dirinya, sehingga melebihi suaminya. Seorang pemimpin memerlukan isteri yang 'tidak menyibuk' seperti Tun Siti. Walaupun sangat terpelajar, tetapi tahu membawa diri sebagai isteri pemimpin. Setiap isteri pemimpin mesti pandai menjaga maruah suaminya."

Seorang rakan mengusik, "untuk memahami watak Rosmah, cuba terbalikkan apa yang digambarkan Dr Asri dengan personaliti Siti Hasmah itu.


Najib tak peduli apa jadi pada Islam
Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Konvensyen Barisan Nasional, semalam tidak banyak yang diperkatakan tentang memartabatkan Islam khususnya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak selaku pemimpin parti yang didakwa pejuang Islam.

Mengulas perkara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, menyatakan bahawa Najib lebih mengutamakan isu-isu popular seperti konsep 1Malaysia yang diperkenalkan.

Pada masa yang sama tidak ada penekanan terhadap memartabatkan Islam

“Najib tidak ambil peduli apa akan jadi kepada Islam dan sensitiviti umat Islam. Beliau lebih memandang program-program yang menyeronokkan dan popular seperti mewujudkan hub hiburan demi menarik pelancong asing,” ujarnya pada sidang media di pejabat Harakah di sini, hari ini.

Beliau berkata, Najib yang juga Perdana Menteri sepatutnya membela hak-hak Islam dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Pada masa yang sama, katanya banyak perkara-perkara pokok yang sepatutnya diberikan perhatian tetapi diabaikan oleh Najib seperti rasuah, penyelewengan kuasa dalam bidang kehakiman dan penafian konsep federalismne sehingga hak negeri-negeri diabaikan.

Baginya, secara senyap Najib kini menjadi diktator melalui bendera demokrasi dengan sekumpulan golongan elit yang dibangunkan.

Dalam pertemuan tersebut juga, beliau menekankan peranan media dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang pengabaian kerajaan kepada Islam dan Melayu.

Pada masa yang sama, katanya media alternatif hendaklah memberi kesedaran dan jaminan kepada rakyat marhaen, kakitangan kerajaan dan sebagainya bahawa mereka tidak akan terabai jika Pakatan Rakyat memerintah



Kes Khir Toyo dipindah ke Mahkamah Tinggi
Harakahdaily

SHAH ALAM, 6 Dis: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menangkap dan membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, 45, yang merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan Datuk Shamsuddin Hayroni, 54, di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohamad Khir dituduh atas kesalahan mendapat barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo yang berharga RM3.5 juta pada tahun 2007 melalui Shamsuddin yang merupakan Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd sedangkan hartanah tersebut telah dibeli oleh syarikat tersebut dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat SPRM hari ini, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mereka dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM750,000.00 seorang dengan seorang penjamin.

“Kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi kelak,” kenyataan itu menambah.

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersama Ketua Bahagian Pendakwaan, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Timbalan Pendakwaraya, Dzulkifli Ahmad di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mohamad Khir diwakili oleh peguam Athimulan & Co. Manakala Shamsuddin tidak diwakili oleh mana-mana peguam


Najib memang gelabah hentam Pakatan Rakyat
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghentam parti-parti Pakatan Rakyat (PR) sewaktu berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam adalah bukti pengerusi BN itu 'gelabah' dengan kekuatan PR.

Mengulas ucapan Najib itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Najib sudah tidak mampu lagi menyembunyikan ketakutannya berdepan sokongan kuat rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Kita melihat ucapan itu menunjukkan kegelabahan BN dalam menghadapi perkembangan terkini Pakatan Rakyat.

"Malah mereka sebenarnya agak terkebelakang mengadakan konvensyen daripada kita Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau membandingkan dengan Konvensyen Pakatan Rakyat yang akan diadakan kali kedua di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.

Selain menuduh Pakatan Rakyat anti nasional, Najib semalam turut menuduh PKR sebagai nepotisme manakala PAS dituduh menjalin kerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara.

"Dia tak tahu tentang dalaman Pakatan, strategi kita, hasrat kita, langkah kita.

"Dia tak perlu cakap kalau dia tak tahu," kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut sependapat dengan pandangan itu.

Ketika sidang media bersama Ketua Umum PKR di parlimen pagi tadi, Mahfuz berkata, Najib telah membuktikan bahawa Pakatan Rakyat satu-satunya pihak paling relevan menggantikan Umno.

"Saya ucap tahniah kepada Najib kerana tak dapat sembunyikan lagi rasa cemasnya.

"Terima kasih juga kerana secara tak langsung serangan kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu memberi mesej jelas kepada rakyat, bahawa PR adalah gabungan masa depan untuk Malaysia," katanya


Tiada ulasan: